Makan Tengahari di Dulang Rtok, Sabak Bernam

Friday, 14 August 2026

Minggu lepas bersempena birthday Umi, bawak lah dia makan tengahari di Dulang Rtok sebab dekat dengan rumah. Dah banyak kali nampak orang recommend pergi sini dekat TikTok tapi I je yang malas nak keluar bila balik Sabak sebab panas. Nasib baik lah minggu lepas cuaca berangin je lepastu Umi penat nak masak sebab busy tolong kawan dia kemas rumah. 

Kitorang pergi satu kereta je sebab minggu lepas tak ramai yang balik. Nak parkir kereta dekat sini tak ada masalah pun sebab kawasan dalam kedai luas, dekat luar kedai pun ada bengkel kereta yang tak sesak dengan orang. Boleh lah tumpang letak kereta jap. 


Kitorang sampai dalam pukul 2 petang macam tu, makan tengahari jadi lambat lah sikit sebab masing-masing qada tidur 'lepas subuh sampai tengahari. Sengaja jugak keluar lambat sikit sebab nak kena hantar si kecik pergi kelas tuisyen dekat Masjid Sabak Bernam. 

Staff dekat Dulang Rtok minta kitorang pilih meja lepastu order dekat kaunter makanan. Kitorang ambil Set Dulang A - RM69 lepastu tambah sambal tahun, ikan talapia bakar dengan 2 ketul ayam goreng. 



Dalam Set Dulang A ni ada telur itik masak lemak, sambal picit, kerabu taugeh, paku rawan, ikan gelama masin dengan ulam-ulaman. Lauk pilihan tu kitorang pilih ayam kampung masak kicap, kuah pilihan pula sambal tahun.

Even set ni untuk makan 4 orang tapi boleh je tambah pinggan dengan nasi dekat sini. Bekas nasi dekat atas meja tu kecil je, kalau large pax memang berulang tambah lah. 


Cantiknya pinggannnn!


Awal tu nampak macam tak cukup sebab setiap menu dia bagi sikit je macam telur itik masak lemak tu ada 3 ketul je. Ayam kampung masak kicap tu pun 3 bahagian kecil je sebab tu kitorang ambil ikan talapia jugak untuk backup. Tapi terlebih dari cukup sebenarnya sebab budak-budak ni tak makan sangat pun. Sayur apatah lagi. 

Sambal atas ikan talapia bakar tu sedap sebab rasa homemade dia. Ikan pun fresh, bila makan terasa manis ikan tu. Telur itik masak lemak dia tawar tapi sebab makan dengan sambal picit dan sambal tahun, hilang lah yang tawar tu. 


Lurvvvveee sambal tahun dia walaupun kerang dengan umbut kelapa tak banyak tapi okay lah buat hilang craving. Ayam kampung masak kicap pun sedap sebab ayam dia tak liat. Rasanya kena rebus dulu baru masak. 

Ikan gelama masin tu I tak expect dia masin sangat sampai kena tambah nasi untuk hilangkan masin. Makan dengan paku rawan / keladi air pun tak hilang masinnya. Menyesal pulak makan dekat hujung. 





Lepas makan kitorang naik ke tingkat atas sebab nak tengok hiasan Tanah Melayu dia. Kalau makan dekat bahagian atas kena buka kasut dan makan secara bersila. 














Masa tengok tingkat atas ni memang kagum dengan usaha team Dulang Rtok hias dengan pelbagai jenis barangan lama dan antik. Belek Facebook Dulang Rtok baru tahu ruang atas ni pun digunakan untuk studio bergambar untuk Hari Raya. Mungkin lepas ni boleh bergambar dekat sini pulak. Pakej dia pun tak mahal siap ada guide dari photographer. 








Pilihan minuman tak banyak dekat sini, ada air kosong, air tebu, air sirap dan air tin tapi air sirap dia mantap. Tak manis sangat lepastu sejuk sebab guna cawan besi. Dah lah free refill, minum sampai perut sengkak. Ada aiskrim juga dekat dalam freezer. 

Hari Sabtu dan Ahad boleh makan pagi dekat Dulang Rtok. I nampak ada nasi lemak daun pisang dengan pelbagai aneka kuih. Ada jugak biskut lutut, boleh cicah dengan kopi O panas. Seronok lepak dekat sini, makan sambil layan angin. 




Dekat Dulang Rtok ada banyak pilihan tempat untuk makan. Pilih lah tempat yang mana berkenan dengan aesthetic taste masing-masing. 










