Astro Shaw & Visinema Pictures Jalin Kolaborasi Mega Dalam Menerbitkan Filem Blockbuster & Memperluas Filem Serantau

Thursday 17 February 2022

Astro Shaw & Visinema Pictures Jalin Kolaborasi Mega Dalam Menerbitkan Filem Blockbuster & Memperluas Filem Serantau | “Ben & Jody, Keluarga Cemara 2, Jagat Arwah & Mencuri Raden Saleh Temui Penonton Malaysia Tidak Lama Lagi” 

Penerbit  dan  peneraju  filem  Malaysia,  Astro  Shaw  hari  ini mengumumkan  kerjasama  strategik  bersama  penerbit  terkemuka  dari  Indonesia  yang memenangi pelbagai anugerah berprestij, Visinema Pictures dalam membawakan dan menjadi penerbit bersama untuk empat filem hebat di Indonesia, Ben & Jody, Keluarga Cemara 2, Jagat Arwah dan Mencuri Raden Saleh. Ini sekali gus mengukuhkan lagi peranan Astro Shaw selaku penerbit, pengedar dan pemasar filem terbaik Malaysia dalam mendominasi pasaran Asia. 

Tahun 2020,  Astro  Shaw  telah  bekerjasama  dengan  penerbit  Visinema  Pictures  dalam  memasarkan filem genre drama kekeluargaan no 1 paling laris di Indonesia, ‘Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini’, untuk tontonan di Malaysia melalui platform Pawagam Rumah Anda, Astro First. Sambutan positif daripada penonton Malaysia serta menerima liputan meluas dari media tempatan, telah membuktikan  filem  dari  negara  jiran  juga  turut  menjadi  pilihan  penonton  tempatan  dalam menikmati hiburan filem. 


Lanjutan daripada kerjasama baik Astro Shaw dan Visinema Pictures, ia  telah  membawa  kedua-dua  penerbit  terkemuka  serantau  itu  ke  tahap  seterusnya  untuk meneroka lebih banyak peluang kolaborasi yang mampan. 

Selain mencipta kejayaan besar menerusi filem ‘Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini’ sebagai Top 2 Filem  Tempatan  Paling  Laris  di  Indonesia  tahun  2020,  deretan  filem  lain  terbitan  Visinema Pictures  juga  turut  melakar  fenomema  tersendiri  seperti  ‘Cahaya  dari  Timur:  Beta  Maluku’ (2014), ‘Filosofi Kopi’ (2015), ‘Surat Dari Praha’ (2016), ‘Filosofi Kopi 2: Ben & Jody’ (2017), ‘Love For Sale’ (2018), Keluarga Cemara (2019), adaptasi daripada webtoon popular Indonesia, ‘Terlalu Tampan’  (2019)  dan  banyak  lagi.  


Visinema  Pictures  amat  dikenali  sebagai  penerbit  yang mengangkat bakat-bakat kreatif muda dan idea-idea progresif dalam menghasilkan filem-filem yang memberi nafas segar dan sekali gus mencetus impak kepada perubahan besar buat filem Indonesia.  Malah,  kredibiliti  Visinema  juga  diyakini  dengan  di  bawah  teraju  Pegawai  Eksekutif Visinema,  Angga  Dwimas  Sasongko  yang  juga  dikenali  sebagai  pengarah  berbakat  besar Indonesia  dan  menjadi  penerbit  paling  muda  yang  memenangi  Anugerah  Citra  untuk  Filem Terbaik di Festival Filem Indonesia ketika usianya 29 tahun. 

Di bawah kepimpinan Angga Dwimas Sasongko,  Visinema  Pictures  telah  memenangi  pelbagai  anugerah  berprestij  di  festival  filem Indonesia serta turut merentasi peringkat antarabangsa apabila tercalon di Academy Awards bagi kategori  Best  Foreign  Language  Film melalui  filem  Surat  Dari  Praha.  Selain  itu  filem-filem terbitannya juga banyak terpilih di festival berprestij di negara-negara Asia seperti Jepun, China, India, Korea dan lain-lain lagi.  

