'Tangkis' Bawakan Semangat Legenda Badminton Negara Dalam Sebuah Telefilem Penuh Emosi

Thursday, 14 May 2026

Bagaimana jika impian seorang ayah untuk melahirkan juara badminton negara akhirnya menguji kasih sayang dalam keluarganya sendiri?

Astro membawakan Tangkis, sebuah telefilem inspirasi sukan yang sarat dengan emosi, pengorbanan dan semangat kekeluargaan, bakal menemui penonton pada esok, 15 Mei 2026, Jumaat, jam 9 malam di Astro Prima (saluran 105) dan Astro Ceria (saluran 611), serta boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan Sooka.


Diterajui barisan pelakon hebat seperti Zamarul Hisyam, Faye Kusyairi, Wany Kayrie, Imran Aqil dan Syafi Tee, Tangkis diinspirasikan daripada kisah ikonik keluarga Sidek dan turut dibawakan khas oleh keluarga legenda badminton negara.

Sinopsis:


Telefilem ini mengisahkan Fuad, seorang bekas juara badminton kebangsaan yang bertekad melahirkan atlet bertaraf dunia melalui anak-anaknya sendiri. Namun, segalanya berubah apabila anak perempuannya, Sara, menyerlah sebagai pemain badminton berbakat sekali gus mencabar ego, prinsip dan cara didikannya sebagai seorang ayah.


Mengangkat tema impian, disiplin, pengorbanan dan keadilan dalam keluarga, Tangkis menjanjikan sebuah naskhah yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia, terutamanya pencinta sukan dan drama kekeluargaan penuh inspirasi.

TARUNG : UNFORGIVEN RAIH KUTIPAN RM 10.5 JUTA SEJAK DITAYANGKAN | ‘Sambutan Penonton Di Pawagam Cetus Aura Luar Biasa’

Kuala Lumpur, 14 Mei 2026 - Filem aksi tempatan yang kini hangat mengegarkan pawagam, TARUNG: Unforgiven, terus mencipta momentum memberangsangkan apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM10.5 juta sejak mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 7 Mei lalu. 

Lebih membanggakan, TARUNG : Unforgiven terbitan ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw, kini berada di tangga pertama di carta TOP 10 Movie GSC, sekali gus mengetepikan filem-filem besar antarabangsa.

Pencapaian ini sekali gus mencerminkan sambutan hangat penonton terhadap karya tempatan yang mengetengahkan elemen aksi intens, emosi mendalam serta naratif yang dekat dengan realiti kehidupan.

Lebih menguatkan fenomena ini, siri jelajah pada minggu pertama yang berlangsung di Klang Valley turut menyaksikan kehadiran luar biasa daripada ribuan peminat di setiap lokasi yang dikunjungi. Rata-rata sesi bertemu penonton dipenuhi dengan sokongan padu, sorakan, serta interaksi aktif yang membuktikan keterujaan orang ramai terhadap filem ini semakin memuncak dari hari ke hari.

Pengarah dan Penulis Skrip merangkap Penerbit Eksekutif TARUNG : Unforgiven, Razaisyam Rashid menyatakan “Saya sangat terharu dengan sokongan luar biasa penonton Malaysia terhadap TARUNG: Unforgiven. Dari hari pertama tayangan, kami dah dapat rasa kehangatan dan semangat dari penonton untuk filem ini. Harapan saya, semoga TARUNG dapat jadi pemangkin baru untuk filem aksi tempatan pergi lebih jauh, lebih besar dan lebih berani. Kepada yang dah menonton, terima kasih kerana jadi sebahagian daripada perjalanan ini. Buat yang belum menonton, inilah masanya untuk rasai sendiri pengalaman TARUNG di pawagam”

Pelakon, Penerbit dan Penerbit Eksekutif TARUNG : Unforgiven, Aedy Ashraf melahirkan rasa Syukur dan terharu dengan sokongan padu penonton. “Kejayaan ini memang sangat bermakna buat seluruh pasukan Alpha47 dan semua yang terlibat dalam pembikinan TARUNG: Unforgiven. Kami hasilkan filem ini dengan penuh dedikasi, pengorbanan dan jiwa. Bila tengok reaksi penonton di pawagam, reaksi, video TikTok dan semua respon positif yang masuk setiap hari, itu kepuasan terbesar untuk kami. Terima kasih kepada semua yang dah menyokong TARUNG: Unforgiven. Kepada yang belum sempat menonton, kami nak mengajak anda semua ke pawagam sekarang dan alami sendiri pengalaman sinematik TARUNG: Unforgiven”.

Rata-rata komen di media sosial oleh penonton yang telah menonton di pawagam menyifatkan TARUNG: Unforgiven padat dengan babak aksi yang realistik dan padu, dengan koreografi pertarungan yang tampak autentik dan meyakinkan, jalan cerita yang emosional dan dekat di hati penonton dengan menyentuh sisi manuasia, lakonan mantap barisan pelakon, yang berjaya membawa karakter dengan penuh tekanan, serta visual dan sinematografi yang sinematik sekali gus memberikan pengalaman menonton yang meninggalkan kesan di layar perak. 

