SIRI TIKTOK McDONALD’S: FYP MACAM VIP RAKAM PELAJARAN HIDUP EMPAT ANAK MUDA

Thursday, 15 January 2026

Kuala Lumpur, 14 Januari 2025 - Tatkala cabaran hidup dewasa dijadikan bahan perbualan dan refleksi, lahirlah sebuah cerita yang dekat dengan realiti anak muda hari ini. FYP Macam VIP merupakan sebuah siri TikTok yang mengangkat kisah ‘adulting’ menerusi persahabatan, pengalaman harian dan pencarian makna dalam alam pekerjaan, disampaikan secara santai namun penuh pemerhatian.


Dihasilkan menerusi kolaborasi strategik antara McDonald's Malaysia dan Media Prima, siri terbitan Layar Lucida ini diarahkan oleh Junaidah Mohd Nor & Syahnur Asyikin Kee Charles serta dibintangi Rykarl Iskandar, Zaki Yamani, Mia Sara Nasuha dan Serra Kamal. Merangkumi 6 episod berdurasi dua hingga tiga minit setiap satu, FYP Macam VIP akan ditayangkan secara eksklusif di platform TikTok rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat bermula 14 Januari 2026, jam 9:00 Malam pada setiap hari Rabu dan Khamis.


Menggabungkan elemen podcast dan sitkom dalam format yang segar, kisah ini mengikuti perbualan sahabat lama yang sedang menempuh fasa peralihan ke alam dewasa. Setiap episod mengupas isu-isu kecil kehidupan seharian daripada perkara remeh hingga dilema peribadi sebelum berkembang menjadi refleksi yang lebih besar tentang nilai, empati dan pengalaman bersama.

Keempat-empat sahabat ini terdiri daripada Alif (lakonan Rykarl Iskandar), seorang pekerja McDonald’s yang mesra dan suka membantu; Faris (lakonan Zaki Yamani) yang suka menunjuk kepandaian serta paling serius mengendalikan podcast; Alia (lakonan Mia Sara Nasuha) yang berfikiran matang dan berpendidikan; serta Farah (lakonan Serra Kamal) yang kekok dalam pergaulan dan sangat terikat dengan alam digital. Mereka berkongsi bersama-sama kisah kehidupan seharian menerusi podcast yang dirakam di rumah Faris dengan perbualan yang jujur dan terbuka.


Menariknya, latar pekerjaan Alif di McDonald’s hadir secara semula jadi dalam jalan cerita, memperlihatkan bahawa cabaran hidup tidak semestinya bercanggah dengan komitmen kerja. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, pekerjaannya tetap menyediakan sokongan, kemudahan, fleksibiliti dan peluang perkembangan, menjadikannya pengalaman penting dalam perjalanan membina masa depan.


Menurut Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3 & TV9, “FYP Macam VIP dihasilkan sebagai refleksi jujur tentang realiti anak muda hari ini yang hidup di persimpangan antara kehidupan sebenar dan platform dalam talian. Melalui kolaborasi bersama McDonald’s Malaysia, siri ini membuka ruang penceritaan yang lebih dekat dan relevan, bukan sahaja tentang alam pekerjaan, tetapi juga proses peralihan ke alam dewasa yang sering dipenuhi persoalan dan pembelajaran.”

Sementara itu, Azman Mohammad, Pengarah Kanan Jenama McDonald’s Malaysia berkata, “Di Mekdi, kebanyakkan dari 16,000 tenaga kerja kami terdiri daripada Generasi Z, yang kini hidup dalam dunia digital di mana hiburan dan maklumat berada di hujung jari mereka. Menerusi kerjasama strategik bersama TV3 untuk siri ‘FYP Macam VIP’, kami mengetengahkan realiti bekerja di McDonald’s melalui jalan cerita yang menarik dan di platform yang relevan kepada generasi muda, dengan menunjukkan bahawa Mekdi adalah tempat di mana mereka boleh mengasah kemahiran, membina keyakinan dan mengembangkan kerjaya mereka.”


Siri TikTok ini telah dilancarkan menerusi satu sesi Media Appreciation Day yang berlangsung di Pandu-Lalu McDonald’s Pantai Sentral Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur hari ini. Majlis tersebut telah menghimpunkan wakil media, rakan strategik, pasukan produksi serta barisan pelakon dalam suasana santai, selain menampilkan sesi perkongsian dan tayangan eksklusif episod pertama dan kedua FYP Macam VIP.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Kuala Lumpur, 15 Januari 2026 – Filem Papa Zola The Movie terus membuktikan kehebatan karya tempatan apabila berjaya mencatat kutipan box office sebanyak RM59.8 untuk kutipan di Malaysia sahaja, dan kutipan keseluruhan sebanyak RM60 juta untuk di Malaysia dan Brunei. 

