KARNIVAL JOM HEBOH x MSAM 2026 MENUTUP TIRAI DI STADIUM MERDEKA DENGAN PELBAGAI TARIKAN!

Monday, 23 November 2026

KARNIVAL JOM HEBOH x MSAM 2026 MENUTUP TIRAI DI STADIUM MERDEKA DENGAN PELBAGAI TARIKAN! | Luangkan Hujung Minggu Bersama Keluarga Dengan Pelbagai Aktiviti Menarik, Hiburan Dan Hadiah Lumayan Menanti Sepanjang Tiga Hari Penganjuran! 

Kuala Lumpur, 23 November 2026 - Bersedia untuk tiga hari penuh hiburan, aktiviti seisi keluarga dan peluang membawa pulang hadiah lumayan! Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 bakal menutup tirai penganjuran tahun ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November 2026 (Jumaat hingga Ahad), menerusi kolaborasi bersama Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Menggabungkan hiburan, aktiviti komuniti dan pendidikan kewangan dalam satu acara, edisi penutup ini menjanjikan pengalaman yang lebih bermakna buat seisi keluarga, dengan pelbagai tarikan untuk diterokai sepanjang tiga hari.

Memasuki tahun penganjuran ke-23, KJH terus menjadi antara acara padang ikonik negara, dengan pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai “Longest Running Outdoor Carnival”. Kali ini, pentas bersejarah Stadium Merdeka menjadi lokasi pertemuan hiburan dan ilmu apabila pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati pelbagai aktiviti serta persembahan artis popular, malah dapat mendalami pengetahuan tentang pelaburan dan pengurusan kewangan menerusi pengisian MSAM.

Lebih mengujakan, MSAM turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah yang pastinya mencuri perhatian. Antara hadiah utama yang menanti ialah sebuah rumah teres dua tingkat di Suasana Bandar Ainsdale, sebuah kereta BYD Seal Performance dan pakej pelancongan bernilai RM50,000. Pengunjung yang memenuhi syarat penyertaan juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah harian sepanjang karnival, termasuk Toyota Vios, Perodua QV-E, motosikal dan pakej percutian. Peluang membawa pulang hadiah bernilai tinggi ini pastinya menambah keterujaan untuk seisi keluarga merancang kunjungan ke KJH Kuala Lumpur 2026.

Bukan sekadar peluang memenangi hadiah, pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan bagi memastikan setiap kunjungan dipenuhi pengalaman menyeronokkan. Antaranya Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, sesi Meet and Greet bersama pelakon drama TV3 dan personaliti TV3 & TV9, Pertandingan Pakaian Tradisional Kanak-Kanak serta Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak. Pengunjung juga boleh menyertai pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, aktiviti Zumba dan Jom Lokal Jam, sebelum menyaksikan acara kemuncak yang dinanti-nantikan, Konsert Jom Heboh, pada malam Sabtu dan Ahad dengan persembahan daripada barisan artis popular tanah air.

Bagi yang gemar meneroka pelbagai jenama dan mendapatkan tawaran istimewa, lebih daripada 150 reruai di luar rangkaian Media Prima turut memeriahkan kawasan karnival. Antara jenama yang mengambil bahagian termasuk Maybank, Sime Darby, Fernleaf, Koko Krunch, Oatlife dan Grab, selain pelbagai lagi produk serta tawaran untuk diterokai. Daripada promosi istimewa hinggalah aktiviti di reruai, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman membeli-belah sambil meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Lengkapkan kunjungan dengan singgah ke Zon foodpanda, yang menghimpunkan pelbagai vendor makanan dan minuman untuk memenuhi selera pengunjung. Dengan aneka pilihan hidangan, zon ini menjadi persinggahan sesuai untuk berehat, menjamu selera dan menikmati suasana karnival sebelum meneruskan penerokaan ke tarikan lain di sekitar Stadium Merdeka.

Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KSWP

Bagi penggemar aktiviti kecergasan, Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP bakal melengkapkan siri penganjurannya bagi tahun 2026 di Stadium Merdeka pada 29 November 2026 (Ahad), bersempena KJH Kuala Lumpur 2026. Selepas menerima sambutan menggalakkan di Kota Samarahan, Miri dan Johor Bahru, acara ini kembali dengan peluang untuk peserta menggabungkan aktiviti riadah, gaya hidup aktif dan pengalaman menyertai karnival dalam satu kunjungan.

Menampilkan kategori larian 5KM, setiap peserta bakal menerima jersi rasmi, pingat penamat eksklusif (finisher medal), beg tote, nombor bib dan pelbagai cenderamata sebagai kenangan penyertaan. Lebih menarik, sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah turut menanti peserta, di samping peluang beramah mesra bersama pelakon drama, personaliti Media Prima dan selebriti popular yang bakal memeriahkan acara tersebut.

