Drama Review | Typhoon Family (2025)

Friday, 24 April 2026


Pengarah: Lee Na-jeong, Kim Dong-hwi
Penulis Skrip: Jang Hyun-sook
Pelakon: Lee Jun-ho, Kim Min-ha
Syarikat Produksi: Studio Dragon, Imaginus, Studio PIC, Tree Studio
Penyiaran: tvN, Netflix
Genre: Drama
Jumlah Episod: 16 Episod (70-80 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 11 Oktober 2025 – 30 November 2025
Trailer:


Dah lama tak layan drama Korea bertemakan perniagaan, bila cari drama menarik tahun 2025, ternampak drama Typhoon Family dalam senarai. Drama ni dicipta dan diterbitkan oleh Studio Dragon pula tu, terus jadi semangat nak tengok.

Typhoon Family mengisahkan tentang Kang Tae-poong (Lee Jun-ho) yang terpaksa menggantikan tempat bapanya, Kang Jin-young (Sung Dong-il) sebagai CEO Typhoon Trading ketika krisis IMF pada tahun 1997. Sebelum ni Tae-poong tak pernah berminat pun dengan perniagaan atau urusan kerja bapanya sebab dunia dia lebih terarah pada bunga.

Tae-poong memiliki taman kecil untuk dia menanam bunga dan mencipta pelbagai jenis benih bunga baru yang cantik. Setiap kali masuk musim bunga, Tae-poong akan bawa pulang bunga untuk dihias dalam rumah. Dia juga berminat dengan fesyen dan memiliki pakaian berjenama seeprti ibunya, Jeong Jeong-mi (Kim Ji-young).

Kerana mempunyai liabiliti yang tinggi, Kang Jin-young terkena serangan jantung lalu meninggal dunia. Setelah upacara berkabung, creditor mula minta jelaskan hutang tertunggak namun kesemua aset yang dimilik oleh keluarga Tae-poong dah disita. Pekerja Typhoon Trading sarankan supaya Tae-poong isi borang untuk tutup syarikat dan hantar kepada pejabat cukai tapi dia menolak idea tersebut.

Dia yakin syarikat milik ayahnya boleh diselamatkan dan minta tunjuk ajar dari Oh Mi-seon (Kim Min-ha) berkenaan selok-belok bidang trading. Dari hampir bankrap, Typhoon Trading kembali beroperasi semula namun Pyo Merchant Trading sentiasa menganggu usaha Tae-poong hingga dia hampir putus asa.

Naskhah drama Typhoon Family arahan Lee Na-jeong dan Kim Dong-hwi menggunakan latar masa krisis kewangan terbesar yang pernah berlaku di Korea Selatan. Sepanjang drama ni boleh nampak macam mana syarikat dekat Korea Selatan dengan mudahnya diisytiharkan bankrap. Babak rumah Tae-poong kena serbu dengan pembeli masa lelong tu memang menyedihkan lah sebab sekelip mata boleh berubah status. Rakus pula tu masuk rumah orang berebut nak ambil barang. Ada rasa seram juga sebab situasi macam ni ke akan jadi bila negara kita alami krisis nanti?

Semua emas yang ada kena pajak untuk dapat duit nak teruskan hidup. Dari tinggal dalam rumah yang selesa, kena tinggal dalam bilik kayu. Nasib baik Tae-poong dengan ibu dia jenis senang nak adapt dengan kehidupan baru. Awalnya Jeong-mi tak pandai buat kerja tapi ada usaha nak belajar, sama macam anak tunggal dia. Kena marah pun tak kisah asalkan dapat belajar sampai boleh buat sendiri.

Berbeza lah dengan watak Kim Eul-nyeo (Park Sung-yeon), ibu kepada Wang Nam-mo (Kim Min-seok). Dah lah tambah beban dekat keluarga bila join MLM lepastu duit lesap. Ada hati pulak nak judge girlfriend anak dia sebab miskin padahal Oh Mi-ho (Kwon Han-sol) tak buat masalah pun.

Dekat bahagian awal drama Typhoon Family ni seronok lah layan perjalanan Tae-poong dan pekerja lain mengharungi musibah IMF tapi bila masuk plot pergi outstation dekat Thailand tu dah mula menyampah sebab drama yang melebih-lebih. Masalah yang dihadapi oleh Tae-poong pun dari warga Pyo Merchant Trading dan bukan factor lain sangat pun.

