Slider

REVIEW

FASHION

MUSIC

LIFESTYLE

Latest Blog

Bayangkan pada usia muda yang sepatutnya diisi dengan kebebasan, lepak bersama kawan-kawan dan mengejar impian sendiri, tiba-tiba dunia berubah 360 darjah. Daripada seorang gadis remaja yang sosial dan berjiwa memberontak, Arya Darlina lakonan Qistina Khaled terpaksa akur dengan perkahwinan aturan keluarga.

Bukan sekadar bergelar isteri kepada Luthfi Hakimi (Shukri Yahaya), seorang bapa tunggal yang tegas, Arya juga secara automatik memikul tanggungjawab besar sebagai ‘ibu segera’ kepada dua orang anak kecil, Aesya (Adra Azzahra) dan Aura (Maya Fathia).

Watak Arya dalam drama terbitan MIG adaptasi novel karya Aalin Amily ini, nyata dekat dengan realiti generasi muda hari ini. Kejutan budaya daripada kehidupan bebas kepada menguruskan rumah tangga, melayan kerenah dua anak tiri serta berdepan dengan bekas isteri yang berdendam, Fiona (Ramona Zamzam) membuatkan penonton tidak senang duduk setiap kali jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.

Meninjau di platform media sosial khususnya di aplikasi Threads, watak Arya menjadi topik hangat dalam kalangan peminat drama Melayu. Ramai yang memuji pembawakan Qistina Khaled yang berjaya menterjemahkan transisi emosi seorang remaja Gen Z yang clueless tetapi cuba sedaya upaya menjadi pelindung buat keluarga baharunya.

Arya bukan sekadar berdepan tekanan menguruskan keluarga pada usia muda, malah keselamatan dirinya dan keluarga turut diancam oleh gangguan rakan yang obsesif terhadapnya serta muslihat orang sekeliling, termasuk sepupunya sendiri, Syaza (Auni Yusri).

Antara reaksi dan ciapan netizen di Threads yang mencuri tumpuan:

Di sebalik air mata dan tragedi yang melanda rumah tangga mereka, jalan cerita dengan suntikan humor ringan, terutamanya gelagat kekok Arya menyesuaikan diri dengan status baharunya, yang sering mengundang senyuman penonton.

Mampukah jiwa muda Arya terus bertahan memikul amanah sebagai isteri dan ibu apabila badai pengkhianatan semakin mengganas?

Saksikan kesudahan perjalanan emosi Arya dalam Tertulis Kita Sampai Syurga setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3, atau strim episod baharu 24 jam lebih awal menerusi platform Tonton.

6 individu. 1 rahsia. Sebuah perjalanan yang bertukar menjadi tragedi.

Saksikan Teaser Trailer Rasmi filem thriller misteri BAS MALAM yang membawakan gambaran awal tentang sebuah perjalanan penuh debaran, rahsia dan kejadian yang bakal merungkai segala-galanya.


Dibintangi Beto Kusyairy, Azhan Rani, Zahiril Adzim, Fikhree Bakar, Adam Shamil dan Aunty Pat, BAS MALAM bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 10 Disember 2026 ini.

#BasMalam #TheLastRide #SapotLokal

DUA MALAM, 11 ARTIS, HANYA RM3!| Luangkan Hujung Minggu Anda Dengan Strim Langsung Konsert Penutup Tirai Karnival Jom Heboh 2026 Menerusi Tonton! 

Bersedia untuk menutup tirai Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 dengan penuh keterujaan! Tonton membawakan Konsert Jom Heboh Kuala Lumpur 2026 secara langsung pada 28 dan 29 November 2026 (Sabtu dan Ahad), membolehkan peminat menikmati persembahan barisan artis popular tanah air dari mana sahaja. Dengan pas dua hari pada harga hanya RM3, jangan lepaskan peluang untuk merasai bahang konsert penutup KJH 2026 terus dari rumah anda! 

Menerusi format Pay-Per-View (PPV), penonton berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung dari Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, tanpa perlu berada di lokasi. Inisiatif ini memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat menghadiri karnival berkenaan untuk turut merasai pengalaman konsert yang menjadi sebahagian daripada acara penutup tirai KJH bagi tahun ini.

