TIKET TAYANGAN KHAS “RANGGA & CINTA” LAKU KERAS!
Monday, 27 October 2025
TIKET TAYANGAN KHAS “RANGGA & CINTA” LAKU KERAS! | DUA HALL TAMBAHAN DIBUKA DI TGV KLCC AKIBAT PERMINTAAN TINGGI
Dua dekad berlalu, namun magis kisah Rangga dan Cinta nyata masih berbisa! Belum sempat sehari dibuka, tiket tayangan khas Rangga & Cinta di TGV KLCC sudah pun habis dijual dalam tempoh 12 jam selepas dibuka kepada umum.
Melihat kepada permintaan yang begitu tinggi, pihak penganjur bersama TGV Cinemas segera menambah dua dewan tayangan lagi bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk menjadi antara yang terawal menonton filem ini.
Menariknya, peminat juga berkesempatan untuk beramah mesra dan bergambar bersama barisan kreatif di sebalik pembikinan filem ini. Antara yang hadir ialah pengarah hebat Riri Riza serta penerbit berpengaruh Mira Lesmana dan Nicholas Saputra, figura yang mempopularkan watak Rangga menerusi Ada Apa Dengan Cinta? Turut memeriahkan tayangan tersebut ialah dua bintang baharu berbakat besar, Leya Princy dan El Putra Sarira, yang kini menghidupkan semula filem itu dengan nafas segar dan jiwa muda.
Di media sosial, kehangatan Rangga & Cinta turut jelas terasa apabila peminat membanjiri ruangan komen dengan luahan kecewa dan harapan agar lebih banyak hall dibuka.
“Nak nangis, tak sempat beli tiket dah sold out, padahal dah lama tunggu.” – @syfqhizlyn
“Please add studio hall lagi, tak cukup 1 hall saja.” – @pirrafirra
“Open lagi please, dah lama tunggu, dah sold out!” – @tuffbluee
Keterujaan luar biasa ini membuktikan bahawa memori kisah Rangga dan Cinta masih dekat di hati ramai dan terus relevan meskipun sudah bertahun lamanya. Filem Rangga & Cinta bakal ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 6 November 2025, menampilkan gabungan puisi, muzik dan sinematografi memukau. Karya ini turut diserikan dengan lagu-lagu ikonik ciptaan Melly Goeslaw, yang dijangka membuat penonton kembali jatuh cinta dengan imbauan zaman remaja.
Tempat adalah terhad!
Dapatkan tiket anda sekarang di laman web rasmi TGV Cinemas atau melalui aplikasi mudah alih mereka. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada fenomena kisah cinta agung Rangga & Cinta!
Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.
Movie Review | Thamma (2025)
Sunday, 26 October 2025
Movie Review | Waktu Maghrib 2 (2025)
Saturday, 25 October 2025
Puisi, lagu dan cinta bersatu dalam satu pentas layar baharu menerusi Rangga & Cinta, filem muzikal arahan Riri Riza yang menjanjikan pengalaman penuh warna dan nostalgia; yang pasti membuat penonton ingin turut sama menyanyi.
Diterbitkan oleh Miles Films, filem ini mengangkat semula kisah ikonik Ada Apa Dengan Cinta? dengan nafas baharu; kali ini melalui irama, melodi dan dialog emosi yang menyingkap setiap denyut rasa antara dua jiwa muda.
Menariknya, lagu-lagu dalam filem ini digubah oleh duo legenda Melly Goeslaw dan Anto Hoed, yang juga mencipta runut bunyi abadi seperti Ada Apa Dengan Cinta dan Bimbang. Lagu-lagu ini menjadi nadi utama penceritaan, mengembalikan nostalgia buat mereka yang membesar bersama AADC?, sambil memperkenalkan semula debaran cinta pertama yang jujur dan janggal kepada generasi baharu.
Bukan itu sahaja, filem ini turut menampilkan El Putra Sarira sebagai Rangga dan Leya Princy sebagai Cinta yang memikul tanggungjawab besar menggantikan ikon terdahulu Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo selepas melalui proses uji bakat yang ketat. Kini penonton berpeluang menyaksikan watak Rangga yang tetap misteri dan puitis serta Cinta yang bijak dan disayangi ramai dengan interpretasi yang benar-benar mencerminkan jiwa sebenar Gen Z.
