TERIMA KASIH MALAYSIA! RM14 JUTA SELEPAS 14 HARI!

Thursday, 10 September 2026

CHELOT terus mencipta momentum di pawagam apabila berjaya mencatat RM14 JUTA kutipan selepas 14 hari tayangan termasuk Tayangan Awal!

Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi menjadi bukti sokongan padu rakyat Malaysia terhadap karya tempatan. Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus dan kerana terus memilih CHELOT sebagai tontonan anda di pawagam.

Dengan aksi, debaran dan kisah penuh muslihat yang dibawakan, perjalanan CHELOT masih belum berakhir!

Jom terus support karya tempatan arahan Adrian Teh dan saksikan CHELOT di pawagam seluruh Malaysia hari ini! Ajak geng, keluarga dan kawan-kawan untuk sama-sama menikmati pengalaman penuh aksi dan debaran CHELOT di layar besar.

Primeworks Studios, selaku Rakan Pemasaran bagi CHELOT, mengajak anda untuk terus mengikuti perkembangan terkini filem ini dan berkongsi keterujaan menerusi tanda pagar #CHELOT.

Jalan-Jalan Ipoh | Tasik Cermin 1, Ipoh


Lepas makan dekat Kin Loong Valley, kitorang bergerak ke Tasik Cermin 1 dengan berjalan kaki sebab 100 meter je dari restoran. Di bahagian luar ada petting zoo dengan arnab yang comel. Ada ATV juga dan kedai makan tapi belum buka. Tak pasti lah akan buka atau tidak sebab hari cuti kan, tapi mesti lah akan buka kan sebab masa ni lah ramai orang datang makan angin. 


Dekat kaunter tiket kena tunjuk MyKad semua yang nak masuk. Boleh bayar guna tunai, kad atau QR. Tak ramai sangat orang masa ni mungkin sebab dekat kaunter tu urusan berjalan dengan lancar.  


Sebelum masuk dalam berhenti kejap ambil gambar depan Miner Tunnel, nanti masa keluar boleh beli kalau gambarnya cantik. 


Sebelum jumpa Tasik Cermin kena berjalan dulu dalam terowong batu kapur yang terhasil selepas pelombong letupkan guna bom dinamit. Mantap juga lah hasil kerja para pelombong tu sebab tunnel dia cantik je terbentuk. 

Dalam gua tu ada contoh batu kapur, marmar dan tempat bergambar kepada pengunjung. Kalau ambil gambar kena guna flash sebab gelap. 


Sampai hujung terowong ada Tasik Cermin yang famous tu. Tapi ruang dia tersangatlah terhad. Nak ambil gambar pun tak boleh lama sebab hangattttt. 


Disebabkan ramai sangat orang di ruangan tengah yang ada platform buatan tu, kitorang bergambar dekat bahagian tepi gua je. Dekat sini pun jadi lah sebagai tanda dah sampai ke Tasik Cermin dan tengok keindahan semulajadi. 



Rasanya nama dia Tasik Cermin sebab air jernih sampai pantulkan imej gua batu kapur tapi seram bila terfikir berapa kedalaman tasik ni. 


Adik lelaki I tak suka bergambar tapi bila bergambar posing dia macam pergi melawat site. Kali ni dia pakai mask bukan sebab jerebu tapi sebab dia pergi buat rawatan muka hari Sabtu. Memang bengkak lah muka dia. 




Tak lama pun kitorang stay dekat dalam ni sebab dah makin sesak dengan orang. Cukup lah bergambar dalam 100 keping, itupun tak semua boleh pakai 😭

Tak pasti lah dekat sini ada jaga ke tak berapa ramai yang boleh masuk tapi tengok gaya macam tak. Kalau bukan waktu puncak pun dah sesak, tak boleh bayang waktu puncak macam mana. 


Dekat bahagian luar pun ada banyak spot yang boleh bergambar tapi jenuh lah nak tunggu sedangkan kitorang ada banyak lagi tempat lain nak pergi. Nak keluar dari sini seksa lah sikit sebab kereta banyakkkkk tapi alhamdulillah berjaya tanpa tunggu lama. 

Masa nak turun dari Tasik Cermin 1 baru lah kitorang nampak Tasik Cermin 2 tapi nak berhenti memang tak lah sebab penuh dah dengan orang. Masa sampai tu kaunter tutup lagi sebab tu tak perasan. Mungkin lain kali lah kot ek. 