Sepanjang dua malam, konsert ini bakal menampilkan barisan artis tempatan popular dengan persembahan berbeza pada setiap malam. Pada Sabtu, 28 November 2026, penonton bakal dihiburkan oleh Man Bai, Bella Astillah, Syamel, Ernie Zakri, Black Hanifah dan Kristal X. Sementara itu, Ahad, 29 November 2026 menyaksikan persembahan daripada K.O.I, Drama Band, Mary Grace, Kai Deva dan Floor 88. Turut mengendalikan acara ialah barisan hos Kieran, Keymi, Fizi Ali dan Muaz, yang bakal menemani penonton sepanjang konsert berlangsung mulai jam 9.00 malam bagi kedua-dua malam.

Sebagai lokasi penutup Karnival Jom Heboh (KJH) 2026, Stadium Merdeka bakal menyajikan pelbagai aktiviti kekeluargaan dan hiburan selama tiga hari, bermula 27 hingga 29 November 2026 (Jumaat hingga Ahad). Ayuh luangkan hujung minggu anda bersama Tonton dan nikmati kemeriahan Konsert Jom Heboh Kuala Lumpur secara langsung pada 28 dan 29 November 2026, bermula jam 9.00 malam. Dapatkan Pas Strim Langsung dua hari pada harga hanya RM3 menerusi aplikasi atau laman web rasmi Tonton dan saksikan persembahan artis kegemaran anda dari mana sahaja! 

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai program dan kandungan eksklusif, ikuti Tonton di Facebook, Instagram, X dan TikTok menerusi @tontonmy.

Pengalaman Naik Public Transport Pergi Office

Monday, 23 November 2026

 

Masa cuti ulangtahun pertabalan Sultan Selangor haritu office tak bagi cuti cuma bagi bekerja separuh hari. Masa baca pengumuman tu macam baran jugak sebab dah plan nak bersantai dekat rumah tapi okay lah sebab petang tu ada event dekat KLCC. 

Disebabkan nak pergi event tu lah, saja nak try pergi office naik public transport. Kalau okay, akan repeat lagi lah sebab tak payah nak emo bila kena drive waktu pergi dan balik dari pejabat. Jarak rumah dengan pejabat 12km je tapi disebabkan traffic jam, makan masa sampai sejam. Kalau ada accident memang menangis lah sebab sangkut lama. 


I plan nak naik bas pukul 7 pagi tapi terlepas sebab bas bergerak laju dari jadual. Bila jalan tak sesak, memang bas laju sebab tak sangkut dekat depan Universiti HELP dan jalan utama. Tunggu lah kejap ambil bas 7.30 pagi pulak. Nasib baik tak panas sebab baru lepas hujan. 

Dah naik bas T802 pergi ke MRT Kwasa Sentral, tunggu 2 minit untuk MRT laluan Kajang sampai. Tak lama pun berdiri dekat dalam tren sebab 2 stesen je nak sampai ke MRT Surian IOI Damansara Mall. Turun dekat situ pergi ke hujung laluan untuk naik bas T807. 



Agak bernasib baik masa tu sebab ada aunty nak pergi ke Tropicana guna tren dan bas yang sama. I banyak ikut dia je untuk mengelakkan salah langkah. Dah la kita baru first time naik public transport. 


😀: Eh dik, u pun naik T807 ke? Nak pergi mana?
😅: Haáh aunty. I nak pergi Oasis.
😀: Pergi rumah kawan ke?
😅: Eh tak lah aunty, I pergi office. Hari ni kerja. 
😀: Aiyaaaaa, semua orang cuti lah hari ni. 
😅: Tapi office saya kerja aunty. 
😀: Anak saya kerja dekat Glenmarie sana tu dekat LRT tu. Dia tak bangun tidur lagi tadi sebab cuti kan.
😅: Itu lah tu, orang lain seronok tidur. Saya kena pergi kerja. 
😀: Memang selalu naik public ke?
😅: Tak lah, hari ni first time sebab malas nak drive so saya naik lah public. Nasib baik aunty ada.
😀: It's okay slow-slow belajar. 



Perjalanan tu tak susah pun tapi banyak kena tukar. Naik bas lepastu MRT then naik bas balik lepastu berjalan kaki pergi office. 


Naik bas yang jadi lama sebab Oasis ni antara perhentian hujung untuk laluan T807. Nak tunggu bas T807 sampai dekat MRT Surian tu pun lama. 


Dari tempat berhenti bas belakang Maybank tu kena jalan sampai lah ke pejabat. Sunyi je Oasis sebab banyak pejabat yang tutup tapi pejabat kita tidak begitu. Mungkin sebab haritu dah cuti untuk SUKMA, jadi yang ni tak ambil. 


