Kuala Lumpur, 9 Oktober 2025 – Lima kandungan utama terbitan dan edaran Media Prima serta Primeworks Studios terus membuktikan keunggulan mereka di pentas industri apabila menerima pengiktirafan berprestij di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34). Pencapaian ini bukan sahaja menonjolkan kekuatan produksi dan penceritaan yang berkualiti tinggi, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua entiti dalam mengangkat martabat kandungan tempatan ke tahap yang setanding dengan standard antarabangsa.
Antara karya yang mencuri perhatian di FFM34 termasuk tiga produksi terbitan TV3, Fail Mahkamah: Derita Zara, Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung dan Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga yang menampilkan kekuatan naratif berasaskan realiti serta sarat dengan mesej kemanusiaan dan nilai inspirasi. Turut menjadi tumpuan ialah dua karya besar terbitan Primeworks Studios, Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2 yang masing-masing membuktikan keunggulan produksi tempatan dalam melahirkan karya dengan penceritaan mantap dan visual sinematik bertaraf antarabangsa.
EJEN ALI THE MOVIE 2 - Primeworks Studios & WAU Animation
Filem animasi kebanggaan negara ini bukan sahaja mencipta fenomena luar biasa dengan rekod kutipan tertinggi di pawagam tempatan, malah terus mengukuhkan reputasinya apabila mengungguli pencalonan dalam 3 kategori di FFM34. Antara kategori yang dipertandingkan termasuk:
- Skor Muzik Asal Terbaik – Azri Yunus & Hakim Kamal
- Kesan Khas Visual Terbaik – Faiz Hanafiah & Naim Sarip
- Penataan Bunyi Terbaik – Fadhil Shafian, Hakim Kamal, Shafiq Isa & Qayyim Zamani
BLOOD BROTHERS: BARA NAGA - Skop Productions / Primeworks Studios
Menjadi antara filem paling dominan tahun ini, Blood Brothers: Bara Naga, arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, terus mendominasi panggung FFM34 dengan pencalonan merentasi kategori utama, satu pencapaian yang disokong oleh kejayaan box-office filem ini dan penerimaan hangat penonton serta pengkritik. Kategori yang diiktiraf meliputi:
- Filem Terbaik
- Pengarah Terbaik – Syafiq Yusof & Abhilash Chandra
- Pelakon Lelaki Terbaik – Sharnaaz Ahmad
- Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly & Syafiq Kyle
- Lakon Layar Terbaik – Ashraf Modee Zain
- Sinematografi Terbaik – Nicholas Chin
- Aksi & Lagak Ngeri Terbaik – Ubbaidillah Amirzan
- Penataan Bunyi Terbaik – Mohsin Othman
- Penataan Seni Terbaik – Nazrul Asraff Mahzan
- Lagu Tema Terbaik – Bara Jiwa (Penyanyi: Azlan & The Typewriter & Muzza | Komposer: Muzza | Lirik: Nana Azmi)
- Rekaan Kostum/Busana Terbaik – Nasirah Ramlan
FAIL MAHKAMAH: DERITA ZARA - TV3 / Primeworks Studios
Dokumentari ini membawa penonton menyelami kisah sebenar seorang wanita yang melangkaui keperitan dan cabaran sewaktu memperjuangkan keadilan dalam sistem perundangan yang penuh halangan. Fail Mahkamah: Derita Zara dicalonkan dalam kategori Dokumentari Terbaik di FFM34 sebagai penghormatan kepada naratif yang tulus dan keberanian penceritaan yang mengetengahkan nilai kemanusiaan, sekaligus memperlihatkan bagaimana seni dokumentari mampu menjadi suara untuk yang terpinggir dan menyentuh hati masyarakat.
FAIL MAHKAMAH: RINDU TAK BERPENGHUJUNG - TV3 / Primeworks Studios
Mengangkat kisah benar yang menyentuh emosi, dokumentari ini membuka perspektif baharu terhadap realiti dunia perundangan dan perjuangan mencari keadilan. Rindu Tak Berpenghujung menonjol melalui pendekatan penceritaan yang jujur dan berempati, sekali gus melayakkannya menerima pencalonan bagi kategori Dokumentari Terbaik di FFM34 sebagai pengiktirafan terhadap keberanian dan kepekaan pasukan produksi dalam mengetengahkan isu kemanusiaan sebenar.
MAJALAH 3: NADI PERALIHAN TENAGA - TV3 / Primeworks Studios
Episod khas yang diterbitkan sempena sambutan ulang tahun Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini mengupas perjalanan serta strategi peralihan tenaga negara, termasuk pelaksanaan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan hala tuju pembangunan mampan untuk masa hadapan. Pencalonan bagi kategori Dokumentari Terbaik di FFM34 mengiktiraf usaha pasukan Majalah 3 dalam menghasilkan kandungan berimpak yang informatif dan mendidik.
Kejayaan ini sekali lagi menegaskan komitmen Media Prima dan Primeworks Studios dalam memperkukuh landskap kreatif tanah air, bukan sekadar menghasilkan karya hiburan, tetapi menjadikannya sebagai wadah untuk menyampaikan mesej, nilai serta inspirasi kepada masyarakat.
Malam Anugerah FFM34 bakal berlangsung pada 1 November 2025, jam 8.30 malam, menyaksikan pertembungan karya terbaik tanah air dalam meraikan kehebatan sinema tempatan. Majlis anugerah berprestij ini akan disiarkan secara langsung di TV2 RTM dan saluran rasmi YouTube FINAS, membolehkan para peminat industri filem sama-sama menyaksikan detik bersejarah yang mengiktiraf bakat dan dedikasi penggiat seni Malaysia.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.