Untuk tahun lalu, dua filem animasi telah ditayangkan dan menyaksikan total kutipan untuk sebanyak RM118.2 juta - Papa Zola The Movie raih kutipan RM59.8 juta dan  Ejen Ali The Movie 2, RM 58.5 juta. Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja mencerminkan sokongan padu penonton tempatan, malah menjadi simbol kebangkitan animasi Malaysia sebagai penggerak penting dalam industri filem tempatan.  

Dari tayangan hari pertama, Papa Zola The Movie konsisten menarik penonton pelbagai lapisan usia dengan penceritaan yang dekat di hati, elemen kekeluargaan yang kuat serta humor yang menghiburkan.

Lebih membanggakan, Papa Zola The Movie bukan sekadar sebuah hiburan, tetapi turut membawa nilai murni, mesej kekeluargaan dan identiti tempatan yang relevan dengan masyarakat Malaysia. Gabungan penceritaan yang tulus dan produksi berkualiti tinggi menjadi faktor utama kejayaan filem ini di pawagam.

Pencapaian RM60 juta ini dilihat sebagai pemangkin inspirasi kepada penggiat kreatif untuk terus menghasilkan karya berani, segar dan berdaya saing di peringkat lebih luas.

Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.

Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini bakal melangkah panggung Indonesia bermula 23 Januari 2026. Filem ini juga akan muncul di layar perak di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.

“RAYU HATIKU”, KOLABORASI PERTAMA ADIRA SUHAIMI BERSAMA ALTERNATE RECORDS

Wednesday, 14 January 2026

“RAYU HATIKU”, KOLABORASI PERTAMA ADIRA SUHAIMI BERSAMA ALTERNATE RECORDS | LUAHAN EMOSI ADIRA SUHAIMI UNTUK DRAMA TERBAHARU SAMARINDA, BISIK ASMARA

Kuala Lumpur, 14 Januari 2026 – Penyanyi berkaliber, Adira Suhaimi, kembali menyentuh perasaan pendengar menerusi single terbaharu berjudul Rayu Hatiku, sebuah balada penuh emosi yang dipilih sebagai lagu tema drama terbaharu Samarinda, Bisik Asmara. Mengangkat rasa pengorbanan dan harapan yang terpendam, lagu ini menjadi pelengkap sentimen kepada jalan cerita drama tersebut.

Rayu Hatiku mengangkat luahan seorang wanita yang terluka selepas dikhianati insan tersayang. Tanpa nada marah atau penentangan, lagu ini sebaliknya menyelami rasa kehilangan, kerapuhan dan harapan yang kian pudar. Sentuhan penghayatan yang dipersembahkan menjadikan lagu ini dekat dengan realiti perasaan, sekali gus mudah menyentuh jiwa pendengar yang pernah melalui luka yang sama.

Menurut Adira, peluang untuk menyampaikan lagu ini disambut dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab. Katanya, “Saya bersyukur apabila diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu ini. Selagi sesebuah karya itu serasi dengan genre dan jiwa saya sebagai penyanyi, peluang sebegini tidak akan saya lepaskan.”

Dari segi persembahan vokal, Rayu Hatiku menuntut penghayatan yang mendalam. Setiap rangkap lagu disampaikan dengan kawalan vokal yang halus dan teliti, agar rasa sedih serta keikhlasan emosi dapat sampai dengan jelas kepada pendengar.

Bagi Affan Mazlan, lagu ini digarap sebagai sebuah balada bertenaga dengan sentuhan muzik yang lebih gelap dan suram. Elemen kabaret serta muzik desa disuntik secara halus, terinspirasi daripada bunyi muzik era 1960-an dan 1970-an, dalam masa yang sama memberikan identiti tersendiri kepada karya ini. 

“Lagu ini bukan tentang kemarahan, sebaliknya menceritakan tentang rasa tidak dihargai dan kesedihan yang mendalam. Vokal Adira melengkapkan keseluruhan emosi lagu ini, malah hasil akhirnya benar-benar melebihi jangkaan saya,” jelas Affan Mazlan.


