‘ABAH SAYA, UNCLE MIKE’ KASIH SAYANG KELUARGA BUKAN SEKADAR PERTALIAN DARAH

Wednesday, 27 August 2025

‘ABAH SAYA, UNCLE MIKE’ KASIH SAYANG KELUARGA BUKAN SEKADAR PERTALIAN DARAH | Diinspirasikan Daripada Kisah Sebenar Seorang Lelaki Berbangsa Cina Menjaga 3 Anak Melayu

26 Ogos 2025, Kuala Lumpur – ‘Abah Saya, Uncle Mike’, sebuah filem penuh emosi yang pasti mengundang air mata, mengangkat erti kasih sayang keluarga yang melangkaui pertalian darah. Berbeza dengan kisah kekeluargaan tipikal, filem ini menampilkan dinamika keluarga yang terbentuk daripada latar bangsa, agama dan budaya yang berbeza, sekali gus menjadikannya sebuah naskhah yang belum pernah diterokai dalam sinema tempatan. Inilah kisah tentang keluarga yang tidak lahir daripada ikatan darah, tetapi daripada kepercayaan, penerimaan dan kasih sayang tanpa syarat.

Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama 7 Up dan Mirinda ini diinspirasikan daripada kisah sebenar seorang lelaki berbangsa Cina, Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike yang membesarkan tiga anak berbangsa Melayu. Penonton boleh menyaksikan filem ini di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025. 

Abah Saya, Uncle Mike menyelami emosi tiga adik beradik yatim piatu yang hilang tempat bergantung selepas kehilangan ibu bapa. Rafei iaitu anak sulung, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang penuh dengan penderaan bersama adik-adiknya, Rasyid dan Rahman demi mencari kehidupan lebih baik. Namun, apabila mereka dipisahkan, Rafei diselamatkan buat sementara oleh seorang lelaki berbangsa Cina bernama Uncle Mike. Dalam usaha Rafei menyatukan kembali keluarganya, dia dan adik-adiknya  bersama Uncle Mike berdepan dengan makna sebenar sebuah keluarga dan menyedari keluarga bukan sekadar pertalian darah. 

Setiap babak dijayakan dengan penuh jiwa oleh barisan pelakon berbakat besar seperti Andy Teh, Idan Aedan, Nor Merah, Umar Shakur, Pauline Tan, Chew Kin Wah, Mandy Chong, April Chan, Han Zalini, Nadiya Nisaa, Sobri Anuar, Songbill, Taqim Zaki, Shahkimin, Chris MJ dan Bidin Al Zaifa. 

Andy Teh yang sebelum ini sinonim dengan watak-watak aksi, menyerlahkan sisi berbezanya menerusi lakonan penuh drama dan emosi. Gandingan serasi bersama pelakon muda Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur menguatkan penceritaan dan meninggalkan kesan.   

Abah Saya, Uncle Mike merupakan filem cereka pertama arahan Ezrie Gazali yang sebelum ini mengarahkan program realiti tv, iklan komersil, serta drama bersiri popular ‘Kiblat ke Syurga’. Dikendalikan produksi Le Mediator Studios, skripnya ditulis Muzzamer Rahman, Nik Naemah, Ezrie Gazali, Kyle Goonting, Yoke Yeng, Catalina Mae Hubbard dan Samuel Sin. 

Menurut Penerbit Eksekutif Abah Saya, Uncle Mike dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Kisah Uncle Mike mencerminkan nilai sebenar masyarakat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian bangsa dan agama. Kisah murni ini harus diangkat dan dipersembahkan kepada semua kerana ia mampu memberi inspirasi dalam memperkukuhkan lagi erti perpaduan dan nilai kemanusiaan.


Jadi, kami terjemahkan kisah ini kepada sebuah filem, Abah Saya, Uncle Mike, sebuah cerita Malaysia yang mempersembahkan naratif jujur, penuh kasih sayang, pengorbanan dan hubungan melangkaui sempadan budaya serta agama. Memahami pasaran tempatan didominasi oleh genre aksi dan seram, kami mengambil langkah berani untuk meneroka potensi genre drama yang memfokuskan pada realisme emosi, dan seterusnya mencabar jangkaan penonton di Malaysia terhadap filem sebegini. 

