THE VOICE OF HIND RAJAB, SUARA TERAKHIR YANG TIDAK AKAN PERNAH PADAM

Wednesday, 7 January 2026

Kuala Lumpur, 6 Januari 2026 – Dalam dunia yang terus berlari tanpa henti, ada satu suara kecil yang pernah berhenti - menunggu bantuan yang dijanjikan, memanggil dalam ketakutan, berharap akan ada yang datang.  Namun, bantuan itu tak kunjung tiba.  

Suara yang kekal bergema, menuntut perhatian dan empati.  The Voice of Hind Rajab bukan sekadar sebuah filem. Ia adalah gema terakhir seorang anak kecil yang meminta tolong, sebuah rakaman sebenar yang kekal hidup dalam ingatan dunia. Filem ini membawa penonton menyusuri detik-detik akhir Hind Rajab, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta di tengah konflik, hanya ditemani suara di hujung talian dan harapan yang semakin pudar,  sebuah kisah yang tidak dicipta tetapi direkodkan oleh sejarah. 

Diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films dengan Primeworks Studios sebagai pengedar serta rakan pemasaran rasmi, filem ini diarahkan oleh pengarah tersohor Tunisia, Kaouther Ben Hania, dan dibintangi barisan pelakon antarabangsa Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury.

Filem ini berasaskan peristiwa sebenar pada 29 Januari 2024, apabila sukarelawan Palestine Red Crescent menerima satu panggilan kecemasan—bukan daripada orang dewasa, tetapi daripada seorang kanak-kanak yang tersepit antara hidup dan mati. Di hujung talian itu, Hind menceritakan kedudukannya, siapa yang bersamanya, keadaan kereta yang ditembusi tembakan, dan kereta kebal yang semakin menghampiri. Suaranya kecil, tetapi penuh ketakutan. Penuh harapan. Penuh penantian.

Berteraskan rakaman panggilan kecemasan sebenar yang asli, tanpa suntingan dan tanpa lakonan, The Voice of Hind Rajab tampil sebagai sebuah memorial audio visual yang menghiris perasaan.  Setiap detik disampaikan dengan kejujuran yang menyakitkan—kerana ia benar-benar berlaku.  

Mengulas detik penting yang membentuk keseluruhan pembikinan filem ini, Kaouther Ben Hania menyatakan bahawa pengalaman mendengar suara Hind buat kali pertama kekal terngiang dalam ingatannya.

“Saat pertama kali saya mendengar suara Hind Rajab, perasaan itu amat menghantui, rasa tidak berdaya. Kesedihan, kemarahan dan keputusasaan, bercampur menjadi satu. Semua rakaman suaranya diserahkan kepada saya oleh Bulan Sabit Merah Palestin, dan mendengarkan suara seorang kanak-kanak menerangkan keadaan di sekelilingnya sambil menunggu bantuan yang tidak pasti… itu adalah pengalaman yang sangat berat.  Dalam rakaman tersebut, Hind menceritakan di mana dia berada, siapa yang bersamanya, keadaan kereta serta kereta kebal yang semakin menghampiri. Suara itu begitu kuat kerana ia benar dan tulen. Dalam banyak hal, suara Hind Rajab seolah-olah menjadi suara Gaza itu sendiri.”

The Voice of Hind Rajab tidak menayangkan keganasan secara visual, sebaliknya memilih pendekatan psikologi dan kemanusiaan. Filem ini mengangkat kepada tekanan emosi para petugas kecemasan, ketidakberdayaan di hujung talian serta realiti pahit apabila jarak, masa dan keadaan menjadikan pertolongan mustahil. Filem ini membuka ruang kepada penonton yang mungkin tidak pernah mengikuti perkembangan di Gaza untuk memahami realiti yang berlaku, merasai apa yang tidak dapat dilihat oleh kamera—ketakutan, harapan dan penantian seorang anak kecil, bukan melalui laporan berita atau statistik tetapi melalui satu suara kecil yang meminta tolong.

