Minggu 6 Borneo Rising | Dabra Raih Hat-Trick, Afiq & Syukri Tersingkir

Monday, 12 October 2026

Konsert suku akhir Borneo Rising menyaksikan lapan peserta berentap menerusi tema “Power Mashup Medley”, dengan cabaran menggabungkan dua lagu dalam satu persembahan. Minggu ini turut menampilkan Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri jemputan.

Kelainan dibawakan menerusi Battle Song berkumpulan apabila NOVA, dianggotai Dabra, Joy, Harris dan Syukri, berentap dengan BETA4 yang terdiri daripada Petrova, Faris, Harvard dan Afiq. Kedua-dua kumpulan turut mencabar diri menerusi lagu dalam loghat Kelantan dan Negeri Sembilan.

Dabra sekali lagi mencuri perhatian apabila memenangi Persembahan Paling Power CelcomDigi, yang kini menawarkan hadiah RM2,000. Kemenangan ini meletakkan Dabra di tangga pertama minggu suku akhir, sekali gus menandakan kali ketiga beliau menduduki tempat teratas sepanjang pertandingan.

Malam penuh kejutan menyaksikan Afiq tersingkir selepas berada dalam kelompok tiga terbawah bersama Harvard dan Syukri. Keputusan juri kemudian menyaksikan Syukri turut meninggalkan persaingan, manakala Harvard berjaya melangkah ke separuh akhir.

Menuju minggu ketujuh, Borneo Rising bakal bergabung dengan Big Stage Rocketfuel menerusi penampilan istimewa Ranisha, Hussain dan Adam Nazmie, yang akan berduet bersama enam peserta yang masih bertanding.

SENARAI LAGU & MARKAH PESERTA

Dabra: What It Sounds Like oleh Huntrix & Oh Huminodun oleh Elica Paujin (69.63%)
Petrova: Menamakanmu Cinta oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza & Hal Hebat oleh Ernie Zakri & Ade Govinda (67.63%)

Joy: Zalikha oleh Floor 88 & Farhana - Puteri Bumi Kenyalang oleh Jinbara (65.89%)

Faris: Gerhana Cinta Luka oleh Iklim & Juwita oleh Saleem (56.66%)

Harris: Ku Akui oleh Hafiz Suip & Bila Rindu oleh Ruffedge (53.07%)

Harvard: Terus Hidup oleh Aina Abdul & Awan Yang Terpilu oleh Ning Baizura (48.83%)
Afiq: Die With a Smile oleh Bruno Mars & Lady Gaga & Golden Hour oleh JKVE (38.79%)

Syukri: Mewangi oleh Akim & The Majistret, Relakan Jiwa oleh Hazama & Dimatamu oleh Sufian Suhaimi (48.50%)

NOVA (Dabra, Joy, Harris & Syukri) - Adek Saye Abe Sore oleh Eda Ezrin & Den Manjo

BETA4 (Petrova, Faris, Harvard & Afiq) - Gadis Jolobu oleh W.A.R.I.S & Hattan

INFO PROGRAM ‘BORNEO RISING’

▪ Borneo Rising, program pencarian bakat dengan vokal padu, kerjasama CelcomDigi Berhad, bakal bersiaran selama lapan (8) minggu bermula dari 6 September 2026 secara langsung dari ITCC Mall, Penampang Sabah, setiap Ahad jam 9PM, menerusi Astro Ria (saluran 104) dan TV Okey (saluran 146), serta boleh distrim secara On Demand melalui Astro GO, Sooka dan RTMKlik.

▪ Borneo Rising turut menampilkan RTM sebagai rakan penyiar strategik, Astro Gempak sebagai Rakan Digital dan ERA, ERA Sabah & ERA Sarawak sebagai Rakan Radio Rasmi.

▪ 12 barisan peserta yang bakal berentap di pentas Borneo Rising ialah Dabra dari Likas Sabah, Jecinta dari Miri Sarawak, Petrova dari Papar Sabah, Harris dari Kuching Sarawak, Syukri dari Kinabatangan Sabah, Aadel dari Kuching Sarawak, Afiq dari Sandakan Sabah, Michelle dari Landu Sarawak, Joy dari Sandakan Sabah, Faris dari Kuching Sarawak, Harvard dari Penampang Sabah, dan Rizzani dari Tawau Sabah.