Dengan purata kehadiran melebihi 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi, KJH terus menjadi platform yang menemukan masyarakat daripada pelbagai lapisan menerusi gabungan hiburan, gaya hidup, aktiviti kekeluargaan dan pengisian komuniti. Kerjasama bersama MSAM pula menambah dimensi baharu kepada edisi kali ini, dengan peluang untuk pengunjung menikmati hiburan sambil memperoleh pendedahan tentang kepentingan perancangan kewangan.

Konsert Jom Heboh

Sebagai acara kemuncak, Konsert Jom Heboh bakal menghangatkan pentas dengan persembahan barisan artis popular tanah air selama dua malam berturut-turut. Pada Sabtu, 28 November 2026, penonton bakal dihiburkan oleh Man Bai, Bella Astillah, Syamel, Ernie Zakri, Black Hanifah dan Kristal X. Seterusnya, pada Ahad, 29 November 2026, pentas bakal menyaksikan persembahan daripada K.O.I, Drama Band, Mary Grace, Kai Deva dan Floor 88. Dimeriahkan dengan kehadiran hos Kieran, Keymi, Fizi Ali dan Muaz, konsert yang bermula pada 9.00 malam bagi kedua-dua malam ini pastinya menjadi antara tarikan utama yang dinanti-nantikan sempena penutup KJH 2026. 

Justeru, orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Jom Heboh x MSAM 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November 2026 (Jumaat hingga Ahad). Ajak keluarga dan rakan-rakan untuk menikmati tiga hari penuh aktiviti, meneroka pelbagai reruai, menyaksikan persembahan artis kegemaran serta merebut peluang memenangi hadiah lumayan, sekali gus menjadikan edisi penutup KJH 2026 sebagai pengalaman yang tidak harus dilepaskan.

Gunakan tanda pagar rasmi #KJH, #KarnivalJomHeboh dan #KJHKL untuk berkongsi detik istimewa anda. Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti kami di Facebook dan Instagram menerusi @jomhebohofficial.

Makan Malam di Linden Kopi, Subang Murni


Dah banyak kali adik-adik pergi makan dekat sini tapi I belum pernah merasa. Bila dah tak tahu nak makan dekat mana ajak lah diorang keluar makan dekat Linden Kopi. Teringin nak makan menu western dekat sini. 


Dari luar dah nampak interior dia kemas rapi, masuk dalam lagi cantik dengan warna hijau oren. Tak pernah lagi jumpa gabungan dua warna ni. Kalau ada, maksudnya tak pernah jejakkan kaki lagi lah dekat kedai tu. 

Entah kenapa, tengok interior dengan susun atur meja dalam restoran Linden Kopi ni teringat pula interior game Cafe World dalam Facebook tu. Siapa pernah main? 😝
 

Kitorang pergi lepas Maghrib sebab tu tak ramai orang sangat dekat Linden Kopi ni. Baru duduk dekat meja, dah ada staff dia datang layan. 


Masa ni Nurin MC sebab bahu dia sakit. Kali ketiga dah dia MC sebab bahu so dia pergi Hospital Sungai Buloh untuk refer pakar. 


Masa belek menu Linden Kopi ni macam nak makan Nasi Lemak Salmon tapi dah jemu makan nasi lemak sebab tu nak makan western tapi conflicted lah nak makan pasta atau pun menu lain. Belek punya belek sudahnya pilih Fish and Chips dengan Honey Lemon panas. 


Fariha pilih Creamy Truffle Mushroom dengan Butterfly Pea Rose Fizz. Nurin ambil Chicken Grill dengan Iced Latte. 

Bila semua order dah sampai rasa menyesal pulak tak ambil pasta dengan chicken grill. Nasib baik makan dengan family so boleh makan share-share. 


I suka jagung dengan pickles dia serve dalam chicken grill ni sebab kena dengan sos lada hitam. I yang habiskan jagung tu sebab Nurin tak suka. Rasanya dalam family, I je yang suka pickles. 


Masuk yang ni, dah kali kedua Fariha order Creamy Truffle Mushroom sebab dia suka makan cendawan. Quite generous lah cendawan yang dia letak dalam sepinggan pasta carbonara ni. I tak berapa gemar sebab rasa kosong bila tak ada lauk walaupun cendawan tu rasa dia seakan-akan ayam tapi tak sama lah. 


Fish and Chips dia kurenggggg. Mungkin sebab I dah makan fish and chips dari ikan perch so I rasa ikan lain tidak begitu menyelerakan. Lagipun dia goreng sampai kering, dari gambar pun boleh nampak kan kering dia macam mana. Tartar sauce pun rasa mayonis je lebih, bahan lain tenggelam. Mungkin sebab dia letak sikit. 

First time I makan fish and chips dengan perahan limau nipis. Rasa masam dia tak sama dengan lemon, mungkin sebab tu jugak kot fish and chips I tak berapa sedap. 

