17 FAKTA MENARIK MENGENAI FILEM KHADAM

Wednesday, 10 June 2026

Menjelang tayangan rasminya di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini, Khadam hadir sebagai sebuah karya sinematik yang mengangkat ketakutan paling dekat dengan masyarakat Melayu, ketakutan terhadap warisan yang tidak boleh ditolak, kesetiaan yang diuji dan harga yang perlu dibayar apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan.

Berikut ialah fakta-fakta menarik tentang filem Khadam:

🏠 LOKASI & REKAAN PRODUKSI

1. Rumah Melor dipindahkan dari Raub ke Gopeng

Rumah yang digunakan sebagai Rumah Melor sebenarnya dibuka satu persatu di Raub sebelum dibawa ke Gopeng untuk dipasang semula. Proses membuka dan memasang semula rumah ini mengambil masa berminggu-minggu bagi mewujudkan suasana kampung terpencil era 1950-an.

2. Rumah Melor direka khas untuk filem Khadam

Bumbung asal zink ditukar kepada daun nipah, manakala beberapa bahagian ditambah dan diubah suai bagi menyerupai rumah peneroka Melayu sekitar tahun 1950-an.

3. Adegan sarang anai-anai dirakam dalam gua sebenar

Pelakon dan kru terpaksa merangkak masuk ke dalam gua untuk sampai ke lokasi penggambaran adegan tersebut.

🎬 PELAKON & WATAK

4. Filem Malaysia pertama Aghniny Haque

Khadam merupakan filem Malaysia pertama yang dibintangi pelakon terkenal Indonesia, Aghniny Haque yang popular dengan filem KKN di Desa Penari (2022), Mencuri Raden Saleh (2022)Tuhan Izinkan Aku Berdosa (2023) dan Selepas Tahlil (2025).

5. Penampilan lakonan pertama Karl'El

Khadam menjadi penampilan sulung Karl'El dalam dunia lakonan.

6. Zarra Zhaff dan Karl'El ialah adik-beradik kandung

Ramai penonton mungkin tidak tahu bahawa dua pelakon muda dalam Khadam ini sebenarnya adik-beradik dalam kehidupan sebenar.

7. Babak Awang memarahi Hitam dirakam sekali sahaja

Babak emosi antara Datuk Remy Ishak dan Karl'El berjaya disempurnakan dalam satu rakaman sahaja kerana Karl'El menangis tanpa henti sehingga terpaksa ditenangkan oleh Datuk Remy dan kru selepas penggambaran.

8. Aghniny dan Zarra belajar mengendalikan perahu di sungai

Kedua-duanya menjalani latihan khas kerana tidak mempunyai pengalaman mengendalikan perahu di sungai yang berarus.

9. Bahasa isyarat dalam Khadam dicipta khas untuk filem ini

Bahasa isyarat yang digunakan Melor dan keluarganya bukan bahasa isyarat sebenar, tetapi dibangunkan khas untuk dunia Khadam yang berlatarbelakangkan masyarakat terpencil pada era 1950-an.

10. Solekan Nek Mak mengambil masa sehingga 6 jam

Setiap kali penggambaran melibatkan watak Nek Mak, Jun Lojong perlu melalui proses solekan kesan khas yang mengambil masa sekitar enam jam.

11. Aghniny melakukan sendiri aksi lenturan badan

Dalam adegan lenturan badan, Aghniny sebenarnya melenturkan badannya sendiri pada beberapa rakaman awal kerana tidak menyedari tali keselamatan yang dipasang boleh menampung berat badannya.

😱 MISTERI & PERKARA LUAR JANGKA

12. Bomoh dipanggil ke lokasi penggambaran

Beberapa hari selepas penggambaran bermula, seorang bomoh dipanggil ke lokasi rumah bagi menjalankan ritual pembersihan kerana terdapat kru yang berasa kurang selesa sepanjang berada di kawasan tersebut.