▪ Borneo Rising menawarkan pengundian pantas dan automatik menerusi WhatsApp tanpa perlukan aplikasi. Imbas kod QR di kaca TV, pilih peserta dan jumlah undi, serta tambah nilai kredit CelcomDigi bila-bila masa. Undian awam ini menyumbang 20% daripada keputusan akhir, manakala 80% selebihnya dinilai oleh juri. Layari gempak.com/borneorising untuk maklumat lanjut.

▪ Para juri mempunyai kuasa untuk menyelamatkan seorang peserta serta menentukan siapa yang akan bertanding dalam pusingan “battle”. Dalam pusingan itu, juri akan memutuskan siapa yang layak meneruskan perjuangan dan siapa yang akan meninggalkan pertandingan.

▪ Pemenang utama Borneo Rising berpeluang menerima sebuah single dan video muzik baharu, pembangunan kandungan digital, sokongan pemasaran dan promosi, serta peluang pendedahan merentas platform televisyen, radio dan digital Astro, wang tunai dan trofi sumbangan Astro.

Siapakah yang bakal mara ke pentas akhir? Saksikan Borneo Rising setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (Saluran 104), TV Okey (Saluran 146) serta secara On Demand menerusi Astro GO, Sooka dan RTMKlik.

Movie Review | The Sheep Detectives (2026)

Sunday, 11 October 2026

 

Pengarah: Kyle Balda 
Penulis Skrip: Craig Mazin  
Pelakon: Hugh Jackman, Nicholas Braun, Nicholas Galitzine, Molly Gordon, Julia Louis-Dreyfus, Bryan Cranston, Chris O'Dowd, Regina Hall, Patrick Stewart, Bella Ramsey, Brett Goldstein, Hong Chau, Emma Thompson    
Syarikat Produksi: Amazon MGM Studios, Working Title Films, Three Strange Angels, Lord Miller Productions
Pengedar: Amazon MGM Studios (Amerika Syarikat, Kanada), Sony Pictures Releasing International (Antarabangsa)
Genre: Komedi / Misteri / Drama
Durasi Tayangan: 109 minit
Tarikh Tayangan: 08 Mei 2026  
Trailer:


Diadaptasikan dari novel Three Bags Full karya nukilan Leonie Swann, The Sheep Detectives mengisahkan tentang pembunuhan Gembala kambing biri-biri bernama George Hardy (Hugh Jackman) di kampung kecil terletak di Denbrook. 

Rutin harian George bermula dengan menguruskan kambing biri-birinya dan semua kepunyaannya mempunyai nama mengikut personaliti masing-masing. Bagi kambing-kambing dia makan, cukur bulu kambing, kemas kawasan ladang ternakan, bagi makan ubat yang dihasilkan sendiri. 


Bila tiba waktu malam, George akan bacakan cerita kepada semua kambingnya. Novel kegemaran George ialah genre misteri pembunuhan dan Lily adalah kambing yang paling bijak untuk teka siapa pembunuhnya. Tak ada masalah pun untuk George ulang buku yang sama sebab kambing ada kelebihan untuk lupakan ingatan mereka. 

Satu hari, George ditemui mati di luar trailer. Wartawan bernama Elliot Matthews (Nicholas Galitzine) yang muncul di pekan tersebut untuk Denbrook Cultural Festival mendapat scoop menarik dan yakin George telah diracun lalu menggesa Pegawai Tim Derry (Nicholas Braun) untuk menyiasat pembunuhan tersebut. 


Tanpa mereka sedar, Lily (Julia Louis-Dreyfus), Sebastian (Bryan Cranston) si kambing yang suka menyendiri dan Mopple (Chris O'Dowd) yang tidak pernah padamkan ingatannya juga menyiasat menggunakan ilmu dari novel yang diceritakan oleh George. 

Lily bersemangat ingin selesaikan kes sama macam mana dia menjadi orang pertama yang dapat jawapan kepada misteri yang disimpan dalam novel. Namun, Sebastian sentiasa ingatkan dia yang realiti jauh berbeza dengan kisah fiksyen. 


Filem komedi misteri drama, The Sheep Detectives arahan Kyle Balda menggunakan konsep whodunnit dan meletakkan tanggungjawab tersebut kepada sekumpulan binatang yang clumsy dan clueless pada kebanyakan masanya. Kambing-kambing kepunyaan George antara kambing yang bahagia sebab cuma perlu fikir tentang makan dan tidur. Tapi mereka juga ada konflik tersendiri bila tak suka dengan kambing yang lahir pada musim sejuk. 