Masuk 3 episod hujung tu pengarah dah kuatkan balik elemen komedi dan semangat kerjasama dari setiap watak. Boleh jadi drama ni berbeza vibe dan tone disebabkan ada dua pengarah. Seorang suka vibe drama sendu sebabak, yang seorang lagi more to happy tone. I ambil masa yang lama untuk habiskan drama Typhoon Family sebab chemistry Lee Jun-ho dan Kim Min-ha lemah sangat sebagai main couple.

Tengok review lain ramai je yang suka drama ni sebab watak Tae-poong sejenis yang main redah tapi watak dia buat I anxious mungkin sebab MBTI berbeza. I lebih suka alternatif yang teratur dan sistematik so bila tengok cara Tae-poong buat kerja memang rasa tak senang duduk.

Lagi satu I emosi bila tak ada watak yang buat salah dengan Tae-poong ni minta maaf. Baik arwah ayah dia, Cha Seon-taek (Kim Jae-hwa) atau watak-watak lain. Maybe it’s an Asian thing tapi I tak suka cara penulis brush it off like it’s nothing sedangkan Tae-poong tunggu semua watak ni minta maaf. Terutamanya watak Seon-taek, dia sanggup mengamuk dari minta maaf. Merepek sangat.

Nasib baik lah Tae-poong ni dikelilingi oleh support system yang kuat macam ibu dia, Nam-mo dan Oh Mi-seon. Kalau tiga watak ni tak wujud, mungkin Tae-poong dah ada dekat atas bumbung bangunan tunggu masa nak terjun.

Dalam Typhoon Family ada mention pasal Malaysia sebab ada trading untuk sarung tangan getah dan negara kita pengeksport utama. Ingatkan team Typhoon Trading nak pergi ke Malaysia macam diorang pergi ke Thailand rupanya dia buat satu babak dalam kilang je. Lepastu watak Bae Song-jung (Lee Sang-jin) cakap ‘Saya kembali!’ dalam babak lainnya. Emo lah sikit sebab diorang dah spend dalam 2 episod dekat Thailand siap ada Davikah lagi so I tolak rating dekat sini.

Rasanya Studio Dragon dah boleh kembalikan format asal setiap episod dekat Netflix. Bila drag sampai 80 minit, Episod 15 dan 16 dah mula flashback banyak sangat dan drag mana-mana babak untuk penuhi kuota masa tu.

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +0.7, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.4, 9. Social Message +0.6, 10. Personal Thought +0.3 = 6/10

Selepas mencuri perhatian menerusi naskhah seram Pewaris Susuk, Che Puan Sarimah Ibrahim kembali dengan transformasi berani dalam filem terbaharu Konspirasi, apabila beliau menggalas watak ahli politik yang kompleks dan sarat konflik dalaman, Datuk Suraya, seorang figura berpengaruh yang terperangkap antara ideologi, cita-cita dan tanggungjawab terhadap negara. Karakter ini tidak digambarkan secara jelas baik atau buruk, sebaliknya dibina dengan lapisan emosi dan dilema yang menjadikan setiap kemunculannya lebih hidup dan memberi kesan.

Konspirasi mengisahkan sebuah pasukan elit kerajaan yang berjaya mendapatkan akses kepada sebuah server rahsia, lalu membuka tirai kepada jaringan ahli politik korup. Dalam masa yang sama, peralihan Che Puan Sarimah Ibrahim daripada genre seram ke aksi politik memperlihatkan keberanian beliau meneroka cabaran lakonan yang lebih matang, menerusi watak Datuk Suraya yang menuntut kekuatan dialog serta penyampaian emosi secara halus, dan berjaya dibawakan dengan meyakinkan.

Menurut Sarimah, pengalaman membawa watak ini memberikan cabaran yang berbeza dalam kerjayanya. “Datuk Suraya bukan sekadar seorang ahli politik, dia seorang manusia yang sentiasa bergelut dengan apa yang betul dan apa yang perlu dilakukan. Itu yang menjadikan watak ini sangat menarik untuk saya,” katanya, sekali gus menggambarkan kedalaman karakter tersebut.

Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, Konspirasi merupakan terbitan Elepfilm Entertainment & Asia Tropical Film Sdn. Bhd dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran. Filem ini tampil dengan gabungan aksi yang mendebarkan, emosi yang menyentuh serta elemen pengajaran yang lebih mendalam, menjadikannya sebuah naskhah yang bukan sekadar hiburan semata-mata. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Konspirasi di pawagam bermula 21 Mei 2026.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Konspirasi, ikuti kami di Facebook, Instagram, X, Threads dan YouTube Primeworks Studios.

JOM SAKSIKAN ‘TARUNG’ SEBENAR DI BYON7 | Rematch Paling Panas Akhirnya Tiba Sabtu Ini!

Penantian hampir berakhir. Sabtu ini, 25 April 2026, World Trade Centre Kuala Lumpur bakal menjadi medan kepada satu pertembungan yang sekian lama dinanti. Dalam BYON COMBAT SHOWBIZ 7, tumpuan terarah kepada aksi ulangan antara Putra Abdullah dan Ronal Siahaan, yang sebelum ini berakhir tanpa pemenang mutlak selepas lima pusingan sengit.

Kali ini, segalanya kembali dipertaruhkan. Dengan kejuaraan Byon Kickstriking Asia Title menjadi rebutan, perlawanan ini melangkaui soal menang atau kalah. Ia tentang maruah, penebusan dan penentuan siapa yang benar-benar layak berdiri di puncak.

Namun, malam tersebut tidak hanya bergantung pada satu pertarungan. Kad perlawanan turut dihiasi aksi berintensiti tinggi, daripada pertembungan semula Fahri Alamsyah dan Kabilan Jelevan yang semakin memuncak, hinggalah perebutan gelaran antara Nidal Mahmoud dan Adam Maulana. Aksi Ammarul Shafiq menentang Haris Sofyan serta perlawanan wanita antara Winona Karamoy dan Emmabel Cassandra pula dijangka membawa tempo pantas dan agresif, memastikan setiap detik terasa padat dan mendebarkan.

Sebagai platform sukan tempur terkemuka dari Indonesia, BYON terus mengukuhkan kehadirannya di peringkat serantau dengan membawa acara ini ke Malaysia buat pertama kali menerusi kerjasama strategik bersama Kharisma Music International. Mengangkat konsep “combat showbiz,” acara ini menggabungkan pertarungan kompetitif dengan elemen hiburan moden, disokong oleh produksi bertaraf antarabangsa yang memperkaya pengalaman penonton secara keseluruhan.

Dengan sokongan rangkaian platform di bawah Media Prima serta penstriman eksklusif di Vidio, keterujaan menjelang BYON7 kini berada di kemuncaknya. Sama ada mahu merasai sendiri suasana di lokasi atau menonton dari mana sahaja, akses kini tersedia dengan lebih mudah.

Kalau ada satu acara yang tidak patut dilepaskan hujung minggu ini, inilah dia! Dengan hanya RM17 di Malaysia, peminat kini boleh menyaksikan kehangatan BYON7 di mana sahaja, bila-bila masa.

“POLONG” CETUS GELORA, PENONTON MULA TAK SENANG DUDUK 3 JUTA TONTONAN DALAM SEHARI

Wednesday, 22 April 2026

Belum pun menjengah pawagam, Polong sudah mula “menghantui” ruang digital. Dalam tempoh kurang 24 jam selepas teaser dilancarkan, filem seram tempatan ini berjaya meraih lebih 3 juta tontonan di media sosial. Satu angka yang bukan sahaja mengagumkan, malah mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen.

Menariknya, perhatian bukan sekadar pada jumlah tontonan, tetapi reaksi yang mengiringinya. Media sosial kini dipenuhi pelbagai respons penonton yang rata-rata mengakui rasa kurang selesa selepas menonton teaser tersebut. Ada yang menyifatkan visualnya terlalu real sehingga mengganggu emosi, manakala ada juga yang mengaku tidak berani menghabiskan tontonan.

