Drama Review | The Summer I Turned Pretty Season 2 (2023)

Saturday, 6 September 2025


Pengarah: Jenny Han
Penulis Skrip: Jenny Han, Gabrielle Stanton, Sarah Kucserka 
Pelakon: Lola Tung, Jackie Chung, Rachel Blanchard, Christopher Briney, Gavin Casalegno, Sean Kaufman, Alfredo Narciso, Tom Everett Scott, Rain Spencer, Elsie Fisher, Kyra Sedgwick, Kristen Connolly, David Iacono, Summer Madison, 
Syarikat Produksi: Amazon MGM Studios, wiip, Sunswept Entertainment, Jenny Kissed Me, Big Red Bus, Neon Stories    
Penyiaran: Amazon Prime Video 
Genre: Romantik / Drama
Jumlah Episod: 8 Episod (39–66 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 14 Julai 2023
Trailer: 


Lepas Conrad (Christopher Briney) luahkan perasaan kepada Belly dekat pantai, mereka berdua bercinta tapi putus juga bila Conrad selalu mengasingkan diri gara-gara stress dengan Susannah (Rachel Blanchard) dan pelajaran dia. Keadaan makin bertambah buruk bila Belly ternampak Conrad dengan perempuan lain dalam bilik semasa upacara berkabung. 

Terkesan dengan kehilangan Susannah dan patah hati, gred Belly semakin menurun dan membimbangkan pihak Chesterbrook High School. Belly juga hilang peranan sebagai ketua pasukan bola tampar bila susah untuk bekerjasama dalam pasukan. Semuanya dipendamkan seorang diri kerana Steven (Sean Kaufman) teruja diterima masuk ke Princeton, Taylor (Rain Spencer) sedang hangat bercinta dengan Milo dan ibunya, Laurel (Jackie Chung) sibuk dengan buku baru yang menceritakan persahabatannya dengan Susannah. 


‘You should apologize! You screwed up, and now everything is weird with Conrad and Jeremiah. I mean, they won’t even text me back anymore because of you. I should be celebrating with them tonight, but they wouldn’t come because you made things messy.’ - Steven

Bila Laurel pergi ke New York untuk promosikan bukunya, Belly dan Jeremiah (Gavin Casalegno) pulang ke Cousins untuk mencari Conrad. Sebaik saja tiba di sana, mereka berdua dapat berita rumah percutian mereka akan dijual oleh Julia, adik Susannah. Walaupun Jeremiah cuba pujuk Julia supaya tidak jual rumah tersebut tapi rancangannya gagal kerana Julia sudah tawar hati. 


Conrad dan Jeremiah cuba pujuk Adam (Tom Everett Scott) untuk beli rumah tersebut menggunakan duit dalam tabung Amanah kepunyaan mereka berdua tapi ayah mereka berkeras duit tersebut akan digunakan untuk pengajian di universiti nanti. Belly, Conrad dan Jeremiah masih tak putus asa mencari dana untuk beli rumah tersebut kerana rumah percutian tu ada banyak kenangan bersama Susannah tapi peluang mereka tersangatlah tipis.

Seronok tengok Season 2 sebab dua beradik ni bagi cold treatment kepada Belly lepas dua-dua patah hati. Conrad tak nak bercakap dengan Belly bila berjumpa balik dekat Cousins, Jeremiah pun dingin lepas Belly dengan Conrad datang bagitahu yang mereka berdua bercinta. Both of them assumed Jeremiah akan terima dengan hati yang terbuka lepas confession di pantai dalam The Summer I Turned Pretty Season 1 (2022) rupanya tak. Jeremiah memang sayang Belly sebab tu dia paling rapat sejak kecil. 


Masa tahu rumah percutian tu nak dijual memang dah agak kesemua watak utama tak akan mampu ubah fikiran Julia. Kebanyakan episod lebih banyak fokus dengan memori yang ada di Cousins daripada cari jalan untuk selamatkan rumah Susannah. Menyampah tengok Belly bagi semangat untuk Conrad dengan Jeremiah untuk usaha lagi padahal dia bukannya idea yang bernas pun. 

But since dia tak dapat perhatian Conrad, dia berbaik dengan Jeremiah. Taktik sama macam musim lepas. Nasib baik Cameron dah move on dan berkenalan dengan Skye (Elsie Fisher), anak tunggal Julia. 


Tapi nak salahkan Belly pun tak boleh juga sebab Conrad pun tak boleh nak dijangka. Kadang dia okay dengan Belly, kadang dia shut down. Yang faham dan hormat situasi masa tu cuma Jeremiah. Dia sebolehnya jauhkan diri dari Belly sebab tak nak patah hati lagi dan rumitkan keadaan yang dah sedia bermasalah. 

Surprisingly dalam musim ni, penulis bagi ruang yang cukup untuk audience kenal siapa Jeremiah and turns out he’s the better brother. Well, at least for me lah sebab tak mampu nak hadam perangai Conrad. Jeremiah pun dah tawar hati dengan perangai abang dia. Muka dia bila Conrad kata jangan give up sebab dia ada plan. Bila adik dia tanya plan apa, Conrad kata entah. Hmmm baran. 


'My whole life I've looked up to Conrad. He's always been smarter, faster...just better. Maybe part of me just needed that someone to look up to. But a lot happened this year. I don't feel that way anymore.' - Jeremiah

Konflik yang dimasukkan dalam musim 2 ni tak teruk sangat pun tapi sebab masing-masing menyampah dengan Julia, nak berbincang cara baik pun susah. Jangankan budak-budak tu, Julia pun menyampah nak bincang tentang rumah percutian tu. Yang dia tahu, nak jual cepat lepastu balik ke Boston sebab cuti dia tak banyak. 


