Wedding Teha, Book Fair Setia City Mall & DOPA

Friday, 9 January 2026

Dah lama tak masuk Klang gara-gara takut nak drive dekat sini walaupun weekend sebab area sini selalu jammed. Disebabkan wedding Teha, kita penuhkan jemputan supaya Teha tak merajuk bila habis honeymoon nanti. Nak pergi ke Inara Grand Gerbang Hall ni pun senang je lah even parking pun luas. Beria datang awal sebab takut susah nak parking rupanya okay je sebab kawasan dia luas. 




Deco dekat dalam pun cantik tapi tak bergambar banyak pun sebab segan lah nak pergi sana sini ambik gambar. Kawan office yang lain pun tak datang lagi masa ni so kita fokus makan je dulu sebelum pengantin masuk bersanding. 

Meja kitorang dapat betul-betul sebelah kaunter makanan. Masa nak ambik tu macam ehhh sikit lah sebab yang tukang serve nasi tu emo. Nak minta nasi lebih sikit pun tak berani sebab dari jauh dah nampak muka emo dia. Dah ambil lauk dengan air ingatkan boleh makan dengan tenang tapi meja tu berkongsi dengan saudara pengantin so ramai yang datang ambil gambar. 


Makanya kitorang plan nak makan cepat lepastu bergerak ke Book Fest sebab tak selesa. Nak stay lama pun tak boleh sebab hall tu kecil, placement meja pun rapat-rapat. Bila peak hour memang menguji jugak lah. Lepas ambil gambar dekat photobooth, ambil goodies terus bye bye. Malas nak beratur ambil gambar dengan pengantin sebab confirm kena tunggu lama. 

Jarak masa dari wedding Teha dengan Book Fair dekat Setia City Mall tu 30 minit, kira okay lah tak jauh sangat. Ingatkan Book Fair tu buat dekat SACC Mall so plan nak dinner dekat situ tapi jauh sikit dua tempat ni. Masuk je dekat dalam ni terus nampak Izzati Suza tengah layan fans dekat booth dia. 





Cantiknya Izzati Suza >.<








Book Fair dekat sini tak lah besar sangat tapi publisher ternama memang wajib ada lah cuma kitorang tak beli pun novel dekat sini memandangkan diskaun tak banyak macam PBAKL. So kitorang cuci mata je tengok kot-kot ada novel baru. Selain buku, ada barangan lain juga dijual dekat sini. 














Disebabkan tak kenyang makan dekat kenduri, kitorang mencari apa yang boleh dimakan dekat book fair ni. I beli masala chai tapi panas teruk sangat sampai terbakar lidah. Menyesal ambil yang panas, patutnya ambil yang sejuk je sebab cuaca dekat luar pun panas. 

Tengah jalan tengok makanan ternampak abang tu angkat donat dari kuali. Punyalah gebu donat dia sampai kitorang terwoaaaa depan dia. Rupanya donat tu DOPA, no wonder lah gebu sangat. Sebab gebu, kitorang beli sorang satu. Sedapppppp!! 


Orang lain pergi pesta buku beli buku tapi kitorang borong makanan sampai penuh tangan T.T

AKHIRNYA! THE VOICE OF HIND RAJAB KINI DITAYANGKAN DI KEDAH & KUANTAN! | INI BUKAN SEKADAR TAYANGAN. INI BUKTI SUARA KITA!

Orang Kedah & Pahang, berita baik untuk anda semua!

The Voice of Hind Rajab kini rasmi ditayangkan di GSC di lokasi berikut:

📍 Aman Central

📍 Amanjaya Mall

📍 Kuantan City Mall

Ini membuktikan bahawa apabila kita bersuara, suara itu didengari melalui sokongan dan solidariti yang berkesan!

Tak banyak negara diberi peluang menayangkan filem ini.

Kita antara yang terpilih.

Ayuh buktikan kita peduli, demi kemanusiaan.

Jom penuhkan pawagam dan media sosial dengan filem ini!

Tempah tiket, tonton bersama dan kongsikan pengalaman anda di media sosial supaya lebih ramai orang tahu tentang filem ini.