Tempoh masa perjalanan dari rumah ke pejabat bermula dari I naik bas T802 sampai ke perhentian Oasis Square Ara Damansara ni dalam satu jam 10 minit. Personally, tak berbaloi lah walaupun murah dari Grab sebab I naik masa jalan tak sesak. Masa naik bas pun boleh dapat seat dengan mudah sebab tak ramai. 

Kalau I naik kereta masa jalan lengang macam ni untuk jarak 12km yang penuh dengan lampu isyarat, cuma 15 minit sahaja. Kalau semua lampu hijau boleh jadi 10 minit. Jauh betul beza dengan naik pengangkutan awam. Sebenarnya ada lagi satu bas, T772 untuk I naik dari rumah ke pejabat tanpa perlu naik MRT tapi itupun kena tukar dekat Subang Perdana dan tunggu lama juga. So yupp, not worth it. 

Waktu balik tu nak pergi LRT Lembah Subang untuk ke KLCC tapi Grab charge sampai RM20 so buat lah muka comel untuk minta Teha tumpangkan ke LRT Ara Damansara. Free of charge 😁

KARNIVAL JOM HEBOH x MSAM 2026 MENUTUP TIRAI DI STADIUM MERDEKA DENGAN PELBAGAI TARIKAN! | Luangkan Hujung Minggu Bersama Keluarga Dengan Pelbagai Aktiviti Menarik, Hiburan Dan Hadiah Lumayan Menanti Sepanjang Tiga Hari Penganjuran! 

Kuala Lumpur, 23 November 2026 - Bersedia untuk tiga hari penuh hiburan, aktiviti seisi keluarga dan peluang membawa pulang hadiah lumayan! Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 bakal menutup tirai penganjuran tahun ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November 2026 (Jumaat hingga Ahad), menerusi kolaborasi bersama Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Menggabungkan hiburan, aktiviti komuniti dan pendidikan kewangan dalam satu acara, edisi penutup ini menjanjikan pengalaman yang lebih bermakna buat seisi keluarga, dengan pelbagai tarikan untuk diterokai sepanjang tiga hari.

Memasuki tahun penganjuran ke-23, KJH terus menjadi antara acara padang ikonik negara, dengan pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai “Longest Running Outdoor Carnival”. Kali ini, pentas bersejarah Stadium Merdeka menjadi lokasi pertemuan hiburan dan ilmu apabila pengunjung bukan sahaja berpeluang menikmati pelbagai aktiviti serta persembahan artis popular, malah dapat mendalami pengetahuan tentang pelaburan dan pengurusan kewangan menerusi pengisian MSAM.

Lebih mengujakan, MSAM turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah yang pastinya mencuri perhatian. Antara hadiah utama yang menanti ialah sebuah rumah teres dua tingkat di Suasana Bandar Ainsdale, sebuah kereta BYD Seal Performance dan pakej pelancongan bernilai RM50,000. Pengunjung yang memenuhi syarat penyertaan juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah harian sepanjang karnival, termasuk Toyota Vios, Perodua QV-E, motosikal dan pakej percutian. Peluang membawa pulang hadiah bernilai tinggi ini pastinya menambah keterujaan untuk seisi keluarga merancang kunjungan ke KJH Kuala Lumpur 2026.

Bukan sekadar peluang memenangi hadiah, pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan bagi memastikan setiap kunjungan dipenuhi pengalaman menyeronokkan. Antaranya Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, sesi Meet and Greet bersama pelakon drama TV3 dan personaliti TV3 & TV9, Pertandingan Pakaian Tradisional Kanak-Kanak serta Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak. Pengunjung juga boleh menyertai pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, aktiviti Zumba dan Jom Lokal Jam, sebelum menyaksikan acara kemuncak yang dinanti-nantikan, Konsert Jom Heboh, pada malam Sabtu dan Ahad dengan persembahan daripada barisan artis popular tanah air.

Bagi yang gemar meneroka pelbagai jenama dan mendapatkan tawaran istimewa, lebih daripada 150 reruai di luar rangkaian Media Prima turut memeriahkan kawasan karnival. Antara jenama yang mengambil bahagian termasuk Maybank, Sime Darby, Fernleaf, Koko Krunch, Oatlife dan Grab, selain pelbagai lagi produk serta tawaran untuk diterokai. Daripada promosi istimewa hinggalah aktiviti di reruai, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman membeli-belah sambil meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Lengkapkan kunjungan dengan singgah ke Zon foodpanda, yang menghimpunkan pelbagai vendor makanan dan minuman untuk memenuhi selera pengunjung. Dengan aneka pilihan hidangan, zon ini menjadi persinggahan sesuai untuk berehat, menjamu selera dan menikmati suasana karnival sebelum meneruskan penerokaan ke tarikan lain di sekitar Stadium Merdeka.

Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KSWP

Bagi penggemar aktiviti kecergasan, Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP bakal melengkapkan siri penganjurannya bagi tahun 2026 di Stadium Merdeka pada 29 November 2026 (Ahad), bersempena KJH Kuala Lumpur 2026. Selepas menerima sambutan menggalakkan di Kota Samarahan, Miri dan Johor Bahru, acara ini kembali dengan peluang untuk peserta menggabungkan aktiviti riadah, gaya hidup aktif dan pengalaman menyertai karnival dalam satu kunjungan.

Menampilkan kategori larian 5KM, setiap peserta bakal menerima jersi rasmi, pingat penamat eksklusif (finisher medal), beg tote, nombor bib dan pelbagai cenderamata sebagai kenangan penyertaan. Lebih menarik, sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah turut menanti peserta, di samping peluang beramah mesra bersama pelakon drama, personaliti Media Prima dan selebriti popular yang bakal memeriahkan acara tersebut.

Dengan purata kehadiran melebihi 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi, KJH terus menjadi platform yang menemukan masyarakat daripada pelbagai lapisan menerusi gabungan hiburan, gaya hidup, aktiviti kekeluargaan dan pengisian komuniti. Kerjasama bersama MSAM pula menambah dimensi baharu kepada edisi kali ini, dengan peluang untuk pengunjung menikmati hiburan sambil memperoleh pendedahan tentang kepentingan perancangan kewangan.

Konsert Jom Heboh

Sebagai acara kemuncak, Konsert Jom Heboh bakal menghangatkan pentas dengan persembahan barisan artis popular tanah air selama dua malam berturut-turut. Pada Sabtu, 28 November 2026, penonton bakal dihiburkan oleh Man Bai, Bella Astillah, Syamel, Ernie Zakri, Black Hanifah dan Kristal X. Seterusnya, pada Ahad, 29 November 2026, pentas bakal menyaksikan persembahan daripada K.O.I, Drama Band, Mary Grace, Kai Deva dan Floor 88. Dimeriahkan dengan kehadiran hos Kieran, Keymi, Fizi Ali dan Muaz, konsert yang bermula pada 9.00 malam bagi kedua-dua malam ini pastinya menjadi antara tarikan utama yang dinanti-nantikan sempena penutup KJH 2026. 

Justeru, orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Karnival Jom Heboh x MSAM 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November 2026 (Jumaat hingga Ahad). Ajak keluarga dan rakan-rakan untuk menikmati tiga hari penuh aktiviti, meneroka pelbagai reruai, menyaksikan persembahan artis kegemaran serta merebut peluang memenangi hadiah lumayan, sekali gus menjadikan edisi penutup KJH 2026 sebagai pengalaman yang tidak harus dilepaskan.

Gunakan tanda pagar rasmi #KJH, #KarnivalJomHeboh dan #KJHKL untuk berkongsi detik istimewa anda. Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti kami di Facebook dan Instagram menerusi @jomhebohofficial.

Makan Malam di Linden Kopi, Subang Murni


Dah banyak kali adik-adik pergi makan dekat sini tapi I belum pernah merasa. Bila dah tak tahu nak makan dekat mana ajak lah diorang keluar makan dekat Linden Kopi. Teringin nak makan menu western dekat sini. 


Dari luar dah nampak interior dia kemas rapi, masuk dalam lagi cantik dengan warna hijau oren. Tak pernah lagi jumpa gabungan dua warna ni. Kalau ada, maksudnya tak pernah jejakkan kaki lagi lah dekat kedai tu. 

Entah kenapa, tengok interior dengan susun atur meja dalam restoran Linden Kopi ni teringat pula interior game Cafe World dalam Facebook tu. Siapa pernah main? 😝
 

Kitorang pergi lepas Maghrib sebab tu tak ramai orang sangat dekat Linden Kopi ni. Baru duduk dekat meja, dah ada staff dia datang layan. 


Masa ni Nurin MC sebab bahu dia sakit. Kali ketiga dah dia MC sebab bahu so dia pergi Hospital Sungai Buloh untuk refer pakar. 


Masa belek menu Linden Kopi ni macam nak makan Nasi Lemak Salmon tapi dah jemu makan nasi lemak sebab tu nak makan western tapi conflicted lah nak makan pasta atau pun menu lain. Belek punya belek sudahnya pilih Fish and Chips dengan Honey Lemon panas. 