Pengarah Riri Riza menyifatkan Rangga & Cinta sebagai refleksi keberanian filem Indonesia dalam mencuba pendekatan penceritaan yang lebih kreatif.
“Selain bekerjasama dengan ramai pengarah muda dalam projek ini, saya juga amat bersyukur kerana dapat kembali meneroka genre muzikal, khususnya dengan runut bunyi asal yang begitu disayangi ramai, hasil ciptaan Melly Goeslaw dan Anto Hoed. Saya berharap penonton akan merasakan kegembiraan dan kehangatan emosi yang sama seperti yang saya alami sepanjang proses menghasilkan filem ini.”
Filem ini turut menerima sambutan hangat dan positif semasa tayangan perdananya di Busan International Film Festival (BIFF) 2025 pada September lalu, dan dijangka mencetus fenomena baharu apabila ditayangkan di Malaysia mulai 6 November ini.
Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios teruja menanti penonton merasai sendiri magis “surat cinta” yang kini beralun dalam irama muzikal, hanya di pawagam November ini. Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.
ASTRO CIPTA DIMENSI BAHARU DALAM ‘GEGAR VAGANZA 12’
Friday, 24 October 2025
ASTRO CIPTA DIMENSI BAHARU DALAM ‘GEGAR VAGANZA 12’ | “GV-VERSE” rai bintang-bintang legenda era ’80-an dan 2000-an dengan aura baharu
Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 – Saban kali menjadi penantian para peminat serta penonton Astro, program nyanyian Gegar Vaganza (GV12) kini kembali menghangatkan malam minggu dengan penganjuran tahun kedua belasnya. Musim kali ini memperkenalkan konsep eksklusif “GV-Verse”, sebuah dimensi yang diinspirasikan daripada aura dan keunikan bintang-bintang GV12 yang mempunyai kelebihan mereka tersendiri sehingga ke hari ini. GV12 bakal bersiaran mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104).
Daripada ikon era 80-an hingga ke suara emas 2000-an, GV12 meraikan kebangkitan semula sebuah era gemilang melalui muzik yang abadi dan tidak lapuk dek zaman, menyatukan suara-suara legenda merentasi sempadan dan generasi. Musim ini, Astro mempersembahkan 13 barisan peserta solo dan kumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang bakal menampilkan kehebatan seni serta menghidupkan kembali pentas dengan persembahan yang penuh pesona dan luar biasa.
Mewakili Malaysia, barisan peserta Gegar Vaganza GV12 menampilkan nama-nama hebat seperti penyanyi solo Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam dan Nubhan, bersama duo pop Freshies (Ejie dan Shima) yang bakal menghidupkan semula pesona irama tempatan. Dari Indonesia, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri. Sementara itu, Singapura tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma. Menambah elemen misteri dan kejutan, SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini, menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.
Keunggulan GV12 terus menyerlah dengan barisan hos dan juri yang menjadi nadi utama rancangan ini. Mengemudi pentas sekali lagi ialah duo pengacara serasi dan berkarisma, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, yang terkenal dengan kepetahan serta keserasian mereka dalam menghidupkan suasana GV setiap minggu.
Barisan juri pula menampilkan semula tiga tokoh disegani industri muzik, Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat, yang akan terus memberikan penilaian dengan penuh kepakaran, ketelusan dan keikhlasan terhadap setiap persembahan peserta.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad, “Sejak mula diperkenalkan, Gegar Vaganza kekal sebagai pertandingan nyanyian realiti no. 1 di Malaysia, sebuah platform untuk penyanyi lagenda dan yang dah lama menghilang, menyalakan semula perjalanan muzik mereka. Daya tarikannya yang berterusan terletak pada gabungan sempurna antara nostalgia, pembaharuan dan emosi tulen, yang menyatukan kembali artis dan penonton melalui lagu-lagu abadi dan kenangan yang tidak lapuk dek zaman.”