Filem arahan Razaisyam Rashid ini menampilkan barisan pelakon hebat tanah air, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel, Razib Salimin, Shaharuddin Thamby, Wak Ruzaidi, Theebaan G, Akmal Asyraf serta petarung sebenar, Jai JMT dan Ijam Asri.

Ikuti siri jelajah filem TARUNG : Unforgiven minggu ini di Selatan pada 15, 16, 17 Mei. Saksikan TARUNG : Unforgiven kini di pawagam seluruh negara. Untuk perkembangan terbaru dan klip menarik filem ini, boleh dapatkan di semua digital platform Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw. Gunakan #TarungUnforgiven bagi berkongsi dan ikuti keterujaan tentang filem ini.

POSTER RASMI FILEM KHADAM!

Apabila seorang ibu mewarisi saka yang menjelma sebagai dirinya yang “sempurna”, adakah dia akan hilang segalanya?

“Jangan sampai jadi tuan.”

Filem seram dramatik terbitan Red Communications & Komet Productions ini bakal membawa penonton menyelami sebuah kisah penuh misteri, emosi dan gangguan yang menanti di sebalik segalanya.

Filem arahan Shamyl Othman dibintangi oleh Remy Ishak, Aghniny Haque, Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’ El dan Jun Lojong.

Dan malam ini, tepat jam 9.00 malam, nantikan pelancaran Treler Rasmi Filem KHADAM yang bakal merungkai segala persoalan di sebalik misteri ini.

Terima kasih.

#Khadam #JanganSampaiJadiTuan

TEASER RASMI 5 BOMOH KINI MENEMUI PENONTON!

Monday, 11 May 2026

1 A, RM100…

8A jadi RM800. Mashukkkk!

Demi mencari jalan untuk anak score 8A dalam SPM, seorang bapa mula terpengaruh dengan bomoh scammer yang menjanjikan hasil luar biasa.

Berbaloi ke… atau semuanya bakal memakan diri? 

Diarahkan oleh Syed Fariz, 5 BOMOH tampil dengan kisah satira komedi yang penuh huru-hara, sindiran dan kejadian di luar jangkaan.

Menampilkan barisan pelakon hebat seperti Dato’ Aaron Aziz, Scha Alyahya, Ungku Hariz, Khairy Jamaluddin, Dato’ Afdlin Shauki, Amy Search, Aedy Ashraf, Jozlyn Hanania dan Tiara Suraya.

Akan datang di pawagam…

#5BOMOH #AkanDatang #SapotLokal

Movie Review | My Dearest Assassin (2026)

Sunday, 10 May 2026

 

Pengarah:  Taweewat Wantha  
Penulis Skrip: Watthana Veerayawattana  
Pelakon: Baifern Pimchanok Luevisadpaibul, Tor Thanapob Leeratanakachorn, Porsche Sivakorn Adulsuttikul, Toni Rakkaen, Chanudom Suksatit, Namo Benedict Rebillet  
Syarikat Produksi: Sunwrite Moonact   
Pengedar: Netflix
Genre: Aksi  
Durasi Tayangan: 129 minit
Tarikh Tayangan: 7 Mei 2026   
Trailer:


Kisah bermula dengan seorang wanita kaya terdesak mencari darah aurum untuk suaminya lalu mengarahkan Phurek (Toni Rakkaen) mencari pemilik darah tersebut. Namun usahanya gagal apabila Po (Chartayodom Hiranyasthiti) dah ahli Rumah 89 menyelamatkan Lhan (UK Natthaya Ongsritragul). Phurek kemudiannya mencari di pelbagai negara selama berbelas tahun kemudiannya tapi tetap gagal. 

Lhan dijaga dengan baik di Rumah 89 oleh Pran (Tor Thanapob Leeratanakachorn) dan juga M (Porsche Sivakorn Adulsuttikul) yang turut kehilangan keluarga. Mereka bertiga berkawan baik namun tidak pernah meninggalkan rumah tanpa sebab. M dilatih menjadi pembunuh upahan seperti ahli Rumah 89 yang lain dan dia diberikan tugas pertama sebaik sahaja berjaya mengalahkan Deaw (Deaw Chupong Changprung). 

Ketika yang lain menyelesaikan misi, Lhan dan Pran keluar dari rumah untuk bersiar-siar di pasar malam namun jejak mereka berdua dihidu oleh Phurek. Tak tunggu lama, Phurek mengupah Chaba (Chanudom Suksatit) dan Blue (Namo Benedict Rebillet) untuk menumpaskan Rumah 89 dengan upah yang lumayan. 

Ketika diserang oleh pihak lawan, barulah Lhan tahu dia sebenarnya disimpan di Rumah 89 untuk menjadi bank darah untuk Pran yang menghidap hemophilia. Berasa tertipu dan diperdaya, Lhan berlatih untuk balas dendam terhadap Phurek yang meletakkan dia di dalam situasi tersebut. 