Kehidupan George terlihat ringkas sebagai seorang pengembala yang berusia. Hugh Jackman paparkan personaliti yang tenang dan penyayang dengan cemerlang. Bila winter lamb selalu dipujuk oleh George setiap kali dihalau oleh kambing yang lain atau bila Lily letakkan kepala di tangan George bila tahu tuan dia dah mati. I almost cried at that scene. Satu, sebab dia terima berita dalam keadaan mengejut. Kedua, sebab dia baru tahu yang manusia mati dalam dunia nyata. 


Kekuatan filem The Sheep Detectives terletak pada kisah kambing biri-biri yang ingin mencari pembunuh George walaupun ada banyak halangan sebagai seekor kambing. Dalam kekalutan dan kekecohan yang menghidupkan elemen komedi tapi dalam masa muncul juga kekeliruan dan emosi yang meruntun. 

Dialog yang dimasukkan menguatkan lagi beberapa babak The Sheep Detectives untuk tampil sebagai naskhah komedi. I expect ayam akan perli Lily ‘chicken’ tapi writer biarkan ayam sebagai simbolik yang kuat untuk terangkan situasi kambing-kambing dalam babak tu. Berdekah bila tengok Lily curi dengar perbualan polis untuk tahu perkembangan kes. 


Sinematografi The Sheep Detectives dari George Steel bersandarkan pada keindahan musim panas lantas menghasilkan naskhah yang hangat dan ceria. Seronok setiap kali tengok ladang kepunyaan George dan watak-watak kambing biri-biri yang comel. Props dan wardrobe team juga menguatkan visual language filem dengan menggunakan banyak warna terang dan mengikut palette musim panas. 


Walaupun filem The Sheep Detectives menarik namun misteri dia kurang menyengat bila watak pegawai polis tak mampu buat kerja. Faham lah dia tak pernah uruskan kes jenayah tapi merepek betul tak tahu buat apa langsung. Watak peguam lemah. Watak-watak orang kampung pun tak dikembangkan sangat untuk latar masyarakat dalam Denbrook. Minimal sangat peranan watak orang kampung di situ sedangkan ada hubungan yang kuat juga dengan George. 


Watak George di mata kambing-kambing dia mungkin seorang yang penyayang tapi kalau tengok dari perspektif anak yang ditinggalkan, he’s quite selfish lah. Nasib baik Rebecca (Molly Gordon) ikut jiwa ayah dia, kalau dia dah ada kehidupan sendiri, memang terbeban juga dengan kehendak mendiang. But heyyy, it’s a comedy so all is well. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +0.7, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.8, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.7 = 7.2/10

Movie Review | Qorin 2 (2025)

Pengarah: Ginanti Rona  
Penulis Skrip: Lele Laila   
Pelakon: Fedi Nuril, Wavi Zihan, Ali Fikry, Muzakki Ramdhan, Seroja Hafiedz, Dimas Aditya, Indra Birowo, Epy Kusnandar, Sari Koeswoyo, Fitrie Rachmadhina, Gilang Devialdy, Vincentius Jeremhia, Ben Malaihollo, Quentin Stanislavski
Syarikat Produksi: IDN Pictures, Rapi Films, SL23, Sky Media  
Pengedar: Suraya Filem, Netflix
Genre:  Seram / Thriller  
Durasi Tayangan: 110 minit
Tarikh Tayangan:  11 Disember 2025 (Indonesia), 22 Januari 2026 (Malaysia)
Trailer:


Sekuel filem Qorin (2022) kali ini memaparkan kehidupan Makmur (Fedi Nuril) yang menyara diri dan anak tunggalnya, Jaya (Ali Fikry) dengan mengutip sampah di pekan kecil di Sunda, tempat mereka tinggal. Sebelum ini rumah mereka mempunyai kedai buku namun hangus terbakar hingga merenggut nyawa isterinya. 

Makmur dan Jaya lebih banyak mendiamkan diri dari bergaul dengan penduduk kampung. Di sekolah, Jaya sering dibuli oleh Dharma (Gilang Devialdy). Bu Fitri (Wavi Zihan) cuba untuk selamatkan Jaya setiap kali dia diganggu namun perbuatannya menyebabkan Jaya dibuli lebih teruk. 

Bu Fitri juga mempunyai adik lelaki yang sebaya dengan Jaya bernama Rijal (Muzakki Ramdhan) tapi dari menghalang aktiviti buli di sekolah, adiknya pula turut serta dan cuma berdiam diri. Di rumah pula, mereka berdua menjaga ibu yang sakit tua. 

