Kuala Lumpur, 20 Julai 2026 – Menuntut ilmu ibarat pelita yang menyuluh jalan kehidupan, membimbing insan ke arah kebaikan serta memperkukuhkan kefahaman dalam menghayati ajaran Islam. Berteraskan aspirasi tersebut, TV3 dan TV9 terus komited menyajikan kandungan Islamik yang berkualiti menerusi wajah baharu Jurnal Muslim, sebuah program yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah menggalakkan penghayatan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Menampilkan sebanyak 60 episod, musim baharu Jurnal Muslim bersiaran mulai 9 Julai hingga 21 November 2026, setiap Khamis hingga Sabtu, jam 6.20 pagi di TV3 dan TV9, serta boleh distrim secara langsung menerusi Facebook TV9, @TV9Malaysia. Musim ini tampil dengan konsep Klasik Melayu yang mengetengahkan keindahan seni bina, budaya dan warisan tempatan sebagai latar penyampaian ilmu Islam, sekali gus mewujudkan suasana yang lebih tenang, dekat dan penuh nilai estetika.
Bagi memperkukuhkan lagi pengisian program, musim ini menjadikan kitab Riyadus Salihin sebagai rujukan utama dalam setiap perkongsian ilmu. Kupasan yang dibawakan merangkumi aspek akhlak, ibadah dan pembentukan sahsiah Muslim berteraskan himpunan hadis-hadis sahih yang relevan serta mudah diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Mengemudi setiap episod ialah tiga personaliti berpengalaman, Fedtri Yahya, Abu Talib dan Amin Idris, yang tampil dengan gaya penyampaian santai, berinformasi dan mudah difahami. Gabungan mereka diharapkan dapat mendekatkan ilmu agama kepada penonton daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Sepanjang 60 episod, penonton akan disajikan dengan pelbagai topik yang dekat dengan realiti kehidupan umat Islam hari ini, merangkumi aspek akidah, ibadah, akhlak, kekeluargaan dan cabaran masyarakat moden. Setiap perbincangan disampaikan secara praktikal dan berpandukan al-Quran serta sunnah, sekali gus menggalakkan penghayatan Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh.
Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti Jurnal Muslim di TV3 dan TV9, atau strim secara langsung menerusi Facebook TV9.






.jpg)
