Wanita Berisiko Sakit Kepala 2x Ganda Berbanding Lelaki? Ini Angkara Hormon Tak Seimbang!

Friday 2 October 2020

pening kepala
Klik gambar untuk baca lebih banyak info kesihatan
Tahukah anda, sakit kepala merupakan penyakit yang dominan dalam kalangan wanita? Untuk pengetahuan anda, pening kepala boleh diakibatkan oleh masalah hormon tidak seimbang. Menurut statistik, wanita mengalami sakit kepala 3 kali lebih kerap jika dibandingkan dengan kaum lelaki. Selain itu, hampir 70% pesakit migrain adalah wanita.

Antara punca utama yang menyebabkan wanita kerap sakit kepala adalah disebabkan hormon yang tidak seimbang dalam badan. Tetapi, apa kaitan hormon dengan pening kepala? Anda hendak tahu lebih lanjut? Jom ikuti artikel yang kami sediakan di bawah!

Hormon tidak seimbang punca pening kepala?

pening kepala

Seperti yang ramai sedia maklum, pening kepala selalunya berpunca daripada umur dan juga sejarah keluarga. Tetapi, ramai yang tidak tahu bahawa perubahan hormon dalam badan wanita, terutamanya hormon estrogen dan progesteron mempunyai kesannya yang tersendiri terhadap kesihatan!

Jika anda sering diserang migrain ketika datang bulan, mungkin perubahan hormon inilah punca yang menyebabkan anda sering sakit kepala! Pening kepala boleh berlaku apabila ada perubahan dalam tahap estrogen dalam badan.

Ketika datang bulan, wanita akan mengalami ketidakseimbangan hormon estrogen. Sakit kepala yang wanita alami semasa datang bulan ini turut dikenali sebagai menstrual migraine. Menurut Dr Anne MacGregor daripada National Migraine Centre UK, hampir separuh wanita yang mengalami pening kepala percaya sakit yang mereka alami itu berkait rapat dengan tempoh haid yang mereka alami.

Sakit kepala yang disebabkan oleh period selalunya akan bermula pada 2 hari sebelum datang bulan hinggalah 3 hari selepasnya. Pada waktu ini, tahap estrogen dalam badan mula berkurang. Serangan migrain pada waktu ini juga selalunya lebih teruk daripada biasa. Selain itu, sakit kepala ini juga mungkin akan berulang pada keesokan harinya.

Bukan perubahan hormon sahaja yang boleh menyebabkan sakit kepala!

Datang bulan atau period bukan satu-satunya punca sakit kepala dalam kalangan wanita. Ada juga punca lain yang mungkin menyebabkan migrain yang dialami jadi semakin teruk.

Sebagai contoh, wanita yang mengambil pil kontraseptif akan mengalami migrain yang lebih kerap apabila kadar hormon estrogen dalam badan mereka mula menurun. Keadaan ini selalunya berlaku ketika mereka berada dalam minggu ‘pill-free’.

Selain itu, wanita yang sedang menghampiri menopaus juga akan mengalami sakit kepala yang kerap. Sakit kepala ini selalunya berlaku akibat gangguan hormon dalam badan. Wanita yang mengandung juga boleh mengalami pening kepala pada minggu awal kehamilan. Namun, pening kepala ini selalunya akan beransur pulih setelah kandungan mencapai usia 3 bulan.

Sakit kepala ini sebab hormon tidak seimbang atau kerana tekanan?



Tetapi, takkanlah semua sakit kepala yang dialami adalah berpunca daripada masalah hormon?

Sakit kepala juga boleh berlaku jika anda rasa stres atau tertekan. Tapi, bagaimana hendak bezakannya? Sebagai permulaan, anda boleh mencatat tarikh anda diserang sakit kepala di dalam kalendar, dalam diari ataupun menggunakan aplikasi di dalam telefon bimbit.

Pastikan anda mempunyai data yang cukup sekurang-kurangnya selama 3 kali haid. Jika pening kepala selalu berlaku ketika anda hampir-hampir datang haid, maka tidak salah lagi, sakit tersebut pasti berpunca daripada ketidakseimbangan hormon. Namun, jika sakit yang anda rasa bertumpu pada bahagian dahi dan sisi kepala anda, sakit ini mungkin berpunca daripada tekanan.

Selain itu, sakit kepala disebabkan oleh migrain atau tekanan selalunya mempunyai tanda-tanda berikut:

  •  Sakit kepala berlarutan selama 4 – 72 jam.
  •  Nampak bintik-bintik atau garisan ketika pening kepala.
  •  Sakit kepala jadi makin teruk jika pesakit lebih aktif.
  •  Sensitif terhadap cahaya, bunyi atau bau.
  •  Rasa loya atau muntah-muntah.

