GHAZ ABU BAKAR LAKAR LANGKAH BERANI DENGAN FILEM SERAM PERTAMANYA, QIFARAH!

Thursday, 2 October 2025

Nama Ghaz Abu Bakar cukup kuat terikat dengan filem-filem aksi dan drama yang mencipta fenomena besar dalam sinema tempatan. Polis Evo misalnya, bukan sahaja melonjakkan namanya tetapi juga mengubah landskap filem aksi Malaysia dengan standard baharu dari segi penceritaan, lakonan dan teknikal. Deretan karya lain seperti Tokan dan Suamiku Ustaz turut memperlihatkan kreativiti beliau dalam meneroka genre berbeza tanpa mengorbankan mutu produksi.

Tahun ini, Ghaz membuka lembaran baharu dalam kerjaya dengan Qifarah, filem horror thriller pertama arahannya yang menyingkap sisi gelap penuh mistik dan psikologi. Qifarah hadir sebagai karya penuh serius yang menuntut pendekatan berbeza, menggabungkan intensiti lakonan, sinematografi dan tema balasan yang sarat dengan makna. 

Dengan gandingan nama besar seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay dan Namron, Qifarah dirangka untuk memberi pengalaman sinema yang lebih emosional dan mendebarkan. Ghaz mengolah kisahnya dengan sentuhan visual muram, rentak thriller yang menghantui, serta lapisan tema yang menuntut penonton berfikir di sebalik elemen seramnya. 

Filem yang diterbitkan oleh Skop Productions ini mengangkat kisah Yusoff, lakonan Remy Ishak, yang kembali ke tanah air selepas lama berada di luar negara. Dalam kepulangan itu, dia terpaksa berdepan dengan trauma silam yang berakar daripada amalan ilmu hitam keluarganya sendiri. Dengan naratif yang menekan tema besar seperti balasan dan keampunan, Qifarah mencabar keupayaan Ghaz untuk mengekalkan gaya sinematiknya sambil memberi nafas baharu kepada genre seram tempatan.

Sebagai filem seram pertama dalam kerjaya Ghaz, Qifarah hadir bukan sekadar percubaan, tetapi sebuah lonjakan evolusi yang memperlihatkan keberanian seorang pengarah untuk keluar daripada zon selesa dan meneroka sempadan baharu. Dengan barisan pelakon ternama, Qifarah berpotensi menjadi penanda aras penting yang mengukuhkan reputasi Ghaz Abu Bakar sebagai pengarah versatil yang sentiasa berani mencabar dirinya.

Jangan lepaskan peluang untuk jadi antara yang pertama menyaksikan tayangan rasmi Qifarah dalam masa terdekat! Sementara menunggu, tonton trailer rasmi kami sekarang dan rasai sendiri debaran awal yang bakal menghantui minda anda. Janji kami, pengalaman seram ini akan buat penonton semakin teruja menantikan tayangan penuh pada 9 Oktober 2025 di pawagam berdekatan anda!.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Qifarah, jangan lupa ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios.

MEDIA PRIMA TERUS UNGGUL DI PERINGKAT ASIA MENERUSI ASIAN ACADEMY CREATIVE AWARDS 2025!

Wednesday, 1 October 2025

Kuala Lumpur, 1 Oktober 2025 - Tahniah diucapkan kepada Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) atas kejayaan di peringkat kebangsaan (National Winner) di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2025 menerusi tiga kategori: Best Original Production by a Streamer (Fiction) dengan drama BRU (Tonton), Best Lifestyle Programme melalui Click To Health Season 4 (8TV), dan Best Animation menerusi Ejen Ali The Movie 2 (Primeworks Studios & WAU Animation). Kejayaan ini melayakkan Media Prima dan barisan rakan pengkarya kreatif bersaing bersama wakil terbaik Asia Pasifik di Grand Awards dan Gala Finals yang bakal berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 3 & 4 Disember 2025.