13. Ada 'tetamu' tambahan dalam satu babak

Dalam adegan Puteh membawa Nek Mak ke dalam hutan, hanya empat pelakon tambahan ditempatkan sebagai figura misteri. Namun apabila rakaman diteliti, kelihatan lima figura di dalam babak tersebut.

14. Pengarah muzik merasakan dirinya diperhatikan

Ketika menghasilkan muzik untuk Khadam, pengarah muzik mengakui beliau beberapa kali merasakan seolah-olah ada sesuatu yang memerhatikannya sepanjang proses tersebut.

🔥 ADEGAN & PERINCIAN MENARIK

15. Sebanyak 22 biji telur digunakan untuk adegan ritual saka

Kesemua telur tersebut digunakan khusus untuk menjayakan satu adegan ritual dalam filem Khadam.

16. Bunyi dalam filem dihasilkan secara manual

Banyak bunyi yang didengar dalam Khadam sebenarnya dirakam menggunakan objek sebenar di lokasi seperti beras, pintu kayu, tingkap, periuk dan hentakan kaki di lantai kayu.

17. Muzik Khadam dirakam menggunakan lima alat muzik bertali

Dua biola, viola, cello dan double bass digunakan bagi menghasilkan suasana tegang dan emosi yang menjadi identiti filem ini.

Ikuti perkembangan terkini menerusi @khadamthemovie dan Primeworks Studios di TikTok, Threads, Instagram, Facebook dan YouTube.

Big Stage Jadi Platform Melonjak Bakat: Alumni Hargai Sokongan Astro | Buka Peluang Kepada Bakat Tempatan Serlah Potensi Sebenar Dengan Platform Astro

Kuala Lumpur, 10 Jun 2026 - Astro terus komited dalam memperkasa industri hiburan tempatan dengan melahirkan bakat baharu seiring dengan perkembangan industri hiburan semasa. Menerusi inisiatif dan program realiti berimpak tinggi seperti Big Stage, Astro bukan sahaja menjadi sebuah platform pencarian bakat, malah berperanan sebagai pemangkin dalam mencorak perjalanan artis tempatan ke peringkat profesional. Antara bintang kelahiran Astro yang telah menempa kejayaan menerusi program ini termasuklah Sissy Iman, Wani Kayrie dan kumpulan ALPHA, yang masing-masing bermula sebagai bakat baharu dalam industri selepas penyertaan mereka di platform Big Stage.

Menurut Sissy Iman, “Astro telah menjadi sebuah platform yang memberi ruang kepada bakat baharu untuk mencari, memperkenalkan, atau mengukuhkan identiti diri sendiri. Apa yang saya hargai tentang platform Big Stage ialah kelaianan platform ini untuk meraikan keunikan setiap peserta. Tema setiap minggu yang berbeza memberikan peluang untuk mereka bereksperimentasi & bercerita mengikut sudut pandang diri sendiri dan dipersembahkan kepada khalayak ramai. Pada saya, apabila seseorang artis berani tampil dengan identiti yang asli, itulah yang akan membuatkan mereka lebih dekat di hati penonton dan lebih diingati dalam industri.”

Sissy Iman merupakan antara peserta yang menonjol dalam program realiti nyanyian Big Stage, apabila berjaya mencuri perhatian penonton dengan gaya persembahan unik dan identiti artistik yang tersendiri. Sepanjang penyertaannya, Sissy bukan sahaja menunjukkan kemampuan vokal yang mantap, malah berani bereksperimen dengan konsep dan penampilan di pentas, menjadikannya antara peserta yang sering menjadi sebutan. Perjalanannya dalam Big Stage penuh dengan cabaran, namun beliau berjaya memanfaatkannya sebagai platform untuk memperkukuh jenama diri serta membina hubungan dengan peminat. 

