Cannes 2025 Fashion Files | Aishwarya Rai Bachchan

Thursday, 24 July 2025


Seperti kebiasaannya, permulaan Festival Filem Cannes akan dirasmikan oleh Aishwarya Rai Bachchan sebagai duta penaja utama iaitu Lóreal. Tahun ini juga Aish ditemani oleh anak tunggalnya, Aaradhya ke French Riviera.

1. Vanarasi Saree


Dalam entry Met Gala 2025 I dah puji karya Manish Malhotra bila all out dengan rekaan untuk Bollywood dan Hollywood stars yang join charity event tu.  Sama juga dengan Cannes bila Manish Malhotra mencuri tumpuan dengan persalinan berona putih gading untuk karpet merah tayangan perdana filem The History of Sound arahan Oliver Hermanus. 

Sari yang direka khas mengikut keselesaan bekas Ratu Cantik India ini menggunakan teknik tenunan tangan Kadwa / Kadhua. Teknik ini selalu digunakan untuk tenunan sari sutera dari Banarasi, India. Sari rekaan Manish Malhotra menggunakan rona putih gading sebagai warna utama ditemani oleh motif corak berwarna emas dengan teknik tenunan di bahagian sari dan juga dupatta. Dekat bahagian hujung lengan tu ada border tebal berwarna emas but most of the time tertutup dengan dupatta. 


Persalinan Aishwarya diberi sentuhan moden dengan kalung rubi berlapis beserta choker yang diperbuat dari batu rubi. Dua cincin bermotifkan bunga dan abstrak petak menggunakan material yang sama dengan kalung perhiasan menjadi hiasan di jari. 

Kalau tahun lepas Aish datang bersama dengan anduh tangan, tahun ini Aishwarya matikan gosip tentang rumah tangganya bersama Abhishek Bachchan dengan memakai sindoor tebal. Rumahtangga kedua-dua pelakon ternama Bollywood ini dikatakan bergolak hingga bakal bercerai gara-gara orang ketiga. 


My personal rant on this look, Aish nampak menawan dalam sari serba putih ni TAPI hairstyle dia minus. Kalung rantai dia cantik tapi tertutup dengan rambut. At least biar sebelah di hadapan, sebelah lagi sisip di belakang. 

2. Glamorous Diva


Penampilan kedua di karpet merah Cannes pada tayangan perdana filem La Venue De L'avenir, Aishwarya Rai Bachchan mengenakan sepasang couture gown berwarna hitam dengan taburan manik kristal bercorak abstrak melambangkan kosmos rekaan eksklusif Gaurav Gupta. 

Uniknya rekaan ‘Heiress of Clam’ mengambil inspirasi keagamaan di mana cape berona silver mempunyai bait-bait seloka Sanskrit dari kitab Bhagavad Git. 


“You have a right to perform your actions, but not to the fruits of those actions. Let not the fruits of action be your motive, nor let your attachment be to inaction.”



Aish tampil anggun dan elegan, sesuai dengan personanya sebagai Ratu Cantik. I love the hair, makeup suits her very well. Cape dia je kadang menganggu sebab oversize dan tak sama macam dalam sketch. Kalau pin supaya tak jatuh melorot macam tu mungkin lagi cantik. Berbeza sangat dua penampilan Aish di karpet merah Cannes. I hope tahun depan stylist dia prep for something better than this. 

3. Mauve Move


Tak tahu kenapa Aish atau PA dia tak upload gambar ni dekat social media padahal Aish nampak cantik dan feminin sangat dalam persalinan berona ungu muda sepadan dari atas hingga kaki. Warna outfit ni sesuai dengan skin tone Aish yang cerah, buatkan dia nampak muda dan berseri. 

Kalau top dekat bahagian dalam blazer tu guna warna yang berbeza mungkin lebih menarik dan mencuri perhatian. Hairstyle wavy ni kena betul dengan penampilan Aish ditambah pula dengan makeup yang bold yet minimal. Lipstick shade dari Lóreal tu cantik, rasanya berbeza dengan yang Aish pakai dekat red carpet hari kedua. Kalau sama, mungkin sebab berbeza pencahayaan. 

Nevertheless she looks beautiful. 

Final Coat


Bertolak pulang ke Mumbai, Aish selesa mengenakan all black outfit dengan padankan blaus organza hitam, seluar panjang dan kot hitam dari butik Dhruv Kapoor. Penampilan Aish sepadan dengan Aaradhya. Both looks cute.

Overall, penampilan Aish dekat Cannes 2025 bagi harapan baru untuk imej dia yang selalu kena troll setiap kali muncul. I tak rasa dia tukar stylist tapi designers approach dia untuk peragakan kostum masing-masing memandangkan Aish memang nama yang wajib pergi. 

BLOOD BROTHERS BAWA AURA KEPALA NAGA KE AMT2025! | Pertembungan Tiga Saudara: Sharnaaz vs Syafiq vs Zamarul

Blood Brothers masih belum reda disensasikan, naskhah penuh aksi dan emosi ini kini melangkah dari layar perak ke pentas anugerah. Barisan pelakonnya dilihat mendominasi kategori Selebriti Maskulin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025), apabila Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Zamarul Hisham berjaya menempatkan diri dalam Top 10. Ini sekali gus membuktikan bahawa pengaruh Blood Brothers masih membara dan terus mencuri perhatian sepanjang tahun ini.