Fariha pilih Creamy Truffle Mushroom dengan Butterfly Pea Rose Fizz. Nurin ambil Chicken Grill dengan Iced Latte. 

Bila semua order dah sampai rasa menyesal pulak tak ambil pasta dengan chicken grill. Nasib baik makan dengan family so boleh makan share-share. 


I suka jagung dengan pickles dia serve dalam chicken grill ni sebab kena dengan sos lada hitam. I yang habiskan jagung tu sebab Nurin tak suka. Rasanya dalam family, I je yang suka pickles. 


Masuk yang ni, dah kali kedua Fariha order Creamy Truffle Mushroom sebab dia suka makan cendawan. Quite generous lah cendawan yang dia letak dalam sepinggan pasta carbonara ni. I tak berapa gemar sebab rasa kosong bila tak ada lauk walaupun cendawan tu rasa dia seakan-akan ayam tapi tak sama lah. 


Fish and Chips dia kurenggggg. Mungkin sebab I dah makan fish and chips dari ikan perch so I rasa ikan lain tidak begitu menyelerakan. Lagipun dia goreng sampai kering, dari gambar pun boleh nampak kan kering dia macam mana. Tartar sauce pun rasa mayonis je lebih, bahan lain tenggelam. Mungkin sebab dia letak sikit. 

First time I makan fish and chips dengan perahan limau nipis. Rasa masam dia tak sama dengan lemon, mungkin sebab tu jugak kot fish and chips I tak berapa sedap. 

Walaupun I dapat menu yang tak berapa syok tapi next time nak pergi lagi makan dekat sini sebab teringin nak try menu lain. Tertarik dengan Grilled Lamb Peanut Curry, Nasi Lemak Wagyu dengan Matcha dia. 

DI SEBALIK 10 TROFI KHADAM, ADA CERITA YANG RAMAI TAK TAHU! | Dari Set Pengambaran Ke Pentas FFM35

KUALA LUMPUR, 23 November 2026 — Khadam menutup malam Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Istana Budaya dengan 10 trofi. Daripada 12 kategori yang menyenaraikannya dalam Top 5, filem ini memenangi sembilan, termasuk anugerah tertinggi, Filem Terbaik. Anugerah Khas Juri yang diraih Aghniny Haque menerusi watak Melor melengkapkan kemenangan itu. Pada malam yang sama, Aida Fitri Buyong turut meraih anugerah Rekaan Kostum/Busana Terbaik menerusi filem Gayong 2. 

Sebelum trofi diangkat, peminat sudah menyambut Khadam dengan cara tersendiri. Ratusan hadir berpasangan dalam pakaian tradisional sedondon di Twin Walk for Khadam, mengikut tema kembar Melor. Pelakon dan kru kemudian turun bertemu penonton menerusi Jelajah Khadam di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan & Kuantan. Sejak mula ditayangkan pada 11 Jun, filem ini mencatat kutipan RM5.12 juta dengan 277,838 penonton dalam 56 hari tayangan di Malaysia, menurut FINAS.

Di pentas FFM35, antara detik paling manis ialah apabila Zarra Zhaff, 14 tahun, diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam saingan bersama pelakon lebih berpengalaman. Sebagai Puteh, Zarra banyak membaca gerak tangan dan riak wajah Melor. Isyarat tangan keluarga itu dicipta khas untuk filem ini. Lebih istimewa, adik kandung Zarra, Karl’El, turut memegang watak adiknya di layar dan tersenarai dalam Top 5 Pelakon Kanak-Kanak Terbaik. Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim dan Jun Lojong melengkapkan barisan pelakon yang menghidupkan konflik keluarga Melor.

Di set, sebuah rumah dibuka bahagian demi bahagian di Raub dan dipasang semula di Gopeng. Bunyi beras, periuk dan hentakan kaki di lantai kayu pula dirakam untuk membina suasana rumah Melor. Di sebalik rupa Nek Mak, Jun Lojong menjalani solekan kesan khas selama kira-kira enam jam. Perincian inilah yang membuatkan kampung era 1950-an dalam Khadam terasa hidup.

Kerja di belakang tabir turut diiktiraf menerusi kemenangan Shamyl Othman (Pengarah Terbaik), Fariza Azlina Isahak (Lakon Layar Terbaik), Haris Hue (Sinematografi Terbaik), Soo Yuen Yiet (Penataan Bunyi Terbaik), Rendra Zawawi (Skor Muzik Asal Terbaik) dan Jessie Yeow (Tatarias/Solekan Terbaik). Tak Berlagu, nyanyian Ernie Zakri, meraih Lagu Tema Terbaik.