Rayu Hatiku menandakan single pertama Adira Suhaimi bersama Alternate Records dan kini boleh didengari di semua termasuk YouTube Music dan Spotify. Lagu ini dijangka menjadi pelengkap emosi kepada drama Samarinda, Bisik Asmara, seterusnya mengukuhkan kedudukan Adira sebagai salah seorang penyanyi balada terkemuka tanah air.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.


LIRIK LAGU RAYU HATIKU
Artis: Adira Suhaimi
Komposer: Affan Mazlan
Lirik: Affan Mazlan
Susunan: Affan Mazlan
Produser: Affan Mazlan

Tenggelam, dalam tangisanku menghitung pilu
Kau berlalu, membawa separuh dari hatiku
Hancur aku

[Chorus]
Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini
Seluruh cinta yang ku beri
Dengarlah rayu hatiku ini

Bodoh aku, kau memilih dia lebih dariku
Sedih rasa aku

[Chorus]
Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini
Seluruh cinta yang ku beri
Dengarlah rayu hatiku ini

[Bridge]
(Rayu hati, demi cinta)
(Rayu hati, demi cinta)

Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini

[Chorus]
Jika kau lepaskanku pergi
Apalah makna diri ini
Seluruh cinta yang ku beri
Dengarlah rayu hatiku ini

Biarlah saja aku
Mengalun jiwaku menjauh
Dan mungkin tiada ku merayu
Tuk cintamu

Kisah pilu yang menggetarkan emosi, The Voice of Hind Rajab, bakal bergema di Pantai Timur apabila ia dibawakan khas ke Paragon KTCC Mall, Terengganu pada Sabtu ini, 17 Januari 2026, dengan kemunculan istimewa suara kempen filem berkenaan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA). Kehadiran ini sekali gus memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendekati dan memahami dengan lebih dekat nilai kemanusiaan yang dibawa menerusi karya tersebut.

The Voice of Hind Rajab mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta ketika serangan hebat berlaku di Gaza, sambil merayu untuk diselamatkan. Sejak mula ditayangkan, filem ini menerima pelbagai reaksi penonton yang menyifatkannya sebagai merobek hati dan sarat emosi, lantas menjadikannya karya yang wajar ditonton dan direnungi.

Menurut ZRA, kehadirannya ke Kuala Terengganu membuka ruang komunikasi secara terus bersama orang ramai agar pengisian filem ini dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

“Pada 17 Januari ini, saya akan berada di KTCC Kuala Terengganu Mall yang menayangkan filem ini. Saya menjemput orang ramai untuk datang. Bagi mereka yang ingin mendengar kisah tentang Farid Odeh, saya akan meminta pihak Media Prima menyediakan ruang terbuka di sekitar pusat beli-belah supaya saya dapat berkomunikasi secara langsung walaupun dalam tempoh yang singkat,” katanya.

Selain Terengganu, jelajah The Voice of Hind Rajab turut dijadualkan untuk diteruskan ke beberapa lokasi lain selepas ini sebagai usaha memperluas penyampaian suara kemanusiaan kepada masyarakat di seluruh negara.

Orang ramai, khususnya di Pantai Timur, dijemput hadir ke Paragon KTCC Mall pada 17 Januari ini bagi menyaksikan sebuah karya yang bukan sekadar tontonan, tetapi satu peringatan tentang suara kecil yang membawa makna besar dan tidak seharusnya dilupakan. Maklumat lanjut mengenai waktu kemunculan ZRA akan diumumkan kelak menerusi saluran rasmi Primeworks Studios.

FILEM BERANI MENGANGKAT REALITI NIKAH TIDAK SAH & STIGMA ‘ANAK HARAM’ DALAM MASYARAKAT | ‘Akad Yang Hilang’ membawa pengalaman sinema yang mengubah perspektif

Kuala Lumpur, 13 Januari 2026 – Isu perkahwinan tidak sah bukan sekadar masalah undang-undang, namun ia adalah realiti yang boleh menjejaskan masa depan keluarga. Astro Shaw membuka tirai tahun 2026 dengan filem Akad Yang Hilang, mengetengahkan realiti yang wujud dalam masyarakat kita yang jarang dibincangkan iaitu nikah fasid. 

Nikah fasid merujuk kepada perkahwinan yang dilangsungkan tetapi tidak memenuhi rukun dan syarat sah menurut hukum syarak, sekali gus memberi implikasi besar kepada status perkahwinan dan anak-anak yang terlibat. 