I faham tindakan Julia tapi penulis dah karang cerita dari point of view remaja tak matang so watak Julia nampak jahat sangat dalam musim 2. Sama juga lah dengan watak Adam bila dia berkeras tak nak anak-anak dia kacau duit dalam trust fund. Bertambah tak matang bila Belly ajak semua orang buat parti like smh T.T

Menariknya Steven cuba untuk pikat Taylor lepas putuskan hubungan dengan Shayla. Tak pasti bila Steven mula berminat dengan Taylor tapi lepas insiden dekat parti tu, dia cuma mengelak dari Taylor sebab dah in relationship dengan Shayla. Walaupun kamera fokus dekat Belly, Conrad dan Jeremiah tapi dekat belakang boleh nampak Steven selalu mengusik Taylor. Cuma dia tak beria sangat sebab Taylor tengah angau dengan Milo. 


I really look forward Season 3 sebab nak tengok kisah cinta Steven dengan Taylor berkembang lebih jauh lagi since Taylor is my fav character in this series. 

1. Team Production + 0.7 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.8 = 8/10

Movie Review | Aankhon Ki Gustaakhiyan (2025)

Friday, 5 September 2025


Pengarah: Santosh Singh  
Penulis Skrip: Mansi Bagla
Pelakon: Vikrant Massey, Shanaya Kapoor, Zain Khan Durrani, Rehmat Rattan, Bharti Sharma, Saanand Verma, Rajesh Jais
Syarikat Produksi: Zee Studios, Mini Films, Open Window Films  
Pengedar: Zee Studios
Genre: Romantik / Drama 
Durasi Tayangan:  138 minit
Tarikh Tayangan: 11 Julai 2025  
Trailer:


Diadaptasikan dari novel The Eyes Have It karya nukilan Ruskin Bond, mengisahkan pertemuan ahli muzik bernama Jahaan (Vikrant Massey) dan pelakon teater, Saba Shergill (Shanaya Kapoor) di dalam sebuah keretapi yang menuju ke Mussorie. 

Saba ingin mendalami watak wanita buta untuk ujibakat filem lalu dia menggunakan penutup mata sepanjang perjalanan ke sana. Tanpa dia sedar, lelaki asing di dalam gerabaknya adalah seorang lelaki buta. Jahaan juga tidak memberitahu keadaan dirinya kerana tidak mahu dipandang rendah. Semakin banyak mereka bercerita, semakin rapat lalu jatuh cinta. 


Jahaan mula menjauhkan diri selepas Saba mencurahkan perasaan dan permintaan wanita itu untuk melihat rupa asal Jahaan diendahkan. Saba yang patah hati ditinggalkan oleh Jahaan mula mencari bahagia bersama Abhinav (Zain Khan Durrani), pengarah filem teater yang baik hati dan penyayang. Takdir menemukan Saba dan Jahaan semula selepas 3 tahun berpisah.

Naskhah romantik drama Aankhon Ki Gustaakhiyan arahan Santosh Singh membawakan fresh pairing – Vikrant dan Shanaya juga menjadi debut platform kepada anak sulung Sanjay Kapoor bersama Maheep Kapoor. 


Kalau rakan baik Shanaya pilih untuk debut dalam filem tontonan santai macam Ananya Panday dalam filem Student of the Year 2 (20219) dan Suhana Khan dalam The Archies (2023) tapi Shanaya memilih jalan berbeza dengan genre yang sarat dengan emosi. Lakonan Shanaya sama macam ayah dia, Sanjay Kapoor. Dengan mudah dia menghidupkan watak Saba Shergill yang terkesan ditinggalkan oleh Jahaan dan mula hilang keyakinan diri selepas berpisah. 

Of course, bukan mudah untuk dia lakonkan watak perempuan buta tapi dia terselamat sebab sepanjang masa ditutup dengan blindfold. Separuh masa kedua filem pula dia banyak bermain dengan emosi bila perlu memilih antara Abhinav atau Jahaan. Shanaya tinggalkan impak sebagai Saba Shergill yang naif. Suka dengan pemilihan pakaian untuk watak Saba sebab ringkas tapi feminin. 

 
Berbeza dengan Vikrant yang kebanyakan masanya nampak lost sebagai Jahaan. I faham dia perlu lakonkan watak lelaki buta tapi kenapa beria sangat nak buka shade bila berbual? Ekspresi dia bosan kecuali masa dia mengamuk bila tahu Saba biarkan gas terbuka dan hampir letupkan bilik hotel. Watak Jahaan ajar Saba untuk guna deria rasa atau sentuhan tapi tak nampak sangat lakonan Vikrant tu menjadi. Watak Jahaan tak pernah menangis seumur hidup dia tapi tak ada perbuatan atau ekspresi bila dia sedih atau dalam dilema. At least buat lah ekspresi sakit dada sebab perasaan stuck dekat situ. 

Filem ni adalah filem terakhir Vikrant sebelum dia berehat sebentar dari dunia lakonan dan fokus dengan keluarga so most of the time memang nampak dia nak habis shoot cepat. Mungkin sebab tu juga lah dia gagal cipta chemistry dengan Shanaya. Ada juga beberapa babak terserlah sangat age gap Shanaya dan Vikrant so I rasa macam watak Jahaan a bit toxic bila dia tinggalkan Saba lepas tidur bersama. 


Dekat first half Aankhon Ki Gustaakhiyan tak ada masalah dengan kisah cinta Jahaan dan Saba sebab menarik lah tengok masing-masing explore dunia orang buta. Tapi kalau tak buta pun, fasa awal bercinta memang manis pun kan. Apa yang buruk pun tak keluar lagi so kenapa Jahaan nak tinggalkan Saba tanpa bagitahu sebab munasabah? Dah la kita memang tahu dia nak tinggalkan Saba, jadi kenapa Jahaan tidur dengan Saba? Bayangkan rasa sakit hati bila lelaki buta sama level je sampahnya dengan lelaki biasa? 