Dulu berlawan di skrin, kini bersaing di carta undian! Dalam Blood Brothers, Sharnaaz dan Syafiq bergandingan sebagai ‘bodyguard’ setia di sebalik sebuah organisasi gelap, manakala Zamarul pula tampil sebagai anggota polis yang lantang melabel mereka sebagai penyangak. Kali ini, mereka bertembung sekali lagi, bukan dalam adegan penuh ketegangan, tetapi dalam perebutan gelaran Selebriti Maskulin Terhangat AMT2025.

Tegas, berprinsip dan autentik, itulah Sharnaaz Ahmad atau lebih mesra dipanggil 'Mamu' dalam kalangan warganet. Namanya tidak asing dalam dunia lakonan, terutama menerusi watak-watak berat yang meninggalkan kesan. Setiap karakter yang dibawa dihidupkan dengan jiwa dan karisma yang mencerminkan keperibadiannya. Mungkinkah Sharnaaz Ahmad pilihan paling tepat untuk merebut gelaran Selebriti Maskulin Terhangat AMT2025?

Turut menjadi tumpuan ialah Syafiq Kyle, pelakon versatil yang tidak gentar mencabar diri. Daripada watak lelaki idaman hingga karakter penuh kompleks, setiap lakonan dihayatinya dengan mendalam sehingga mampu memukau penonton. Tahun ini, Syafiq kembali menggegarkan panggung menerusi Blood Brothers yang menyerlahkan kematangan lakonannya. Setelah sekian lama menyepi dari pentas kemenangan, mampukah Hero Malaya ini bangkit semula dan menewaskan pesaing-pesaingnya di AMT2025?

Jangan pandang sebelah mata! Berbekalkan pengalaman lebih dua dekad, Zamarul Hisham kembali mencetus impak menerusi watak Ayah Abdul dalam drama Langit ke Tujuh, dengan aura dingin yang cukup menggerunkan. Tidak terhenti di situ, lakonannya sebagai DSP Adlin dalam Blood Brothers mengukuhkan lagi reputasinya sebagai pelakon berkaliber yang tetap relevan dan wajar diberi perhatian menjelang AMT2025.

Tiga nama besar, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Zamarul Hisham tampil dengan aura dan kekuatan tersendiri, bakal bersaing sengit merebut gelaran Selebriti Maskulin Terhangat di AMT2025 menentang barisan selebriti hebat seperti Fattah Amin, Remy Ishak, Dato’ Adi Putra, Datuk Rosyam Noor dan Faizal Hussein. Siapakah yang akan dinobatkan? Segalanya terletak di tangan peminat. Saksikan detik penentu pada 3 Ogos 2025 di pentas penuh prestij, AMT2025.

Untuk mengundi, peminat hanya perlu melayari laman rasmi di www.tonton.com.my/anugerahmeloditerhangat atau muat turun aplikasi Tonton di telefon pintar. Daftar akaun Tonton anda dan langgan pelan TontonUP untuk membuka akses undian, langganan selama 1 bulan akan memberikan anda 500 undian, manakala langganan selama 3 bulan pula melayakkan anda menerima sehingga 2,500 undian, semudah itu sahaja!

Untuk info lanjut tentang barisan selebriti yang akan turut serta, aktiviti lokasi dan kejutan yang menanti, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @MelodiTV3. 

ZAHIRIL BERHASRAT CARI ‘SAHAM AKHIRAT’ DI SET PENGGAMBARAN

Wednesday, 23 July 2025

ZAHIRIL BERHASRAT CARI ‘SAHAM AKHIRAT’ DI SET PENGGAMBARAN | Kisah Seorang Pencuri Dalam Jejak Menuju Keinsafan

Hasrat dan niat yang salah juga mungkin terselit cebisan kebaikan; kerana perjalanan hidup seseorang bukan hanya ditentukan oleh niatnya di permulaan tetapi oleh tindakannya di penghujung hayat. Itulah bayangan “buah tangan” yang ingin diketengahkan Zahiril Adzim, selaku pengarah yang menyuntik sentuhan anak seninya dalam telefilem berjudul Pencuri Rumah Imam. 

Menampilkan elemen komedi santai, telefilem ini akan menceriakan malam Sabtu penonton menerusi slot Cerekarama di TV3. Pencuri Rumah Imam merupakan karya kedua arahan Zahiril Adzim dan bakal menutup tirai siri projek Dari Layar Ke Lensa di TV3.

Dari Layar Ke Lensa merupakan inisiatif TV3 sempena ulang tahun ke-41 yang menampilkan empat pelakon tersohor negara iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim dan kini mengambil kerusi pengarah untuk memperkaya kandungan tempatan. Dengan mengetengahkan penceritaan yang lahir daripada jiwa dan pengalaman mereka sendiri, projek ini mencerminkan komitmen TV3 dalam memperkasa bakat kreatif tempatan serta membuka ruang kepada naratif segar melalui sudut pandang unik para penggiat seni.