Abah Saya, Uncle Mike turut menyaksikan satu lagi fasa penting dalam sinergi strategik antara industri kreatif dan sektor komersial. Selepas beberapa siri kerjasama di antara Astro Shaw dan Etika yang yang membawa kepada impak positif, kini kami menerima penglibatan 7 Up and Mirinda sebagai rakan kerjasama dalam penerbitan filem ini. Langkah berani ini merupakan satu usaha signifikan yang mampu merintis hala tuju baharu dalam industri perfileman Malaysia.“


Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd., berkata: “Abah Saya, Uncle Mike bukan sekadar sebuah filem tetapi sebuah kisah penuh emosi yang mengingatkan kita bahawa kasih sayang dan penerimaan mampu mengatasi segala perbezaan. Nilai inilah yang membentuk semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam masyarakat Malaysia. Sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia, kisah ini menonjolkan keindahan kepelbagaian rakyat kita serta kekuatan yang lahir apabila kita bersatu. Nilai-nilai ini sentiasa dikongsi dan dipupuk oleh Etika bersama jenama kami.”

Amy menambah, “Selama lebih 50 tahun, Mirinda mewarnai suasana perayaan manakala 7UP pula menceriakan detik harian rakyat Malaysia dengan keceriaan dan semangat kebersamaan. Kedua-dua jenama ini sudah begitu sinonim dengan kehidupan rakyat Malaysia, menjadikan mereka pendukung semula jadi untuk kisah komuniti ini. Bagi membawa semangat itu ke tayangan perdana, kami memperkenalkan kit edisi terhad ‘Menangis itu OK, 7UP kan ada!’ yang mengandungi tisu untuk mengelap air mata, bantal kecil untuk keselesaan, cermin mata hitam untuk kekal bergaya, serta satu tin 7UP untuk menikmati sendiri semangat Bangkit yang menyegarkan. Lebih istimewa lagi, beg kit ini direka oleh artis tempatan, Izzati Suza, sebagai penghormatan kepada kreativiti anak Malaysia.”


Buat pertama kalinya juga, Astro Shaw memperkenalkan inisiatif interaksi peminat #UncleMikeEdits. Selepas pelancaran treler rasmi di media sosial Astro Shaw, peminat dijemput menghasilkan versi kreatif treler dan poster mereka. Pemenang akan menerima hadiah menarik dan nama mereka akan disenaraikan dalam kredit filem.

Selain itu, orang ramai boleh menyertai peraduan digital #LuahanHati untuk peluang memenangi kit edisi terhad ‘#Kit7upBangkitSemula’ bersama tiket pawagam (maklumat lanjut di Gempak). Setakat ini, kempen ini telah mendapat sambutan positif di media sosial.

Treler Programatik Sambutan Unik dengan Penceritaan dan 7UP


Awal tahun ini, Astro Shaw bersama Etika melalui 7UP telah melancarkan treler programatik pertama sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025. Treler tersebut menampilkan barisan pelakon Abah Saya Uncle Mike dalam sebuah kisah penuh keceriaan yang mencerminkan semangat masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Dimuat naik di platform digital Astro Shaw dan Etika, treler ini memperkenalkan tema utama filem iaitu kekeluargaan, kasih sayang dan perpaduan, serta telah meraih tontonan lebih 1.8 juta.

Selepas itu, Mirinda pula mempersembahkan treler programatik Raya bertajuk Balik Rayaaahhh yang menggambarkan Uncle Mike bersama tiga anak angkatnya dalam suasana sambutan Raya di kampung. Treler ini menekankan kegembiraan saat berkumpul semula dan membawa mesej bahawa tidak ada yang lebih indah dalam menyatukan perbezaan selain kasih sayang.

Lagu tema untuk filem ini dinyanyikan oleh Mark Adam dan tajuk lagu tersebut, ‘Lelah’. Saksikan filem Abah Saya, Uncle Mike di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025. Ikuti perkembangan filem ini melalui akaun Instagram, TikTok, Facebook, dan X Astro Shaw. Untuk maklumat integrasi bersama 7 Up dan Mirinda, sila layari platform Facebook dan Instagram mereka.

Iced Matcha, MUJI Midvalley

Bila buka TikTok nampak ada yang recommend Iced Matcha Latte dekat Muji sedap. Rating dia bagi pun agak tinggi so tergerak lah hati nak cuba. Masa sampai dekat Midvalley untuk Gala Premiere Abah Saya Uncle Mike, terus cari Muji dekat mana. 

