Harapan Ibu Digendong Penuh Derita Dalam ‘Amshar Bukan Asha’

Friday 8 July 2022

Kerelaan hati untuk menuruti kemahuan ibu tersayang, namun hilang pendirian hidup yang diimpikan merupakan kisah utama yang diketengahkan dalam telemovie terkini Astro Ria iaitu ‘Amshar Bukan Asha’. Telemovie terbitan I Fabulous Art Media & Event Sdn Bhd ini sarat dengan emosi dan tangisan yang mampu menyayat hati setiap penonton tentang kasih sayang seorang anak kepada ibunya. 

Penceritaan berdurasi 96 minit ini mengisahkan Amshar, seorang remaja lelaki yang dijaga dan dididik dengan penuh kasih sayang oleh ibunya, Asmah. Namun berbeza daripada ibu-ibu yang lain, dia diasuh menjadi seorang yang berperwatakan lembut dan sopan, tidak menyerupai personaliti seorang lelaki. 

Malah, dia juga dipanggil dengan nama ‘Asha’ oleh ibunya sendiri. Walaupun terseksa dengan kutukan orang ramai tentang perwatakannya, Asha masih menuruti kemahuan ibunya kerana menyayanginya. Namun tindak-tanduk ibunya ini menolak impian Asha jauh daripada kehidupannya. 


Seperti remaja lelaki yang lain, Asha juga ingin bergaul dan bermain bersama mereka. Dia juga mempunyai minat dalam sukan bola sepak tetapi hanya boleh melihat dari jauh kerana segan tidak mempunyai kemahiran dan pengalaman bermain sebelum ini atas menjaga perasaan ibunya. Dia terpaksa menuruti ibunya yang tidak gemar dengan perwatakan kelelakian kerana mengerti dengan perasaan dia yang mempunyai kisah silam yang buruk dengan suaminya.  

Telemovie yang menterjemahkan aspek perasaan dan pengorbanan serta menyoal kesan penderaan rumah tangga ini mengangkat Naim Daniel sebagai Amshar atau Asha dan Farah Ahmad sebagai watak ibu iaitu, Asmah.  


‘Amshar Bukan Asha’ merupakan arahan Eyra Rahman, pengarah yang dikenali ramai serta didukung oleh barisan pelakon yang berbakat seperti Syazwan Zulkifly, Haidar Hasanudin, Emma Sofea, Sahronizam Noor dan Raff Roslee. 

Telemovie ini akan ditayangkan pada hari Ahad, 10 Julai 2022, jam 10.00 pagi secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang fleksibel. 

PETIKAN KENYATAAN RASMI 

Eyra Rahman - Pengarah Telemovie ‘Amshar Bukan Asha’

“Setiap cerita yang mempunyai watak utama berkisahkan ibu dan anak pasti akan memberi sedikit tangisan kepada kita semua. ‘Amshar Bukan Asha’ merupakan sebuah telemovie yang penuh dengan emosi dan jalan cerita yang mampu membuat penonton tidak henti mengalirkan air mata.

Seperti saya sendiri, setiap manusia diasuh oleh ibunya. Itulah yang membuatkan ikatan anak dan ibu sangat berharga. Namun, penceritaan ini memaparkan kisah anak yang tidak menyukai cara asuhan ibu mereka. Tambahan pula dengan kisah di sebalik cerita masing-masing. Saya pasti penonton akan terikut dengan telemovie ini pada setiap saatnya.


Ketika penggambaran telemovie ini, cuaca sangat tidak menentu jadi ia merupakan sebuah cabaran kepada saya untuk menyiapkan penggambaran. Kami banyak melakukan penggambaran outdoor jadi kami perlu menukar jadual penggambaran mengikut kesesuaian dan budget yang telah ditentukan oleh producer. Oleh sebab itu, ada beberapa babak yang kami perlu tukarkan dari aspek skrip untuk menjadikan jalan penceritaan lebih cantik. 

Selain itu, barisan pelakon dalam telemovie kali ini semuanya berbakat. Farah Ahmad, Syazwan Zulkifly dan Shahronizam Noor merupakan pelakon yang berpengalaman jadi sangat senang bagi mereka untuk menjiwai watak masing-masing. Apa yang mereka berikan dalam telemovie ini sama seperti apa yang saya gambarkan. 


Untuk watak Amshar dan Asha juga, Naim Daniel mempunyai bakat yang sangat luar biasa. Bakatnya memang sangat luas dan dia juga merupakan seorang yang versatil. Semua orang tahu dia ialah seorang penyanyi dan komposer, malah dari segi lakonan pula dia juga bijak dalam menjiwai karakternya. Emosi yang disampaikan memang terasa dalam setiap jiwa. Tak dilupakan juga pelakon baharu seperti Emma, Haidar dan Raff yang antara pelapis baharu. Saya pasti mereka semua akan menyerlah suatu hari nanti, InshaAllah. 

Saya berharap penonton dapat menjiwai setiap yang diterjemahkan dalam telemovie ini kerana ini karya yang menyoalkan tentang perasaan dan pengorbanan. Dua perkara ini penting dalam kehidupan kita untuk memahami perasaan orang yang kita sayang. Yang pasti, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan selagi kita masih bernafas yang datangnya daripada Allah SWT. Jangan lah kita mementingkan diri sendiri dan wujudkan lah persefahaman dengan mereka yang kita sayangi. Setiap pengorbanan itu haruslah dihargai. Saya berharap telemovie ini dapat menghasilkan keyakinan pada diri semua penonton untuk menyuarakan kehendak diri masing-masing.”

PECAHAN WATAK TELEMOVIE ‘AMSHAR BUKAN ASHA’

Naim Daniel sebagai Amshar/Asha
Farah Ahmad sebagai Puan Asmah
Emma Sofea sebagai Yam
Syazwan Zulkifly sebagai Mazlan
Haidar Hasanudin sebagai Sahar
Raff Roslee sebagai Amirul
Sahronizam Noor sebagai Rusli

LOGLINE TELEMOVIE ‘AMSHAR BUKAN ASHA’


Perjalanan hidup seorang remaja yang terseksa kerana terpaksa berkorban demi ibu yang disayangi. Amshar mempunyai impian besar yang lama tersimpan jauh di sudut hatinya.

SINOPSIS TELEMOVIE ‘AMSHAR BUKAN ASHA’


‘Amshar Bukan Asha’ mengisahkan tentang kehidupan seorang remaja yang diberi nama timangan Asha. Asmah, ibu kepada Asha amat menyayanginya. Dari kecil Asmah lebih senang melihat anaknya berperwatakan lembut dan sopan. Setiap pemakaian anaknya ditentukan mengikut kemahuannya dari hujung rambut ke hujung kaki. Asha hanya menuruti sahaja permintaan ibunya. 

Walaupun mengharungi pelbagai liku kehidupan, Asha tetap tabah menjadi dirinya dan menjaga hati ibunya sebaik mungkin kerana dia amat menyayanginya. Namun, perwatakan lembut Asha itu bukanlah dirinya yang sebenar. Asha berperwatakan lembut seperti itu kerana diasuh ibunya sejak kecil lagi atas kebencian ibunya terhadap lelaki kerana pernah menjadi mangsa dera suaminya, iaitu ayah kepada Asha. 

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.