Akad Yang Hilang memaparkan kisah Maryam yang ingin berkahwin dengan kekasih pilhan hatinya, Ammar. Sebagai sebahagian proses pendaftaran perkahwinan, Maryam memohon wali hakim kerana bapanya, Husni, telah meninggal dan satu-satunya adiknya, Zaki, baru berumur 17 tahun. Walau bagaimanapun, langkah yang sepatutnya mudah menjadi rumit dengan pendedahan yang mengejutkan. 

Mahkamah Syariah memaklumkan perkahwinan ibu bapa Maryam tidak sah kerana fasid. Masalah Maryam itu tersebar di media sosial sehingga menjadi perbualan negatif masyarakat. Persoalannya, bagaimana Maryam ingin meneruskan perkahwinannya, berhadapan stigma orang sekeliling dan mencari jawapan mengenai statusnya sebagai anak yang sah. 

Persoalan ini menjadi nadi Akad Yang Hilang dengan mengetengahkan refleksi realiti bagaimana seseorang terperangkap di antara implikasi undang-undang dan stigma masyarakat. 

Menurut Penerbit Eksekutif Akad Yang Hilang merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Sebagai penerbit, Astro Shaw percaya filem mampu menjadi medium perubahan sosial. Akad Yang Hilang bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah naskhah yang mampu mencetuskan perbualan dan perdebatan tentang realiti sosial yang mungkin kita terlepas pandang. 

Filem ini akan membuatkan anda berpaling kepada orang di sebelah dan bertanya, “Apa yang akan kita lakukan jika perkara ini berlaku kepada kita?”. Kami mahu mencetuskan perbualan – di dalam pawagam, dalam perjalanan pulang dan di meja makan. Kerana kesedaran adalah langkah pertama untuk melindungi yang tersayang. 

Dengan gabungan elemen cinta dan konflik moral, kami merasakan naskah seperti Akad Yang Hilang jarang dipersembahkan di pawagam tempatan. Ia membawa penonton untuk lebih memahami impak besar yang timbul daripada satu kesilapan atau keputusan kecil, sekaligus mencabar persepsi dan cemuhan masyarakat terhadap mereka yang terbabit.” 

Akad Yang Hilang dibintangi Mira Filzah, yang terkenal dengan kemampuan lakonan emosinya. Ini menandakan penampilan semula Mira di layar perak selepas beberapa tahun. Ini juga gandingan pertamanya dengan Syarul Ezany yang juga membuat kemunculan semula di pawagam sejak penampilan terakhir pada tahun 2008. Bintang hebat lain yang menggerakkan watak dengan penuh dramatik adalah, Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis. 

Filem ini diarahkan  Bahri Uma Bajuri yang juga membuat sentuhan sulung untuk layar perak. Dengan pengalaman luas dalam pengarahan drama, Bahri membawakan garapan emosi yang kuat dengan sokongan skrip oleh Zuli Ismail dan Eenaz Mokhtar. Manakala lagu berjudul ‘Yang Tertulis’ dendangan Dinda Dania menjadi lagu tema utama. 

Saksikan Akad Yang Hilang di pawagam seluruh negara bermula 15 Januari 2026. Gunakan #AkadYangHilang di platform media sosial untuk berkatan filem ini. Ikuti semua akaun media sosial Astro Shaw untuk info dan klip menarik Akad Yang Hilang.

“SUATU KEKEJAMAN TANPA BATAS SAMPAI HILANGNYA NILAI KEMANUSIAAN” - DATUK YUSOF HASLAM

Tuesday, 13 January 2026

Itulah ungkapan ringkas tetapi penuh makna yang dilontarkan oleh Datuk Yusof Haslam sebaik melangkah keluar pawagam selepas menonton The Voice of Hind Rajab, sebuah filem yang merakam sisi paling getir konflik kemanusiaan melalui satu elemen yang jarang digunakan, iaitu suara sebenar daripada rakaman asal.

Menurut beliau, tragedi yang dipaparkan bukan sekadar kisah untuk ditonton, tetapi satu seruan kesedaran. “Apa yang boleh kita sokong, kita bantu rakyat Palestin melalui bantuan apa yang kita mampu,” ujarnya yang menyifatkan filem ini sebagai peringatan tentang tanggungjawab kemanusiaan yang tidak seharusnya dipandang ringan. 