Walaupun I dapat menu yang tak berapa syok tapi next time nak pergi lagi makan dekat sini sebab teringin nak try menu lain. Tertarik dengan Grilled Lamb Peanut Curry, Nasi Lemak Wagyu dengan Matcha dia. 

DI SEBALIK 10 TROFI KHADAM, ADA CERITA YANG RAMAI TAK TAHU! | Dari Set Pengambaran Ke Pentas FFM35

KUALA LUMPUR, 23 November 2026 — Khadam menutup malam Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Istana Budaya dengan 10 trofi. Daripada 12 kategori yang menyenaraikannya dalam Top 5, filem ini memenangi sembilan, termasuk anugerah tertinggi, Filem Terbaik. Anugerah Khas Juri yang diraih Aghniny Haque menerusi watak Melor melengkapkan kemenangan itu. Pada malam yang sama, Aida Fitri Buyong turut meraih anugerah Rekaan Kostum/Busana Terbaik menerusi filem Gayong 2. 

Sebelum trofi diangkat, peminat sudah menyambut Khadam dengan cara tersendiri. Ratusan hadir berpasangan dalam pakaian tradisional sedondon di Twin Walk for Khadam, mengikut tema kembar Melor. Pelakon dan kru kemudian turun bertemu penonton menerusi Jelajah Khadam di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan & Kuantan. Sejak mula ditayangkan pada 11 Jun, filem ini mencatat kutipan RM5.12 juta dengan 277,838 penonton dalam 56 hari tayangan di Malaysia, menurut FINAS.

Di pentas FFM35, antara detik paling manis ialah apabila Zarra Zhaff, 14 tahun, diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam saingan bersama pelakon lebih berpengalaman. Sebagai Puteh, Zarra banyak membaca gerak tangan dan riak wajah Melor. Isyarat tangan keluarga itu dicipta khas untuk filem ini. Lebih istimewa, adik kandung Zarra, Karl’El, turut memegang watak adiknya di layar dan tersenarai dalam Top 5 Pelakon Kanak-Kanak Terbaik. Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim dan Jun Lojong melengkapkan barisan pelakon yang menghidupkan konflik keluarga Melor.

Di set, sebuah rumah dibuka bahagian demi bahagian di Raub dan dipasang semula di Gopeng. Bunyi beras, periuk dan hentakan kaki di lantai kayu pula dirakam untuk membina suasana rumah Melor. Di sebalik rupa Nek Mak, Jun Lojong menjalani solekan kesan khas selama kira-kira enam jam. Perincian inilah yang membuatkan kampung era 1950-an dalam Khadam terasa hidup.

Kerja di belakang tabir turut diiktiraf menerusi kemenangan Shamyl Othman (Pengarah Terbaik), Fariza Azlina Isahak (Lakon Layar Terbaik), Haris Hue (Sinematografi Terbaik), Soo Yuen Yiet (Penataan Bunyi Terbaik), Rendra Zawawi (Skor Muzik Asal Terbaik) dan Jessie Yeow (Tatarias/Solekan Terbaik). Tak Berlagu, nyanyian Ernie Zakri, meraih Lagu Tema Terbaik.

Kisah sebuah keluarga Melayu yang berdepan saka warisan ini turut menemui penonton di Kemboja, Singapura dan Indonesia. Dari pawagam serantau ke pentas FFM35, perjalanan Khadam memperlihatkan sejauh mana cerita yang berakar pada budaya kita boleh dibawa.

Red Communications dan Komet Productions bertindak sebagai penerbit eksekutif Khadam. Primeworks Studios mengendalikan pemasaran, manakala GSC Movies menguruskan pengedaran filem ini.

FILEM ASTRO SHAW RAIH LIMA KEMENANGAN DI FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-35 DAN SATU ANUGERAH KHAS

Sunday, 22 November 2026

KUALA LUMPUR, 22 November 2026 – Astro Shaw terus melakar pencapaian membanggakan dalam industri perfileman tanah air apabila meraih lima kemenangan menerusi tiga filem iaitu Malam Terlarang, Abah Saya Uncle Mike, TARUNG : Unforgiven, selain satu Anugerah Khas melalui filem animasi Papa Zola The Movie pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi.

Antara yang mencuri perhatian ialah filem seram terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, yang berjaya membawa pulang dua anugerah menerusi pelakon Aila Azizul bagi kategori Pelakon Wanita Harapan dan Ameen Mustajab bagi kategori Kesan Khas Visual Terbaik. Kemenangan ini menjadi pencapaian bermakna buat Malam Terlarang, khususnya Aila Azizul yang menerima pengiktirafan menerusi penampilan sulungnya di layar perak.