Pencuri Rumah Imam mengisahkan seorang pencuri bernama Adli (Fikry Ibrahim) yang menyamar sebagai orang kaya bagi menyembunyikan identiti sebenarnya daripada penduduk kampung. Penyamarannya berhasil apabila dia berjaya meraih kepercayaan Tok Imam Saleh (Razak Ahmad) yang ketika itu sedang berdepan tekanan mengenai kredibilitinya sebagai pemimpin surau.

Mengambil kesempatan dalam kesempitan Tok Imam Saleh, Adli menyatakan tujuannya ke kampung itu adalah untuk mendalami ilmu agama, sedangkan niat sebenarnya adalah untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa.  Tok Imam yang berlapang dada melihat potensi perubahan dalam diri Adli, 

lalu menerima niatnya untuk ‘berhijrah.’ Namun, bukan semua orang mudah percaya. Khadijah (Shiqin Kamal), anak perempuan Tok Imam, menaruh rasa sangsi terhadap keikhlasan Adli, lantas mencetuskan ketegangan dan konflik dalaman.

Siapakah Adli sebenarnya dan adakah dia akan  terus berpura-pura, atau akhirnya benar-benar berubah apabila mendapat dorongan dan didikan agama oleh Tok Imam?

Pencuri Rumah Imam dibarisi pelakon berpengalaman seperti Fikry Ibrahim, Shiqin Kamal dan Razak Ahmad, membawa mesej tentang nilai kemanusiaan, keinsafan dan sindiran sosial yang halus.

Misalnya, babak Adli bersembunyi dalam van jenazah ketika melarikan diri mungkin dilihat sebagai perlambangan manusia yang hanya mengingati mati saat dihimpit desakan hidup. Namun bagi Zahiril, tiada mesej tersembunyi diselitkan, tetapi beliau terbuka jika ada yang mahu mentafsirkannya secara simbolik.


Menurut Zahiril, “Niat asal filem ini memang sekadar komedi. Tapi kalau ada yang melihatnya dari sudut simbolik, saya tak menolak. Kadang-kadang sebagai manusia, kita hanya mula ingat Tuhan bila rasa diri dekat dengan kematian. Tapi kalau perkara ni dapat dibaca dan orang dapat mesej baik daripada karya saya, saya anggap itu suatu bonus dan mudah-mudahan saya pun dapat ‘saham akhirat’.”

Naskhah ini turut menyentuh isu materialisme serta kesan buruk pengaruh wang terhadap manusia. “Bagi saya, duit memang jahat. Ia boleh bawa kepada pergaduhan, malah sampai ke tahap mencabut nyawa. Daripada sekecil-kecil ringgit yang menjadi masalah hinggalah ke konflik besar dunia, semuanya berpunca daripada kerakusan manusia terhadap kekayaan. Memang kita perlukan duit untuk hidup, tapi jangan sampai ia memakan diri sendiri. Itu simbolik yang saya cuba sampaikan dalam karya ini,” jelas Zahiril.


Nantikan Pencuri Rumah Imam, sebuah telefilem yang mengangkat persoalan kejujuran, peluang kedua dan kesedaran diri yang akan ditayangkan pada hari Sabtu ini, 26 Julai, jam 10 malam di slot Cerekarama TV3. Ia sekali gus melengkapkan siri eksplorasi kreatif empat pengarah selebriti yang diberi ruang untuk berkarya melalui Dari Layar Ke Lensa.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

‘THE DEFECTS’ DALAMI SISI DUNIA GELAP PEMERDAGANGAN KANAK-KANAK | DEX Beraksi dalam Drama Thriller Serius!

Peminat K-drama! Bersiap sedialah untuk menyelami sisi gelap dunia yang jarang dibicarakan. Drama bersiri baharu dari Korea, ‘The Defects,’ kini boleh distrim di Tonton, ditayangkan serentak bersama siaran di Korea.

Dibintangi oleh pelakon berbakat seperti Yum Jung-ah, Won Jina, Choi Young Jun dan Kim Jin Young (DEX), siri ini menjanjikan sebuah jalan cerita yang penuh dramatik, konflik serta persoalan yang mencabar naluri manusia.

‘The Defects’ ialah drama thriller aksi yang mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang dibeli secara haram oleh ibu bapa angkat mereka, lalu terperangkap dalam dunia gelap pemerdagangan manusia. Di sebalik dunia ini, adanya Kim Se-Hee (lakonan Yum Jung-ah), seorang doktor ternama dan pengarah hospital berprofil tinggi yang turut mengetuai sindiket anak angkat haram yang dikendalikan oleh Jung Hyeon (lakonan Kim Jin Young).


Organisasi ini menawarkan "jaminan pemulangan", satu sistem kejam yang mampu melenyapkan kanak-kanak ini hanya kerana mereka tidak memenuhi harapan ibu bapa angkat mereka. Muncul pula Kim A-Hyeon (lakonan Won Jina), salah seorang mangsa yang berjaya melepaskan diri. Kini, dia bangkit memimpin anak-anak lain untuk menuntut kembali masa depan mereka yang telah dianiaya dan membalas dendam terhadap pengkhianatan masa lalu yang terus menghantui. 

