Menang wang tunai menarik di ERA, SINAR, GEGAR dan ZAYAN pada September ini

Tuesday 12 September 2023


Menang wang tunai menarik di ERA, SINAR, GEGAR dan ZAYAN pada  September ini |
Semua rakyat Malaysia berpeluang menang wang tunai menarik dalam peraduan-peraduan: ‘Teka Jawline ERA’, ‘Jerat SINAR’, ‘Teka Kacang GEGAR’ dan ‘EJAWI ZAYAN’ di udara.

ERA: Teka Jawline ERA

Teka nama selebriti berdasarkan gambar ‘jawline’ dan berpeluang menang RM250, dari sekarang hingga 22 September di udara


  • Pendengar ERA perlu menjadi pemanggil terpantas selepas isyarat memanggil ke udara.
  • Peserta perlu meneka nama selebriti berdasarkan gambar yang dimuat naik di Instagram ERA. Pembayang disediakan di Instagram ERA.
  • Peserta hanya boleh membuat satu tekaan dan jawapan yang tepat akan membawa pulang wang tunai RM250 dalam setiap pusingan.
  • Dapatkan maklumat tentang ‘Teka Jawline ERA’ di laman rasmi dan media sosial ERA.
SINAR: Jerat SINAR

Jawab 10 soalan dan berpeluang menang wang tunai RM1000, dari sekarang hingga 15 September di udara


  • Pendengar SINAR perlu menjadi pemanggil terpantas selepas isyarat memanggil ke udara.
  • Jawab 10 soalan dengan perkataan ‘ya’ atau ‘tidak’ dalan tempoh 60 saat sahaja.
  • Peserta perlu menjawab kesemua soalan secara berturut-turut dan tidak boleh menukar atau melangkau soalan.
  • Jika kesemua 10 soalan dijawab dengan tepat, peserta berjaya membawa pulang wang tunai RM1000 dalam setiap pusingan.
  • Dapatkan maklumat tentang ‘Jerat SINAR’ di laman rasmi dan media sosial SINAR.
GEGAR: Teka Kacang GEGAR

Teka bilangan kacang dan berpeluang menang wang tunai RM500 dari sekarang hingga 21 September di udara

  • Pendengar GEGAR perlu menjadi pemanggil terpantas selepas isyarat memanggil ke udara.
  • Kongsikan tekaan bilangan kacang berdasarkan gambar yang dimuat naik di Instagram dan TikTok GEGAR bersama personaliti GEGAR.
  • Pemenang mingguan akan diumum setiap Ahad, jam 10 malam menerusi TikTok Live GEGAR.
  • Tekaan bilangan kacang yang tepat ataupun paling hampir akan membawa pulang wang tunai RM500 secara mingguan.
  • Dapatkan maklumat tentang ‘Teka Kacang GEGAR’ di laman rasmi dan media sosial GEGAR.
ZAYAN: EJAWI ZAYAN

Eja perkataan jawi dan berpeluang menang wang tunai RM200, dari sekarang hingga 22 September di udara

  • Pendengar ZAYAN perlu menjadi pemanggil terpantas selepas isyarat memanggil ke udara.
  • Eja perkataan jawi berdasarkan gambar yang dimuat naik di Instagram ZAYAN dalam tempoh 10 saat.
  • Peserta yang berjaya mengeja dengan tepat akan membawa pulang wang tunai RM200 dalam setiap pusingan.
  • Dapatkan maklumat tentang ‘’EJAWI ZAYAN’ di laman rasmi dan media sosial SINAR.

Strawberry Danish Aainaa Kitchen Sedap!

Sunday 10 September 2023

Sebelum ni dah pernah order kek birthday dekat Aainaa Kitchen and everyone suka dengan rasa crepe cake tu sampai ada yang personally repeat order. Sebelum ni Aainaa Kitchen ada crepe cake, burnt cheesecake, tat buah dengan cream puff. Sekarang makin bertambah pilihan dengan beberapa pastry lain. 


Disebabkan lokasi Aainaa Kitchen ni dekat Rawang jadi open order satu office supaya jimat kos penghantaran ke Ara Damansara. Antara menu baru untuk pastry - Butter Croissant, Strawberry / Blueberry Danish, Cinnamon Roll, Pan Au Chocolate, Creme Brulee, Mini Hazelnut Paris Brest. 





I dengan Sheera order Strawberry Danish sebab geram tengok cantik sangat warna strawberry tu. Ain order Pain Au Chocolate, Spartak Choc Russian Cake dengan Raspberry Medovik Cake. 


First time makan Strawberry Danish so I tak ada letak apa-apa expectation cuma risau je pastry tu manis sangat. But turned out it's good. Ingatkan krim di bahagian tengah tu krim manis rupanya cheese cream. Rasa buah strawberry segar dengan krim tu compliment each other very well.  

Tapi sebab I makan masa sejuk so tak rasa flaky sangat lah. Kalau makan rightly after it was done, maybe lagi sedap. Harga satu Strawberry Danish ni RM10 tak termasuk delivery charge. Abit pricy for me since the size is small but it was worth it. 

Rasanya lepas ni Aainaa Kitchen boleh guna kotak kek yang ikut potongan segi tiga kek supaya kek tak jatuh terpenyek ke tepi macam dalam gambar. Sayang lah kek cantik tapi rosak sebab pemilihan kotak pembungkusan. 