Dan siapa tahu, dengan sokongan berterusan, Kulim & Perlis pula menyusul selepas ini🤍

#GerakkanSuaraMalaysia
#FilmTheVoiceOfHindRajab
#HindRajabSuaraTerakhir
#HindRajabOscar2026

SERUAN UNTUK RAKYAT MALAYSIA! | #GERAKANSUARAMALAYSIA, TIBA MASA UNTUK KITA BERSATU MELALUI THE VOICE OF HIND RAJAB

Mula ditayangkan di pawagam Malaysia semalam 8 Januari 2026, The Voice of Hind Rajab mengangkat kisah kemanusiaan seorang kanak-kanak dari Gaza. Filem ini memberi fokus kepada usaha menyelamat, koordinasi misi bantuan serta realiti konflik yang menguji nilai sejagat.

Sambutan awal penonton di Malaysia bermula dari malam tayangan perdana,  menunjukkan maklum balas dan komen yang positif.  Permintaan yang meningkat telah mendorong kepada penambahan lokasi tayangan daripada 17 kepada 29 pawagam di seluruh negara, satu bukti bahawa rakyat Malaysia bersedia menyokong filem ini bukan sekadar sebagai tontonan, tetapi sebagai satu bentuk solidariti dan suara kemanusiaan. Terima kasih Malaysia!

Di peringkat antarabangsa, The Voice of Hind Rajab telah mencatat kejayaan luar biasa apabila Perancis muncul sebagai pasaran dengan kutipan box office tertinggi, mencecah $2,389,340, semenjak hari pertama tayangan pada 26 November 2025 (Sumber: Box Office Mojo). Kejayaan ini membuktikan bahawa mesej yang dibawakan filem ini diterima merentasi sempadan agama, budaya dan bahasa.

Kejayaan di Perancis menjadi penanda aras, meskipun umat Islam hanya membentuk sekitar 10 peratus daripada populasi negara itu. Sebaliknya, Malaysia yang majoriti penduduknya sekitar 65 peratus beragama Islam dan lantang menyuarakan isu Palestin dan penentangan terhadap genosid,  mempunyai keupayaan jauh lebih besar untuk mencipta impak melalui sokongan nyata penonton. 

Jika Perancis mampu mengangkat filem ini ke tahap kutipan tertinggi, Malaysia juga mampu membuktikan keseriusannya. Perancis telah membuktikannya. Kini giliran Malaysia!

Malaysia selama ini dikenali sebagai negara yang konsisten menyokong isu kemanusiaan, khususnya berkaitan Palestin. Kini, sokongan itu boleh diterjemahkan melalui satu tindakan yang jelas. Setiap tiket yang dibeli adalah suara anda, satu bentuk sokongan, dan setiap pawagam yang penuh menjadi mesej bahawa Malaysia memilih untuk tidak berdiam diri.  Ayuh Malaysia! Kita penuhi panggung sekarang!

Media Prima akan menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Hayati inspirasi kisah benar yang menyentuh jiwa dan menyentak emosi ini di pawagam berdekatan anda. Jangan pernah berhenti. Hari ini, kitalah suara mereka.

#GerakanSuaraMalaysia #TheVoiceofHindRajab


Kuala Lumpur, 9 Januari – Media Prima menyemarakkan sambutan Tahun Baharu Cina 2026 menerusi kempen CNY Must Be Good, membawa kemeriahan perayaan ke tahap yang lebih istimewa melalui gabungan program televisyen, aktiviti komuniti dan kandungan digital yang diraikan bersama rakyat Malaysia di seluruh negara!

Sebagai simbol semangat, tenaga dan keberanian Tahun Kuda, maskot baharu Xiao Max diperkenalkan sebagai wajah utama kempen tahun ini. Xiao Max turut digandingkan bersama 12 duta kempen (CNY Buddies) iaitu Owen Yap, Ong Ching Yee, Tan Chia Yong, Tan Ley Teng, Orange Tan, Rickman Chia, Natalie Ng, Desmond Tey, Ke Qing, Loh Chen Yuk, Charlotte Seow dan Emily Chua, sekali gus menjanjikan sambutan Tahun Baharu Cina yang lebih meriah dan bermakna.