Kalau jadi Saba memang dah pilih Abhinav dah sebab merepek sangat nak hidup dengan Jahaan yang tak stabil kewangannya, tak stabil juga emosi tapi nak buat macam mana kalau watak Saba sukakan konflik dalam percintaan. Dah nampak dia bosan dengan Abhinav yang sentiasa matang dan tenang bila hadap masalah. Masa nampak Jahaan dengan Saba balik dari gereja tu dia tak tunjuk pun rasa cemburu padahal Saba dah mention before that. 


Watak Saba perlu ada kawan baik yang boleh bagi pendapat dan berbahas dengan Saba tentang kisah cinta dia macam watak Abhinav yang ada Tanya (Rehmat Rattan) atau watak Jahaan dapat nasihat dari Noor (Bharti Sharma). Tak faham kenapa Saba perlu menderita dalam diam dan terima apa yang Jahaan feed dekat dia bila berjumpa balik. Rasa macam kena groom pun ada. Makin sembang pasal perbuatan Jahaan kepada Saba, makin geram jadinya. 

Dekat first half tu dah nampak mesej filem ni yang meletakkan orang buta sama tinggi dengan manusia normal. Dah dapat dah mesej yang cinta tu melangkaui kemampuan manusia tapi bila masuk second half kenapa jadi cinta tu buta pula? Seolah-olah Saba terkena tulah kutuk manager dia yang pergi mengejar cinta lelaki. Mungkin pengajaran sebenar dia adalah jangan mengutuk orang nanti kena batang hidung sendiri?


Alur cerita yang lemah dengan dialog yang kurang membantu buatkan filem romantik ni tak boleh melekat di hati walaupun bersandarkan pada sinematografi yang indah dan musik yang mengasyikkan. Sayang lah sebab I suka lagu tema Aankhon Ki Gustaakhiyan dengan Alvida. 



Mungkin masa dalam skrip, filem Aankhon Ki Gustaakhiyan ni nampak menarik sampai Maheep dan Shanaya setuju untuk ambil projek ni tapi bila jadi full movie, mengecewakan. Tak hairanlah kalau filem ni tak dapat sambutan. I hope Shanaya tak patah hati sangat sebab ramai yang look forward movie Tu Yaa Main bersama Adarsh Gourav. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.4, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.2, 10. Personal Thought +0.3 = 5.5/10

Movie Review | Mendadak Dangdut (2025)


Pengarah: Monty Tiwa 
Penulis Skrip: Monty Tiwa, Amadeus Creative Team  
Pelakon: Anya Geraldine, Keanu Angelo, Aisha Nurra Datau
Syarikat Produksi:  SinemArt, Amadeus Sinemagna  
Pengedar:  
Genre: Komedi / Musikal
Durasi Tayangan: 109 minit
Tarikh Tayangan: 30 April 2025 (Indonesia)   
Trailer:


Mendadak Dangdut mengisahkan tentang penyanyi pop yang terkenal dengan bakatnya juga kecantikannya terjebak dengan kes jenayah misteri. Naya (Anya Geraldine) yang tersedar dari tidur jadi tak tentu arah bila pengurusnya, Zul (Calvin Jeremy) terbaring kaku di sebelahnya dengan badan berlumuran darah. 

Panik dengan situasi tersebut, Naya dan adiknya, Lola (Aisha Nurra Datau) melarikan diri bersama ayah mereka, Anwar (Joshua Pandelaki) ke Desa Singalaya. Naya memilih kawasan tersebut kerana ayahnya merupakan saksi mata ketika Zul ditikam oleh si pembunuh tapi kerana penyakit Alzheimer, memori ayahnya sekejap ada, sekejap hilang.


Melalui ChatGPT, ingatan Anwar akan pulih sekiranya berada di kawasan yang familiar. Tambahan pula, wang Naya berada di dalam akaun bank yang diselia oleh Zul. Selagi mereka tidak jumpa jalan untuk buktikan Naya tidak bersalah, hanya ingatan ayahnya satu-satunya jalan yang ada. 

Desa Singalaya terkenal dengan penyanyi-penyanyi dangdut dan Wawan (Keanu AGL) juga Wendhoy (Fajar Nugra) memulakan orkestra dangdut yang baru. Mengugut Naya untuk menjadi vokalis mereka adalah jalan yang dirasakan perlu untuk cepat popular dan kaya. Naya yang tersepit untuk mendapatkan wang terpaksa bersetuju dengan tawaran mereka berdua. 


Tak sangka filem Mendadak Dangdut arahan Monty Tiwa mempunyai jalan cerita yang santai dan menghiburkan. At first pilih filem ni sebab nak cari genre komedi tapi risau juga kalau lawak dia hambar. Ada juga babak komedi yang I mungkin tak faham tapi most of the time the journey is funny. Mungkin tak faham sebab komedi yang menggunakan suasana budaya setempat tapi nasib baik lawak macam ni tak banyak. 

Kalau dekat awal filem kita dipertontonkan dengan kehidupan popular Naya, tapi tak ambil masa lama pun untuk Naya adapt dengan masyarakat kampung Singalaya. Ingatkan penulis nak wujudkan unsur komedi dari proses Naya untuk menyesuaikan diri rupanya tak pun sebab komedi datang dari proses Naya dan Wawan berkerjasama sebagai satu kumpulan. 


Tak susah pun nak terima watak Naya sebab semua tindakan dia munasabah walaupun emosi dia meledak jadi dengan mudah kita boleh faham sakit hati dia, geram dan kusut bila dibebankan dengan kes jenayah dan penyakit Anwar yang datang dalam masa yang sama. Filem ni ada konflik dan misteri yang tipikal tapi semuanya blends well dengan plot utama. Sebelum ni nampak lakonan Anya dalam filem Garis Waktu (2022) dan Cinta Tak Seindah Drama Korea (2024). Kedua-dua lakonan dia menyerlah dalam ruang yang terhad jadi tak hairan lah kalau I seronok layan dia sebagai watak utama. 

