WANITA HARI INI | Wajah Baharu, Lebih Segar & Padat, Inspirasi Tanpa Sempadan
Thursday, 10 September 2026
Kuala Lumpur, 10 September 2026 – Program bual bicara wanita popular TV3, Wanita Hari Ini (WHI) bakal tampil dengan wajah baharu menerusi pendekatan yang lebih segar dan dinamik, memperluas kehadirannya merangkumi televisyen dan platform digital dengan kandungan yang lebih relevan buat wanita masa kini.
Bermula 13 September 2026, WHI akan menemui penonton menerusi slot baharu setiap Ahad, jam 2.00 hingga 3.00 petang, dengan menampilkan segmen utama seperti WHI Trend, WHI Cantik, WHI Menu, WHI Curhat, WHI Kasih, Pesona Nona, selain topik perbincangan semasa yang dekat dengan kehidupan wanita masa kini.
Selain pengisian utama pada hujung minggu, WHI turut mendekati penonton menerusi WHI Vibe, segmen ringkas berdurasi lima minit yang akan disiarkan Isnin hingga Jumaat, jam 12.00 tengah hari. Kandungan digital baharu WHI pula akan dimuat naik pada jam 12.00 tengah hari menerusi platform digital rasmi, memberikan lebih banyak peluang kepada penonton untuk mengikuti perkembangan dan inspirasi daripada WHI pada bila-bila masa.
Jadual siaran baharu:
- WHI Vibe: Isnin - Jumaat, 12.00 - 12.05 tengah hari
- WHI: Ahad, 2.00 - 3.00 petang
Pelbagai pengisian dalam WHI yang lebih segar:
- WHI TREND - Menampilkan pelbagai trend semasa dalam gaya hidup, hobi, dekorasi, fesyen dan petua harian.
- WHI CANTIK - Berkongsi topik kecantikan dan kesihatan, termasuk penjagaan diri serta isu kesihatan kulit dan tubuh.
- WHI MENU - Menyentuh tentang resipi mudah, hidangan bajet, makanan tular serta ulasan tempat makan.
- WHI CURHAT - Mengangkat kisah kehidupan yang menyentuh hati termasuk tentang cinta, kehilangan, keluarga, kerjaya dan cabaran yang dilalui.
- WHI KASIH - Meneroka pelbagai aspek hubungan dalam keluarga, percintaan dan persahabatan.
- PESONA NONA - Temu bual bersama selebriti dan wanita inspirasi untuk menyelami kisah, pengalaman serta sisi peribadi mereka.
Perubahan ini turut menyaksikan WHI memperluas barisan hosnya apabila Fiza Sabjahan, Syahira Izzaty dan Sugeeta Chandran akan bergandingan bersama tiga wajah baharu iaitu Hanna Faresha, Nurin Razmyn dan Izza Izelan. Kesemua perkembangan ini diperkenalkan menerusi sidang media yang berlangsung hari ini di Balai Berita, Bangsar.
Di sebalik penambahan barisan hos, setiap wajah baharu hadir dengan latar belakang serta kepakaran tersendiri. Hanna Faresha, pelakon berbakat dan ikon gaya hijab; Nurin Razmyn, seorang pempengaruh; serta Izza Izelan, wartawan penyiaran berpengalaman, bakal melengkapi barisan hos sedia ada dengan perspektif masing-masing.
Menurut Puan Farah Shamsudin, Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Strategi Kandungan & Audiens, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima, “WHI mempunyai nilai tersendiri sebagai sebuah jenama yang telah lama menemani audiens menerusi pelbagai generasi. Dalam landskap media yang sentiasa berubah, kami sentiasa menilai cara terbaik untuk menyampaikan pengalaman yang memenuhi kehendak penonton hari ini. Transformasi ini mencerminkan komitmen kami untuk membawa WHI terus berkembang, sambil mengekalkan identiti dan kekuatan yang telah membina kepercayaan penonton selama ini.”
Dengan gabungan pengalaman, wajah baharu serta kandungan yang lebih luas, WHI terus menjadi platform yang meraikan inspirasi, perkongsian dan aspirasi wanita Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Wanita Hari Ini (WHI), ikuti laman media sosial rasmi @TV3Malaysia di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok, serta Wanita Hari Ini TV3 di Facebook, @whitv3 dan @inspirasi_nona di Instagram, WHI TV3 dan inspirasi_nona di Threads, serta @whitv3malaysia_official di TikTok.
CHELOT terus mencipta momentum di pawagam apabila berjaya mencatat RM14 JUTA kutipan selepas 14 hari tayangan termasuk Tayangan Awal!
Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi menjadi bukti sokongan padu rakyat Malaysia terhadap karya tempatan. Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus dan kerana terus memilih CHELOT sebagai tontonan anda di pawagam.
Dengan aksi, debaran dan kisah penuh muslihat yang dibawakan, perjalanan CHELOT masih belum berakhir!
Jom terus support karya tempatan arahan Adrian Teh dan saksikan CHELOT di pawagam seluruh Malaysia hari ini! Ajak geng, keluarga dan kawan-kawan untuk sama-sama menikmati pengalaman penuh aksi dan debaran CHELOT di layar besar.
Primeworks Studios, selaku Rakan Pemasaran bagi CHELOT, mengajak anda untuk terus mengikuti perkembangan terkini filem ini dan berkongsi keterujaan menerusi tanda pagar #CHELOT.
HAEL HUSAINI & AISHA RETNO PALING “SIBUK” DI AMT2026 DENGAN LIMA PENCALONAN SEORANG! | Siapa Bakal Bawa Pulang Trofi Berganda?
Kalau ada gelaran “Raja & Ratu Pencalonan” di Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026), nama Hael Husaini dan Aisha Retno jelas berada di barisan paling hadapan apabila kedua-duanya muncul sebagai selebriti dengan pencalonan terbanyak, masing-masing tersenarai dalam lima kategori.
Dengan lima pencalonan, Hael Husaini bersaing dalam kategori Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO, Selebriti Stailo Terhangat serta Selebriti Chemistry Terhangat susulan gandingannya bersama Dayang Nurfaizah.
Dalam pada itu, Aisha Retno turut mengumpul lima pencalonan menerusi Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat dan Selebriti Viral Terhangat, selain dua pencalonan dalam kategori Lagu Terhangat bagi lagu Jodoh Lebaran serta Kota Ini Tak Sama Tanpamu yang dinyanyikan bersama Nadhif Basalamah dan Aziz Harun.
Jika pencalonan Hael memperlihatkan kepelbagaian pengaruhnya merentas pelbagai sisi dunia hiburan, Aisha pula menonjol dengan kekuatannya dalam muzik, populariti dan karya.
Lebih menarik, momentum kedua-dua nama ini semakin terserlah selepas masing-masing mencipta pencapaian tersendiri di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40). Hael sebelum ini dinobatkan sebagai Ikon AJL40, manakala Aisha Retno pula meraih tempat kedua AJL40, sekali gus meletakkan mereka dalam radar utama AMT2026.
Kini, persoalan yang lebih hangat ialah sama ada lima peluang yang dimiliki mampu membuahkan kemenangan berganda apabila trofi AMT2026 dipertaruhkan.
Siapakah pilihan anda? Layari laman undian AMT2026 sekarang, pilih calon pilihan anda dan undi sebelum terlambat!
Anugerah Melodi Terhangat 2026 akan bersiaran pada 18 Oktober 2026, Ahad, jam 9.00 malam, secara langsung di TV3 dan Tonton. Jangan lupa saksikannya!
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai AMT2026, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok @TV3Malaysia, serta Instagram dan TikTok @MelodiTerhangat.









































