3 Minute Test dan Birthday Celebration
Saturday 18 November 2023
ASTRO ORIGINALS MEMPERSEMBAHKAN ‘GAMERS MANGKUK’, SIRI TV PREMIUM BERLATARKAN E-SUKAN ‘MOBILE LEGENDS: BANG BANG’ PERTAMA MALAYSIA | Amir Ahnaf Kembali Dalam Siri Premium Terbaru Selepas High Council
Peminat e-sukan boleh menantikan tayangan perdana ‘Gamers Mangkuk’, siri premium e-sukan Astro Originals, terbitan Astro Shaw dengan kerjasama MOONTON Games. Siri baharu ini mengisahkan tentang Tam, Napi, Lee, Maya dan Theeban, lima pemain e-sukan yang berpadu keringat di dalam satu pertarungan e-sukan iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) untuk dinobatkan sebagai pelapis kepada pemain e-sukan profesional negara, menerusi Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia. ‘Gamers Mangkuk’ bakal ditayangkan pada 1 Disember, setiap Jumaat, 9 malam, di slot Astro Originals, menerusi Astro Premiere (Saluran 410) atau menyaksikan secara awal bermula 12 tengah malam menerusi platform On Demand dan Astro GO.
Diarahkan oleh Hyrul Anuar, pengarah muda yang berpengalaman dalam bidang filem dan video, serta penceritaannya pula ditulis oleh Sham Hashim, Bainun Waheeda dan Haris M. Nor. Siri e-sukan pertama Astro Shaw ini menampilkan barisan bakat-bakat majmuk baharu dan terkenal tempatan termasuk Amir Ahnaf (Napi), Taufik Izmir (Napi), Nick Davis (Lee), Sara Mack Lubis (Maya) dan Sathisvaran (Theeban), selaku teraju utama. Manakala penceritan di setiap episod pula dibarisi oleh Amelia Christie (Vie), Josiah Hogan (Slayer), Nadia Brian (Aleya), Taqim Zaki (Abang Long), Khatijah Tan (Hajah Munah), Louisa Chong (June) dan Puteri Qaseh (Madness).
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, juga merangkap Penerbit Eksekutif Gamers Mangkuk, berkata, “Gamers Mangkuk adalah drama premium tempatan pertama yang mengetengahkan tema e-sukan sebagai latar penceritaan. Ini secara tidak langsung menunjukkan tanda sokongan kami kepada pertumbuhan industri e-sukan. Bukan sekadar menampilkan jalan cerita dengan elemen kompetitif semata-mata, tetapi memberi fokus kepada cabaran dalam mengejar impian serta konflik sosial yang wujud dalam masyarakat. Gamers Mangkuk boleh dinikmati oleh semua lapisan penonton, tidak kira peminat e-sukan mahupun tidak. Kami harap drama premium ini dapat memberi niai hiburan berbeza dan inspirasi kepada penonton, serta memberi persepsi yang lebih meluas terhadap potensi besar e-sukan.”
Pengarah Gamers Mangkuk, Hyrul Anuar, berkata, “Gamers Mangkuk memfokuskan generasi Z. Namun, saya cuba meletakkan elemen dan nilai hiburan yang dekat dengan penonton umum, dan tampilkan penceritaan dalam konsep komik. Antara cabaran utama menghasilkan naskhah ini adalah sudut teknikal agar visual permainan video yang dipersembahkan tampak sebenar dan kemas. Harapan saya agar Gamers Mangkuk dapat diterima dan menghiburkan penonton Malaysia menerusi penceritaan yang disampaikan.”
Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan, MPL Malaysia, berkata, “MLBB Esports telah berkembang menjadi tumpuan utama dalam penggunaan kandungan di Malaysia, menjadikan penonton terpesona dengan naratif dan watak yang menarik musim demi musim. Kami gembira dapat bekerjasama dengan salah satu studio terbesar dan paling menarik di Malaysia untuk menawarkan khalayak ramai dengan sesuatu yang menyegarkan, mengasyikkan dan mudah diakses untuk menikmati permainan e-sukan – tidak kira sama ada anda adalah peminat e-sukan, baru berjinak-jinak atau kedua-duanya sekali.”
Gamers Mangkuk, sebuah siri 8 episod, mempersembahkan satu konsep unik bagi siri rantaian terbaharu Astro Shaw, di mana siri ini meneroka perjalanan lima anak muda terdiri daripada Tam, Napi, Lee, Maya dan Theeban yang berjuang untuk melepasi pertarungan e-sukan terkemuka Mobile Legends: Bang Bang, dengan mendapat tajaan dari Mangkuk Hajah Munah. Setelah diperkenalkan dengan nama Gamers Mangkuk, lima anak muda ini berjaya menerima jemputan daripada Slayer, pemain e-sukan dan streamer handalan Malaysia untuk bertarung di dalam sebuah pertandingan besar dan dijanjikan habuan hebat untuk menyertai Team Perang, kumpulan pemain-pemain e-sukan profesional dan Juara e-sukan Kebangsaan.