Drama Review | One Piece (2023)



Director: Matt Owens, Emma Sullivan, Tim Southam, Josef Wladyka
Writer: Eiichiro Oda, Matt Owens, Steven Maeda, Ian Stokes, Damani Johnson, Tiffany Greshler, Tom Hyndman, Laura Jacqmin, Diego Gutierrez, Allison Weintraub & Lindsay Gelfand
Cast: Iñaki Godoy, Emily Rudd, Mackenyu, Vincent Regan, Jeff Ward, Morgan Davies, Jacob Romero Gibson, Taz Skylar
Production Companies: Kaji Productions, Tomorrow Studios, Shueisha
Distributor: Netflix
Genre: Action / Adventure / Comedy / Drama / Fantasy
Running Episodes: 8 episodes (49–63 minutes per episode)
Release Date: 31 August 2023
Trailer:


Live action series terbaru Netflix yang diadaptasikan dari siri manga popular, One Piece membawa perjalanan Straw Hat Pirates yang diketuai oleh Monkey D. Luffy (Iñaki Godoy). Sejak kecil Luffy (Colton Osorio) bercita-cita untuk menjadi ketua lanun seperti Gold Roger (Michael Dorman) dan Shanks (Peter Gadiot) yang menjejak harta karun bernama One Piece di Grand Line. 


Bermula dengan pertemuan dia dengan Koby (Morgan Davies) di kapal kepunyaan Lanun Alvida kemudian bertemu dengan Roronoa Zoro (Mackenyu), pemburu lanun yang handal berlawan dengan pedang di kem pertahanan Marine. Di sana juga, Luffy berjumpa dengan navigator bagus bernama Nami (Emily Rudd) yang kebetulan ingin mencuri peta Grand Line. 

Dari dua orang anak kapal, berkembang menjadi 4 bila Luffy berjumpa dengan Usopp (Jacob Romero Gibson) dan tukang masak kacak bernama Sanji (Taz Skylar). Kekuatan Luffy terhasil dari Devil Fruit yang dimakan secara tak sengaja. Badan Luffy elastik seperti getah dan kekuatan yang terhasil kerana latihan intensif tentera laut. Tapi bukan Luffy seorang saja yang makan Devil Fruit lantas menghasilkan keunikan dan kuasa berbeza-beza. 


Pengembaraan mereka di East Blue tak mudah kerana Luffy dan rakan-rakannya perlu bertarung dengan Ax Hand Morgan (Langley Kirkwood), Buggy the Clown (Jeff Ward), Kuro (Alexander Maniatis) dan manusia ikan seperti Arlong (McKinley Belcher III).


Masa tengok poster One Piece live action haruslah tertanya-tanya mampu tak Netflix series ni capai sama tahap dengan anime? Dalam One Piece pula banyaak watak yang unik even Luffy sendiri ada keunikan yang susah untuk dibikin secara natural. Lepas tengok trailer macam a bit convinced yang series ni best sebab CGI dengan camera works dia nampak kemas dan cantik. Karakter Luffy betul-betul terserlah hasil lakonan Iñaki Godoy. Kalau dalam trailer dah tertarik, mungkin full series dia bagus. Tambahan pula pelukis asal, Eiichiro Oda yang jadi konsultan untuk live action series. 

Of course, bila sembang pasal adaptation akan ada beberapa perubahan untuk sesuaikan dengan bajet pembikinan even Eiichiro Oda minta writer adjust supaya tone series ni jadi dramatic compared to anime yang goofy and fun. Mungkin sebab pelukis asal pun dah berusia so point of view pun dah berubah. Mungkin juga sebab tak nak terpalit dengan kontroversi bila ada anime culture yang tak boleh diterima oleh golongan lain macam watak Sanji yang pervert. 


Masuk bab Netflix, ada beberapa persoalan akan pop-up once the series is out macam mutu kualiti persembahan dan kesinambungan. Kalau bab persembahan dah terjawab, sekarang kita tertanya-tanya sama ada Netflix akan setuju untuk musim kedua ataupun tak sebab dah banyak siri yang gagal dapat sekuel walaupun ceritanya bagus. Bila tengok cara penulis masukkan semua episod di East Blue dalam satu musim, cuak juga jadinya. Lega bila tahu Netflix akan sambung tayang musim 2 gara-gara sambutan luar biasa. 

Berbalik kepada jalan cerita One Piece live series, art team did their best untuk menghidupkan lagi suasana kehidupan lanun sepertimana yang digambarkan dalam anime. Wardrobe setiap watak sama seperti dalam anime ataupun hairstyle yang mencuri tumpuan seperti rambut hijau Zoro ataupun suit kemas Sanji. Kapal Going Merry dibina sama seperti yang dilukis dalam anime, restoran Baratie dengan makanan lazatnya, rumah agam Kaya (Celeste Loots), Arlong Park dan lain-lain. 


Happy tengok stretchy Luffy dalam live series ni sebab CGI dia mantap, nampak real sangat even for close-up shot. No wonder lah setiap episod makan berjuta dollar. Walaupun Luffy tak banyak beraksi berbanding Zoro tapi semua Gum Gum action Luffy nampak cantik onscreen. Gum Gum Balloon dengan Gum Gum Pistol sama macam dalam anime. 

Stunt choreography Zoro dan Sanji paling menyerlah jadi tak hairan lah kalau watak berdua ni ada fan base yang ramai berbanding Luffy. Terpukau tengok sword skills Zoro especially masa dia berlawan dengan Mihawk (Steven Ward). Dalam anime I suka Sanji sebab dia handsome tapi untuk live series terpesona dengan aura dan kaliber Zoro. Screaming alpa from the start. 