Mengangkat kisah benar Hind Rajab, The Voice of Hind Rajab membawa penonton menyelami detik-detik cemas yang selama ini hanya dilihat sepintas lalu di media sosial. Bezanya, pengalaman itu kini dihidangkan secara lebih dekat dan peribadi di layar perak, menjadikannya satu pengalaman emosi yang menyesakkan dada.

Keberanian pendekatan ini turut mendapat perhatian pengarah tersohor, Usamah Zaid, yang meluahkan rasa kagum terhadap pasukan produksi. “Saya tak boleh bayangkan bagaimana jika saya yang diberikan amanah untuk menghasilkan filem seperti ini. Saya respect semua yang terlibat di belakang tabir,” katanya, merujuk kepada kehalusan dan sensitiviti yang diperlukan untuk menghidupkan kisah sebenar seperti ini.

Pelakon Zahiril Adzim pula melihat filem ini dari sudut pengalaman penonton. “Kita sudah banyak lihat pengeboman dan kemusnahan di media sosial, tetapi filem ini membuatkan kita benar-benar ‘duduk’ dalam situasi kecemasan itu. Perasaan cemas dan tidak berdaya itu sangat terasa,” katanya.

Perasaan sama turut dikongsi oleh Shera Aiyob, yang terkesan dengan ketabahan seorang ibu dalam situasi paling menyayat hati, “Saya kagum dengan ketenangan ibu kepada Hind Rajab yang masih mampu memberi kata-kata positif walaupun berdepan situasi yang sangat mencemaskan,” ujarnya, menyifatkan momen tersebut sebagai antara paling menyentuh hati. 

Bagi pempengaruh media sosial, Nyna Bukater, pengalaman menonton The Voice of Hind Rajab jauh lebih mendalam daripada sekadar mengetahui kisahnya. “Saya pernah mengupas kisah Hind Rajab di media sosial, tetapi apabila berpeluang mendengar sendiri suara daripada rakaman asal, saya tidak dapat mengawal emosi. Ia sangat meruntun hati dan menyentuh perasaan,” katanya. Malah, menurut Nyna, filem ini menyemarakkan lagi semangat untuk terus menjadi suara kepada mereka yang tidak didengari.

The Voice of Hind Rajab membuktikan bahawa satu suara yang kecil berupaya menggoncang jiwa dan memaksa dunia berhenti seketika untuk mendengar. Ia bukan sekadar sebuah filem, tetapi satu seruan kemanusiaan tentang empati, tanggungjawab dan keberanian untuk tidak lagi berpaling daripada realiti yang sedang berlaku. Saksikan The Voice of Hind Rajab di pawagam terpilih, bukan hanya untuk menonton, tetapi untuk mendengar dan merasai.

THE VOICE OF HIND RAJAB: MALAYSIA DISASAR DALAM LIMA NEGARA TERATAS KUTIPAN TAYANGAN – ZRA

Monday, 12 January 2026

Malaysia disasarkan untuk berada dalam kelompok lima negara teratas dari segi kutipan tayangan filem The Voice of Hind Rajab, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pengiktirafan filem berkenaan di peringkat antarabangsa termasuk anugerah Oscar.

Perkara itu dikongsikan oleh Zainal Rashid Ahmad atau ZRA dalam sesi Coffee Talk bersama ZRA yang berlangsung pada 10 Januari 2026. Jelasnya, filem berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai medium naratif realiti, malah menjadi ruang katarsis emosi kepada penonton yang terkesan dengan konflik berterusan di Gaza sejak hampir 800 hari lalu. 

Menurut ZRA, The Voice of Hind Rajab dilihat sebagai antara naskhah perfileman yang berjaya mengetengahkan kisah sebenar penderitaan rakyat Palestin melalui penceritaan visual yang berasaskan dokumentasi dan nilai sejarah. “Keberuntungan kita hari ini ialah kerana kisah Hind Rajab ini sempat dirakam. Banyak kisah lain sejak 52 tahun lalu tidak pernah difilemkan,” katanya.

Beliau yang turut bertindak sebagai suara kempen filem itu berkata, kekuatan utama karya berkenaan terletak pada realiti kisah Hind Rajab yang berjaya dirakam dan difilemkan, menjadikannya antara tragedi sebenar pertama melibatkan kanak-kanak Palestin yang dipersembahkan secara terperinci kepada penonton umum. 

Coffee Talk bersama ZRA juga menjadi kupasan pasca tayangan The Voice of Hind Rajab, yang menekankan bahawa kisah Hind Rajab adalah kesinambungan daripada 50 tahun siri pembunuhan terancang terhadap kanak-kanak Palestin. 