Kempen CNY Must Be Good ini diterajui oleh 8TV, saluran bahasa Cina No.1 di Malaysia, dengan sokongan rakan rasmi daripada pelbagai platform seperti saluran radio Eight WuXian, portal video Tonton, laman portal Rojaklah, Viralcham dan Tantannews (TTN) serta rangkaian beli-belah WOWSHOP. 

Lagu tema baharu ‘新年 Must Be Good’ (Xīn-nián Must Be Good) menghidupkan kempen dengan menyatukan 12 duta kempen bersama dua keluarga juara daripada program Family Singing Show Season 6, sambil menyuntik elemen kekeluargaan dan keceriaan yang dekat di hati penonton.

Lebih istimewa, video muzik lagu tema tahun ini menampilkan kemunculan semula kesemua maskot zodiak Media Prima sejak tahun 2015, melengkapkan koleksi penuh 12 zodiak buat julung kalinya. Lagu ini kini boleh ditonton dan didengari menerusi pelbagai platform Media Prima.

Sebagai pelengkap kempen, pelbagai barangan edisi terhad kini tersedia di pasaran, termasuk plush toy, gelang kunci, t-shirt, tote bag, tuala dan sarung kaki. Malahan, untuk tahun ini akan diperkenalkan set eksklusif ‘8TV 12 Zodiac Keychain Collection’ yang sesuai dijadikan koleksi dan cenderamata perayaan. Dapatkan sekarang di kedai buku Popular, laman web rasmi atau platform e-dagang terpilih, sementara stok masih ada.

Kemeriahan Tahun Kuda diteruskan bersama 8TV, dengan pelbagai program televisyen dan aktiviti interaktif untuk penonton di seluruh negara. Fun Together 2026 membawa kegembiraan kepada 16 komuniti Cina di seluruh negara, manakala CNY Mega Show 2026 menghimpunkan lebih 30 selebriti tempatan untuk persembahan khas. Program menarik lain termasuk Nestum Ho Chak! CNY Special, A New Journey CNY Special 2026, As You Wish 2026 dan CNY Feng Shui Special 2026. Drama My Star Family 3 lakonan Emily Chan dan Thomas Kok pula menyajikan kisah komedi keluarga selebriti yang dekat dengan realiti masyarakat tempatan.

WOWSHOP pula memulakan jualan khas sejak 18 Disember 2025, menawarkan barangan keperluan perayaan pada harga terendah, diskaun sehingga 50% dan penghantaran percuma. Selebriti tempatan turut tampil secara langsung untuk berkongsi produk pilihan mereka, menjadikan pengalaman membeli-belah lebih interaktif.

Eight WuXian menampilkan drama bersiri vertikal menghiburkan dan menyentuh hati. TantanNews (TTN) memperkenalkan program inforia edisi khas Tahun Baharu Cina. Rojaklah berkongsi resipi kuih perayaan bersama artis jemputan, manakala Viralcham membawa penonton menjelajah dekorasi Tahun Baharu Cina di pusat beli-belah.

Tahun ini, penonton juga boleh menyertai Pertandingan MV Kreatif yang terbuka kepada murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, dengan hadiah keseluruhan bernilai RM20,000. Penyertaan dibuka hingga 25 Januari 2026. Selain itu, kerjasama 8TV bersama Kinohimitsu menerusi kempen CNY Blessing Gift Pack akan menyampaikan hadiah istimewa kepada penerima bertuah di enam negeri terpilih.

Kempen CNY Must Be Good mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakan penaja termasuk Kinohimitsu, Jasmine Food, Loong Kee Dried Meat, Daia, Nutox, CUCKOO, BRAND’S, Nestum, Darlie, Blackmores, NESCAFÉ Gold, Snickers, Metalogy Academy, IN2IT, Sungei Wang Plaza dan James Lai Fengshui Astrology.

Layari akaun rasmi media sosial 8TV di Facebook @8TVbadukongjian, Instagram @8tvmalaysia dan juga Facebook & Instagram @bestoflocal8TV untuk mengetahui maklumat lanjut tentang kempen CNY 2026. Hangatkan perbualan anda di platform sosial media dengan #CNYMustBeGood. 

TV3 BELANJA GUNTING RAMBUT UNTUK MURID? | REBUT PELUANG GUNTING RAMBUT BERSAMA “NIMROC GUNTING, GAYA TV3” SEMPENA MUSIM SEKOLAH BAKAL TIBA!