Menerusi gabungan mega ini, Astro Shaw  berhasrat ia mampu meningkatkan lagi kualiti hiburan filem  buat  penonton  Malaysia.  Astro  Shaw  terkenal  dengan  pendekatan  inovatif  dalam mengetengahkan cerita segar yang menyentuh hati penonton, serta berjaya mencipta fenomena tersendiri dengan mengungguli carta filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Malaysia melalui filem-filem terbaiknya iaitu Hantu Kak Limah, Polis Evo 2, Paskal, Abang Long Fadil  2,  Pusaka,  Sangkar  dan  banyak  lagi.  Melalui  salah  satu  filem  terbaru  terbitannya,    The Garden  of  Evening  Mists,  Astro  Shaw  telah  menjadi  tumpuan  di  pentas  antarabangsa  dengan memenangi pelbagai anugerah di pelbagai festival filem antarabangsa. 


Mengulas  tentang  kolaborasi  tersebut,  Naib  Presiden,  Perniagaan Melayu  Nusantara  &  Ketua  Astro  Shaw,  Raja  Jastina  Raja  Arshad berkata  Astro  Shaw  rasa  berbesar  hati  apabila  dilihat  sebagai  penerbit filem utama di Malaysia yang mampu meyakinkan pengkarya dari negara luar  untuk  jalin  hubungan  kerjasama  dan  meneroka  potensi  yang  lebih besar.  

“Kami  berbangga  dapat  menjalin  kerjasama  strategik  sekali  lagi  bersama  Visinema Pictures  dalam  memperkukuhkan  jenama  kedua-dua  penerbit  di  peringkat  global.  Dengan berkongsi objektif yang sama, kerjasama ini melambangkan kesungguhan kedua-dua belah pihak untuk memperkasa hasil filem Asia. Kolaborasi ini juga dilihat menjadi platform sempurna buat Astro  Shaw  dalam  mempamerkan  kredibiliti  dalam  menyediakan  platform  terbaik  untuk mengedar  dan  memasarkan  filem  dari  negara  luar,  di  samping  konsisten  dengan  komitmen berterusan  dalam  mempersembahkan  filem-filem  berkualiti  kepada  penonton  Malaysia.  Kami berharap  dapat  terus  berinovasi  bersama  Visinema  Pictures  dan  mengalu-alukan  kerjasama dengan  pelbagai  pihak  di  masa  akan  datang.  Sebagai  permulaan,  tahun  ini  kami  bakal membawakan filem Ben & Jody ke Malaysia yang dijangkakan pada bulan Mac hadapan.” 

Ketua Pegawai Eksekutif Visinema Pictures, Angga Dwimas Sasongko memberitahu bahawa, “Mewakili pihak Visinema, saya berasa sangat berbesar  hati  dapat  bekerjasama  dengan  Astro  Shaw,  salah  satu penerbit terbesar dan terbaik di Malaysia. Kerjasama ini dilihat sebagai salah  satu  usaha  kami  untuk  memperkenalkan  filem-filem  yang dihasilkan  oleh  Visinema  serta  Indonesia  kepada  penonton antarabangsa. Saya berharap kolaborasi strategik Visinema dan Astro Shaw ini mampu memberi impak serta sekali gus meluaskan industri filem serantau ke tahap lebih tinggi.”  

BEN  &  JODY  adalah  filem  sekuel  ketiga  daripada  francais  ‘Filosofi  Kopi’.  Filem  ini  telah  pun ditayangkan  di  bioskop  seluruh  Indonesia  sejak  27  Januari  lalu  dan  mendapat  reaksi  positif daripada penonton. Kali ini filem tersebut tampil dengan genre berbeza iaitu aksi, thriller, komedi dan  masih  mengekalkan  teraju  utama  Chicco  Jerikho  dan  Rio  Dewanto  di  samping  barisan pelakon  terkenal  di  peringkat  antarabangsa  Yayan  Ruhian,  Luna  Maya,  Rio  Dewanto,  Chicco Jerikho dan ramai lagi. Ia mengisahkan tentang dua sahabat baik terperangkap dalam tahanan pembalakan haram. Mereka cuba melepaskan diri dan dalam pada masa yang sama ketulusan persahabatan mereka diuji.  