Dalam sesi itu, penonton dibawa mengimbau kisah kanak-kanak lain yang syahid seperti Lamis Najim, Faris Odeh, Muhammad Al-Durrah dan Reem Nabhan bagi memberi perspektif lebih luas tentang penderitaan generasi muda di Gaza. 

Tetamu yang hadir mendapat manfaat pengetahuan mengenai siri kekejaman pembunuhan yang meliputi bukan sahaja di Gaza tetapi juga di kawasan lain yang terlibat dalam konflik, menjadikan sesi tersebut lebih daripada sekadar perbincangan filem, ia adalah ruang pendidikan dan kesedaran kemanusiaan. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus menjadi suara kepada Palestin dengan memberikan sokongan melalui kehadiran ke pawagam bagi menonton filem berkenaan, sekali gus menyemarakkan inisiatif #GerakanSuaraMalaysia. “Jika negara lain boleh berada di kedudukan lima teratas, kenapa tidak Malaysia?” jelasnya.

Sesi Coffee Talk bersama ZRA dan tayangan filem The Voice of Hind Rajab, dihadiri lebih 200 peserta juga mendapat sokongan beberapa selebriti tempatan dan aktivis kemanusiaan, antaranya Heliza dan Hazwani Helmi, Zizi Kirana serta Dr Hafiz Sulaiman, Mior Malek Raiyani, Asrulnizam Kadir dan Amirulhakim Lokman. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.

Filem yang mula ditayangkan bermula 8 Januari lalu dan kini berada di 32 lokasi, mengisahkan tragedi sebenar yang menimpa Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terkorban selepas terperangkap di dalam sebuah kenderaan di Gaza susulan serangan tentera Israel pada 29 Januari 2024.

Tragedi berkenaan merakam usaha sukarelawan yang menerima panggilan daripada Hind ketika berusaha menyelaras penghantaran bantuan kecemasan, namun misi itu gagal menyelamatkan nyawanya.

Movie Review | Bhool Chuk Maaf (2025)

Sunday, 11 January 2026


Pengarah: Karan Sharma  
Penulis Skrip: Karan Sharma, Haider Rizvi 
Pelakon: Rajkummar Rao, Wamiqa Gabbi, Seema Pahwa, Sanjay Mishra, Raghubir Yadav, Zakir Hussain    
Syarikat Produksi: Amazon MGM Studios, Maddock Films  
Pengedar: Pen Marudhar (India), Yash Raj Films (International), Amazon Prime Video
Genre: Romantik / Komedi 
Durasi Tayangan: 121 minit
Tarikh Tayangan: 23 Mei 2025  
Trailer:


Titli Mishra (Wamiqa Gabbi) dan Ranjan Tiwari (Rajkummar Rao) adalah sepasang kekasih yang berhasrat untuk lari dari kampung kerana cinta mereka tidak dipersetujui oleh keluarga. Tapi rancangan mereka tak menjadi kerana Titli manja dengan ayahnya. Baru beberapa kilometer keluar dari kampung, Titli dah menangis rindukan Brijmohan Mishra (Zakir Hussain). 

Kerana anaknya beria memujuk, Brijmohan letak syarat yang Ranjan perlu dapatkan kerja Kerajaan dalam masa dua bulan. Semua orang tahu perkara tersebut mustahil untuk dilaksanakan jadi Ranjan beri rasuah kepada Bhagwan (Sanjay Mishra) untuk dapat tempat dalam mana-mana Jabatan. Beberapa hari selepas bayar deposit kepada Bhagwan, dia dapat berita lelaki tua tersebut menghilangkan diri. 


Kecewa dengan nasib hidup, Ranjan pergi ke kuil minta bantuan dan bernazar akan lakukan perkara baik sekiranya dia dapat kerja Kerajaan. Tak lama kemudian, Bhagwan pulang dari Lucknow dan bawa berita gembira kerana Ranjan dapat kerja di Jabatan Pengairan. Rancangan Ranjan untuk rasuah orang dalam untuk dapat kerja menjadi, hasrat dia untuk berkahwin dengan Titli juga berjaya. 

Tarikh perkahwinan mereka ditetapkan pada 30 Mei dan 29 haribulan adalah hari berinai dan mandi kunyit. Segala persiapan dilakukan oleh kedua-dua belah keluarga dan Ranjan tak sabar untuk menjalani kehidupan baru bersama Titli dan juga sebagai staf Kerajaan. Terjaga dari tidur, Ranjan menjalani 29 haribulan berulang kali hingga dia stress. Ranjan tak tahu dan perlu cari tahu kenapa dia tersekat pada tarikh tersebut. 