Nampak dekat Facebook Dulang Rtok, waktu malam jadi Gerbang Malam dan banyak makanan panas. Tak pasti lah sedap macam siang ke tak tapi rasanya seronok lagi pergi waktu siang sebab boleh bergambar dekat banyak tempat. Kitorang tak bergambar sangat sebab dah kena hantar adik pergi tuisyen. Harga untuk semua makanan kitorang cecah RM100 sebab tambah macam-macam hehe. Next time boleh datang lagi ke sini 💗

Astro Meraikan 30 Tahun Dengan Ucapan Terima Kasih Kepada Masyarakat Malaysia | Bermula Ogos sehingga Disember 2026, pelanggan boleh nikmati tawaran Istimewa, kandungan eksklusif dan pengalaman berharga dengan Astro

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2026 – Astro, selaku peneraju kandungan di Malaysia hari ini melancarkan sambutan ulang tahun ke 30 tahun dengan pelbagai tawaran dan pengalaman untuk pelanggan. Sebagai tanda ucapan terima kasih atas sokongan berterusan masyarakat Malaysia, sambutan ini akan membawakan akses percuma kepada semua saluran Astro, dua saluran khas, akses percuma untuk Astro X3 di TV Pintar, saluran tambahan di NJOI, ganjaran eksklusif kempen dan aktiviti lapangan.

Henry Tan, Group CEO of Astro, berkata: “Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jutaan rakyat Malaysia yang telah menjadikan kami sebahagian daripada kehidupan mereka. Sepanjang tiga dekad yang lalu, kami amat berbesar hati kerana berpeluang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap media dan hiburan negara, serta terus berkhidmat kepada komuniti di seluruh Malaysia menerusi pelbagai cerita, hiburan, pendidikan dan pengalaman yang dikongsi bersama.

Sokongan anda membantu kami untuk terus meneroka dan melahirkan bakat-bakat sambil membawakan kisah yang mencerminkan keunikan dan kepelbagaian di negara kita. Hari ini, kami berbesar hati menjadi pencipta kandungan nombor 1 di Malaysia, satu kedudukan yang hanya dapat di realisasikan dengan kepercayaan dan sokongan masyarakat Malaysia, serta komitmen semangat berpasukan, rakan Kongsi dan juga bakat-bakat.

Selari dengan landskap media yang terus berkembang, kami kini lebih komited untuk mengangkat kisah-kisah Malaysia, memupuk bakat generasi baharu serta mencipta pengalaman yang mampu menyatukan rakyat Malaysia. Menjadi satu penghormatan buat kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia, dan kami teruja serta diinspirasikan oleh peluang-peluang yang menanti pada masa hadapan.”

Tawaran Dan Pengalaman Eksklusif

Sebagai sebahagian dari sambutan ulang tahun ke 30 Astro dan Hari Kebangsaan, pelanggan akan menikmati pelbagai ganjaran istimewa, penambahan tawaran kandungan, dan pengalaman eksklusif bermula dari Ogos sehingga Disember 2026.

Bermula dari 15 Ogos sehingga 16 September, semua pelanggan Astro bakal menikmati akses kepada semua saluran Astro. Pelanggan juga boleh menikmati dua saluran tambahan istimewa iaitu Astro 30 (Saluran 100) dan Aniplus (Saluran 120).

  • Astro 30 (Saluran 100), tersedia bermula 15 Ogos sehingga 31 Oktober 2026 akan membawakan barisan istimewa hit antarabangsa, filem blockbuster, konsert dan program kegemaran ramai. Antara sorotan termasuk kesemua lapan filem Spider Man, Borneo Rising, The Last Kopek Senario Reunion 30 Tahun, BTS: Love Yourself in New York Concert Film, How to Make Millions Before Grandma Dies, Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 dan edisi terbaharu Tom Tom Bak. Ia juga membawakan lima telemovie istimewa.
  • Aniplus (Saluran 120), tersedia bermula 15 Ogos sehingga 31 Disember 2026, menawarkan kepada peminat anime akses beberapa siri terbaharu dan juga popular dari  Jepun termasuk Trapped in a Dating Sim 2: The World of Otome Games is Tough for Mobs, Hanaori-san Still Wants to Fight in the Next Life, dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, pelanggan Astro juga bakal menerima akses kepada Astro X3 yang baharu dilancarkan di semua peranti TV pintar, membolehkan mereka untuk strim terus menerusi aplikasi Astro tanpa perlu menggunakan dekoder.

Pelanggan NJOI akan menikmati lebih kandungan, dengan Astro Prima (Saluran 105), Astro Oasis (Saluran 106), Astro AEC (Saluran 306) dan Stadium Astro (Saluran 802) secara komplimentari bermula 13 Ogos 2026, menjadikan jumlah tontonan saluran komplimentari sebanyak 26 kesemuanya.