Sementara itu, sebuah lagi filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Etika Sdn Bhd, 7 Up dan Mirinda yang diinspirasikan daripada kisah sebenar seorang lelaki berbangsa Cina, Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike yang membesarkan tiga anak berbangsa Melayu, Abah Saya Uncle Mike, turut mencatat kejayaan apabila pengarahnya, Ezrie Gazali, dinobatkan sebagai Pengarah Harapan menerusi filem sulung arahannya.

Kejayaan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada bakat pengarahan baharu, malah membuktikan potensi kerjasama antara industri perfileman dan jenama komersial dalam menghasilkan karya tempatan yang mendapat pengiktirafan industri.

Manakala untuk filem TARUNG : Unforgiven terbitan Alpha 47 dengan kerjasama Astro Shaw menyaksikan pelakon Mierul Aiman dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Lelaki Harapan, dan anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik dimenangi oleh Defenderz Action Team.

Filem animasi Papa Zola The Movie terbitan Monsta Studio dengan kerjasama Astro Shaw, menerima Anugerah Khas Filem Box Office, sekali gus mengiktiraf kejayaan komersial filem animasi tempatan di pawagam. Filem Papa Zola The Movie mencatat kutipan hampir 70 juta seterusnya menjadi filem animasi nombor 1 negara meraih kutipan tertinggi.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan pencapaian pada FFM35 ini turut mencerminkan komitmen berterusan Astro Shaw dalam menyokong perkembangan industri perfileman tempatan, bukan sahaja menerusi penerbitan filem sendiri, malah melalui kerjasama strategik dan pelaburan dalam karya yang mempunyai potensi kreatif serta komersial.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dan berbangga dengan pengiktirafan yang diterima pada FFM35. Tahniah kepada semua pemenang, barisan pelakon, pengarah, pasukan kreatif dan seluruh tenaga produksi yang telah memberikan komitmen terbaik dalam menjayakan filem-filem ini.”

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakan penerbitan dan rakan kerjasama, termasuk Etika Sdn. Bhd. yang diterajui oleh Naib Presiden Pemasaran, Amy Gan, Pengurus Pemasaran, Pia Lisa, bersama Santharuban Thurai Sundaram atas kepercayaan yang diberikan dalam menghasilkan Abah Saya Uncle Mike. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama dan penghasilan karya tempatan yang berkualiti pada masa hadapan.”

Senarai kemenangan filem Astro Shaw di FFM35:

  • Pengarah Harapan – Ezrie Gazali (Abah Saya Uncle Mike)
  • Pelakon Wanita Harapan – Aila Azizul (Malam Terlarang)
  • Kesan Khas Visual Terbaik – Ameen Mustajab (Malam Terlarang)
  • Pelakon Lelaki Harapan – Mierul Aiman (Tarung: Unforgiven)
  • Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik – Defenderz Action Team (Tarung: Unforgiven)
  • Anugerah Khas Filem Box Office – Papa Zola The Movie 

KUALA LUMPUR, 22 November 2026 – Satu lagi pencapaian membanggakan buat industri perfileman Malaysia apabila pelakon tempatan, Nandagopall Mohan, mencipta sejarah dengan meraih Anugerah Pelakon Baharu Terbaik menerusi filem Sayang Sayang di Golden Horse Awards Ke-63, yang berlangsung hari ini di Taipei Music Center, Taipei, Taiwan.

Kemenangan tersebut sekali gus mengharumkan nama negara di salah satu pentas anugerah perfileman paling berprestij di Asia, serta membuktikan kemampuan bakat tempatan untuk meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menerusi Sayang Sayang, Nandagopall membawakan watak Ajay, seorang remaja kurang pendengaran dan tidak boleh bertutur yang mempunyai minat mendalam terhadap tarian. Tanpa bergantung kepada dialog, beliau berjaya menyampaikan emosi dan menghidupkan wataknya melalui ekspresi wajah, bahasa tubuh serta pergerakan tarian yang memberikan impak kepada penonton.

Filem Sayang Sayang Diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd dengan kerjasama Astro Shaw, meraih lima pencalonan di Golden Horse Awards Ke-63, merangkumi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Mhia Firdaus, Pelakon Baharu Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Kesan Bunyi Terbaik.


Ketika menerima anugerah tersebut, Nandagopall turut menitipkan penghargaan kepada keluarga, pengarah serta seluruh pasukan produksi Sayang Sayang yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menghidupkan watak Ajay.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mempercayai dan memberikan peluang kepada saya untuk membawa kisah ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Ajay kerana memilih saya untuk menceritakan kisahnya.”


“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua insan yang pernah berasa terpinggir, terpaksa memendam perasaan atau merasakan suara mereka tidak didengari. Saya berharap melalui kisah Ajay, mereka akan menemui suara sendiri, belajar menerima diri dan menghargai siapa diri mereka sebenarnya.”

