‘FIRST LADY’ DI SEBALIK KUASA, TERSEMBUNYI RAHSIA YANG MAMPU MENGHANCURKAN SEGALANYA!

Thursday, 23 October 2025

Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 - Drama Korea terbaharu, First Lady kini boleh distrim di Tonton! Sarat dengan konflik, emosi dan kejutan politik, drama ini membawa penonton menyelami dunia kuasa dan pengaruh yang dipenuhi rahsia serta pengkhianatan. Ia bukan sekadar kisah tentang status, tetapi juga tentang harga sebuah cinta, pengorbanan, dan perjuangan seorang wanita yang terperangkap dalam permainan politik penuh tipu daya.

Dengan jalan cerita yang menarik dan sinematografi yang memukau, First Lady membawa penonton menyaksikan dunia kuasa di kediaman presiden, tempat yang tampak mewah di luar, tapi penuh rahsia, dendam dan cinta yang makin retak.

Drama ini bermula dengan kisah Hyun Min-Cheol (Ji Hyun Woo), seorang lelaki yang membesar di rumah anak yatim yang sering menempuh liku-liku kehidupan yang mencabar. Dengan kerja keras dan semangat yang tidak pernah luntur, dia akhirnya berjaya mengubah nasibnya hingga dinobatkan sebagai Presiden terpilih Korea Selatan. Di sisinya berdiri Cha Soo-Yeon (Eugene), isteri yang setia dan tabah, yang telah lama menanti saat dirinya diiktiraf sebagai First Lady, simbol kejayaan dan cinta yang mereka bina bersama.

Namun segalanya berubah apabila hanya tinggal 67 hari sebelum majlis perlantikan, Min-Cheol membuat keputusan mengejutkan iaitu dia mahu menamatkan perkahwinannya. Keputusan itu bukan sahaja menggugat rumah tangga mereka, malah membongkar semula rahsia gelap dan konspirasi politik yang sekian lama diselindungi di balik kehidupan tampak sempurna itu.

Dari luar, mereka kelihatan seperti pasangan sempurna yang bersedia memimpin negara. Namun di sebalik senyuman, tersembunyi permainan kuasa yang penuh tipu daya, di mana setiap langkah mampu menjatuhkan satu sama lain. Kini, Soo-Yeon berdepan dilema besar, antara tunduk pada takdir atau bangkit melawan demi maruah dan kebenaran.

First Lady menyatukan elemen political melodrama dan thriller dengan kisah penuh emosi, misteri dan kejutan yang sukar dijangka hingga ke penghujung. Kini boleh ditonton di Tonton, strim sekarang dan hayati kisah di sebalik kuasa, cinta dan pengkhianatan.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

TONTON ORIGINAL SERIES: TOKSIK CINTA ERMA FATIMA KUPAS SISI GELAP CINTA DAN OBSESI DALAM TOKSIK CINTA!

Wednesday, 22 October 2025

Kuala Lumpur, 22 Oktober 2025 – Di sebalik kilauan cinta, tersimpan racun yang tak terlihat. Begitulah kisah yang dibawa menerusi Tonton Original Series: Toksik Cinta, naskhah baharu yang penuh dengan konflik di platform Tonton, membongkar sisi gelap cinta di sebalik glamor dunia hiburan. Arahan Pali Yahya dengan skrip oleh Erma Fatima, drama ini menggabungkan elemen melodrama, thriller rumah tangga dan jenayah, menjanjikan perjalanan sarat emosi dan permainan psikologi yang mendalam.

Selepas kejayaan drama Keluarga Itu, Erma Fatima menampilkan sisi evolusinya sebagai penerbit dan penulis yang kini lebih berani menyelami gelapnya psikologi manusia. Dengan gaya penceritaan penuh emosi dan realiti kehidupan yang menjadi identiti karyanya, Toksik Cinta mengupas batas antara cinta dan obsesi, serta bagaimana keinginan untuk memiliki boleh berubah menjadi racun yang memusnahkan. 

Menampilkan barisan pelakon berkarisma seperti Riena Diana, Aqasha, Keith Foo, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam, Toksik Cinta hadir dengan naskhah penuh emosi dan konflik yang mendalam. Drama bersiri 30 episod ini bakal menemui penonton mulai 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton.

Kisah bermula dengan Alfi (Aqasha), seorang pengarah filem ternama yang berkenalan dengan Karmila (Riena Diana), pempengaruh dan pelakon meningkat naik di set penggambaran. Cinta mereka berputik hingga ke jinjang pelamin, namun segalanya musnah apabila Karmila memfailkan penceraian selepas mendakwa dirinya didera. Dengan bantuan peguamnya, Amsyar (Keith Foo), Karmila membawa kes itu ke mahkamah. Toksik Cinta bukan sekadar kisah rumah tangga yang retak, tetapi membawa penonton menyelami batas antara cinta dan obsesi, mangsa dan pemangsa, serta kebenaran dan persepsi.

Mengulas mengenai wataknya, Riena Diana berkata, “Masa saya bawakan watak Karmila, saya betul-betul cuba faham dari mana datangnya luka dia. Karmila ni bukan sekadar wanita yang keliru, tapi seseorang yang pernah dikhianati dan teraniaya oleh lelaki. Dia datang daripada keluarga yang berantakan dan semua pengalaman tu buat dia keras luarannya tapi rapuh di dalam. Toksik Cinta bagi saya adalah kisah tentang hidup Karmila yang berliku dan penuh ujian, bagaimana cinta dan luka silam mengubah cara dia melihat dunia.” 

Secara keseluruhannya, Toksik Cinta bukan sekadar kisah cinta atau konflik rumah tangga, tetapi cerminan kepada realiti sosial yang jarang didedahkan, tentang bagaimana kasih boleh bertukar menjadi bayang yang menghantui apabila diselubungi ego, dendam dan keinginan untuk memiliki. Ia mengajak penonton menilai semula siapa sebenarnya mangsa dan siapa pemangsa dalam hubungan yang penuh luka dan manipulasi.