Fenomena ini secara tidak langsung menambahkan aura misteri terhadap Polong. Tanpa banyak didedahkan, teaser tersebut berjaya meninggalkan kesan psikologi yang kuat, cukup untuk membuatkan penonton tertanya-tanya tentang kisah sebenar di sebalik naskhah ini.

Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang pernah terjerumus dalam amalan ilmu hitam sebelum berusaha mencari keampunan di penghujung hayatnya. Namun, seperti kebanyakan kisah yang terikat dengan dosa silam, bayangan masa lalu tidak mudah dilepaskan malah terus menghantui generasi seterusnya.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar dan diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB), Polong dibarisi pelakon seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong dan Nadiya Nisaa. Dengan sokongan pengedaran oleh 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran bersama Primeworks Studios, filem ini dijangka menjadi antara filem seram tempatan paling dinanti tahun ini.

Filem ini mengetengahkan tema legasi, penyesalan dan akibat daripada amalan terlarang yang merentasi masa. Gabungan elemen ini menjadikan ia bukan sekadar filem seram biasa, tetapi sebuah penceritaan yang sarat dengan emosi dan konflik dalaman.

Persoalannya kini…jika teaser pun sudah cukup mengganggu, sejauh mana pengalaman sebenar di pawagam nanti?

Jawapannya bakal terungkai apabila Polong menghantui pawagam seluruh negara bermula 28 Mei ini.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti kami di media sosial melalui Facebook, X, Instagram, Threads serta saluran YouTube Primeworks Studios.

#Polong #DiaKembali

Menjelang tayangan Pewaris Susuk pada 30 April 2026 ini, perhatian penonton mula terarah kepada tiga figura utama yang membawa nadi penceritaan filem tersebut iaitu Che Puan Sarimah Ibrahim, Alya Iman dan Datuk Rosyam Nor. Masing-masing hadir dengan pendekatan berbeza, namun berkongsi satu benang merah: karakter penuh misteri yang membentuk dunia gelap Pewaris Susuk.

Che Puan Sarimah Ibrahim Buat Comeback Layar Perak Dengan Watak Penuh Misteri

Che Puan Sarimah Ibrahim menandakan kepulangan ke layar perak dengan gaya yang lebih matang dan terkawal. Membawakan watak wanita misteri yang sarat rahsia, kehadirannya bukan sekadar comeback biasa, tetapi tampil dengan aura yang lebih tenang dan berlapis. Ekspresi yang subtle dan pendekatan lakonan yang tidak berlebihan menjadikan karakternya terasa lebih dalam, sekaligus menguatkan elemen teka-teki dalam naratif filem ini.

Penampilan Sulung Di Layar Perak  Alya Iman Perlihat Versatiliti

Dalam masa yang sama, Alya Iman muncul sebagai wajah baharu yang berani mengambil risiko. Penampilan sulungnya di layar perak bukan sekadar percubaan, tetapi satu langkah berani dengan memilih watak yang penuh emosi dan konflik. Gandingannya bersama Datuk Rosyam Nor turut mencuri perhatian, memperlihatkan dinamika yang kuat dan mencetuskan rasa ingin tahu penonton. Kehadiran Alya memberi nafas segar, membuktikan dia bukan sekadar pelengkap, tetapi antara kekuatan utama filem ini.

Bukan Rosyam Yang Biasa, Sisi Baharu Dalam “Pewaris Susuk

Sementara itu, Datuk Rosyam Nor pula tampil dengan sisi yang jarang dilihat. Dikenali dengan watak-watak tegas dan berkarisma, kali ini beliau membawa pendekatan yang lebih tenang, misteri dan bersahaja. Tanpa perlu emosi yang meluap-luap, lakonannya tetap berkesan membuktikan kekuatan sebenar terletak pada pengawalan emosi dan kehalusan persembahan. Kelainan ini memberi dimensi baharu kepada karakternya, sekali gus memperkayakan keseluruhan penceritaan.

Gabungan tiga pelakon ini menjadikan Pewaris Susuk bukan sekadar filem seram thriller, tetapi sebuah naskhah yang digerakkan oleh kekuatan karakter dan emosi. Dalam dunia yang dipenuhi rahsia, dosa warisan dan pengorbanan, persoalannya…siapakah sebenarnya yang mengawal permainan ini?