Menurut Wani Kayrie, “Astro memainkan peranan yang sangat besar dalam perjalanan kerjaya saya sehingga ke hari ini. Bermula sebagai seorang peserta program realiti, Astro bukan sahaja membuka ruang untuk saya memperkenalkan bakat kepada khalayak yang lebih luas, malah turut menjadi platform yang membantu saya berkembang sebagai seorang penghibur dan artis rakaman. Sepanjang perjalanan ini, saya diberikan peluang untuk terlibat dalam pelbagai program, kolaborasi dan inisiatif yang telah banyak membentuk keyakinan, pengalaman serta jenama diri saya dalam industri muzik. Saya amat bersyukur kerana Astro sentiasa menyokong perkembangan bakat tempatan, dan saya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga alumni yang lahir dan membesar bersama platform ini.”

Wani Kayrie telah membuktikan bahawa Big Stage bukan sahaja mengasah bakat nyanyian, tetapi turut membuka peluang lebih luas beliau dalam industri hiburan. Bermula sebagai peserta muda yang penuh potensi, Wani menampilkan perkembangan konsisten sepanjang pertandingan. Selepas Big Stage, beliau berjaya memperluaskan kerjayanya sebagai artis serba boleh – daripada penyanyi kepada pengacara televisyen dan personaliti media. 

Menurut kumpulan ALPHA, “Pada pendapat kami, Astro memainkan peranan yang sangat penting dalam membuka semula ruang dan peluang untuk kebangkitan kumpulan lelaki tempatan di Malaysia. Dalam landskap industri muzik yang sentiasa berubah, platform seperti Astro berani mengambil langkah untuk mengetengahkan format dan bakat yang mungkin sudah lama tidak diberikan perhatian secara meluas. Melalui Big Stage Alpha, Astro bukan sahaja menyediakan pentas untuk mencari bakat baharu, tetapi turut membina sebuah ekosistem yang membolehkan kami berkembang dari segi pendedahan, pembangunan artis dan hubungan dengan peminat."

Bagi ALPHA, penyertaan dalam Big Stage menjadi platform penting untuk kumpulan ini setelah berjaya mengembalikan nostalgia kumpulan “boy band” yang dinamik dan bertenaga di Malaysia. Dengan kekuatan pada persembahan pentas, harmoni vokal dan karisma berkumpulan, ALPHA berjaya menjadi fenomena baharu “boy band” Malaysia dengan menarik perhatian ribuan peminat terutama generasi muda. Kini mereka terus bergerak aktif dalam industri dengan penghasilan muzik baharu, persembahan pentas serta penglibatan dalam pelbagai projek hiburan. 

Astro telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan mengembangkan bakat melalui pelbagai platform seperti televisyen, digital dan radio. Seiring usaha memajukan industri hiburan tempatan, Astro akan terus memperkenalkan inisiatif baharu dan memperkukuh platform sedia ada supaya lebih ramai bakat tempatan mendapat peluang. Big Stage kekal sebagai salah satu platform utama dalam usaha ini, sekali gus menunjukkan komitmen Astro terhadap masa depan industri hiburan Malaysia.

Bersempena dengan itu Astro akan membawakan lebih ramai bintang untuk musim terbaharu Big Stage x Rocketfuel yang akan bersiaran sebanyak lapan episod bermula 28 Jun 2026, setiap Ahad jam 9.00 malam di Astro Ria (Saluran 104), Astro GO, On Demand dan Sooka. Dapatkan Pek Hiburan Astro One yang menawarkan lebih 90 saluran hiburan dengan harga serendah RM49.99 sebulan. Layari astro.com.my atau WhatsApp 03-9543 3838 untuk maklumat lanjut.

Kuala Lumpur, 10 Jun 2026 – Kadangkala, kita perlu menjauh untuk menemukan semula diri sendiri. Bakal ditayangkan di Tonton mulai 10 Jun 2026, Azure Spring membawa kisah dua insan yang dipertemukan di sebuah pulau terpencil ketika masing-masing cuba mencari ketenangan dan melarikan diri daripada masa lalu mereka.

