Perdamaian Perceraian Menerusi ‘Cina Buta’

Wednesday 2 November 2022


‘Adakah nilai cinta lebih besar daripada nilai wang?’ merupakan persoalan drama terkini Astro Ria yang memaparkan kisah seorang lelaki yang sanggup mencantumkan talian perkahwinannya semula selepas talak tiga dengan mengupah ‘Cina Buta’. Slot Mega Drama kali ini pasti akan menarik perhatian para penonton Astro dengan penceritaan perceraian dan masalah rumah tangga di kalangan masyarakat kini yang dianggap masih taboo di layar perak. 

‘Cina Buta’ mengisahkan pasangan suami isteri, Sharnaz dan Mia Sara yang mempunyai ego tinggi dan sering bergaduh sehingga mereka bercerai buat kali yang ketiga. Sharnaz yang masih sayangkan bekas isterinya itu ingin kembali bersamanya menerusi perkahwinan cina buta yang dibantah oleh Mia Sara sendiri kerana bertentangan dengan agama. Mia Sara kemudian bertemu dengan Aliff dan berkahwin dengannya untuk melupakan tentang Sharnaz tanpa menyedari bahawa kehadiran Aliff adalah sebahagian daripada helah Sharnaz untuk mendapatkannya semula. Namun dalam keinginan Aliff untuk menolong Sharnaz kembali bersama bekas isterinya, dia terjatuh cinta dengan Mia Sara. 

Penceritaan yang sarat dengan liku-liku kehidupan berumah tangga serta pengajaran tentang hukum-hukum perkahwinan ini menampilkan gandingan trio baharu iaitu Ungku Ismail Aziz sebagai Sharnaz, Nad Zainal sebagai Mia Sara dan Aliff Aziz sebagai Aliff. 

Drama ini merupakan hasil karya daripada Shahrulezad Mohameddin selaku penerbit, penulis skrip serta pengarah. Para penonton juga turut dapat menyaksikan telatah-telatah yang mengujakan daripada watak Puteri Aishah, Norreen Iman, Anas Ridzuan, Azhan Rani, Aman Aziz, Didie Alias serta Shamsul Ghau Ghau. 

‘Cina Buta’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 9 November 2022, jam 10.00 malam secara eksklusif di slot MegaDrama melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.

PETIKAN KENYATAAN RASMI 

Norzeha Mohd Salleh - Ketua Saluran Astro Ria



“Slot MegaDrama kami sentiasa mempunyai  pembaharuan yang dapat memberi para penonton sedikit kelainan. Kali ini kami mempersembahkan naratif yang berat dalam konsep dramedy menerusi ‘Cina Buta’.  

Penggunaan istilah ‘Cina Buta’ mungkin jarang diperdengarkan di kalangan masyarakat, namun ia membawa maksud yang sangat penting dalam kehidupan sesebuah rumah tangga. Ia bermaksud perkahwinan yang dirancang untuk mendapatkan semula bekas isteri setelah terjatuhnya talak tiga. 

‘Cina Buta’ juga turut menyelitkan banyak pengajaran dan fakta buat penonton yang kurang arif tentang istilah ini dimana pihak produksi turut mendapatkan khidmat pegawai-pegawai agama bertauliah dari pejabat agama untuk menasihati garis panduan isi kandungan, penceritaan serta apa yang betul dan salah sepanjang pengambaran dijalankan.


Drama ini boleh berkongsi serba sedikit mengenai hukum-hukum agama dalam perkahwinan serta pentingnya menjaga adab ketika berkahwin agar tidak menyesal kemudian hari. 

Bukan itu sahaja, ‘Cina Buta’ juga menyelitkan betapa beratnya perkataan cerai dalam hubungan suami isteri. Malangnya, jika disalah gunakan, ada yang akan terkesan dengan tindakan penggunaan perkataan cerai secara bersahaja. 

Kami berasa amat berbangga dengan hasil karya daripada Shahrulezad Mohameddin yang memang berbakat dalam memilih apa yang patut ditonjolkan dalam penceritaan drama ini selain menjadikan ia sebuah drama yang mampu menghiburkan para penonton sambil memberi penjelasan dan pengajaran.

