Astro Lancar Program Latihan Industri Eksklusif Buat Para Pelanggan Dan Ahli Keluarga Mereka

Thursday, 1 October 2026

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026 – Bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-30, Astro dengan bangga membawakan Astro Family Internship Programme, sebuah peluang latihan industri yang ditawarkan secara eksklusif kepada pelanggan Astro dan ahli keluarga mereka yang layak.

Astro Family Internship Programme memberi peluang kepada golongan muda untuk merasai pengalaman sebenar di sebalik tabir syarikat media dan hiburan terkemuka negara, sambil bekerja bersama para profesional dalam bidang media, hiburan, teknologi dan korporat.

Christinne Lim, Ketua Pegawai Pemasaran Astro, berkata, “Selama 30 tahun, Astro telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat Malaysia. Sempena sambutan istimewa ini, kami ingin menghargai kepercayaan dan sokongan pelanggan dengan menyediakan peluang yang bermakna untuk generasi seterusnya.

Kami berharap program ini dapat memberikan pengalaman dunia pekerjaan yang berharga kepada golongan belia, membantu mereka meneroka minat dan potensi diri, serta membina keyakinan untuk melangkah ke alam kerjaya kelak. Ia merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan kami, di samping membuka peluang kepada generasi akan datang untuk belajar, menimba pengalaman dan meneroka masa depan mereka.”

Melalui program latihan industri selama tiga bulan yang akan berlangsung antara Februari hingga Julai 2027, para pelatih akan memperoleh pengalaman secara langsung dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk Penerbitan Kandungan, Pemasaran, Komunikasi, Kejuruteraan Perisian, Data & Analitik, serta bidang korporat seperti Kewangan, Sumber Manusia, Perundangan dan Perolehan.

Para pelatih juga akan mendapat pemahaman yang lebih menyeluruh tentang industri penyiaran dan media serta bagaimana ia menghubungkan jutaan rakyat Malaysia menerusi hiburan, sukan, berita dan perkhidmatan digital. Selain membina kemahiran praktikal, program ini turut membantu golongan muda meneroka minat mereka, mengenal pasti potensi laluan kerjaya dan mengasah kemahiran yang diperlukan untuk masa depan.

Permohonan bagi Astro Family Internship Programme akan dibuka dari 1 Oktober 2026 hingga 31 Disember 2026. Semua permohonan akan dinilai berdasarkan kelayakan dan kesesuaian calon, manakala penempatan adalah tertakluk kepada kekosongan dan keperluan semasa syarikat.

Untuk maklumat lanjut, termasuk Terma dan Syarat penuh serta membuat permohonan, sila layari: https://www.astro.com.my/careers/family-internship-programme.

Selepas berjaya menempatkan diri dalam 6 terbaik, finalis Purina Felix Cat Fashion Week kini bersiap untuk ke pentas akhir menerusi sesi Masterclass khas yang diperkenalkan buat pertama kalinya dalam program ini. Bukan sekadar soal gaya, sesi tersebut memberi fokus kepada penjagaan, keyakinan dan keserasian antara pemilik dengan si bulus.

Dikendalikan oleh Pengasas dan Pengajar Dandanan Kucing, Mohd Jeffrey Mohd Ali, doktor veterinar, Dr. Ima (Dr. Salehahtul Khuzaimah) serta pereka fesyen Malaysia, Mohamad Kashfi Zulkufli, Masterclass ini merangkumi lima fokus utama iaitu penjagaan dan dandanan, gaya hidup serta pemakanan, pembinaan keyakinan, penggayaan fesyen dan latihan catwalk.

Persediaan bermula dengan asas grooming apabila finalis mempelajari teknik memberus bulu, memandikan kucing dan membuat kemasan sebelum mencubanya sendiri bersama kucing masing-masing di bawah bimbingan pakar. Sesi bersama Dr. Salehahtul Khuzaimah pula memberi panduan mengenai pemakanan, pengambilan air dan rutin penjagaan harian bagi menyokong kesihatan serta tenaga kucing.

Fokus kemudian beralih kepada keyakinan dan keserasian apabila finalis didedahkan kepada cara mengendalikan kucing dalam suasana pentas. Dalam masa sama, setiap gandingan berkolaborasi bersama pereka fesyen untuk menentukan tema dan konsep yang sesuai dengan personaliti kucing serta gaya pemilik.

Persiapan diteruskan dengan latihan catwalk yang merangkumi pacing, postur dan teknik mengendalikan kucing ketika bergerak. Si bulus turut dibiasakan dengan suasana pentas dan gangguan yang mungkin berlaku supaya setiap gandingan lebih bersedia menghadapi situasi tidak dijangka ketika persembahan akhir.

Enam finalis yang bakal berentap di pentas akhir ialah Norazizah Abu Kasim bersama Lolalisa, Aiman Syazani bersama Seri Embun, Aidil Jalil bersama Sashimi, Syazreen Irwina bersama Micco, Fara Juliana bersama Mochi serta Ahmad Fazwan bersama Atithy. 