Langgan TontonUp selama 3 bulan dan nikmati ganjaran istimewa menerusi Tonton Rewards! Sebagai tanda penghargaan buat pelanggan setia, anda berpeluang menebus baucar diskaun Pizza Hut bernilai RM20 serta baucar Baskin-Robbins bernilai RM10. Rasai kelazatan hidangan dan manisan sambil terus menikmati drama, filem dan rancangan kegemaran anda di Tonton, lebih banyak anda langgan, lebih banyak ganjaran menanti!

Saksikan kisah penuh debaran, Tonton Original Series: Toksik Cinta bermula pada 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

HANYA INGIN MENAGIH KASIH SEORANG BAPA, ADAM LEE TERSENTAK BERTEMU ‘AYAH’ DI SARANG PELACURAN?

Tuesday, 21 October 2025

Kuala Lumpur, 21 Oktober 2025 - Dia hanya ingin mengenal ayahnya, namun tak pernah terlintas di fikirannya bahawa pertemuan itu akan berlaku di lorong gelap, di tempat paling hina yang tidak sepatutnya menjadi saksi seorang anak. Kisah menyayat hati inilah yang diangkat dalam drama Samarinda terbaharu TV3, Bintang Di Langit Syawal, sebuah naskhah penuh emosi yang mengupas makna kasih sayang, konflik keluarga dan pencarian identiti diri.

Bakal bersiaran mulai 23 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam, Bintang Di Langit Syawal menyingkap kehidupan anak yatim bernama Syawal (Adam Lee), yang sering dibayangi rasa kosong dan rindu kasih seorang bapa.

Suatu hari, kemunculan lelaki misteri bernama Latif (Azhar Sulaiman) di rumah kebajikan Syawal membesar, mengubah segalanya apabila lelaki itu meninggalkan sejumlah wang yang membangkitkan tanda tanya. Lawatan yang sepatutnya dirahsiakan terbongkar kepada Syawal, mencetuskan pencarian yang bakal mengubah hidupnya.

Didorong oleh rasa ingin tahu dan keyakinan bahawa lelaki itu ialah ayah kandungnya, Syawal nekad melarikan diri dari rumah tersebut. Dalam perjalanannya, takdir mempertemukannya dengan Jess (Scha Elinnea), gadis yang menjadi penguat dalam kisahnya yang penuh dengan luka dan rahsia.

Jejak yang disangka akan menyatukan kembali dengan ayahnya akhirnya membawa Syawal ke tempat gelap yang menggugat keyakinannya tentang makna keluarga, meninggalkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. 

Apa sebenarnya yang dilakukan Latif di situ, dan mengapa hidupnya berkait dengan dunia sekeji itu? Adakah pertemuan ini akan menjadi sinar yang selama ini Syawal cari, atau sekadar menambah luka dalam pencarian kasih dan identiti dirinya?

Merupakan naskhah arahan Bahri Umar, hasil tulisan Tommy Loh dan terbitan Sha’s Media, Bintang Di Langit Syawal bersedia menyentuh jiwa penonton menerusi 15 episod yang memaparkan kehilangan dan penerimaan yang tidak selalu indah. Diterajui oleh barisan pelakon berbakat besar Adam Lee, Scha Elinnea, Azhar Sulaiman, Fezrul Khan, Jasmin Hamid, Syahmie Thsaqeef dan Shalma Eliana, drama ini menjanjikan perjalanan watak yang kompleks namun realistik, menggali makna sebenar kasih, pengampunan dan erti menjadi manusia.

Mengulas tentang wataknya, Adam Lee berkongsi, “Syawal ni watak yang menyimpan begitu banyak perasaan, terutamanya sebagai seorang anak yatim. Bila saya baca skrip ini tentang seorang remaja yang mencari ayahnya tetapi menemui kebenaran yang pahit, saya terus rasa watak ini mesti saya hidupkan sepenuh jiwa. Dia marah, keliru, memberontak tetapi semua itu lahir daripada keinginan untuk hanya disayangi. Kisah ini mengingatkan saya bahawa setiap luka ada sinarnya sendiri dan setiap langit, walau kelam, tetap menyimpan bintang. Saya harap penonton dapat merasai semua emosi itu, kecewa, harapan dan perjalanan pencarian yang menelusuri setiap parut.” 

Jangan lepaskan episod pertama Bintang Di Langit Syawal Khamis ini, hanya di slot Samarinda TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.


Pernah suatu ketika, sebuah kisah cinta remaja yang sederhana namun ikonik berjaya menyatukan satu generasi dan mencetuskan fenomena luar biasa menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta? pada tahun 2002. Dua dekad kemudian, kisah yang pernah menjadi lambang cinta pertama itu kini bernafas semula dalam versi baharu bertajuk ‘Rangga & Cinta’, arahan sutradara tersohor Riri Riza di bawah Miles Films. Puisi tidak pernah mati dan kini cinta lama itu kembali bernyanyi, kali ini untuk generasi yang baharu, dalam sebuah filem muzikal yang sarat dengan rasa bahagia, nostalgia dan keindahan jiwa muda.

Menampilkan barisan pelakon muda berbakat, Leya Princy sebagai Cinta dan El Putra Sarira sebagai Rangga, filem ini turut mendapat sentuhan istimewa daripada tiga penerbit hebat, Mira Lesmana, Toto Prasetyanto dan Nicholas Saputra. Rangga & Cinta bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 November 2025, bukan sekadar sebuah adaptasi, tetapi satu pertembungan antara kenangan zaman persekolahan yang penuh nostalgia dan semangat moden yang ceria, gabungan yang menyegarkan memori peminat sambil memperkenalkan nuansa baharu kepada generasi kini.