“Tahun ini, kami mengangkat legasi tersebut ke tahap yang lebih tinggi menerusi GV-Verse, sebuah dimensi baharu yang meraikan kepelbagaian serta kehebatan bakat serantau. Daripada legenda evergreen seperti Dato’ Elaine Kang dan Rahmat Ekamatra, hingga ke suara unik seperti Mark Adam, Shae dan Ruri Repvblik, setiap artis membawa kisah, warna suara dan semangat tersendiri ke pentas GV. Musim ini juga memperkenalkan kumpulan dinamik seperti Freshies dan Mendua, yang menampilkan keindahan harmoni dan kerjasama seperti yang dijanjikan oleh GV-Verse.”
“Dengan barisan peserta yang hebat dan pelbagai ini, kami mahu GV12 menjadi lebih daripada sekadar pertandingan. Ia tentang menghargai perjalanan yang telah mereka tempuhi dan membayangkan sejauh mana mereka boleh pergi selepas ini. Kami menjemput semua Vaganzers untuk menyertai universe ini bersama kami untuk mengimbau kenangan, menemui alunan baharu dan menyaksikan dunia muzik yang diolah semula dalam skala yang lebih besar daripada sebelumnya,” tambah Raqim.
GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan. Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.
TRIVIA & PENGANJURAN GEGAR VAGANZA 12
- Format penjurian ‘GV12’ masih dikekalkan berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada segmen akhir akan disingkirkan.
- Program ‘GV12’ lebih pantas dengan CelcomDigi yang hadir selaku Penaja Utama, dengan kerjasama HONOR selaku Telefon Pintar Rasmi. Manakala, Adabi dan Uphamol masih menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama.
- Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, naib juara pula akan meraih RM50,000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.
- ‘GV12’ turut berkolaborasi bersama Astro Gempak selaku Rakan Digital, serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi disokong oleh ERA & GEGAR.
- PROGRAM GEGAR VAGANZA 12
- KAPSUL GEGAR VAGANZA 12
- VAZZ VAGANZA GEGAR VAGANZA 12
- SOFA KENTANG GEGAR VAGANZA 12
‘FIRST LADY’ DI SEBALIK KUASA, TERSEMBUNYI RAHSIA YANG MAMPU MENGHANCURKAN SEGALANYA!
Thursday, 23 October 2025
Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 - Drama Korea terbaharu, First Lady kini boleh distrim di Tonton! Sarat dengan konflik, emosi dan kejutan politik, drama ini membawa penonton menyelami dunia kuasa dan pengaruh yang dipenuhi rahsia serta pengkhianatan. Ia bukan sekadar kisah tentang status, tetapi juga tentang harga sebuah cinta, pengorbanan, dan perjuangan seorang wanita yang terperangkap dalam permainan politik penuh tipu daya.
Dengan jalan cerita yang menarik dan sinematografi yang memukau, First Lady membawa penonton menyaksikan dunia kuasa di kediaman presiden, tempat yang tampak mewah di luar, tapi penuh rahsia, dendam dan cinta yang makin retak.
Drama ini bermula dengan kisah Hyun Min-Cheol (Ji Hyun Woo), seorang lelaki yang membesar di rumah anak yatim yang sering menempuh liku-liku kehidupan yang mencabar. Dengan kerja keras dan semangat yang tidak pernah luntur, dia akhirnya berjaya mengubah nasibnya hingga dinobatkan sebagai Presiden terpilih Korea Selatan. Di sisinya berdiri Cha Soo-Yeon (Eugene), isteri yang setia dan tabah, yang telah lama menanti saat dirinya diiktiraf sebagai First Lady, simbol kejayaan dan cinta yang mereka bina bersama.
Namun segalanya berubah apabila hanya tinggal 67 hari sebelum majlis perlantikan, Min-Cheol membuat keputusan mengejutkan iaitu dia mahu menamatkan perkahwinannya. Keputusan itu bukan sahaja menggugat rumah tangga mereka, malah membongkar semula rahsia gelap dan konspirasi politik yang sekian lama diselindungi di balik kehidupan tampak sempurna itu.
Dari luar, mereka kelihatan seperti pasangan sempurna yang bersedia memimpin negara. Namun di sebalik senyuman, tersembunyi permainan kuasa yang penuh tipu daya, di mana setiap langkah mampu menjatuhkan satu sama lain. Kini, Soo-Yeon berdepan dilema besar, antara tunduk pada takdir atau bangkit melawan demi maruah dan kebenaran.