Kuala Lumpur, 8 Januari 2026 – Musim kembali ke sekolah bakal tiba! Bagi meringankan beban keluarga serta menyemarakkan semangat permulaan tahun baharu, TV3 dengan kerjasama NIMROC mengajak orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) “NIMROC Gunting, Gaya TV3”, yang akan berlangsung pada Sabtu ini, 10 Januari 2026 di NIMROC Maluri.

Berteraskan mesej “Ringankan Beban, Kekalkan Gaya,” program ini hadir sebagai inisiatif prihatin yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada kanak-kanak berusia 7 hingga 10 tahun daripada keluarga kurang berkemampuan, agar mereka dapat melangkah ke alam persekolahan dengan penampilan kemas dan keyakinan baharu.

Bukan sekadar sesi gunting rambut biasa, program ini turut diwarnai dengan suasana meriah hasil kehadiran artis jemputan yang bakal menambah seri acara. Kehadiran Maskot Ejen Ali pula membawa keceriaan tersendiri, menjadikan pengalaman ini lebih istimewa untuk ibu bapa dan anak-anak, dalam suasana santai, mesra dan penuh gelak tawa.

Inisiatif ini diwujudkan untuk memastikan setiap kanak-kanak dapat memulakan hari pertama persekolahan dengan penuh keyakinan, tanpa terbeban dengan kos atau persiapan asas. Lebih daripada itu, program ini mencerminkan komitmen berterusan TV3 dan NIMROC dalam menyokong komuniti serta mendekati rakyat melalui inisiatif yang benar-benar memberi impak positif.

Orang ramai dijemput hadir bersama anak-anak dan mengambil peluang untuk menikmati perkhidmatan istimewa yang disediakan. Program ini terhad kepada 100 murid sahaja, jadi pastikan anda hadir awal bagi memastikan anak-anak tidak terlepas pengalaman menyeronokkan ini!

Tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang ini, bawa anak-anak anda bersedia menyambut musim sekolah baharu dengan penuh gaya dan senyuman. Ayuh sertai TV3 dan NIMROC dalam memulakan musim kembali ke sekolah dengan semangat baharu melalui “NIMROC Gunting, Gaya TV3”.

Untuk info terkini dan kandungan eksklusif, ikuti TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat @dramasangat.

Permulaan Tahun 2026 Yang Merepek


Masuk tahun baru orang lain pergi gym tak pun jogging dekat luar tapi I ajak adik-adik pergi The 3rd Malaysia International Muslim Food Culture and Tourism Festival dekat OU. Merepek bukan? Kita ada 364 hari untuk turunkan berat atau capai azam kitar semula tu. 

Ni semua sebab terpengaruh tengok video TikTok pasal food festival ni sebab tu jejakkan kaki pukul 10 pagi dekat OU tapi malangnya gerai pun tak buka lagi. Peniaga baru susun arang, ada yang baru beli bahan mentah, ada yang tengah susun barang dekat gerai. Kitorang pergi pagi sebab tak nak bersesak sebab food fest ni kecil je tapi tak bijak juga rupanya keputusan kitorang sebab gerai pun tak buka lagi. 


Nak tunggu gerai dan makanan siap pun malas sebab dua kali kitorang pusing, dua kali juga tak tertarik untuk beli apa-apa. Semua menu ni ada dekat Pasar Seni kecuali kek bunga tu. Lagi satu hal sebab masa ni dah start hujan gerimis. Takkan nak mulakan tahun baru dengan demam kan?

Sempat lah merasa tester untuk snek yang popular dekat China ni. Bila makan rasa macam coating ayam gunting yang dah lembik. Sedap je tapi rasa dia similar sangat rupanya bila tengok nama dia, betul lah tepung campur air je pastu goreng kemudian gaulkan dengan bijan. 


Alang-alang dah ada dekat OU kitorang nak breakfast dekat Teh Tarik Place sebab teh tarik dia sedap tapi baru tahu yang rebrand kepada Teh Tarik Club. Restoran pun dah bertukar vibe, nampak eksklusif dan elegan sikit. Sebelum ni nampak macam warung dengan aestetik tradisional. 