Kisah sebuah keluarga Melayu yang berdepan saka warisan ini turut menemui penonton di Kemboja, Singapura dan Indonesia. Dari pawagam serantau ke pentas FFM35, perjalanan Khadam memperlihatkan sejauh mana cerita yang berakar pada budaya kita boleh dibawa.

Red Communications dan Komet Productions bertindak sebagai penerbit eksekutif Khadam. Primeworks Studios mengendalikan pemasaran, manakala GSC Movies menguruskan pengedaran filem ini.

FILEM ASTRO SHAW RAIH LIMA KEMENANGAN DI FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-35 DAN SATU ANUGERAH KHAS

Sunday, 22 November 2026

KUALA LUMPUR, 22 November 2026 – Astro Shaw terus melakar pencapaian membanggakan dalam industri perfileman tanah air apabila meraih lima kemenangan menerusi tiga filem iaitu Malam Terlarang, Abah Saya Uncle Mike, TARUNG : Unforgiven, selain satu Anugerah Khas melalui filem animasi Papa Zola The Movie pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi.

Antara yang mencuri perhatian ialah filem seram terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, yang berjaya membawa pulang dua anugerah menerusi pelakon Aila Azizul bagi kategori Pelakon Wanita Harapan dan Ameen Mustajab bagi kategori Kesan Khas Visual Terbaik. Kemenangan ini menjadi pencapaian bermakna buat Malam Terlarang, khususnya Aila Azizul yang menerima pengiktirafan menerusi penampilan sulungnya di layar perak.

Sementara itu, sebuah lagi filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Etika Sdn Bhd, 7 Up dan Mirinda yang diinspirasikan daripada kisah sebenar seorang lelaki berbangsa Cina, Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike yang membesarkan tiga anak berbangsa Melayu, Abah Saya Uncle Mike, turut mencatat kejayaan apabila pengarahnya, Ezrie Gazali, dinobatkan sebagai Pengarah Harapan menerusi filem sulung arahannya.

Kejayaan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada bakat pengarahan baharu, malah membuktikan potensi kerjasama antara industri perfileman dan jenama komersial dalam menghasilkan karya tempatan yang mendapat pengiktirafan industri.

Manakala untuk filem TARUNG : Unforgiven terbitan Alpha 47 dengan kerjasama Astro Shaw menyaksikan pelakon Mierul Aiman dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Lelaki Harapan, dan anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik dimenangi oleh Defenderz Action Team.

Filem animasi Papa Zola The Movie terbitan Monsta Studio dengan kerjasama Astro Shaw, menerima Anugerah Khas Filem Box Office, sekali gus mengiktiraf kejayaan komersial filem animasi tempatan di pawagam. Filem Papa Zola The Movie mencatat kutipan hampir 70 juta seterusnya menjadi filem animasi nombor 1 negara meraih kutipan tertinggi.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan pencapaian pada FFM35 ini turut mencerminkan komitmen berterusan Astro Shaw dalam menyokong perkembangan industri perfileman tempatan, bukan sahaja menerusi penerbitan filem sendiri, malah melalui kerjasama strategik dan pelaburan dalam karya yang mempunyai potensi kreatif serta komersial.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dan berbangga dengan pengiktirafan yang diterima pada FFM35. Tahniah kepada semua pemenang, barisan pelakon, pengarah, pasukan kreatif dan seluruh tenaga produksi yang telah memberikan komitmen terbaik dalam menjayakan filem-filem ini.”

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada rakan penerbitan dan rakan kerjasama, termasuk Etika Sdn. Bhd. yang diterajui oleh Naib Presiden Pemasaran, Amy Gan, Pengurus Pemasaran, Pia Lisa, bersama Santharuban Thurai Sundaram atas kepercayaan yang diberikan dalam menghasilkan Abah Saya Uncle Mike. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama dan penghasilan karya tempatan yang berkualiti pada masa hadapan.”

Senarai kemenangan filem Astro Shaw di FFM35:

  • Pengarah Harapan – Ezrie Gazali (Abah Saya Uncle Mike)
  • Pelakon Wanita Harapan – Aila Azizul (Malam Terlarang)
  • Kesan Khas Visual Terbaik – Ameen Mustajab (Malam Terlarang)
  • Pelakon Lelaki Harapan – Mierul Aiman (Tarung: Unforgiven)
  • Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik – Defenderz Action Team (Tarung: Unforgiven)
  • Anugerah Khas Filem Box Office – Papa Zola The Movie 

KUALA LUMPUR, 22 November 2026 – Satu lagi pencapaian membanggakan buat industri perfileman Malaysia apabila pelakon tempatan, Nandagopall Mohan, mencipta sejarah dengan meraih Anugerah Pelakon Baharu Terbaik menerusi filem Sayang Sayang di Golden Horse Awards Ke-63, yang berlangsung hari ini di Taipei Music Center, Taipei, Taiwan.