Naskhah My Dearest Assassin arahan Taweewat Wantha menampilkan tiga remaja sebagai watak utama di samping watak sampingan yang tak kurang hebatnya. Baifern berlakon sebagai remaja masih meyakinkan sebab fizikal dia yang petite di samping Tor dan Porsche. Dinamik dan chemistry ketiga-tiga pelakon utama menjadi penggerak filem aksi sepanjang 129 minit.

Personally I lebih tertarik dengan watak M yang selesaikan kerja dengan bergaya persis seperti Po. Lagi seronok kalau tengok babak dia berlatih dengan Po atau dapat tunjuk ajar dari Ja (Kessarin Ektawatkul) tentang fesyen. Watak Phurek mencuri perhatian sebagai Hunter yang mempunyai style dan gaya tersendiri. Tak hairan lah kalau dia ada aura dan screen presence yang kuat sebab dia model in real life.  

Kekuatan filem My Dearest Assassin terletak pada sinematografi dari kreativiti Champ Sutthichai Luangamornlert yang berjaya menghasilkan visual penuh bergaya. Jujur cakap, pilih filem ni untuk ditonton sebab trailer ada M yang handsome teruk tapi tertipu sebab dia cuma second hero. Faham sendiri lah nasib second hero macam mana. Dah lah cinta tak berbalas, sakit pun lebih banyak dari watak utama. 

Tapi yang seronoknya, pengarah tak kedekut pada babak aksi dengan pergerakan kamera yang menarik. Banyak stunt yang segar, kemas dan tangkas diadun bersama kejutan yang tak dijangka. Musik latar gubahan Vichaya Vatanasapt meningkatkan lagi impak pada penceritaan. 

Sayangnya penceritaan My Dearest Assassin agak lemah walhal mempunyai premis dan idea yang menarik. Merepek lah bila Rumah 89 tak pernah ajar Lhan apa-apa dekat rumah tu selain Bahasa Thailand. On paper, Rumah 89 adalah kedai perabot tapi sebenarnya agensi pembunuh upahan yang terkemuka lah. Patutnya Po dan Deaw ajar Lhan untuk lindungi diri sebab Rumah 89 tak ada sekuriti yang ketat pun bila semua keluar selesaikan misi. Sakit hati jugak lah Rumah 89 hancur gara-gara apam balik. 

Nasib baik ada babak Lhan belajar bertarung secara sembunyi jadi boleh lah justify kenapa dia boleh pick-up cepat dalam masa 2 bulan untuk lawan dengan Hunter. Tak puas hati dekat babak klimaks sebab buat kerja tak clean semata untuk kuatkan elemen dramatik padahal buang masa sangat. Hunter kata dia boleh hidu Lhan dari jauh tapi kenapa dekat credit scene dia terpedaya? 

Pace penceritaan My Dearest Assassin tak konsisten dan meleret di babak klimaks dan penghujung filem. Mesej yang dilontarkan dalam filem mengenai persahabatan tapi tak lah dikembangkan dengan baik bila penulis lebih cenderung untuk masukkan kisah cinta tiga segi yang klise. Kesetiaan dan persahabatan yang kuat lebih terpapar dari watak sampingan ahli Rumah 89. 

Ada banyak yang boleh dikembangkan atau diperkuatkan lagi pada penceritaan My Dearest Assassin tapi pengarah lebih fokus pada babak romantik antara Pran dan Lhan dan adegan seksual yang tak perlu dimasukkan pun. Babak pasar malam tu patutnya tak perlu dipanjangkan sangat pun, berapa kali nak ulang Pran dan Lhan suka main dalam hujan? 

Kalau ditanya, My Dearest Assassin berbaloi tak untuk ditonton, I would say yes sebab lakonan dan stunt yang cemerlang tapi jangan letak harapan tinggi pada alur cerita yang ada kelompongannya. Filem My Dearest Assassin ni senasib dengan filem Mantis (2025), ada potential tapi gagal jadi naskhah yang bagus gara-gara penulisan yang lemah. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.4, 5. Casting +1, 6. Genre +0.5, 7. Themes +0.5, 8. Editing +0.4, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0.5 = 6.3/10

Movie Review | Wasiat Warisan (2025)

 

Pengarah: Agustinus Sitorus  
Penulis Skrip: Ridho Brado, Agustinus Sitorus 
Pelakon: Derby Romero, Astrid Tiar, Sarah Sechan, Hamka Siregar, Rita Ch Panduri, Jenda Munthe, Sumaisy Djaitov Yanda, Vito Sinaga, Femila Sinukaban, Dorman Manik
Syarikat Produksi: PIM Pictures, Dynamic Pictures, Layar Production  
Pengedar: PIM Pictures, Netflix
Genre: Drama / Komedi 
Durasi Tayangan: 116 minit
Tarikh Tayangan: 4 Disember 2025   
Trailer:


Naskhah berlatarkan Toba, Indonesia mengisahkan tiga orang adik-beradik bernama Tarida (Sarah Sechan), Ramona (Astrid Tiar) dan si bongsunya, Togar (Derby Romero) mendapat Hotel Pariban setelah kematian orang tua mereka. 3 tahun selepas kematian ayah (Hamka Siregar) dan ibu (Rita Matu Mona) mereka pun mereka tidak dapat menjaga dan menguruskan dengan baik walaupun mempunyai para pekerja di situ. 

