Saksikan Siri Mini Animasi Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! Sempena Ramadan dan Raya Ini di Astro Warna

Tuesday 12 April 2022


Saksikan Siri Mini Animasi Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! Sempena Ramadan dan Raya Ini di Astro Warna | LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..! Janjikan Gelak Ketawa Tapi Padat Dengan Pengajaran 

Siri mini animasi di Astro Warna kali ini mengambil kampung selebriti Nabil Ahmad sewaktu kecil di Kampung Kayu Ara, Mambau, Negeri Sembilan sebagai backdrop dan jalan ceritanya. Animasi pendek terbitan Astro dan Ed Online Technologies Sdn Bhd bersama selebriti Nabil Ahmad ini merupakan animasi selebriti pertama di Malaysia dan juga kesinambungan kepada musim pertamanya yang telah mendapat sambutan baik daripada para peminat.   

Penceritaan  menerusi  lima  episod  pendek  yang  berdurasi  tujuh  hingga  sebelas  minit  ini mengisahkan  Nabil,  seorang  kanak-kanak  yang  penuh  dengan  angan-angan  dan  seringkali menimbulkan  kekecohan  di  kampungnya  dengan  tidak  sengaja.  Dan  kerana  hal  itu,  dia berdepan  dengan  pelbagai  masalah,  tambahan  pula  dengan  kehadiran  budak  baharu bernama  Syasya  sehingga  menggugat  persahabatan  dengan  kawan-kawan  karibnya,  Mok serta  Fahmi.  Hidupnya  serba  tidak  kena  dengan  pelbagai  masalah  yang  timbul  ketika Ramadan yang mengakibatkan kekecohan berlaku ketika sambutan Hari Raya dikampungnya. 

Animasi  musim  kedua  ini  menggambarkan  suasana  sambutan  Ramadan  dan  Raya  Nabil sewaktu kecil di kampungnya. Penceritaan animasi ini juga mengetengahkan dialek tempatan iaitu  dialek  Negeri  Sembilan  sebagai  dialog  utama  yang  menjadikan  animasi  tersebut  lebih menghiburkan. Siri mini animasi ini mengekalkan tempo penceritaan padat dan padu dengan pengisian-pengisian  yang  boleh  dijadikan  pengajaran  dalam  hidup  seisi  keluarga  walaupun berdurasi pendek. 

Animasi  bergenre  komedi  keluarga  ini  merupakan  arahan  juruanimasi  berpengalaman, Syukur  Majid  dengan  idea  asalnya  oleh  Nabil  Ahmad,  juga  sebagai  pelakon  suara  watak utamanya. Animasi ini turut didukung oleh barisan pelakon suara seperti Shahril Fahmey dan Haefizul Yusof, iaitu kawan baik Nabil dari kecil yang dijemput khas untuk membuat alih suara bagi watak Fahmi dan Mok serta Amanda Amry, pelakon yang sedang meningkat naik. 

Siri mini animasi ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’ musim kedua ditayangkan setiap Khamis, mulai 7 April 2022, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna HD (107) dan ulangan di saluran Astro Ceria HD (611) pada setiap Ahad, jam 3.00 petang. Animasi ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Syukur Majid 

Pengarah Siri Mini Animasi ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’  

“Penceritaan  menerusi  animasi  boleh  dibawa  dengan  pelbagai  cara,  lebih  lagi  apabila  ia melibatkan  pencetusan  perasaan  terhadap  sesuatu  situasi  kepada  penonton.  Antara  cara yang  kami  lakukan  adalah  dengan  membawa  cerita  inspirasi  dari  realiti  seseorang  dan mewarnainya  dengan  situasi  semasa  supaya  mudah  dihadam penonton.    

Alhamdulillah  animasi  musim  pertama  sebelum  ini  telah mendapat  reaksi  yang  sangat  positif  seperti  kelakar,  best  dan terhibur  daripada  penonton-penontonnya.  Malah,  mereka sukakan latar belakang animasi ini yang mengimbau kenangan mereka kepada komik dan animasi tempatan tahun 90’an. Atas respons ini, Astro dan pihak produksi telah meneruskan dengan musim  kedua  yang  menekankan  penceritaan  pada  bulan Ramadan dan Raya 2022.  

