Amerul Affendi, pelakon utama filem 6 Jilake, mengakui bahawa beliau tidak pernah terfikir untuk terlibat dalam filem bergenre aksi. Namun, demi menyahut cabaran dan mengembangkan bakatnya, beliau mengambil keputusan berani untuk menerima tawaran ini. Genre aksi bukanlah sesuatu yang lazim baginya, tetapi keinginannya untuk meneroka pelbagai jenis watak mendorong beliau menyertai projek ini. Tambahan pula, peluang bekerja di bawah arahan sutradara legenda, Aziz M. Osman, merupakan satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan.
Menurut Amerul, berbicara tentang pengalaman bekerjasama dengan Aziz M. Osman, beliau menggambarkan sutradara itu sebagai seorang storyteller sejati. “Dia seorang yang tegas, berpengalaman, dan penuh semangat di set penggambaran. Walaupun usianya semakin meningkat, energinya di lokasi seakan-akan seorang anak muda. Saya sangat terinspirasi dengan cara Aziz menyalurkan visi dan emosinya kepada para pelakon dengan begitu jelas dan berkesan.” ujar Amerul.
Amerul juga berkongsi tentang cabaran ketika menjayakan 6 Jilake, “Persediaan untuk filem ini bukanlah sesuatu yang mudah. Pengalaman lama saya mempelajari silat ketika di bangku sekolah, serta latihan peribadi, menjadi aset penting dalam membawa watak ini. Ditambah pula dengan ilmu Muay Thai yang pernah saya pelajari untuk filem terdahulu, proses menguasai koreografi aksi menjadi lebih lancar. Latihan intensif selama dua minggu sebelum penggambaran bermula turut membuktikan komitmen kami sebagai pelakon demi memastikan mutu aksi yang dipersembahkan berada pada tahap terbaik.”
“Namun, cabaran terbesar bukan hanya terletak pada gerak silat atau koreografi semata-mata. Lokasi penggambaran yang panas terik, mencecah sehingga 37 darjah Celsius di musim kemarau, benar-benar menguji ketahanan fizikal semua yang terlibat. Berlakon di kawasan lapang tanpa perlindungan mencukupi menuntut disiplin yang tinggi bukan sahaja dari segi tenaga, tetapi juga dari aspek menjaga kesihatan diri sepanjang proses penggambaran.”
Di sebalik segala keletihan dan cabaran, semangat Amerul untuk terus beraksi dalam filem bergenre aksi tetap membara. Malah, beliau turut meluahkan hasrat untuk bekerjasama dengan Syafiq Yusof pada masa hadapan sebagai langkah seterusnya dalam mengukuhkan namanya dalam dunia filem aksi tempatan. "Kalau diberi peluang, saya memang nak lagi," katanya penuh semangat.
Tidak kurang juga pengalaman berharga apabila berpeluang bekerja bersama Saiful Apek, ikon filem komedi negara. Meskipun sebelum ini Amerul hanya mengenali beliau melalui karya-karya popular di layar perak, kesempatan untuk berlakon seiringan dengannya menjadi satu kenangan manis. Bagi Amerul, Apek merupakan seorang yang sangat menghiburkan, baik di dalam mahupun di luar set dan seorang "happy-go-lucky" sejati yang sentiasa menceriakan suasana di mana sahaja beliau berada.
Mengakhiri sesi, Amerul turut berkongsi impiannya suatu hari nanti untuk membintangi filem bertemakan cinta. Walaupun mengakui bahawa nyanyian bukan kekuatannya, lakonan tetap menjadi cintanya yang sejati. 6 Jilake bukan sekadar sebuah filem aksi, ia menjadi simbol keberanian seorang pelakon untuk keluar dari zon selesa, menghadapi cabaran, dan memperlihatkan jiwa sebenar seorang anak seni.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.