Jawapannya bakal terungkai di pawagam bermula 30 April 2026.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti kami di media sosial melalui Facebook, X, Instagram serta saluran YouTube Primeworks Studios.

#PewarisSusuk #SehidupSemati

BYON COMBAT SHOWBIZ 7 AKHIRNYA TIBA DI MALAYSIA | Kuala Lumpur Jadi Destinasi Debut Antarabangsa

Kuala Lumpur, siap sedia! BYON COMBAT SHOWBIZ 7 akhirnya tiba di Malaysia, menandakan kemunculan sulungnya di pentas antarabangsa menerusi kerjasama strategik bersama penganjur tempatan, Kharisma Music International.

Susulan kejayaan mencetuskan fenomena di Indonesia, kehadiran BYON ke ibu negara bukan sekadar membawa sebuah acara, tetapi memperkenalkan dimensi baharu yang menggabungkan intensiti sukan tempur dengan skala hiburan moden dalam satu pengalaman yang menyeluruh.

Acara yang dijadualkan berlangsung pada 25 April 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur ini menyasarkan kehadiran lebih 3,000 penonton, mencerminkan keyakinan terhadap perkembangan pesat komuniti peminat sukan tempur tempatan. Sebagai platform sukan tempur 360 darjah, BYON mengangkat keseluruhan pengalaman, daripada disiplin seperti tinju dan “kickstriking” hingga ke cara ia dipersembahkan, dengan produksi visual bertaraf antarabangsa.

Kejayaan edisi terdahulu yang mencatat lebih 536,000 pembelian Pay-Per-View (PPV) serta ratusan juta tontonan digital terus mengukuhkan kedudukan BYON sebagai antara platform paling berpengaruh di rantau ini. Berbekalkan momentum tersebut, BYON kini dibawa ke Malaysia, membuka peluang kepada peminat tempatan untuk merasai evolusi baharu dalam dunia sukan tempur.

Paling dinanti, edisi kali ini menyaksikan barisan petarung elit dari Malaysia dan Indonesia berkongsi satu pentas, menjanjikan aksi berintensiti tinggi serta pertembungan berprofil besar yang ditunggu peminat di kedua-dua negara.

Selari dengan identiti “showbiz,” BYON COMBAT SHOWBIZ 7 melangkaui aksi di gelanggang dengan rangkaian aktiviti yang menghidupkan keterlibatan peminat. Antara pengisian termasuk sidang media rasmi, sesi “face-off,” “weigh-in” serta pelbagai aktiviti promosi menjelang hari pertarungan.

Penganjuran ini turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik antara Media Prima dan Vidio dalam memperluas capaian kepada penonton serantau. Dengan penstriman eksklusif di Vidio, peminat kini boleh menyaksikan sendiri kehangatan BYON7 pada harga RM17 di Malaysia, sekali gus membawa pengalaman “combat showbiz” yang penuh adrenalin terus ke skrin anda.

Nama Amir Nafis semakin mencuri perhatian dalam industri perfileman tempatan menerusi deretan filem baharu yang bakal menemui penonton tahun ini. Setiap naskhah yang dibintangi memperlihatkan sisi serba boleh sebagai pelakon yang berani meneroka pelbagai watak. Tidak terkecuali, filem Konspirasi yang bakal ditayangkan pada 21 Mei 2026 ini turut menyaksikan beliau menghidupkan watak antagonis yang penuh intensiti dan emosi.

Ini bukanlah percubaan pertama buat Amir Nafis. Sebelum ini, beliau pernah membintangi beberapa filem termasuk Blood Brothers bersama barisan pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Syukri Yahya. Penglibatan tersebut membuka lebih banyak ruang buatnya untuk terus menonjolkan kemampuan lakonan yang versatil, sekali gus membentuk karakter yang semakin matang dan meyakinkan di layar perak.

Dalam Konspirasi, Amir Nafis sekali lagi menghidupkan watak antagonis dengan pendekatan yang lebih matang dan bersahaja, sekali gus mencerminkan perkembangan lakonannya yang semakin mantap. Digandingkan bersama nama-nama besar seperti Dato’ Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal dan Che Puan Sarimah Ibrahim, tumpuan kini terarah kepada sejauh mana beliau mampu mencuri perhatian dan meninggalkan impak yang lebih besar kepada penonton kali ini.