Musim  kali  ini,  kami  mengekalkan  konsep  siri  mininya  dengan  masih  membawa  elemen- elemen  yang  menggelikan  hati.  Namun,  pada  kali  ini  kami  melanjutkan  durasi  animasi  ini menjadi  tujuh  minit  daripada  empat  minit  sebelumnya  jadi  penonton  akan  dapat  terhibur lebih  lagi,  ditambah  pula  dengan  kemunculan  watak  baharu  yang  mengubah  dimensi penceritaannya. Ceritanya menjadi lebih kecoh. Pelbagai konflik dan drama berlaku kepada Nabil, rakan-rakannya dan orang kampung ketika menyambut bulan Ramadan dan Syawal.    

Selain itu, animasi ini juga diterbitkan dengan penuh pengisian yang mampu memberi teladan kepada  penonton.  Pada  mula  perbincangan  dan  pengumpulan  idea  lagi  kami  sudah merancang  dengan  rapi  plot-plot  cerita  yang  bersesuaian  bagi  membentuk  kitaran  cerita yang  bermakna,  di  mana  setiap  permasalahan  adanya  solusi.  Mencampur  adukkan  kisah sebenar  hidup  Nabil  Ahmad  pada  zaman  kanak-kanaknya  sekitar  tahun  awal  90an,  kami gabungkan dengan permasalahan di zaman kini agar mudah diterima penonton kini.  

Bukan itu sahaja kelainan yang kami bawakan. Kami juga turut mendengar dan mengumpul tindak  balas  daripada  penonton  musim  pertama  yang  lalu.  Ramai  yang  menyuarakan  rasa tidak  puas  menonton  musim  pertamanya  yang  berdurasi  pendek,  4  minit.  Jadi,  kami panjangkan  sedikit  durasinya  dan  memilih  7  minit  kerana  ianya  antara  durasi  yang  sesuai untuk tayangan televisyen dan workable dalam tempoh masa yang diberikan.   

Kami  berharap  siri  animasi  mini  ini  dapat  menghiburkan  penonton  bersama  keluarga  dan rakan-rakan sambil mereka dapat menghadam pengajaran-pengajaran yang diselitkan. Kami juga  berharap  siri  kali  ini  akan  lebih  mendapat  sambutan,  dan  dengan  sokongan  tersebut Astro dapat memberi peluang lagi kepada kami untuk meneruskan produksi animasi Lu Pikir La Nabil ini, mungkin dalam format yang lebih panjang di masa akan datang.” 


Nabil Ahmad 

Idea Asal dan Pelakon Alih Suara ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!”  

“Menerusi animasi Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..! kali ini, saya ingin menunjukkan yang di mana- mana situasi pun, kebenaran akan terungkap. Bak kata pepatah “berani kerana benar, takut kerana  salah”.  Lebih  kurang  begitulah  topik  yang  saya  ingin terapkan  kepada  penonton.  Tiada  apa  yang  terlalu  serius.  Ini juga sebenarnya adalah untuk keseronokan dan hiburan sahaja.   

Selain itu, saya memilih untuk menghasilkan animasi ini kerana ingin mencari kelainan. Bagi saya, filem pendek dan rancangan realiti  itu  sudah  agak  biasa.  Lantas,  tujuan  utamanya  adalah untuk  menjadi  selebiriti  pertama  yang  mempunyai  animasi tersendiri.  Jika  kita  mahu  mengikut  dunia  digital  pada  zaman sekarang  ini,  sudah  terlalu  banyak  animasi  dan  kartun-kartun yang dikeluarkan dari segi penceritaan yang moden tetapi tidak ramai selebriti-selebriti yang mendapat peluang untuk membuat animasi berdasarkan kehidupan mereka sendiri. Oleh itu, saya sangat teruja dan bersyukur di beri peluang oleh Astro sendiri untuk menjadi selebriti pertama yang menghasilkan animasi sendiri. 

Harapan saya untuk siri mini animasi ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’ ini semestinya menggunung tinggi. Saya berharap agar suatu hari nanti, kita akan ada ‘Lu Pikir La Nabil The Movie’ yang akan  ditayangkan  diseluruh  pawagam  atau  di  saluran  Astro  First,  InshaAllah.  Saya  juga berharap agar penonton terhibur dengan penceritaannya.”