Kisah berani ini diangkat daripada webtoon popular yang pernah mencetus fenomena, dengan karya asalnya menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah “Best Creative Award” dalam kategori Webtoon di International Content Market SPP 2017, satu pencapaian yang membuktikan kekuatan naratif dan mesej yang dibawa.


‘The Defects’ juga menyaksikan kembalinya DEX ke dunia lakonan, kali ini menerusi sebuah thriller yang penuh ketegangan dan rahsia kelam. Dikenali sebagai bekas tentera khas dan bintang rancangan realiti, DEX terus memperluas bakat seninya, dan kemunculannya kali ini sememangnya dinanti-nantikan ramai.

Strim ‘The Defects’ sekarang di Tonton! Episod baharu setiap Isnin dan Selasa, jam 10 malam, serentak dengan tayangan di Korea, bermula 21 Julai. Inilah peluang anda untuk melihat aksi barisan pelakon tersohor menghidupkan dunia yang dilatari misteri, luka dan keinsafan yang pasti membuat anda terpaku setiap minggu!


Jangan ketinggalan juga penutup kisah penuh debaran dari Korea yang sedang hangat diperkatakan, ‘S LINE,’ dengan dua episod terakhir yang akan disiarkan Jumaat ini, 25 Julai, jam 10 pagi, hanya di Tonton.

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy. 

Senarai Florist di Ara Damansara

Tuesday, 22 July 2025

Kerja dekat legal firm ni sentiasa memerlukan khidmat florist bukan semata untuk client tapi untuk meraikan warga firm dengan chambering students jugak. Dekat Ara Damansara tak lah banyak tapi ada pilihan juga untuk buat same day delivery atau last minute order. 

1. Tailored Floral, CITTA MALL


Sebelum ni pernah update tentang Tailored Floral sebab nak cari bunga untuk long call one of our chambee. Masa tu Tailored Floral ni dekat dalam Village Grocer CITTA Mall tapi sekarang dah ada ruang reruai sendiri dekat luar tu, bersebelahan dengan bakery. 

Sejak keluar ni pilihan bunga lebih menarik, mungkin sebab ada banyak ruang. Ada bouquet yang dah ready juga dekat bahagian dalam. Pilihan kad pun dah bertambah. I suka beli bunga dekat sini sebab florist dia friendly, helpful dalam pemilihan bunga dan wrapper. 

2. Village Grocer


Belakang Tailored Floral, ada pilihan bunga juga pokok bunga dekat Village Grocer. Kalau nak beli bunga segar yang murah boleh beli dekat sini juga. Bouquet dia pun affordable lah kalau last minute order cuma kadang tu tak boleh nak custom sebab staff supermarket ni dah prepare siap-siap, customer tinggal ambil dan bayar dekat cashier counter. 

But still a good option untuk beli bunga bila terlupa esok kena pergi court nak celebrate long call. 

3. Whimsy Bloom


Hujung tahun lepas baru perasan kewujudan Whimsy Bloom ni sebab selalu nampak dekat website tapi tak sangka dekat sangat dengan Oasis Square Ara Damansara. Nampak macam baru tapi staff florist ni kata dah lama dah dekat situ. Pernah jugak buat tempahan untuk bouquet long call chambee dekat sini. Nak arrange masa untuk pickup pun senang sebab staff dia friendly. 

Cuma kalau untuk bouquet biasa I would prefer dua pilihan dekat atas sebab bunga segar dekat store Whimsy Bloom tak lah segar sangat. Harga pun a bit pricey untuk bunga yang tunggu masa nak layu. Mungkin I selalu datang petang so bunga dah nak habis. 

Senarai ni mungkin tak banyak dan mungkin tak menyeluruh sebab ada beberapa tempat dekat Ara Damansara ni yang tak habis explore so kalau ada florist tak masuk dalam list, boleh je contact untuk dimasukkan dalam ni. Have a nice day!

DIDI & FRIENDS CIPTA REKOD DALAM ‘THE MALAYSIA BOOK OF RECORDS’ BAGI PENYERTAAN KANAK-KANAK TERAMAI DALAM ACARA PENCERITAAN | Kempen Story Time dilancarkan untuk memupuk minat membaca sepanjang hayat

Rakan animasi kanak-kanak kesayangan ramai, Didi & Friends, secara rasmi telah mencipta rekod dengan mencatatkan nama dalam The Malaysia Book of Records bagi kategori “Penyertaan Kanak-Kanak Teramai dalam Acara Penceritaan”, dengan penyertaan menakjubkan seramai 2,172 orang kanak-kanak dalam satu sesi bercerita yang diadakan di MAEPS, Serdang.

Acara bersejarah ini diadakan dengan kerjasama Al-Kauthar Eduqids sempena Karnival Sukan Al-Kauthar Eduqids with Friends 2025, iaitu sebuah sambutan yang menggabungkan pembelajaran, keseronokan dan semangat komuniti. Sesi bercerita ini menampilkan kisah klasik Arnab & Kura-Kura, yang pada awalnya disampaikan oleh seorang guru sebelum dihidupkan dalam versi Didi & Friends yang penuh warna dan ceria oleh pengacara Abang Pa’an yang sentiasa bertenaga.