Yang tak blend dengan baik ialah logik pada penampilan Naya sebagai Yaya Aduduh. Kalau dengan sekali pandang pun Wawan, Wendhoy dengan Yatno (Adi Sudirja) boleh cam Naya adalah penyanyi yang diburu oleh pihak polis jadi kenapa orang kampung lain tak cam? Jiran depan rumah pun buat tak nampak padahal penampilan Naya tak disorok langsung sejak menjejakkan kaki ke situ. Masa Naya pakai rambut palsu warna ungu dan pakaian striking tu dah meyakinkan dah tapi satu persembahan saja dia pakai macam tu, selainnya dedahkan identiti dia. 


Cara pihak polis selesaikan kes jenayah pembunuhan Zul pun mudah sangat tapi tak boleh nak salahkan polis juga lah sebab pelaku pun sejenis yang tak boleh berfikir panjang. Dari awal pun dah tahu siapa yang buat. Mungkin pengarah tak nak bagi perhatian sangat pada genre jenayah ni sebab dia nak fokus pada musikal dan komedi. Tapi kalau genre jenayah tu tight, filem ni lebih menarik lah sebab plot twist dan elemen drama yang dimasukkan menjadi. 

Bukan Naya dan Lola yang bergelut dengan konflik keluarga bila tiba-tiba Anwar muncul kembali malah Wawan juga ada masalah dengan ayah dia, Romli sejak berkahwin dengan janda cantik, Tata (Wika Salim). Kedua-dua konflik adalah konflik yang sering terjadi pun dalam masyarakat Asia bila si ayah abaikan anak gara-gara berjumpa dengan isteri baru. 


Tak berapa gemar dengan penyelesaian yang diberikan oleh penulis sebab hujung-hujung tetap anak juga yang kena beralah dan minta maaf. Of course bermaafan tu bagus tapi kenapa bukan si ayah yang minta maaf dulu? Kelemahan dekat situ can easily brushed off sebab realitinya pun sama juga so kenapa nak point out beria kan? 

Tak pasti lah filem Mendadak Dangdut ni capai kutipan yang bagus ataupun tidak di Indonesia tapi semua lagu yang dihimpunkan oleh Suisei untuk filem Mendadak Dangdut is top-tier! Seronok layan lagu Jablay dengan melodi catchy dan lirik yang kelakar. Menariknya pelakon utama diberi peluang untuk nyanyi kesemua lagu dalam album. Tak sangka Anya boleh menyanyi, suara dia comel macam Bunga Citra Lestari. Sweet bila dia menyanyi lagu Bittersweet dan Caramu. 



Lagu Caramu mencuri perhatian dalam filem ni sebab ada versi balada - Naya ft Joni Halmalisa The Batavia Melody, versi Anya Geraldine dangdut dan juga versi jazz 70-an. Versi dangdut comel sebab ada chant ‘tak mau pulang maunya digoyang’. Lagu Mars Pembantu dari Wika pun fun.  

Sinematografi Jimmy Fajar mengangkat suasana kampung yang berada di pinggir laut kelihatan menarik untuk watak-watak utama lari dari konflik hidup. Sama macam konsep lagu dangdut yang menjadi pengubat pada masalah hidup masyarakat kelas bawahan, dalam filem Mendadak Dangdut pun visualnya cantik sedangkan keadaan penduduk di situ agak menyedihkan. 


Anyway, recommended to watch. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +0.8, 6. Genre +0.8, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +0.6, 10. Personal Thought +0.8 = 8.2/10

TV3 & ALTERNATE RECORDS GONDOL DUA ANUGERAH ANTARABANGSA DI CONTENTASIA AWARDS 2025! | ‘Hening Rindu’ dan ‘Fail Mahkamah’ Bawa Pulang Anugerah Gold dan Silver!

Bangsar, 5 September 2025 – TV3 dan Alternate Records sekali lagi membuktikan keunggulan sebagai peneraju industri muzik kreatif dan kandungan negara apabila berjaya merangkul dua anugerah berprestij di pentas antarabangsa, ContentAsia Awards 2025, yang berlangsung meriah di Taipei pada 4 September 2025.

Momen penuh kebanggaan ini diraikan apabila lagu popular “Hening Rindu” nyanyian Marsha Milan yang merupakan runut bunyi rasmi drama Aku Bukan Ustazah di Slot Akasia TV3, diumumkan sebagai Gold Award  bagi kategori Best Sound Design Created in Asia for an Asian TV Programme/Series. 

Kemenangan ini menobatkan “Hening Rindu” – ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna – sebagai karya bertaraf antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Malaysia sebaris dengan pencalonan hebat lain dari seluruh Asia.  Awal tahun ini, “Hening Rindu” juga telah diangkat sebagai juara di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39), menjadikannya bukan sahaja pemenang anugerah muzik paling berprestij di tanah air, malah kini turut mendapat pengiktirafan juri antarabangsa.  

Gabungan melodi yang menyentuh jiwa, susunan bunyi yang penuh emosi serta padanan sempurna dengan jalan cerita menjadikan lagu ini elemen penting dalam kejayaan dramatik siri drama tersebut.  Pengiktirafan di ContentAsia Awards 2025 ini sekali gus membuktikan mutu karya tempatan mampu berdiri sama tinggi, bahkan setanding dengan produksi antarabangsa.

Antara pencalonan lain dalam kategori ini termasuk, Bad Guys (Vidio, BASE Entertainment, CJ ENM Hong Kong Limited), Furever Yours (Mediacorp Pte Ltd), Karuvanam (Mediacorp Pte Ltd / Storybots Asia), Lamput Season 4 - Boss On The Moon (Warner Bros. Discovery) dan Shape of Love (Hakka TV / LUMINOSO FILM CO., LTD).

Anugerah ini diterima oleh Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Filem, Muzik & Produksi Dalaman, Media Prima Television Networks, bagi pihak produksi.  Mengulas mengenai kemenangan ini, Shahila berkata, “‘Hening Rindu” bukan sahaja menyentuh jiwa penonton di Malaysia, malah kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa.  Kejayaan ini membuktikan bahawa karya tempatan, khususnya terbitan Alternate Records, mampu menembusi persaingan serantau serta meraih pengiktirafan dunia. Kami amat berbangga kerana pencapaian ini lahir daripada dedikasi serta semangat karyawan tempatan yang sentiasa memberikan yang terbaik.” 