Rebrand dan tukar interior pun sama je dengan yang lama sebab service tetap perlahan. Nasib baik teh tarik dia masih padu. Kitorang order Nasi Kerabu Ayam Percik, Roti Sarang Burung Crispy dengan Nasi Goreng Kampung. 


Nasi Kerabu dia unik sebab ada kerabu mangga tapi nasi kerabu tetap tak best kalau tak ada solok lada. Bagi separuh ayam percik dekat adik sebab terlampau besar, tak larat nak makan. Sambil makan sambil menyembang azam tahun baru untuk 2026. 

Azam I tahun ni adalah untuk berbelanja secara berhemah. Memandangkan ada banyak barang dari media kit yang tak guna lagi, I akan guna sampai habis dulu. Tak nak beli kasut atau baju dah, nak pakai yang ada sampai reput. 


👀: Cantik jugak buat ruang macam ni dekat dapur rumah kan? 
😒: Merepek. 


Lepas habis makan, kitorang pergi jalan-jalan dekat AEON nak beli kambing perap, nak makan masa dinner nanti. Bila naik bahagian wanita, I beli dua pasang kasut sebab ada sale. Dan begitu lah, azam I musnah terkorban. 

Dekat awal entri tadi I kata tak nak sakit pada tahun baru kan? Lepas makan kambing perap malam tu, I kena gastrik teruk sampai demam muntah-muntah. I can only eat apples during weekends. What a way to start the new year T.T


Selalunya bila hujung tahun ada makan-makan tapi tahun 2025 tak ada kemudian ganti dengan hi-tea di Onde-Onde Citta Mall. Datuk minta order kuih-muih dengan keropok lekor tapi tak ada keropok lekor so kitorang gantikan dengan terung goreng, cucur sayur dan tauhu bakar. Untuk minuman, masing-masing punya pilihan. 

Hi-tea start pukul 3.30 petang tapi kitorang sampai awal sikit sebab nak beli kek hari jadi untuk Aiesyah. Depan Onde-Onde ni ada Secret Recipe jadi mudah lah urusan nak membelinya, tak terkejar-kejar nak pergi dua tempat. Lepas meeting baru nak celebrate so minta staff Onde-Onde Citta Mall simpankan dalam freezer diorang. 


👨: kak ana, nak order heavy sikit boleh ke?
😑: Aikkkk tadi dalam group kan I dah kata order kuih je. you reply paling laju kata baiklah
👨: ohhhhh yang tu saya kata kak ana baik orangnya
😑: eiii ngade-ngade lah, tanya Datuk sendiri
👨: alaaaa tolong lah tanya
😑😑😑😑


Sambil meeting berjalan, sambil makanan sampai dekat meja. Bila ais kepal coklat sampai Datuk tegur haa tu apa tu? Ais kepal datuk 😝



I tak fokus sangat pun sebab dah bosan dengar cerita pasal RRM. Macam ni ek rasanya bila jadi pra-senior. Baru nak masuk 7 tahun dekat RRM so kita pra je dulu. Ada yang lebih senior walaupun beza beberapa bulan je dengan kita hshshs




Masa ni tak tahu lah sedap ke tidak semua makanan dekat Onde-Onde Citta Mall ni sebab baru lega dari gastrik so tak nak sembarang makan. I order air kosong je masa ni pastu rasa terung goreng dengan cucur sayur. Dua-dua pun sedap tapi terung goreng tu ada rasa belacan sikit. Kalau makan dengan nasi okay kot tapi kalau makan cenggitu je macam hmmm sikit sebab tak suka belacan. 

Datuk order pisang goreng jugak tapi tak sempat nak ambik gambar sebab sekejap je dah habis. Pisang goreng dia serve dengan aiskrim vanilla. 



Nasib korang lah duduk depan Datuk, kena pura-pura fokus dengan apa dia cakap, Aiesyah dekat belakang melantak sampai habis semua makanan. 