Rekod rasmi ini telah dianugerahkan kepada Didi & Friends, sebuah harta intelek (IP) yang dimiliki bersama oleh Astro dan Warnakala Studios. Walaupun rekod rasmi mencatatkan seramai 2,172 kanak-kanak, aktiviti penceritaan diteruskan sepanjang hari dengan jumlah penyertaan melebihi 6,000 orang kanak-kanak. Karnival ini secara keseluruhan berjaya menarik lebih daripada 20,000 pengunjung ke Dewan C, MAEPS, Serdang, termasuk ibu bapa dan ahli keluarga.

Acara istimewa ini turut menjadi pelancaran rasmi bagi kempen Didi & Friends Story Time yang bertujuan menggalakkan kanak-kanak membaca dan meneroka dunia penceritaan yang lebih menyeronokkan. Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Didi & Friends turut membuat kemunculan khas sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada hujung minggu yang sama di Perkarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, di mana para peminat berpeluang bertemu dengan watak kegemaran mereka.

Penolong Kanan Naib Presiden, Studio GenNext, Astro, Edison Cheam, berkongsi, “Di Astro, kami amat komited untuk memupuk semangat cintakan pembelajaran dan pembacaan dalam kalangan kanak-kanak. Menerusi platform kami serta kerjasama dengan IP kandungan seperti Didi & Friends, kami berhasrat untuk menyebarkan nilai-nilai positif dan menginspirasi tabiat murni yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.”

Pencapaian ini membuktikan betapa kuatnya kuasa penceritaan dalam menyatukan komuniti serta mencetuskan imaginasi si kecil di seluruh Malaysia. Didi & Friends Story Time berlangsung pada setiap hari Jumaat, jam 11 pagi di Astro Ceria (saluran 611), serta secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99/sebulan. Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga. Tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Entertainment dengan hanya RM139.99/sebulan. Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ‘Hi’ ke 03 9543 3838.

Minggu kelima Raise The Star Malaysia yang berkonsepkan tema “Switch Mode 360” terus menyajikan persembahan bertenaga dan penuh kejutan. Hariz Fayahet terus mempertahankan kedudukan teratas dalam senarai ‘The Five’ dengan markah keseluruhan sebanyak 70.76%, bersama Didie Shazry, Zury, Pasya dan Sharee Lopes. 

Turut mara ke minggu suku akhir ialah para peserta yang semakin mencuri perhatian: Keka, Aliff Amie, Rayme, Melinda Dadew, Zuana, Aril Eles, Scha Nuril, Max Brandon dan Darling. 

Tiada penyingkiran diumumkan minggu ini oleh hos program, Sherry Alhadad dan Aliff Satar. Lebih membanggakan, Melinda Dadew terus membuktikan prestasinya apabila sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Gempak Star On Fire buat kali ketiga berturut-turut. 

SENARAI LAGU

Rayme: Fantasia Musim Cinta - Iwan (58.20%)

Hariz Fayahet: Cek Mek Molek - Dato’ M. Daud Kilau (70.76%)

Keka: Kurik Kundi - Dato’ Sri Siti Nurhaliza (63.68%)

Melinda Dadew: Angkat - Mimi Fly (64.00%)

Sharee Lopes: Selangit - Mas Idayu (64.81%)

Pasya: That's What I Like - Bruno Mars (67.43%)

Aril Eles: Kaho Naa Pyar Hai - Udit Narayan & Alka Yagnik (63.49%)

Zuana: Supergirls - De Fam (63.09%)

Zury: Ikan Dalam Gambus - Elcorona Gambus (69.87%)

Alif Amie: Eyes, Nose, Lips - Taeyang (62.04%)

Didie Shazry: Mencari Konklusi - Hujan (70.38%)

Max Brandon: Without You - Air Supply (54.82%)

Scha Nuril: Sakit - Zynakal Ft Yonnyboii (55.84%)

Darling: Temberang - ayda Jebat (61.87%)

INFO PROGRAM RAISE THE STAR MALAYSIA

• Penjurian Raise The Star Malaysia terbahagi kepada dua bahagian iaitu pemarkahan komposer (juri) dan undian pihak umum.

• Para peserta akan diadili oleh komposer berdasarkan persembahan dengan markah penjurian sebanyak 80%, manakala undian pihak umum pula menyumbang kepada 20%.

• ‘Slay Meter’ adalah sistem kedudukan (ranking) yang diberikan oleh para juri berdasarkan persembahan para bintang. Bintang yang mendapat 5 slay akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai dari pihak penaja.

• ‘Raise The Star’ disokong oleh QSR Brands (KFC) dan UMobile selaku Penaja Utama.

• Peserta dengan kedudukan paling bawah akan tersingkir dari pertandingan.

Jangan ketinggalan untuk terus menyaksikan detik-detik mendebarkan Raise The Star Malaysia setiap minggu, hanya di Astro Ria (Saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.

‘ANGKASA’ – BALADA ROMANTIK PUISI DUA DUNIA OLEH KAEL | Sentuhan Eksklusif Kael, Omar K dan Iqie Hugh

Penyanyi berbakat besar, Kael, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single keempatnya bersama Alternate Records berjudul ‘Angkasa’, sebuah karya balada pop moden yang menyentuh perasaan, hasil kolaborasi kreatif bersama komposer terkenal Omar K dan penerbit muzik berbakat, Iqie Hugh.