Diarahkan oleh pengarah Taiwan, Tang Hsiang-Chu, Sayang Sayang merupakan sebuah filem kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan yang mengangkat kisah kekeluargaan, kasih sayang serta kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Filem ini mengetengahkan hubungan dan emosi manusia yang dekat dengan kehidupan seharian, sekali gus membuktikan bahawa kisah tempatan mampu mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.


Filem ini turut dibintangi barisan pelakon Malaysia dan Taiwan termasuk Amir Ahnaf, Khir Rahman, Farah Ahmad, Mhia Firdaus, Jo Kukathas, Sasha Tang, Ong Ai Leng dan Lee Lee-Zen.

Filem Sayang Sayang yang mula ditayangkan pada 5 November lalu masih berada di pawagam Malaysia. Orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri persembahan lakonan Nandagopall Mohan yang berjaya mencipta sejarah di Golden Horse Awards Ke-63.

Movie Review | Daayra (2026)

Pengarah: Meghna Gulzar
Penulis Skrip: Meghna Gulzar, Sima Agarwal, Yash Keswani   
Pelakon: Kareena Kapoor Khan, Prithviraj Sukumaran, Kanwaljit Singh, Achint Kaur, Anuja Sathe, Seema Azmi, Biswapati Sarkar, Jitendra Joshi, and Upendra Chauhan.
Syarikat Produksi: Junglee Pictures, Pen Studios   
Pengedar: Pen Marudhar
Genre: Jenayah / Thriller 
Durasi Tayangan: 143 minit
Tarikh Tayangan: 18 September 2026   
Trailer:


Daayra mengisahkan tentang perjalanan DCP Ajooni Kohli (Kareena Kapoor Khan) yang ditugaskan untuk menyiasat serangan yang dilakukan oleh pasukan DCP Raman Kumar (Prithviraj Sukumaran) terhadap empat orang penjenayah ketika aktiviti lakonan semula. 

Ajooni yang dibesarkan oleh Hakim Kohli (Kanwaljit Singh) percaya semua penjenayah berhak mendapatkan perbicaraan di Mahkamah dan bukannya dihukum oleh pihak polis atau orang awam. DCP Ajooni bersama Inspektor Vishal Mishra (Upendra Chauhan) dan Inspektor Aarti (Ipshita Chakraborty Singh) ke Suryapur untuk meneliti kes rogol dan pembunuhan Ragini Pujari (Pragati Mishra). 


‘The media held the trial, the public held their judgment and police did the rest. Who has patience left for the judiciary anymore? People want everything instantly.’ – Judge Kohli

Tugas DCP Ajooni Kohli dan pasukannya hendaklah mengesahkan kejadian yang berlaku adalah kemalangan yang tak disengajakan dan bukan pembunuhan yang dirancang seperti yang disoal oleh pihak media dan juga Kementerian Sumber Manusia. 


Filem Daayra arahan dan penulisan Meghna Gulzar diinspirasikan dari kes sebenar jenayah rogol berkumpulan dan pembunuhan yang berlaku di Hyderabad pada tahun 2019 di mana seorang suspek iaitu doktor veterinar berumur 26 tahun dibunuh ketika berada di dalam tahanan polis. Tak ada rasa simpati oleh orang awam terhadap suspek malah diraikan kerana penjenayah mendapat hukuman setimpal. 

Sama dengan Daayra di mana Meghna Gulzar tak menggunakan ilusi perspektif malah sudah maklum semua orang akan berpihak pada DCP Raman yang melakukan kerja dengan cekap dan merasakan mangsa mendapat keadilan sewajarnya. 


Dari sidang media yang dilakukan oleh pihak polis pun dah nampak DCP Raman dan pasukan dia memilih untuk menghukum penjenayah kerana ini bukan pertama kali kes jenayah sebegini berlaku. Semakin filem bergerak, semakin kita berpihak pada DCP Raman malah DCP Ajooni juga terkesan dengan keterangan dari keluarga mangsa. 

Separuh masa pertama merupakan perjalanan yang sarat dengan emosi dan dipaparkan dengan cemerlang oleh Kshitee Jog sebagai Parvati Pujari, ibu kepada Ragini. Macam mana dia berlari dari tempat Ragini diculik kemudiannya merayu di balai polis sehingga lah merayu pada DCP Raman tentang kes yang sebenar akan bermula di Mahkamah dan bukannya setelah polis berjaya mencari penjenayah. 


Watak DCP Raman tak lah memainkan peranan yang kuat pun dalam filem Daayra tapi mungkin sebagai pelaris filem kepada penonton India Selatan. Babak DCP Raman perli cara kerja Inspektor Bala (Brijbhushan Shukla) tu kelakar dan menghiburkan. 