Kerana pekerjaan dan hanya kelas bawahan, Makmur menggunakan jalan gelap dengan berdamping bersama Qorin untuk menyelamatkan anaknya. Seorang demi seorang mula dibunuh hingga Bu Fitri perasan ada sesuatu yang aneh berlaku di kampung tersebut. 

Setelah kejayaan instalment pertama, filem Qorin 2 menggunakan khidmat pengarah yang sama, Ginanti Rona bersama penulis skrip yang sama iaitu Lele Laila. Kali ini filem Qorin 2 mengangkat tema psikologi dengan paparkan trauma kehilangan orang tersayang dan juga isu buli serta penindasan terhadap kelas bawahan. 

Selepas filem Sukma (2025) yang merupakan filem seram pertama Fedi Nuril, dia tampil sebagai watak utama dalam Qorin 2 dengan watak yang lebih kurang sama bila mental terganggu. Bezanya, Hendra pergi berjumpa dengan psikatri sementara Makmur pilih untuk menyeru jin Qorin supaya dapat balas dendam. Tak terkejut pun Fedi boleh jayakan watak Makmur dengan bagus hingga terlupa persona suami poligami sebab dah pernah tengok filem dia sebagai ayah atau ketua keluarga. 

Sinematografi Qorin 2 oleh Arfian dibikin lebih gelap berbanding naskhah pertama mungkin sebagai simbolik kehidupan Makmur dan Jaya yang sentiasa dirundung malang. Malangnya setting yang terlampau gelap mengganggu juga penceritaan terutamanya bila jin Qorin muncul tapi tak terlihat dengan jelas sekaligus melemahkan elemen seram. Babak Ibu mengajak Fitri dan Rijal makan juga terlampau gelap sampai hilang rasa seram sedangkan babak tu boleh meninggalkan impak yang kuat.

Kalau filem Qorin 2 mempunyai alur cerita yang menarik dalam menggerakkan beberapa isu sosial juga elemen seramnya pada first half, filem mula longgar di separuh masa kedua dan juga klimaks. Lantas elemen kejutan pada credit scene tak begitu menyengat baik dari penceritaan atau commercial value. 

Boleh sangat kalau penulis lebih berani untuk keluar dari kebiasaan tapi produksi lebih memilih untuk menghukum Makmur dan Jaya sedangkan mereka berdua cuma korban masyarakat yang rosak dan lebih selesa menutup mata dari menjaga. Masalah yang sama juga berulang sebab Qorin (2022) pun mula longgar di second half filemnya. 

Watak Bu Fitri juga terlalu lambat bertindak buatkan momentum filem terasa lemah dan draggy. Boleh sangat filem dikembangkan dengan tambah lebih banyak babak seram atau perbualan tentang penindasan yang dihadapi oleh Makmur juga Jaya. Bonding kekeluargaan baik keluarga Makmur atau Bu Fitri kedua-duanya goyah dan kurang meyakinkan. 

Meskipun filem Qorin 2 mempunyai kelemahannya namun peluang untuk produksi tampil dengan instalment ketiga masih cerah. I masih berminat untuk tahu apa akan jadi dengan Jaya selepas berjaya keluar dari kampung tersebut. Mungkin produksi akan tampilkan cerita yang baru dan Jaya akan crossover watak-watak dalam instalment pertama. 

1. Team Production +0.5, 2. Visual +0.6, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.8, 6. Genre +0.5, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 7/10

Movie Review | The Informant (2025)

 

Pengarah: Kim Suk  
Penulis Skrip: Kim Suk  
Pelakon: Heo Sung-tae, Jo Bok-rae, Seo Min-joo , Cha Soon-bae, Jang Hyuk-jin, Bae Yoo-ram, Jin Seon-kyu 
Syarikat Produksi: Popcorn Films   
Pengedar: Popcorn Films 
Genre: Aksi / Komedi / Drama 
Durasi Tayangan: 102 minit
Tarikh Tayangan: 23 Oktober 2025 (Korean Film Festival Frankfurt), 03 Disember 2025  
Trailer:


Filem bermula dengan babak seorang wanita ditangkap oleh gangster ketika sedang laporkan intel yang dia dapat di lubuk judi. Detektif Oh Nam-hyuk (Heo Sung-tae) baran dengan keadaan dia di balai bila semua orang memandang rendah terhadapnya. Dia bercadang untuk merompak sarang gangster di sebuah apartment. Rancangan dia diceritakan kepada ‘tikus’ bernama Tae-bong (Jo Bok-rae) yang sudah lama menjadi mata-mata di kawasan tersebut. 