Drama BRU karya Nik Amir Mustapha (Lumatic Films Sdn Bhd) diumumkan sebagai pemenang kategori Best Original Production by a Streamer (Fiction) di Asian Academy Creative Awards 2025. Dibarisi pelakon hebat tanah air, drama ini menampilkan Shukri Yahaya sebagai Shah, seorang lelaki yang obses dengan kopi dan kejayaan, di samping Siti Hariesa yang membawa watak Hani, seorang barista berbakat dan anak kepada seorang hartawan yang mendambakan kebebasan dalam mencipta perisa kopi. Turut menyerlah ialah Amerul Affendi sebagai Ajan, sahabat setia yang menganggap Shah seperti adiknya sendiri, menjadikan BRU sebuah karya penuh emosi, cita-cita dan persahabatan yang dekat di hati penonton.

Anugerah Best Lifestyle Programme dimenangi oleh 8TV menerusi Click To Health Season 4. Program yang dihoskan oleh Desmond Tey ini membawa penonton menerokai isu kesihatan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada topik-topik semasa serta pendedahan tentang pelbagai kaedah perubatan moden. Menariknya, penggambaran rancangan ini bukan sahaja berlangsung di bilik pemeriksaan, malah turut merangkumi bilik pembedahan dan bilik kecemasan bagi memberikan perspektif yang lebih mendalam serta realistik kepada penonton.

Anugerah Best Animation dimenangi oleh Primeworks Studios dan WAU Animation menerusi filem Ejen Ali The Movie 2, arahan Usamah Zaid Yasin (WAU Animation Sdn. Bhd.). Filem penuh aksi animasi mempesona dan meledakkan emosi ini meneruskan perjuangan watak Ali dalam misi berisiko tinggi di bawah program elit SATRIA. Sekuel ini mendapat sambutan luar biasa dengan kutipan pecah panggung melebihi RM62.5 juta di pawagam Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand, sekali gus menjadikan EATM2 sebagai filem animasi nombor satu di Malaysia dengan memecahkan rekod sebelumnya serta mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan di tanah air. Lebih membanggakan, filem ini juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dicalonkan dalam kategori Best Animated Film di Silk Road International Film Festival ke-12 di China baru-baru ini.

Media Prima kekal komited untuk terus menyajikan kandungan yang berkualiti, inovatif, serta setanding dengan program antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia. Tahniah sekali lagi kepada semua yang telah berjaya mengangkat MPTN ke peringkat antarabangsa. Untuk mengetahui siapakah yang bakal membawa pulang trofi berprestij, nantikan Malam Gala Anugerah Asian Academy Creative Awards 2025 yang akan berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 3 & 4 Disember 2025.


Misi masih aktif! Dari layar perak ke platform penstriman terbesar dunia, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini rasmi menemui ejen-ejen di Netflix bermula 1 Oktober 2025 di rantau terpilih serata dunia, sekali gus membuka peluang penonton antarabangsa menghayati kehebatan animasi Malaysia.

Sebagai tanda meraikan pencapaian ini serta menghargai sokongan padu peminat setia, muzik video rasmi Hanya Kamu nyanyian legenda Datuk M. Nasir juga bakal dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Ejen Ali pada jam 8.00 malam ini.

Diarahkan oleh Ghazi Maslan, muzik video ini dimulakan dengan transmisi mesej khas dari MATA yang diaktifkan oleh Datuk M. Nasir sendiri, sebelum memaparkan kesungguhan ejen-ejen muda menyahut panggilan misi, dengan selingan babak-babak mendebarkan daripada filem. Turut muncul ialah Azri Yunus, komposer dan penulis lirik Hanya Kamu, yang menjadi penggerak kreatif di sebalik lagu ini.


Konsep muzik video ini berlandaskan tema utama lagu, sebuah karya penuh semangat yang menyeru generasi muda untuk mempercayai diri dan berani bangkit sebagai versi terbaik mereka. Nilai ini seiring dengan perjalanan emosi dan konflik watak utama dalam EATM2, menjadikan muzik video ini sebagai pelengkap filem dengan efek tontonan yang meresap hingga ke jiwa penonton.

Untuk rekod, EATM2 berjaya meraih kutipan pecah panggung melebihi RM62.5 juta hasil tayangan di pawagam Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand, menjadikannya pencapaian animasi tempatan paling membanggakan tahun ini. Filem ini juga mula mendapat pengiktirafan dari festival filem antarabangsa setelah dicalonkan dalam kategori Filem Animasi Terbaik di Silk Road International Film Festival ke-12 yang berlangsung di Comprehensive Hall, Fuzhou Strait Olympic Sports Center, China, Jumaat lalu.