Cuma ada part tak logik dan kelakar untuk props beberapa watak. Macam Koby pakai cermin mata kanta tebal padahal tentera laut perlu ada eyesight bagus. Fizikal Koby pun tak ikut standard requirement. Mungkin juga sebab marine dalam One Piece tak pandang fizikal tapi lebih kepada kemahiran? Tapi tetap kelakar bila Koby dengan Helmeppo (Aidan Scott) keluar memburu lanun yang berganda besar dari mereka berdua. Sama juga kelakar bila tengok misai bertocang Chef Zeff (Craig Fairbrass) menari setiap kali dia bercakap. Intense moment jadi kelakar sebab small details macam ni. 


Walaupun I happy layan drama One Piece di Netflix, I tetap rasa drama ni patut ada lebih dari 8 episod. Mungkin disebabkan sambutan luar biasa ni, Netflix akan buat beberapa episod khas untuk cover babak yang tak dimasukkan dalam musim pertama. Macam series Stranger Things yang makin berkembang setiap musim. There are so many potentials for this live series, it just need Netflix’s approval for it. 


Lepas tengok live series One Piece ni mula lah rasa nak tengok balik anime series dia sementara tunggu musim kedua keluar. Skrip dah siap tapi pengarah kata ambil masa dalam 16 hingga ke 18 bulan untuk siapkan so mungkin hujung tahun depan atau tahun 2025 sebab ada banyak CGI dan VFX. 

Cukup masa untuk habiskan beratus episod sambil berteka-teki pelakon mana yang akan lakonkan sekian sekian watak. Seronok tengok barisan pelakon yang pelbagai walaupun datang dari studio production US. Boleh jadi ada pelakon Bollywood, Korea, China or even Nusantara yang akan diambil berlakon. Who knows kan? Part of marketing untuk tarik lebih ramai penonton. Yang belum layan lagi Netflix series One Piece ni, pergi tengok cepat!  

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +1, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +0.8, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 9.5/10

Shopee Live Skuad Stylo, Berhibur Sambil Membeli-belah

Saturday 9 September 2023

Shopee Live Skuad Stylo, Berhibur Sambil Membeli-belah | Jom tonton selebriti dan influencer tempatan kegemaran anda!

Bersedia untuk berhibur dengan Shopee Live Skuad Stylo yang mengetengahkan gabungan fesyen, kecantikan dan hiburan. Strim langsung ini akan bersiaran setiap hari pada jam 8 malam di Shopee Mamak. Anda pasti teruja dengan konsep shoppertainment serba baharu yang menawarkan diskaun hebat serta peluang untuk menyaksikan influencer dan selebriti kegemaran beraksi di hadapan skrin.


Barisan Selebriti dan Influencer Popular Kegemaran Anda
Strim langsung ini menampilkan influencer Syamira Zahar, Najiah Hassan, barisan selebriti Elfira Loy, Sherry Alhadad dan Zoey Rahman. Ini baru sahaja permulaan! Shopee Live Skuad Stylo ada ramai lagi barisan influencer dan selebriti yang akan menghiburkan anda, dan pada masa sama anda boleh menikmati tawaran hebat fesyen dan trend kecantikan terkini.

Ekstravaganza Fesyen dan Kecantikan
Jangan ketinggalan untuk mendapatkan produk kecantikan terkini dan terhangat! Diwujudkan untuk memenuhi kehendak berfesyen anda, Shopee Live Skuad Stylo adalah sumber untuk  mendapatkan trend fesyen dan kecantikan terkini. Sama ada anda sedang mencari pakaian yang sesuai untuk majlis keraian atau anda ingin menambahkan koleksi produk kosmetik anda, Shopee Live Skuad Stylo mempunyai pelbagai produk pada harga berpatutan!

Saksikan Selebriti Kegemaran Anda ‘Showdown’
Shopee Live Skuad Stylo juga akan membawakan hiburan ke next level dengan segmen Showdown kami. Saksikan influencer dan selebriti kegemaran anda bertarung antara satu sama lain, mempamerkan bakat dan kemahiran unik mereka. Jangan ketinggalan kerana anda juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam Showdown!

Undi dan Menang dengan Web Mikro dalam Aplikasi Shopee
Tunjukkan sokongan anda dengan mengundi selebriti dan influencer kegemaran anda semasa segmen Showdown. Anda cuma perlu layari laman web mikro dalam aplikasi Shopee dan undi kerana kami pendapat anda penting buat kami. Dengan mengambil bahagian, anda berpeluang memenangi Shopee Coins, lalu memeriahkan lagi segmen ini. 

Baucar Diskaun Eksklusif 50% selepas 8 malam Setiap hari
Nak lagi best? Ada baucar diskaun eksklusif 50%! Ya, anda membacanya dengan betul. Dapatkan baucar ini dan gunakannya untuk pembelian Shopee Live anda, pasti lebih jimat dan berbaloi. 

Bermacam-macam Hadiah untuk Penonton Bertuah
Bukan itu sahaja, anda juga boleh menang Shopee Coins dan pelbagai hadiah menarik secara automatik apabila anda membuat pembelian semasa Shopee Live Skuad Stylo. Lebih banyak anda membeli, lebih tinggi peluang anda untuk memenangi hadiah eksklusif. Ini adalah tanda penghargaan kami terhadap anda yang merupakan sebahagian daripada komuniti pembeli dan peminat kami yang terbaik. 

Tandakan Kalendar Anda supaya Tidak Ketinggalan
Bermula 6 September, Shopee Live Skuad Stylo akan berlangsung setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 8 malam di Shopee Mamak. Pastikan anda menonton gameshow Kotak Duit edisi khas kami yang merupakan sebahagian daripada kempen 10.10 kami yang akan datang. Anda pasti terhibur, jadi jangan ketinggalan.  