Kesimpulan dari meeting hi-tea ni untuk tahun 2026 semua kena bergerak dengan lebih pantas dan agresif supaya firma RRM boleh jadi gemilang balik. Kesimpulan dia sama je dengan setiap meeting yang I attend, bezanya tukar tahun je T.T

Anyway, habis hi-tea kitorang celebrate birthday Aiesyah, thanks to staff Onde-Onde yang serve kek dan plates untuk makan. Terima kasih sudi bantu walaupun celebrate biasa-biasa je. Ucapan Aiesyah, dia happy dah masuk umur 25 dan harap frontal lobe dia fully developed. I harap Aiesyah stay happy and healthy, make lots memories with colleagues, family and loved one 🌸🌸🌸

THE VOICE OF HIND RAJAB, SUARA TERAKHIR YANG TIDAK AKAN PERNAH PADAM

Wednesday, 7 January 2026

Kuala Lumpur, 6 Januari 2026 – Dalam dunia yang terus berlari tanpa henti, ada satu suara kecil yang pernah berhenti - menunggu bantuan yang dijanjikan, memanggil dalam ketakutan, berharap akan ada yang datang.  Namun, bantuan itu tak kunjung tiba.  

Suara yang kekal bergema, menuntut perhatian dan empati.  The Voice of Hind Rajab bukan sekadar sebuah filem. Ia adalah gema terakhir seorang anak kecil yang meminta tolong, sebuah rakaman sebenar yang kekal hidup dalam ingatan dunia. Filem ini membawa penonton menyusuri detik-detik akhir Hind Rajab, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta di tengah konflik, hanya ditemani suara di hujung talian dan harapan yang semakin pudar,  sebuah kisah yang tidak dicipta tetapi direkodkan oleh sejarah. 

Diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films dengan Primeworks Studios sebagai pengedar serta rakan pemasaran rasmi, filem ini diarahkan oleh pengarah tersohor Tunisia, Kaouther Ben Hania, dan dibintangi barisan pelakon antarabangsa Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury.

Filem ini berasaskan peristiwa sebenar pada 29 Januari 2024, apabila sukarelawan Palestine Red Crescent menerima satu panggilan kecemasan—bukan daripada orang dewasa, tetapi daripada seorang kanak-kanak yang tersepit antara hidup dan mati. Di hujung talian itu, Hind menceritakan kedudukannya, siapa yang bersamanya, keadaan kereta yang ditembusi tembakan, dan kereta kebal yang semakin menghampiri. Suaranya kecil, tetapi penuh ketakutan. Penuh harapan. Penuh penantian.

Berteraskan rakaman panggilan kecemasan sebenar yang asli, tanpa suntingan dan tanpa lakonan, The Voice of Hind Rajab tampil sebagai sebuah memorial audio visual yang menghiris perasaan.  Setiap detik disampaikan dengan kejujuran yang menyakitkan—kerana ia benar-benar berlaku.  

Mengulas detik penting yang membentuk keseluruhan pembikinan filem ini, Kaouther Ben Hania menyatakan bahawa pengalaman mendengar suara Hind buat kali pertama kekal terngiang dalam ingatannya.

“Saat pertama kali saya mendengar suara Hind Rajab, perasaan itu amat menghantui, rasa tidak berdaya. Kesedihan, kemarahan dan keputusasaan, bercampur menjadi satu. Semua rakaman suaranya diserahkan kepada saya oleh Bulan Sabit Merah Palestin, dan mendengarkan suara seorang kanak-kanak menerangkan keadaan di sekelilingnya sambil menunggu bantuan yang tidak pasti… itu adalah pengalaman yang sangat berat.  Dalam rakaman tersebut, Hind menceritakan di mana dia berada, siapa yang bersamanya, keadaan kereta serta kereta kebal yang semakin menghampiri. Suara itu begitu kuat kerana ia benar dan tulen. Dalam banyak hal, suara Hind Rajab seolah-olah menjadi suara Gaza itu sendiri.”

The Voice of Hind Rajab tidak menayangkan keganasan secara visual, sebaliknya memilih pendekatan psikologi dan kemanusiaan. Filem ini mengangkat kepada tekanan emosi para petugas kecemasan, ketidakberdayaan di hujung talian serta realiti pahit apabila jarak, masa dan keadaan menjadikan pertolongan mustahil. Filem ini membuka ruang kepada penonton yang mungkin tidak pernah mengikuti perkembangan di Gaza untuk memahami realiti yang berlaku, merasai apa yang tidak dapat dilihat oleh kamera—ketakutan, harapan dan penantian seorang anak kecil, bukan melalui laporan berita atau statistik tetapi melalui satu suara kecil yang meminta tolong.

