LIMA FIGURA INDUSTRI KREATIF MEWAKILI MALAYSIA SEBAGAI JURI EUROVISION SONG CONTEST ASIA 2026

Thursday, 12 November 2026

Kuala Lumpur, 13 November 2026 – Malaysia bakal diwakili lima figura berpengalaman daripada industri kreatif tempatan yang menggalas tanggungjawab sebagai panel juri bagi Eurovision Song Contest Asia 2026, diketuai oleh penerbit muzik dan komposer terkenal, AG Coco, selaku Ketua Juri.

Turut menganggotai panel tersebut ialah Justin Seow, penerbit muzik dan komposer; Iman Tang, pengurus acara dan promoter konsert; Bobby Husaini, pengarah iklan dan filem; serta Shamshul Azree Samshir, Pengarang Berita Kanan Hiburan dan Projek Berita Harian.

Kepelbagaian latar belakang profesional ini menghimpunkan kepakaran daripada pelbagai cabang industri muzik dan hiburan, sekali gus membentuk sebuah panel dengan perspektif berbeza dalam menilai persembahan yang dipertandingkan.

Sebagai penyiar rasmi Malaysia, TV3 akan membawakan Eurovision Song Contest Asia 2026 secara langsung kepada penonton tempatan pada 14 November 2026, jam 9.30 malam menerusi TV3 dan platform penstriman Tonton.

Dalam sistem pengundian pertandingan ini, setiap negara peserta diwakili lima orang juri profesional, dengan undian mereka menyumbang 50 peratus kepada keputusan keseluruhan pertandingan, manakala baki 50 peratus ditentukan menerusi undian penonton. Setiap juri bertanggungjawab menilai keseluruhan persembahan dan aspek artistik setiap penyertaan secara adil, objektif dan konsisten. 

Proses penilaian akan dilaksanakan menerusi sesi tontonan bersama bagi persembahan raptai sebelum malam kemuncak, diikuti penghantaran ranking masing-masing oleh setiap juri melalui sistem pengundian dalam talian yang disediakan.

Sebagai Ketua Juri, AG Coco bertanggungjawab mengemukakan keputusan rasmi undian Malaysia selain bertindak sebagai pemutus seri sekiranya diperlukan.

Malaysia, sudahkah anda bersedia?
Maka Kami #MalaysiaBersamaAinaAbdul

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV3, ikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok menerusi @TV3Malaysia.

KUALA MAKAR KINI DIABADIKAN DI PERAK, PAPAN TANDA LOKASI PENGGAMBARAN GOOD BOYS GO TO HEAVEN DIRASMIKAN | Pelancaran hasil kerjasama masyarakat setempat & Astro Shaw membuka potensi lokasi ikonik di Bukit Merah, Kerian sebagai tarikan baharu buat peminat dan pengunjung

12 November 2026, Kerian, Perak - Siapa sangka Kuala Makar, sebuah pekan fiksyen yang pernah menjadi bualan hangat penonton menerusi siri premium Astro Originals, Good Boys Go To Heaven, kini mempunyai identitinya sendiri di dunia nyata.

Astro Shaw meraikan satu lagi detik bermakna menerusi majlis pelancaran enam papan tanda Kuala Makar yang ditempatkan di sekitar lokasi penggambaran ikonik siri berkenaan di Bukit Merah, Kerian, Perak. Inisiatif ini bukan sahaja mengabadikan lokasi yang menjadi sebahagian penting daripada penceritaan Good Boys Go To Heaven, malah berpotensi menjadikannya tarikan baharu buat peminat yang ingin menjejaki sendiri dunia Kuala Makar.

Majlis pelancaran berlangsung meriah dengan kehadiran Penerbit Eksekutif Good Boys Go To Heaven merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, bersama pasukan Astro Shaw, serta pelakon Good Boys Go Heaven iaitu Dai Fuad. Turut hadir, Puan Rabizah Hasni Binti Mohamad, Ketua Penolong Pegawai Daerah Pembangunan yang mewakili Pegawai Daerah Kerian; Yang Berbahagia Dato’ Haji Sham bin Mat Sahat, Pegawai Khas YAB Menteri Besar Perak; pemimpin masyarakat serta penduduk setempat yang memberikan sambutan cukup meriah.