Skintific Centella Deep Cleansing Oil

 

Macam biasa lah terpengaruh dengan iklan dekat Shopee sebab murah know know dah buat payment dan on the way dah pun. Sebelum guna Skintific Centella Deep Cleansing Oil ni I pakai cleansing oil dari Anua sebab ramai beauty influencer yang pakai untuk hilangkan acne but dowsn't work that well on my skin. 

I mean, dia okay je as cleanser tapi tiny bumps atau blackheads tak keluar pun bila cuci muka. Tak kisah lah guna method apa pun. Harga pun boleh tahan mahal sebab tu saja mencuba nasib dengan Skintific. Tak sangka pulak melekat. Sekarang dah nak masuk botol ketiga. 

Ingredients: 
Ethylhexyl Palmitate, C12-20 Isoparaffin, Mineral Oil, PEG-20 Glyceryl Triisostearate, Isopropyl Myristate, Ethylhexyl Stearate, Aqua, Butylene Glycol, Sorbeth-30 Tetraoleate, Cetyl Ethylhexanoate, Simmondsia Chinensis Seed Oil, Camellia Japonica Seed Oil, Centella Asiatica Extract, Ceramide NP, Ceramide NS, Ceramide AS, Ceramide EOP, Ceramide AP, Madecassic Acid, Asiaticoside, Polygonum Cuspidatum Root Extract, Scutellaria Baicalensis Root Extract, Camellia Sinensis Leaf Extract, Glycyrrhiza Glabra Root Extract, Chamomilla Recutita Flower Extract, Rosmarinus Officinalis Leaf Extract, Asiatic Acid, Glycerin, Hydrogenated Lecithin, Ethylhexylglycerin, Caprylyl Glycol, Caprylic/​Capric Triglyceride, Phenoxyethanol, Aroma


Yang bestnya bila pakai cleansing oil Skintific Centella Deep Cleansing Oil ni bila dia melembapkan kulit sebab ada ekstrak Centella dan Chamomilla Recutita Flower Extract. Lepas pakai tak rasa tegang tapi soft je. Mata pun tak kabur sangat bila buang makeup guna cleansing oil ni. I pernah pakai cleansing oil Nutox tapi mata hampir jadi buta. Kena tunggu beberapa minit baru dia clear. Sebab tu dah berhenti pakai. 

Walaupun Skintific Centella Deep Cleansing Oil ada 3 jenis minyak - Mineral Oil, Simmondsia Chinensis Seed Oil, Camellia Japonica Seed Oil tapi tak lah strong sangat bila bab keluarkan blackheads tapi I okay je sebab mungkin pati setiap bahan tu tak banyak jadi keberkesanan tu pun agak rendah. 

Masa awal-awal guna dulu I tak suka dengan bau dia sebab ada aroma perfume lelaki tapi sekarang dah adapt kot dengan bau tu so no longer a problem. Ambil masa juga nak sesuaikan diri but now dah okay like I don't have much option pun hshshs

POSTER SERAM TULAR MINGGU LALU TERJAWAB, TEASER RASMI POLONG KINI DIDEDAHKAN!

Monday, 20 April 2026

MISTERI TERUNGKAI… NAMUN KETAKUTAN BARU SAHAJA BERMULA. APA YANG TERSEMBUNYI, KINI MULA MENAMPAKKAN DIRI…

Misteri di sebalik poster seram yang tular akhirnya terjawab. Visual yang mencetuskan rasa tidak selesa itu rupa-rupanya adalah sebahagian daripada kempen filem POLONG, sebuah naskhah seram tempatan yang diinspirasikan daripada kes jenayah kontroversi di Malaysia.

Teaser rasmi yang baru dilancarkan kini membuka sedikit demi sedikit kisah sebenar di sebalik misteri tersebut. Apa yang disembunyikan selama ini mula menghantui satu persatu, mengheret mereka yang terlibat ke dalam permainan yang sukar untuk dilepaskan.

Namun… ini baru permulaan.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat Mimi Lana, Fad Anuar, June Lojong, Nadiya Nisaa, Namron dan ramai lagi.