Seiring dengan mesej tersebut, pelakon utama Motaz Malhees berkongsi harapannya terhadap kesan yang ingin ditinggalkan filem ini kepada penonton. “Saya berharap penonton pulang dengan renungan dan satu soalan dalam hati tentang apa yang boleh kita lakukan supaya perkara seperti ini tidak berulang. Setiap kanak-kanak berhak untuk diselamatkan. Kadangkala, tindakan yang kecil mampu membawa perubahan yang besar.”

Diiktiraf di peringkat antarabangsa, The Voice of Hind Rajab mencatat pencapaian besar apabila memenangi Silver Lion Grand Jury Prize di Venice International Film Festival 2025, selain tersenarai dalam Top 15 bagi kategori Best International Feature Film di Academy Awards ke-98 (2026). Pengiktirafan ini mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah karya pawagam yang penting, relevan dan perlu diberi perhatian dunia. Filem ini turut mendapat sokongan penerbit eksekutif tersohor termasuk Brad Pitt dan Joaquin Phoenix, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai karya kemanusiaan yang melangkaui sempadan politik dan geografi,  lantaran tentang kemanusiaan sejagat.

Usaha mempromosi The Voice of Hind Rajab turut digerakkan menerusi kempen Hind Rajab: Suara Terakhir, hasil kerjasama strategik bersama MERCY Malaysia, dengan sokongan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sebagai satu inisiatif kemanusiaan yang menyeru empati dan kesedaran.

Kempen ini diperkasakan menerusi advokasi kesedaran yang dipandu oleh tiga suara utama kempen iaitu Zainal Rashid Ahmad (ZRA), Ahmad Fedtri Yahya dan Uyaina Arshad, yang dipilih berdasarkan kredibiliti, kekuatan jangkauan pengaruh serta kepercayaan masyarakat Malaysia terhadap suara mereka.

Turut menyokong sebagai kolaborator kempen ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Nadzmi Adhwa, Ardell Aryana, Farah Lee, Nine Phyne Ballerz, Elliza Razak serta pasukan Media TV3 termasuk Irin Putri, Mior Malek, Saree Abdullah, Fahiz Ariff dan Amirulhakim Lokman, sekali gus menjadikan kempen ini bukan sekadar gerakan media sosial, tetapi ia adalah suara nasional yang berteraskan kemanusiaan.

Sebagai simbol empati dan solidariti, Media Prima akan menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Filem ini disampaikan dalam bahasa Arab dan Inggeris, lengkap dengan sari kata Bahasa Malaysia, The Voice of Hind Rajab akan ditayangkan di pawagam terpilih bermula 8 Januari 2026. Ia bukan sekadar filem, tetapi adalah satu bukti dan satu suara yang kekal abadi. Hayati inspirasi kisah benar yang menyentuh jiwa dan menyentak emosi ini di pawagam.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif The Voice of Hind Rajab, ikuti kami di Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.

BLACK OPS FILEM AKSI KOLABORASI RENTAS NEGARA PRODUKSI MALAYSIA DAN HONG KONG | Gabungan Bintang Dua Negara, Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Elizabeth Tan, Hisyam Hamid, Dato’ Aaron Aziz, Andy Teh Di Bawah Arahan Syafiq Yusof & Arahan Bersama Chui Tze Yui

6 Januari 2026, Kuala Lumpur – Industri perfileman tempatan melakar sejarah baharu menerusi kerjasama rentas negara produksi Malaysia seperti Skop Productions, Enotech, Komet Studios, Marvelous Culture & Film, Astro Shaw, dan GSC, bersama syarikat penerbitan tersohor Hong Kong, One Cool Films milik bintang terkenal Louis Koo, menerusi filem aksi terbaru yang akan menggegarkan pawagam penghujung tahun 2026 berjudul Black Ops. Kerjasama ini turut menandakan kali pertama One Cool Film berganding bahu dengan produksi dari Malaysia.