Seiring dengan mesej tersebut, pelakon utama Motaz Malhees berkongsi harapannya terhadap kesan yang ingin ditinggalkan filem ini kepada penonton. “Saya berharap penonton pulang dengan renungan dan satu soalan dalam hati tentang apa yang boleh kita lakukan supaya perkara seperti ini tidak berulang. Setiap kanak-kanak berhak untuk diselamatkan. Kadangkala, tindakan yang kecil mampu membawa perubahan yang besar.”

Diiktiraf di peringkat antarabangsa, The Voice of Hind Rajab mencatat pencapaian besar apabila memenangi Silver Lion Grand Jury Prize di Venice International Film Festival 2025, selain tersenarai dalam Top 15 bagi kategori Best International Feature Film di Academy Awards ke-98 (2026). Pengiktirafan ini mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah karya pawagam yang penting, relevan dan perlu diberi perhatian dunia. Filem ini turut mendapat sokongan penerbit eksekutif tersohor termasuk Brad Pitt dan Joaquin Phoenix, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai karya kemanusiaan yang melangkaui sempadan politik dan geografi,  lantaran tentang kemanusiaan sejagat.

Usaha mempromosi The Voice of Hind Rajab turut digerakkan menerusi kempen Hind Rajab: Suara Terakhir, hasil kerjasama strategik bersama MERCY Malaysia, dengan sokongan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia sebagai satu inisiatif kemanusiaan yang menyeru empati dan kesedaran.

Kempen ini diperkasakan menerusi advokasi kesedaran yang dipandu oleh tiga suara utama kempen iaitu Zainal Rashid Ahmad (ZRA), Ahmad Fedtri Yahya dan Uyaina Arshad, yang dipilih berdasarkan kredibiliti, kekuatan jangkauan pengaruh serta kepercayaan masyarakat Malaysia terhadap suara mereka.

Turut menyokong sebagai kolaborator kempen ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Nadzmi Adhwa, Ardell Aryana, Farah Lee, Nine Phyne Ballerz, Elliza Razak serta pasukan Media TV3 termasuk Irin Putri, Mior Malek, Saree Abdullah, Fahiz Ariff dan Amirulhakim Lokman, sekali gus menjadikan kempen ini bukan sekadar gerakan media sosial, tetapi ia adalah suara nasional yang berteraskan kemanusiaan.

Sebagai simbol empati dan solidariti, Media Prima akan menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Filem ini disampaikan dalam bahasa Arab dan Inggeris, lengkap dengan sari kata Bahasa Malaysia, The Voice of Hind Rajab akan ditayangkan di pawagam terpilih bermula 8 Januari 2026. Ia bukan sekadar filem, tetapi adalah satu bukti dan satu suara yang kekal abadi. Hayati inspirasi kisah benar yang menyentuh jiwa dan menyentak emosi ini di pawagam.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif The Voice of Hind Rajab, ikuti kami di Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.

BLACK OPS FILEM AKSI KOLABORASI RENTAS NEGARA PRODUKSI MALAYSIA DAN HONG KONG | Gabungan Bintang Dua Negara, Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Elizabeth Tan, Hisyam Hamid, Dato’ Aaron Aziz, Andy Teh Di Bawah Arahan Syafiq Yusof & Arahan Bersama Chui Tze Yui

6 Januari 2026, Kuala Lumpur – Industri perfileman tempatan melakar sejarah baharu menerusi kerjasama rentas negara produksi Malaysia seperti Skop Productions, Enotech, Komet Studios, Marvelous Culture & Film, Astro Shaw, dan GSC, bersama syarikat penerbitan tersohor Hong Kong, One Cool Films milik bintang terkenal Louis Koo, menerusi filem aksi terbaru yang akan menggegarkan pawagam penghujung tahun 2026 berjudul Black Ops. Kerjasama ini turut menandakan kali pertama One Cool Film berganding bahu dengan produksi dari Malaysia.

Lebih mengujakan, filem ini diarahkan oleh dua pengarah berkaliber tinggi iaitu Syafiq Yusof dari Malaysia serta pengarah bersama Chui Tze Yiu dari Hong Kong, menjadikan Black Ops simbol hubungan kreatif sinema Malaysia dan Hong Kong. 