Tarida dan Ramona tidak mempunyai ilmu perniagaan malah sibuk menguruskan keluarga masing-masing lalu mereka memanggil Togar untuk pulang. Mana tahu idea Togar dan pengalaman dia bekerja dalam jabatan pemasaran boleh membantu perniagaan warisan keluarga. Togar mengambil cuti selama 3 hari dan mula bekerja sebaik saja sampai. 

Usaha dan ideanya berjaya kerana Hotel Pariban mempunyai keunikan tersendiri iaitu terletak berhadapan dengan Danau Toba yang indah memukau. Togar juga meminta pertolongan dari Maria (Femila Sinukaban) untuk memasak kerana gadis idamannya pernah belajar masakan tradisi Medan dari mendiang ibunya. 

Sangka mereka ujian sudah selesai hingga Puan Linda (Dharty Manulang), rakan baik mendiang ibu mereka muncul untuk menuntut hutang yang tertunggak. 3 tahun tidak berbayar menjadikan hutang tersebut setinggi 500 juta rupiah dan mereka tiga-beradik diberikan masa selama seminggu untuk lunaskan atau Hotel Pariban akan berpindah milik. 

Filem Wasiat Warisan arahan Agustinus Sitorus  menggunakan konflik keluarga sebagai tema utama sebagai premis utama. Hubungan ketiga beradik tak lah semurni yang dipaparkan di hadapan orang. Dah lama Ramona dengan Tarida memendam rasa sebab ibu mereka selalu lebihkan Togar dan hantar adik bongsu ke Jakarta untuk kejar impian. Bila berjumpa dengan orang kampung, bangga bercerita tentang Togar. 

Konflik keluarga ni mungkin nampak biasa dan sering berlaku tapi sakit dia tetap terasa apatah lagi dikembangkan dengan baik. Watak Tarida pun selalu menyebut yang dia gagal sebagai kakak sulung bila Ramona dan Togar selalu bertengkar. 

Tak kurang juga dengan watak Ramona yang selalu disyaki bersubahat dengan suami dia, Johan. Dah lah terpaksa kahwin sebab aturan keluarga, dapat pula suami yang suka mabuk dan berjudi. Sedih dengan nasib hidup sampai buruk sangka dengan orang tua sendiri. Kalau dekat tempat Ramona pun tak mungkin lah nak husnuzon sebab beradik yang lain dapat kehidupan yang lagi bagus. Kakak dia beruntung kahwin dengan suami (Dorman Manik) kerja Kerajaan, rajin dan baik pulak tu. 

Filem Warisan Wasiat menggunakan keindahan landskap Toba yang mempunyai lokasi-lokasi popular di sekitarnya dan mengangkat latar masyarakat dari komuniti Batak yang beragama Kristian. Budaya Batak yang dimasukkan tak sekuat Ngeri Ngeri Sedap (2022) tapi pamerkan sisi lain iaitu budaya hiburannya. Dalam Warisan Wasiat ada babak Togar dan rakan-rakan minum tuak di Bisnis Minuman Keluarga Gultom (BMKG) kemudian nyanyikan lagu Batak. Ada lagu yang sedap didengar tapi tak tahu tajuk. 

Naskhah ni sepatutnya diadun dalam genre drama tapi tak kuat sangat pun melainkan perbalahan tiga beradik untuk babak klimaks. Dari awal sampai hujung lebih banyak komedi. Kelakar dan menghiburkan juga babak komedi yang dimasukkan cuma genre drama dia tak memberikan impak dan kesan yang mendalam. 

Bukan sesuatu yang buruk pun cuma konflik seberat ini terlihat santai walhal genre yang dipromosikan adalah drama. Lakonan watak-watak utama dan sampingan juga membantu penceritaan cuma screentime untuk beberapa watak tak sekata lah macam keluarga Tarida yang muncul untuk babak penting atau para pekerja Hotel Pariban. 