Setelah Gamers Mangkuk berhempas pulas, ternyata pertarungan yang dijanjikan adalah tipu helah semata-mata serta dirancang oleh pihak penganjur untuk mendapat perhatian masyarakat dan penaja. Manakala juara pertandingan juga telahpun ditetapkan terlebih awal sebelum penglibatan Gamers Mangkuk. Akibat terkilan dengan keputusan pihak penganjur, Gamers Mangkuk mencabar Team Perang untuk pertempuran satu-lawan-satu dan perlu disiarkan secara langsung di khalayak umum. Mampukah Gamers Mangkuk menawan Team Perang untuk dinobatkan sebagai kumpulan e-sukan baharu? Segalanya bakal terjawab di penghujung episod.
Siri premium e-sukan ini menggambarkan hubungan persahabatan pemain-pemain e-sukan yang meningkat naik dan pengorbanan yang harus dilakukan bagi mencapai tujuan utama di dalam pertarungan besar. Selaras dengan slogan ‘Life Is A Game, Play It’, kelima-lima sabahat bertungkus-lumus mempersiapkan diri untuk mengharungi cabaran dan akhirnya membawa kepada kepuasan yang dicari sebagai pemain e-sukan.
‘Gamers Mangkuk’ ditaja oleh MOONTON Games, Mobile Legends: Bang Bang dan Mobile Legends: Bang Bang Professional League. Pelanggan Astro boleh menyaksikan episod-episod baharu Gamers Mangkuk pada 9 malam, setiap Jumaat di Astro Premiere (Saluran 410), On Demand dan Astro GO. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, X , Astro Gempak dan Astro Shaw.
*************************************
Mengenai Astro Shaw
Astro Shaw adalah sebuah syarikat penerbitan filem Malaysia untuk pasaran tempatan dan nusantara. Astro Shaw juga giat dalam memasar serta mengedar filem-filem tempatan dan serantau sekaligus mengukuhkan kedudukannya di pasaran global. Sejak ditubuhkan pada tahun 1996, kini Astro Shaw telah menerbitkan lebih 95 buah filem dalam pelbagai genre dan bahasa. Antara kejayaan besar Astro Shaw adalah menerusi filem Polis Evo 3, Hantu Kak Limah, Abang Long Fadil 3, Paskal, Dukun, The Garden of Evening Mists.
Mengenai MOONTON Games
Ditubuhkan pada 2014, Moonton adalah sebuah syarikat global permainan video yang berdedikasi untuk pembangunan, penerbitan dan juga e-sukan. Mempunyai lebih daripada 1,500 pekerja serata dunia, syarikat ini beroperasi di Indonesia, Malaysia Singapura, Hong Kong dan juga tanah besar Cina. Moonton telah berjaya melancarkan beberapa permainan mudah alih terkemuka di peringkat global dan telah menjalinkan hubungan jangka panjang dengan pihak kerajaan dan juga organisasi e-sukan di 30 buah negara serata dunia. Salah sebuah permainan video yang diterbitkan oleh Moonton, Mobile Legends: Bang Bang adalah permainan video mudah alih multiplayer online battle arena (MOBA) yang terkemuka di dunia.
Mengenai Mobile Legends: Bang Bang
Mobile Legends: Bang Bang adalah permainan mudah alih Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) yang paling terkemuka di dunia. Dengan lebih dari 100 juta pemain yang aktif setiap bulan, Mobile Legends: Bang Bang menduduki carta Top 10 most-played games di 80 buah negara. Permainan mudah alih ini boleh didapati di seluruh 139 negara dan telah dilokalisasikan kepada 25 bahasa.
Mengenai Mobile Legends: Bang Bang Esports
Ditubuhkan pada 2017, Mobile Legends: Bang Bang esports bergerak sebagai satu platform supaya pemain dapat mengejar impian dan cita-cita untuk menjadi atlet e-sukan, mengembangkan potensi, dan berpeluang untuk bertanding di peringkat antarabangsa. MLBB Esports kini telah berkembang untuk beroperasi mengoperasikan pelbagai liga, termasuklah siri MPL yang dianjurkan di Asia Tenggara, Eropah, Timur Tengah dan juga Amerika Utara.