Sebagai projek berskala antarabangsa, filem ini juga menghimpunkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Hong Kong, sekali gus memperkukuh hubungan kreatif antara dua negara. Antara bintang yang menjayakan filem ini adalah, Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Dato’ Aaron Aziz, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, Anding Indrawani, MK K-Clique, Raja Afiq,  Benjamin Tan, Ken Law (Super Ken), Sean Lin, Mathni Razak, Balan Kash, Ahirine Ahirudin, Azman Hassan,  dan adik Rania Amanda.

Babak aksi intensif Black Ops diterajui oleh dua pengarah lagak ngeri bertaraf antarabangsa, Ken Law (Super Ken) dan Sean Lin (Lin Li-Yang) selaku Pengarah Lagak Ngeri filem ini. Ken Law, pakar aksi dari Hong Kong dan calon Anugerah Golden Horse 2025, terkenal dengan koreografi aksi realistik dan berskala besar yang memberi impak maksimum.

Turut berganding ialah Sean Lin dari pasukan lagenda Hung Ga Ban yang diasaskan oleh Sammo Hung. Dengan latar belakang seni mempertahankan diri dan sinema aksi Hong Kong, kolaborasi mereka menjanjikan babak aksi berkualiti tinggi yang mengangkat Black Ops ke tahap piawaian antarabangsa.

Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif Black Ops, Datuk Yusof Haslam, berkata “Sebagai pembikin filem, saya berharap Black Ops dapat diterima dengan baik oleh penonton Malaysia. Kejayaan sesebuah filem terletak pada kekuatan cerita, lakonan yang jujur, promosi yang berkesan serta sokongan padu rakyat Malaysia. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi cerminan masyarakat dan satu pengalaman yang diharap dapat kekal di hati penonton. Saya juga berharap kolaborasi antara Skop Productions dan One Cool Film ini mampu membuka ruang lebih luas untuk industri perfileman Malaysia melangkah ke peringkat antarabangsa.”

Pengarah One Cool Film dan Penerbit Bersama Black Ops, Tang Wai But mengatakan, “Melalui Black Ops, kami di One Cool Film amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Skop Productions, salah satu penerbit terkemuka di Malaysia. Kolaborasi ini bukan sekadar menghasilkan sebuah filem, tetapi langkah awal kepada hubungan jangka panjang antara industri perfileman Hong Kong dan Malaysia. 

Kami komited untuk bekerjasama rapat bagi memastikan Black Ops dihasilkan pada tahap terbaik, sambil membantu memperluaskan penembusan filem Malaysia ke pasaran serantau dan antarabangsa. Terima kasih kepada FINAS, FIMI serta seluruh pasukan produksi, pengarah dan pelakon atas dedikasi dan sokongan. Kami berharap kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi pada masa akan datang.”

Ketua Astro Shaw dan Penerbit Eksekutif Bersama Black Ops, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan, “Astro Shaw amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada projek ini. Hubungan strategik kami bersama Skop Productions yang telah terjalin sekian lama kini diperkukuhkan lagi melalui kolaborasi bersama penerbit terkemuka dari Hong Kong, menandakan langkah penting ke hadapan dalam memperluas kerjasama perfileman tempatan ke peringkat antarabangsa. Dengan pengalaman dan keupayaan platform kami, Astro Shaw bersedia sepenuhnya untuk memastikan projek ini mencapai potensi maksima, serta menetapkan standard baru bagi industri perfileman tempatan.”

Black Ops mengisahkan tentang seorang anggota pasukan Black Ops, Johan  didakwa dalam pembunuhan isterinya dan kehilangan anak perempuannya, dia terpaksa berpaling menentang pasukannya sendiri untuk mendedahkan konspirasi berkuasa serta menuntut kembali kehidupannya.

Dengan skala produksi yang luar biasa, barisan kreatif antarabangsa, serta kekuatan jalan cerita dan aksi yang dijanjikan, Black Ops bakal menjadi sebuah filem yang bakal dinantikan tahun ini. 