Filem Wasiat Warisan terbitan PIM Pictures, Dynamic Pictures dan Layar Production sesuai dijadikan tontonan santai bersama keluarga di hujung minggu. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +1, 6. Genre +0.6, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.6, 10. Personal Thought +0.6 = 7.3/10

Movie Review | Michael (2026)


Pengarah: Antoine Fuqua 
Penulis Skrip: John Logan   
Pelakon: Jaafar Jackson, Nia Long, Juliano Valdi, KeiLyn Durrel Jones, Laura Harrier, Jessica Sula, Mike Myers, Miles Teller, Colman Domingo    
Syarikat Produksi: GK Films, Optimum Productions    
Pengedar:  Lionsgate (United States), Universal Pictures (International)
Genre: Biografi / Musikal 
Durasi Tayangan: 127 minit
Tarikh Tayangan: 10 April 2026 (Berlin), 24 April 2026 (United States)  
Trailer:


Filem Michael bermula pada tahun 1966 di mana Joseph Jackson (Colman Domingo) melatih 5 orang anak lelakinya untuk melakukan persembahan nyanyian dan tarian. Band mereka diberikan nama Jackson 5 dan anak lelaki yang paling muda bernama Michael (Juliano Krue Valdi) menjadi vokalis utama sementara Jermaine (Jayden Harville), Jackie (Nathaniel Logan Mclntyre), Marlon (Jaylen Lyndon Hunter) dan Tito (Judah Edward) menjadi penyanyi latar dan bermain instrument. 

Waktu siang Jackson 5 mengadakan persembahan sementara di waktu malam mereka berlatih sehingga Joseph puas hati dengan persembahan mereka. Katherine Scruse-Jackson (Nia Long) banyak kali mengingatkan bahawa anak-anak mereka perlu ke sekolah namun diendahkan oleh Joseph kerana mereka cuma keluarga miskin di Gary, Indiana jadi perlu bekerja keras untuk mencari wang. 


Pada tahun 1968, Suzanne De Passe (Laura Harrier) lihat bakat Jackson 5 dan tawarkan kontrak bersama syarikat musiknya, Motown. Album Jackson 5 mendapat sambutan lalu mereka sekeluarga berpindah ke sebuah rumah agam di Encino, California. Sejak pertama kali lihat Michael, Motown percaya Michael ada bakat yang luar biasa namun Joseph adalah penghalang besar untuk Michael pergi lebih jauh sebagai artis solo. 

Pada tahun 1978, Michael tandatangan kontrak bersama Epic Records dan terbitkan album solo pertamanya, Off the Wall bersama produser Quincy Jones (Kendrick Sampson). Walaupun albumnya menjadi kegilaan namun Michael tetap perlu mengikut telunjuk Joseph dan dipaksa untuk pergi ke konsert jelajah Jackson 5 bersama abang-abangnya. 


Waktu ni, Michael dah mula menghidap penyakit vitiligo dan Michael sorok warna kulit dia dengan make-up tebal. Michael buat pembedahan plastik kerana insecure dengan hidung yang besar. Perubahan Michael tak disenangi oleh Joseph lalu Michael ikut nasihat pengawal keselamatannya, Bill Bray (KeiLyn Durrel Jones) untuk lantik peguam dan pecat Joseph sebagai pengurus kemudian terbitkan album idamannya. 

Filem biopic Michael Jackson diterbitkan oleh keluarga Michael Jackson sendiri dengan kakaknya, La Toya dan Jermaine di bangku produser sementara John Branca, peguam eksklusif Michael Jackson membantu penceritaan Michael setelah bergerak sebagai artis solo. Filem Michael bermula dari usia Michael seawal 10 tahun hingga kelahiran album Thriller. 


Ruang separuh masa pertama diberikan pada Michael dalam Jackson 5 dan bagaimana dia didera oleh Joseph hingga dia mengalami masalah psikologi yang ketara. Dia membesar tanpa manusia sebagai rakan sebaliknya tikus. Semakin dia membesar, dia mula memujuk Katherine untuk beli llama, zirafah, ular sawa kemudiannya chimpanzee. 


Juliano Krue Valdi cemerlang sebagai Michael dengan emotion range yang pelbagai lantas menguatkan drama dan konflik yang berlaku walaupun peribadi Michael adalah seorang yang sopan dan lemah-lembut. 

Bila masuk watak Michael muda, makin tertarik untuk tengok lakonan Jackson Jaafar, anak saudara Michael Jackson sendiri. I tertarik untuk layan filem Michael dekat pawagam sebab trailer dia menarik dan screen presence Jaafar tersangatlah kuat. Muka seiras satu hal, perwatakan dia persis sama dengan Michael Jackson. Cara dia bercakap, cara dia senyum semuanya sama. Boleh kata kekuatan filem Michael terletak pada kekuatan lakonan Jaafar. 


Berbaloi lah usaha dia berlatih sampai dapat tiru gaya sama seperti Michael, Seronok tengok setiap kali ada baba katas pentas atau menari dekat set. Rasa macam tengok Michael Jackson yang betul. And yes, brings back the nostalgia and childhood memories. 

Michael Jackson mungkin bukan sebuah nama yang asing dalam industri muzik era 80-an hingga millenium tapi I tak lah tahu dan kenal sangat kehidupan peribadi dia sebab banyak sangat kontroversi. Bila filem biopic dia keluar I was like why not kan? Walaupun ada banyak yang I tahu tentang Michael Jackson dari filem Michael tapi ada banyak juga persoalan yang tak terjawab. 