Diadaptasi daripada webtoon karya Jang Dukhyun dan diarahkan oleh Jung Hunsoo, drama Korea 6 episod ini menggabungkan elemen romantik, healing dan pencarian diri dalam sebuah kisah yang dekat dengan realiti kehidupan tentang jatuh, bangkit dan menemukan semula harapan.

Drama ini menampilkan Kim Ye-rim atau lebih dikenali sebagai Yeri daripada kumpulan Red Velvet sebagai Anna, seorang bekas juara renang remaja kebangsaan yang terpaksa melupakan impiannya selepas kariernya berakhir akibat kecederaan. Dalam usaha mencari ketenangan, Anna mengunjungi kampung halaman ibunya di sebuah pulau yang jauh daripada kesibukan kota.

Di sana, dia bertemu Deokhyun yang dilakonkan oleh Kang Sang-jun, seorang bekas anggota pasukan khas UDT yang memilih untuk hidup menyendiri selepas dihantui kisah silamnya sendiri. Pertemuan yang tidak dijangka itu membawa mereka kepada kehidupan sebagai haenam dan haenyeo, iaitu penyelam lelaki dan wanita yang mencari hasil laut di dasar lautan.

Berlatarbelakangkan keindahan lautan, Azure Spring membawa penonton menyelami rutin harian Anna dan Deokhyun yang dipenuhi aktiviti menyelam, mengutip hasil laut dan berkongsi hasil tangkapan bersama. Melalui pengalaman tersebut, mereka perlahan-lahan belajar berhadapan dengan diri sendiri, melepaskan beban yang dipendam dan menemui semula erti kehidupan. Namun, mampukah mereka benar-benar berdamai dengan masa lalu yang masih menghantui mereka?

Azure Spring turut dibintangi Ko Ju-hee dan Jung Hyun-min yang melengkapkan perjalanan penuh emosi ini. Adakah pertemuan yang bermula di tengah lautan ini akhirnya mampu menyembuhkan dua jiwa yang terluka? Temui jawapannya menerusi Azure Spring yang akan mula distrim dengan kesemua enam episod serentak mulai 10 Jun 2026, jam 12.00 tengah malam di Tonton.

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy. 

Khadam Bersedia Menemui Penonton Di Pawagam Seluruh Negara | Filem Seram Emosional Bertaraf Antarabangsa Tampil Dengan Kisah Yang Dekat Dengan Jiwa Masyarakat Melayu

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 — Selepas mencuri perhatian menerusi teaser, poster rasmi, treler dan lagu tema yang diperkenalkan sejak beberapa minggu lalu, Khadam akhirnya melangkah ke fasa terakhir sebelum tayangan umum menerusi Malam Tayangan Perdana yang berlangsung penuh gemilang malam tadi.

Menjelang tayangan rasminya di lebih 120 pawagam seluruh negara bermula 11 Jun ini, Khadam hadir sebagai sebuah karya sinematik yang mengangkat ketakutan paling dekat dengan masyarakat Melayu, ketakutan terhadap warisan yang tidak boleh ditolak, kesetiaan yang diuji dan harga yang perlu dibayar apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan.

Berlatar tahun 1950-an, Khadam mengikuti perjalanan Melor, seorang ibu yang berusaha melindungi keluarganya daripada saka yang telah lama diwarisi turun-temurun. Namun semakin kuat usahanya mempertahankan keluarga, semakin besar harga yang perlu dibayar. Sedikit demi sedikit, Melor bukan sahaja kehilangan kawalan terhadap kehidupannya, malah berdepan kemungkinan kehilangan segala yang paling disayanginya.

Menurut pengarah Shamyl Othman, filem ini lahir daripada keinginan untuk meneroka sisi seram yang lebih dekat dengan kehidupan dan budaya masyarakat Melayu.

“Dalam budaya Melayu, terdapat dua jenis pewarisan, satu berbentuk zahir iaitu pusaka dan satu lagi berbentuk ghaib iaitu saka, satu entiti yang diwarisi turun-temurun dan dipercayai berperanan melindungi serta membantu tuan empunyanya. Namun saka yang diwarisi tidak boleh ditolak. Kita sama ada menerimanya dan menjadi tuannya, atau berdepan dengan risiko keluarga diporak-perandakan olehnya,” jelas Shamyl.