Kemenangan ini juga mencerminkan bagaimana kreativiti dan muzik boleh memperkuat penceritaan dalam drama.  Semoga detik bersejarah ini terus memberi inspirasi untuk kita menghasilkan kandungan bertaraf global, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju muzik dan kandungan di rantau Asia.” tambah beliau.

Tidak cukup dengan itu, TV3 turut mengharumkan nama negara dengan meraih Silver Award bagi kategori Best Current Affairs Programme Made in Asia for a Single Market in Asia melalui dokumentari penuh emosi, “Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1.


‘Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1’ bukan sekadar program TV, tetapi cerminan jiwa, dan keberanian rakyat Malaysia.  Karya ini berjaya mengetengahkan tragedi penuh emosi yang menyentuh hati, sekaligus memperkukuhkan peranan TV3 sebagai penerbit kandungan berimpak tinggi yang mengangkat isu masyarakat ke pentas antarabangsa. Kejayaan ini turut meletakkan nama Malaysia sebaris dengan syarikat produksi besar Asia yang lain.  

Antara calon lain dalam kategori ini ialah, Eun-soo’s Democracy Lesson (Taigi TV Station), NewsMagazine: Hidden Profits - The Dark Reality of Public Housing Abuse (Television Broadcasts Limited), Shifting Horizons (IFA for CNA, Mediacorp Pte Ltd) dan CNA Correspondent: They Are Coming Home (CNA, Mediacorp Pte Ltd).


Ahmad Farith Zahir, Penerbit Eksekutif Fail Mahkamah, berkata, “Kes membabitkan Allahyarham Zulfarhan bukan sekadar kisah jenayah biasa. Ia adalah pengajaran besar tentang sebuah amanah, persahabatan serta kepercayaan yang dikhianati. Dengan menyampaikan semula kisah ini, kami berharap masyarakat tidak hanya mengingati tragedi, tetapi turut mengambil iktibar agar insiden sebegini tidak lagi berulang.” 

Tambah Farith lagi, “Dua episod khas yang dipertontonkan memberi ruang untuk masyarakat melihat dengan lebih dekat bagaimana kekejaman boleh meragut masa depan seorang anak muda yang penuh potensi.  Pada masa yang sama ia membuka perbincangan lebih luas tentang isu buli dan penderaan yang masih wujud dalam masyarakat. Kisah Zulfarhan ini membawa mesej jelas bahawa setiap suara yang terabai mampu membawa padah.”


Dua episod khas “Fail Mahkamah: Zulfarhan; 19 Lawan 1” kini boleh distrim secara eksklusif di Tonton, memberi peluang kepada penonton untuk menelusuri semula kisah penuh pengajaran ini dengan lebih mendalam.

Majlis anugerah berprestij ini menghimpunkan lebih 150 pencalonan dari pelbagai negara Asia dan disiarkan secara langsung melalui platform digital ContentAsia, dengan AXN sebagai rakan penyiar rasmi Red Carpet.

Dengan kemenangan ini, TV3 dan Alternate Records  sekali lagi mengangkat martabat industri hiburan dan kandungan produksi Malaysia ke puncak antarabangsa, membuktikan bahawa karya tempatan bukan sahaja mampu bersaing, malah mampu mengungguli.

Sinopsis | Generasi: Perfect 10

Thursday, 4 September 2025

 

 Sinopsis:

EZRINA “EZIE” RIYAD ialah seorang gimnas artistik muda di sekolah menengahnya. Apabila kelab gimnastik sekolahnya dibubarkan, Ezie nekad untuk memohon pertukaran ke sekolah sukan paling berprestij negara — AKADEMI SUKAN PERMAI — walaupun tidak direstui oleh ibunya, NAZMA. Demi membuktikan kemampuannya, Ezie secara diam-diam memohon biasiswa yang ditawarkan oleh Permai.


Dengan sokongan sahabat lamanya, JUN — seorang atlet tinju di Permai — Ezie berjaya melangkah ke sekolah impiannya. Namun, dia terus sedar bahawa kehidupan di Permai tidak mudah. Walaupun peluang di situ sangat luas, suasananya penuh tekanan dan persaingan sengit. Hari demi hari, semangat Ezie semakin teruji — bukan sahaja kerana dia terpaksa merahsiakan segalanya daripada ibunya, tetapi juga kerana perlu menyesuaikan diri dalam kalangan pelajar yang sangat hebat dan berdaya saing.

Di bawah bimbingan COACH SUE — jurulatih tegas yang pernah melahirkan gimnas terbaik negara, termasuk idola Ezie sendiri, NATASHA ZAHRA HADI — Ezie terlibat dalam perseteruan sengit dengan gimnas utama sekolah, VICTORIA ZAHRA HADI. Di sinilah Ezie mula menyedari betapa mencabarnya jalan untuk mencapai impiannya.


Dengan tekanan yang semakin hebat, mampukah Ezie mengawal dirinya sebelum segalanya musnah — termasuklah hubungannya dengan orang tersayang dan dirinya sendiri? Adakah dia akan berjaya mencapai kehebatan yang diidamkan, atau terpaksa berdepan dengan satu tragedi yang tidak disangka?