Filem  JAGAT  ARWAH  adalah  sebuah  filem  seram,  pengembaraan  fantasi  yang  mengangkat elemen  hubungan  ayah,  anak,  persahabatan  serta  aksi.  Raga  ingin  berhijrah  bagi  mengejar impian  untuk  menjadi  pemuzik  bersama  rakan-rakannya.  Tetapi  ayahnya,  Sukmo  meninggal dunia dalam keadaan tragis. Kemudian Raga mendapat tahu keluarganya adalah berketurunan lagenda  dan  penjaga  kepada  Batu  Jagat,  batu  yang  mempunyai  kuasa  dan  akan  mengudang bahaya  jika  jatuh  ke  tangan  pihak  yang  salah.  Membariskan  bintang  muda  Ari  Irham,  pelakon popular Cinta Laura,  Oka Antara, Sheila Dara, Kiki Narendra dan Ganindra Bimo.  

Manakala,  filem  KELUARGA  CEMARA  2  adalah  skuel  kepada  Keluarga  Cemara.  Masih mengekalkan barisan pelakon utama seperti pelakon popular Nirina Zubir, Ringgo Agus Rahman, Adhisty Zara, Widuri Puteri, Asri Welas dan Abdurrahman Arif. Kali ini kisahnya memaparkan keluarga  Cemara  melalui  liku-liku  cabaran  kehidupan  selepas  wabak  pandemik.  Cemara  tidak mendapat perhatian daripada keluarga dan memulakan penggembaraan bersama ‘ayam neon’ dan cuba meyakinkan semua orang bahawa dia boleh berkomunikasi dengan ayam.   

Seterusnya  filem  MENCURI  RADEN  SALEH  yang  mengisahkan  6  pelajar  kolej  yang  mempunyai kepakaran berbeza, merancang untuk mencuri lukisan Raden Saleh atas arahan bekas presiden Indonesia, Permadi dengan ganjaran yang lumayan. Namun Permadi telah mengkhianati mereka dan mengakibatkan mereka diburu. Mereka merancang untuk mencuri semula lukisan tersebut daripada orang yang sangat berpengaruh di Indonesia. Filem genre heist action ini membariskan pelakon box office Iqbaal Ramadhan, Angga Yunanda, Rachel Amanda, Aghniny Haque, Umay Shahab dan Ari Irham.   

Istimewa  buat  penonton  Malaysia,  nantikan  filem-filem  Ben  &  Jody,  Keluarga  Cemara  2,  Jagat Arwah dan Mencuri Raden Saleh yang akan menemui anda tidak lama lagi.  Dapatkan info dan klip-klip  menarik  tentang  perkembangan  filem-filem  daripada  kolaborasi  ini  menerusi  akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.  

**************************

Mengenai Astro Shaw  

Astro Shaw adalah sebuah syarikat penerbitan filem Malaysia untuk pasaran tempatan dan nusantara. Astro  Shaw  juga  giat  dalam  memasar  serta  mengedar  filem-filem  tempatan  dan  serantau  sekaligus mengukuhkan kedudukannya di pasaran global.  Sejak ditubuhkan pada tahun 1996,  kini Astro Shaw telah menerbitkan lebih 90 buah filem dalam pelbagai genre dan bahasa. Antara kejayaan besar Astro Shaw adalah  menerusi  filem  Polis  Evo,  Hantu  Kak  Limah,  Abang  Long  Fadil  2,  Paskal,  Dukun,The  Garden  of Evening Mists.  

Ikuti Astro Shaw di media sosial dan laman sesawang seperti berikut:  
Twitter: @AstroShaw 
Instagram: @astroshaw 
Facebook: Astro Shaw Sdn Bhd 
YouTube:  Astro Shaw  

Mengenai Visinema Pictures  

Visinema  Pictures  merupakan  penerbit  dan  produksi  Indonesia  dan  memegang  IP  (Harta  Intelek)  yang ditubuhkan  oleh  pengkarya  dan  bakat-bakat  kreatif  muda  yang  mengetengahkan  idea  yang  mampu memberi impak positif. Misi dan strategi Visinema Pictures tertumpu kepada menggabungkan idealisme, cabaran, kebebasan dan impian.   

Ikuti Visinema Pictures di media sosial dan laman sesawang seperti berikut: 
Twitter: @ visinemaid  
Instagram: @visinemaid  
LinkedIn: Visinema Pictures  
YouTube: Visinema Pictures  
Website: https://visinema.co/  

2 comments

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.