POLONG bakal merungkai segalanya tidak lama lagi. Bersedia untuk berdepan dengan sesuatu yang mungkin tidak sepatutnya dibangkitkan. 

#POLONG #DiaKembali 

JOM MAI BERAMAI-RAMAI! | Karnival Jom Heboh x Mega JPJ MADANI 2026 Gegar Batu Kawan dengan Hiburan, Aktiviti & Perkhidmatan Rakyat

Kuala Lumpur, 20 April 2026 – Karnival Jom Heboh (KJH), acara padang paling ikonik di Malaysia, kembali menghangatkan suasana dengan membuka tirai jelajah 2026 menerusi kolaborasi istimewa bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Sambutan Ulang Tahun JPJ ke-80. Bertempat di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, karnival ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 April 2026 (Jumaat hingga Ahad), menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, hiburan tanpa henti serta inisiatif mendekati rakyat dalam suasana santai dan meriah.

Menggabungkan elemen hiburan dan perkhidmatan komuniti, penganjuran kali ini menjadi lebih istimewa apabila buat julung kalinya KJH menjalinkan kolaborasi bersama Karnival Mega JPJ Madani. Inisiatif ini bukan sahaja menawarkan pengalaman karnival yang dinanti-nantikan, malah membuka ruang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan agensi kerajaan dalam suasana santai dan mesra.

Lebih istimewa Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir bagi majlis pelancaran sambutan ulang tahun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 pada Sabtu, 25 April, bersama Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Shamsul Azri Abdul Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato' Seri Haji Zulkifli Long, serta Ketua Pengarah JPJ, YBhg Dato' Aedy Fadly Ramli. Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi negara ini pastinya akan menyemarakkan lagi acara serta menjadikan penganjuran ini lebih bermakna dan berprestij.

Pelbagai aktiviti menarik di bawah anjuran JPJ turut disediakan bagi memeriahkan sambutan ini. Antaranya termasuk JPJ Fun Run yang mengajak orang ramai untuk sama-sama menyertai gaya hidup sihat, selain inisiatif kebajikan seperti pertukaran helmet percuma serta servis minyak hitam motosikal secara percuma kepada pengunjung. Turut menjadi tumpuan ialah jualan nombor pendaftaran kenderaan yang menarik dan popular, yang pastinya mendapat perhatian para peminat nombor eksklusif.

Selain itu, acara Battle of the Band akan menyaksikan enam band terpilih dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan berentap pada malam Jumaat, 24 April, dengan persembahan bertenaga yang menjanjikan hiburan kepada para pengunjung, di samping perhimpunan kelab permotoran yang menghimpunkan komuniti peminat automotif dari pelbagai latar belakang serta pelbagai aktiviti menarik seperti zon permainan kanak-kanak Soopa Doopa, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, Zumba Challenge, Pound Stick Fitness dan agihan 12,000 pek nasi kari secara percuma yang pastinya menambah kemeriahan sepanjang penganjuran acara ini.

Pelbagai aktiviti kekeluargaan turut disediakan, sesuai untuk semua peringkat umur. Tidak ketinggalan, lebih 150 reruai daripada jenama tempatan dan antarabangsa akan memeriahkan karnival dengan pelbagai promosi eksklusif, pensampelan produk serta tawaran hadiah menarik buat para pengunjung. Antara pengisian utama adalah seperti berikut:

Reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS)
Antara aktiviti menarik termasuk Pertandingan Karaoke Juara AJL yang berlangsung pada Sabtu, terbuka kepada peserta berumur 18 tahun ke atas sama ada secara solo, duo atau berkumpulan, dengan peluang memenangi wang tunai sehingga RM500. Turut memeriahkan acara ialah Karaoke Challenge yang terbuka kepada semua, serta Coloring Contest khas untuk kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dengan pelbagai hadiah menarik menanti.

Pada Ahad pula, pengunjung boleh menyertai Explorace Ejen Ali yang terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 6 tahun ke atas, dengan tawaran hadiah wang tunai sehingga RM500. Tidak ketinggalan, sambutan ulang tahun ke-10 Ejen Ali turut diadakan bagi meraikan pengunjung yang lahir pada bulan April, menambah lagi kemeriahan sepanjang acara berlangsung.