Kemenangan tersebut sekali gus mengharumkan nama negara di salah satu pentas anugerah perfileman paling berprestij di Asia, serta membuktikan kemampuan bakat tempatan untuk meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menerusi Sayang Sayang, Nandagopall membawakan watak Ajay, seorang remaja kurang pendengaran dan tidak boleh bertutur yang mempunyai minat mendalam terhadap tarian. Tanpa bergantung kepada dialog, beliau berjaya menyampaikan emosi dan menghidupkan wataknya melalui ekspresi wajah, bahasa tubuh serta pergerakan tarian yang memberikan impak kepada penonton.

Filem Sayang Sayang Diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd dengan kerjasama Astro Shaw, meraih lima pencalonan di Golden Horse Awards Ke-63, merangkumi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Mhia Firdaus, Pelakon Baharu Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Kesan Bunyi Terbaik.


Ketika menerima anugerah tersebut, Nandagopall turut menitipkan penghargaan kepada keluarga, pengarah serta seluruh pasukan produksi Sayang Sayang yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menghidupkan watak Ajay.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mempercayai dan memberikan peluang kepada saya untuk membawa kisah ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Ajay kerana memilih saya untuk menceritakan kisahnya.”


“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua insan yang pernah berasa terpinggir, terpaksa memendam perasaan atau merasakan suara mereka tidak didengari. Saya berharap melalui kisah Ajay, mereka akan menemui suara sendiri, belajar menerima diri dan menghargai siapa diri mereka sebenarnya.”

Diarahkan oleh pengarah Taiwan, Tang Hsiang-Chu, Sayang Sayang merupakan sebuah filem kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan yang mengangkat kisah kekeluargaan, kasih sayang serta kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Filem ini mengetengahkan hubungan dan emosi manusia yang dekat dengan kehidupan seharian, sekali gus membuktikan bahawa kisah tempatan mampu mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.


Filem ini turut dibintangi barisan pelakon Malaysia dan Taiwan termasuk Amir Ahnaf, Khir Rahman, Farah Ahmad, Mhia Firdaus, Jo Kukathas, Sasha Tang, Ong Ai Leng dan Lee Lee-Zen.

Filem Sayang Sayang yang mula ditayangkan pada 5 November lalu masih berada di pawagam Malaysia. Orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri persembahan lakonan Nandagopall Mohan yang berjaya mencipta sejarah di Golden Horse Awards Ke-63.

Movie Review | Daayra (2026)

Pengarah: Meghna Gulzar
Penulis Skrip: Meghna Gulzar, Sima Agarwal, Yash Keswani   
Pelakon: Kareena Kapoor Khan, Prithviraj Sukumaran, Kanwaljit Singh, Achint Kaur, Anuja Sathe, Seema Azmi, Biswapati Sarkar, Jitendra Joshi, and Upendra Chauhan.
Syarikat Produksi: Junglee Pictures, Pen Studios   
Pengedar: Pen Marudhar
Genre: Jenayah / Thriller 
Durasi Tayangan: 143 minit
Tarikh Tayangan: 18 September 2026   
Trailer:


Daayra mengisahkan tentang perjalanan DCP Ajooni Kohli (Kareena Kapoor Khan) yang ditugaskan untuk menyiasat serangan yang dilakukan oleh pasukan DCP Raman Kumar (Prithviraj Sukumaran) terhadap empat orang penjenayah ketika aktiviti lakonan semula. 

Ajooni yang dibesarkan oleh Hakim Kohli (Kanwaljit Singh) percaya semua penjenayah berhak mendapatkan perbicaraan di Mahkamah dan bukannya dihukum oleh pihak polis atau orang awam. DCP Ajooni bersama Inspektor Vishal Mishra (Upendra Chauhan) dan Inspektor Aarti (Ipshita Chakraborty Singh) ke Suryapur untuk meneliti kes rogol dan pembunuhan Ragini Pujari (Pragati Mishra). 