Tae-bong tidak setuju dengan rancangan melulu Detektik Oh kerana dia sedang berusaha mengumpul lebih banyak emas dari tempat tu. Ketika dia cuba lari sebelum kawasan tersebut diserang oleh Detektif Oh, ketua besar gangster sampai di situ dan bawa dia bersama seorang lagi pekerja ke kawasan yang sunyi. 

Dalam perjalanan, rahsia dia sebagai informant terbongkar walaupun mereka tersalah orang kerana dia bukan lah polis elit yang dicari. Perkara tersebut dimaklumkan kepada Hwang Sang-gil (Cha Soon-bae) yang juga dikenali sebagai Hell Sang-gil, pemaju tanah yang kaya dan menggerunkan. Kerana tidak mahu rahsia dia terbongkar yang disimpan dalam sebuah buku lejar, pegawai atasan polis Kang Yong-gu (Jang Hyuk-jin) ditugaskan untuk menutup mulut. 


Kang dan seluruh jabatan polis jenayah tahu yang Detektif Oh Nam-hyuk ada hati dengan Detektif Lee So-yeong (Seo Min-joo) jadi dia tawarkan sekiranya Detektif Lee berjaya selesaikan kes ni, dia akan dinaikkan pangkat sebagai ketua pasukan. 

Filem The Informant arahan dan penulisan Kim Suk menggunakan kerjaya informant kepada pihak polis sebagai fokus dalam cerita. Karier sebagai informer bukanlah sesuatu yang baru sebab dah banyak filem yang masukkan watak sebegini dalam filem berlatarkan dunia polis. Filem The Informant lebih kurang sama dengan filem Yadang: The Snitch (2025) bila si tikus boleh jadi kaya-raya dan hidup jauh lebih mewah dari pegawai. 


Sama macam Tae-bong dan Hwang Sang-gil, dalam setiap sarang judi atau lubuk voice phishing, ada habuan yang hanya mereka saja tahu di mana tempatnya. Polis perlukan intel untuk sita jenayah supaya dapat naik pangkat, informant pula perlukan habuan yang lumayan, setara dengan risiko yang mereka hadapi. 

Filem The Informant dalam template komedi jadi kekecohan yang dimasukkan ada banyak malah watak sampingan juga ramai. Sudah tentulah ada watak yang tak dapat screentime banyak dan mudah sangat dilupakan. Watak pasukan Detektif Lee pun cuma serve face card setiap kali muncul. 


Watak antagonis Hell Sang-gil menggerunkan setiap kali muncul tapi kenapa dia cakap perlahan sangat? Bukan perlahan pada lontaran suara tapi perlahan pada kelajuan percakapan. It drags a bit lah for me. Semakin filem bergerak semakin dia terlihat dangkal supaya pihak protagonis ada kelebihan. 

Kelemahan The Informant bila letak dua pelakon yang hampir seiras sampai ada masanya terkeliru. Nasib baik lah watak Detektif Oh dalam The Informant ni digambarkan sebagai si tua yang pervert, ada lah sikit beza yang ketara. Dinamik Heo sung-tae dengan Jo Bok-rae terlihat bertenaga dan menghiburkan bila bekerja bersama cuma masing-masing ada trust issue padahal dah bertahun kerja sama-sama. 


Walaupun The Informant ada genre aksi tapi tak lah banyak sangat pun stunt yang dimasukkan. Dia lebih kepada aksi komedi yang gocoh asal boleh tu, yang pukul tak sakit, tembak tak kena macam tu lah. Kerja sebagai gangster tapi clumsy sampai target boleh terlepas. Polis pun sama naik je. 

Seronok juga lah perjalanan filem The Informant sebab ada babak yang menghiburkan dan kelakar walaupun ada beberapa babak yang boleh dijangka. Sinematografi yang dimasukkan mengukuhkan lagi visual The Informant bersama musik latar yang sesuai. Cumanya rimas tengok banyak sangat sub-plot dan watak yang dimasukkan sampai tersasar dari plot utama. 


Filem ni tak sesuai ditonton dengan keluarga dan kanak-kanak bawah umur sebab ada babak yang ganas melampau. 

1. Team Production +0.5, 2. Visual +0.7, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.4, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.3, 10. Personal Thought +0.5 = 6/10

Dengan Sekali Lafaz, Cinta Bella Astillah Dan Syed Saddiq Dimeterai

Saturday, 10 October 2026

Kuala Lumpur, 10 Oktober 2026 - Dengan sekali lafaz, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sah bergelar suami kepada penyanyi, pelakon dan personaliti televisyen terkenal, Bella Astillah atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung pada pagi 10 Oktober 2026.