Since masa tu tengah lunch hour, ramai juga orang lepak dekat cafe Muji tapi tak ada queue pun. I order Iced Matcha Latte Strawberry, Fariha order Iced Matcha Latte biasa. Both with one pump sugar je. Lama juga lah nak tunggu sebab barista stir matcha guna chasen. We are well aware about that fact so waiting is not an issue here. 


Nasib baik Muji ni terletak dekat bawah GSC so tak jauh lah nak berjalan menuju ke sana tapi yang jadi masalah bila eskalator dia rosak. Terpaksa panjat tangga sebab lif ambil masa nak sampai ke tingkat 3. Selesai daftar kehadiran, masuk hall dengan matcha. Patutnya kitorang order matcha ni masa balik nanti sebab masa screening ada air juga. Tapi terlupa bab tu, bendanya pun dah terbeli so minum je lah. 



So how does it taste? I faham kenapa Iced Matcha Muji ada dalam ranking atas sebab Iced Matcha dia sedap sebab pekat. Dari warna pun dah boleh nampak yang serbuk matcha dia tak kedekut. Strawberry yang Muji guna pun strawberry jam bukan susu macam ZUS Coffee. I minta one sugar pump sebab takut strawberry tu manis tapi tak pun. 

Tapi strawberry jam yang barista letak tu sikit sangat considering jam tu melekit dekat cawan so rasa matcha dan strawberry tu tak balance dan harmoni. Sedap tapi lagi sedap kalau tambahan RM2.90 tu terasa kan?


For both matcha tak ada clump atau aftertaste dekat tekak lepas minum sebab barista dah whisk guna chasen. Ambil masa yang lama pulak tu untuk kacau sampai dia gebu. So we both got lucky lah bila barista take serious on that part. 


Untuk Iced Matcha Latte, I kena marah dengan adik sebab minta one pump sugar bila rasa matcha dia pahit. So lepas ni kalau pergi dekat Muji, tak payah adjust tahap gula sebab dah ngam dah paras gula tahap barista letak tu. 

Kuantiti Iced Matcha ni tak banyak sebab cup dia small bila letak harga RM10.90 so faham-faham je lah ea. Tak mustahil orang repeat order sebab sip sip sip je dah gone. Lepasni nak try tiramisu dia pulak sebab menggoda sangat masa pergi tu tapi taknak try sebab dah kenyang dengan lunch.

Sore: Istri Dari Masa Depan bakal tiba di pawagam 25 September ini!

Tuesday, 26 August 2025

Bayangkan Bertemu Cinta Dari Masa Depan… | Sore: Istri Dari Masa Depan bakal tiba di pawagam  25 September ini!

Filem romantik yang telah mencatat lebih 3 juta penonton di Indonesia tahun ini bakal menemui anda di pawagam seluruh Malaysia pada 25 September 2025. Diadaptasi daripada siri web popular terbitan Inhype Pictures, Sore: Istri Dari Masa Depan kini dibawa ke layar perak dengan skala yang lebih besar, emosi yang lebih mendalam dan jalan cerita yang pasti membuat penonton terus terpaku dari awal hingga ke akhir.


Filem ini mempersembahkan kisah baharu yang memperluas lagi jalan cerita asal dengan lapisan emosi yang lebih mendalam. Dengan penceritaan yang menyentuh jiwa serta visual sinematik yang memukau, ia menjanjikan pengalaman segar walaupun penonton sudah mengikuti siri web terdahulu. Dibintangi oleh Dion Wiyoko dan Sheila Dara Aisha, kisah cinta unik berunsur “dari masa depan” ini bukan sahaja mencetuskan fenomena di Indonesia, malah kini bersedia untuk menghangatkan layar perak di Malaysia.


Versi asal Sore menampilkan Tika Bravani sebagai watak utama, namun dalam adaptasi filem ini, peranan tersebut digalas oleh Sheila Dara Aisha yang bergandingan dengan Dion Wiyoko sebagai Jonathan. Sheila dikenali sebagai pelakon serba boleh yang mampu menghidupkan watak drama, komedi, mahupun romantik dengan sangat natural. Keserasian antara Sheila dan Dion dijangka menghadirkan chemistry yang memikat, menjadikan setiap babak terasa lebih hidup dan menyentuh hati penonton. Dengan lakonan yang segar dan bertenaga, mereka bakal memberikan dimensi baharu kepada karakter Sore dan Jonathan, sekali gus mencipta pengalaman menonton yang lebih hangat dan menghiburkan.