Kerja kita belum selesai! Strim Ejen Ali The Movie 2 di Netflix bermula hari ini, dan jangan terlepas pelancaran muzik video rasmi Hanya Kamu di YouTube Ejen Ali, tepat jam 8 malam ini.

Revolusi Pembelajaran Dalam Talian Dilancarkan di Tonton! TV TUISYEN | “Belajar di Tonton, Bijak Sampai Lulus!”

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2025 – Masa depan pendidikan digital kini di depan mata!  Dunia pendidikan digital Malaysia melakar sejarah baharu dengan pelancaran rasmi TV Tuisyen di Tonton, platform penstriman nombor satu negara yang menghubungkan jutaan pengguna, pada hari ini - 1 Oktober 2025! Inisiatif baharu ini bukan sekadar platform pembelajaran kelas tambahan biasa, tetapi sebuah revolusi pendidikan digital yang direka khas untuk memperkasakan pelajar sekolah menengah Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 bagi mengisi jurang pendidikan dalam talian. TV Tuisyen menawarkan pengalaman pembelajaran yang berstruktur, berpatutan, menyeronokkan dan mudah diakses, dengan misi utama untuk memperkasakan generasi muda agar lebih yakin menghadapi peperiksaan dan mencapai kejayaan akademik yang cemerlang. 

Dengan objektif jelas untuk membantu pelajar berusia 13 hingga 17 tahun menguasai pembelajaran melalui sumber akademik terpilih yang mampu milik, TV Tuisyen tampil sebagai sebuah platform on-demand yang mengubah permainan dalam dunia pendidikan digital. Melalui langganan eksklusif di Tonton, pelajar kini boleh menikmati akses tanpa had kepada ribuan bahan pembelajaran, bila-bila masa dan di mana sahaja.

Kandungan TV Tuisyen: Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Berkualiti & Menghiburkan

Dunia hari ini pantas berubah dan belajar bukan lagi hanya di dalam bilik darjah. Dengan TV Tuisyen, kami membawa kelas tuisyen ke mana sahaja anda berada.  TV Tuisyen menawarkan video akademik merangkumi 13 subjek utama KSSM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah, Geografi, Kimia, Matematik Tambahan, Biologi, Fizik, Prinsip Perakaunan, Perniagaan, dan Ekonomi. Bukan sekadar video semata-mata, setiap pelajaran disokong dengan soalan latihan, nota ringkas, serta kuiz interaktif untuk memastikan pelajar benar-benar memahami setiap topik, Setiap kandungan dihasilkan dan disemak oleh tenaga pengajar berpengalaman untuk menjadikan topik yang rumit menjadi mudah dan menyeronokkan.

Lupakan video pembelajaran yang membosankan! TV Tuisyen membawa nafas baharu dalam dunia pendidikan dengan gabungan ilmu, kredibiliti akademik, produksi berkualiti tinggi, grafik interaktif serta gaya penyampaian dinamik daripada tenaga pengajar berpengalaman termasuk barisan guru selebriti popular seperti Fendy Bakry, Shah Iskandar, Raja Afiq, Aniq Suhair, Elisya Sandha, Alvin Chong, Adam Lee, Wafariena, Zara Zya, Jaja Iliyes, Syafi Tee, Nabil Aqil, Juliana Evans, Wanie Kayrie dan ramai lagi. Hasilnya, TV Tuisyen bukan sekadar platform pembelajaran, tetapi satu pengalaman yang hidup, menyeronokkan, dekat di hati pelajar dan mudah difahami.

Kelebihan TV Tuisyen di Tonton

Selain selaras dengan sukatan pelajaran terkini Kementerian Pendidikan Malaysia, TV Tuisyen memastikan setiap kandungan yang disediakan mudah difahami dan sesuai untuk pembelajaran kendiri. Pelbagai program eksklusif dan promosi istimewa dari semasa ke semasa bakal ditawarkan untuk calon pelajar yang melanggan dan yang bakal menduduki peperiksaan.  Dengan gabungan elemen pendidikan dan hiburan, TV Tuisyen mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih realistik, praktikal dan mampu memotivasikan pelajar.