Selepas enam bulan mengikat tali pertunangan, pasangan merpati dua sejoli ini melakar sejarah apabila menjadi pasangan pertama yang diijabkabulkan di Presint Merdeka 118, salah satu mercu tanda ikonik negara. Dengan latar suasana yang memukau di aras 118, detik penyatuan dua hati ini menjadi simbolik kepada permulaan baharu dalam kehidupan mereka sebagai suami isteri, turut disaksikan oleh ribuan rakyat Malaysia apabila disiarkan secara langsung di pelbagai platform Astro, membawakan pengalaman menonton yang dekat dan eksklusif kepada penonton di seluruh negara.

Majlis akad nikah yang berlangsung dalam suasana penuh indah dan berkonsepkan Arab serba putih itu diserikan dengan kehadiran ahli keluarga, sahabat handai serta rakan-rakan industri terdekat. Turut memeriahkan acara ialah kehadiran tetamu kenamaan termasuk YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah, YBhg. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, YBhg. Tan Sri Muhyiddin Yassin, YB Puan Hannah Yeoh dan ramai lagi. 

Dalam majlis tersebut, pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah YABhg. Dato’ Seri Dr. Hj Zulkifli, dengan berwalikan En. Awang Astillah iaitu bapa kepada Bella Astillah. Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin sebanyak RM500 kepada Bella sebagai tanda penyatuan mereka, selain bertukar hantaran yang terdiri daripada tujuh dulang daripada pihak pengantin lelaki berbalas sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan.

Menambah seri majlis, kedua-dua mempelai tampil anggun dalam busana rekaan Zaimi Zulkafli, menyerlahkan keanggunan dan keperibadian tersendiri pasangan pengantin, sekali gus melengkapkan suasana romantis dan elegan yang mewarnai hari bersejarah mereka.

Perjalanan indah menuju hari bahagia ini serta setiap momen istimewa pernikahan pasangan tersebut akan dipaparkan menerusi program khas ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’, yang bersiaran setiap hari Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104), serta boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.

TRAILER RASMI FILEM ‘BAGA,’ ESOK UNTUK SIAPA  DIPAPARKAN KEPADA UMUM | PERJUANGAN DUA JIWA TERPERANGKAP ANTARA IMPIAN MASA DEPAN DAN PUSARAN TAKDIR

Sesuatu yang penuh emosi dan mendebarkan kini bersedia menanti peminat filem tanah air apabila trailer rasmi bagi filem terbaharu ‘BAGA’, mula dipaparkan secara rasmi kepada umum Jumaat, 9 Oktober 2026, tepat jam 8:00 malam di seluruh platform media sosial Primeworks Studios. Pelancaran visual ini sekali gus memberi gambaran awal mengenai penceritaan jujur, berani dan menyentuh jiwa yang diangkat daripada realiti kehidupan di perkampungan yang konservatif.


Filem genre crime drama ini diterbitkan oleh Syafiq Yusof bersama Syafiq Kyle menerusi produksi Indigo Films Sdn Bhd, manakala edaran rasmi dikendalikan SKOP Productions Sdn Bhd serta pemasaran oleh Primeworks Studios Sdn Bhd. 

Sehubungan itu, kami ingin meminta jasa baik rakan-rakan media untuk menguar-uarkan lagi mengenai filem terbaharu, BAGA.

Sila klik pautan ini untuk mendapatkan siaran media, poster dan gambar.

UQASHA SENROSE DIBELENGGU SAKA KETURUNAN MENERUSI ‘SIHIR ISTERI’

Friday, 9 October 2026

UQASHA SENROSE DIBELENGGU SAKA KETURUNAN MENERUSI ‘SIHIR ISTERI’ | PERJANJIAN GELAP KELUARGA & TUNTUTAN KORBAN DILUAR JANGKA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2026 – Mempertaruhkan kehidupan, kasih sayang dan masa depan demi menyara keluarga merupakan sebuah pengorbanan suci. Namun, setiap impian yang dimakbulkan oleh warisan gelap keluarga dan saka keturunan hadir dengan harga yang mengerikan—perkahwinan, cinta serta orang tersayang menjadi korban demi kuasa dan kekayaan. Konflik mistik yang sarat dengan suspen dan emosi ini bakal disajikan menerusi naskhah Tonton Original Series terbaharu bertajuk Sihir Isteri, yang akan menemui penonton mulai 10 Oktober 2026 secara eksklusif di platform Tonton.