 
Genre : Coming of Age, Sports, Drama
Dipersembahkan oleh: Astro Shaw Sdn. Bhd.
Penerbit Eksekutif: Raja Jastina Raja Arshad
Syarikat Produksi: Think Tank Sdn. Bhd.
Penerbit: Maurice Noone, Emylee Kumar, Ilya Karnain 
Penerbit Penyelaras: Seth Akhlaken
Pengarah: Sling Ng
Pencipta: Nas Addina
Lakon Layar: Nas Addina, Ilya Karnain, Suzanne Ong, Zuli Ismail, Dee Dee Peter, Lemuel Ong
Cerita Asal: Nas Addina & Ilya Karnain
Pengarah Fotografi: Madnor Kassim
Penyunting: Irwan Ahmad, Ain Nadzira, Heros Post
Pengarah Seni: Min Mohd
Kesan Visual: Sivagamy Jeeva
Penata Bunyi: Sean F. Gregory
Pereka Busana: Norzamri Ghazali
Penata Tatarias: Ameen Mustajab

INFO


Bahasa: Melayu, Inggeris, Mandarin
Durasi: 45 – 55 min 8 episod (+ 2 BTS Episode) : total 10 episodes
Lokasi Penggambaran: Lembah Klang & Sendayan, Negeri Sembilan
Jumlah Hari Penggambaran: 46 hari
Tarikh Mula Tayangan: 19 September 2025
Platform: Astro Go, On Demand & Linear (Citra, Ria), Sooka

BARISAN PELAKON


Arena Wan  sbg Ezrina “Ezie” Riyad  
Arabella Ellen sbg Victoria Zahra Hadi
Sofia Jane sbg Coach Suhaila “Sue” Ghazali  
Ellyza Azizi sbg Amalina “Amal” Johar 
Daniel Fong sbg Wong “Jun” Junhao 
Sharifah Sakinah sbg Coach Farah  
Aaliyah Natasha sbg Yasmin Safira 
Aila Azizul sbg Imann Khalisa
Hazi Juzaili sbg Grace Natalie Annabelle Wong
Chandni Nagadurga sbg Catherine “Cat” Michael
Dhabita Auji sbg Soraya “Sora” Rahman
Aiman Ameer sbg Tengku Mukhriz


Sherie Merlis sbg Nazma
Qi Razali  sbg Azfar
Jonathan Putra sbg Joseph Hadi
Anwaar Beg Moghal sbg Dato’ Safiy
Nas Muammar Zar sbg Coach Wan
Farah Ann Abdul Hadi sbg Natasha Zahra Hadi         

Generasi: Perfect 10 akan mula ditayangkan bermula 19 September 2025, setiap hari Jumaat bermula 12.00 tengah malam di OnDemand atau jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108).  

GENERASI: PERFECT 10 SINGKAP REALITI TEKANAN REMAJA DALAM MENGEJAR IMPIAN DAN MENCARI IDENTITI | Siri terbaharu Astro Originals tampil cabaran gadis bergelar atlet gimnastik profesional 

Kuala Lumpur, 4 September 2025 – Terkenal dengan penceritaan berani yang melangkaui genre dan berjaya memikat hati peminat drama serta rakyat Malaysia, Astro Originals kembali dengan sebuah karya baharu untuk semua lapisan penonton, Generasi: Perfect 10. Ia adalah sebuah drama inspirasi daripada pengalaman gadis remaja yang mengejar impian menjadi atlet gimnastik profesional. Siri ini akan mula ditayangkan bermula 19 September 2025, setiap hari Jumaat bermula 12.00 tengah malam di OnDemand atau jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108).  

Sebagai siri bertemakan sukan pertama dari jenama Astro Originals, drama berintensiti tinggi ini membawa penonton menyelami dunia kompetitif atlet gimnastik profesional, sambil menyoroti kesan emosi dalam mengejar kesempurnaan, satu tema yang jarang diketengahkan di kaca televisyen Malaysia. 

Siri 8 episod ini mengikuti kisah Ezie, seorang gadis yang sejak kecil meminati sukan gimnastik dan bercita-cita untuk menjadi atlet profesional. Apabila kelab gimnastik sekolahnya ditutup secara tiba-tiba, Ezie mengambil langkah berani dengan memohon ke akademi sukan paling berprestij di negeri tersebut. Penerimaannya membuka lembaran perjalanan penuh emosi dalam mengharungi persaingan sengit, perkembangan peribadi, dan berhadapan realiti pahit dalam mengejar impian.

Selain jalan cerita yang menarik, siri ini turut menyentuh isu sosial yang mendalam - daripada pencarian arah hidup dan peranan penting sokongan keluarga dalam membina keyakinan diri, kepada ketabahan wanita dalam mengejar impian serta semangat bersaing untuk mengubah nasib. 

‘Generasi: Perfect 10’ adalah hasil sentuhan oleh pengarah Sling Ng, dan juga showrunner Nas Addina. Siri penuh bertenaga ini dibintangi oleh Arena Wan (Ezie), Arabella Ellen (Victoria), Sofia Jane (Coach Sue), Ellyza Azizi (Amal), Daniel Fong (Jun), Sharifah Sakinah (Coach Farah), Qi Razali (Azfar) dan juga Sherie Merlis (Nazma). Turut membuat penampilan istimewa ialah legenda atlet negara, Farah Ann yang juga bertindak selaku penasihat. 

Penerbit Eksekutif ‘Generasi: Perfect 10’ merangkap Ketua Astro Shaw & Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara, Astro, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Siri ini menampilkan naratif yang menyentuh tema kemanusiaan dan sosial, terutamanya kepada gadis remaja dalam mengejar impian dan mencari identiti. Menerusi siri ini juga, Astro Shaw ingin mengangkat semangat atlet Malaysia dan komuniti yang membentuk mereka. Kami mengharapkan Generasi: Perfect 10 menjadi manifestasi tentang ketahanan dan kuasa transformasi yang mendefinisikan mereka sebagai seorang juara.” 

Siri Premium Astro Originals menyaksikan kolaborasi ketiga bersama jenama ikonik tanah air, Goodday Charge, susu diperkaya pertama di Malaysia yang mengandungi 10 nutrien penting untuk membantu mengekalkan tenaga anda sepanjang hari. Kerjasama strategik ini melibatkan inisiatif promosi pemasaran untuk kedua jenama dan juga penempatan produk. Astro Shaw juga turut menerbitkan sebuah video khas berdurasi 30 saat, untuk Goodday bersempena dengan kerjasama ini. 