Lebih mengujakan, filem ini diarahkan oleh dua pengarah berkaliber tinggi iaitu Syafiq Yusof dari Malaysia serta pengarah bersama Chui Tze Yiu dari Hong Kong, menjadikan Black Ops simbol hubungan kreatif sinema Malaysia dan Hong Kong. 

Sebagai projek berskala antarabangsa, filem ini juga menghimpunkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Hong Kong, sekali gus memperkukuh hubungan kreatif antara dua negara. Antara bintang yang menjayakan filem ini adalah, Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Dato’ Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq,  Benjamin Tan, Ken Law (Super Ken), Sean Lin, Mathni Razak, Balan Kash, Ahirine Ahirudin, Azman Hassan,  dan adik Rania Amanda.

Babak aksi intensif Black Ops diterajui oleh dua pengarah lagak ngeri bertaraf antarabangsa, Ken Law (Super Ken) dan Sean Lin (Lin Li-Yang) selaku Pengarah Lagak Ngeri filem ini. Ken Law, pakar aksi dari Hong Kong dan calon Anugerah Golden Horse 2025, terkenal dengan koreografi aksi realistik dan berskala besar yang memberi impak maksimum.

Turut berganding ialah Sean Lin dari pasukan lagenda Hung Ga Ban yang diasaskan oleh Sammo Hung. Dengan latar belakang seni mempertahankan diri dan sinema aksi Hong Kong, kolaborasi mereka menjanjikan babak aksi berkualiti tinggi yang mengangkat Black Ops ke tahap piawaian antarabangsa.

Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Black Ops, Datuk Yusof Haslam, berkata “Sebagai pembikin filem, saya berharap Black Ops dapat diterima dengan baik oleh penonton Malaysia. Kejayaan sesebuah filem terletak pada kekuatan cerita, lakonan yang jujur, promosi yang berkesan serta sokongan padu rakyat Malaysia. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan masyarakat dan satu pengalaman yang diharap dapat kekal di hati penonton. Saya juga berharap kolaborasi antara Skop Productions dan One Cool Film ini mampu membuka ruang lebih luas untuk industri perfileman Malaysia melangkah ke peringkat antarabangsa.”

Pengarah One Cool Film dan Penerbit Bersama Black Ops, Tang Wai But mengatakan, “Melalui Black Ops, kami di One Cool Film amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Skop Productions, salah satu penerbit terkemuka di Malaysia. Kolaborasi ini bukan sekadar menghasilkan sebuah filem, tetapi langkah awal kepada hubungan jangka panjang antara industri perfileman Hong Kong dan Malaysia. 

Kami komited untuk bekerjasama rapat bagi memastikan Black Ops dihasilkan pada tahap terbaik, sambil membantu memperluaskan penembusan filem Malaysia ke pasaran serantau dan antarabangsa. Terima kasih kepada FINAS, FIMI serta seluruh pasukan produksi, pengarah dan pelakon atas dedikasi dan sokongan. Kami berharap kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi pada masa akan datang.”

Ketua Astro Shaw dan Penerbit Eksekutif Bersama Black Ops, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan, “Astro Shaw amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada projek ini. Hubungan strategik kami bersama Skop Productions yang telah terjalin sekian lama kini diperkukuhkan lagi melalui kolaborasi bersama penerbit terkemuka dari Hong Kong, menandakan langkah penting ke hadapan dalam memperluas kerjasama perfileman tempatan ke peringkat antarabangsa. Dengan pengalaman dan keupayaan platform kami, Astro Shaw bersedia sepenuhnya untuk memastikan projek ini mencapai potensi maksima, serta menetapkan standard baru bagi industri perfileman tempatan.”

Black Ops mengisahkan tentang seorang anggota pasukan Black Ops, Johan  didakwa dalam pembunuhan isterinya dan kehilangan anak perempuannya, dia terpaksa berpaling menentang pasukannya sendiri untuk mendedahkan konspirasi berkuasa serta menuntut kembali kehidupannya.

Dengan skala produksi yang luar biasa, barisan kreatif antarabangsa, serta kekuatan jalan cerita dan aksi yang dijanjikan, Black Ops bakal menjadi sebuah filem yang bakal dinantikan tahun ini. 

Ikuti info-info menarik tentang Black Ops di kesemua platform media sosial Skop Productions, One Cool Studios, Astro Shaw.