Kisah bermula dengan Jonathan, seorang lelaki yang menjalani hidup sepi dan tidak terurus, sehingga kedatangan seorang wanita misteri yang memperkenalkan dirinya sebagai Sore, isterinya dari masa depan. Kehadiran Sore bukan sahaja mengubah pandangan Jonathan tentang cinta, takdir dan makna kehidupan, malah membuka lembaran baharu yang penuh keajaiban. Namun, mampukah cinta mereka bertahan apabila rahsia masa depan mula terungkap?


Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Sore: Istri Dari Masa Depan di pawagam seluruh Malaysia bermula September ini. Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios.

HIDUP IBARAT JERUNG, JIKA BERHENTI MAKA MATI

Monday, 25 August 2025

“HIDUP IBARAT JERUNG, JIKA BERHENTI MAKA MATI” | Shark: The Storm Angkat Kisah ‘Survival’ Gelap Bekas Mangsa Buli, Kim Min-Seok

Kuala Lumpur, 25 Ogos 2025 - Apabila dunia digerakkan oleh kuasa dan pengaruh, kelemahan bukan lagi pilihan, hanya yang terkuat mampu bertahan. Bakal menemui penonton di Tonton pada 29 Ogos 2025, Shark: The Storm kembali sebagai sekuel penuh ketegangan yang menyingkap realiti kejam, dendam membara dan perjuangan tanpa henti. Drama aksi mendebarkan dari Korea Selatan ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Kim Min-Seok, Lee Hyun-Wook, Bae Myung-Jin, Lee Jung-Hyun, Park Jin, Jeong Da-Eun.

Shark: The Storm membuka lembaran baharu kisah Cha Woo-sol (lakonan Kim Min-Seok) selepas tragedi hitam dalam prekuel terkenal Shark: The Beginning (2021). Kini bebas dari penjara, Woo-sol berusaha membina semula kehidupannya sambil mengejar impian menjadi pejuang seni bela diri campuran (MMA) profesional. Dia tekun bekerja sambilan di sebuah gim, meskipun bayangan silam sebagai bekas banduan terus menghantui setiap langkahnya.

Namun, takdir sekali lagi menguji Woo-sol. Dalam satu sesi ‘sparring,’ dia tanpa sengaja mencederakan lawannya hingga parah. Insiden itu menjadi titik tolak pertemuannya dengan antagonis utama, Hyun Woo-yong (lakonan Lee Hyun-Wook), ketua kongsi gelap dan ‘kepala’ di sebalik operasi liga pertarungan haram.

Liga ini bukan sekadar gelanggang bawah tanah, tetapi ‘ring of hell’ yang menjadi hiburan gelap buat mereka yang kaya dan berkuasa, menjadikan nyawa para petarung sebagai taruhan. Tertarik dengan potensi Woo-sol, Woo-yong cuba merekrutnya, tetapi penolakannya membuatkan Woo-sol menjadi target utamanya.

Saat ini, demi bertahan dan melindungi yang tersayang, Woo-sol dipaksa berdepan lawan yang jauh lebih berbahaya dalam dunia yang menuntutnya berpegang pada hakikat bahawa "seekor jerung akan mati sebaik sahaja ia berhenti."


Saksikan Shark: The Storm, kisah pertarungan hidup dan mati seorang bekas mangsa buli yang terjerumus dalam dunia pertarungan haram demi kelangsungan hidup. Dengan gabungan aksi kejam, drama emosional dan pembangunan karakter mendalam, karya ini dijangka meninggalkan impak yang kuat kepada penonton. Jangan lepaskan peluang menonton kesemua enam episod secara serentak mulai 29 Ogos 2025, hanya di Tonton!

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy. 

Kuala Lumpur, 23 Ogos 2025 - Drama sensasi Thariq Ridzuwan: His Treasure bukan sahaja mencuri perhatian dengan jalan cerita yang penuh emosi dan lakonan mantap barisan pelakon, malah turut memperkenalkan pengalaman interaktif baharu untuk peminat.

Diterajui oleh Meerqeen, Qasrina Karim, Evertt Gomes, Noki K-Clique, Afiq Hamidon dan ramai lagi, drama ini mencetuskan fenomena dengan sambutan luar biasa daripada peminat hingga mencecah lebih 1 bilion tontonan di aplikasi TikTok.

Janji 1 Minit - 60 Saat Yang Berharga Untuk Peminat

Astro meraikan pelanggan setia dengan satu pengalaman istimewa yang belum pernah dilakukan sebelum ini – Janji 1 Minit. Bertempat di acara ‘Hello Inilah KITA’ pada 23 Ogos 2025 bertempat Pavilion Kuala Lumpur, 15 peminat bertuah telah berpeluang meluangkan masa secara peribadi bersama barisan pelakon utama drama fenomena ini.