Mampu Milik, Mudah & Fleksibel

TV Tuisyen bukan sahaja untuk pelajar, tetapi juga untuk ibu bapa yang mencari sokongan akademik tambahan yang berkesan dan guru-guru yang mahukan bahan sokongan untuk memperkayakan pengajaran di sekolah. Berbeza dengan kandungan percuma di luar sana, TV Tuisyen menawarkan pembelajaran yang terstruktur, lengkap dengan guru profesional dan latihan yang menjamin kualiti.

TV Tuisyen percaya bahawa pendidikan berkualiti harus mampu diakses semua. Justeru, ia ditawarkan pada harga mesra bajet melalui pelan langganan fleksibel TV Tuisyen di Tonton. Dengan hanya RM9.90 sebulan, pelajar sudah boleh melanggan TV Tuisyen melalui Tonton. Pilihan pakej lain termasuk 3 bulan pada RM29.70 dan 12 bulan pada RM118.80. Semua langganan ini memberikan akses tanpa had kepada keseluruhan perpustakaan kandungan TV Tuisyen.

Lebih menarik, akses boleh dilakukan melalui pelbagai peranti seperti telefon pintar, tablet, komputer riba dan TV pintar – selagi ia menyokong platform Tonton. Ini bermakna pelajar boleh belajar anytime, anywhere, sama ada di rumah, sekolah, mahupun ketika dalam perjalanan. Tiada lagi alasan untuk tidak belajar!

Manfaat untuk Semua: Pelajar, Ibu Bapa & Guru

TV Tuisyen bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelajar melalui ulangkaji berstruktur, latihan komprehensif dan persediaan SPM yang lebih mantap, tetapi juga memberikan manfaat kepada ibu bapa dan guru. Ibu bapa kini lebih tenang kerana anak-anak mereka menggunakan skrin dengan cara yang selamat, mengikuti silibus berstruktur bersama guru berpengalaman. 

Guru pula boleh memanfaatkan kandungan ini sebagai bahan sokongan pengajaran bagi memperkukuh sesi bilik darjah, sekali gus memperluas capaian pendidikan kepada ribuan pelajar di seluruh negara. Dengan pendekatan ini, TV Tuisyen bukan sekadar produk digital, tetapi sebuah gerakan pendidikan nasional yang menyokong aspirasi negara dalam melahirkan pelajar cemerlang.

Langganan & Sokongan

Untuk mula belajar, pengguna hanya perlu mendaftar akaun di Tonton, melanggan pelan TV Tuisyen, dan terus menikmati pengalaman pembelajaran digital yang lebih pintar. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pasukan sokongan pelanggan Tonton melalui e-mel di support@tonton.com.my atau berbual terus dengan ejen di tinyurl.com/Tonton-Squad.

Nantikan Promosi Istimewa!

Sempena pelancaran rasmi, pelbagai tawaran dan aktiviti menarik akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui media sosial TV Tuisyen dan Tonton.  

TV Tuisyen di Tonton adalah simbol usaha untuk merapatkan jurang pendidikan, menjadikan ilmu lebih mudah diakses, berpatutan, relevan dengan dunia digital masa kini dan paling penting - menyeronokkan. Tunggu apa lagi? Sertai kami dalam perjalanan pendidikan yang baharu ini.

BORAK SEENI DAH SATU!

BORAK SEENI DAH SATU! | Program bual bicara pagi di Astro Prima yang mantap dengan pengisian terkini dan semakin menjadi pilihan ramai.

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2025 – Borak SeeNI, program bual bicara pagi di saluran Astro Prima kini telah genap mencapai usia setahun! Program yang dibarisi oleh gabungan hos berpengalaman seperti Erra Fazira, Faizal Ismail, Haziq Hussni, Nana Mahazan, Hunny Madu, Dahlia Shazwan dan Keanu Azman, bersiaran secara langsung setiap hari Selasa hingga Jumaat, jam 11 pagi di Astro Prima (saluran 105) dan ulangan jam 8.00 malam hari yang sama.

Program yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia dan sesuai untuk seisi keluarga ini membawakan pelbagai topik menarik seperti isu kekeluargaan, segmen gaya hidup dengan perkongsian demonstrasi pelbagai jenis masakan, aktiviti kemasyarakatan dan topik kesihatan bersama barisan pakar. Selain itu, program ini juga menampilkan individu-individu yang memberi inspirasi kepada penonton melalui kisah dan pencapaian mereka yang membanggakan dalam pelbagai bidang.