Ikuti info-info menarik tentang Black Ops di kesemua platform media sosial Skop Productions, One Cool Studios, Astro Shaw.  

IMAN DIJADIKAN PERISAI, SIAPAKAH SEBENARNYA MANGSA?

Tuesday, 6 January 2026

IMAN DIJADIKAN PERISAI, SIAPAKAH SEBENARNYA MANGSA? DOA YANG TERLINDUNG MENGGEGARKAN SLOT AKASIA!

Kuala Lumpur, 6 Januari 2026 – Apabila doa yang dipanjatkan dalam diam bertembung dengan rahsia yang lama terkubur, siapakah yang akan dilindungi dan siapakah yang akan dikorbankan? Doa Yang Terlindung, sebuah drama baharu penuh konflik dan emosi, bakal menemui penonton mulai 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.

Menampilkan lakonan mantap Fasha Sandha, Firdaus Karim, Sharifah Rose, Nafiz Muaz, Meor Hashim dan barisan pelakon lain. Setiap episod mengajak penonton menyelami perjalanan emosi seorang wanita yang diuji tanpa belas, sehingga dipaksa bangkit daripada runtuhan hidup yang hampir memusnahkan jiwanya.

Diarahkan oleh Idora Abdul Rahman dengan skrip hasil karya Nieza Nahar, Doa Yang Terlindung hadir dalam 28 episod yang mengupas sisi gelap di sebalik wajah agama yang disanjung, memperlihatkan bagaimana kuasa dan pengaruh menutup kebenaran yang selama ini dipendam.

Ustaz Irfan (Firdaus Karim), pendakwah terkenal dan ikon agama di media sosial, dihormati sebagai tenaga pengajar utama di Baitul Khadijah dan menjadi pujaan ramai pelajar wanita. Di sebalik imej sempurna itu, ketenangannya mula tergugat apabila Anisah (Sharifah Rose), seorang pelajar baru yang berani dan berbeza daripada yang lain, tiba di Baitul Khadijah untuk menyambung pelajaran mengikut kehendak ibu bapanya, walaupun cita-citanya mahu menjadi perunding fesyen Muslimah. Kehadirannya mencetuskan perhatian, teguran dan konflik yang tak dijangka di institusi itu.

Anisah berdepan dengan cabaran bukan sahaja daripada peraturan ketat Ustaz Irfan dan pengawasan para senior, tetapi juga dari pandangan mereka yang terlalu menyanjung imej ustaz dan institusi. Dalam dunia yang lebih mementingkan rupa daripada kebenaran, dia terpaksa mencari ruangnya sendiri, sambil menghadapi fitnah dan cemuhan. Namun persahabatannya dengan Aiman (Nafiz Muaz), tenaga pengajar baharu yang menyokong dan memahami dirinya, mula memberi sedikit harapan di tengah kekeliruan itu.

Di tengah kekalutan dan perselisihan ini, setiap langkah Anisah dan Aiman mendedahkan rahsia lama dan menguji keimanan, prinsip, serta keberanian mereka. Sementara Rabiyatul (Fasha Sandha) dan Tuan Haji Mohsin (Meor Hashim) mula menyedari masalah sebenar di sebalik institusi yang dihormati, tapi adakah kebenaran akan terbongkar atau terus tersembunyi?

Menurut Sharifah Rose, “Anisah melalui perjalanan yang sangat berat, penuh dengan luka yang dipendam dan keberanian yang terpaksa dikumpul sedikit demi sedikit. Watak ini mengajar saya tentang kekuatan seorang wanita yang bangkit walaupun suaranya cuba disenyapkan. Saya harap penonton dapat menyelami emosi Anisah dan mengikuti perjalanan Doa Yang Terlindung hingga ke akhirnya.” 

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Doa Yang Terlindung bermula 7 Januari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.

Untuk info terkini dan kandungan eksklusif, ikuti TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat @dramasangat.