Berbeza daripada sesi temu mesra biasa, Janji 1 Minit memberi peluang eksklusif kepada peminat untuk berinteraksi one-on-one dengan sembilan orang pelakon utama termasuk Meerqeen, Qasrina Karim, Evertt Gomes dan Noki K-Clique. Lebih menarik, setiap pertemuan berlangsung selama 60 saat penuh, cukup untuk bertanya soalan, berkongsi rasa atau sekadar menikmati detik dekat bersama watak kegemaran mereka.

Selain dapat merakam memori, peminat juga diajak menyertai sebuah sesi penutup yang istimewa iaitu laungan ikrar bersama barisan pelakon dengan kata kunci penuh makna, “JANJI!”. Ikrar ini bukan sahaja simbolik kepada tema drama yang penuh emosi, tetapi juga lambang hubungan erat antara karya tempatan dan peminat yang sentiasa menyokong.

Janji Untuk Radwa – Pengalaman Interaktif Eksklusif Buat Peminat

Peminat juga boleh menyertai permainan interaktif di laman janjiuntukradwa.astro.com.my. Dalam permainan tersebut, mereka berpeluang memainkan watak Holy Dragon untuk menentang Farez demi menyelamatkan Radwa. Walaupun mudah dimainkan, permainan ini berjaya memberi gambaran konteks cerita, sekaligus menghidupkan lagi pengalaman menonton drama. Menariknya, jika jumlah permainan yang dimainkan mencapai tahap tertentu, peminat bersama-sama dapat membuka akses kepada video istimewa yang belum pernah ditayangkan.

Melalui laman yang sama, peminat turut berpeluang menulis surat kepada pelakon utama, khususnya Holy Dragon, bagi menyampaikan pandangan, sokongan serta kata-kata semangat. Inisiatif ini membuktikan bahawa sesebuah drama kini bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi wadah interaksi dua hala antara karya dan penontonnya.

Lebih Dari Drama

Thariq Ridzuwan: His Treasure merupakan drama adaptasi novel popular yang kini mencetuskan fenomena dengan jalan cerita penuh konflik, cinta dan rahsia. Dengan pendekatan kreatif seperti Janji 1 Minit dan permainan interaktif ini, Thariq Ridzuwan: His Treasure bukan sahaja berjaya mengekalkan momentum popularitinya, malah mencipta pengalaman menyeluruh buat para penonton. Acara ini membuktikan bahawa Astro bukan sahaja menayangkan drama berkualiti, tetapi juga mencipta pengalaman memukau yang mendekatkan peminat dengan dunia drama kegemaran mereka.

Kini, Thariq Ridzuwan: His Treasure semakin menghampiri penghujungnya dengan hanya enam episod terakhir yang tinggal. Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan seterusnya dengan mengikuti drama ini pada setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), serta strim drama secara eksklusif di Astro GO dan sooka.

Minggu kedua ‘Kilauan Emas 2025’ menyaksikan peserta Kinar berjaya mendaki ke tempat pertama dengan markah keseluruhan sebanyak 80.12%, diikuti oleh pencabar Zekrai (77.42%), dan Ezan (74.20%) yang berjaya menawan kedudukan tiga teratas. 

Turut menarik perhatian barisan juri dan para penonton dengan persembahan nyanyian lagu I Live My Life For You oleh penyanyi Fire House, Kinar dipilih sebagai pemenang Anugerah Emas Berkilau Of The Week di segmen terakhir. Minggu dengan tema Hit & Memorable Song ini menyaksikan peserta Ben berada di kedudukan terbawah apabila mendapat markah keseluruhan terendah, sekaligus tersingkir untuk mara ke minggu berikutnya. 