Sakit kepala yang disebabkan oleh tekanan turut diikuti dengan rasa sakit pada bahagian leher dan juga bahu.

Bagaimana hendak hilangkan sakit kepala?

Jika anda kerap diserang sakit kepala, ada beberapa pilihan rawatan yang doktor boleh cadangkan bergantung kepada keseriusan sakit kepala yang pesakit alami.

Doktor mungkin akan mencadangkan kepada pesakit untuk melakukan perubahan dari segi gaya hidup untuk merawat sakit kepala yang mereka alami. Jika ia tidak berkesan, doktor akan memberi preskripsi ubat-ubatan mengikut kesesuaian.

Sakit kepala yang disebabkan oleh stress boleh diubati dengan ubat-ubatan seperti aspirin dan ibuprofen yang boleh didapati di farmasi berdekatan. Wanita yang mengalami sakit kepala akibat hormon juga boleh ambil ubat yang sama. Namun, mereka yang kerap mengalami sakit kepala mungkin perlukan rawatan lain.

Antara ubat-ubatan yang boleh diberi kepada pesakit termasuklah:

  1.   Beta blockers
  2.   Anticonvulsants
  3.   Calcium channel blockers
  4.   Antidepressants
Doktor akan menyarankan pesakit untuk mengambil ubat-ubatan di atas mengikut keperluan masing-masing. Pesakit mungkin perlu makan ubat setiap hari ataupun ketika diserang sakit kepala.

Cara mencegah sakit kepala akibat hormon tidak seimbang

hormon tidak seimbang

Jika anda kerap mengalami sakit kepala ketika datang bulan, anda boleh cuba ambil pil perancang kehamilan ataupun pelekat estrogen (estrogen patch) untuk mengurangkan sakit kepala yang anda alami.

Walau bagaimanapun, cara ini mungkin tidak berkesan untuk semua orang. Ada juga yang akan mengalami sakit kepala yang lebih teruk setelah mengambil pil perancang kehamilan.

Anda juga boleh gunakan pek ais untuk melegakan sakit kepala anda. Selain itu, rehat yang mencukupi dan mandi air panas juga antara langkah yang terbukti berkesan untuk merawat sakit kepala.

Walau bagaimanapun, jika anda menghidap sakit kepala yang berpanjangan dan tidak sembuh-sembuh, pastikan anda berjumpa dengan doktor dalam masa yang terdekat!

Sakit kepala boleh mengurangkan kualiti hidup seseorang dengan drastik. Oleh itu, jangan abaikan rasa sakit yang anda alami dan cuba ikhtiarkan sesuatu untuk meredakan sakit yang dihadapi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

11 comments

  1. kebetulan masa baca ni tengah sakit kepala haha

    ReplyDelete
  2. Dulu selalu sakit kepala, suka fikir benda-benda kecil dan anggapnya sebagai perkara besar. Lagilah kalau kerja yang diberi oleh majikan tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Rasa kecewa sangat!Semakin berusia ni, banyak perkara yang menyakitkan, tapi abaikan begitu saja dengan cara berlapang dada dan buat tak kisah. Alhamdulillah, kurang sakit kepala.

    ReplyDelete
  3. kalau banyak mengadap phone selalunya akak memang sakit kepala. Caranya tido je la..

    ReplyDelete
  4. saya selalu sakit kepala sebab nak datang period. huhu

    ReplyDelete
  5. Fizah selalu sakit kepala kalau tak cukup tidur. Thanx info ni :)

    ReplyDelete
  6. rabia selalu sakit kepala jika kurang tidur dan kurang minum air kosong

    ReplyDelete
  7. selalu sakit kpala klau byk kje, so dah nmpk punca sbb over workload, huhu..plus pernah pengsan..

    ReplyDelete
  8. Saya kalau sakit kepala, sampai ketuk2 kepala ni. ANd biasanya saya akan baring sambil pejam mata dalam gelap. Memang kena relax betul. And 1 yang saya perasan, sejak saya berhenti minum nescafe, saya dah lama tak sakit kepala.

    ReplyDelete
  9. sejak masuk 3 series ni, selalu sngt sakit kepala... hormon tak ok la tu kan hmmm

    ReplyDelete
  10. Banyak ujian jadi perempuan. Antaranya sakit kepala. Hormon pun semakin tua, semakin tak seimbang. Bertambahlah sakit kepala

    ReplyDelete
  11. sakit kepala ni haihhh, menyerang waktu-waktu yang tak dijangka...

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.