TRIVIA MENARIK SIRI MINI ANIMASI ‘LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..!’ 

1.  Siri mini animasi ini merupakan animasi selebriti pertama di Malaysia. 

2. Siri animasi Ramadan Raya khas bersama Nabil Ahmad merupakan animasi pertama di Astro Warna. 

3. Inspirasi animasi ini berdasarkan kisah kehidupan selebriti Nabil Ahmad bersama rakan-rakan sekampungnya ketika kecil.  

4. Penceritaan animasi ini menggunakan Bahasa Melayu dalam dialek Negeri Sembilan.

5.  Nabil menjemput kawan-kawan karib sejak kecil untuk membuat alih suara animasi untuk watak Mok dan Fahmi. 

6.  Alih suara bagi karakter baharu dalam siri mini ini, Syasya merupakan alih suara pertama untuk pelakon baharu Amanda Amry. 

7.  Musim baharu ini menampilkan kisah-kisah yang boleh menghiburkan bukan sahaja untuk kanak-kanak malah orang dewasa dengan elemen satira dan nostalgia. 

8.  Nabil dan WARIS berganding bahu untuk lagu tema dan video muzik lagu Raya, ‘TuuDeh Rayo!’ sempena siri animasi kali ini.

PECAHAN WATAK ALIH SUARA SIRI MINI ANIMASI ‘LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..!’ 

Nabil Ahmad        sebagai Nabil 

Shahril Fahmey    sebagai Fahmi (sahabat karib Nabil) 

Haefizul Yusof      sebagai Mok (sahabat karib Nabil) 

Amanda Amry      sebagai Syasya 

Abah                      sebagai Ayah kepada Nabil  

Mak                        sebagai Ibu kepada Nabil 

Pak Abu                 sebagai sahabat kepada Ayah Nabil  

Cik Ambros           sebagai Ketua Kampung   

LOGLINE SIRI MINI ANIMASI ‘LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..!’ 

Nabil  diuji  dengan  masalah  di  bulan  Ramadan  sehingga  mengugat  persahabatan  dengan kawan-kawannya,  ditambah  pula  dengan  gelagat  orang–orang  kampung  dan  kehadiran budak baharu, Syasya. 

SINOPSIS SIRI MINI ANIMASI ‘LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..!’ 

Lu Pikir La Nabil, Tuudeh..! mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak bernama Nabil di kampungnya menjelang bulan Ramadan. Nabil diuji dengan pelbagai masalah setelah berlaku salah faham di antara orang kampung dan dirinya apabila dia mencari kucingnya, Piah yang hilang. 

Namun, orang kampung pula tersalah sangka dan menganggap isteri ketua kampung yang  turut  bernama  Piah  yang hilang.  Maka  kecohlah  satu  kampung  akan  salah  sangka  ini. Kehadiran  budak  baharu  bernama  Syasya  turut  menggugat  persahabatan  Nabil  dengan kawan-kawannya  apabila  dia  dituduh  sebagai  penyebab  pelanggan  murtabak  Pak  Abu mendapat  keracunan  makanan.  

Kawan-kawannya  pula  menjauhkan  diri  dan  mula  rapat dengan  Syasya.  Nabil  sekali  lagi  difitnah  dan  dituduh  ponteng  puasa  apabila  dia  berada  di tempat dan masa yang salah. Akibatnya orang kampung mula pandang sinis terhadap dia dan keluarganya.  

Raya  menjelma  tetapi  Nabil  masih  bergaduh  dengan  kawan-kawan  dan  keluarganya dipulaukan. Namun Syasya menjumpai bukti yang menunjukkan Nabil sebenarnya disabotaj dan sekaligus membersihkan nama Nabil. Adakah Nabil dan kawan-kawannya akan berbaik semula dan beraya bersama?  

1 comment

  1. Wah, menarik lah.. Ok.. dah start kan.. tapi saing Jangan Menangis Cinta pulak... Tengok online jela nanti.. kalau ada... huhu

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.