“CINTA GILA” - ANTARA LUKA DAN TERIKAT KENANGAN | BICARA JIWA PERIBADI MARIAM SAIM IRINGI OST PEREMPUAN TIDAK TERNIKAH

Kuala Lumpur, 6 Januari 2026 — Selepas mencuri perhatian sebagai Top 5 rancangan realiti One In A Million, penyanyi dan komposer berbakat Mariam Saim, kembali dengan karya terbaharu di bawah naungan Alternate Records & Talents, berjudul Cinta Gila. Single yang turut menjadi runut bunyi (OST) bagi drama popular slot Akasia di TV3, ‘Perempuan Tidak Ternikah’. 

Apa yang membezakan lagu ini, ia adalah karya pertama yang sepenuhnya dicipta, digubah dan lirik ditulis sendiri oleh Mariam, menjadikannya luahan hati peribadi yang diterjemahkan dalam bentuk balada moden penuh emosi. Lagu ini mengisahkan sebuah hubungan yang penuh tanda tanya antara cinta yang mengajar dan cinta yang menyakitkan membawa pendengar menelusuri perjalanan emosi seseorang yang cuba melepaskan namun masih terikat dengan kenangan. 

Dengan sentuhan strings dan susunan muzik minimalis, Cinta Gila menampilkan nuansa Indo pop balada yang galau, memberikan ruang untuk emosi, lirik dan vokal Mariam bercerita dengan jujur dan natural. “Ramai yang pernah berada dalam hubungan yang penuh tanda tanya dan Cinta Gila mungkin mewakili perasaan yang sukar diluahkan dengan kata-kata. Lagu ini bukan sekadar didengar, tetapi untuk dirasai,” luah Mariam.

Proses penulisan lagu ini mengambil masa 2–3 minggu untuk menyempurnakan lirik dan melodi agar perjalanan emosinya terasa semula jadi, manakala rakaman vokal disiapkan dalam kira-kira 2 jam. Semasa sesi rakaman korus, Mariam mengimbas kembali kisah yang menginspirasikan lagu ini sehingga terasa sebak, momen yang kemudian menjadi versi ambilan terakhir kerana keikhlasannya berjaya dirakam.

“Cabaran utama adalah memastikan lagu ini benar-benar jujur dengan emosi sendiri tanpa terlalu dramatik. Saya menulis, padam, dan tulis semula beberapa kali kerana mahu pendengar merasai perjalanan emosi itu secara natural. Cinta Gila hadir dengan gaya yang sederhana dari segi susunan, tetapi kuat dari segi rasa;  ia sarat jiwa dan dekat di hati pendengar,” tambah Mariam lagi.

Cinta Gila kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

LIRIK LAGU CINTA GILA

Penyanyi: Mariam Saim
Komposer: Mariam Saim
Lirik: Mariam Saim
Susunan: Joel Christ
Produser: Isaac Andrean

Verse
Dulu kamulah segalanya
yang ku korbankan jiwa raga

Pre Chorus
Tak mungkin bisa ku lupakan semua
kenangan yang ku tak pasti
menggguris hati
atau bertatih

Chorus
Berikan aku cinta
Sebelum aku hilang rasa
Tlah ku berikan segalanya
Namun kamu hanya
Namun kamu hanya berdusta

Aku cinta
Sungguh benar aku mencinta
Janjimu padaku kau akan setia
Cinta ini gila

Bridge
Ku bertahan denganmu
hingga habis waktu
namun aku tak merelakannya

Coba kau lihat aku
air mataku mengalir kerna mu
yang tak pernah benar mencinta

Chorus
Berikan aku cinta
Sebelum aku hilang rasa
Tlah ku berikan segalanya
Namun kamu hanya
Namun kamu hanya berdusta

Aku cinta
Sungguh benar aku mencinta
Janjimu padaku kau akan setia
Cinta ini gila

‘KONSERT COUNTDOWN KITA 2026’ SATUKAN LEBIH 140 RIBU RAKYAT MALAYSIA DALAM SAMBUTAN TAHUN BAHARU | Astro dan IOI City Mall mencipta detik bersejarah ambang 2026 dengan persembahan epik 

Putrajaya, 6 Januari 2026 – Astro dan IOI Properties berjaya menutup tirai penganjuran ‘Konsert Countdown KITA 2026’, yang diraikan berlandaskan semangat KITA, inisiatif yang menghimpunkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang melalui muzik, perkongsian kisah serta sambutan bersama bagi menyambut ketibaan tahun baharu dalam semangat perpaduan. Penganjuran kali ini merekodkan kehadiran seramai 143,000 pengunjung di lokasi, iaitu empat kali ganda lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, dan telah sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai rancangan sambutan Tahun Baharu nombor satu di Malaysia pada 31 Disember 2025.