Jalan-Jalan Ipoh | Kin Loong Valley


Hari Ahad masa cuti Merdeka kitorang randomly decide nak pergi Ipoh balik hari sebab tak pernah pergi lagi walaupun kampung dekat Perak. Bila orang sembang pasal Ipoh, I macam blur sebab tak pernah pergi. Pukul 4.30 pagi kitorang gerak, solat subuh dekat R&R tapi terpaksa stop lama sebab ramai orang dekat semua tempat. 

Alhamdulillah sampai juga dekat Kin Loong Valley jam 8 pagi. Masa ni tak banyak kereta lagi tapi dekat bahagian luar restoran dah penuh jadi terpaksa duduk di dalam atau di bahagian tepi. Kitorang pilih dekat tepi sebab nak tengok view gua. 



Kin Loong Valley yang terkenal dengan White Coffee jadi wajib lah order kan? I ambik iced white coffee, Fariha ambil hot white coffee, adik lelaki I ambil iced teh tarik. Untuk makanan kitorang order toast, kaya toast dan mi kari. Lepas isi borang menu, kena pergi beratur dekat kaunter untuk buat bayaran dan hantar tempahan ke dapur. Panjang juga lah barisannya tapi nasib baik dia buka kaunter untuk yang nak bayar secara tunai. 

Masa beratur boleh lah tengok interior restoran ni. Cantik juga lah sebab dia hias dengan barangan antik dan bunga. 





Lama juga lah nak tunggu semua makanan sampai sebab ramai orang. Sementara tunggu tu pergi jalan-jalan dekat mazzenine floor dia buat khas untuk tengok panorama dari atas. 


Selalunya yang pergi Ipoh akan pilih meja dekat luar sebab boleh bergambar berlatarbelakangkan bunga berjuntai buatan ni lah. Kalau sampai pukul 8 pagi pun dah full, maknanya yang dapat ni sampai lagi awal lah. Tapi dekat luar ni panas lah sikit, kalau dapat luar masa tengah terik memang tak syok juga lah. I terpaksa ambil gambar bahagian atas je sebab malas nak blurkan atau hide muka orang dekat situ. 


Kitorang bergambar sekejap je dekat atas ni sebab tengah ramai satu hal, makanan dah sampai satu hal lagi. Tapi adik lelaki I ni boleh tahan juga perangainya. I suruh dia whatsapp bila semua makanan dah sampai tapi dia whatsapp masa makanan pertama yang sampai. Menung lah tunggu jap semua makanan selesai sampai ke meja. 


First imprerssion bila tengok menu dihidangkan tu agak kecewa lah sebab toast dia gitu je nyah. Toast biasa RM5 lebih tapi kalau tambah telur, timun dengan tomato jadi RM7 macam tu. I tak expect timun dua hiris, tomato 1 hiris. Kalau tahu ambil toast biasa je. 

Rasa dia biasa je lah, patutnya berhenti breakfast dekat restoran melayu sebab nampak banyak dah buka masa menghala ke sini. Tapi benda dah order, kita makan je lah kan. Toast dia dibakar lama untuk dapatkan rasa rangup tu tapi I rasa macam makan biskut mayat dengan telur rebus. 


Mi kari dia sedap, pakai mi halus. White Coffee dia pekat dan rasa berlemak dari margerine. Beza kopi biasa dengan kopi putih ni, biji kopi dibakar dengan margerine supaya bau wangi dan rasa berlemak. Masa tengah minum tu rasa dia familiar sangat dengan Old Town White Coffee cuma yang ni lagi kaw dan wangi. 

Lepas habis makan kitorang jalan-jalan di sekitar Kin Loong Valley ni. Selain kedai makan, ada galeri, kedai serbaneka, reruai cenderamata, mainan arked, taman, surau dan tandas. Dekat bahagian tepi tu tak sempat nak pergi sebab lepas kitorang selesai makan dah penuh orang dekat situ. Galeri pun penuh, kiranya semua tempat penuh. 



Nak beli satu pek kopi dekat sini tapi takut yang instant ni rasa sama dengan Old Town jadi kami berlalu pergi ke checkpoint kedua. 

HAEL HUSAINI & AISHA RETNO PALING “SIBUK” DI AMT2026 DENGAN LIMA PENCALONAN SEORANG! | Siapa Bakal Bawa Pulang Trofi Berganda? 