Sediakanlah makanan ringan kegemaran anda, selesakan diri, dan bersiap sedia untuk berhibur. Anda bakal mengalami pengalaman ekstravaganza membeli-belah sambil berhibur serba baharu. Jadi, mari shoppertainment, dan bersiap-sedia untuk membeli-belah, mengundi dan menang bersama kami. Jom tonton Shopee Live Skuad Stylo! 

Untuk maklumat lanjut tentang Shopee Live Skuad Stylo, layari https://shopee.com.my/m/shopee-live-skuad-stylo


MENANGI TIKET KONSERT LIMA RUKUN DI ZAYAN

Friday 8 September 2023


MENANGI TIKET KONSERT LIMA RUKUN DI ZAYAN | Peraduan dibuka dari sekarang hingga 12 September di laman rasmi 

Menangi tiket Konsert Lima Rukun di ZAYAN

• Para peminat muzik nasyid tempatan berpeluang menang tiket untuk menyaksikan Konsert Lima Rukun, dari sekarang hingga 12 September 2023, menerusi laman rasmi ZAYAN. Konsert Lima Rukun akan berlangsung pada 8.30 malam, 15 September 2023 di Zepp Kuala Lumpur.

• Di Konsert Lima Rukun, peminat ZAYAN boleh menyaksikan persembahan menarik yang menggabungkan penyanyi dan kumpulan-kumpulan nasyid tempatan termasuk Daqmie, Rabbani, Hijjaz, Inteam dan Mestica. Peminat juga boleh menghayati lagu-lagu nasyid terbaik bersifat ketuhanan dan segar malar yang akan dipersembahan mengikut iringan muzik daripada Orkestra Traditional Malaysia.

• Menangi tiket dengan langkah mudah berikut:

o Layari zayan.syok.my dan klik ‘Konsert Lima Rukun’ di pautan ‘Peraduan

o Isi maklumat peribadi dan lengkapkan slogan: “ZAYAN perlu memilih saya untuk menang tiket Konsert Lima Rukun kerana ...” (tidak melebihi 20 patah perkataan)

o Pemenang akan dipilih berdasarkan slogan paling menarik dan kreatif.

Untuk maklumat lanjut, layari zayan.syok.my atau ikuti platform media sosial ZAYAN.

MAMPUKAH 6 BUDAK FELDA MERAIH PINGAT EMAS KRIKET ANTARABANGSA?

Thursday 7 September 2023

MAMPUKAH 6 BUDAK FELDA MERAIH PINGAT EMAS KRIKET ANTARABANGSA? | Filem Inspirasi Berdasarkan Kisah Benar ‘Enam Jahanam’ Dari Gemencheh

Dari FELDA Bukit Rokan Utara, Negeri Sembilan ke padang kriket dunia.  Sebuah adaptasi daripada peristiwa sebenar, Gemencheh Boys menampilkan kisah inspirasi sekumpulan budak kampung yang berjaya menempa sejarah dalam dunia sukan antarabangsa. 

Filem ini diceritakan dari kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada tahun 2019 serta berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017. 

‘Gemencheh Boys’ dengan tagline ‘no retreat, no surrender’ memaparkan kisah kanak-kanak dari kampung yang digelar sebagai ‘Enam Jahanam’. Terkenal dengan sifat nakal, bagaimanapun karakter mereka berubah apabila seorang guru memperkenalkan permainan kriket. Menampilkan tema persahabatan, pengorbanan dan harapan, perjalanan pelajar-pelajar ini bersama gurunya menuju ke gelanggang dunia diceritakan dalam pelbagai emosi. 

Gemencheh Boys bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober dan diarahkan oleh pemenang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 2017 iaitu pengarah Jason Chong bersama Eric Ong yang membabitkan studio penerbitan terkemuka, Astro Shaw dengan kerjasama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures.

Filem ini membariskan pelakon hebat Pekin Ibrahim serta enam pelakon kanak-kanak yang dipilih melalui sesi uji bakat iaitu Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq sebagai tunggak utama. Turut membintangi filem ini Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad, Azman Hassan, Kamal, Rezuan, Ieda Moin, Arumugam A/L Vedan dan ramai lagi. 

Menurut Penerbit Eksekutif Gemencheh Boys merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, “Gemencheh Boys adalah sebuah cerita Malaysia yang harus dipersembahkan. Kami menyedari bahawa sukan kriket tidak begitu popular dalam kalangan masyarakat Malaysia seperti mana sukan bola sepak atau badminton. Walau bagaimanapun, jalan cerita yang dipertaruhkan menerusi Gemencheh Boys mampu memberi inspirasi kepada semua penonton. Ia bukan sebuah kisah biasa dan bukan mengenai kriket semata-mata, tetapi tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’, membuktikan orang biasa boleh menjadi luar biasa. Mereka juga telah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas di peringkat antarabangsa. Kami mengharapkan Gemencheh Boys mampu meninggalkan impak tersendiri dan mendapat perhatian penonton berbilang bangsa.” 

Sementara itu, Pengarah, Penulis Skrip, Cerita Asal Gemencheh Boys, Jason Chong berkata, “Selain memberikan nilai hiburan, saya percaya Gemencheh Boys mampu meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak seperti mana filem terdahulu yang kami terbitkan iaitu Adiwiraku. Menerusi tema inspirasi yang sama, kami harap Gemencheh Boys akan kekal relevan untuk penonton Malaysia dan saya rasa amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada filem ini.”

Gemencheh Boys mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan. Antara sokongan seperti kolaborasi di acara julung kali diadakan di Malaysia, Internasional Cricket Counsil  - ICC Men’s Cricket World Cup Trophy Tour. 