Karya sentuhan pengarah Luqman Hafidz, terbitan Mache All Star United dan nukilan skrip Adza Emie ini menampilkan gandingan pelakon hebat tanah air seperti Uqasha Senrose, Nafiz Muaz, Yusuf Bahrin, Shahz Jaszle, Keith Foo, Didie Alias dan Kiky Hannah. 

Jalan ceritanya berpusat pada Cempaka (Uqasha Senrose), yang terpaksa memikul saka turun-temurun keluarganya selepas kematian ibunya. Warisan itu berasal daripada neneknya, Nek Ros (Didie Alias), sebelum diwariskan kepada ibunya. Untuk menamatkan perjanjian mistik tersebut, Cempaka perlu melalui empat ritual yang terikat dengan perkahwinan setiap satunya menjanjikan ganjaran luar biasa.

Perjalanan gelap Cempaka bermula apabila perkahwinannya bersama Faris (Yusuf Bahrin), Jeffrey (Shahz Jaszle) dan Armand (Keith Foo) membuka ruang kepada gangguan misteri serta rahsia yang menghantui kehidupan mereka. Pada awalnya menolak, Cempaka akhirnya terpengaruh dengan janji yang terkandung dalam Kitab Warisan. Apabila gangguan itu tidak lagi dapat dikawal, Cempaka bertemu semula dengan cinta lamanya, Ikmal (Nafiz Muaz), yang kembali hadir ketika dia paling memerlukan bantuan. Kisah ini membawa penonton menyaksikan pertembungan antara cinta, iman dan warisan gelap keluarga, ketika Cempaka berusaha melepaskan diri daripada belenggu saka yang menguasai hidupnya.

Mengulas mengenai penglibatannya, Uqasha Senrose menjelaskan bahawa naskhah berunsur mistik dan suspen thriller ini memberi cabaran tersendiri kerana ia menuntut emosi yang berat serta perubahan karakter watak Cempaka daripada seorang wanita jujur kepada pemeroleh kuasa mistik. Bagi beliau, kekuatan siri ini terletak pada olahan plot yang padat dengan konflik perkahwinan serta mesej pengajaran tentang bahaya ketaksuban harta dan pengaruh.

Naskhah Tonton Original Series 10 episod ini bersiaran setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 12:00 tengah malam mulai 10 Oktober hingga 8 November 2026. Siri ini boleh distrim secara eksklusif di Tonton menerusi langganan TontonUp serendah RM9.90 sahaja. Langganan ini turut memberikan akses kepada koleksi Tonton Originals yang lain, rangkaian drama pilihan TV3, siri anime, drama Korea dan pelbagai kandungan premium lain.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram di @tontonmy.

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 – Anugerah Melodi Terhangat 2026 (AMT2026) kembali dengan kelainan apabila kemeriahan edisi tahun ini bukan sekadar tertumpu kepada malam anugerah, sebaliknya diteruskan menerusi CUCKOOTOPIA – Konsert Penghargaan Ulang Tahun Ke-12 Dihangatkan oleh AMT2026, sebagai kesinambungan sambutan yang mengangkat kuasa peminat sebagai sebahagian daripada kemeriahan acara ini.

Perincian mengenai kedua-dua acara ini dikongsikan menerusi Anugerah Melodi Terhangat 2026 x CUCKOOTOPIA Power Launch yang berlangsung di Hyatt Regency Kuala Lumpur at KL Midtown semalam, dengan pelbagai pengumuman terbaharu menuju dua acara yang saling melengkapi ini.



Menyusuli malam kemuncak AMT2026, CUCKOOTOPIA bakal meneruskan sambutan menerusi sebuah konsert penghargaan berskala besar yang dikendalikan oleh Kamal Adli, Owen Yap dan Fiza Frizzy, selain menampilkan barisan penghibur tempatan dan antarabangsa serta pelbagai segmen dan kejutan.

Paling dinanti, CUCKOOTOPIA bakal diterajui bintang popular Korea Selatan dan Duta Global CUCKOO, Lee Junho, dengan Hujan dan Firdhaus diumumkan sebagai dua nama terbaharu yang menyertai barisan penghibur, sekali gus menambah keterujaan menjelang konsert istimewa tersebut.

Kesinambungan antara AMT2026 dan CUCKOOTOPIA turut disaksikan menerusi pengumuman pemenang empat kategori AMT2026 pada malam konsert tersebut, iaitu Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat, lantas membawa sebahagian daripada debaran malam anugerah ke pentas CUCKOOTOPIA.

