HATTAN 35 YEARS JOURNEY, KONSERT PENUH JIWA

Monday 11 April 2022

HATTAN 35 YEARS JOURNEY, KONSERT PENUH JIWA | Jika disenaraikan siapa antara penyanyi lelaki terbaik tanah air, nama Datuk Hattan wajib ada dalam senarai. Kelebihan dari segi vokal, gubahan lagu, personaliti baik dan pengalaman yang dimiliki meletakkan nama penyanyi dengan nama sebenar, Mohd shukri shahabudin ini pada kelas tersendiri. 

Dek kerana faktor ini, Hattan bakal tampil dengan konsert berskala besar iaitu Hattan - 35 Years Journey pada 4 dan 5 Jun 2022 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre bermula jam 8 malam. Konsert anjuran Mewah Event Management (MEM) ini juga adalah konsert solo Hattan terbesar dalam kerjaya nyanyiannya sejak tahun 1987. 

Hattan bakal mempersembahkan 22 buah lagu termasuk lagu hits seperti Memburu Rindu, Dari Kekasih Kepada Kekasih, Rendang Tak Berbuah, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan, Berikan Nurbisa, Hitam Bukan Impian, Biso Bonar, Sambar Apa Saja, Dia, Gadis Jolobu dan banyak lagi. Hattan yang gturut aktif sebagai pelakon sudah menghasilkan 11 album studio sejak 35 tahun lalu iaitu Nostalgia (1987), Hattan (1991), Antem (1992), Ana Permata Timur (1993), Mentor (1994), Satu Malaya Dah Tahu (1996), Biso Bonar (1998), Aku Dan Mentor (2000), Palestin Jangan Menangis (2002), Masterpiece (2007) dan Inderawala (2010). Selain itu, Hattan juga pernah bersama dengan band FRU (Five Rockers Union) yang menghasilkan album berjudul Kelahiran pada 1988. Beliau juga pernah menjadi penyanyi band Pratayuda menerusi album kompilasi War Rock I pada 1987.

"Ini bukan sekadar konsert saja malah mengandungi penceritaan. Dari segi kerjaya itu berkembang, bagaimana lagu ini tercipta dan kenapa lirik itu terjadi. Ia akan diceritakan sepanjang konsert itu berlangsung nanti. Saya memiliki puluhan lagu hits dan kebanyakannya akan saya nyanyikan nanti, namun ada juga yang akan disampaikan secara medley. Untuk lagu yang betul-betul popular sudah pasti akan saya nyanyikan keseluruhannya.' - Datuk Hattan

Tambahnya lagi, beliau sudah merancang konsert ini bersama MEM sejak dua tahun lalu namun tergendala akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Februari 2020.

Dalam konsert Hattan - 35 Years Journey ini, Hattan akan diiringi barisan pemuzik hebat dan berpengalaman seperti pemain keyboard Rozario yang turut bertindak sebagai Pengarah Muzik, Nan (gitar), Ritz (gitar), Ujang (dram), Fly (bass), Firdaus (keyboard) dan Pa'ang (perkusi). Selain itu, Hattan turut mengundang pemain seruling, Mohar yang akan mengiringinya dalam beberapa lagu. 

"Saya adalah penyanyi yang penuh dengan jiwa. Dalam konsert ini tak perlu nak melompat-lompat. Zaman sekarang tak perlu lagi. Kenapa anda perlu datang ke konsert ini? Kerana saya akan bagi sesuatu yang saya tahu orang rindu nak tengok sejak dua tahun lalu. Ini juga hadiah daripada saya untuk sahabat dan peminat yang menyokong karier saya sejak 35 tahun lalu.' - Datuk Hattan

Bercerita mengenai persiapan konsert, Hattan berkata dia tidak bimbang kerana kerap mengadakan latihan selain menjaga kesihatan. 

"Sebagai penyanyi, latihan atau praktis itu amat penting. Kena menyanyi dengan penuh jiwa dan hafal lirik lagu dengan baik. Alhamdulillah sejak kelonggaran SOP (Standard Operation Procedure) Covid-19, hampir setiap minggu saya mendapat tawaran persembahan. Itu juga satu latihan yang baik.' - Datuk Hattan

Konsert Hattan - 35 Years Journey ini juga akan mengetengahkan segmen mentor khusus buat Datuk M Nasir di mana Hattan merakamkan semula lagu-lagu popular nyanyian dan ciptaan M. Nasir seperti Kepadamu Kekasih, Sekuntum Mawar Merah, Gerhana, Tiara dan Padang Lalang. Idea merakamkan semula lagu-lagu Datuk M Nasir datang dari Hattan sendiri kerana semua lagu-lagu tersebut merupakan lagu kesuakaannya. Tambahnya Datuk M Nasir banyak memainkan peranan terhadap perkembangan karier Hattan sejak dulu hingga sekarang.

Tiket untuk menyaksikan konsert Hattan - 35 Years Journey anjuran MEM yang disokong oleh West Ipoh Span Expressway (WISE) boleh dibeli di laman web iLasso Tickets dengan pilihan harga berikut :

i. Upper Tier - RM188

ii. Silver - RM388

iii. Gold - RM488 

iv. Diamond - RM788 

v. Platinum - RM988 

1 comment

  1. dari dulu mama mmg suka suara dan lagu2 hattan. best sgt

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.