Sesi Masterclass akan ditampilkan menerusi Kapsul Purina Felix Cat Fashion Week di kaca televisyen bermula 3 hingga 17 Oktober 2026, setiap Sabtu pada jam 7.50 malam, sebelum episod finale menemui penonton pada 25 Oktober 2026 (Ahad), jam 9.00 malam. Kandungan Masterclass turut dikongsikan dalam bentuk video pendek secara eksklusif di Instagram dan TikTok TV3, membawakan pelbagai tip dan ilmu menarik. Jangan terlepas untuk menyaksikan persiapan Top 6 bersama si bulus masing-masing menjelang pentas akhir!

Membawa tagline “Meow Menggoda, Comel Berganda,” Purina Felix Cat Fashion Week dibawakan oleh Purina Felix sebagai penaja utama dan Meow Meow sebagai penaja bersama.

Jom gunakan #FelixCatFashionWeekxTV3 untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial! Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program ini, ikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok menerusi @TV3Malaysia.

Blog Performance September 2026


Lama juga Blogger buat perangai sampai kacau banyak benda. Tak memasal ada yang hilang blog, ada yang tak dapat komen, ada yang tak nampak latest update. I pun masih lagi tak dapat latest entry blogger dalam bloglist. Minggu ni baru nampak perubahan Blogger tu bila dia masukkan HTML snippet dengan dua widget Google. 

1. PV


Masa bulan Ogos, blog ni dah mencecah 10 juta tapi tak sangka pulak bulan September bertambah lagi satu juta. Ingatkan tempoh masa nak mencecah 10 juta paling singkat rupanya ada lagi singkat. Mungkin sebab ada SEO agent tengah mencari blogger untuk publish artikel. Bulan lepas ada 4 ke 5 ejen yang datang email tapi tak accept sebab payment rendah sangat.

2. Posts


I cakap angkara SEO agents tu sebab view dekat posts yang masuk Popular Post ni tak lah tinggi sangat pun. Even tak ada yang mencecah ribuan views pun. Dekat Google Search Performance nampak lah keyword farhana jafri yang banyak sampai beribu setiap hari so diorang just usha blog je, tak mencari specific entry pun. 

3. Bilangan Entri


Jumlah entri bulan ni berjaya jugak cecah ke 80 entri sebab banyak update entri pergi jalan-jalan dan apa yang berlaku dekat office. Movie Review tak banyak pun bulan ni padahal rancak je tengok movie. Hopefully waktu weekend dan cuti Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor nanti ada masa senggang untuk update. Saja mention cuti tu sebab semua orang dah tak ada cuti sampai Deepavali nanti kecuali Selangor 😝

Terima kasih kepada yang datang berkunjung ke sini. Insya-allah akan dibalas kunjungannya. Selamat mengharungi tragedi Oktober tahun ni. 

HAEL HUSAINI & MIMI FLY BERSATU DALAM “GARAH”

Wednesday, 30 September 2026

HAEL HUSAINI & MIMI FLY BERSATU DALAM “GARAH” | Rocketfuel Entertainment Satukan Dua Karakter Muzikal Yang Berbeza Dalam Sebuah Karya Pop Nusantara Bernuansa Rock & Hip-Hop

KUALA LUMPUR, 21 SEPTEMBER 2026 – Dua nama besar industri muzik tempatan, Hael Husaini dan Mimi Fly, akhirnya bersatu dalam “Garah”, sekali gus menandakan kolaborasi pertama mereka dalam sebuah lagu.

Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, “Garah” hadir sebagai karya pop moden yang menggabungkan warna muzik Nusantara dengan elemen pop-rock dan hip-hop, menghasilkan bunyi yang bertenaga, dramatik serta sarat dengan nuansa tempatan.

Lebih istimewa, lagu ini turut mempertemukan kreativiti Hael dan Mimi bersama komposer terkenal, Iqie Hugh, yang berganding bahu dalam proses penciptaan untuk menghasilkan sebuah karya dengan identiti tersendiri.

Maksud Di Sebalik “Garah”

Judul “Garah” sendiri membawa makna yang menarik. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, “garah” merujuk kepada senda gurau atau lawak jenaka, selari dengan sisi spontan dan bersahaja yang dapat dirasakan menerusi lagu ini. Namun, di sebalik judul yang kedengaran ringan, “Garah” sebenarnya menyentuh tentang pencarian hati dan sesuatu yang sukar ditemukan.

Liriknya menggambarkan perjalanan mencari sesuatu yang seakan-akan hilang, sedangkan jawapannya mungkin selama ini tersembunyi di dalam diri. Ungkapan “Cinta tersembunyi, di dalam dada” memberikan gambaran tentang perasaan yang dekat tetapi masih belum terungkap, sementara persoalan berulang mengenai ke mana harus membawa hati menambahkan rasa resah dan ingin tahu.