Emosi dalam Daayra banyak dizahirkan oleh Kshitee Jog dan Kareena Kapoor Khan yang menyiasat semua pihak tanpa memilih untuk berada di sebelah mana. Dari awal pun dia dah tahu DCP Raman bunuh semua suspek sebab tu ada babak dia menyembang tentang serangan balas bersama ayah dia. A casual chat tapi dah cukup untuk terangkan yang dia berada di pihak mana. 


Lepas berjumpa dengan keluarga Ragini pun dia semakin yakin yang penjenayah ni kejam dan itu bukan kes pertama bila dia tahu Raju (Ram Diwakar) tak ada lesen hampir 2 tahun. Masa Inspektor Vishal beremosi bila dapat tahu ada pegawai polis yang buat kerja sambil lewa, pun dah nampak pasukan DCP Ajooni berpihak di mana. 

Sayangnya, Meghna Gulzar tak mampu buatkan penonton rasa untuk berpihak kepada pendirian DCP Ajooni yang lebih memilih undang-undang dari moral. Dekat babak klimaks, dia bukannya hadir sebagai penggerak malah hanya untuk menyokong DCP Raman. Persoalan yang cuba ditimbulkan di awal filem tampil lemah di hujungnya. Kalau dia cuma ingin menyokong DCP Raman, baik ubah watak Kareena sebagai wartawan yang bebas bertanya dan bebas juga mengubah pendapat. 


Di penghujung filem Daayra pun pengarah tunjuk contoh penjenayah yang bebas akibat loophole atau crack dalam Pekeliling yang dikeluarkan selepas kes di Delhi. Babak tu buatkan I semakin keliru dengan apa yang cuba disampaikan oleh Meghna. Kesimpulan yang boleh dibuat cuma moral dan empati DCP Raman lah wajar dianggap adil dan saksama bila sistem perundangan semakin buta dan dilemahkan oleh rasuah.

Latar masa yang digunakan agak mengelirukan dan mengganggu penggunaan dua latar masa antara DCP Raman dan DCP Ajooni sekaligus menggangggu konflik yang berlaku antara dua pihak terlibat. 


Sebagai naskhah dan thought-provoking film, Daayra gagal untuk paparkan pendirian DCP Ajooni tapi sebagai orang awam yang berpihak pada mangsa, Daayra adalah satu kepuasan. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.5, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.5 = /10

Movie Review | Sayang Sayang (2026)


Pengarah: Tang Hsiang-Chu
Penulis Skrip: Tang Hsiang-Chu 
Pelakon: Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Jo Kukathas, Khir Rahman, Farah Ahmad, Lee Lee-Zen, Ong Ai Leng, Vemanna Appannah, Mia Tan Shu Man, Tan Li Yang
Syarikat Produksi: More Entertainment Sdn Bhd, IS Entertainment Co., Ltd   
Pengedar: Astro Shaw
Genre: Drama 
Durasi Tayangan: 99 minit
Tarikh Tayangan: 5 November 2026   
Trailer:


Mengisahkan Nancy (Jo Kukathas) yang menghidap kanser pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur bersama anak tunggalnya, Ajay (Nandagopall Mohan). Di sana dia membuka kelas bahasa isyarat kerana Ajay cacat pendengaran jadi berbekalkan ilmu dan pengalaman dia membesarkan Ajay, Nancy membantu orang kampung yang mempunyai masalah yang sama. 


Di Kampung Mangkuk juga, Mina (Mhia Firdaus) yang pekak amat meminati sukan Muay Thai tapi tidak mendapat peluang seperti abangnya, Aman (Amir Ahnaf) kerana ayahnya, Hassan (Khir Rahman) percaya Mina lebih bagus berada di rumah seperti perempuan yang lain. Mina berkawan rapat dengan San San (Shasha Tang) yang juga mempunyai kekurangan yang sama. San San banyak meluangkan masa di sekolah Nancy sebagai pengajar kemudiannya belajar tradisi kaum Cina. 


Uniknya di kampung tersebut, terdapat lagenda yang menceritakan ikan paus menyelamatkan moyang mereka yang kemalangan di laut lalu bawa mereka ke darat. Sebagai membalas budi, mereka sentiasa menjaga keharmonian antara manusia dan hidupan laut. Malangnya, ada yang mula mengganggu untuk raih keuntungan individu. Kerana insiden tersebut, ramai yang mula terkesan. 


Filem Sayang Sayang arahan dan penulisan Tang Hsiang-Chu mendapat inspirasi dari keharmonian penduduk di Malaysia ketika datang bercuti 26 tahun lalu. Kerana semangat perpaduan dan keharmonian yang diamalkan, dia mengambil keputusan untuk merakam semangat ini dalam sebuah naskhah berdurasi 99 minit. 

Sebelum ditayangkan di Malaysia secara rasminya pun, filem kolaborasi Malaysia–Taiwan, Sayang Sayang telah tercalon dalam 5 kategori di Anugerah Golden Horse ke-63 iaitu Lakon Layar Asal Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Baharu Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik, dan Kesan Visual Terbaik.