Tambah beliau lagi, keseraman kisah ini tidak datang daripada saka itu sendiri, tetapi daripada akibat apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan tersebut.

Di sebalik elemen seram yang dipaparkan, filem ini turut mengangkat persoalan tentang keluarga, trauma generasi, tanggungjawab dan makna cinta yang sebenar, sambil mengajak penonton merenung satu persoalan utama apabila melangkah keluar dari pawagam, sejauh mana anda sanggup berkorban demi melindungi keluarga sendiri?

Kekuatan naratif tersebut diperkukuhkan menerusi lakon layar hasil nukilan Fariza Azlina Isahak yang membina ketegangan melalui lapisan emosi, kesunyian dan konflik dalaman yang jarang diterokai dalam filem seram tempatan. Dengan menjadikan Melor sebagai watak yang kehilangan suara, sama ada secara fizikal mahupun simbolik, filem ini membiarkan visual dan emosi mengambil alih peranan dialog dalam menyampaikan penderitaan serta perjuangannya sebagai seorang ibu.

Bagi Penerbit Eksekutif Datuk Ahmad Izham Omar, Khadam dibangunkan dengan satu matlamat yang jelas sejak awal pembangunan projek, iaitu untuk menghasilkan sebuah filem Malaysia yang mampu berdiri sebaris dengan karya-karya serantau dan antarabangsa dari segi mutu pembikinan, tanpa kehilangan identiti budaya yang menjadi tunjang penceritaannya.

“Kualiti sentiasa menjadi keutamaan kami dalam setiap aspek pembikinan Khadam. Daripada pembangunan skrip, pengarahan, rekaan produksi, muzik, pasca produksi hinggalah pemilihan pelakon, setiap keputusan dibuat dengan teliti bagi memastikan hasil akhirnya memenuhi standard yang kami tetapkan sejak hari pertama. Kami mahu menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton serta membuktikan bahawa cerita tempatan juga mempunyai keupayaan untuk dipersembahkan pada tahap yang tinggi,” terangnya secara terperinci.

Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, Khadam turut menghimpunkan rakan strategik dari seluruh rantau termasuk Magma Entertainment dan VMS Studios (Indonesia), Sil Metropole Organisation Ltd. (Hong Kong), Applause Entertainment (India), serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (Malaysia), dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam menghasilkan karya yang berakar pada budaya tempatan, namun dibangunkan dengan skala dan aspirasi yang merentasi sempadan.

Menerajui naskhah ini ialah bintang tersohor Indonesia, Aghniny Haque, yang buat pertama kalinya membintangi sebuah produksi filem Malaysia menerusi kerjasama antarabangsa berskala besar sebagai Melor, di samping Datuk Remy Ishak sebagai Awang, antara gandingan paling dinanti tahun ini. Turut membarisi filem ini ialah Siti Khadijah Halim, yang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon muda paling berbakat menerusi pelbagai karya televisyen dan filem, selain bakat baharu Karl' El yang membuat penampilan sulungnya dalam dunia lakonan menerusi Khadam.

Filem ini turut diperkuatkan dengan persembahan mengagumkan Zarra Zhaff, yang memegang watak penting dalam perkembangan naratif dengan kematangan emosi dan kehadiran layar yang luar biasa, sekali gus menyerlahkan potensinya sebagai antara bakat muda yang wajar diberi perhatian. Melengkapkan barisan pelakon ialah kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak, menjadikan Khadam sebuah karya yang menghimpunkan pengalaman, karisma dan generasi baharu yang sedang mencorakkan masa depan industri hiburan serantau.