Pelancaran ini turut menjadi simbol penghargaan kepada masyarakat setempat dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama serta sokongan sepanjang penggambaran siri tersebut.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Good Boys Go To Heaven merangkap Ketua Astro Shaw, inisiatif ini membuktikan bagaimana sesebuah karya kreatif mampu meninggalkan impak yang melangkaui layar televisyen.

“Papan tanda ini bukan sekadar simbol kepada lokasi penggambaran, tetapi turut mencerminkan kerjasama erat antara pasukan produksi dan masyarakat setempat yang telah menerima kehadiran kami dengan begitu baik.”

“Inilah yang memberi kami lebih semangat untuk terus menghasilkan karya tempatan berkualiti yang bukan sahaja menghiburkan penonton, tetapi turut mencipta impak di luar skrin, termasuk membuka peluang kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat. Kami berharap lebih ramai peminat dan pengunjung akan datang sendiri untuk meneroka Bukit Merah, Kerian serta mengenali keunikan lokasi ini.”

Terdahulu, Good Boys Go To Heaven mencetuskan fenomena tersendiri apabila berjaya menarik perhatian penonton yang bukan sekadar mengikuti jalan ceritanya, malah bertukar menjadi ‘detektif’ di media sosial bagi merungkai misteri pembunuhan seorang kanak-kanak bernama Ahyan.

Sejak episod pertama ditayangkan pada 8 Mei 2026, setiap episod mencetuskan pelbagai teori, spekulasi dan perdebatan hangat, khususnya di platform Threads. Penonton aktif menganalisis setiap petunjuk, meneliti latar belakang watak dan mengemukakan teori masing-masing bagi mencari pembunuh sebenar Ahyan. Fenomena ini menjadikan Good Boys Go To Heaven antara siri tempatan yang hangat diperkatakan sepanjang tempoh tayangannya.

Berlatarbelakangkan pekan fiksyen Kuala Makar, siri thriller psikologi ini mengisahkan Yasser, seorang bapa yang berdepan tragedi kehilangan anak lelakinya sebelum dirinya sendiri menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan tersebut. Dalam usaha membersihkan namanya, Yasser mula membongkar satu demi satu rahsia gelap yang tersembunyi di sebalik kehidupan masyarakat pekan berkenaan.

Diterbitkan oleh Astro Shaw dan diarahkan oleh Ariff Zulkarnain, siri ini menampilkan barisan pelakon hebat tanah air, antaranya Beto Kusyairy, Zahirah Macwilson, Amerul Affendi, Malek McCrone, Firdaus Karim, Sky Iskandar, Amanda Ang, Mila Mohsin dan Dai Fuad.

Selain penceritaan penuh misteri dan lakonan mantap, keindahan latar penggambaran di sekitar Bukit Merah dan Taiping turut memberikan identiti visual tersendiri kepada Kuala Makar, sekali gus menjadikan lokasi berkenaan cukup dekat dengan ingatan penonton.

Kini, dengan enam papan tanda Kuala Makar yang ditempatkan di lokasi penggambaran, dunia fiksyen yang pernah mencetuskan pelbagai persoalan dan teori dalam kalangan penonton terus dihidupkan sebagai sebahagian daripada pengalaman dunia sebenar.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Astro Shaw untuk terus memperluas impak karya tempatan, bukan sahaja menerusi penceritaan berkualiti, malah melalui kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyumbang kepada perkembangan industri kreatif dan memperkenalkan keunikan destinasi tempatan kepada khalayak lebih luas.

Good Boys Go To Heaven boleh ditonton semula menerusi On Demand.