Masih mengekalkan penggunaan teknologi moden studio Extended Reality (XR), dan keupayaan Realiti Tambahan (AR) yang diterapkan, Borak SeeNi semakin menjadi pilihan dalam kalangan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka secara dinamik.

Sehingga September 2025, bersiaran dengan lebih 200 episod, jumlah capaian penonton Borak SeeNi kini mencecah sehingga hampir 20 juta. Manakala di media sosial, kandungan ringkas Borak SeeNI di platform seperti Facebook, Instagram dan Tiktok mendapat jumlah penonton terkumpul sehingga 74 juta. Ini menunjukkan jenama program ini yang semakin dikenali dan mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Menurut Naib Presiden, Pembangunan Pengiklanan (Nu Ideaktiv & SME), Datin Norashikin Habibur Rahman, “Apa yang membezakan program Borak SeeNi berbanding program bual bicara langsung yang lain ialah suntikan elemen hiburan dan interaktif yang dekat di hati penonton tetapi masih mengekalkan isu-isu semasa dan topik yang relevan untuk segenap lapisan Masyarakat. Dalam masa yang sama, program ini turut menjadi platform kepada usahawan-usahawan tempatan bagi meningkatkan kesedaran jenama mereka dan secara tidak langsung membantu menjana pendapatan mereka dan ekonomi negara.”

Bagi meraikan istimewa ulang tahun pertama, siaran Borak SeeNi pada 1 dan 2 Oktober bakal membawakan kelainan dengan bersiaran secara rakaman di Monkeys Canopy, sebuah taman tema yang sesuai untuk seisi keluarga. Pelbagai aktiviti menarik dan menghiburkan serta menampilkan barisan tetamu undangan seperti Kumpulan Alpha, Wani Kayrie, Fahimi Rahmat, Firdaus Rahmat, Sissy Iman dan Apich Lo bersama hos jemputan Roy Azman yang pasti meriah dengan gelagat dan keletah mereka. 

Bersama Nu Ideaktiv, selaku rakan penghasil kandungan, melalui applikasi SeeNI, ‘Borak SeeNI’ turut boleh ditonton menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta  Astro Gempak, Astro GO dan sooka untuk pilihan yang fleksibel. 

Blog Performance September 2025

 

1. PV

Bulan lepas macam tak berapa nak pergi je pageviews blog ni tapi bulan ni rancak sampai cecah 200k, jauh berbeza lah dengan bulan Ogos 2025. Hari terakhir September pun mencanak tinggi sampai 10k views sebab ada banyak drama dan movie baru release pada minggu akhir September ni. 

As you guys can see, dah makin dekat dah nak mencecah angka juta yang baru so makin bersemangat lah nak update blog. Bulan ni ada satu sahaja public holiday jadi tak banyak lah merayap keluar maka ada lah masa untuk update blog, Insya-Allah. 

Target untuk bulan Oktober mungkin tak lah setinggi bulan September sebab ni angka yang jarang tercapai. Bulan ni nak target 150k ke atas je lah tapi kalau jatuh kita anggap je lah Tragedi Oktober.

2. Posts


Post dalam Popular Posts tak jauh berbeza pun dengan bulan lepas sebab kebanyakan movie tak hilang lagi hype dia. Mungkin sebab streaming platform so hype akan sentiasa ada. Untuk bulan Oktober ni ada lah nampak beberapa keywords yang mula naik sebab tayangan mula pada minggu akhir September so I guess nanti akan muncul lah kot di Popular Post bulan depan. 

3. Keywords

So far keywords untuk bulan September tak lari jauh dengan apa yang ada dalam Popular Posts tapi menarik juga lah bila tengok keywords untuk entri lama muncul walaupun tak ramai yang mencari. Jadi idea juga untuk update apa nanti tapi nak sembang pasal idea tu, idea ada banyak cuma masa yang menjadi masalah.  

4. Bilangan Entri


Ingatkan boleh dapat banyak entri bulan ni tapi bila masuk bab update seperti dihembus penyakit M. Jenuh juga memotivasikan diri untuk update beberapa reviews padahal tak ambil masa yang lama pun. Selalunya jadi lama sebab nak pilih gambar. Sembang pasal ni, dah makin banyak pageviews yang datang dari Google Images. 