Siri jelajah Gemencheh Boys bermula bulan Oktober ke sekolah-sekolah serata Malaysia yang dikendalikan oleh Malaysian Cricket Association dengan mengadakan bengkel kriket dalam usaha menggalakkan minat terhadap sukan kriket dalam kalangan pelajar. Selain itu, kami turut bekerjasama dengan kumpulan komuniti sosial dan budaya, Locco menerusi acara Kereta Api Sarong yang akan diadakan pada 16 September 2023 di sekitar Lembah Klang.

Manakala lagu rasmi filem ini adalah ‘Siapa Kami’ nyanyian penyanyi rap terkenal dari Negeri Sembilan, W.A.R.I.S bersama David Koon, Andrew Lui dan Ronald Mok.

Gunakan #Gemenchehboys bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Gemencheh Boys di platform TikTok, Instagram, X, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. 

Nantikan filem Gemencheh Boys, sebuah cerita Malaysia adaptasi dari kisah sebenar tentang enam budak FELDA yang digelar ‘enam jahanam’ berjaya mencipta sejarah dalam dunia sukan antarabangsa, yang akan berada di pawagam seluruh negara bermula 26 Oktober 2023 ini.

***********************

Tajuk: Gemencheh Boys

Genre: Sukan Drama

Dipersembahkan oleh: Astro Shaw, GV Corporate Advisory, SOL Pictures 

Penerbit Eksekutif : Raja Jastina Raja Arshad, Dato’ Dr Siva Ananthan, Eric Ong

Penerbit Penyelia: Siti Marzuliana Marzuki

Syarikat Produksi: SOL Pictures 

Penerbit Bersekutu: Nabil Abdulaziz, Shemad Al-Jufri, Dato’ Dr. Siva Ananthan

Penerbit: Sangeeta Krishnasamy, Shewata Nandy, Khairul Anuar Latip

Pengarah: Jason Chong; Eric Ong

            Skrip: Jason Chong; Sky Khor

Cerita Asal: Jason Chong

Lakon Layar: Sky Khor; Jasong Chong

Pengarah Fotografi: Shaufe Wahab (MYSC)

Penyunting: Lee Yoke Kee

Pereka Busana: Elaine Ooi

Pengarah Seni: Bradden Low

INFO FILEM

Bahasa: Melayu

Durasi Filem: 107min 36saat

Waktu Penggambaran: Mei 2019

Jumlah Hari Penggambaran: 28 hari 

Lokasi Penggambaran: Gemencheh, KL

Tarikh Tayangan di Pawagam : 26 Oktober 2023

BARISAN PELAKON

Pekin Ibrahim sbg Cikgu Azman

Aqil Yaya sbg Syafiq

Syed Ahmad sbg Rashid

Ayiet Harith sbg Fauzi

Kimi Norais sbg Amin

Izzue Deen sbg Sukri

Amir Kuziq sbg Azad

Azman Hassan sbg Jabar

Dato’ Ahmad Tamimi Serigar sbg Guru Besar Yaakob

Zaidi Omar sbg Cikgu Roslan

Farah Ahmad sbg ibu Azad 

Kamal Rezuan sbg Cikgu Ros

Ieda Moin sbg Ibu Syafiq 

D’Boy Hamdan sbg Ayah Syafiq 

Ain Sufia sbg Isteri Kamal 

Along Eyzendy sbg Ayah Azad 

Syel Ramlan sbg Isteri Cikgu Azman 

Shyrim Husni sbg Ayah Rashid

Arumugam A/L Vedan sbg Aru

Megat Zaharin Megat Hashim sbg Jamaluddin

Mohd Kamal Hussin sbg Kamal

Yeshod Parameswaran sbg Cikgu Yeshod

Dinesh Magandiran sbg Gopal

Ong Yi Khai sbg John

Norazlihan Jelani sbg Cikgu Ramli

Zaid Asyraf Nor Azmi sbg Ahmad

Mohd Rahdi Md Azmee sbg Cikgu Rahdi


LAGU TEMA RASMI

Lagu: Siapa Kami

Artis: W.A.R.I.S ft. David Koon, Andrew Liu, & Ronald Mok

Durasi: 3mins 11saat

Komposer: Roslan Bin Zakaria, David Koon, W.A.R.I.S

SINOPSIS 

Kisah inspirasi sekumpulan budak kampung, ‘Enam Jahanam’ yang mulanya nakal dan kemudian seorang guru memperkenalkan permainan sukan kriket. Bermulalah perjalanan mereka menuju ke pentas antarabangsa kriket.

Saluran No.1 kanak-kanak di Malaysia, Astro Ceria mempersembahkan rancangan pertandingan nyanyian baharu yang bakal mewarnai setiap Rabu para penonton dengan vokal-vokal hebat serta wajah-wajah popular industri hiburan Malaysia menerusi ‘The Chosen One’.

Tidak asing dengan format pertandingan nyanyian realiti kanak-kanak, ‘The Chosen One’ mengandingkan bakat-bakat baharu dengan penyanyi-penyanyi popular tanah air yang menggalas tugas sebagai jurulatih peserta-peserta terpilih.

Seramai 30 peserta dipilih menerusi uji bakat tertutup dan 16 daripada mereka dipilih oleh lapan orang selebriti, atau jurulatih rancangan ini untuk berentap di Episod Prelude. 16 peserta teratas yang dipilih dalam sesi ini akan bersaing untuk membentuk pasangan dengan selebriti tersebut. Hanya lapan daripada mereka yang terpilih sahaja akan bertanding selama enam minggu bersama pasangan selebriti mereka untuk merebut gelaran sebagai ‘The Chosen One’.

‘The Chosen One’ dipecahkan kepada beberapa tema yang berbeza setiap minggu sebagai cabaran kepada para peserta. Mereka yang gagal menarik perhatian para juri serta mencapai kriteria pemarkahan yang ditetapkan akan disingkirkan.