Bagi Hael Husaini, “Garah” membuka ruang untuk beliau meneroka warna muzik yang berbeza bersama Mimi.

“Saya anggap kolaborasi dengan Mimi memang sesuatu yang sudah lama ditunggu kerana ini julung-julung kali kami bergabung dalam sebuah lagu. ‘Garah’ mempunyai warna tersendiri dan kami mahu hasilkan sesuatu yang segar, tetapi pada masa yang sama masih mempunyai rasa tempatan. Gabungan pop, rock dan hip-hop memberikan lagu ini tenaga yang berbeza, manakala liriknya pula mempunyai sisi yang lebih mendalam. Saya harap pendengar dapat menikmati ‘Garah’ bukan sahaja melalui muzik, tetapi juga cerita yang cuba kami sampaikan,” jelas Hael.

Dua Karakter Bergabung Dalam “Garah”

Bagi Mimi Fly, penghasilan “Garah” pula menjadi peluang untuk bereksperimen dengan pendekatan yang lebih bebas, khususnya apabila idea beliau disatukan dengan Hael Husaini dan Iqie Hugh.

“Saya sangat teruja kerana sekian kalinya dapat bekerjasama dengan Hael dalam sebuah lagu. Kami datang dengan karakter dan juga cara kerja yang berbeza, jadi proses penghasilan ‘Garah’ memang menyeronokkan. Saya juga turut terlibat dalam penciptaan lagu ini dan kami cuba mencari keseimbangan antara elemen moden dengan bunyi yang dekat dengan identiti kita. Saya rasa pendengar akan dapat merasakan sesuatu yang berbeza apabila mendengar lagu ini,” kongsi Mimi Fly.

Kekuatan “Garah” terletak pada pertemuan beberapa unsur yang berbeza tetapi tetap berpadu. Sentuhan Nusantara memberikan warna tempatan yang kuat, manakala pop-rock dan hip-hop menyuntik tenaga serta pendekatan yang lebih kontemporari. Gabungan ini membolehkan Hael dan Mimi menampilkan sisi yang mungkin belum pernah mereka terokai bersama sebelum ini.

Kisah Seram MV “Garah”

Jika “Garah” membawa pendengar menyelami persoalan hati, video muziknya (MV) pula mengheret Hael ke sebuah dunia penuh misteri dan keseraman.

Berlatarbelakangkan Hauntu Malaysia @ The Linc KL, pengalaman teater imersif bertemakan “horror” pertama di Malaysia, MV ini menampilkan Hael yang tiba di sebuah hotel lama dan usang. Selepas membunyikan loceng di kaunter, kemunculan lembaga misteri memaksanya melarikan diri, namun setiap cubaan untuk mencari jalan keluar hanya membawa kepada lebih banyak gangguan.

Keadaan bertambah seram apabila Hael ditangkap oleh seorang lembaga wanita lalu dikenakan sumpahan. Dalam usaha mencari jawapan, dia menemukan sebuah buku daftar tetamu lama yang menyimpan petunjuk tentang misteri hotel tersebut, termasuk satu penemuan mengejutkan di halaman terakhir.

Tanpa mendedahkan penghujung cerita, penonton bakal menyaksikan perjalanan Hael yang berubah daripada seorang mangsa ketakutan kepada sesuatu yang tidak pernah dijangka. 

Rocketfuel Satukan Dua Dunia Kreatif

Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Mathan Rajasingam, kolaborasi Hael Husaini dan Mimi Fly merupakan satu pertemuan kreatif yang memberi ruang kepada kedua-dua artis untuk meneroka sisi baharu.

“Apabila dua artis dengan karakter yang kuat seperti Hael dan Mimi digabungkan, kami mahu memastikan hasilnya mempunyai identiti yang istimewa. ‘Garah’ memberi mereka ruang untuk bereksperimen, bukan sahaja dari segi muzik tetapi juga melalui dunia visual yang dibina untuk video muziknya. Kami percaya gabungan bunyi, tenaga dan elemen misteri ini akan memberikan pengalaman yang berbeza kepada pendengar dan penonton,” jelas beliau.

Single "Garah" nyanyian Hael Husaini dan Mimi Fly akan mula dilancarkan di semua platform penstriman digital bermula 25 September 2026. MV rasminya turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Rocketfuel Entertainment.