Macam watak Janet Jackson yang tak disebut langsung sedangkan dia agak popular dan rapat dengan Michael Jackson. Janet yang main Twister dengan Michael bila semua beradik lain sibuk dengan hal lain. Watak Michael rapat dengan Katherine tu boleh faham lah sebab ibu dia selalu pertahankan anak-anak tapi kenapa adik-beradik lain macam asing dengan Michael? Macam mana Jermaine boleh keluar dari Jackson 5 tapi Michael stuck dekat situ. Kenapa Michael boleh ikut nasihat dari Bill sedangkan pengarah tak tunjuk pun pergerakan relationship Michael dengan Bill sampai boleh pergi ke tahap tu. 

Kalau dengan John Branca (Miles Teller) boleh faham lah sebab dia ada pengalaman dan kredibiliti sebagai peguam industri hiburan. Watak John antara watak yang solid juga dalam Michael sebab dia tahu buat kerja dan kenal Michael. Bila Michael tak boleh deliver apa dia nak, John akan jadi spokeperson dan pastikan Michael dapat apa yang dia nak. 


Tapi semua persoalan tu akan tenggelam sebab terpesona dengan inspirasi Michael dan semua lagu yang dimasukkan dalam filem. Goosebumps tengok performance Billie Jean dengan moonwalk, Thriller dalam iconic red jacket, Beat It dan performance Bad.  Selain lagu Michael Jackson, ada juga beberapa lagu popular dari Jackson 5 yang dimasukkan. 

Sinematografi dari Dion Beebe yang beberapa kali memenangi anugerah di Oscar dan BAFTA mendukung penceritaan dan screenplay. Kelakar tengok babak Katherine bergaduh dengan Joseph kemudian kamera bergerak ke arah zirafah yang berada di tingkap bilik. Pretty sure zirafah tu dah dengar banyak gossip dalam rumah tapi tak boleh bagitahu dekat Michael. Suka dengan beberapa hint yang dimasukkan macam nota yang ditulis oleh Michael - Mama-say, mama-sa, ma-ma-ko-ssa. Kalau tak tengok filem Michael, I tak mungkin tahu yang ayat tu dari lagu Wanna Be Startin’ Somethin’, selama ni tahu dari lagu Don't Stop The Music - Rihanna 😩😭. 


Banyak details yang dimasukkan dalam filem Michael macam interior rumah Jacksons di Gary hingga ke California. Kalau perasan, boleh nampak perubahan pada muka Michael Jackson seiring dengan latar masa yang dimasukkan. Hairstyle dia beberapa kali berubah macam rambut afro kemudian Michael buang tahi lalat dia lepastu buat rhinoplasty. Masa babak dia fokus dengan album Thriller, dia buat pembedahan kali kedua bila ada plaster dekat hidung. Ada babak dia ada freckles kemudian make-up tebal sebab vitiligo. 

Watak-watak sampingan yang dimasukkan mungkin tak dapat screentime yang banyak tapi seronok lah bila tengok watak yang dikenali macam pengarah musik video Thriller, make-up artist Thriller, pengurus Michael Jackson ketika di bawah label Epic Records, Prince dan ramai lagi. 



Naskhah biopic Michael arahan Antoine Fuqua ada kelemahan dan kekuatannya tersendiri dan I boleh faham kenapa ada yang tak suka atau rasa filem ni bosan. Pace dia tak konsisten, ada masanya laju dan sebaliknya. Watak Michael sendiri pun pendiam dan sopan jadi emosi dia banyak dizahirkan melalui objek lain atau lagu yang dimasukkan. Macam dia bengang dengan Joseph tapi pengarah masukkan percikan api untuk tunjuk emosi tu. 

Tapi kalau memang peminat Michael Jackson dan tertarik dengan apa yang ditonjolkan oleh Jaafar Jackson, I think you will be okay just like me and the rest of the audience dalam Hall 9 GSC OU semalam. Filem Michael akan ada sekuel tapi tak pasti apa yang bakal diceritakan sebab filem Michael sendiri tak mampu masukkan banyak kontroversi yang berlaku dalam kehidupan penyanyi lagenda tersebut. So can’t wait! 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 8.7/10

‘Singer 2026 – Malaysia’ Bawakan Jaclyn Victor & Vanessa Reynauld Sebagai Pesaing

Saturday, 9 May 2026

‘Singer 2026 – Malaysia’ Bawakan Jaclyn Victor & Vanessa Reynauld Sebagai Pesaing | Astro umum enam penyanyi utama, membuka lembaran baharu persaingan muzik di Malaysia

Kuala Lumpur, 9 Mei 2026 - Dua bintang vokal tanah air, Jaclyn Victor dan Vanessa Reynauld, bakal menggalas cabaran besar apabila telah dipilih sebagai peserta dalam program pertandingan muzik bertaraf antarabangsa, Singer 2026 - Malaysia. Malah, kehadiran kedua-dua penyanyi ini bukan sahaja mencuri perhatian peminat, namun dilihat sebagai pesaing berbisa di pentas ‘Singer 2026 - Malaysia’.