Gandingan Ungku Ismail Aziz dan Nad Zainal pasti akan mengujakan semua yang belum pernah melihat chemistry mereka serta kehadiran watak persis cinta tiga segi oleh Aliff Aziz yang bakal menambah tegangan dalam hubungan antara kedua watak utama. Kami yakin lakonan trio berbakat ini pasti akan membuatkan para penonton tidak sabar untuk menunggu detik 10.00 malam pada setiap hari Isnin hingga Khamis.”

Shahrulezad Mohameddin - Pengarah Drama ‘Cina Buta’


“Sejujurnya tajuk ‘Cina Buta’ ini memang didengari seperti drama yang berat namun idea asal saya adalah untuk menghasilkan karya ini dalam situasi yang lebih santai dan selesa supaya para penonton dapat terima dengan baik. Barisan pelakon yang ada memang semuanya pilihan saya sendiri termasuk nama watak mereka dan saya amat berbangga kerana mereka berjaya ‘meringankan’ penceritaan drama ini mengikut apa yang saya inginkan. 

Bukan itu sahaja, mereka juga pandai menghidupkan watak masing-masing yang memang seiras dengan perwatakan mereka sendiri. Mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk membimbing mereka sepanjang penggambaran dan sentiasa bekerjasama. 

Ketika penggambaran drama ini, apa yang menjadi cabaran kepada saya adalah penghasilan skrip. Banyak skrip yang perlu diubah pada saat terakhir di set dan saya perlu tulis skrip sendiri sambil mengarah. Namun sebagai seorang pengarah, saya sudah terbiasa dengan segala perubahan yang bakal terjadi sepanjang penggambaran walaupun ia boleh membuat situasi menjadi huru-hara.

Saya berharap drama ini mampu meninggalkan kesan yang baik kepada orang ramai bukan sahaja daripada kandungannya tetapi juga daripada kelebihan dan bakat pelakon-pelakonnya yang hebat-hebat belaka.”

PECAHAN WATAK DRAMA ‘CINA BUTA’

Mia Sara - Nad Zainal
Sharnaz - Ungku Ismail Aziz
Aliff - Aliff Aziz
Habibah - Puteri Aishah
Norreen - Norreen Iman
Ajis - Anas Ridzuan
Umar - Aman Aziz
Puan Sri - Didie Alias 
Tan Sri - Azhan Rani
Ustaz Ahmad Tungkik - Shamsul Ghau Ghau


LOGLINE DRAMA ‘CINA BUTA’

Suami isteri yang selalu bergaduh tetapi saling menyayangi. Sukar untuk mereka berkahwin semula kerana sudah tiga kali bercerai. Apa yang membolehkan mereka berkahwin semula adalah di 'Cina Buta'.

SINOPSIS DRAMA ‘CINA BUTA’

Sharnaz dan Mia Sara merupakan pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 30-an yang telah berkahwin selama lima tahun. Mereka sering bergaduh dan pernah bercerai dua kali tetapi kerana cinta, mereka berdua berbaik semula. Suatu hari, Sharnaz menceraikan Mia Sara sekali lagi kerana marah namun pada kali ini mereka tidak dapat berdamai semula kerana ini merupakan perceraian mereka buat kali yang ketiga. 

Selepas bercerai, Sharnaz mula sedar bahawa dia sangat menyayangi Mia Sara dan sangat cemburu apabila Mia Sara mula menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain. Oleh kerana terdesak, Sharnaz bercadang untuk mendapatkan semula Mia Sara menerusi ‘Cina Buta’. Mia Sara menolak sekeras-kerasnya rancangan Sharnaz yang jelas mempermainkan agama. 

Mia Sara kemudiannya bertemu dengan Aliff dan mengambil keputusan untuk mengahwininya untuk melupakan Sharnaz tanpa mengetahui yang sebenarnya dia adalah 'Cina Buta' yang telah diupah oleh Sharnaz untuk berkahwin dan menceraikan Mia Sara supaya dia dapat memilikinya kembali tetapi dalam masa yang sama, Aliff telah jatuh cinta dengan Mia Sara. Adakah dia sanggup mengembalikan Mia Sara kepada Sharnaz?

5 comments

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.