LIRIK LAGU GARAH

Penyanyi: Hael Husaini feat MimiFly
Komposer: Hael Husaini, Iqie Hugh, MimiFly
Penulis Lirik: Hael Husaini, Iqie Hugh, MimiFly
Studio: Rocketfuel Entertainment

[Verse 1]

Puas sudah ku kembara
Mencari-cari yang tiada
Bisikkan hati bernada
Malang bayangannya tiada

[Pre-Chorus]
Alangkah indah
Alangkah baik
Alangkah masyhurnya
Tapi sayang

[Chorus]
Dimana? ada dimana?
Cinta tersembunyi
Di dalam dada
Kemana? Ada kemana?
Kau bawa hati
Tanpa bicara

[Verse 2]
Mana mana ku pergi takda kesah
Pusing balik pusing pun takda susah
Tak akan hilang intan cahayanya
Biar terbenam tanam dek masa

[Pre-Chorus]
Alangkah indah
Alangkah baik
Alangkah masyhurnya
Tapi sayang

[Chorus]
Dimana? ada dimana?
Cintersembunyi
Di dalam dada
Kemana? Ada kemana?
Kau bawa hati
Tanpa bicara

[Bridge]
Fikir, Fikir, Cepat cepat mana mahu
cepat fikir
Entah
Apa ada dalam dada fikir fikir
Takleh fikir, takyah fikir
Entah dah lah mentah nak ku
bantah tapi
Dah dah dah dah
Patah hati patah makin payah jadi
Dah dah dah dah

[Pre-Chorus]
Alangkah indah
Alangkah baik
Alangkah masyhurnya
Tapi sayang

[Chorus]
Dimana? ada dimana?
Cintersembunyi
Di dalam dada
Kemana? Ada kemana?
Kau bawa hati
Tanpa bicara

Dah ada di dada
Dah ada di dada
Ada di dada
Dah ada di dada
Dah ada di dada
Ada di dada

350,000 KUNJUNGAN SEMARAKKAN KARNIVAL JOM HEBOH SEGULAI SEJALAI SARAWAK DI MIRI!

Tuesday, 29 September 2026

350,000 KUNJUNGAN SEMARAKKAN KARNIVAL JOM HEBOH SEGULAI SEJALAI SARAWAK DI MIRI! | Kepulangan Selepas 19 Tahun Satukan Masyarakat Sarawak Menerusi Tiga Hari Hiburan dan Aktiviti Menarik 

Kuala Lumpur, 29 September 2026 – Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak mencatatkan kejayaan membanggakan apabila menerima 350,000 kunjungan sepanjang penganjurannya di Miri Boulevard, Miri dari 25 hingga 27 September 2026 yang lepas. Kepulangan KJH ke Miri selepas 19 tahun disambut meriah oleh masyarakat setempat serta pengunjung dari seluruh Sarawak yang hadir untuk menikmati pelbagai pengisian hiburan, aktiviti keluarga dan pengalaman menarik sepanjang hujung minggu. 

Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), yang menyumbang kepada kepelbagaian pengisian menerusi penyertaan pelbagai agensi, usahawan dan inisiatif tempatan. Kehadiran mereka menerusi pameran dan aktiviti interaktif turut memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dengan lebih dekat pelbagai produk, perkhidmatan serta inisiatif yang diketengahkan. 

Dari pentas hiburan hinggalah aktiviti santai bersama keluarga, KJH Segulai Sejalai Sarawak, Miri menawarkan pelbagai pengisian untuk dinikmati semua lapisan usia. Antara yang menjadi perhatian termasuk Pertunjukan Ratu Etnik, Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge serta sesi Meet and Greet bersama barisan pelakon dan personaliti Media Prima. Aktiviti keluarga dan riadah seperti Kids Colouring Contest, Zumba dan Jom Lokal Jam turut melengkapkan pengalaman pengunjung sepanjang karnival. 



Kemuncak pengisian riadah pada hari ketiga, Ahad lalu, diteruskan menerusi Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP yang menerima hampir 2,000 penyertaan bagi kategori 5KM dan 8KM. Penganjuran kali kedua di Sarawak ini turut menawarkan Pakej Keluarga bagi kategori 5KM, selain cabutan bertuah serta peluang berlari bersama artis drama, personaliti Media Prima, artis dan selebriti, menjadikan acara tersebut antara aktiviti yang menghidupkan lagi suasana KJH Miri. 

Dalam pada itu, kawasan reruai turut menjadi tumpuan apabila lebih 160 reruai menghimpunkan pelbagai jenama, agensi dan usahawan daripada pelbagai sektor. Antaranya termasuk PERNAS, AFFIN Bank, F&N, Caring Pharmacy, Fearnleaf dan Bursa Malaysia, selain menawarkan pelbagai promosi, tawaran serta pilihan makanan yang menambahkan lagi kepelbagaian pengalaman sepanjang berada di KJH. 

Melengkapkan kemeriahan acara, Konsert Jom Heboh Cara U Sarawak Segulai Sejalai 2026 Miri yang dibawakan oleh U Mobile berlangsung selama dua malam dengan menampilkan barisan artis popular tanah air. 

Perkarangan pentas utama dibanjiri ribuan peminat yang hadir untuk menyaksikan persembahan pada malam Sabtu daripada K.O.I, Nabila Razali, Man Bai, Mary Grace dan Fieya Julia, sebelum kemeriahan diteruskan pada malam Ahad bersama Baby Shima, Rahmad Mega, Nadeera, Lan Solo dan Floor 88. Persembahan bertenaga daripada barisan artis berkenaan terus menghidupkan suasana dan menghiburkan para peminat hingga ke penghujung acara. 

