Friday, 30 October 2020

Darah Haid Boleh Berwarna Oren & Kelabu? Hati-hati, Ini Petanda Masalah Kesihatan!

Apa warna darah haid? Mestilah merah, kan? Tapi adakah benar darah haid hanya berwarna merah? Tahukah anda, warna darah period yang berbeza mungkin petanda masalah kesihatan!

Klik gambar untuk baca lebih banyak artikel kesihatan di Hello Doktor.com

Perubahan warna darah haid

Darah haid boleh berubah warna dan tekstur pada setiap bulan, bahkan pada 1 kitaran haid. Warna darah haid boleh memberikan petunjuk tahap keadaan dan masalah kesihatan yang mungkin dialami wanita.

Semasa period, badan akan menyingkirkan tisu dan darah daripada rahim melalui faraj. Pelepasan berdarah ini boleh menjadi berbeza daripada warna merah terang hinggalah ke coklat gelap atau hitam. Perubahan hormon, diet pemakanan, gaya hidup, usia dan persekitaran seseorang boleh mempengaruhi variasi warna darah ketika period. 

Jenis perbezaan warna darah haid 

Jangan ingat warna darah semasa haid hanyalah merah semata-mata, ya? Ini ada 6 jenis perbezaan warna yang perlu anda perhatikan.

1. Hitam

Darah haid yang berwarna hitam boleh muncul pada permulaan atau hari terakhir kedatangan period individu. Biasanya warna ini melambangkan darah lama atau darah yang mengambil masa lebih lama untuk keluar daripada rahim. 

Ia mempunyai masa untuk mengoksidasi (oxidize), berubah kepada coklat atau merah tua sebelum bertukar kepada warna hitam. Namun warna darah haid hitam juga boleh menunjukkan masalah kesihatan melibatkan penyumbatan di dalam faraj. 

Antara simptom lain yang boleh diperhatikan adalah:

  • Lendir faraj yang berbau busuk
  • Demam
  • Kesukaran membuang air kecil
  • Gatal atau bengkak di dalam atau sekitar faraj

2. Coklat atau merah pekat

Haid yang berwarna kecoklatan atau merah pekat ini juga menandakan ia adalah darah lama dan boleh keluar pada waktu awal atau akhir period. Tempoh masa mengoksidasi darah ini tidak selama darah hitam dan ia boleh muncul dalam pelbagai warna.

Kehamilan

Tompokan atau darah coklat yang terhasil juga boleh menjadi tanda-tanda awal kehamilan yang dipanggil sebagai pendarahan implantasi dalam istilah perubatan. Pelepasan atau tompokan berwarna coklat ini semasa tempoh kehamilan pula boleh menjadi petunjuk masalah kesihatan seperti kehamilan ektopik atau keguguran.

Sekiranya anda menyedari tompokan darah pendarahan faraj seperti ini semasa mengandung, lakukan pemeriksaan doktor dengan segera.

Lochia

Lendir berwarna merah gelap atau coklat yang berlaku selepas proses kelahiran disebut lochia – pendarahan selepas bersalin. Biasanya lochia adalah perkara yang tidak perlu dibimbangkan kerana ia merupakan cara badan mengeluarkan lebihan darah dan tisu daripada rahim. 

Umumnya, lochia akan bermula daripada darah merah terang dan kemudian akan berubah kepada warna lebih gelap apabila pengalirannya semakin berkurang. 

Tempoh lochia adalah berbeza bagi setiap individu, tetapi biasanya berlangsung dalam tempoh beberapa bulan pertama selepas melahirkan anak.

3. Merah terang

Warna darah haid merah terang menunjukkan ia adalah darah segar dan aliran stabil. Darah haid pada awalnya mungkin akan berwarna merah terang dan berubah kepada gelap pada akhir haid. Ada wanita mendapati warna darah haid tetap berwarna merah terang sepanjang tempoh period. 

Tompokan atau pendarahan luar biasa di antara kitaran haid mungkin menjadi tanda masalah kesihatan melibatkan jangkitan kelamin seperti klamidia. Pertumbuhan pada lapisan rahim, disebut polip atau fibroid, juga boleh menyebabkan pendarahan luar biasa.

Dalam kes yang jarang berlaku, pendarahan merah terang mungkin merupakan tanda barah serviks. Gejala lain yang perlu diperhatikan seperti:

  • Pendarahan banyak 
  • Tempoh haid lebih lama 
  • Pendarahan selepas hubungan seksual
  • Keputihan berbau
  • Sakit pada bahagian belakang badan, pelvis atau kaki
  • Hilang selera makan
  • Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan

4. Merah jambu 

Ciri darah haid berwarna merah jambu ini boleh berlaku apabila darah haid bercampur dengan lendir serviks. Penggunaan alat kawalan kelahiran jenis hormon boleh menurunkan kadar estrogen di dalam badan dan mengakibatkan warna darah lebih cerah dengan rona merah jambu semasa period. 

Hubungan seksual juga mungkin boleh menyebabkan koyakan kecil pada faraj atau serviks. Darah kesan koyakan ini akan bercampur dengan cecair faraj dan disingkirkan daripada badan sebagai keputihan merah muda.

Punca lain penyebab warna darah haid menjadi merah jambu adalah:

  • Penurunan berat badan mendadak
  • Diet yang tidak sihat
  • Anemia 
  • Kehamilan

Lendir berwarna merah muda dengan tisu dan disertai dengan kekejangan mungkin petanda keguguran. Penting bagi wanita yang mengalami pendarahan faraj semasa mengandung untuk berjumpa doktor.

5. Oren

Campuran darah dengan cecair serviks juga boleh menghasilkan ciri darah haid berwarna oren. Darah berwarna oren ini menandakan masalah kesihatan jangkitan seperti vaginosis bakteria atau trichomoniasis.

Simptom lain yang perlu diperhatikan adalah kegatalan faraj, ketidakselesaan dan lendir berbau. Sebaiknya, lakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti puncanya.

6. Kelabu

Ia petanda masalah vaginosis bakteria, disebabkan ketidakseimbangan bakteria dalam faraj. Simptom lain yang perlu diperhatikan adalah:

  • Kegatalan di dalam dan sekitar faraj
  • Faraj berbau hanyir
  • Kesakitan semasa kencing

Pastikan anda melakukan pemeriksaan doktor. Biasanya anda akan diberikan antibiotik untuk merawat masalah kesihatan tersebut.

Kehamilan 

Pada peringkat akhir kehamilan, pelepasan warna kelabu dengan darah beku adalah petanda keguguran.

Berwaspada..

Warna darah haid dan tahap kepekatan darah boleh memberikan maklumat berguna tentang tahap kesihatan individu secara keseluruhan. Jika mempunyai keraguan atau kebimbangan, lakukan pemeriksaan dengan doktor obstetrik dan ginekologi. 

6 comments:

  1. Pertama kali tahu darah haid boleh warna oren atau kelabu kerana masalah kesihatan.

    ReplyDelete
  2. Dlm Islam ini penting utk diketahui.
    Jenis2 darah haid ada dlm module kursus haji supaya haji kita sah.

    ReplyDelete
  3. kena ambil berat juga pasal darah haid ni

    ReplyDelete
  4. Baru tau pasal ni. Thanks for the sharing!

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.

Baca Entri Ni Jugak!