‘Angkasa’ bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi sebuah manifestasi emosi dua jiwa yang mencintai namun terpisah oleh realiti yang berbeza – ibarat siang dan malam yang berkongsi langit yang sama. Diilhamkan oleh konsep cinta dua dunia, ‘Angkasa’ merangkumi tema kesetiaan, harapan dan keindahan dalam ketidaksempurnaan.

“Mesej utama lagu ini adalah tentang kepercayaan terhadap cinta yang tulus walaupun berada dalam situasi yang tidak ideal. Jika cinta itu ikhlas dan kuat, mereka tetap bersatu secara emosi dan spiritual di ‘Angkasa’ yang sama,” jelas Omar K, yang turut mencipta melodi indah dan puitis lagu ini bersama Kael dan Iqie Hugh.

Keunikan ‘Angkasa’ terletak pada susunan muziknya yang minimal tetapi sarat emosi, membolehkan vokal Kael menyerlah dengan penuh nuansa. Melodinya yang tidak konvensional – lembut tetapi kuat, sedih namun penuh harapan, menambahkan elemen dramatik yang sinematik dan atmospherik. 

Dengan genre pop balada moden yang digabungkan dengan elemen elektronik minimal dan atmosferik, ‘Angkasa’ memberi rasa ‘ethereal’ yang melambangkan kebebasan emosi di langit luas. Lirik-lirik seperti : “Walau Bulan Dan Matahari Berbeza, Kau Pagi Dan Ku Malam, Tetap Di Angkasa Yang Sama…” menjadi puisi cinta moden yang mampu meresap ke jiwa pendengar.

Kael yang juga terlibat secara menyeluruh dalam penulisan, gubahan dan pembangunan visual untuk ‘Angkasa’ meluahkan rasa terharu. “Lagu ini sangat peribadi. Ia menonjolkan sisi saya yang sebenar dan paling tulen. Salah satu cabaran adalah untuk mencari perkataan yang tepat dari dalam hati sendiri dan membentuknya menjadi melodi yang puitis dan bermakna.”

Tambahnya lagi, ‘Angkasa’ merupakan sebuah lagu cinta paling romantis dalam zaman ini, dihasilkan dengan niat untuk menyentuh hati para pendengar. “Romantis itu tidak boleh dipalsukan. Lagu ini saya dedikasikan kepada semua pasangan, sahabat dan pencinta. Ia sesuai dimainkan dalam majlis perkahwinan, ulang tahun, video istimewa, malah hanya untuk menyatakan betapa kita menghargai seseorang yang kita cintai.”

Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar tiga bulan, termasuk penulisan, susunan muzik dan rakaman vokal. Sesi rakaman vokal utama Kael pula hanya mengambil masa satu hari, hasil kerjasama yang cemerlang antara artis dan penerbit. Omar K mengakui Kael sebagai artis yang amat profesional, bersedia dan bersemangat tinggi ketika berada di studio.

Kael turut berharap ‘Angkasa’ dapat melangkah lebih jauh. “Saya berharap lagu ini menjadi kegemaran semua. Doakan agar Angkasa dapat menembusi ke negara jiran dan membawa nama seni Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya yang bersemangat melangkah lebih jauh sebagai seorang artis sejati.

Jangan lepaskan peluang untuk menyelami kisah cinta dalam ‘Angkasa’, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti YouTube Music dan Spotify. Kongsi lagu ini dengan insan tersayang, dan jadikan ia latar istimewa dalam detik-detik romantis anda.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

Movie Review | Cinta Tak Seindah Drama Korea (2024)

Sunday, 20 July 2025


Pengarah: Meira Anastasia   
Penulis Skrip: Meira Anastasia
Pelakon: Lutesha, Ganindra Bimo, Jerome Kurnia, Anya Geraldine, Dea Panendra, Unique Priscilla, Gary M. Iskak, Rafly Altama Putra, Sadha Triyudha, Kristo Immanuel, Sung Byoung-sook
Syarikat Produksi: Imajinari Pictures  
Pengedar: Netflix
Genre: Drama / Romantik
Durasi Tayangan: 120 minit
Tarikh Tayangan: 01 Disember 2024 (Jogja-NETPAC Asian Film Festival), 5 Disember 2024 (Indonesia)
Trailer:


Filem yang mendapat tayangan perdana di Jogja-NETPAC Asian Film Festival ke-19 ini mengisahkan tentang percintaan antara Dhea (Lutesha) dan Julian (Jerome Kurnia) yang berputik kembali setelah bertemu di Korea. 

Dhea bercuti ke Korea bersama rakan-rakan baiknya sejak sekolah - Kikan (Dea Panendra) dan Tara (Anya Geraldine) untuk sambut ulangtahun Dhea di sana. Percutian mereka ditaja sepenuhnya oleh kekasih Dhea, Bimo (Ganindra Bimo). Percutian mereka penuh dengan aktiviti ke destinasi popular di Korea dan tak lupa juga untuk bertemu dengan cinta khayalan mereka, Goong-yoo. 