Kejayaan penganjuran di Miri ini membuktikan sambutan yang terus diterima KJH Segulai Sejalai Sarawak, dengan gabungan hiburan, gaya hidup, aktiviti keluarga, riadah serta penglibatan komuniti yang berjaya menghimpunkan masyarakat dalam satu acara. Dengan 350,000 kunjungan direkodkan sepanjang penganjuran, kepulangan KJH ke Miri bukan sahaja menghidupkan kembali kenangan terhadap karnival ini, malah mencipta satu lagi detik bermakna bersama masyarakat Sarawak.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti media sosial rasmi @jomhebohofficial. Gunakan tanda pagar #KJH #KarnivalJomHeboh #KJHSarawak untuk berkongsi detik menarik sepanjang karnival. Jangan lupa untuk terus mengikuti perkembangan KJH dan nantikan pengumuman lokasi seterusnya bagi menyertai kemeriahan Karnival Jom Heboh yang akan datang. 

FATTAH AMIN TERPERANGKAP FITNAH DAN DENDAM SILAM DALAM ‘ANDAI MASIH ADA MAAF’ | APABILA KEBENARAN TERBONGKAR, MAMPUKAH CINTA DIPULIHKAN SETELAH HANCUR? 

Kuala Lumpur, 25 September 2026 – Sebuah mahligai perkahwinan indah yang dibina selama bertahun-tahun musnah dalam sekelip mata hanya kerana tersilap percaturan. Lebih menyukarkan keadaan apabila kebenaran hanya terbukti selepas segala-galanya terlanjur musnah, meninggalkan persoalan sama ada masih ada ruang untuk membaiki kesilapan yang telah berlaku. 

Mengangkat kisah tentang kepercayaan, fitnah dan penyesalan dalam kehidupan berumah tangga, drama terbaharu TV3 Andai Masih Ada Maaf bakal membawa penonton mengikuti perjalanan sebuah keluarga yang berdepan ujian demi ujian, apabila satu perkara yang disangka benar mula mengubah seluruh kehidupan mereka. 

Diterbitkan oleh FJ Pictures Sdn Bhd, drama 28 episod ini merupakan karya penulis K. Adli dan arahan Feroz Kader, menampilkan Fattah Amin, Hanna Delisha, Nazrief Nazri dan Malek Mccrone sebagai teraju utama. Drama ini bakal menemui penonton mulai 30 September, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan turut boleh distrim di iQIYI satu jam selepas siaran TV3.

Andai Masih Ada Maaf mengisahkan Hana (Hanna Delisha), seorang wanita berkerjaya yang menjalani kehidupan bahagia bersama suaminya Dr Reza (Fattah Amin), seorang doktor psikologi yang dikenalinya sejak zaman universiti. Dikurniakan seorang anak perempuan, kehidupan mereka kelihatan sempurna sehinggalah kemunculan semula Azmeer (Nazrief Nazri), kenalan lama membuka kembali kisah silam yang tidak pernah diketahui Reza.

Pertemuan semula itu pada awalnya tidak menimbulkan sebarang masalah, malah Reza gembira dapat bertemu semula dengan kenalan lama mereka. Namun di sebalik kemunculannya, Azmeer sebenarnya menyimpan dendam terhadap Hana dan mula menyusun rancangan untuk memusnahkan rumah tangga mereka.

Pelbagai manipulasi dan fitnah mula diwujudkan sehingga Reza sendiri mula meragui kesetiaan isterinya. Beberapa petunjuk yang sengaja ditinggalkan membuatkan Reza percaya Hana mempunyai hubungan sulit. Kemuncaknya, satu kejadian yang mengaitkan Hana dengan Azmeer membuatkan Reza benar-benar percaya bahawa Hana telah mengkhianatinya.

Tanpa mengetahui kebenaran sebenar, Reza memilih untuk menjauhkan diri daripada Hana. Keadaan bertambah buruk apabila cerita mengenai kecurangan Hana tersebar dan menjadi tular, menyebabkan dia bukan sahaja kehilangan kepercayaan suami, malah turut menerima kecaman hebat daripada keluarga, rakan-rakan dan netizen.

Mengulas mengenai watak Reza, Fattah Amin berkata karakter Reza memberi ruang kepadanya untuk meneroka sisi seorang suami yang terpaksa berdepan dengan akibat daripada keputusan sendiri. “Reza bukan watak yang mudah kerana pada awalnya dia yakin dengan segala yang dilakukan. Dia percaya bahawa dia sedang mempertahankan rumah tangga tetapi tanpa sedar, keputusan itu sendiri yang menghancurkan keluarga. Paling berat apabila dia mula sedar kesilapan sendiri, namun banyak perkara yang sudah tidak boleh diundurkan. Saya rasa itu yang membuatkan perjalanan Reza menarik untuk diikuti,” ujarnya.