Malam Tayangan Perdana yang berlangsung malam tadi turut mencerminkan dunia Khadam yang dibina dengan penuh teliti di layar perak. Ruang acara dihidupkan menerusi reka bentuk bunyi yang menggabungkan hujan, guruh dan lapisan audio yang membangkitkan rasa gelisah, manakala persembahan khas Ernie Zakri menerusi lagu tema rasmi “Tak Berlagu” menambah lagi dimensi emosi sebelum tayangan bermula.

Reaksi awal daripada penggiat industri, media dan tetamu jemputan selepas tayangan memperlihatkan sambutan yang amat memberangsangkan. Ramai memuji keberanian Khadam menggabungkan elemen seram, drama keluarga dan psikologi dalam sebuah naratif yang lebih matang. Kekuatan cerita, persembahan lakonan, rekaan bunyi serta keupayaan filem ini membina ketegangan tanpa bergantung kepada formula seram konvensional disebut sebagai antara kekuatan utama filem ini.

Sokongan pelbagai rakan jenama turut menyerlahkan skala penganjuran acara tersebut, termasuk Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar, St. Giles Boulevard Hotel Kuala Lumpur dan Hyatt House Hotel Kuala Lumpur sebagai rakan hospitaliti rasmi, selain Per'l sebagai penaja minuman. Barisan pelakon digayakan oleh Mimpikita dan Kita&Co bagi sesi Tayangan Media pada sebelah petang, sebelum malamnya mereka mengenakan rekaan eksklusif daripada Behati untuk Malam Tayangan Perdana.

Dengan kisah yang berakar dalam budaya Melayu, nilai produksi bertaraf antarabangsa dan tema tentang keluarga, kehilangan serta pengorbanan yang dekat dengan kehidupan manusia sejagat, Khadam muncul sebagai antara filem tempatan paling dinanti tahun ini. Khadam tampil sebagai sebuah karya yang membuktikan kematangan industri perfileman tempatan yang terus berkembang dan berevolusi, sekali gus mencerminkan tahap produksi yang semakin berani serta bercita-cita tinggi dalam landskap filem Malaysia hari ini.

Mulai 11 Jun 2026, penonton akhirnya berpeluang memasuki dunia Khadam di lebih 120 pawagam seluruh negara menerusi pengedaran oleh GSC Movies, dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran bersama. Selepas tayangan di Malaysia, filem ini turut dijangka menemui penonton di pasaran serantau termasuk Singapura dan Indonesia.

Jika reaksi awal penonton menjadi petunjuk, ini adalah sebuah pengalaman sinematik yang wajar disaksikan sendiri. Kerana apabila lampu dewan kembali menyala, Khadam tidak sekadar berakhir di skrin, ia terus tinggal dalam fikiran, perlahan-lahan mengganggu apa yang kita percaya tentang cinta, keluarga dan pengorbanan.

Saksikan treler Khadam di sini: 

Ikuti perkembangan terkini menerusi @khadamthemovie dan Primeworks Studios di TikTok, Threads, Instagram, Facebook dan YouTube.

ACARA KEMUNCAK SURIA KLCC x LEGO® "PLAY RUN 2026" MELABUHKAN TIRAI DENGAN JAYANYA | ‘Play Run’ LEGO® Pertama di Asia Tenggara Himpunkan Ribuan Peserta di KLCC Park, Menyatukan Inisiatif CSR Kesihatan Mental dan Fizikal 

Kuala Lumpur, 9 Jun 2026 – Kawasan presint ikonik KLCC diselubungi tenaga luar biasa dan  keceriaan kreatif pada hujung minggu lalu apabila acara Suria KLCC x LEGO® “Play Run 2026” yang amat dinantikan melakar sejarah menerusi kemunculan sulungnya di Asia Tenggara pada Sabtu, 6 Jun.

Menarik penyertaan ribuan keluarga, peminat kecergasan, dan peminat LEGO® daripada pelbagai lapisan umur, larian santai interaktif sejauh 2km ini menjadi acara kemuncak kepada festival LEGO® MY Play Festival. Acara yang berlangsung selama beberapa minggu ini telah berjaya menghidupkan Suria KLCC dan KLCC Park sebagai pusat sambutan LEGO® dunia nyata terbesar pernah diadakan di Malaysia dari 21 Mei hingga 7 Jun 2026. 