Eksklusif buat semua penggemar siri premium Astro Originals, ‘Generasi: Perfect 10’ turut akan disiarkan lebih awal secara On Demand menerusi Astro GO bermula 12 tengah malam, serta di aplikasi sooka. Dapatkan info terkini dan tonton klip-klip menarik menerusi platform media sosial rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw seperti di Instagram, TikTok, Facebook, dan juga X.

Para penonton turut boleh saksikan ‘Generasi Perfect 10’ secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99/sebulan. Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga. Tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Entertainment dengan hanya RM139.99/sebulan. Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ‘Hi’ ke 03 9543 3838.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL LEBIH BERMAKNA BERSAMA TV3 & TV9 | Sajian Ilmiah Segar & Imej Baharu Tanyalah Ustaz

Kuala Lumpur, 4 September 2025 – Bagi menghayati keberkatan Maulidur Rasul 1447H, TV3 dan TV9 mempersembahkan kandungan ilmiah yang penuh dengan nilai kerohanian. Inisiatif ini menggariskan komitmen kedua-dua saluran dalam menyampaikan ilmu dan mendidik masyarakat melalui penghayatan sunah serta teladan Rasulullah SAW.

Sebagai sorotan utama kempen tahun ini, Tanyalah Ustaz, program televisyen keagamaan yang paling mendapat sambutan, kini diperkenalkan dengan imej baharu melalui episod khas bertajuk ‘Bertopengkan Sunah.’ Perbincangan ini mengupas isu penyalahgunaan salasilah Nabi Muhammad SAW demi kepentingan peribadi, puak atau ideologi tertentu, termasuk penggunaan hadis palsu bagi menghalalkan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. 

Episod istimewa yang disiarkan pada 5 September 2025 ini menyatukan Datuk Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Yaakub Yusra sebagai panelis, bersiaran pada jam 6.50 pagi di TV3 dan TV9.

Selain itu, pelbagai pengisian lain turut disusun bagi memperkaya pengalaman penonton sepanjang sambutan Maulidur Rasul:

i. Bacaan Yasin 2025 (Bersiaran pada 5 September 2025)

Enam qari tersohor memperdengarkan bacaan Surah Yasin dengan lenggok murattal masing-masing. Setiap alunan diperkaya dengan visual A.I. yang menghidupkan maksud ayat-ayat suci bagi memberi penghayatan dan kefahaman kepada penonton. Alunan Surah Yasin ini dibacakan oleh Da’i Hakim, Da’i Fahmi, Ustaz Fakhrul Radhi, Husaini Mahmuri, Amirahman Abas dan Harith Hakimi.

ii. Kapsul Rasulullah Cahaya Inspirasi (Bersiaran mulai 2 – 7 September 2025)

Siri kapsul dua minit bersama Ustaz Muhamad Amin memberi fokus kepada empat sifat utama Rasulullah SAW iaitu Siddiq (jujur), Amanah (dipercayai), Tabligh (menyampaikan) dan Fathonah (bijaksana). Setiap episod mengetengahkan kisah ringkas daripada kehidupan Baginda yang memberi inspirasi untuk dijadikan pedoman harian.

iii. Kapsul Selawat (Bersiaran mulai 5 – 7 September 2025)

Kumpulan Nasyid As-Saif dari SK Telok Pulai, Klang membawakan qasidah selawat berdurasi dua minit dengan penuh penghayatan dan kemerduan. Persembahan ini bukan sahaja menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW, malah turut menonjolkan keindahan seni Islam dalam kalangan generasi muda.

Terdapat juga Tanyalah Ustaz: Diari Muslim, yang membimbing penonton menelusuri amalan sunah harian yang sering terlepas pandang, bersiaran dari 29 Ogos hingga 20 September 2025. Bersama Ustaz Izmir Fareez, antara topik yang bakal dibincangkan ialah Sambut Laungan Azan, Tahnik & Aqiqah, Salam dan Izin, serta Berkat Setiap Suapan.

Dengan rangkaian program berlandaskan ketakwaan ini, TV3 dan TV9 berharap usaha ini dapat mengukuhkan perpaduan, menyemai kasih serta kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Untuk info terkini dan kandungan menarik, layari laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube, dan Instagram di @TV3Malaysia, serta TV9 di @TV9Malaysia dan TikTok @TV9MalaysiaOfficial untuk lebih banyak lagi kandungan eksklusif dan menarik!

Bersiap sedialah untuk sebuah perjalanan emosi yang bermain dengan elemen ‘time travelling’ dalam filem romantik fantasi Sore: Istri dari Masa Depan, yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 25 September 2025.

Namun sebelum anda hanyut dalam dunia Jonathan dan Sore, mari kita kenali dahulu wajah sebenar di sebalik watak ini; Sheila Dara Aisha dan Dion Wiyoko, pasangan serasi yang sudah beberapa kali membuktikan keserasian luar biasa mereka di layar.

Kini melonjak naik populariti dengan lakonan versatilnya, Sheila Dara Aisha ialah definisi bintang yang berkembang bersama zaman.

Kerjaya seninya bermula seawal kecil lagi apabila beliau menjadi ahli trio Arvaby dan duta McKids sekitar tahun 2000. Malah, ramai mungkin tidak tahu bahawa Sheila pernah menyanyikan lagu tema kartun ikonik Crayon Shinchan dan Hamtaro versi Indonesia.

Beliau mula serius dalam bidang lakonan pada tahun 2013 melalui filem Romantini, sebelum semakin dikenali dengan deretan filem popular lain seperti Marmut Merah Jambu (2014), Sabtu Bersama Bapak (2016), Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (2020) dan Jatuh Cinta Seperti di Film Film (2023).

Pelakon utama lelaki Sore: Istri dari Masa Depan, Dion Wiyoko, kembali menghidupkan watak Jonathan, karakter yang sudah diperkenalkan sejak webfilm asal pada 2017 dan telah berjaya menambat hati penonton.