Dibawakan khas oleh Lausanjee sebagai penaja perdana dan disokong oleh Mah Sing sebagai penaja utama, program ini telah mencetuskan perbualan hangat di media sosial walaupun belum bersiaran. “Siapakah penyanyi utama?” menjadi antara topik paling hangat diperkatakan. Bagi merungkai tanda tanya para peminat, satu majlis pelancaran rasmi telah berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur hari ini, menghimpunkan peminat dan pencinta muzik dalam sebuah pengalaman muzik yang imersif dan dekat, sekali gus menyaksikan detik bersejarah penyanyi-penyanyi hebat Malaysia melangkah ke pentas gemilang.

Selain Jaclyn Victor dan Vanessa Reynauld, majlis tersebut turut mengumumkan penyanyi utama lain termasuk Geraldine Gan, Uriah See, Nicole Lai dan Priscilla Abby. Keenam-enam penyanyi ini tampil dengan gaya tersendiri serta gabungan kekuatan vokal dan populariti, sekali gus menghangatkan suasana pentas dalam membuka tirai persaingan musim ini.

Diterbitkan menerusi kerjasama antara Astro dan Mango TV, program ini membuka lembaran baharu dalam kolaborasi hiburan serantau selain mencerminkan usaha Astro untuk mengetengah bakat tempatan, sekali gus memberikan platform lebih besar kepada bakat tempatan untuk melangkah ke peringkat antarabangsa. Pemenang pertandingan ini berpeluang mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa sebagai sebahagian daripada francais Singer.

Menariknya, pertandingan ini masih membuka dua slot terakhir menerusi episod pertama, yang akan menampilkan hampir 30 penyanyi dalam pusingan penyingkiran sengit. Hanya dua peserta terbaik akan mara untuk melengkapkan barisan Top 8, sebelum saingan sebenar bermula.

Bermula episod kedua, semua peserta akan berentap secara langsung dalam persembahan vokal yang menguji ketahanan, teknik serta karisma pentas. Setiap persembahan akan dinilai oleh panel penonton, menjadikan persaingan lebih telus dan mencabar.

Sebagai edisi pertama yang memberi fokus kepada Malaysia, ‘Singer 2026 - Malaysia’ bukan sekadar pertandingan tetapi juga platform untuk mengetengahkan bakat penyanyi tempatan. Dalam konteks ini, penyertaan Jaclyn Victor dan Vanessa Reynauld membuktikan bahawa dengan muzik, ia mampu menyatukan peminat dari berbagai latar belakang berbeza.

Dengan reputasi vokal yang mantap dan pengalaman pentas yang luas, kedua-dua penyanyi ini dijangka akan memberi saingan sengit, sekali gus bakal memberikan tekanan dan cabaran luar biasa kepada para peserta yang lain.

as

Program ini akan bersiaran sebanyak enam episod bermula 30 Mei 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam di Astro AEC (Saluran 306), Astro GO, On Demand dan sooka. Dapatkan Pek Hiburan Astro One yang menawarkan lebih 90 saluran hiburan dengan harga serendah RM49.99 sebulan. Nikmati pelbagai kandungan popular termasuk ‘Singer 2026 - Malaysia’ serta program terbaik dari China, Hong Kong, Taiwan, Korea, Singapura dan Malaysia. Layari astro.com.my atau WhatsApp 03-9543 3838 untuk maklumat lanjut.

Menjelang kemunculannya di pawagam, Polong sudah mula mencetuskan fenomena dan gangguan di media sosial. Sejurus poster dan trailer rasmi filem seram thriller tempatan itu dilancarkan pada 7 Mei lalu, ruang digital mula dibanjiri pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengakui rasa seram, tidak selesa dan meremang selepas menonton.

Antara yang paling mencuri perhatian adalah komen netizen yang menyifatkan trailer filem tersebut sebagai “filem wajib tonton ni”, malah ada yang mengakui sudah mula rasa tidak senang duduk walaupun hanya menonton beberapa minit sedutan rasmi.

“Baru trailer dah meremang” tulis seorang pengguna media sosial, manakala seorang lagi meninggalkan komen, “Trailer pun dah goosebumps. Hope filemnya memang tak mengecewakan”.

Bukan itu sahaja, ada juga yang memuji elemen visual dan sinematografi yang dianggap mempunyai aura seram tersendiri. “Ini barulah rencah filem seram. Terbaik Tuan Director,” juga komen yang mula tular dan dikongsi semula oleh pengguna lain.

Malah kombinasi elemen horror, gore dan visual sinematik turut menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat filem seram tempatan. Ada yang menganggap Polong berpotensi menjadi antara filem seram tempatan paling keras tahun ini berdasarkan suasana gelap dan disturbing yang dipaparkan menerusi trailer rasmi.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB), filem ini turut mendapat sokongan pengedaran daripada 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran bersama Primeworks Studios, menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Jun Lojong, Namron dan Nadiya Nisaa.