Video je tak ada sebab Blogger ni tak mampu nak upload video dari zaman mula wujud sampailah sekarang tak berubah. Tapi ye lah, Blogger untuk menulis bukan untuk layan video. Kalau untuk video, orang panggil vlog. 

Anyway, thank you so much kepada yang menyinggah dan komen dekat mana-mana entri. Semoga bulan Oktober tak memberi tragedi yang mengerikan untuk kita. Be safe everyone. 

KOPITIAM “GENG BIJAK BERBAJET” SATUKAN EMPAT GENERASI BIJAK BERBELANJA

Tuesday, 30 September 2025

KOPITIAM “GENG BIJAK BERBAJET” SATUKAN EMPAT GENERASI BIJAK BERBELANJA | Kolaborasi Antara TV3 Drama Sangat dan Hotlink

Kuala Lumpur, 30 September 2025 - Empat generasi, satu kopitiam, pelbagai cara bijak berbajet! TV3 Drama Sangat dengan kolaborasi Hotlink hari ini melancarkan Siri Drama Hotlink: Geng Bijak Berbajet di Balai Berita, Bangsar;sebuah siri drama TikTok yang meriah dengan gelagat komuniti dan penuh tip pintar untuk berbelanja dengan bijak.


Dibintangi oleh barisan pelakon tanah air seperti Riena Diana, Zamarul Hisham, Angeline Tan dan Lorenzo Irmann, siri ini diarahkan oleh Safuan Rashid serta diterbitkan oleh Astra Entertainment. Dengan 8 episod berdurasi 3 hingga 5 minit setiap satu, Siri Drama Hotlink: Geng Bijak Berbajet tampil ringan dengan elemen persahabatan yang menghidupkan suasana kopitiam dan kejiranan yang dekat di hati penonton. Ia akan mula ditayangkan secara eksklusif di TikTok @hotlink.official @dramasangat dan Instagram @hotlinkred dan @dramasangat bermula 1 Oktober 2025, jam 12.00 tengah hari, pada setiap Rabu dan Khamis. 

Berlatarbelakangkan Kopitiam Mei Mang Best, empat sahabat daripada generasi berbeza dipertemukan secara tidak sengaja lalu membentuk Geng Bijak Berbajet. Dalam dunia dengan kos sara hidup yang kian meningkat, setiap daripada mereka menyesuaikan diri dengan cara berjimat mengikut gaya dan falsafah tersendiri. Kisah ini menampilkan Aunty Mei (Angeline Tan), pemilik kopitiam yang masih setia dengan buku kira-kira 555; Uncle Din (Zamarul Hisham), bekas guru yang berpengalaman; Nisa (Riena Diana), freelancer yang sering bergelut dengan ketagihan kopi ais; serta Mika (Lorenzo Irmann), seorang yang mahir dengan dunia digital.

Setiap episod membawa cabaran kehidupan yang diselesaikan dengan tip berjimat, sokongan Hotlink hacks dan semangat setiakawan yang semakin utuh. Namun, apabila Kopitiam Mei Mang Best dicabar dengan kemunculan kafe hipster baharu, mampukah mereka mempertahankannya sebagai port lepak kegemaran komuniti?

Menurut Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3, “Melalui Siri Drama Hotlink: Geng Bijak Berbajet, kami menyajikan hiburan komedi ringan untuk penonton, sambil menunjukkan bagaimana perbezaan generasi mampu disatukan oleh semangat komuniti dan cabaran kewangan harian. Kolaborasi dengan Hotlink ini memberi ruang untuk mengetengahkan cerita yang relevan dengan kehidupan sebenar, sekali gus meraikan kreativiti konten tempatan di platform digital.” 

Tambahan Puan Stephanie Wong, Ketua Pegawai Operasi, Media Prima OMNiA, “Drama bersiri ini dihasilkan melalui kerjasama untuk menyampaikan mesej berkaitan kewangan secara semula jadi. Sebagai rakan jangka panjang, kami bangga dapat bersama-sama Hotlink memupuk budaya berhemat dengan lebih aktif melalui kandungan yang menyeronokkan, bermanfaat dan mudah dikongsi.”