I berpeluang tengok filem Sayang Sayang sehari selepas filem BAGA: Esok Untuk Siapa (2026) dan kedua-duanya menggunakan Terengganu sebagai latar tempat dan latar masyarakat utama. Filem BAGA menerusi lensa Tan Tack Zee sementara Sayang Sayang pula melalui lensa Kartik Vijay, ISC mengangkat keindahan alam semulajadi di  Terengganu, Kelantan dan Pulau Tenggol. Tahun ni memang I ada luck dengan Terengganu sampai rasa jatuh cinta dengan negeri ni. 


Bila dah pernah pergi Terengganu, apa yang digambarkan dalam Sayang Sayang terasa dekat sangat di hati. Keharmonian dan ketenangan yang digambarkan dalam Sayang Sayang terpahat kuat sepanjang menonton. Seronok tengok Mina dan San San luangkan masa sama-sama. Walaupun dua-dua ada kekurangan tapi tak menghalang untuk mereka berdua membesar dengan sihat dan mendalami ilmu kehidupan di pesisir pantai. 


Dalam kebahagiaan tu pun, sama seperti BAGA: Esok Untuk Siapa (2026), kehidupan Mina tak lari jauh dari kehidupan Melur yang sentiasa dipandang rendah oleh si ayah. Mungkin Hassan nak menjaga Mina dari ancaman luar tapi terlebih sampai nampak mengongkong. Bagusnya Mina, dia tahu apa dia nak dalam hidup dan dia pertahankan impian dia. Sama seperti San San yang berjaya yakinkan keluarga yang dia mampu warisi tradisi keturunan walaupun ada kekurangan. 


I happy dapat tengok lakonan Amir Ahnaf back-to-back dalam BAGA: Esok Untuk Siapa (2026) dan Sayang Sayang. Letak lah dia sebagai apa pun, watak dia mesti mendukung cerita dengan baik. Dinamik Amir dan Mhia menghidupkan bonding adik-beradik dan dia juga yang jadi penguat semangat untuk Mina capai impian. Comel tengok Mina dengan Aman berlari nak pergi berlatih dikir barat.  


Tak sangka tahun ni I dapat tengok filem tempatan yang sarat dengan budaya masyarakatnya, sarat dengan keseniannya, dengan karakter dan personalitinya. Mungkin filem Sayang Sayang menggunakan pace yang perlahan dan kurang dialognya sehinggakan terasa mendatar tapi pengalaman sinematik yang dibawa sangat meninggalkan kesan. Gemersik suara Dato’ Sheila Majid untuk lagu Sayang menguatkan lagi emosi yang dipaparkan dalam Sayang Sayang.



Kelemahan Sayang Sayang terletak pada kebergantungan naskhah pada visual sampaikan ada beberapa konflik yang tak dijelaskan dengan baik. Macam babak Hassan pergi ke rumah Tauke (Lee Lee-zen) untuk tegur perangai San San yang rapat dengan Mina tapi kenapa nak halang? Apa tanggapan dia pada keakraban tu? Sebab San San suka ajak Mina lepak dekat laut ke atau sebab tak nak Mina dipandang lemah oleh orang kampung? 

Tak faham kenapa Hassan rasa dia patut bawa Mina ke sekolah bahasa isyarat Nancy sedangkan Hassan sekeluarga yang patut pergi belajar di situ bila mereka sendiri tak mampu nak berkomunikasi dalam bahasa isyarat. 


Babak tradisi yang dibawa dari keluarga San San patut diperjelaskan lagi menerusi perbualan kenapa pentingnya mereka sekeluarga menjadi penjaga keharmonian daripada biarkan visual bercerita. Babak Ajay menari dalam imaginasi dia patut dipendekkan sebab draggy. Lakonan Nandagopall Mohan cemerlang sebagai Ajay cuma watak dia tak dikembangkan dengan baik lantas emosi di babak menari kurang menyentuh.

Tapi itu lah, filem macam ni memang suka biar penonton berfikir sendiri daripada ceritakan semua. Sayang lah naskhah yang bagus tapi tak mampu tarik minat penonton tempatan disebabkan beberapa kekurangan.
 

Apapun, I rasa bangga dan bersyukur filem tempatan dah mula berkembang dan mempunyai cerita tersendiri untuk diceritakan di layar besar. All the best untuk team Sayang Sayang!