Cerita bermula dengan Cinta, seorang pelajar popular, berbakat dan disayangi ramai. Dunia remajanya berubah apabila dia menyertai pertandingan puisi namun gagal membawa pulang kemenangan. Di situlah takdir mempertemukannya dengan Rangga, pelajar pendiam yang menjuarai pertandingan tersebut. Pertemuan yang bermula dengan perbezaan dan ketegangan perlahan-lahan bertukar menjadi keakraban yang tidak disangka, menumbuhkan benih cinta yang indah tetapi penuh makna.


Treler berdurasi 30 saat yang baru sahaja dilancarkan memperlihatkan sinematografi yang indah serta alunan muzik yang menyentuh hati, menghidupkan semula daya tarikan istimewa Ada Apa Dengan Cinta? dengan nafas yang segar. Lagu-lagu asal yang digubah khas untuk filem ini bukan sahaja menguatkan naratif, tetapi turut membalut emosi cinta, rindu dan pencarian diri yang begitu dekat dengan jiwa remaja.

Lebih daripada sekadar remake, Rangga & Cinta ialah surat cinta buat industri filem Indonesia, satu penghormatan kepada karya klasik yang membentuk sejarah, sambil membuka ruang kepada tafsiran baharu yang lebih ekspresif dan berwarna. Ia menggabungkan puisi, muzik dan visual yang mempesona menjadi satu pengalaman sinematik yang pasti menggamit hati penonton dari pelbagai generasi.

Bersedialah untuk jatuh cinta sekali lagi, kali ini dengan irama, kata-kata dan keindahan visual yang akan membawa anda menyelami semula detik manis cinta pertama. Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.

Babak paling panas dari Takdir Cinta Terlarang kini jadi topik hangat di media sosial apabila Hatiqah, lakonan mantap Norish Karman, akhirnya bersemuka dengan Sarah (Shaza Bae), bekas kekasih anaknya sendiri yang kini bergelar madu. Pertemuan yang sepatutnya tenang bertukar menjadi babak penuh emosi apabila Hatiqah tidak lagi mampu menahan marah, lalu melepaskan segala amarah dan kekecewaan yang dipendam sekian lama.

Aksi tarik rambut dan tolak ke dalam kolam itu bukan sekadar adegan biasa, tapi simbol kepada ledakan maruah seorang isteri yang dikhianati. Ramai penonton mengakui babak ini antara yang paling ‘puas’ dan real pernah disaksikan dalam drama slot Akasia, hasil lakonan dua pelakon wanita berpengalaman yang memberikan sepenuh jiwa dalam setiap ekspresi.

Ketenangan Hatiqah yang selama ini dikenali sebagai isteri penyabar akhirnya meletup selepas melihat wajah wanita yang meruntuhkan rumah tangganya dan lebih pedih, wanita itu pernah menjadi cinta hati anaknya sendiri. Tak hairanlah, adegan itu kini tular di TikTok dengan ramai netizen menyokong tindakan Hatiqah sambil memuji lakonan berjiwa Norish. Dalam masa sama, Shaza Bae turut mencuri perhatian apabila ramai mengakui berjaya ‘membenci’ wataknya menandakan lakonannya benar-benar menjadi.

“Melalui watak Hatiqah, saya nak tunjuk yang perempuan bukan sekadar pelengkap cerita atau watak yang kena tunduk bila diuji. Kita boleh jadi penyabar, tapi sabar tu pun ada batasnya. Bila maruah diri dipijak dan kesetiaan disalah guna, kadang-kadang diam bukan lagi pilihan. Hatiqah mengajar saya yang kekuatan seorang wanita bukan terletak pada air mata, tapi pada keberanian untuk bangkit semula.” kata Norish Karman yang menyerlah dengan lakonan penuh emosi. 

Aksi pertengkaran ini bukan sekadar babak dramatik semata-mata, tetapi cerminan jiwa seorang wanita yang akhirnya melepaskan segala beban yang dipendam terlalu lama. Ia menggambarkan detik di mana kesedihan bertukar menjadi kekuatan dan air mata berganti dengan keberanian untuk mempertahankan harga diri yang hampir musnah.

Saksikan Takdir Cinta Terlarang setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3 atau strim secara percuma di aplikasi iQIYI pada jam 8.00 malam. Untuk info dan perkembangan terkini tentang drama ini, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram (@TV3Malaysia) serta Instagram @dramasangat untuk lebih banyak kandungan eksklusif.

Drama Review | The Haunted Palace (2025)

Monday, 20 October 2025


Pengarah: Yoon Sung-sik, Kim Ji-yeon 
Penulis Skrip: Yoon Soo-jung
Pelakon: Yook Sung-jae, Kim Ji-yeon, Kim Ji-hoon, Kim Sang-ho, Son Byong-ho, Shin Seul-ki, Han Soo-yeon, Han So-eun, Kim Young-kwang, Cho Han-gyeol, Seo Do-young, Cha Chung-hwa, Kim In-kwon, Gil Hae-yeon, Lee Won-jong
Syarikat Produksi: iWill Media, Studio S  
Penyiaran: SBS TV, Netflix 
Genre: Romantik / Komedi / Sejarah / Supernatural
Jumlah Episod: 16 Episod (70 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan : 18 April – 07 Jun 2025
Trailer: 


Setelah 1,000 tahun bertapa di dalam tasik, Gangcheori (Kim Young-kwang) iaitu dewa naga akan naik ke atas namun percubaannya gagal apabila ada manusia yang nampak kejadian tersebut. Sejak dari itu, Gangcheori simpan dendam terhadap penduduk kampung Yongdam dan sentiasa mengganggu apa saja yang dihasilkan oleh penduduk di situ. 

Pawang Neop-deok (Gil Hae-yeon) menasihati cucunya supaya sentiasa jauhkan diri dari bertemu dengan Gangcheori kerana dewa naga akan menggunakan roh pawang untuk naik ke atas. Namun takdir pertemukan Yeo-ri dan Gangcheori sejak dia berumur 13 tahun. 