Loh Keh Jiat, Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna Maxis pula berkata, “Idea yang diketengahkan dalam Geng Bijak Berbajet adalah seiring dengan tawaran Hotlink yang memastikan pelanggan mendapat nilai terbesar pada harga terendah. Kami berharap siri ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia  untuk rasa bangga menjadi bijak berbajet. Dalam pengalaman ini, Hotlink bukan sahaja sebuah jenama mudah alih, tetapi juga rakan dipercayai yang sentiasa memahami keperluan rakyat Malaysia.”

Majlis pelancaran hari ini turut diserikan dengan gimik pembukaan oleh barisan pelakon utama, diikuti tayangan eksklusif episod pertama naskhah ini. Keserasian keempat-empat watak jelas terpancar di layar, sekali gus menghidupkan mesej santai tetapi penuh makna yang menjadi intipati siri ini.

Saksikan Siri Drama Hotlink: Geng Bijak Berbajet, sertai perbualan dan kongsikan pengalaman tontonan anda dengan hashtag rasmi #HotlinkGengBijakBerbajet dan #GengBijakBerbajet di media sosial. Hotlink Prepaid & Postpaid, Pelan Internet dengan Nilai Terbesar. Pasti mampu tukar ke Hotlink, pilihan utama Geng Bijak Berbajet. 

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Kuala Lumpur, 30 September 2025 –  Ada yang hidup dengan identiti sebenar, ada juga yang bersembunyi di balik penyamaran. Dalam dunia penuh pengkhianatan, kekuatan bukan sekadar pilihan tetapi satu-satunya jalan tunggal untuk terus bertahan. Ms. Incognito membongkar hakikat bahawa setiap manusia punya sisi gelap, dan apabila kebenaran terbuka, ia mampu menjadi senjata paling berbahaya. Drama ini bakal menemui penonton di Malaysia serentak dengan tayangan di Korea bermula 29 September 2025, pertama di Tonton. 

Dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Jeon Yeo-been, Jin-young, Seo Hyun-woo, Jang Yoon-joo dan Joo Hyung-young, drama ini mengisahkan Bu Se-mi (Jeon Yeo-been), seorang wanita yang terpaksa menjalani perkahwinan kontrak serta hidup dalam penyamaran demi melindungi rahsia dan harta majikannya. Segalanya kelihatan terkawal, sehinggalah kemunculan Choi Dong-min (Jin-young), seorang lelaki jujur yang tanpa disangka menjadi ancaman terbesar pada rahsia hidupnya.

Pertemuan mereka membuka jalan kepada hubungan yang semakin rapat tetapi segalanya mula tergugat apabila kepercayaan dipersoalkan. Hubungan mereka diuji oleh takdir yang sarat dengan pengkhianatan. Mampukah Jeon Yeo-been melindungi penyamarannya tanpa kehilangan cintanya?

Ms. Incognito, karya tulisan Hyun Gyu-ri dengan arahan Park Yoo-young, hadir dengan jalan cerita asli yang penuh misteri, konflik emosi dan kejutan yang sukar dijangka dari awal hingga akhir. Dengan watak yang kompleks serta plot yang penuh tanda tanya, drama ini menjanjikan pengalaman baharu yang segar, mendebarkan dan pasti memikat hati para peminat tegar K-drama.

Drama ini membawa penonton menyelami sisi gelap kehidupan, di mana manusia sanggup menukar identiti, mengkhianati kepercayaan, bahkan mengorbankan cinta demi sebuah kelangsungan hidup. Setiap episod membuka lembaran rahsia baharu yang menguji kesetiaan dan kejujuran, membuat penonton terus tertanya-tanya, siapakah yang benar-benar mampu bertahan dalam permainan penuh tipu daya ini?

Nantikan tayangan perdana Ms. Incognito bermula 29 September ini, setiap Isnin dan Selasa, pukul 9.00 malam, serentak dengan tayangan di Korea melalui Tonton. Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy. 

ANNA JOBLING MENDAHULUI CARTA UNDIAN, BERSIAP BERANGKAT KE SEOUL UNTUK KEMENANGAN!