Penganjuran tahun ini juga sekali lagi mencatat sejarah dengan persembahan istimewa oleh penyanyi popular Amir Masdi, yang tampil secara ikonik mempersembahkan The Final Countdown dari aras tinggi di IOI City Mall, mencipta detik dramatik yang menggegarkan suasana ketika sambutan tahun baharu. 


Persembahan Istimewa Amir Masdi

“Idea luar biasa daripada pihak produksi Astro dan IOI City Mall yang memberi peluang kepada saya untuk menyanyi di aras tingkat dua, dengan latar bunga api yang memukau, benar-benar sesuatu yang sukar untuk ditolak. Tanpa sebarang keraguan, saya terus bersetuju kerana saya percaya mana-mana penyanyi yang diberi peluang sebegini pasti akan memberikan yang terbaik, seratus peratus. Saya benar-benar berasa dihargai,” kata Amir Masdi ketika ditemui di rakaman program Borak SeeNI. 


Persembahan Amir Masdi sempena sambutan Tahun Baharu itu kemudiannya mencuri tumpuan ramai apabila rakaman videonya tular di media sosial dan menjadi perbualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia selama beberapa hari. Detik istimewa daripada Konsert Countdown KITA 2026 ini bukan sahaja mencipta momen ikonik, malah meninggalkan kenangan istimewa yang terpahat di ingatan semua yang menyaksikannya.

Menurut Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Kandungan GenNext, Astro, “Konsert Countdown KITA kini berkembang menjadi lebih daripada sekadar sebuah konsert penutup tahun. Ia mencerminkan komitmen Astro terhadap kekuatan hiburan dalam menyatukan rakyat Malaysia, memberi inspirasi serta mencipta kenangan bermakna bersama. Sambutan hangat serta tenaga luar biasa daripada para penonton pada tahun ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk terus menyampaikan pengalaman hiburan yang inklusif, bermakna dan memberi impak kepada semua.”

Pra-Konsert Mengimbau Kenangan Bersama Bintang-Bintang Astro


Bakat-bakat daripada Tirai Konsert KITA 2026

Acara dimulakan dengan Tirai Konsert KITA 2026 yang dikendalikan oleh Haziq Hussni dan Fiza Frizzy, menampilkan barisan bakat daripada program Astro Home of Live. Antara yang membuat persembahan ialah nama ikonik seperti Stacy dan Zahid daripada Akademi Fantasia, kegemaran semasa termasuk duo Liza Hanim dan Marsya daripada Talk To My Manager, serta penghibur legenda Mell Sakura dan Iskandar Ismail dari Gegar Vaganza 12.

Pentas turut diserikan oleh tiga finalis teratas Raise The Star Malaysia - Didie Shazry, Zuana dan Rayme - selain bintang Big Stage termasuk duo Korea Selatan Hoondoo dan sensasi nasional ALPHA, kumpulan tarian Hyperflex DC daripada Aattam, finalis Sing It Out Loud JunJun dan Zuvy Kong, serta persembahan bertenaga daripada kumpulan idola Malaysia KLP48, yang menyemarakkan suasana menjelang detik kira detik Tahun Baharu.

Konsert Countdown KITA 2026: Menyatukan Hati Melalui Muzik Secara Langsung


Barisan Artis daripada Konsert Countdown KITA 2026

IOI City Mall kembali meriah apabila Konsert Countdown KITA 2026 berlangsung, menandakan sambutan tahun baharu yang penuh warna-warni. Dikendalikan oleh Nabil Ahmad, Yoon Ng dan Revathy Mariappan, malam itu meraikan semangat perpaduan dan kepelbagaian rakyat Malaysia melalui gabungan barisan penyanyi ternama, elemen hiburan serta persembahan muzik secara langsung yang meninggalkan kenangan manis.