Perjalanan Dion bermula di dunia permodelan apabila beliau menjuarai pertandingan majalah Aneka Yess! dalam kategori Wajah Oriental (seakan Hero Remaja di Malaysia). Namun, nama Dion benar-benar dikenali setelah membawakan watak Yohan dalam Cek Toko Sebelah. Lakonannya yang penuh emosi bukan sahaja mencuri perhatian, tetapi juga mengangkatnya sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Paling Popular di Indonesian Movie Actors Awards, di samping lima lagi pencalonan berprestij.

Selain Cek Toko Sebelah, Dion turut membintangi filem seperti Mimpi Sejuta Dolar (2014), Karier, Cinta dan Timbangan (2019) serta Jatuh Cinta Seperti di Film Film (2023). 

Di luar layar, Dion memupuk minat mendalam dalam bidang fotografi. Hobi yang bermula sekadar suka-suka kini berkembang menjadi ekspresi diri yang serius; malah beberapa hasil bidikan lensanya turut dipamerkan dalam Sore: Istri dari Masa Depan, menjadikan sentuhannya lebih peribadi dalam naskhah ini.

Apabila dua figura hebat ini digandingkan, hasilnya pasti tidak mengecewakan. Penonton sudah menyaksikan keserasian mereka mekar dalam beberapa projek terdahulu, dan kali ini, Sore: Istri dari Masa Depan menjanjikan dimensi baharu yang lebih menyentuh emosi.

Tidak hairanlah naskhah ini lebih awal sudah menerima pujian daripada penonton di Indonesia, dengan ramai mengaku sanggup menontonnya berkali-kali.

Tandakan Kalendar Anda!

Apa yang bakal berlaku apabila cinta diuji oleh perjalanan waktu? Semua jawapan menanti anda dalam Sore: Istri dari Masa Depan, bermula 25 September 2025 hanya di pawagam.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios.

Hospital Loveline, Kisah Penuh Warna Tentang Pertembungan Hati Di Dunia Hospital!

Wednesday, 3 September 2025

SCHA ELINNEA & SYARUL EZANI DILAMUN CINTA? | Hospital Loveline, Kisah Penuh Warna Tentang Pertembungan Hati Di Dunia Hospital!

Kuala Lumpur, 3 September 2025 - Bila si ceria bertemu si tegas, lahirlah cinta tak diduga di hospital. Drama terbaharu slot Akasia, Hospital Loveline, hadir dengan gabungan romantik, komedi dan emosi menyentuh hati. Berlatarbelakangkan suasana hospital, ia mengisahkan perjalanan cinta Sophia (Scha Elinnea), gadis riang yang setia menjaga neneknya, bersama Dr. Arfan (Syarul Ezani), seorang doktor tampan yang hidup penuh disiplin dan ketegasan.

Hospital Loveline, arahan Ng Ken Kin terbitan Orangetree Production Sdn Bhd, bakal ditayangkan selama 13 episod menerusi slot Akasia. Membariskan gandingan utama Scha Elinnea dan Syarul Ezani, drama ini turut menampilkan Sean Lee, Jaja Iliyes, Hanna Aqeela, Kismah Johar, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Apich Lo, menjadikan naskhah romantik komedi ini lebih segar, berwarna dan dekat di hati penonton.

Sophia, seorang ahli fisioterapi di Hospital Insani, tidak pernah terpesona dengan aura Dr. Arfan, doktor muda yang sering menjadi perhatian setiap kali melangkah masuk ke hospital. Walaupun ramai yang mengaguminya, Sophia lebih memilih untuk menumpukan kasih sayang kepada neneknya, Opah Tijah (Kismah Johar), satu-satunya tempat dia bergantung setelah kehilangan ibu dan ayahnya berkahwin lain.

Takdir mempertemukan Sophia dan Dr. Arfan dalam satu insiden cemas yang mengubah hubungan mereka. Dalam masa sama, hospital turut berdepan tekanan apabila Dr. Farhad (Dato’ Jalaluddin Hassan), ayah kepada Dr. Arfan merangkap pengarah hospital, ditekan oleh adiknya Dr. Malik (Zarul Umbrella) kerana gagal menangani isu-isu pengurusan yang semakin meruncing. Konflik profesional ini menambah lapisan drama di sebalik dunia perubatan yang penuh cabaran.

Ketika hidup Sophia semakin sibuk, kehadiran mengejut Opah di Kuala Lumpur membawa kebahagiaan seketika sebelum bertukar panik apabila Opah tiba-tiba jatuh di tepi jalan dan terpaksa dirawat di hospital tempat Sophia bekerja. Secara tidak disangka, Dr. Arfan ditugaskan untuk menjaga Opah, dan dari situ bermulalah misi penuh manis dan lucu apabila Opah cuba menyatukan dua hati tetapi mampukah usaha Opah benar-benar berjaya? Atau adakah rahsia dan konflik lain bakal menghalang cinta mereka?

Menurut Scha Elinnea “Saya sangat teruja membawakan watak Sophia kerana dia seorang yang ceria, spontan dan penuh kasih sayang, namun dalam masa sama berdepan situasi tidak dijangka di hospital. Hospital Loveline bukan sekadar kisah cinta biasa kerana ia menggabungkan humor, konflik dan mesej tentang keluarga. Saya percaya penonton akan terhibur dengan gelagat Sophia dan Dr. Arfan, sambil turut merasai sisi emosi yang lebih mendalam.”

Dengan gabungan jalan cerita yang penuh warna, konflik yang mengusik hati dan watak-watak yang segar, Hospital Loveline dijangka menjadi tontonan wajib bagi peminat drama romantik komedi tempatan. Ia bukan sekadar kisah cinta di sebalik dinding hospital, tetapi juga perjalanan tentang bagaimana pertemuan tanpa diduga boleh merubah takdir dan membuka pintu hati.

Jangan terlepas untuk saksikan Hospital Loveline, bermula 4 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.