Dianjurkan sebagai tonggak utama kepada kempen tahunan kesihatan mental dan fizikal Suria KLCC, "Play Run 2026" menggabungkan elemen kecergasan fizikal, interaksi dunia nyata, dan  penceritaan interaktif secara harmoni. Para peserta berlari melalui laluan khas sejauh 2km di sekitar KLCC Park yang indah, sambil menempuh beberapa halangan dan "hentian aktiviti" (playstops). Peserta larian berlari secara berperingkat mengikut sesi sepanjang hari, dan menamatkan larian dengan membawa pulang kit larian eksklusif bertemakan LEGO® serta Pingat Penamat.

Kemuncak acara pada waktu malam diserikan lagi dengan pertunjukan visual yang memukau apabila ruang luar bangunan pusat beli-belah ikonik Suria KLCC dihiasi pancaran cahaya daripada pertunjukan LEGO® 3D Projection Mapping yang direka khas. Pertunjukan tersebut yang ditayangkan dari jam 8:00 malam hingga 10:00 malam pada 6 dan 7 Jun itu memaparkan animasi pembinaan blok LEGO® berskala besar. Ia menggabungkan elemen budaya bermain global dengan simbol warisan Malaysia, sekali gus menarik perhatian ribuan pengunjung di kawasan Esplanade.

Selain larian fizikal yang bertenaga ini, teras utama festival tahun ini adalah komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memfokuskan kepada kesihatan mental komuniti. Suria KLCC membawakan semula "Safe Space" bermula 25 Mei hingga 7 Jun di mana ruang kesihatan mental ini telah menganjurkan pelbagai bengkel pendidikan, aktiviti terapi praktikal, dan program sokongan psikologi dengan kerjasama strategik bersama Persatuan Kesedaran & Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), NYAWA, The Befrienders KL, IHH Healthcare, dan Petrosains. 

Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan CEO Suria KLCC Sdn Bhd, berkata: "Di Suria KLCC, kami sentiasa komited untuk melangkaui peranan ruang runcit tradisional dengan membawakan acara interaktif bertaraf dunia yang bermakna dan mampu memperkasakan komuniti setempat. Kerjasama bersejarah dengan The LEGO® Group ini adalah bukti nyata kepada usaha tersebut. Dengan menyatukan falsafah pembelajaran praktikal LEGO® bersama advokasi kesihatan mental dan fizikal tahunan kami, kami berjaya mengangkat sambutan cuti sekolah ini menjadi satu platform yang memberi impak sosial yang mendalam." 

"Sambutan luar biasa terhadap 'Play Run 2026' serta maklum balas positif komuniti terhadap inisiatif 'Safe Space' membuktikan bahawa masyarakat hari ini amat mendambakan interaksi dunia nyata. Melalui gabungan aktiviti fizikal, penglibatan interaktif penyewa, dan sokongan kesihatan mental yang penting di bawah satu kempen bersepadu, kami telah berjaya mewujudkan persekitaran kesejahteraan yang holistik. Melangkah ke hadapan, kami akan terus memanfaatkan platform ini untuk memupuk komuniti yang prihatin, dinamik, dan berdaya tahan," tambah beliau.

Di samping itu, kawasan festival turut dimeriahkan dengan pelbagai zon aktiviti di seluruh presint. Di Centre Court Suria KLCC, pengunjung berpeluang menerokai konsep pekan tempatan yang memaparkan keunikan budaya Malaysia menerusi binaan blok brick yang besar, termasuk replika Menara Berkembar PETRONAS yang dibina menggunakan lebih 51,000 blok brick, stesen digital LEGO® Minifigure Converter, serta binaan 3D kreatif yang mempamerkan budaya makanan pasar malam.