Dengan TV3 dan 8TV selaku rakan media rasmi, KONSERT CUCKOOTOPIA DIHANGATKAN OLEH AMT2026 akan berlangsung pada 24 Oktober 2026, Sabtu, dari jam 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Pengunjung digalakkan untuk menyemarakkan sambutan dengan menggayakan Batik Bunga bersempena tema “Bloom in Batik: Wear Your Bloom. Share Your Happiness.”

Menariknya, kemeriahan CUCKOOTOPIA boleh dinikmati peminat secara percuma menerusi pemberian dan penebusan tiket yang ditawarkan oleh CUCKOO MALAYSIA. Layari laman sesawang rasmi di cuckoo.com.my/cuckootopia2026 atau media sosial CUCKOO MALAYSIA untuk mengetahui maklumat lanjut. 

Di sebalik persiapan menuju CUCKOOTOPIA, perjalanan AMT2026 kini memasuki pecutan akhir apabila tempoh undian dilanjutkan sehingga 11 Oktober 2026, jam 11.59 malam. Menerusi langganan Tonton, peminat berpeluang mendapatkan 5X vote boost dan tiket CUCKOOTOPIA, sekali gus memberi ruang untuk mereka terus mengukuhkan sokongan terhadap calon pilihan masing-masing.

Bukan itu sahaja, Top 5 semasa bagi kesemua 16 kategori turut didedahkan menerusi Power Launch. Walaupun kedudukan semasa memberikan gambaran awal persaingan, keputusan masih terbuka sehingga undian ditutup, justeru peminat masih berpeluang meningkatkan undian selagi tempoh undian masih dibuka.

Bakal disiarkan secara langsung pada 18 Oktober 2026, Ahad, jam 9.00 malam, dari Selangor International Trade Centre (SITC), pentas utama AMT2026 akan diterajui oleh gandingan Ain Edruce dan Kamal Adli selaku hos. 


Kemuncak acara turut didahului Karpet Merah yang dikendalikan oleh Ceddy Ang, Fiza Frizzy dan Ferra Mazlan bermula jam 8.00 malam, sebelum penonton dibawa menyelami perkembangan di sebalik pentas pada jam 9.00 malam, yang boleh disaksikan menerusi live stream TikTok Melodi Terhangat.

Istimewanya, Karpet Merah AMT2026 turut memperkenalkan dua kategori khas, iaitu Fresh Smile Award Darlie yang mengiktiraf senyuman paling menawan dalam kalangan artis, serta Cheesy Pose Terhangat Gardenia QuickBites yang meraikan gaya paling cheesy ketika bergambar di Karpet Merah.

Bagi melengkapkan malam tersebut, bintang popular daripada pelbagai generasi dan cabang hiburan bakal bergandingan sebagai penyampai hadiah AMT2026! Antaranya ialah Datuk Sri Siti Nurhaliza, Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Zarif Ghazzi, Siti Saleha, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Sharif Zero, Janna Nick, Daiyan Trisha dan ramai lagi.


Selari dengan tema “Power,” AMT2026 bakal menampilkan pelbagai persembahan yang mengetengahkan kekuatan dan karakter penghibur. Antara yang bakal mengisi pentas ialah Misha Omar, Ernie Zakri, Nadeera, DOLLA, Haqiem Rusli, Aisha Retno, Adira Suhaimi, Wany Hasrita, Shiha Zikir, Alyph, Yasin Sulaiman, K.O.I., Bunga, Luqman Podolski, Mariam Saim dan Mohsein Kush.

Menjelang malam kemuncak, perjalanan AMT2026 turut diteruskan menerusi Hari Gabungan Kuasa pada 11 Oktober 2026, bermula jam 12.00 tengah hari dengan tajaan lokasi di The Curve, Mutiara Damansara, yang menjadi persinggahan terakhir siri jelajah serta peluang buat peminat bertemu barisan calon dan selebriti secara lebih dekat.


Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai pemenang AMT2026? Segalanya bakal diketahui pada 18 Oktober 2026, jam 9.00 malam, secara langsung menerusi TV3 dan Tonton. 

AMT2026 dihangatkan oleh CUCKOO sebagai Penaja Terhangat, Darlie sebagai Penaja Bersama, Gardenia QuickBites dan Mentos sebagai Rakan Penaja serta Grab sebagai Rakan E-Hailing.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini mengenai program ini, ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram, X, Threads dan  TikTok di @TV3Malaysia dan @MelodiTerhangat.