Mampukah cinta yang pernah musnah dibina semula selepas segala rahsia terbongkar? Dan apabila sebuah hati sudah terlalu banyak terluka, mampukah cinta diberi peluang sekali lagi?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama bersiri, Andai Masih Ada Maaf mulai 30 September 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, melalui laman web atau aplikasi iQIYI di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

'CHELOT' MELETOP DI PAWAGAM: KUTIPAN KINI MENCECAH RM19.5 JUTA!

Monday, 28 September 2026

'CHELOT' MELETOP DI PAWAGAM: KUTIPAN KINI MENCECAH RM19.5 JUTA! | Adrian Teh Sahkan Perjuangan Diteruskan Menerusi Sekuel 'Chelot 2'

Filem aksi tempatan, Chelot, terus mencetuskan fenomena luar biasa serta melakar sejarah tersendiri di pawagam seluruh negara apabila berjaya mengumpul kutipan rasmi mencecah RM19.5 JUTA.

Kejayaan cemerlang ini membuktikan dominasi padu karya arahan pengarah tersohor Adrian Teh yang terus mendapat tempat di hati peminat filem tanah air menerusi sokongan berterusan di dewan tayangan. Setiap tiket yang dibeli serta perkongsian positif daripada penonton menjadi penolak utama kejayaan box office ini.

Filem Chelot membawa penonton menyelami kisah suspen seorang pegawai Unit Operasi Khas yang dihimpit masalah kewangan kritikal sehingga terjerat dalam sindiket penyeludupan senjata akibat satu keputusan yang salah. Kini, dia terpaksa bertindak sebagai orang dalam dan mempertaruhkan segala-galanya, merangkumi kerjaya, keselamatan keluarga serta nyawanya sendiri demi menumpaskan sindiket berbahaya tersebut.

Kehangatan filem ini terus didorong oleh persembahan mantap barisan pelakon terkemuka tanah air seperti Beto Kusyairy, Shukri Yahaya, Shaheizy Sam, Nadhir Nasar, Alicia Amin, Azhan Rani, dan Theebaan G yang berjaya menghidupkan watak serta menyajikan babak aksi mendebarkan di layar perak.

Sebagai kemuncak kejayaan ini, Adrian Teh, secara rasminya mengumumkan bahawa perjuangan Chelot masih belum berakhir. Kehangatan fenomena ini bakal diteruskan menerusi sekuel terbaharu, Chelot 2! Pengumuman eksklusif ini dijangka bakal meledakkan lagi rantaian francais aksi tempatan dengan garapan plot yang lebih agresif, skala pertarungan lebih mantap, serta pelbagai kejutan menarik yang pasti memukau penonton kelak.

Pihak produksi dan seluruh tenaga kerja filem Chelot merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan “Terima Kasih Malaysia” atas sokongan padu yang tidak berbelah bahagi. Bagi mereka yang belum menyaksikan atau mahu merasai semula kehangatan filem ini, orang ramai dijemput untuk terus meramaikan pawagam berdekatan hari ini.

#Chelot #FilemChelot #TerimaKasihMalaysia

KUALA LUMPUR, 28 September 2026 – Ada kisah yang sekadar ditonton, dan ada kisah yang membuat kita berhenti seketika untuk memahami. Menerusi “Voices That Matter Pack,” Tonton menghimpunkan No Other Land dan The Voice of Hind Rajab, dua filem yang berasaskan kisah nyata serta mengetengahkan pengalaman dan perjuangan manusia, di samping memberi peluang kepada penonton menjadikan setiap tontonan sebagai satu bentuk sokongan bermakna.

Bermula 30 September 2026, kedua-dua filem boleh ditonton menerusi TVOD (Transactional Video on Demand) di Tonton dalam satu pakej khas pada harga RM15, dengan RM1 daripada setiap transaksi disumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Sebagai pemenang Academy Award bagi Filem Dokumentari Terbaik 2025, No Other Land membuat kemunculan sulung di Malaysia secara eksklusif di Tonton. Filem ini mengikuti aktivis Palestin Basel Adra ketika beliau mendokumentasikan kemusnahan rumah dan perpindahan penduduk di Masafer Yatta, Tebing Barat, selain merakam perjuangan masyarakat setempat mempertahankan tanah dan kediaman mereka. Pertemuannya dengan wartawan penyiasatan Israel, Yuval Abraham, membawa kepada kerjasama yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah persahabatan merentasi latar belakang berbeza.

Sementara itu, The Voice of Hind Rajab mengisahkan Hind Rajab, kanak-kanak berusia enam tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta di Gaza pada 29 Januari 2024 selepas serangan terhadap keluarganya, sebelum menghubungi Bulan Sabit Merah untuk mendapatkan bantuan. Berasaskan rakaman panggilan kecemasan sebenar, termasuk suara Hind sendiri, filem ini menelusuri usaha petugas yang berusaha untuk menyelamatkannya.