Setiap persembahan daripada barisan peserta bersama pasangan selebriti mereka diadili sepenuhnya oleh pihak juri berdasarkan teknik vokal (50%), kreativti dan feel (30%) serta watak dan pembawaan persembahan mereka (20%).

Peserta dengan markah tertinggi pada penghujung rancangan ini akan dinobatkan sebagai ‘Juara The Chosen One’ dan membawa pulang hadiah berbentuk wang ringgit sebanyak RM30,000. Naib juara akan membawa pulang RM20,000, manakala tempat ketiga dan keempat akan membawa pulang hadiah berbentuk wang ringgit sebanyak RM10,000 dan RM5,000.

‘The Chosen One’ diterajui penyanyi dan pelakon popular, Alif Satar bersama penyanyi dan pelawak, Namie sebagai hos, manakala gabungan unik Dato’ Awie dan Jihan Muse sebagai juri tetap menyerikan lagi rancangan ini pada setiap minggu. Kedua-dua juri hanya mempunyai satu imuniti sahaja untuk menyelamatkan peserta dari tersingkir. Rancangan ini turut membariskan penyanyi-penyanyi terhebat tanah air termasuk Shiha Zikir, Sarah Suhairi, Afieq Shazwan, Aisha Retno, Putera Muhammad, Wani Kayrie, Hazama serta Kmy Kmo dan Luca Sicta sebagai jurulatih dan juga pasangan setiap peserta. ‘The Chosen One’ turut menampilkan nama-nama hebat sebagai juri jemputan pada setiap minggu.

Ketua Kandungan Kanak-Kanak, Farah Fauzana, berkata “Nadi kepada saluran kami bukan sahaja untuk memberi kandungan-kandungan yang menarik serta selamat kepada anak-anak muda tetapi kami juga komited untuk mengembangkan industri hiburan nyanyian kanak-kanak yang patut diberi lebih perhatian. Menerusi ‘The Chosen One’, kami berpeluang untuk menampilkan bakat-bakat baharu di kalangan generasi muda yang ternyata hebat dan luar biasa. Walaupun industri muzik kian dipelopori personaliti-personaliti TikTok atau YouTube, platform seperti ‘The Chosen One’ kekal relevan dalam mengasah bakat-bakat yang ada. Bukan mudah untuk mendapatkan peluang digandingkan dengan nama-nama yang sudah berjaya dalam industri. Apatah lagi dididik dan diberikan coaching secara terus menerus. Pengalaman dan ilmu seperti ini sememangnya unik dan jarang sekali boleh didapatkan dari mana-mana platform.”.

“Kami berharap para penonton terhibur dengan persembahan mereka sekaligus memberikan sokongan terhadap perjalanan baharu kanak-kanak ini untuk lebih bersinar dalam bidang nyanyian pada masa hadapan”, tambah Farah.

’The Chosen One’ akan ditayangkan bermula hari ini (6 September 2023), pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Ceria (611). Rancangan ini turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Alami pengalaman Astro Baharu. Strim tanpa gangguan hujan dengan Astro Ultra Box. Untuk melanggan Pek Primary, WhatsApp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838.

SENARAI PESERTA ‘THE CHOSEN ONE’

1. Cinta – 9 tahun

2. Muhammad Rayyan Rifqi – 9 tahun

3. Nur Qahirah Maisarah – 11 tahun

4. Amirul Ashraff Khan – 11 tahun

5. Amir Sisi – 12 tahun

6. Raja Dayana Umayma – 13 tahun

7. Aliaa Athirah – 13 tahun

8. Hannah, Hannis & Eva – 14 tahun

9. Reyza Fenge – 15 tahun

10. Ahmad Rizarofiq – 15 tahun

11. Nur Nurul Iman – 16 tahun

12. Afrina Damia – 16 tahun

13. Nur Zuleikha Qaisara – 17 tahun

14. Erika Foo Hann Yi – 17 tahun

15. Sera Yue Zi Xin – 17 tahun

16. Khalyn – 17 tahun


Lebih banyak tayangan perdana program terhebat Korea di Astro pada September ini

Tuesday 5 September 2023

Lebih banyak tayangan perdana program terhebat Korea di Astro pada September ini | I am Solo, Street Women Fighter 2, Walking Through The Village, The Point Men

Nikmati tayangan perdana program terhebat Korea di Astro pada September ini

• Bulan September ini, semua peminat hiburan Korea boleh menikmati tayangan perdana drama, filem dan program pelbagai di Astro melalui ONE (Saluran 393 HD), tvN (Saluran 395 HD), dan tvN Movies (Saluran 416 HD). Peminat juga boleh strim episod-episod yang disediakan pada bila-bila masa, di mana jua menerusi On Demand dan Astro GO.

• Peminat boleh menikmati drama, filem dan program pelbagai, termasuk:

o Program realiti percintaan I am Solo, dibarisi oleh Defconn, Song Hae-na, Lee Yi-kyung dan ramai lagi, setiap Sabtu di ONE (Saluran 393 HD).

o Program realiti Street Women Fighter 2, menampilkan Kang Daniel, Shownu, Monika dan ramai lagi, setiap Jumaat di tvN (Saluran 395 HD).

o Program pelbagai Walking Through The Village, dibintangi oleh Gu Bon-seung, setiap Ahad di tvN (Saluran 395 HD).

o Filem inspirasi Countdown, dibintangi oleh Jin Sun-Kyu, Sung Yu-Been, Oh Na-Ra, pada 16 September, di tvN Movies (Saluran 416 HD).

o Filem aksi The Point Men, menampilkan Hyun Bin, Hwang Jung Min, Kang Ki Young, pada 30 September, di tvN Movies (Saluran 416 HD).