‘The media held the trial, the public held their judgment and police did the rest. Who has patience left for the judiciary anymore? People want everything instantly.’ – Judge Kohli

Tugas DCP Ajooni Kohli dan pasukannya hendaklah mengesahkan kejadian yang berlaku adalah kemalangan yang tak disengajakan dan bukan pembunuhan yang dirancang seperti yang disoal oleh pihak media dan juga Kementerian Sumber Manusia. 


Filem Daayra arahan dan penulisan Meghna Gulzar diinspirasikan dari kes sebenar jenayah rogol berkumpulan dan pembunuhan yang berlaku di Hyderabad pada tahun 2019 di mana seorang suspek iaitu doktor veterinar berumur 26 tahun dibunuh ketika berada di dalam tahanan polis. Tak ada rasa simpati oleh orang awam terhadap suspek malah diraikan kerana penjenayah mendapat hukuman setimpal. 

Sama dengan Daayra di mana Meghna Gulzar tak menggunakan ilusi perspektif malah sudah maklum semua orang akan berpihak pada DCP Raman yang melakukan kerja dengan cekap dan merasakan mangsa mendapat keadilan sewajarnya. 


Dari sidang media yang dilakukan oleh pihak polis pun dah nampak DCP Raman dan pasukan dia memilih untuk menghukum penjenayah kerana ini bukan pertama kali kes jenayah sebegini berlaku. Semakin filem bergerak, semakin kita berpihak pada DCP Raman malah DCP Ajooni juga terkesan dengan keterangan dari keluarga mangsa. 

Separuh masa pertama merupakan perjalanan yang sarat dengan emosi dan dipaparkan dengan cemerlang oleh Kshitee Jog sebagai Parvati Pujari, ibu kepada Ragini. Macam mana dia berlari dari tempat Ragini diculik kemudiannya merayu di balai polis sehingga lah merayu pada DCP Raman tentang kes yang sebenar akan bermula di Mahkamah dan bukannya setelah polis berjaya mencari penjenayah. 


Watak DCP Raman tak lah memainkan peranan yang kuat pun dalam filem Daayra tapi mungkin sebagai pelaris filem kepada penonton India Selatan. Babak DCP Raman perli cara kerja Inspektor Bala (Brijbhushan Shukla) tu kelakar dan menghiburkan. 

Emosi dalam Daayra banyak dizahirkan oleh Kshitee Jog dan Kareena Kapoor Khan yang menyiasat semua pihak tanpa memilih untuk berada di sebelah mana. Dari awal pun dia dah tahu DCP Raman bunuh semua suspek sebab tu ada babak dia menyembang tentang serangan balas bersama ayah dia. A casual chat tapi dah cukup untuk terangkan yang dia berada di pihak mana. 


Lepas berjumpa dengan keluarga Ragini pun dia semakin yakin yang penjenayah ni kejam dan itu bukan kes pertama bila dia tahu Raju (Ram Diwakar) tak ada lesen hampir 2 tahun. Masa Inspektor Vishal beremosi bila dapat tahu ada pegawai polis yang buat kerja sambil lewa, pun dah nampak pasukan DCP Ajooni berpihak di mana. 

Sayangnya, Meghna Gulzar tak mampu buatkan penonton rasa untuk berpihak kepada pendirian DCP Ajooni yang lebih memilih undang-undang dari moral. Dekat babak klimaks, dia bukannya hadir sebagai penggerak malah hanya untuk menyokong DCP Raman. Persoalan yang cuba ditimbulkan di awal filem tampil lemah di hujungnya. Kalau dia cuma ingin menyokong DCP Raman, baik ubah watak Kareena sebagai wartawan yang bebas bertanya dan bebas juga mengubah pendapat. 


Di penghujung filem Daayra pun pengarah tunjuk contoh penjenayah yang bebas akibat loophole atau crack dalam Pekeliling yang dikeluarkan selepas kes di Delhi. Babak tu buatkan I semakin keliru dengan apa yang cuba disampaikan oleh Meghna. Kesimpulan yang boleh dibuat cuma moral dan empati DCP Raman lah wajar dianggap adil dan saksama bila sistem perundangan semakin buta dan dilemahkan oleh rasuah.

Latar masa yang digunakan agak mengelirukan dan mengganggu penggunaan dua latar masa antara DCP Raman dan DCP Ajooni sekaligus menggangggu konflik yang berlaku antara dua pihak terlibat. 


Sebagai naskhah dan thought-provoking film, Daayra gagal untuk paparkan pendirian DCP Ajooni tapi sebagai orang awam yang berpihak pada mangsa, Daayra adalah satu kepuasan. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.5, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.5 = /10