Monday, 29 September 2025

Kuala Lumpur, 29 September 2025 – Debaran semakin terasa! Seluruh negara kini menantikan detik bersejarah apabila pelakon kesayangan Malaysia, Anna Jobling, bakal berangkat ke Seoul, Korea Selatan untuk menghadiri Seoul International Drama Awards (SDA) 2025. Dengan pencalonan dalam kategori Outstanding Asian Star – Malaysia, Anna yang bakal ke Seoul pada 1 Oktober ini, bukan sahaja membawa harapan peribadi, malah semangat jutaan peminat yang sentiasa menyokong langkahnya.

Pencalonannya dalam kategori Outstanding Asian Star – Malaysia pula menjadi bukti nyata terhadap bakat Anna yang semakin bersinar.  Pengiktirafan di pentas berprestij antarabangsa ini membuka lembaran baru dalam kerjayanya, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bintang muda paling berpengaruh di rantau ini.

Anna, yang mencipta fenomena melalui lakonannya dalam drama popular Melur Untuk Firdaus, tercalon melalui drama Hai Cinta, Dengarkanlah, sehingga berjaya mencuri perhatian bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia.  Populariti drama tersebut di platform penstriman Tonton melonjakkan lagi gelombang sokongan sehingga Anna berjaya mendahului carta undian. Setiap undi yang diberikan bagaikan denyut nadi penyokong yang mahu melihat Anna menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya benar-benar terharu dengan sokongan yang luar biasa daripada semua peminat. Pencalonan ini adalah hadiah terbesar buat saya dan saya amat bersyukur dapat mewakili Malaysia di pentas antarabangsa. Saya harap semua akan terus mendoakan dan menyokong saya, kerana kemenangan ini bukan sahaja untuk saya tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.” kata Anna Jobling.

Anna juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kejayaannya serta memastikan undian tidak terhenti sehingga malam kemuncak. Setiap undian dan doa amat bermakna dalam membawa pulang kemenangan buat negara.

Bagi meraikan pencapaian ini, Tonton menghadiahkan penonton dengan promosi eksklusif ‘Koleksi Pujaan Hati’, langganan Tonton dengan harga istimewa hanya RM20 untuk tiga bulan melalui kod diskaun eksklusif ‘ANNAJOBLING’ yang membolehkan anda menonton kesemua drama lakonan Anna.  Kempen ini juga menjadi jambatan buat peminat untuk terus menyokong perjalanan Anna Jobling dari kaca skrin tempatan hingga ke pentas dunia.

Seoul International Drama Awards 2025 bakal berlangsung pada 2 Oktober 2025 di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan. Majlis anugerah ini akan menyaksikan Anna berdiri sebaris dengan bintang-bintang besar Asia.  Acara tersebut turut disiarkan secara langsung di YouTube pada 2 Oktober 2025 dan akan ditayangkan pada 3 Oktober 2025, jam 6 petang (waktu Korea), melalui siaran SBS TV.

  • Acara Karpet Merah : 3.30pm (waktu Korea)
  • Acara Kemuncak Anugerah : 5.00pm - 7.00pm (waktu Korea) 

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy. 

Iced Ube Latte, ZUS Dataran Ara Damansara


Masa ZUS Coffee release Ube Series, satu office jadi FOMO lepastu order Ube Bae berjemaah. I try Iced Ube Latte sebab tersalah pilih patutnya nak ambil Iced Ube Cafe Latte. Tersalah tengok ada beza dua minuman ni sebab satu ada kopi, satu lagi tak ada. Bukan setakat FOMO je, warna ube latte ni cantik sangat because purple is loveeeeee!

Harga untuk satu cup Iced Ube Latte ialah RM10.90, I guess standard price lah dekat ZUS. Kalau harga air keladi kordial tu RM5 secawan besar, kira okay lah kot RM10.90 for the real keladi/ube/taro. Masa minum air keladi ni memang seronok kalau tak mix foam cream dekat bahagian atas. Ube tu ada rasa masin sikit which is good. 

Bila campur ube dengan cream tu auto rasa muak dan manis. Stress nak habiskan bila air keladi ni jadi manis. Boleh tak ZUS buat option untuk less cream selain less sugar? Lepas ni nak try Iced Ube Cafe Latte pulak tapi tengok review Jason, rasa ube tenggelam bila ada kopi. Tapi I rasa nak beli jugak sebab barista dekat ZUS Dataran Ara Damansara ni padu bila bancuh air.