Polong mengisahkan Fatima, seorang wartawan bercita-cita tinggi yang tanpa sengaja membongkar kisah silam seorang bomoh wanita bersiri Maria Hadi, juga pernah cuba menebus dosa di penghujung hayatnya. Namun, pencarian kebenaran itu bukan sahaja mendedahkan jenayah lampau, malah membebaskan sesuatu yang jauh lebih berbahaya, entiti yang pernah dipelihara dan cuba dikawal oleh Maria. 
Polong kini semakin mencetuskan rasa ingin tahu penonton menjelang tayangan rasminya. Jika trailer sahaja sudah cukup untuk membuat ramai meremang…sejauh mana pula gangguan sebenar yang bakal menanti di pawagam nanti? 

Polong bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026.

#Polong #FenomenaPolong #DiaKembali

Sejak mula ditayangkan di pawagam, Pewaris Susuk semakin menjadi bualan ramai bukan sahaja kerana elemen seramnya tetapi juga beberapa babak yang disifatkan penonton sebagai melekat di kepala walaupun selepas filem tamat.

Berbeza dengan kebanyakan filem seram yang terlalu bergantung kepada jumpscare, Pewaris Susuk tampil dengan pendekatan yang lebih perlahan, gelap dan bermain dengan emosi penonton. Ada babak yang bukan sekadar menyeramkan tetapi membuat satu pawagam terus terdiam. Ini antara 5 scene paling diperkatakan selepas tayangan.

1. Lagu Dari Sebalik Pintu Yang Buat Satu Pawagam Senyap

Antara babak paling kuat dalam filem ini hadir melalui situasi yang cukup sederhana iaitu bunyi lagu perlahan dari sebalik sebuah pintu tertutup. Tanpa kemunculan mengejut atau bunyi yang terlalu kuat, scene ini berjaya membina rasa tegang secara perlahan sehingga membuatkan ramai penonton senyap dan fokus sepenuhnya pada skrin. Suasana sunyi, ruang sempit dan misteri di sebalik pintu itu menjadikan babak ini terasa sangat mengganggu.

2. Scene Maya & Watak Trisha Ooi Yang Sarat Emosi


Satu lagi moment yang kuat melibatkan Maya bersama watak lakonan Trisha Ooi selepas satu kejadian tragis berlaku. Hanya berlatarbelakangkan sebuah bilik dan suasana menunggu urusan jenazah diselesaikan, scene ini tidak memerlukan dialog berlebihan untuk memberi kesan. Pendekatan minimal yang digunakan menjadikan emosi dalam babak tersebut terasa lebih real dan berat. Ramai penonton mengakui suasana sunyi dalam scene itu sebenarnya lebih menyeramkan daripada jumpscare biasa.

3. Seroja Lari Ke Hutan, Scene Yang Buat Penonton Sesak Nafas


Watak Seroja yang dibawakan oleh Che Puan Sarimah Ibrahim sememangnya antara karakter paling misteri sepanjang filem berlangsung. Namun, satu sequence ketika Seroja melarikan diri ke dalam hutan menjadi antara babak paling mendebarkan dalam filem ini. Gabungan visual gelap, bunyi persekitaran dan emosi panik yang dibawakan beliau membuatkan ramai penonton terasa seolah-olah mereka turut terperangkap bersama watak tersebut.

4. Babak Ritual Yang Ramai Kata “Tak Sedap Tengok”


Selain elemen susuk dan mistik, Pewaris Susuk turut menampilkan satu babak ritual yang kini hangat diperkatakan di media sosial. Apa yang membuatkan scene ini begitu mengganggu bukan kerana gore semata-mata tetapi suasana perlahan dan suram yang dibina sepanjang sequence berlangsung. Ramai menyifatkan mereka seperti sedang melihat sesuatu yang tidak sepatutnya disaksikan. Babak ini juga antara yang paling banyak menerima reaksi spontan di pawagam.

5. Closing Scene Rosyam Nor Yang Tinggalkan Kesan


Antara moment paling kuat dalam Pewaris Susuk pastinya babak penutup melibatkan watak lakonan Datuk Rosyam Nor. Tanpa dialog panjang atau aksi dramatik berlebihan, scene terakhir itu berjaya meninggalkan rasa misteri dan persoalan yang terus bermain di fikiran penonton selepas keluar pawagam.

Ia menjadi penutup yang cukup kuat untuk sebuah filem yang sarat dengan tema kuasa, warisan dan rahsia gelap.

Gabungan elemen psikologi, emosi dan mistik menjadikan Pewaris Susuk bukan sekadar filem seram biasa tetapi tetapi sebuah pengalaman yang masih bermain di fikiran penonton meskipun lampu pawagam sudah dinyalakan.

Pewaris Susuk kini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

#PewarisSusuk #SehidupSemati