Kalau ada gelaran “Raja & Ratu Pencalonan” di Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026), nama Hael Husaini dan Aisha Retno jelas berada di barisan paling hadapan apabila kedua-duanya muncul sebagai selebriti dengan pencalonan terbanyak, masing-masing tersenarai dalam lima kategori.

Dengan lima pencalonan, Hael Husaini bersaing dalam kategori Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO, Selebriti Stailo Terhangat serta Selebriti Chemistry Terhangat susulan gandingannya bersama Dayang Nurfaizah.

Dalam pada itu, Aisha Retno turut mengumpul lima pencalonan menerusi Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat dan Selebriti Viral Terhangat, selain dua pencalonan dalam kategori Lagu Terhangat bagi lagu Jodoh Lebaran serta Kota Ini Tak Sama Tanpamu yang dinyanyikan bersama Nadhif Basalamah dan Aziz Harun. 

Jika pencalonan Hael memperlihatkan kepelbagaian pengaruhnya merentas pelbagai sisi dunia hiburan, Aisha pula menonjol dengan kekuatannya dalam muzik, populariti dan karya.

Lebih menarik, momentum kedua-dua nama ini semakin terserlah selepas masing-masing mencipta pencapaian tersendiri di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40). Hael sebelum ini dinobatkan sebagai Ikon AJL40, manakala Aisha Retno pula meraih tempat kedua AJL40, sekali gus meletakkan mereka dalam radar utama AMT2026.

Kini, persoalan yang lebih hangat ialah sama ada lima peluang yang dimiliki mampu membuahkan kemenangan berganda apabila trofi AMT2026 dipertaruhkan.

Siapakah pilihan anda? Layari laman undian AMT2026 sekarang, pilih calon pilihan anda dan undi sebelum terlambat!

Anugerah Melodi Terhangat 2026 akan bersiaran pada 18 Oktober 2026, Ahad, jam 9.00 malam, secara langsung di TV3 dan Tonton. Jangan lupa saksikannya!

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai AMT2026, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok @TV3Malaysia, serta Instagram dan TikTok @MelodiTerhangat.

Glad2Glow Creamy Berry, Overnight Body Serum

Wednesday, 9 September 2026

Tak pasti lah macam mana boleh terjebak dengan serum Glad2Glow ni tapi yang pastinya overnight serum ni dah jadi produk wajib ada dekat rumah. Awalnya I suka beli yang dalam botol tu sebab design dia cantik tapi lepas dua kali pakai dan dua kali juga gagal untuk habiskan serum dekat bahagian bawah tu, I pilih yang dalam tiub. Cantik tapi tak praktikal.

Sebenarnya lepas dah habis botol pertama tu pun nak tukar kepada tiub sebab senang boleh bawa pergi mana-mana tapi dekat drugstore tak ada pula dalam tiub. Happy sekarang dah dapat beli yang dalam tiub, kalau dah hujung-hujung nanti boleh gunting je untuk mengelakkan pembaziran. 

Ingredients:

Aqua, Dimethicone, Glycerin, Niacinamide, Aroma, Petrolatum, Phenoxyethanol, Polysorbate 60, Carbomer, Ci 77891, Methylparaben, Palmitic Acid, Stearic Acid, Disodium EDTA, Propylparaben, Sodium Hydroxide, Silica, Ci 14700, Prunus Cerasus Extract


Overnight serum ni ada Niacinamide dengan Glycerin untuk melembapkan kulit. Berfungsi untuk cerahkan kulit juga tapi I pakai pun ikut mood. Kadang mengantuk sangat lupa nak apply so tak mampu nak sahkan betul ke kulit jadi cerah. Kalau tak ada kesan sangat pun I okay je sebab fokus nak lembapkan kulit, pakai dekat tapak kaki pun dah kurang berkerak tu. Tapak kaki jadi lembut. Lurrvveee

Tekstur krim serum dia ringan je sebab tu cepat meresap lepas sapu dekat kulit. Serum ni guna waktu malam sebab nama pun overnight serum tapi kalau hari panas sangat, I guna je untuk lembabkan kulit. So far krim dia best sebab meresap elok tanpa rasa melekit. Bau pun wangi sebab suka bau berries. Kalau apply waktu malam sebelum tidur, esok pagi bila bangun happy je sebab wangi. 

Harga dia nak dekat 30 ringgit macam tu tapi beli time sale confirm boleh dapat belas belas je. 