First Lady menyatukan elemen political melodrama dan thriller dengan kisah penuh emosi, misteri dan kejutan yang sukar dijangka hingga ke penghujung. Kini boleh ditonton di Tonton, strim sekarang dan hayati kisah di sebalik kuasa, cinta dan pengkhianatan.
Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.
TONTON ORIGINAL SERIES: TOKSIK CINTA ERMA FATIMA KUPAS SISI GELAP CINTA DAN OBSESI DALAM TOKSIK CINTA!
Wednesday, 22 October 2025
Kuala Lumpur, 22 Oktober 2025 – Di sebalik kilauan cinta, tersimpan racun yang tak terlihat. Begitulah kisah yang dibawa menerusi Tonton Original Series: Toksik Cinta, naskhah baharu yang penuh dengan konflik di platform Tonton, membongkar sisi gelap cinta di sebalik glamor dunia hiburan. Arahan Pali Yahya dengan skrip oleh Erma Fatima, drama ini menggabungkan elemen melodrama, thriller rumah tangga dan jenayah, menjanjikan perjalanan sarat emosi dan permainan psikologi yang mendalam.
Selepas kejayaan drama Keluarga Itu, Erma Fatima menampilkan sisi evolusinya sebagai penerbit dan penulis yang kini lebih berani menyelami gelapnya psikologi manusia. Dengan gaya penceritaan penuh emosi dan realiti kehidupan yang menjadi identiti karyanya, Toksik Cinta mengupas batas antara cinta dan obsesi, serta bagaimana keinginan untuk memiliki boleh berubah menjadi racun yang memusnahkan.
Menampilkan barisan pelakon berkarisma seperti Riena Diana, Aqasha, Keith Foo, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam, Toksik Cinta hadir dengan naskhah penuh emosi dan konflik yang mendalam. Drama bersiri 30 episod ini bakal menemui penonton mulai 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton.
Kisah bermula dengan Alfi (Aqasha), seorang pengarah filem ternama yang berkenalan dengan Karmila (Riena Diana), pempengaruh dan pelakon meningkat naik di set penggambaran. Cinta mereka berputik hingga ke jinjang pelamin, namun segalanya musnah apabila Karmila memfailkan penceraian selepas mendakwa dirinya didera. Dengan bantuan peguamnya, Amsyar (Keith Foo), Karmila membawa kes itu ke mahkamah. Toksik Cinta bukan sekadar kisah rumah tangga yang retak, tetapi membawa penonton menyelami batas antara cinta dan obsesi, mangsa dan pemangsa, serta kebenaran dan persepsi.
Mengulas mengenai wataknya, Riena Diana berkata, “Masa saya bawakan watak Karmila, saya betul-betul cuba faham dari mana datangnya luka dia. Karmila ni bukan sekadar wanita yang keliru, tapi seseorang yang pernah dikhianati dan teraniaya oleh lelaki. Dia datang daripada keluarga yang berantakan dan semua pengalaman tu buat dia keras luarannya tapi rapuh di dalam. Toksik Cinta bagi saya adalah kisah tentang hidup Karmila yang berliku dan penuh ujian, bagaimana cinta dan luka silam mengubah cara dia melihat dunia.”
Secara keseluruhannya, Toksik Cinta bukan sekadar kisah cinta atau konflik rumah tangga, tetapi cerminan kepada realiti sosial yang jarang didedahkan, tentang bagaimana kasih boleh bertukar menjadi bayang yang menghantui apabila diselubungi ego, dendam dan keinginan untuk memiliki. Ia mengajak penonton menilai semula siapa sebenarnya mangsa dan siapa pemangsa dalam hubungan yang penuh luka dan manipulasi.
Langgan TontonUp selama 3 bulan dan nikmati ganjaran istimewa menerusi Tonton Rewards! Sebagai tanda penghargaan buat pelanggan setia, anda berpeluang menebus baucar diskaun Pizza Hut bernilai RM20 serta baucar Baskin-Robbins bernilai RM10. Rasai kelazatan hidangan dan manisan sambil terus menikmati drama, filem dan rancangan kegemaran anda di Tonton, lebih banyak anda langgan, lebih banyak ganjaran menanti!
Saksikan kisah penuh debaran, Tonton Original Series: Toksik Cinta bermula pada 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.
 









.jpg)