Nota: Sila rujuk senarai program di bawah untuk maklumat lanjut.

• Untuk maklumat lanjut, layari content.astro.com.my.

Senarai Program 


1. I am Solo

Episod-episod baharu pada setiap Sabtu, 6.30 petang, ONE (Saluran 393 HD). Program temu janji yang realistik di mana lelaki dan wanita bujang meminati antara satu sama lain, namun bergelut masalah untuk berkahwin kerana masih mencari cinta.

2. Street Women Fighter 2

Episod-epiosd baharu pada setiap Jumaat, 10.30 malam, tvN (Saluran 395 HD). Siri tarian legenda kini kembali! Dalam program survival tarian diwakili oleh semua wanita ini, 8 krew tarian wanita bersaing untuk menjadi pasukan No. 1. Shownu dan Monika menyertai program ini selaku juri pertandingan.

3. Walking Through The Village

Episod-episod baharu pada setiap Ahad, 6.35 petang, tvN (Saluran 395 HD). Pelakon Gu Bon-seung menunjukkan kemesraan dan ketenangan hidup di kampung yang dilengkapi sebatang sungai, dan berkongsi bagaimana sejarah baharu dicipta dan menjadi ingatan buat seseorang.

4. Countdown [Tayagan Perdana]

16 September, 10 malam, tvN Movies (Saluran 416 HD). Bekas juara tinju Olimpik pulang ke tempat asal untuk mengajar di sekolah lamanya. Apabila dia terserempak dengan seorang peninju muda yang menjadi mangsa penentuan perlawanan, dia berikrar untuk membangunkan pasukan tinju di sekolahnya dan memberi peluang kepada pelajarnya untuk bertanding ke peringkat kebangsaan.

5. The Point Men [Tayangan Perdana]

30 September, 10 malam, tvN Movies (Saluran 416 HD). Seorang diplomat dan ejen NIS dari Korea membentuk kumpulan yang sering berbalah persefahaman namun harus menyelamatkan pelancong Korea yang telah terperangkap dan dijadikan tebusan oleh kumpulan pelampau di Afghanistan.

ERA Sabah kibarkan Jalur Gemilang di dasar laut bersama Tentera Laut  Diraja Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-66 

Kapsyen Gambar (dari kiri): Leftenan Komander Mohd Salihin (TLDM), Mijul dan Addnan (Pagi ERA
Sabah), Sarjan Ashiekkien (TLDM) bersama anggota TLDM Pangkalan Teluk Sepanggar di ‘Merdeka Mega Dive 2023’.

ERA Sabah kibarkan Jalur Gemilang di dasar laut bersama Tentera Laut Diraja Malaysia sempena Hari Kebangsaan ke-66

• Sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-66, personaliti-personaliti ERA Sabah, Addnan dan Mijul (Pagi ERA Sabah) telah menjayakan misi ‘Merdeka Mega Dive 2023’ dengan mengibarkan Jalur Gemilang di dasar laut bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Pangkalan Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah, pada 2 September lalu.

• Menerusi misi ini, Addnan dan Mijul telah berjaya mengibarkan Jalur Gemilang ke dasar laut sedalam kira-kira 10 meter bersama Leftenan Komander Mohd Salihin, Leftenan Komander Shahrizan dan Sarjan Ashiekkien dari TLDM Pangkalan Teluk Sepanggar. Sebagai tambahan, Addnan dan Mijul juga telah menerima khusus asas dan diberikan latihan sempurna selama sehari untuk menyelam ke dasar laut yang dikendalikan oleh pihak TLDM.

• Kerjasama unik di antara ERA Sabah, TLDM dan agensi-agensi tempatan menerusi Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sabah ini bertujuan memberi pendedahan kepada para penyelam tempatan tentang bantuan asas yang boleh dipelajari ketika berlakunya kecemasan dan kesedaran berkaitan keselamatan marin sewaktu meneroka keindahan alam semula jadi di dalam laut, bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

• Para peminat ERA Sabah boleh menyaksikan gambar-gambar dan video ketika Addnan dan Mijul menjayakan misi ‘Merdeka Mega Dive 2023’ menerusi platform media sosial ERA Sabah.


Ulasan Addnan, Personaliti ERA Sabah

“Saya merasa sangat berbesar hati apabila personaliti ERA Sabah mendapat peluang untuk terlibat sama dalam menjayakan misi ‘Merdeka Mega Drive 2023’, sempena Hari Kebangsaan bersama pihak TLDM. Sudah tentu, menyelam bersama rakan saya Mijul ke dalam dasar laut untuk mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah satu perkara yang mudah, namun dengan sokongan dan tunjuk ajar daripada pihak TLDM, ia telah menjadikan misi ini sebuah pengalaman yang cukup luar biasa dan pastinya secara tidak langsung memupuk semangat kami dalam meraikan sambutan Hari Kebangsaan bersama peminat ERA Sabah.”

Ikuti





Book Review | MAWAR (2019)

Monday 4 September 2023

Penulis : Anis Akhir

Penerbit : Dear Novels Sdn Bhd

Helaian: 263 mukasurat / 42 bab 1 epilog

Genre: Seram / Thriller

Tarikh Cetakan: Cetakan Pertama – 2019

Harga: RM 24.00 (Semenanjung Malaysia), RM 27.00 (Sabah & Sarawak)

Sinopsis:

Sembilan mawar kucari...

“Nama saya Mawar Zulina.”

Lapan dari darah sendiri...

“Kenapa tok ma masukkan dua aje bunga mawar tu? Kan ada lagi tujuh botol.” Aina pelik.