Naskhah Bhool Chuk Maaf yang berkonsepkan time-loop arahan dan penulisan Karan Sharma menggunakan tema rasuah dan kesannya kepada orang yang teraniaya. Walaupun kesan yang dimaksudkan berada pada second half tapi penulis bina penceritaan yang menarik di first half movie. Walau baik macam mana pun watak Ranjan Tiwari tapi disebabkan rasuah, habis musnah imej baik yang dia jaga selama ni. 

Tapi kalau nak salahkan Ranjan sepenuhnya pun tak boleh juga sebab keluarga Titli pun merepek sebab obsess sangat dengan kerja Kerajaan. Penulis tak kembangkan dengan lebih pun kenapa keluarga Titli beria sangat dengan kerja Kerajaan tapi semua pun tahu jawatan ni stabil dan tak perlukan banyak usaha pun. Banyak juga kelebihan kalau bekerja dengan Kerajaan sampai saudara-mara boleh menumpang sekali. 


Berbalik kepada filem Bhool Chuk Maaf, filem ini agak kasihan sebab dibatalkan tayangan di pawagam kerana konflik India-Pakistan. Kena bash juga sebab ada remake lagu Chor Bazari yang pernah popular dalam filem Love Aaj Kal (2009). Ada yang buat review kata filem ni filem paling teruk untuk tahun 2025 which is quite nonsense lah sebab ada setengah tahun lagi untuk filem lain ditayangkan. 

I personally enjoy je filem Bhool Chuk Maaf sebab chemistry Rajkumar dengan Wamiqa menjadi memandangkan kedua-duanya berbakat besar dalam lakonan. Perjalanan cerita juga diceritakan dengan kemas kecuali pada babak klimaks bila pengarah drag lama sangat bila beberapa watak nak ceramahkan orang kampung. Patutnya biar watak Ranjan selesaikan dengan kedua-dua keluarga sahaja sebab orang kampung datang nak makan je. 


Elemen komedi terhasil dari time loop yang terjadi dan juga konflik cinta terhalang. Kebanyakan babak komedi digalas oleh Rajkummar dan pembantu sampingan yang lain. Watak adik Ranjan, Keri Tiwari (Pragati Mishra) not bad lah untuk pelakon baru tapi untuk buat dia bercinta dengan Sushil (Jay Thakkar) untuk tujuan komedi, agak merepek for me. 

Sinematografi dari Sudeep Chatterjee yang popular dengan kerjanya dalam filem Bajirao Mastani (2015), Brahmastra: Part One – Shiva (2022) dan Chandu Champion (2024) menggunakan keindahan Mira Road dan Vanarasi dengan cemerlang untuk elemen romantik antara Titli dan Ranjan. Keindahan budaya masyarakat yang berkait rapat dengan tempat keagamaan juga dipaparkan dengan cantik melalui penggunaan warna dan rutin seharian. 


Seronok tengok wardrobe Wamiqa Gabi dalam filem Bhool Chuk Maaf sebab lehenga atau Anarkali dia guna warna yang kontra tapi serasi. Pakaian untuk watak Titli semuanya sopan dan cantik, sesuai lah dengan watak dia yang dibesarkan di kawasan yang menggunakan aktiviti kerohanian sebagai sumber pendapatan. 



Music album Bhool Chuk Maaf dari Tanishk Bagchi kurang menjadi bila lagu romantik Koi Naa sahaja yang mencuri perhatian. Selebihnya passable termasuklah Chor Bazari Phir Se. Tak faham kenapa Maddock Films klasifikasikan filem Bhool Chuk Maaf sebagai romantik komedi sedangkan vibe dia lebih kepada komedi drama. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 8.9/10

HIND RAJAB: SUARA KECIL YANG DIBUNUH OLEH DUNIA YANG MEMBISU

Saturday, 10 January 2026

Namanya Hind Rajab Hamada. Usianya baru enam tahun. Dunia mendengar rintihannya, lalu berpaling seolah-olah nyawanya tidak bernilai. 

Hind bukan pejuang, bukan askar mahupun ancaman. Dia hanya seorang kanak-kanak Palestin yang terperangkap di dalam sebuah kereta, dikelilingi mayat ahli keluarganya sendiri sambil memegang telefon dan merayu untuk hidup. Dalam suara yang bergetar, Hind meminta bantuan “Please come,” tuturnya dengan pilu. Meskipun dunia mendengar, dunia gagal untuk menyelamatkan. 