Daripada rakaman kehidupan di lapangan hingga panggilan kecemasan yang merakam suara seorang kanak-kanak dalam detik genting, kedua-dua filem ini menampilkan pendekatan penceritaan unik yang membawa penonton lebih dekat kepada realiti di sebalik liputan berita. Bersama-sama, kedua-duanya mengetengahkan sisi berbeza tentang pengalaman manusia, ketabahan dan perjuangan.

Jom tonton sambil menyumbang. Penonton boleh menikmati “Voices That Matter Pack” yang menampilkan No Other Land dan The Voice of Hind Rajab pada harga RM15 menerusi aplikasi Tonton atau tonton.com.my bermula 30 September 2026, dengan RM1 daripada setiap transaksi disumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram di @tontonmy.

FENOMENA ‘KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL’ GEGARKAN HOUSE OF KUDRAT | KUDRAT 1968 Cipta Budaya Fandom dan Gaya Hidup

Kuala Lumpur, 28 September 2026 – Fenomena KUDRAT 1968: High Council terus mencipta impak luar biasa dalam kalangan penonton apabila pengaruh siri premium Astro Original itu kini berkembang melangkaui skrin televisyen. Bukan sekadar menjadi siri yang paling hangat diperkatakan ketika ini, KUDRAT 1968 membina budaya fandom tersendiri, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kandungan tempatan paling berpengaruh. 

Sejak diperkenalkan kepada penonton menerusi siri premium bermula 11 September lalu, KUDRAT 1968 terbitan Astro Shaw, arahan Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff berjaya mencuri perhatian menerusi jalan cerita yang penuh konflik, persahabatan, kuasa dan pengkhianatan, disokong lakonan hebat barisan pelakon muda yang semakin mendapat tempat di hati peminat. 

Momentum tersebut turut diterjemahkan menerusi sambutan tontonan yang memberangsangkan di platform Astro dan sooka mendominasi carta top 10 kandungan tv, selain mencipta pencapaian tersendiri apabila muncul sebagai siri nombor satu di Netflix Malaysia dalam tempoh dua minggu berturut-turut. 

Menerusi naratif yang mengangkat realiti tentang jurang di antara kelas dalam masyarakat, siri tersebut mencetuskan pelbagai perbualan dan perdebatan dalam kalangan penonton serta teori peminat di media sosial. Meskipun baru dua episod ditayangkan, KUDRAT 1968 telah mencapai lebih 90 juta tontonan menerusi klip-klip sosial media dalam tempoh 14 hari.

Bagi meneruskan fenomena ini, Astro membawakan House of KUDRAT, sebuah pengalaman eksklusif yang membawa dunia KUDRAT 1968 secara langsung kepada peminat. Untuk satu hari sahaja, Astro Experience Store di IOI City Mall, Putrajaya akan bertukar menjadi House of KUDRAT, sebuah ruang yang membawa elemen siri tersebut dalam bentuk pengalaman sebenar.

Lebih menarik, House of KUDRAT turut menampilkan kolaborasi strategik bersama jenama fesyen tempatan, Christy Ng, menerusi pelancaran koleksi eksklusif Christy Ng X KUDRAT 1968. Koleksi edisi khas terhad seperti beg dan stokin yang diinspirasikan oleh KUDRAT 1968 turut diperagakan. Boleh dapatkan koleksi di store terpilih dan laman web Christy Ng sekarang.  

Lebih daripada sekadar sebuah acara, House of KUDRAT menjadi platform untuk meraikan peminat yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan siri tersebut. Menerusi Astro Rewards, peminat berpeluang bertemu secara eksklusif dengan barisan pelakon KUDRAT 1968 termasuk Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Akmal Asyraf, Chech Harith, Evertts Gomes, Muzayyin Mahyuddin, Umar Shakur dan Jebat Zulfar.

Terus menyaksikan KUDRAT 1968: High Council episod 3 pada 9 Oktober, episod 4 pada 16 Oktober yang akan ditayangkan di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat, jam 9.00 malam bermula 11 September. Pelanggan juga boleh menonton episod lebih awal pada jam 12 tengah malam melalui Sooka atau Astro X3, penawaran baharu berasaskan penstriman tanpa memerlukan dekoder, pemasangan atau kontrak, bermula daripada RM39.99*. Layari astro.com.my untuk maklumat lanjut.

Manakala filem KUDRAT 1968 akan datang di pawagam tahun ini.

Gunakan tanda pagar #KUDRAT1968 untuk merancakkan lagi perbincangan di platform media sosial. Ikuti perkembangan terkini dan klip menarik di semua akaun digital Astro Shaw.