Satu persatu nasib malang menimpanya hingga neneknya meninggal dengan cara yang kejam dan penduduk kampung menjauhkan diri. Yeo-ri membesar dengan perasaan benci terhadap Gangcheori dan dalam masa yang sama menghindar dari kebolehan dan kemahiran ilmu pawang yang diturunkan oleh Neop-deok. 

Satu hari pegawai Kerajaan, Yoon Gab (Yook Sung-Jae) pulang ke Yongdam untuk mengajak Yeo-ri ke istana untuk bertemu dengan Raja Yi-sung (Kim Ji-hoon). Yoon Gab ada rencana lain kerana Istana memerlukan pawang untuk selamatkan keluarga diraja setelah dirasuk oleh roh Dewa Pahlawan (Seo Do-young). 


Malangnya Yoon Gab dibunuh oleh Menteri Pertahanan Yoon Seung (Kwak Sang-chung) ketika menunggu Yeo-ri mencari ubat. Melihat peluang tersebut, Gangcheori merasuk badan Yoon Gab untuk memperdayakan Yeo-ri. Bila mereka sampai ke istana, Gangcheori dan Yeo-ri tanpa sengaja mengetahui sejarah Keluarga Diraja dan dendam kesumat Dewa Pahlawan sejak 100 tahun dahulu. 

Naskhah berlatarkan era pemerintahan diraja arahan Yoon Sung-sik dan Kim Ji-yeon menggunakan penceritaan yang unik dan segar hasil penulisan Yoon Soo-jung. Menggunakan elemen supernatural untuk menguatkan mesej sosial tentang berbuat baik dan bermaafan sesama manusia juga makhluk lain. Dari episod awal lagi penulis deliver mesej ni menerusi penceritaan Neop-dok kepada Yeo-ri. Mesej ni berterusan dan semakin kuat di episod akhir. 


Penceritaan The Haunted Palace bersilih ganti antara masa sekarang, masa lalu dan juga masa depan menerusi bayangan Yeo-ri. Fokus teruk bila layan drama The Haunted Palace sebab latar masa yang berubah-ubah dan panjang. Ada banyak watak yang terlibat tambah pula bila Sung-jae lakonkan dua watak berbeza. I marathon drama ni sebab tak nak keliru dengan jalan cerita bila ada banyak perkara yang berlaku dalam satu episod atau babak. 


Tapi itu cuma pada episod-episod awal sebab bila Yeo-ri dah bertemu dengan hantu Dewa Pahlawan dan Pung-san (Kim Sang-ho), somehow watak Yeo-ri jadi lemau. Kebanyakan masanya Sung-jae yang mendominasi drama The Haunted Palace dengan pelbagai gelagat. I suka tengok chemistry Sung-jae dengan Bona tapi geram dengan watak Yeo-ri yang terlalu lemah gemalai. Berbeza sangat personaliti dengan nenek dia sedangkan Yeo-ri lebih hebat dari Neop-dok. 


Daripada bagi screentime dekat Yeo-ri yang menjaga tatasusila sebagai wanita ayu, baik penulis tambahkan lagi watak hantu dekat istana atau Yongdam. Dekat awal drama The Haunted Palace, Yeo-ri guna kelebihan dia untuk cari petunjuk tentang Dewa Pahlawan tapi dekat pertengahan cerita, dua watak hantu yang baik muncul macam biskut. 


Makin bertambah menyampah nak tengok bila watak antagonis sentiasa satu langkah di hadapan dari Yeo-ri walhal Yeo-ri ada kuasa pawang, kuasa Imugi, hantu-hantu baik dan sami. Dia macam tak make sense bila Yeo-ri tak boleh guna resources yang ada untuk halang sesuatu dari berlaku. Tak lain tak bukan, ini cuma propaganda penulis untuk tambahkan elemen drama supaya naskhah The Haunted Palace jadi naskhah yang beremosi sebelum babak klimaks. Tipikal. 


Ada beberapa petunjuk yang diberikan dari watak-watak sampingan tapi penulis tak gunakan pun petunjuk tu untuk Yeo-ri selesaikan misteri dendam roh Dewa Pahlawan. Geram tengok Yeo-ri dengan Gangcheori tak perasan pun Young-Geum (Cha Chung-hwa) tahu beza Yoon Gab dengan Gangcheori. Kudos to Sung-jae lah sebab pandai deliver dua pandangan yang berbeza bila berdepan dengan Young-geum. Sebak tengok babak Young-geum dengan Gangcheori sebab nampak ketara dia rindu anak dia tapi yang ada depan dia bukan anak dia. The acting is top notch. 


Sekali lagi Bona berlakon bersama Seul-ki selepas bekerja dalam projek Pyramid Game (2024) tapi menariknya watak mereka berdua bertukar. Bona dapat watak yang pasif sementara Seul-ki aktif dan kelakar dalam ruang yang terhad. Kalau bukan sebab Gangcheori ditakdirkan untuk hidup bersama dengan Yeo-ri, Choi In-seon ada peluang untuk jadi isteri jejaka idaman dia. Manifesting Seul-ki dapat berlakon rom-com dengan Sung-jae, they both have potential!


Watak Raja pun antara watak kegemaran dalam drama The Haunted Palace sebab dia adalah Raja yang baik hati dan bercita-cita tinggi. Jarang nampak Raja yang setia dengan Permaisuri dan take part in parenting walaupun sibuk dengan urusan kerja. Dinamik Kim Ji-hoon dengan Sung-jae terlihat kuat tak kisah lah sebagai musuh ataupun sahabat baik. Cuma tu lah, baik macam mana pun Raja, gaji tetap jugak bagi sikit, tak padan dengan workload pegawai dia. 