Setelah penat berjalan-jalan, sebelum pulang ke hotel, mereka bertiga singgah untuk minum di food truck. Setelah pulang baru Dhea perasan beg dompetnya tertinggal di sana. Bila patah balik ke situ, Dhea bertemu dengan Julian, cinta pertama ketika di sekolah menengah. Mereka terputus hubungan selepas jejaka kacak tersebut menghilangkan diri pada hari pengebumian orang tua Dhea. 

Julian cuba membantu untuk menjadi tour guide untuk mereka bertiga dan berbaik semula dengan Dhea namun Tara tidak senang dengan kemesraan mereka. Tara ambil keputusan untuk hubungi Bimo dan maklumkan perkara tersebut. Bagi Tara, kawan baiknya tak sepatutnya melepaskan lelaki terbaik seperti Bimo hanya kerana cinta pertama. 


Kejutan demi kejutan berlaku bila Julian ceritakan perkara sebenar yang terjadi dan Bimo melamar Dhea di Korea. Siapa yang akan dipilih oleh Dhea kena tengok sendiri lah dekat Netflix. 

Naskhah romantik drama arahan dan penulisan Meira Anastasia merupakan naskhah debut setelah mengutip pengalaman sebagai assistant director untuk filem seperti Teka Teki Tika (2021) dan Cek Toko Sebelah 2 (2022). Filem Cinta Tak Seindah Drama Korea mempunyai perjalanan yang kontra dengan tajuk sebab kisah cinta Dhea dengan Julian atau Dhea bersama Bimo memang seakan sama dengan drama Korea. Dekat hujung filem pun penulis cross perkataan Tak sebab memang sama pun. A surprise element, I guess. 


Chemistry Lutesha dengan Jerome Kurnia tak lah kuat mana pun untuk buatkan kita terbuai dengan percintaan mereka yang sekejap sangat tu. Mungkin pengarah setuju untuk cast sebab cinta pertama Dhea baru nak berputik tapi ditimpa musibah. Bila berjumpa balik akan jadi canggung. It is justifiable tapi dengan Bimo pun tak ada lah kuat mana walaupun Dhea dengan Bimo dah bercinta sejak zaman universiti lagi. Mungkin sebab lakonan Lutesha sebab dia adalah watak yang buat I tak selesa untuk tonton walhal dia watak utama. 

Surprisingly, I lebih tertarik dengan konflik rumah tangga yang dialami oleh Kikan sebab isu yang dibawakan adalah realiti kebanyakan isteri. Selepas melahirkan anak ketiga, Kikan rasa insecure dengan perubahan tubuh badan dia, tambah pula suami dia, Eka (Sadha Triyudha) dah lama taka jak untuk bersama. Selain bercuti dan sambut ulangtahun Dhea di Korea, Kikan cuba untuk dapatkan janji temu bersama doktor pembedahan plastik. 


Watak Tara mungkin dipaparkan sebagai antagonis dalam dunia percintaan Dhea dan Julian tapi alasan dia pun kukuh juga lah. Suka tengok love angle antara Tara dengan Sakti (Rafly Altama Putra) walaupun age gap mereka berdua agak jauh tapi tak nampak cringe pun. Muka Sakti pun baby face nak dibandingkan dengan Tara yang matang tapi chemistry tu membantu sangat. 


Casting director did a great job untuk wujudkan the trio besties dalam filem Cinta Tak Seindah Drama Korea bila friendship bonding diorang nampak rela onscreen. Jadi seronok dapat berjalan-jalan dekat Korea dengan tiga sekawan ni. Sinematografi dan musik latar yang dimasukkan membantu juga suasana indah saat bercuti di bumi Korea Selatan. 


I must say Imajinari Pictures jaga kualiti filem-filem yang diterbitkan jadi tak hairanlah kalau kualiti filem mencapai objektif baik dari segi hiburan ataupun sebagai medium mesej sosial. Looking forward for more films under Imajinari Pictures and yes, from Meira Anastasia too! Chukahaeyo on your debut~!

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.6/10

Movie Review | Raid 2 (2025)


Pengarah: Raj Kumar Gupta
Penulis Skrip:  Ritesh Shah, Raj Kumar Gupta, Jaideep Yadav, Karan Vyas
Pelakon: Ajay Devgn, Riteish Deshmukh, Vaani Kapoor, Amit Sial, Brijendra Kala, Yashpal Sharma, Rajat Kapoor, Govind Namdev, Shruti Pandey
Syarikat Produksi: T-Series Films, Panorama Studios   
Pengedar: Panorama Studios, PVR Inox Pictures, Netflix
Genre: Drama / Thriller  
Durasi Tayangan: 138 minit
Tarikh Tayangan: 1 Mei 2025 
Trailer:


7 tahun selepas peristiwa serbuan jabatan cukai negara di vila kediaman Tauji (Saurabh Shukla), Income Tax Deputy Commissioner, Amay Patnaik (Ajay Devgn) dipindahkan ke pekan kecil bernama Bhoj di daerah Madhya Pradesh. Perpindahan ke-74 ini berbeza dengan alasan sebelumnya kerana Amay ditangkap ketika menerima rasuah dari Putera Raja. 