Lebih dari sekadar tontonan, Astro Audio bakal membawakan sambutan kepada masyarakat di setiap pelusuk negara melalui KITA FM 2026: Satu Nama, Satu Suara, satu inisiatif istimewa menggabungkan kesemua 13 jenama Astro Audio di bawah satu bumbung untuk siaran langsung dari luar konti. KITA FM akan membawakan jelajah bas, sesi beramah mesra, dan juga pengalaman interaktif. Inisiatif ini akan bermula pada sambutan Hari Merdeka di Dataran Putrajaya sebelum melabuhkan tirai di Kuching, Sarawak pada 16 September 2026. Sebagai sebahagian dari sambutan Hari Malaysia, KITA FM juga akan melancarkan Larian 63 Kilometer, membawakan kesemua penyampai radio Bersama dalam mengejar Malaysia Book of Record, dan juga melancarkan lagu tema berbilang bahasa, “KITA” di semua platform penstriman.

Buat penunjung acara dan peminat konsert, MY FM Big Show bakal Kembali pada 17 Oktober 2026 di Arena of Stars, Resorts World Genting, membawakan bersama penyampai MY FM dan juga barisan bintang tempatan dan antarabangsa dalam satu acara berprestij industri radio. Pelanggan Astro bakal menikmati berbagai tawaran istimewa, termasuk diskaun dan tiket percuma ke konsert ALPHA First Wave, MY FM Big Show, Gegar Vaganza dan juga Konsert KITA Countdown, akses lorong pantas sesi ramah mesra di acara Home of Kids, serta akses ke acara sukan utama seperti Sepak Takraw League dan Sultan Azlan Shah Cup.

Astro 30th Anniversary Showcase 

Sambutan ini mengambil tempat di pentas utama pada 23 Ogos 2026, di Pintu Masuk Utama Pavilion Kuala Lumpur beserta acara sambutan 30 tahun Astro, membawakan bintang-bintang ternama dan juga bakat baharu termasuk Faizal Tahir, Sherry Al Hadad, Stacy Anam, ALPHA, Vanessa Reynauld, Auddra dan Zeppo Youngsterz. Peminat boleh bertemu dengan beberapa bintang kegemaran mereka dari Talk To My Manager 2, termasuk Cik B, Azeva, dan Amarra, beserta pemenang dari Big Stage Rocketfuel dan juga Big Stage Tamil.

Penonton juga akan berpeluang untuk bertemu dengan bintang dari siri drama dan filem termasuk drama Cina, Wolong: The Mastermind, siri Tamil – Visham dan Mounam Pesiyadhe, juga prekuel kepada siri paling berjaya Project: High Council – Kudrat, dan Terbang, sebuah filem diinspirasikan dari kisah benar pelumba ralli lagenda Karamjit Singh. Pelanggan Astro terpilih bakal berpeluang untuk menyaksikan acara dari Zon VIP Rock eksklusif, membawa mereka lebih dekat dengan bintang kegemaran mereka.

Dengan Astro menyambut ulangtahun nya yang ke-30, kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Malaysia atas kepercayaan dan sokongan mereka sepanjang perjalanan kami. Kami akan terus komited untuk membawakan kepada para penonton kandungan hebat dan pengalaman di masa akan datang.

*Tawaran Eksklusif dan Pengalaman tertakluk kepada Terma & Syarat

TAK SANGKA, IKLAN INSTAGRAM BAWA REZEKI BERNILAI RM113,800

Thursday, 13 August 2026

Kuala Lumpur, 13 Ogos 2026 – Leong Pik Leng, 31, Eksekutif dari Selangor menerima rezeki tidak disangka-sangka apabila berjaya membawa pulang sebuah Nissan Kicks e-POWER 1.2L VL bernilai RM113,800 selepas dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama bagi pusingan 3 kempen Tonton Non Stop, On Top! 

Dengan kutipan 187,714 mata sepanjang Pusingan 3 dari 13 hingga 26 Julai 2026, kemenangan tersebut membawa tuah buat Leong Pik Leng yang diwakili rakannya, Ani Fadhliah Arrif, pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Nissan 3S Flagship Store ETCM, Petaling Jaya, semalam.

Turut hadir Ryan Tan, Pengurus Besar Kanan, Perancangan Jualan, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd.; Crystal Lee, Pengarah Jualan dan Kerjasama Strategik, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima Television Networks; serta Tiffany Tan, Pengurus Besar, Komunikasi Pemasaran, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd., semasa penyerahan Nissan Kicks e-POWER 1.2L VL.

Leong Pik Leng meluahkan rasa bertuah dan gembira kerana kemenangan tersebut sememangnya di luar jangkaannya selepas menyertai kempen Tonton Non Stop, On Top!. 