Sinematografi The Haunted Palace antara kekuatan naskhah fiksyen di era pemerintahan diraja. Kostum yang digunakan terlihat cantik terutamanya pakaian Yoon Gap yang nampak lembut dan selesa. Sama juga dengan pakaian yang digunakan oleh Bona atau Seul-ki. Interior dan props yang digunakan untuk menghidupkan suasana pada zaman tersebut terlihat kaya dengan seni budaya Korea. Palette untuk beberapa babak jelas berbeza sekaligus meningkatkan kekayaan visual dan keindahan landskap semulajadi latar tempat yang penting. 

All in all, drama The Haunted Palace menghiburkan sebagai naskhah supernatural dan misteri. Hantu-hantu dia tak seram pun kalau ada yang lemah semangat. Jumpscares pun tak ada sebab drama ni bukan drama seram.  

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 7.6/10

Movie Review | Rumah untuk Alie (2025)


Pengarah: Herwin Novianto 
Penulis Skrip: Lottati Mulyani 
Pelakon: Anantya Kirana, Rizky Hanggono, Dito Darmawan, Rafly Altama Putra, Andryan Bima    
Syarikat Produksi: Falcon Pictures  
Pengedar: Netflix
Genre: Drama
Durasi Tayangan: 95 minit
Tarikh Tayangan: 17 April 2025 (Indonesia), 01 Mei 2025 (Malaysia) 
Trailer:


Alie Ishala Samantha (Anantya Kirana) merupakan anak bongsu dari lima beradik. Empat orang di atas adalah abang-abangnya dan kesemua mereka melayan Alie dengan dingin kerana Alie adalah punca ibunya (Tika Bravani) meninggal dalam kemalangan kereta. Kerana kemalangan tersebut juga, kaki abang sulungnya, Dipta (Dito Darmawan) jadi tempang. Murung dengan berita isteri keduanya juga meninggal, ayahnya, Abhimanyu (Rizky Hanggono) berubah menjadi baran, kaki mabuk dan sering memukul Alie. 

Setiap hari Alie pergi ke sekolah bersendirian dengan berjalan kaki melintas jalan besar sedangkan abang-abangnya menaiki kereta. Pulang dari sekolah Alie akan membantu orang gaji sediakan makan malam atau mengemas rumah. Namun setelah Abhimanyu tidak mampu membayar upah, Alie terpaksa menggantikan tugas-tugas orang gaji di rumah tersebut. 


Sudah lah didera di rumah, di sekolah pula menjadi mangsa buli kerana pelajar kelas atasan syak Alie suka pada Natta (Rafly Altama) kerana hanya abangnya yang seorang itu sahaja yang baik dengan Alie. Pelajar di sekolah tidak tahu bahawa Natta mempunyai adik bongsu yang bersekolah sama dengannya. 

Filem Rumah untuk Alie diadaptasikan dari novel popular dengan judul yang sama karya nukilan Lenn Liu yang diterbitkan pada tahun 2024. Naskhah drama yang berlatarkan keluarga sederhana arahan Herwin Novianto dari awal lagi tak berselindung dengan punca keretakan rumah Alie. Penceritaan yang jelas menerusi flashbacks perkahwinan Abhimanyu bersama dua orang isterinya sehinggalah kemalangan jalan raya tersebut. 


Penceritaan juga bergerak laju walaupun menggunakan genre drama kerana banyak perkara yang berlaku pada watak utama baik di rumah mahupun di sekolah sampai tak berhenti menangis. Baru menangis sebab Alie kena pukul dengan ayah dia, esoknya pergi sekolah kena buli pula dengan Nazwa (Alexandra Valerie).  

Mata I bengkak lepas tengok filem Rumah Untuk Alie terbitan Falcon Pictures sebab lakonan cemerlang dari Anantya Kirana. Pelakon kanak-kanak tapi bakatnya besar. Setiap babak dipenuhi dengan renungan sedih dan perasaan rindu kepada ibunya, Gianla. Masa ibu dia ada pun Alie selalu kena usik dengan abang-abang dia tapi usik biasa je. Lepas meninggal tu semua orang jadi baran kecuali Natta. 


Sepanjang filem memang sakit hati sangat tengok perangai Dipta, Samuel dengan Rendra sebab mengharapkan Alie yang buat kerja padahal adik mereka kecil lagi. Dalam flashback boleh nampak Abhimanyu adalah manchild jadi tak hairanlah kalau anak-anak lelaki dia pun ada perangai yang sama. Rumah tu jadi kotor, tak terurus pun sebab semua jenis tak reti buat kerja. Sebelum ni mengharapkan Gianla dengan orang gaji. Balik sekolah main game tak pun lepas geram dekat Alie. Nasib baik tak ada antara watak lelaki yang dera Alie secara seksual. 

Tengok pada review untuk novel Rumah Untuk Alie, penulis tak mampu nak handle babak-babak sensitif jadi tak hairanlah bila dialog dalam filem pun merepek. Babak guru disiplin panggil Alie dan Nazwa untuk kes buli, dialog Natta yang sedarkan abang-abang dia yang Alie berharga kerana Alie yang akan gantikan tempat Gianla which is in a bad way. Maksud Natta bukannya penyeri rumah tapi pengurus rumah. 


Perbualan Alie dengan Gianla pun quite disturbing bila dia yakinkan Alie yang abang-abang Alie membuli sebab tak pandai tunjuk rasa sayang tu. Gianla sama seperti kebanyakan wanita submissive yang suka menjaga manchild. 