Penduduk di Bhoj menyanjung tinggi Dada Manohar Bhai (Riteish Deshmukh) kerana dia bermula dengan menjual kasut namun sering membantu orang kampung yang kesusahan dengan wang yang dia ada. Setelah dihina oleh Menteri Besar, orang kampung mengundi Dada Manohar Bhai dalam pilihanraya lantas menggantikan Menteri Besar di situ. 

Pilihan mereka tepat kerana Dada Manohar Bhai semakin kerap membantu penduduk di situ melalui Yayasan yang ditubuhkan. Setiap pagi Dada Manohar Bhai akan memuja ibunya yang menjadi penyokong kuat ketika dia susah dan senang. Setiap kali bertemu dengan penduduk kampung juga dia akan menyapa dengan ramah. Di Parlimen juga dia lantang bersuara tentang ketidakadilan dan isu-isu lain.

Isteri Amay, Malini Patnaik (Vaani Kapoor) berasa lega sedikit dengan cerita penduduk di situ kerana mungkin mereka akhirnya dapat tinggal lama di Bhoj kerana tiada isu penyelewengan dan rasuah. Namun Amay mempunyai pendirian yang berbeza kerana dia tahu Dada Manohar Bhai sembunyikan duit haram di beberapa kawasan. Makin kuat syak wasangka tersebut bila Dada Manohar Bhai membina sebuah hotel mewah untuk aktiviti perlancongan di Bhoj sedangkan kawasan tersebut tidaklah begitu menarik. 

Sekuel Raid (2018) arahan Raj Kumar Gupta paparkan sebuah lagi kes serbuan di rumah ahli politik yang menggunakan duit haram untuk terlihat murni di hadapan rakyat. Berbeza dengan kes serbuan Tauji yang simpan semua harta dalam rumah, Dada Manohar Bhai adalah watak yang bijak walaupun tidak berpelajaran tinggi. Aliran tunai dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak disyaki oleh sesiapa pun tapi tetap kalah di tangan Amay Patnaik. 

Barisan penulis Raid 2 lebih ramai dari yang sebelumnya tapi sayangnya elemen misteri dan kejutan kurang meninggalkan impak. Mungkin sebab ikut format klise bila wujudkan watak Dada Manohar Bhai yang suci sangat sedangkan kita sedia maklum dia adalah antagonis. Tak ada masalah pun dengan lakonan Riteish tapi babak menyindir Amay tu meleweh sebab dialog yang dimasukkan pun tak lah menyengat. 

Nasib baik second half pengarah masukkan Amit Sial sebagai ketua baru lepas Amay gagal buktikan penyelewengan Dada Manohar Bhai. Kemunculan Tauji dalam beberapa babak sebagai tension relief dan komedi pun menjadi tapi macam tak berapa kena pun ada jugak. 

Lakonan Ajay Devgn antara kelemahan filem Raid 2 bila pihak lawan bertenaga dan kuasai skrin dalam babak bersama. Antara Ajay penat berlakon sebab movie dia back-to-back tahun lepas ataupun filem Raid ni perlukan dia deliver dialogue banyak sangat, tak macam filem Singham Again (2024) dan Shaitaan (2024). Gandingan Ajay dan Vaani Kapoor pun tak sesuai sebab tak ada chemistry, tak macam Ajay dan Ileana. 

Pengarah terpaksa tukar pelakon isteri Amay sebab Ileana dah berhijrah ke luar negara dan sibuk menguruskan anak sulung. Tak lah sedih sangat bila dia tak ada sebab watak isteri pun watak pasu bunga tapi kalau nak ganti pun carilah pelakon yang sesuai. 

Lagu romantik antara Amay dan Malini yang dimasukkan oleh Amit Trivedi tak mampu melekat bila chemistry kureng. Patutnya tak payah bazirkan duit dan screentime dekat lagu. Item song Nasha menggunakan Tammannah Bhatia sebab dia popular dalam lagu Aaj Ki Raat – Stree 2 (2024) tapi tak pergi jauh sebab lebih kurang macam Jehda Nasha – An Action Hero (2021). Biar lagu Money Money je dalam movie atau dekat credit scene sebab original song instead ride on Tammannah's fame sebab franchise Raid dah ada peminatnya tersendiri.



Sama macam Raid (2018), buntang mata tengok kekayaan Dada Manohar Bhai sebab harta dia lagi banyak dari Tauji. Tak pasti lah harta haram Dada Manohar Bhai lagi banyak atau Tan Sri MEX tu, yang pastinya Dada Manohar Bhai lagi kejam bila peralatkan gadis muda untuk beli tanah guna nama mangsa-mangsa dia. 

Filem Raid 2 mungkin kurang memuaskan dalam beberapa aspek namun masih lagi seronok ditonton untuk lihat cara licik yang digunakan untuk sembunyikan wang haram. Filem Raid 2 ni patutnya tayang November 2024 tapi anjak ke tahun 2025 dan tayang pada Hari Pekerja sebagai tribute untuk pegawai Kerajaan. Sayangnya tak ada dialog yang berbisa atau berbaur penghargaan seiring dengan objektif produser. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.8, 3. Audio +0.4, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.5 = 7.2/10