Bagi kawasan luar bangunan di Esplanade pula, suasana dihangatkan lagi dengan kehangatan menjelang Piala Dunia FIFA 2026™ melalui penyediaan LEGO® Football Play Arena yang interaktif. Ia menampilkan bola sepak gergasi kembung bersaiz 8 kaki, stesen permainan foosball manusia, dan paparan edisi terhad bagi menghargai legenda bola sepak moden. Selain itu, para pengunjung sekeluarga turut dihiburkan dengan aktiviti khas daripada penyewa Suria KLCC termasuk bengkel kesejahteraan dan agihan makanan serta minuman percuma sumbangan 8 Oz Coffee, Godiva, Kiehl’s, F&N, Dotty’s, dan Fishbowl. 

Kejayaan Suria KLCC x LEGO® Play Run 2026 ini dijayakan menerusi kerjasama erat dengan rakan penganjur tempat, KLCC Holdings Sdn Bhd, bersama Rakan Kesihatan Rasmi, IHH Healthcare. Sokongan perubatan kritikal di tapak acara turut disediakan oleh Hospital Gleneagles, Hospital Pantai, dan Pusat Perubatan Prince Court bagi memastikan persekitaran yang selamat dan terkawal untuk semua keluarga yang hadir.

Untuk info lanjut, layari www.suriaklcc.com.my / www.facebook.com/SuriaKLCCMall.

 

Kuala Lumpur, 8 Jun 2026 – Gelombang Polong terus menunjukkan taringnya apabila berjaya mencatat kutipan RM12 juta menerusi gabungan tayangan awal dan 11 hari tayangan rasmi di pawagam seluruh negara. Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan bahawa karya seram tempatan masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam menarik penonton ke pawagam, malah terus mendapat sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia sejak hari pertama tayangan. 

Lebih bermakna, kejayaan menembusi RM12 juta ini membuktikan bahawa apabila sesebuah karya tempatan dihasilkan dengan kualiti, keberanian dan identiti yang tersendiri, ia mampu meraih sokongan besar penonton serta mencipta fenomenanya sendiri di pawagam. 


Selain sambutan hangat di layar perak, promosi filem turut diperhebat menerusi Jelajah Bisikan Polong yang berlangsung di Terengganu dan Pahang pada 6 dan 7 Jun lalu. Dihadiri barisan pelakon utama Mimi Lana, Fad Anuar dan Jun Lojong, jelajah tersebut singgah di lima lokasi.

Ia bagi memberi peluang kepada peminat dan penonton bertemu secara lebih dekat dengan para pelakon. Keghairahan penonton sepanjang jelajah tersebut menjadi cerminan jelas terhadap sokongan berterusan yang diterima.

Sejak mula menemui penonton 28 Mei lalu, Polong bukan sahaja berjaya mencetuskan perbualan hangat di media sosial, malah terus menerima reaksi positif daripada pelbagai lapisan penonton yang memuji kekuatan penceritaan, nuansa seram yang menekan emosi serta elemen kejutan yang berjaya meninggalkan kesan mendalam.


Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, Polong mengangkat kisah legasi ilmu hitam, dosa silam dan sumpahan yang merentasi generasi. Gabungan elemen seram tradisional tempatan dengan naratif psikologi yang lebih mendalam menjadikan filem ini tampil berbeza dan berjaya mencuri perhatian peminat genre seram.

Diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) dengan sokongan pengedaran oleh 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran Primeworks Studios dan Astro Shaw, Polong menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mimi Lana, Jun Lojong, Fad Anuar, Namron, Nadiya Nisaa,  Amir Nafis dan ramai lagi. Filem ini mencatat kehadiran penonton yang memberangsangkan di pawagam seluruh negara, termasuk sepanjang musim cuti sekolah dan hujung minggu.


Melihat kepada trend semasa dan sambutan yang masih memberangsangkan, Polong dijangka terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan paling berjaya tahun ini.

Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan.

Polong masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Saksikan sendiri filem seram yang sedang menghantui satu Malaysia.

#Polong #KiniDiPawagam #DiaKembali #RM12Juta