Kagum dengan pihak guru di sekolah Alie tak pernah ambil tindakan bila nampak kecederaan Alie. Sama ada penulis sengaja berlebihan untuk tambahkan drama atau guru tak dibayar banyak untuk ambil peduli hal peribadi pelajar. Pengakhiran Rumah Untuk Alie bersifat open ending jadi I harap doktor laporkan kes Alie kepada jabatan kebajikan sebab lebam di seluruh badan Alie memang susah nak tutup. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.4, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.7, 7. Themes +0.5, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.3, 10. Personal Thought +0.4 = 6.1/10

Movie Review | War 2 (2025)

Sunday, 19 October 2025


Pengarah: Ayan Mukerji
Penulis Skrip: Shridhar Raghavan, Aditya Chopra, Abbas Tyrewala (Dialog) 
Pelakon: Hrithik Roshan, N. T. Rama Rao Jr., Kiara Advani, Ashutosh Rana, Anil Kapoor     
Syarikat Produksi: Yash Raj Films   
Pengedar: Yash Raj Films, Netflix
Genre: Aksi / Thriller
Durasi Tayangan:  173 minit
Tarikh Tayangan:  14 Ogos 2025  
Trailer:


Selepas 5 tahun berpaling tadah dari RAW, Major Kabir Dhaliwal (Hrithik Roshan) menjalankan pelbagai misi bebas yang diambil dari pelbagai klien luar negara termasuklah Kali. Organisasi rahsia yang mempunyai wakil dari beberapa negara seperti India, Russia, China, Pakistan atau Sri Lanka mempunyai agenda yang sama, iaitu membunuh pemimpin negara supaya boleh menguasai dunia. 

Dengan menjemput Kabir bertemu mereka secara maya, Kabir ditugaskan untuk membunuh mentornya, Kolonel Sunil Luthra (Ashutosh Rana). Setelah kematian Kolonel Luthra, Kolonel Vikrant Kaul (Anil Kapoor) naik sebagai Ketua RAW yang Baharu. Misi utamanya adalah menjejak Kabir dengan membawa masuk Wing Commander Kavya Luthra (Kiara Advani), satu-satunya anak tunggal dan kebanggaan mendiang Kolonel Luthra dan juga Special Unit Officer Vikram Chelapathi (N. T. Rama Rao Jr.) ke dalam pasukan khas tersebut. 


Kavya dan Vikram menjejak Kabir di Sepanyol dengan mengintip pergerakan Ruhi Sahni (Arista Mehta), anak angkatnya. Misi mereka hampir berjaya malah Kabir terhutang budi dengan Vikram kerana selamatkan Ruhi dari nahas kereta api. Kabir mendapat tugas baru dari Kali untuk membunuh adik kepada Menteri Pertahanan – Vilasrao Sarang (Varun Badola) dalam sebuah jet peribadi. Namun sekali lagi langkahnya terhalang oleh Vikram dan membuka rahsia lama Kabir dan Raghu. 

Sekuel kepada filem War (2019) membawa perjalanan Mejar Kabir Dhaliwal yang baru setelah kematian protegenya, Khalid. 5 tahun selepas insiden tersebut, dia bertemu dengan Raghu yang pernah membantu dia semasa remaja di bandar Mumbai dahulu. Sama macam War 1, filem aksi thriller ini dikembangkan oleh Aditya Chopra dan Shridhar Raghavan di barisan penulis dengan tambahan Abbas Tyrewala untuk dialog. 


Perubahan yang besar dilakukan apabila War 2 diarahkan oleh Ayan Mukerji yang popular dengan Brahmāstra: Part One – Shiva (2022), Yeh Jawaani Hai Deewani (2013) dan Wake Up Sid (2009). Kecewa bila War 2 bertukar tangan kerana Siddharth Anand adalah antara faktor War ditabalkan salah satu filem aksi terbaik pada tahun 2019 sekaligus menghidupkan YRF Spy Universe di bawah Yash Raj Films. 

Tak pasti kenapa YRF beri kepercayaan dan tanggungjawab besar kepada pengarah baru sedangkan Ayan Mukerji gagal dengan filem Brahmāstra: Part One – Shiva sementara Siddharth Anand mendapat pujian untuk filem Fighter (2024) yang berlatarkan tentera udara. Bertambah kecewa bila tengok War 2 gagal menjadi naskhah yang sama bagus dengan naskhah sebelumnya. 


Sama seperti Tiger 3 (2023) yang dikembangkan oleh Shridhar Raghavan dan Aditya Chopra, filem War 2 menggunakan personal drama yang berlebihan dan draggy. Pertambahan 17 minit berbanding naskhah sebelumnya buatkan filem aksi terlihat bosan terutamanya pada second half dan babak klimaks. Plot yang dramatic dengan cliché dan twist yang mudah dijangka dari awal. YRF Spy Universe perlukan sentuhan dari penulis baru yang familiar dengan genre aksi. 

Bukan saja plot utama, gandingan Hrithik dan NTR menambahkan lagi bosan dengan dialog yang lemah dan lapuk. Komedi yang dimasukkan juga hambar. Kalau Hrithik menguasai screen dengan aura dan karisma, NTR pula melebih-lebih gaya lakonannya. Cringe bila dia deliver ayat ikonik Joker ‘Why so serious’. Setiap kali dia muncul I rasa geram sebab dia malas. Physical figure dia tak macam special force langsung. 


I boleh terima Salman Khan dalam Tiger sebab dia dah bersara tapi Vikram masih lagi aktif. Patutnya masukkan Ranveer Singh sebagai watak baru dalam universe ni daripada beria sangat nak tarik perhatian penonton dari South. Kalau bukan A-list actor pun, masukkan lah pelakon baru yang boleh berlakon dan tak tenggelam bila berdiri sebelah Hrithik. 

Pelakon sampingan yang lain tak ada banyak ruang pun dalam War 2 sebab penulis lebih fokus pada dua watak utama kecuali Hearty Singh dan Manthan Darji yang lakonkan watak Raghu dan Kabir masa muda. Lakonan Hearty Singh menyerlah sebab gaya dia sama dengan Vikram. Senasib dengan Vaani Kapoor dalam War, Kiara Advani juga hidup sebagai pasu bunga walaupun heroin dan salah satu watak penting dalam RAW dan YRF Spy Universe. Anil Kapor juga tersia dalam War 2.