Movie Review | Deewangee (2002)

Pengarah: Anees Bazmee  
Penulis Skrip:  Anees Bazmee, Neeraj Pathak, Humayum Mirza
Pelakon: Akshaye Khanna, Urmila Matondkar, Ajay Devgn, Seema Biswas, Farida Jalal, Vijayendra Ghatge, Suresh Oberoi, Nirmal Pandey, Suhasini Mulay, Tiku Talsania, Tannaz Irani 
Syarikat Produksi: Neha Arts   
Pengedar: Shemaroo Entertainments
Genre: Psikologi / Thriller   
Durasi Tayangan: 169 minit
Tarikh Tayangan: 25 Oktober 2002   
Trailer:


Filem bermula dengan babak peguam muda bernama Raj Goyal (Akshaye Khanna) dijemput ke parti kejayaan album Sargam (Urmila Matondkar). Di sana Raj mula jatuh hati dengan penyanyi cantik tersebut. Sargam merupakan penyanyi di bawah pengarah muzik terkenal, Ashwin Mehta (Vijayendra Ghatge). 

Keesokan paginya, Ashwin dibunuh dengan kejam di bilik tidurnya dan polis sempat menangkap Tarang Bharadwaj (Ajay Devgn), seorang penulis lirik dan juga kawan baik Sargam. Mendengar berita tersebut Sargam memohon bantuan Raj untuk selamatkan Tarang kerana dia percaya rakannya takkan mampu buat jahat kepada orang lain. 


Bila bersemuka dengan Tarang buat kali pertama di penjara, Raj juga yakin Tarang tak bersalah. Ketika perbicaraan di mahkamah, Raj dapat tahu tentang motif pembunuhan bila pendakwa maklumkan Ashwin membeli musik Tarang dengan harga yang murah. Lagu yang dijual bukan saja popular malah memenangi banyak anugerah sementara Tarang cuma dapat hasil jualan asal. 

Raj berang dengan pendedahan tersebut namun Tarang bertegas musik bukanlah sesuatu yang besar untuk dia. Walaupun Raj yakin Tarang tidak bersalah, Raj mengupah seorang doktor psikatri, Dr. Sarla (Seema Biswas) untuk menjelaskan keadaan mental Tarang. Dari sesi kaunseling yang dijalankan, Dr. Sarla mengesahkan Tarang menghidap DID dan pembunuhan Ashwin dilakukan oleh Ranjeet, watak yang sentiasa menyelamatkan Tarang. 


Filem Deewangee (Obses) arahan dan penulisan Anees Bazmee menggunakan tema psikologi di mana watak Tarang mempunyai Dissociative Identity Disorder (DID) selepas kematian ibunya dan hidup melarat setelah ayah dia juga meninggal. Tarang tak ceritakan sangat pun macam mana dia survive sampai lah berjaya keluar kemudian berjumpa semula dengan Sargam. 


Kekuatan filem Deewangee terletak pada lakonan Akshaye Khanna sebagai peguam muda yang berkarisma dan Ajay Devgan yang membawa dua watak yang berbeza personaliti juga karakter. Mudah sangat dia switch bila cerita memerlukan. Kalau jadi Raj pun takkan sampai hati nak biarkan Tarang kena hukum dengan mahkamah bila dia buat muka kasihan. 


Tapi melebih-lebih pula bila doktor pun kesian sampai benarkan dia discharge awal dari hospital sakit jiwa padahal watak Ranjeet ganas hingga tahap bunuh orang dengan kejam. Bertambah merepek bila doktor tak bagi ubat langsung untuk surpress watak Ranjeet dalam badan Tarang. 

First half Deewangee dah seronok tengok sebab konflik dan kes jenayah yang dimasukkan terlihat menarik tapi sekejap sangat dah habis. Selebihnya melarat bila Tarang tak puas hati dengan Raj nak kahwin dengan Sargam. Mesti Raj malu nak pergi mahkamah lepas kes Tarang nak pula bila berselisih dengan peguam senior (Suresh Oberoi) yang dia lawan dalam kes tu. 


Urmila Matondkar hidupkan watak Sargam dengan cemerlang sebagai penyanyi dan wanita polos. Geram tengok dia defend Sargam lepastu sembang pasal jahat perlu lawan dengan kebaikan tapi dia juga menggeletar bila nampak pengurus dia kena belasah dengan Ranjeet. 

Tapi nak salahkan dia pun tak boleh juga sebab sepanjang Sargam hidup dengan Tarang, Ranjeet tak pernah muncul pun. Hidup diorang penuh dengan bunga dan nyanyian je. Cantik betul Urmila dalam filem ni, muka macam Barbie. 


Disebabkan filem Deewangee ni filem lama, banyak kali juga lah tergelak dengan hasil seni Pushan Kripalani. Segala shot dia nak masukkan sepanjang cerita. Shot dari atas sampai nampak pusar rambut Ajay tu kelakar padahal tengah sembang benda penting. 



Musik pun tak nak kalah, bila masuk babak penting dia guna sound effect mega untuk tarik fokus. Filem Deewangee terbitan Neha Arts menghimpunkan 11 buah lagu termasuk dua lagu reprise dan instrumental tapi lagu Hai Ishq Khata dengan Pyar Se Pyare Tum Ho je yang I suka. 

1. Team Production +0.5, 2. Visual +0.6, 3. Audio +0.4, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 6.6/10