Para penonton dihiburkan dengan persembahan memukau termasuk Haqiem Rusli, persembahan bertenaga Darkkey Nagaraja menerusi lagu Puli Puli dan lagu klasik kegemaran ramai Akkamage, serta persembahan dinamik oleh Faizal Tahir yang bergandingan bersama Nicole Lai dan Ruhan Ravindran dalam lagu Malaysia. Ikon rock legenda Alleycats, bersama barisan artis terkenal tanah air seperti Amir Masdi, Geraldine Gan, Nadeera, Hael Husaini dan Ratu Rock Ella, terus menyemarakkan suasana sehingga ke detik terakhir, meninggalkan kenangan yang hangat dalam hati semua yang hadir.

Detik Spektakular Menyambut Tahun 2026

Tatkala jam tepat menunjukkan detik tengah malam, Nadeera menyentuh emosi penonton dengan lagu hit Golden, diikuti Amir Masdi dengan persembahan istimewanya dilengkapi dengan pertunjukan bunga api selama 10 minit yang memukau, menghiasi panorama Putrajaya. Ribuan pengunjung sama-sama menyaksikan detik magis ini, menyambut ketibaan tahun baharu dengan muzik, cahaya serta kenangan yang tidak dapat dilupakan.


“Sambutan yang diterima membuktikan semangat kebersamaan rakyat Malaysia apabila kita hadir sebagai satu KITA untuk menyambut tahun baharu. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak IOI City Mall kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada Astro untuk memeriahkan ambang tahun baharu di lokasi ikonik tersebut.  Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua barisan artis dan kru yang terlibat untuk menjayakan Konsert Countdown KITA 2026, serta atas kehadiran dan sokongan semua. Kami ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh rakyat Malaysia,” tambah Putri Yasmin.


Rakaman penuh Konsert Countdown KITA 2026 boleh disaksikan secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan. Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini. Untuk maklumat lanjut, layari astro.com.my. 

#AstroOne #KonsertCountdownKITA2026 #AstroHomeOfLive #MeleTOP

Movie Review | Wake Up Dead Man: A Knives Out Mystery (2025)

Sunday, 4 January 2026


Pengarah: Rian Johnson 
Penulis Skrip: Rian Johnson  
Pelakon: Daniel Craig, Josh O'Connor, Glenn Close, Josh Brolin, Mila Kunis, Jeremy Renner, Kerry Washington, Andrew Scott, Cailee Spaeny, Daryl McCormack, Thomas Haden Church    
Syarikat Produksi: T-Street Productions, Ram Bergman Productions    
Pengedar: Netflix
Genre: Jenayah / Misteri 
Durasi Tayangan: 144 minit
Tarikh Tayangan: 6 September 2025 (Toronto International Film Festival), 26 November 2025 (United States), 12 December 2025 (Netflix)    
Trailer:


‘To understand this case, I had to look at the myth that was being constructed. Not to solve whether it was real or not, but to feel in my soul, the essence of that which it strove to convey.’ - Detektif Benoit Blanc

Jud Duplenticy (Josh O'Connor), bekas peninju memilih untuk menjadi paderi muda lalu dihantar ke Our Lady of Perpetual Fortitude di kawasan pedalaman di New York untuk membantu Monsignor Jefferson Wicks (Josh Brolin). Wicks adalah cucu kepada Reverend Prentice Wicks yang mempunyai harta yang banyak. 


Mendiang ibunya, Grace (Annie Hamilton) dianggap sebagai anak derhaka kerana sering berkelakuan teruk dan menyimpang dari ajaran Katolik. Prentice letakkan syarat jika Grace tinggal bersama dia, kesemua harta akan diwariskan kepada Grace namun hal tersebut tidak berlaku setelah kematian Prentice. Tiada siapa yang tahu ke mana perginya harta Prentice lalu Grace mengamuk dan meninggal kerana sakit. 