KERJASAMA PENERBIT MALAYSIA–HONG KONG SATUKAN BINTANG TERKENAL DALAM FILEM TAHUN BARU CINA 2027, ‘GOLDEN BLESSINGS’ | Idea Asal Oleh Penulis Skrip Francais Box Office IP MAN, Edmond Wong

Kuala Lumpur, 8 September 2026 – Penerbit Malaysia dan Hong Kong bekerjasama dalam menghasilkan filem komedi Tahun Baharu Cina, ‘GOLDEN BLESSINGS’, yang bakal ditayangkan pada tahun 2027. 

Filem ini membawakan sebuah pengembaraan sinematik yang sarat dengan gelak tawa, kehangatan dan kejutan. Filem ini diarahkan oleh pengarah dari Hong Kong, Mak Ho Pong, manakala skrip oleh penulis skrin dan pencipta cerita asal di sebalik francais terkenal IP MAN, Edmond Wong. Edmond turut menghasilkan skrip bersama Cheung Chun Ho.

Menggabungkan elemen percintaan, kekeluargaan, komedi dan pengembaraan memburu harta karun, ‘GOLDEN BLESSINGS’ mengisahkan empat individu yang dari kehidupan yang berbeza, kemudiaan bertemu selepas mendapat sebuah peta misteri harta karun. Pemburuan harta karun tersebut menjadi huru hara dan mencuit hati di seluruh hotel kerana dipenuhi salah faham. Pelbagai kejutan yang menanti mereka.

Menampilkan gabungan bintang dari dua industri hiburan terkemuka Asia, filem ini dibarisi pelakon terkenal dari Hong Kong termasuk Owen Cheung, Benjamin Yuen, Ruco Chan, Mandy Wong, Kent Cheng, Emily Kwan, Ha Yu, Shirley Chan dan Stefan Wong. Kehadiran pelakon Malaysia, Andy Teh dan Miko Wong, pula menambahkan lagi seri kepada barisan pelakon bertaraf antarabangsa ini.

Menambahkan lagi kemeriahan ialah pelbagai watak berwarna-warni yang dihidupkan oleh para pelakon. Ruco Chan memegang watak ketua dunia bawah tanah yang berpengaruh, manakala Benjamin Yuen membawakan watak pengurus hotel dan Owen Cheung sebagai seorang bakat muda yang berpotensi besar. Mandy Wong pula memainkan watak penyelia, sementara Shirley Chan membawa watak seorang pempengaruh terkenal. 

Pelakon Malaysia Andy Teh memegang watak pelagak ngeri seni mempertahankan diri, manakala Miko Wong membawakan watak seorang pewaris wanita kaya. Pada masa yang sama, Kent Cheng dan Emily Kwan memainkan pasangan suami isteri kaya, manakala Ha Yu membawakan watak seorang warga emas yang hidup bersendirian. Setiap watak membawa kisah dan konflik peribadi masing-masing yang akhirnya bertemu di hotel tersebut.

Dengan gaya komedi ringan yang menghiburkan, ‘GOLDEN BLESSINGS’ menggabungkan elemen pengembaraan memburu harta karun, percintaan dan kekeluargaan dalam sebuah kisah yang penuh warna. Dimeriahkan dengan suasana Tahun Baharu Cina serta barisan pelakon hebat, filem ini menjanjikan pengalaman yang sarat dengan detik mencuit hati untuk dinikmati oleh penonton seisi keluarga. 

‘GOLDEN BLESSINGS’ diterbitkan oleh Enotech Films dan Mandarin Pictures Production, dengan kerjasama Astro Shaw, Sil-Metropole Organisation, Shanghai Pictures dan BaoZhijie Group. Sementara itu, GSC Movies bertindak sebagai pengedar filem.

Filem ini direalisasikan dengan sokongan rakan strategik Lexis Hibiscus Port Dickson dan BYD | DENZA, serta disokong oleh Cocofans bersama Giacomo Marketing, Iconz Design Consultancy, Blood Malaysia, M-Plan dan Oz MediSpa | OZHEAN Clinic.

Gunakan tanda pagar #GoldenBlessings di media sosial dan ikuti perkembangan terkini filem ini menerusi platform digital rasmi di @goldenblessingmovie.

Nantikan kehadiran filem ini di pawagam pada 4 Februari 2027 bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2027.