“Pada awalnya saya ternampak iklan kempen ini di Instagram dan rasa tertarik untuk mengambil bahagian. Saya kemudian mula menonton kandungan terpilih untuk mengumpul mata. Tidak sangka pula, percubaan ini akhirnya membuahkan hasil apabila saya berjaya memenangi hadiah utama. Saya sememangnya sangat teruja dan bersyukur apabila mendapat tahu saya merupakan salah seorang pemenang” katanya. 

Beliau turut berkongsi bahawa kemenangan tersebut amat bermakna buat dirinya dan keluarga, selain merancang untuk menggunakan kereta yang dimenangi bagi kegunaan harian.

Berlangsung dari 15 Jun hingga 9 Ogos 2026, kempen Tonton Non Stop, On Top! menawarkan hadiah dengan jumlah nilai keseluruhan melebihi RM700,000 dan menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan daripada puluhan ribu  peserta sepanjang tempoh kempen. Tiga buah kereta turut berjaya dibawa pulang oleh pemenang menerusi Pusingan 1, 2, dan 3.

Kini, tumpuan beralih kepada pengumuman pemenang Lap 4 yang bakal menyusul tidak lama lagi, sekali gus melengkapkan senarai pemenang Tonton Non Stop, On Top!.

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy

DARI NOVEL KE LAYARAN, ANOM SURAYA RAIH KEJAYAAN

Wednesday, 12 August 2026

DARI NOVEL KE LAYARAN, ANOM SURAYA RAIH KEJAYAAN | Pelancaran Novel Khas & Tayangan Eksklusif Episod Akhir Bersama Barisan Pelakon Utama Dan Penulis

Perjalanan Anom Suraya daripada karya novel ke layar skrin bakal menemui penghujungnya apabila TV3 menganjurkan Pelancaran Novel & Finale Viewing Party Drama Anom Suraya, sekali gus menghimpunkan penulis asal, barisan pelakon serta rakan media dalam acara istimewa ini.

Majlis ini juga akan memberi peluang kepada tetamu jemputan dan rakan media menyaksikan lebih awal Episod 12 dan 13, iaitu dua episod terakhir sebelum drama berkenaan melabuhkan tirainya. Turut hadir bagi memeriahkan majlis ialah penulis asal novel, Dr. Samsiah Mohd Nor, bersama barisan pelakon utama Daiyan Trisha dan Idris Khan. Acara turut menampilkan persembahan akustik istimewa oleh Daiyan Trisha, sesi bacaan petikan novel oleh Dr. Samsiah, selain sesi tandatangan buku dan ramah mesra bersama barisan pelakon.

Bagi Daiyan Trisha yang menghidupkan watak Anom, peluang menjayakan adaptasi karya yang begitu dekat dengan peminat merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna, lebih-lebih lagi apabila perjalanan cerita tersebut kini sampai ke penghujungnya.

“Saya sangat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan Anom Suraya, daripada membaca kisah ini sebagai sebuah novel sehinggalah diberi peluang untuk menghidupkan watak Anom di layar skrin. Sokongan penonton sepanjang drama ini disiarkan juga sangat bermakna buat saya dan seluruh pasukan. Saya harap penonton akan menikmati penghujung kisah ini dan membawa bersama segala emosi serta kenangan yang telah kita lalui bersama Anom,” katanya. 

Sementara itu, dua episod terakhir Anom Suraya menyaksikan konflik emosi Anom (Daiyan Trisya) semakin meruncing apabila Bakhtiar (Idris Khan) dan Badrol (Yusuf Bahrin) masing-masing menuntut tempat dalam hatinya. Anom kemudiannya pulang ke kampung untuk memulangkan cincin Bakhtiar demi menjaga hati Puan Raden dan Badrol. Namun, ketika Badrol menyangka dirinya telah memenangi hati Anom, Bakhtiar pula memilih untuk menghilangkan diri.

Situasi kembali berubah apabila kemunculan seorang lelaki misteri di pantai pada penghujung cerita mencetuskan persoalan baharu, sekali gus meninggalkan tanda tanya tentang siapakah yang akhirnya bakal mendapat tempat di hati Anom.

Bukan sekadar menandakan penutup perjalanan drama bersiri berkenaan, acara petang ini turut memberi ruang untuk karya asal Anom Suraya kembali diraikan menerusi pelancaran novel khas, menghubungkan semula kisah yang pertama kali hadir kepada pembaca dengan versi adaptasinya di layar skrin. 

Saksikan episod baharu Anom Suraya 24 jam lebih awal di Tonton, atau memuat turun aplikasi Tonton menerusi Google Play dan App Store. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.