Sinematografi dari Benjamin Jasper gagal menghidupkan visual yang menarik untuk filem War 2, berbeza dengan khidmatnya dalam War 1. Kebanyakan babak bergantung banyak dengan khidmat VFX walaupun dapat bajet yang lebih besar tapi nampak lemah. Camera shot pun ada masanya shaky dan jadi faktor kelemahan utama bila masuk babak stunts. Boleh nampak ketara double stunts sebab pengarah tak pandai cari angle. Tak faham macam mana Ayan gagal untuk visual department sedangkan cemerlang dalam Brahmāstra yang bertemakan kuasa sakti.

Music score dari Pritam yang terkenal dengan himpunan lagu romantik gagal mencipta track yang bertenaga seperti duo Vishal-Shekhar dalam War 1. Penggunaan theme track dalam babak Kabir serang yakuza Jepun (Kwon Sung Jong) terasa bingit dengan sebutan bahasa Cina. It just embarrassing bila YRF ambil pelakon Korea untuk watak Jepun dan masukkan theme track Cina. It screams racist and ignorant. Sama juga dengan lagu Shaitaan yang bingit dan messy. Lagu Aavan Javan not bad dan lagu Janaab-e-Aali bosan kecuali intro dan outro – Tripping High. Nasib baik ada track asing untuk Tripping High yang addictive and impactful. 



The only saving grace dalam War 2 adalah device yang digunakan oleh Kabir dalam setiap misi dia. Amazed dengan device yang dia guna masa terjun dari menara selepas jumpa dengan Kavya dan drone serba fungsi untuk letupkan jet. Mungkin ada lagi device yang dia guna masa dekat credit scene pertama. Kelakarnya I seronok tengok credit scene yang muatkan few actions yang bersahaja dari the whole film. 

YRF Spy Universe ni dah jadi merepek sebab jadi platform untuk superstar berkumpul. Bloated budget just to pay actor fees. Sayang lah sebab YRF Spy Universe sahaja satu-satunya projek yang mampu bawa untung kepada Yash Raj Films lepas sekian lama gagal di box office. Ingatkan dalam WAR 2 akan ada details lebih lagi untuk YRF Spy Universe rupanya tak. It feels like a stand-alone movie tau. Ada la dia letak nama Pathaan, Tiger dalam dialog tapi tu je lah. Tak ada langsung sub-plot atau details yang relate dengan mana-mana instalment dalam universe ni. 


Tengok pada penghujung filem dan kutipan box office, nampak gayanya Mejar Kabir akan berehat lama untuk bagi laluan kepada installment lain macam Alpha yang diceritakan dalam credit scene kedua. I excited nak tengok Alia Bhatt dan Sharvari beraksi dalam Alpha tapi kalau penulis dan pengarah yang sama, rasanya tak payah letak apa-apa expectation la kot. 

1. Team Production +0.5, 2. Visual +0.4, 3. Audio +0.3, 4. Storyline +0.3, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.5, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.4, 9. Social Message +0.6, 10. Personal Thought +0.4 = 3.5/10

Movie Review | Thunderbolts (2025)


Pengarah: Jake Schreier
Penulis Skrip: Eric Pearson, Joanna Calo
Pelakon: Florence Pugh, Sebastian Stan, Wyatt Russell, Olga Kurylenko, Lewis Pullman, Geraldine Viswanathan, Chris Bauer, Wendell Pierce, David Harbour, Hannah John-Kamen, Julia Louis-Dreyfus
Syarikat Produksi: Marvel Studios 
Pengedar: Walt Disney Studios Motion Pictures
Genre: Superhero
Durasi Tayangan: 127 minit
Tarikh Tayangan: 22 April 2025 (Cineworld Leicester Square), 02 May 2025 (United States)
Trailer:


Sebuah makmal rahsia di Kuala Lumpur dihancurkan oleh Yelena Belova (Florence Pugh) dalam misi terbarunya di bawah arahan Valentina Allegra de Fontaine (Julia Louis-Dreyfus), pengarah Central Intelligence Agency (CIA). Valentina ingin segala bukti tentang penglibatannya dalam projek Sentry yang ditubuhkan bersama O.X.E. Group dihapuskan tanpa jejak. 

Setelah selesai urusannya di Malaysia, Yelena dihantar pula ke sebuah gudang dan bertemu dengan John Walker (Wyatt Russell), Ava Starr (Hannah John-Kamen) dan Antonia Dreykov (Olga Kurylenko). Tanpa mereka sedar masing-masing ditugaskan untuk berbunuhan sesame sendiri sehingga lah Bob (Lewis Pullman) terjaga dan keluar dari pod yang dicipta khas untuk projek Sentry. 

Mereka berpakat untuk keluar dari gudang tersebut menggunakan kelebihan masing-masing dan kerjasama. Tak ada apa yang aneh atau luar biasa tentang Bob namun Yelena dan John masing-masing mengalami bayangan tentang kenangan buruk secara tiba-tiba. 

Ketika tentera khas dapat tahu pergerakan mereka, Bob tawarkan diri untuk alih perhatian supaya semua dapat selamatkan diri. Sebaik saja menjadi sasaran, Bob langsung tidak cedera ketika ditembak dan boleh terbang tinggi di udara.  Gembira dengan kuasa Bob, Valentina mengumumkan Bob sebagai ahli Avenger yang baru dan tempatkan di Menara Avengers yang kini dikenali sebagai Watchtower. Yelena cuba untuk selamatkan Bob dari dimanipulasi oleh Valentina. 

Kalau bukan sebab Malaysia dan Merdeka 118 viral di social media sebab jadi salah satu lokasi penggambaran Thunderbolts, memang tak layan dah instalment ke-36 untuk Marvel Cinematic Universe ni. Sejak filem Captain America dah bertukar orang gara-gara era baru bermula, terus hilang minat nak layan filem superhero Marvel. 