Selain itu, pengunjung bakal diserikan dengan sesi Meet & Greet yang lebih meriah dan penuh keterujaan bersama barisan selebriti dan pelakon popular seperti Zazzleen, Zairi Aziz, Alya Iman, Muaz Zabir, Gabriella (Gbril), Siti Hariesa dan Nabil Aqil. 

Rumah Hantu Jom Heboh X Pewaris Susuk
Rumah Hantu Jom Heboh x Pewaris Susuk menjanjikan pengalaman seram yang penuh debaran buat para pengunjung, disertai peluang eksklusif untuk bertemu barisan pelakon utama seperti Rosyam Nor dan Alya Iman menerusi sesi meet and greet istimewa. Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri aura misteri yang diinspirasikan daripada filem Pewaris Susuk, yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 30 April ini.

Studio Jom Heboh 
Selain dari pemberian hadiah percuma, antara aktiviti yang akan diadakan termasuk Segmen baharu iaitu Jom Cantik yang meraikan kecantikan, keyakinan dan ekspresi diri wanita secara menyeronokkan dan inklusif. Slot 1 jam setiap hari, termasuk perkongsian tentang kecantikan dan keyakinan serta sesi makeover. Elemen Environment, Safety and Governance (ESG) juga akan diterapkan melalui inisiatif kitar semula dengan menggalakkan pengunjung membawa botol air plastik terpakai. Sebagai penghargaan, mereka akan menerima lencana eksklusif KJH. Inisiatif ini bertujuan memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

New Straits TImes Press (NSTP)
Tahun ini, booth New Straits Times Press (NSTP) tampil lebih meriah dengan Dunia Kreatif NSTP, sebuah reruai interaktif untuk pengalaman keluarga yang menggabungkan kreativiti, literasi media dan aktiviti secara langsung. Reruai ini menjadi ruang untuk pengunjung, terutamanya kanak-kanak dan ibu bapa, merasai sendiri dunia kewartawanan dan seni dengan cara yang lebih dekat dan interaktif.

Antara tarikan yang disediakan termasuk Stesen Seni, Kraf & Origami menggunakan bahan surat khabar NSTP kitar semula, Photobooth Muka Depan NSTP yang memberi peluang kepada pengunjung menjadi “headline” hari tersebut dengan cetakan foto segera, serta Pertandingan ‘Wartawan Cilik’ yang menjadikan ruang karnival sebagai bilik berita kecil, memberi peluang kepada bakat muda menghasilkan kandungan

Konsert Jom Heboh


Kemuncak acara, Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut-turut pada Sabtu, 25 April 2026 dan Ahad, 26 April 2026 akan menampilkan barisan artis popular tanah air, dengan malam Sabtu dimeriahkan oleh Dato' Awie, Dato' Sri Siti Nurhaliza, Shiha Zikir, Kristal X dan Wani Kayrie, manakala pada malam Ahad pula akan menampilkan Nadeera, Ara Johari, Hael Husaini, Mariam OIAM, K.O.I dan Floor 88 yang bakal menghiburkan para pengunjung dengan persembahan bertenaga masing-masing.

Love Food Fest
Selain itu, ini turut menampilkan pelbagai zon gaya hidup termasuk pesta makanan yang menghimpunkan vendor makanan viral dan tempatan, ruang interaktif keluarga serta aktiviti komuniti yang memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan pengunjung.

Penganjuran KJH terus mengekalkan reputasinya sebagai platform komuniti yang menyatukan masyarakat pelbagai lapisan, dengan kehadiran purata lebih 300,000 pengunjung bagi setiap lokasi. Dengan gabungan hiburan, gaya hidup dan perkhidmatan rakyat, edisi kali ini dijangka memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh dan bermakna kepada para pengunjung.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Jom Heboh x Mega JPJ Madani 2026 di Stadium Negeri Batu Kawan dari 24 hingga 26 April 2026 dan merasai sendiri kemeriahan yang hanya boleh didapati di Jom Heboh.

Gunakan tanda pagar rasmi #TV3SentiasaBersamamu, #KarnivalJomHeboh dan #KJH2026 untuk berkongsi detik menarik anda sepanjang karnival berlangsung. Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti akaun rasmi media sosial @jomhebohofficial.