1. Team Production +0.8, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.8/10

Movie Review | Other Mommy (2026)

Saturday, 21 November 2026

 

Pengarah: Rob Savage
Penulis Skrip: Nathan Elston   
Pelakon: Jessica Chastain, Jay Duplass, Arabella Olivia Clark, Dichen Lachman, Arian Moayed, Sean Kaufman, Karen Allen
Syarikat Produksi: Blumhouse Atomic Monster  
Pengedar: Universal Pictures
Genre: Psikologi / Seram 
Durasi Tayangan: 93 minit
Tarikh Tayangan: 09 Oktober 2026 
Trailer:


Isabela Martin (Arabella Olivia Clark) cuba untuk menyesuaikan diri di sekolah baru dan mula sedar yang kedua orang tuanya semakin dingin di rumah. Ketika ibunya, Ursula Martin (Jessica Chastain) keluar bekerja, ayahnya, Russell Martin (Jay Duplass) akan menjaga Bela di rumah. Bela mempunyai kawan yang digelar Other Mommy di rumah tersebut kerana dia lebih suka versi Ursula yang suka dengannya.

Satu hari Ursula pulang lebih awal dan ingin luangkan masa bersama Bela. Ketika memasak pasta kesukaan Bela, Ursula mula bercakap perkara aneh dan minta untuk masuk ke hati Bela. Bela ketakutan dan ajak Russ lari keluar rumah. Russ periksa bahagian dapur dan halang dari terbakar tapi terkejut dengan kehadiran entiti menyeramkan yang menyerupai Ursula. 


Russ dan Ursula cuba tenangkan Bela dan teman dia tidur tapi tak menghalang Other Mommy untuk berbual dengan Bela. Ketika parti ulangtahun perkahwinan Russ dan Ursula, Kelvin (Sean Kaufman) diupah untuk menjaga Bela. Kerana percayakan Kelvin, Bela panggil Other Mommy untuk bertemu dengan kawannya. Tapi belum sempat Kelvin bercakap, Russ panggil Kelvin dan Bela turun ke bawah untuk berkenalan dengan tetamu yang datang. 

Semakin Bela takut, semakin galak Other Mommy ajak Bela ke dunia dia tapi Russ cuba selamatkan anaknya. Mereka bermalam di rumah Frank (Arian Moayed) tapi cuma membuka pekung Ursula yang curang dan Bela minta Other Mommy untuk hilangkan Frank. Keadaan tersebut buatkan mereka semua sedar Other Mommy adalah entiti yang berbahaya terhadap mereka semua. 


Filem terbaru terbitan James Wan mengadaptasikan Other Mommy dari novel berjudul Incidents Around the House karya nukilan Josh Malerman dan diterbitkan pada tahun 2024. Filem seram psikologi arahan Rob Savage menggunakan kawan imaginasi kanak-kanak dan masalah rumah tangga sebagai penggerak plot utama. 

Bela mungkin berumur 7 tahun tapi karakter dia yang observant buatkan filem diceritakan dari POV dia. Dengan mudahnya dia tahu Ursula masih canggung menjaga Bela, dengan mudah juga dia tahu Ursula curang dengan lelaki lain. Boleh jadi Bela takut untuk bergaul dengan orang berpunca dari layanan dingin Ursula terhadap dia. 


Sembang tentang Other Mommy, Jessica Chastain tampil menyeramkan bermula dari babak kita diperkenalkan dengan entiti seram tersebut. Tengok dia senyum teringat Anna Jobling senyum dalam Lembayung (2024). Makhluk seram dalam filem Other Mommy tak lah seram secara fizikal cuma seram bila dia boleh membunuh dan tak ada cara untuk selamatkan diri dari Other Mommy. Kuasa dia kuat sangat sampai I expect Other Mommy adalah jelmaan syaitan tapi I yang melebih-lebih. 

Sinematografi dari Lowell A. Meyer buatkan transition entiti seram berubah nampak smooth dan meyakinkan. Beberapa babak terlihat menarik dan mengerikan dalam masa yang sama. Didukung pula dengan musik latar oleh Patrick Johnson macam babak Bela di playground dalam pasaraya. 


Kelemahan Other Mommy terletak di separuh masa kedua bila Russ dan Ursula putuskan untuk minta tolong dengan Ruth Martin (Karen Allen). Ingatkan dia yang akan selamatkan Bela atau at least ceritakan pada anak menantu siapa Other Mommy dan apa kuasa dia rupanya penulis biarkan geng Lois Anthony (Dichen Lachman) yang took over. 

Tak pasti kenapa Russ dan Ursula buat keputusan untuk balik rumah sedangkan boleh sangat selesaikan di rumah Ruth Martin. Biar Ruth pun nampak yang Russ adalah menantu dan ayah yang baik kepada cucu dia. Merepek sangat babak Ursula suruh Bela pilih senjata apa nak pakai untuk lawan Other Mommy. 


Masa trailer filem Other Mommy keluar rasa teringin lah nak tengok tapi tak sangka pula mengecewakan. But that’s okay lah sebab tak lah menggelikan macam Evil Dead Burn (2026).

1. Team Production +0.5, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.6, 10. Personal Thought +0.5 = 6.4/10