Sama juga dengan Thunderbolts* arahan Jake Schreier yang memperkenalkan watak-watak baru dalam penceritaannya. Hanya Bucky Barnes a.k.a Winter Soldier (Sebastian Stan) yang connect era lama dengan era baru, the rest memang tak kenal. 

Naskhah Thunderbolts* menggunakan elemen komedi kerana bila bekerja bersama, mereka menjadi sekumpulan superhero yang pernah kena reject. Macam John Walker yang tak dipilih sebagai Captain America. Sama seperti filem Marvel yang lain, elemen komedi mungkin menjadi atau ada masanya terlihat hambar. 

Namun elemen ni tak mengganggu mood penceritaan kerana Thunderbolts* lebih fokus pada perjalanan emosi setiap watak utama. Kehadiran Void mungkin membahayakan tapi sebenarnya menguatkan lagi superhero secara fizikal mahupun mental. Ada masanya kita berpihak pada Thunderbolts* dan kemudiannya terhadap Void. Satu sisi yang tak pernah berlaku dalam Marvel kecuali Loki. 

Lakonan Florence sebagai Yelena, adik angkat kepada Black Widow mempunyai sejarah silam yang susah untuk dilupakan. Bila dia membesar sebagai pembunuh upahan, hidup dia tak ada arah tuju walaupun antara watak yang kuat dan penting dalam dunia Avengers. Sama juga dengan Bucky yang menjadi subjek eksperimen Hydra. Baik Florence atau Sebastian, kedua-duanya mempunyai dinamik yang kuat dan meninggalkan impak setiap kali muncul. 

Lewis Pullman pun menyerlah dalam ruang yang terhad dengan perwatakan yang pasif tapi penuh dengan kejutan. Setiap dialog dan perasaan yang dibawa somehow relatable dengan manusia biasa walaupun mempunyai kekuatan yang luar biasa. Dia juga asalnya manusia yang dipergunakan untuk ketamakan manusia seperti Valentina.

‘The past doesn’t go away. So, you can either live with it forever… or do something about it.’ – Bucky Barnes

Sinematografi dari Andrew Droz Palermo menggambarkan semua babak dengan cemerlang malah menjadi kebanggaan bila babak di Malaysia menggunakan rona biru dan bukan lagi kuning. Satu kejayaan kecil untuk Malaysia bila dapat keluar dari warna kuning yang melambangkan negara kelas ketiga. Untuk Marvel, ini kali kedua lah Malaysia keluar dari warna kuning sebab dalam naskhah Venom (2021) pun ada tapi yang tu blink and miss. Music score dengan 32 buah track hasil gubahan Son Lux menjadi sinergi kukuh untuk Thunderbolts*.

Walaupun penceritaan Thunderbolts* boleh dijangka dan mempunyai konsep yang sama dengan filem superhero yang lain namun tetap menghiburkan. Kalau tak pernah layan mana-mana filem Marvel pun tak ada masalah sebab tak ada yang buat cameo pun cuma dekat credit scenes ada hint untuk next instalment. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 8.7/10

QIFARAH BUKTIKAN FILEM TEMPATAN PUN BOLEH NAMPAK MACAM HOLLYWOOD!

Friday, 17 October 2025

Sejak ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Qifarah terus mencetus fenomena dengan sambutan hangat daripada penonton. Ramai yang bukan sahaja terpukau dengan jalan ceritanya yang seram, penuh mistik dan sarat dengan pengajaran, tetapi turut kagum dengan visual sinematografi bertaraf antarabangsa yang dihasilkan. Setiap babak berjaya membangkitkan suasana tegang dan mendebarkan, seolah-olah menonton karya ngeri Hollywood versi tempatan.

Kekuatan utama Qifarah bukan sekadar pada jalan ceritanya yang penuh misteri, tetapi juga pada aspek teknikal yang dihasilkan dengan begitu kemas dari sinematografi memukau, rekaan produksi realistik hingga pencahayaan dan efek bunyi yang berkesan berjaya mencipta suasana seram mengasyikkan. Gabungan ini menjadikan Qifarah satu pengalaman sinematik yang menakutkan, mendalam dan melekat dalam ingatan penonton.

Sebagai pengarah, Ghaz Abu Bakar berjaya membuktikan bahawa filem tempatan juga mampu berdiri sebaris dengan produksi antarabangsa, bukan sahaja dari segi visual dan kualiti teknikal, tetapi juga melalui penceritaan yang sarat nilai kemanusiaan dan menyentuh hati penonton.

Beberapa babak dalam Qifarah menonjol dengan atmosfera seram, hasil gabungan sinematografi yang teliti. Setiap adegan dibuat dengan penuh perhatian bagi memberikan impak besar, menjadikan pengalaman menonton Qifarah bukan sekadar hiburan seram, tetapi juga suatu renungan mendalam tentang keinsafan dan pembalasan, selaras dengan makna sebenar di sebalik konsep Qifarah.

“Saya mahu penonton benar-benar menyelami dalam dunia Qifarah, merasai setiap detik seram, setiap bisikan misteri dan pengajaran yang tersembunyi di sebalik kisah ini. Bagi saya, visual dan bunyi bukan sekadar hiasan, tetapi medium untuk menyalurkan rasa supaya apa yang mereka lihat dan dengar terus kekal dalam ingatan, walaupun selepas keluar dari pawagam,” jelas Ghaz Abu Bakar.

Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri kengerian dan keinsafan yang dibawa oleh Qifarah. Filem ini mengundang penonton menyelami kegelapan penuh rahsia, di mana setiap titisan darah menyimpan dosa silam, setiap bisikan membawa sumpahan dan setiap bayangan hadir menuntut pembalasan.