“Dua bunga mawar tu aje yang elok. Yang lain belum kembang cantik lagi. Tapi, macam boleh buat untuk sebotol lagi ni,” jawab tok ma dengan senyuman misteri.

Satu lagi liar berduri...

Tiba-tiba satu suara gemeresik lagi halus kedengaran. Merdina mula cuak. Bulu romanya naik mencacak. Peluh-peluh mula terbit. Pelbagai andaian liar mula menapak di fikirannya. Perlahan-lahan Merdina meninggalkan dapur dengan degupan jantungnya yang mula laju mengepam darah ke seluruh tubuh.

Sanggup kutuntut sampai mati...

“Waalaikumussalam. Hati-hati di jalan nanti. Kalau ada yang nak tumpang jangan berhenti,” pesan gadis kaunter.

Terus berubah riak pada wajah masing-masing selepas menerima pesanan.

Review: 

Tengok cover novel MAWAR ni nampak ringkas juga memukau disebabkan penggunaan bunga mawar yang berdarah ditambah pula blurb yang menarik. Rasa tertarik untuk tahu apa kisah yang akan dibawakan oleh penulis Anis Akhir dalam kisah seram thriller. 

Latar masa untuk novel MAWAR ni agak lama sampai makan masa 100 tahun lamanya walaupun mukasurat tak lah tebal mana. Peralihan dari satu bab kepada bab yang lain tak ambil masa yang lama pun. Dari generasi sebelum Mawar Zulina, watak utama lahir lalu memilih ilmu hitam untuk kekal cantik dan berkuasa sehingga lah berjumpa dengan cucu-cucunya, Mawar Sakinah, Mawar Jannah, Mawar Anne, Mawar Amni, Mawar Aina, Mawar Aisyah, Mawar Atikah Mawar Tiara dan juga Mawar Merdina yang berkahwin dengan cucu lelakinya bernama Luqman. 

Idea untuk menghasilkan watak yang bertuhankan syaitan dan menggunakan bunga mawar sebagai signature tu menarik. Tapi kenapa bunga mawar tak pula diceritakan dengan baik. Di hujung cerita ada sejarah tentang bagaimana watak Surti dan Bunga terjumpa batu sakti yang menjadi bualan penduduk kampung. Juga macam mana Surti mampu terus mengekalkan kuasa sakti batu tersebut tanpa hidup melarat dek sumpahan tapi anehnya mangsa Surti bukan bernama Mawar jadi bagaimana peralihan dari mangsa random kepada mangsa bernama Mawar pun tak diceritakan juga. 

Like I've said earlier, latar masa dia lama tapi ada 263 mukasurat je jadi boleh nampak lah ada beberapa tempoh masa yang dipendekkan untuk beri laluan kepada beberapa latar. Dekat awal novel penulis ceritakan tentang kehidupan Mawar Zulina sebelum amalkan ilmu hitam kemudiannya berkahwin dengan pemuda kacak bernama Zulkipli. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat orang anak lelaki. 

Bila tragedi berlaku sampai Mawar Zulina bertindak untuk seru sesuatu dari alam sana, terus masuk ke latar masa di mana cucu-cucunya semua sudah membesar. Banyak juga lah persoalan timbul macam bagaimana kehidupan Mawar Zulina besarkan anak-anak lelaki dia. Kalau sumpahan tu tak menganggu, kenapa ada dialog Armawi risau mak dia ulang perangai lama? Kalau sumpahan menganggu macam apa yang Armawi risaukan, kenapa Armawi benarkan Mawar Atikah, Mawar Tiara, Luqman dan Mawar Merdina pergi ke Vila Sri Amah? 

Dekat plot tu dah nampak jalan cerita yang bercelaru. Kalau tengok pada bab sebelum tu, nampak keturunan Mawar Zulina ni menjaga ibadah sebab dah bercampur dengan keturunan lain dan duduk jauh dari Mawar yang amalkan ilmu hitam. Ada penulis ceritakan keluarga Luqman merewang dekat surau atau sembang tentang solat Subuh. Dekat hujung cerita pun ada part Huzair laungkan azan untuk buka pintu bilik yang terkunci kerana gangguan syaitan. 

Jadi membuka balik persoalan kenapa semua watak yang pergi ke rumah Mawar Zulina tak solat? Kalau cucu perempuan tak solat boleh terima lah sebab ada fasa datang bulan tetapi yang lelaki apa cerita pulak? Kalau dari hari pertama bermalam dekat rumah Mawar Zulina, confirm dah boleh syak ada sesuatu tak kena dekat vila tu. Kalau sekali azan pun dah boleh keluar bau darah, apatah lagi kalau solat kan? 

Alur cerita di bahagian awal novel tu dah seronok dah tapi bila masuk latar masa sekarang terutamanya bila semua cucu berkumpul di Vila Sri Amah dah mula longgar jalan cerita dan mengelirukan. Di bab-bab yang hujung pun dah mula bercanggah dengan bab sebelumnya sampai rasa malas nak ambik port dan habiskan bacaan supaya boleh tahu pengakhiran cerita. 

Sayanglah sebab cerita ni ada potensi tapi tak boleh pergi jauh. Gaya penceritaan penulis pun tak menarik untuk dibaca. Dalam satu perenggan ada banyak sangat pengulangan perkataan sampai jadi jelak. Sebab tu juga ambil masa sampai sebulan lebih untuk habiskan bacaan. Ni pun pulun habiskan juga sebab nak pulangkan dekat perpustakaan. 

1. Author +0.5, 2. Plot +0.3, 3. Genre +0.4, 4. Social Message +0.5, 5. Personal Thought +0.3 = 2/5