‘THE EXPERTS’, ‘PROJEK : KAHAR’ DAN ‘SYERIF’ ANTARA FILEM DARI ASTRO SHAW TAHUN INI

Tuesday 13 February 2024

‘THE EXPERTS’, ‘PROJEK : KAHAR’ DAN ‘SYERIF’ ANTARA FILEM DARI ASTRO SHAW TAHUN INI | 'Aksi Rompakan Adik-Beradik, Prekuel Francais Projek: High Council, Filem Aksi Terbaru Daripada Syafiq Yusof’ 

Astro Shaw kini bersedia untuk satu lagi tahun yang mengujakan! Untuk 2024, Shaw membariskan filem-filem hebat berbeza genre seperti aksi blockbuster, seram, muzikal komedi dan drama. Malah, kami juga sedang dalam perancangan untuk menerbitkan prekuel daripada sebuah francais popular. Filem yang menanti penonton di pawagam tahun ini adalah  Syerif, The Experts, Baik Punya Ah Long, Gold, Khawarij dan Projek: Kahar. 

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Alhamdulillah, tahun lalu filem-filem terbitan kami menerima sambutan positif dan antaranya adalah  kejayaan Polis Evo 3 yang meraih RM54 juta. Justeru ia menjadi pemangkin untuk kami terus melangkah. Tahun ini bakal menjadi satu lagi tahun yang agresif buat Astro Shaw dengan mempersembahkan variasi filem menarik yang dibarisi para pelakon hebat tanah air serta membabitkan pengarah terkemuka.” 

“Memahami cita rasa penonton adalah berbeza, kami meletakkan fokus kepada enam filem yang mampu mensasarkan peningkatan pengalaman luar biasa dengan idea cerita yang segar, sekali gus memacu ke arah objektif kami untuk memperhebatkan filem tempatan setanding karya luar negara.”

“Selaras dengan usaha tersebut, Astro Shaw mengukuhkan kerjasama strategik bersama penerbit dan produksi seperti Skop Productions, Act 2 Pictures, Pasal Productions, BlackFlag dan rakan kerjasama baru seperti President Productions dan Petra Vision Works. Kolaborasi ini mewujudkan gabungan idea kreatif dalam penghasilan karya berkualiti.”

Syerif



Filem pertama dari Astro Shaw yang akan menemui penonton tahun ini adalah filem aksi arahan pengarah pecah panggung, Syafiq Yusof yang dibintangi oleh Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Dato’ Aaron Aziz dan Elizabeth Tan iaitu ‘Syerif’. Bekerjasama dengan Skop Productions, filem kepolisian ini akan membawa penonton untuk membongkar sisi gelap pasukan beruniform. Pengarah Syafiq Yusof yang terkenal dengan gelaran ‘King of Plot Twist’ pasti tidak akan mengecewakan dengan babak-babak yang mampu menaikkan adrenalin penonton.

The Experts

Pada Mei nanti pula, sebuah filem aksi bertemakan rompakan (heist) iaitu ‘The Experts’, hasil arahan pengarah Polis Evo 2, Andre Chiew bersama Nizam Shah bakal ditayangkan. Membariskan Dato’ Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Remy Ishak, Mimi Lana dan Ray Dap Dap, mereka muncul sebagai lima adik-beradik yang mempunyai skil dan kepakaran berbeza dalam merancang sebuah rompakan terbesar. 

Baik Punya Ah Long

Suku ketiga tahun 2024 pula memperlihatkan duo popular Jozan iaitu Zizan Razak dan Johan kembali menerusi ‘Baik Punya Ah Long’. Filem muzikal komedi arahan Datuk Afdlin Shauki ini mengisahkan dua Ah Long yang bersikap pemurah, berdepan dengan situasi hura-hara oleh kerana sikap mereka. 

Turut bakal menjadi tumpuan ialah filem seram, ‘Khawarij’ arahan pengarah hebat Syamsul Yusof. Terdahulu Syamsul Yusof pernah menghasilkan filem bergenre Islamik seram seperti Khurafat, Munafik dan Munafik 2. 

Gold

Turut tersenarai ialah filem biopik adaptasi daripada kisah sebenar atlet tempatan, jaguh Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Like Hou berjudul ‘Gold’. Naskhah ini merupakan sentuhan pengarah Malbatt : Misi Bakara, iaitu Adrian Teh dan membariskan para pelakon dari pelbagai latar seperti Jack Tan, Farid Kamil, Fabian Loo, Wan Raja, Yasmin Hani dan ramai lagi. 

Projek : Kahar

Seterusnya, prekuel daripada francais premium popular, Projek : High Council iaitu ‘Projek: Kahar’,  turut dijadualkan menemui penonton di pawagam tahun ini. Filem Projek: Kahar ditulis oleh penulis francais Projek: Anchor SPM dan Projek: High Council, Anwari Ashraf dan diarahkan oleh Razaisyam Rashid. Mempertaruhkan pelakon asal watak Kahar iaitu Amir Ahnaf, filem ini membawa penonton menyaksikan transisi Kahar daripada seorang pelajar biasa berubah menjadi Kapla High Council.  

Ikuti perkembangan terbaharu filem-filem terbitan Astro Shaw dan info lanjut di platform TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. 

2 comments

  1. drama Astro memang selalunya lain dari yang lain

    ReplyDelete
  2. Pernah dulu Dania tak percaya bila nampak Dato Aaron berlakon dalam KL Gangster tembak2. Bila jumpa masa birthday party anak Aaron. Saya bagitau la anak kata dia tak percaya Aaron dalam KL Gangster tu dia kata 'ayah Dwi' baik. Lepas tu Aaron cakap kat Dania....tu dalam filem ajer sayang....(masa tu Dania 5-6 tahun). Budak-budak percaya live apa yang dia nampak.

    Jadi...bila ada Aaron berlakon suka tengok lakonannya. Kalau jumpa live....Aaron dan isterinya tak sombong. Masa tu boleh jumpa sebab kelas Dania kat bangunan yang sama anak Aaron tadika.

    ReplyDelete

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.