Pada 29 Januari 2024, Hind berada di Gaza bersama keluarganya apabila kereta mereka diserang. Seorang demi seorang terkorban. Tinggallah Hind, sendirian dikelilingi jasad yang sudah tidak bernyawa. Dia menghubungi perkhidmatan kecemasan Palestin bukan untuk menangis tetapi untuk bertahan.

Dalam rakaman panggilan itu, suara Hind kecil, lemah namun penuh harapan. Dia tidak faham mengapa dia dibiarkan begitu lama. Dia tidak tahu bahawa bantuan yang dijanjikan kepadanya tidak pernah sampai. 

Selama lebih dua jam, Hind bertahan di talian telefon. Dia menjawab soalan dengan suara yang semakin perlahan. Dia memberitahu bahawa dia takut. Dia memberitahu bahawa semua orang di sekelilingnya sudah ‘tidak bergerak.’

Apabila talian itu akhirnya senyap, ia rupanya jam terakhir sebuah zaman kanak-kanak. Ambulans yang tiba membawa harapan turut menjadi sasaran, dengan dua orang paramedik yang hadir dalam misi menyelamat itu akhirnya gugur di medan yang sama.

Menurut laporan pengesahan oleh PRCS dan pihak berkuasa tempatan Gaza, disokong juga oleh laporan BBC & Al Jazeera, Hind ditemui tidak bernyawa bersama enam ahli keluarganya, 12 hari kemudian, iaitu pada 10 Februari 2024, selepas pengunduran tentera Zionis. Sebanyak 355 butir peluru dilaporkan menembusi kenderaan yang mereka naiki.

Di saat pemimpin berdebat, di saat istilah ‘kerosakan sampingan’ digunakan, seorang kanak-kanak mati ketakutan, sendirian. Soalan paling menyayat hati bukanlah bagaimana Hind mati, tetapi mengapa tiada siapa menghentikannya daripada mati.

Hind Adalah Anak Kita Semua. Jika Hind lahir di tempat lain, jika dia bercakap bahasa lain, jika kulitnya berbeza warna, adakah nasibnya akan sama? Hind Rajab mengajar dunia satu perkara yang pahit bahawa nyawa seorang kanak-kanak Palestin masih perlu diperjuangkan untuk diakui sebagai nyawa yang berharga.

Hind Rajab bukan sekadar satu nama dalam senarai korban. Dia adalah simbol kepada kegagalan dunia untuk melindungi mereka yang paling tidak berdosa. 

Hind sudah tiada. Tetapi suaranya masih bergema dalam rakaman, dalam ingatan, dalam hati nurani mereka yang masih mampu merasa. Setiap kali dunia memilih untuk berpaling, ingatlah suara kecil itu yang pernah berkata: “Please come…”

Ayuh bersama kita menonton The Voice of Hind Rajab, di pawagam terpilih di seluruh negara.

AKHIRNYA! THE VOICE OF HIND RAJAB KINI DITAYANGKAN DI KEDAH & KUANTAN!

Friday, 9 January 2026

AKHIRNYA! THE VOICE OF HIND RAJAB KINI DITAYANGKAN DI KEDAH & KUANTAN! | INI BUKAN SEKADAR TAYANGAN. INI BUKTI SUARA KITA!

Orang Kedah & Pahang, berita baik untuk anda semua!

The Voice of Hind Rajab kini rasmi ditayangkan di GSC di lokasi berikut:

📍 Aman Central

📍 Amanjaya Mall

📍 Kuantan City Mall

Ini membuktikan bahawa apabila kita bersuara, suara itu didengari melalui sokongan dan solidariti yang berkesan!

Tak banyak negara diberi peluang menayangkan filem ini.

Kita antara yang terpilih.

Ayuh buktikan kita peduli, demi kemanusiaan.

Jom penuhkan pawagam dan media sosial dengan filem ini!

Tempah tiket, tonton bersama dan kongsikan pengalaman anda di media sosial supaya lebih ramai orang tahu tentang filem ini.

Dan siapa tahu, dengan sokongan berterusan, Kulim & Perlis pula menyusul selepas ini🤍

#GerakkanSuaraMalaysia
#FilmTheVoiceOfHindRajab
#HindRajabSuaraTerakhir
#HindRajabOscar2026