Sejak kejadian tersebut, Martha yang menjaga semua hal yang berkaitan dengan gereja juga paderi Wicks. Banyak hal yang dipelajari oleh Jud melalui Martha (Glenn Close). Tak lama kemudian Jud ada perselisihan faham dengan Wicks dalam cara mengendalikan pengunjung gereja. Jud lebih selesa dengan cara yang sopan dan mengalukan semua orang ke gereja. Berbeza dengan Wicks yang kasar dan menganggap semua manusia berdosa tidak layak berada di gereja. 


Perselisihan faham tersebut berakhir dengan kematian Wicks yang meletakkan Jud sebagai suspek utama kes pembunuhan tersebut. Detektif Benoit Blanc (Daniel Craig) ditugaskan oleh Ketua Polis Geraldine Scott (Mila Kunis) untuk menyelesaikan misteri pembunuhan tersebut. 

Instalment ketiga Wake Up Dead Man: A Knives Out Mystery mendapat sentuhan sutradara dari pengarah dan penulis yang sama, Rian Johnson untuk dua naskhah sebelumnya – Knives Out (2019) dan Glass Onion: A Knives Out Mystery (2022). Kali ni Rian menggunakan tema keagamaan dan berlatarkan institusi gereja sambil memaparkan sisi gelapnya. 


Walaupun menggunakan agama Katolik tapi pendekatan yang digunakan oleh kedua-dua paderi tak lah jauh berbeza dengan mana-mana agama. Personaliti dan krisis yang dialami hampir dalam semua rumah ibadat bersama penganutnya. Khutbah yang ekstremis, judgment dari pengunjung tetap gereja dan banyak lagi dikupas secara ringan dan menarik. 

Tampil berbeza dengan dua naskhah sebelumnya, misteri yang dimasukkan mencabar minda sehingga akhirnya pembunuh ceritakan perjalanan kegiatan jenayah dan mencantumkan segala alibi dan petunjuk yang diberikan. I tahu siapa pembunuh tapi modus operandi tu yang kita tunggu dijelaskan oleh Detektif Benoit Blanc. 


Sinematografi dari Steve Yedlin mencipta penceritaan yang menarik melalui pergerakan kamera dalam kebanyakan babak. Banyak close-up shot untuk perjelaskan situasi melalui reaksi kesemua watak terutamanya Paderi Jud. Pencahayaan antara elemen penting yang meninggalkan impak juga pada penceritaan supaya kisah yang biasa jadi luar biasa. Babak Martha bercerita tentang Grace kepada Jud atau babak Benoit terpaku dengan Damascus antara babak yang kuat dari Wake Up Dead Man. 

Selain watak Jud dan Detektif Benoit, watak Martha juga kuat kerana mitos di gereja berlaku bermula dari naratif Martha yang bencikan Grace. Benci yang disemai dari Prentice lalu disemakkan oleh Wicks. Selain misteri pembunuhan, mesej sosial yang dimasukkan melalui watak Martha dan Wicks menguatkan lagi pendirian dan ajaran yang disebarkan oleh Paderi Jud. 


Barisan pelakon utama mendapat ruang yang secukupnya untuk menghidupkan watak masing-masing namun watak sampingan cuma diberikan tugas untuk memilih sama ada berada di pihak Wicks atau Jud dari awal hingga ke hujung. Walaupun masing-masing ada kisah tersendiri tapi ruang agak terhad untuk kenal mereka dengan lebih mendalam. Mila Kunis agak lemah dalam instalment terbaru Knives Out. Watak dia tak mampu cipta ketegangan dari pihak berkuasa. 

Tak pasti lah kalau disengajakan oleh Rian sebab dia ada dedahkan dalam interview yang dia sengaja masukkan ramai pelakon hanya untuk mereka have fun dalam filem. Kalau I jadi pelakon tambahan untuk franchise popular tanpa perlu buat banyak dengan dialog yang minima tapi bayaran bagus, well of course I pun nak. Membantu portfolio sebagai pelakon hshshs


Tak pasti dengan pandangan orang lain tapi I enjoy layan filem Wake Up Dead Man: A Knives Out Mystery. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +0.7, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 9.5/10