SENARAI LAGU

Shah: Angan Dan Sedar - Mawi (65.42%)

Kinar: I Live My Live For You - Fire House (80.2%)

Majid: Bila Resah - Anuar Zain (63.00%)

Zanie: Zapin Yang Tinggal - Ramlah Ram (66.54%)

Zekrai: Jerangkung Dalam Almari - Wings (77.42%)

Mazleen: Can’t Fight The Moonlight - Leann Rimes (63.13%)

Ezan: Tak Ingin Sendiri Versi Natasya Elvira - Dian Piesesha (74.20%)

Nurul: Benci Tapi Rindu - Diana Nasution (62.24%)

Leeza: G.I.G - Elite (70.88%)

Vijay: Jangan Tunggu Lama Lama - Sweet Charity (59.71%)

Ben: Sekali Aku Jatuh Cinta - Nassier Wahab (55.17%)

Nawary: Memori - Sheila Majid (61.21%)

INFO ‘KILAUAN EMAS 2025’

• Seperti musim sebelumnya, persembahan setiap peserta menerusi Kilauan Emas 2025 akan diadili secara 70% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri professional, 20% daripada juri awam yang  merangkumi markah para penonton undangan dan juga 10% daripada undian para penonton di rumah.



• Juara musim kali ini akan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.

• Para penonton dan peminat boleh mengundi peserta kegemaran mereka bagi menentukan pemenang mingguan pada setiap minggu secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak.

• Penerbitan Kilauan Emas 2025 turut disinarkan dengan kolaborasi bersama Astro Gempak sebagai rakan digital, serta SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi. Program ini boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

Saksikan episod baharu Kilauan Emas 2025 pada setiap hari Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105), On Demand, Astro GO dan sooka.

Dua kali berturut-turut dipilih menjadi yang pertama yang layak ke minggu seterusnya, kumpulan Naqiu, Iaman & Saputra kembali XTRA apabila berjaya menambat hati para juri dengan persembahan mereka, lantas mengekalkan kedudukan mereka di top three. 

Minggu bertemakan NO CAP! ALL FIRE! yang mengadunkan beberapa genre lagu dalam satu persembahan turut menyaksikan penyanyi Jaclyn Victor, sekali lagi membuat penampilan di program The Chosen One sebagai juri jemputan, selepas telah menduduki di kerusi juri pada musim lepas. Walaupun kurang menyengat pada minggu ini, kumpulan Tuju & Loca B, Elysha dan Fana terselamat daripada penyingkiran dan layak ke pusingan minggu hadapan.  

SENARAI LAGU

Opening Performance - Jaclyn Victor

Naqiu, Iaman & Kumpulan Saputra - Mantera Beradu (Malique ft Dato M. Nasir) + Mentera Semerah Padi (Tam Spider ft Dato M. Nasir)



Tuju, Loca B, Fana, Elysha - Sk8er Boi (Avril Lavinge) + Tak Ada Logika (Agnes Monica)


Usop, Alif & Yusuf - 2x5 (Ahli Fiqir) + Hati (Hael Husaini)


Niki Palikat, Adawiyah & Iman - Rollin' (Limp Bizkit) + Che' Mek Molek (Dato'M. Daud Kilau)


Acey, Rayyan & Dahlia - Baby (Justin Bieber) + Lelaki Seperti Aku (Alif Satar) + Malam Ini Kita Punya (Bunkface)


INFO PROGRAM THE CHOSEN ONE XTRA

• The Chosen One XTRA bukan sekadar memfokuskan bakat nyanyian sahaja, malah juga akan menonjolkan bakat-bakat lain seperti tarian, akrobatik, kebolehan bermain instrumen muzik dan sebagainya.

• Musim ini kembali dengan membawakan barisan artis baharu sebagai ‘coach’ selebriti kepada para bintang cilik seperti Namie, Nikki Palikat, Achey, Tuju & Loca B, Bunga, Usop dan juga Naqiu.

Barisan juri Minggu 5 - Dato Awie, Sharifah Shahirah & Jaclynn Victor

• Persembahan setiap peserta bersama dengan pasangan selebriti mereka akan diadili 100% daripada pemarkahan pihak juri sejurus selepas persembahan mereka tamat.

• Juara ‘The Chosen One XTRA’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM 40,000 beserta trofi sumbangan Astro. Tempat kedua, ketiga dan keempat akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 30,000, RM 20,000 dan RM 10,000 beserta dengan trofi sumbangan Astro.

• Pentas akhir program ini akan turut menobatkan anugerah Coach Terbaik dengan wang tunai bernilai RM 10,000, serta anugerah Persembahan Terbaik dengan wang tunai bernilai RM 10,000 yang akan ditentukan melalui undian para penonton melalui laman web www.thechosenone.com.my.

Saksikan episod baharu The Chosen One XTRA setiap Jumaat, jam 9 malam di Astro Ceria (saluran 611), serta secara On Demand di Astro GO dan sooka. Siapakah yang bakal menjadi The Chosen One XTRA musim ini?