Dua Malam, Dua Pengalaman Muzik Bersama Astro

Wednesday, 11 November 2026

Dua Malam, Dua Pengalaman Muzik Bersama Astro | Konsert Sooka tampilkan band kegemaran Gen Z, manakala Konsert Vaganza satukan ikon muzik 

Kuala Lumpur, 11 November 2026 - Sempena sambutan ulang tahun ke-30 Astro, peminat muzik tempatan bakal menikmati dua malam penuh hiburan menerusi Konsert Sooka pada 5 Disember dan Konsert Vaganza pada 6 Disember 2026, bertempat di Idea Live Arena, 3 Damansara.

Mengangkat tenaga One Stage, Three Decades, Endless Memories, kedua-dua konsert ini menghimpunkan barisan artis daripada pelbagai generasi, menawarkan pengalaman muzik yang merangkumi persembahan band bertenaga, lagu-lagu popular serta kolaborasi eksklusif yang bakal mencipta momen istimewa buat para peminat.

Mengulas mengenai penganjuran kedua-dua konsert ini, Naib Presiden, Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata, “Sepanjang 30 tahun, Astro telah menjadi sebahagian daripada perjalanan industri hiburan tempatan, daripada mencungkil bakat baharu hingga meraikan nama-nama yang telah mencipta legasi tersendiri. Menerusi Konsert Sooka dan Konsert Vaganza, kami ingin memberikan pengalaman muzik yang berbeza kepada peminat, sambil menghimpunkan artis dan karya yang mencerminkan kepelbagaian landskap muzik Malaysia. Kedua-dua konsert ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk terus meraikan bakat tempatan serta menghubungkan peminat daripada pelbagai generasi menerusi muzik.”

Konsert Sooka: Pentas Buat Muzik Generasi Kini


Buat peminat muzik generasi muda, Konsert Sooka pada 5 Disember bakal menampilkan barisan kumpulan muzik popular yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan pendengar Gen Z. Menghimpunkan The Lantis, Insomniacks, Bunkface, Kugiran Masdo dan penampilan istimewa daripada Kudrat Boys, konsert ini meraikan keunikan muzik berkumpulan menerusi lagu-lagu hit yang dekat di hati peminat.

Dikenali dengan persembahan bertenaga, melodi yang mudah melekat di ingatan serta lagu-lagu yang mengundang singalong, setiap kumpulan bakal membawa karakter muzik tersendiri ke pentas. Penonton boleh menjangkakan suasana seperti sebuah persembahan muzik langsung yang meriah, dengan peluang untuk menyanyi bersama dan menikmati setiap rentak sepanjang malam.

Konsert Vaganza: Malam Ikonik Merentasi Generasi


Pada 6 Disember, Konsert Vaganza bakal menyajikan pengalaman muzik yang lebih istimewa menerusi gandingan artis daripada pelbagai generasi. Antara yang bakal mencuri perhatian ialah duet Datuk Ziana Zain bersama juara Big Stage Rocketfuel, Hussain, selain persembahan Jaclyn Victor bersama Datuk Ramli MS yang bakal membawakan hampir 20 buah lagu dalam satu segmen istimewa.

Malam tersebut turut menyaksikan pertemuan pertama Tenxi dan Nadeera di atas pentas menerusi sebuah duet, selain penampilan Tenxi bersama artis-artis Malaysia dalam sebuah konsert. Keunikan persembahan turut diperkaya dengan pengaruh muzik Datuk Ramli MS yang bakal menerajui susunan muzik bagi lagu-lagu hit ALPHA dan karya Noh Salleh, menggabungkan identiti muzik tersendiri setiap artis dengan sentuhan seorang maestro industri.

Tidak ketinggalan, elemen Girls Power bakal menyerikan pentas menerusi gabungan Mimi Fly bersama The Girls yang terdiri daripada Odda, Amarra dan Tengku Ratu. Penonton juga bakal menyaksikan Hussain dan ALPHA kembali bergabung dalam satu pentas, menghimpunkan dua nama yang mencuri perhatian sepanjang tahun ini.

Dengan lebih 30 buah lagu sepanjang tiga jam, Konsert Vaganza bakal membawa penonton menikmati sebuah persembahan yang menggabungkan kekuatan vokal, kepelbagaian genre dan kolaborasi yang jarang dapat disaksikan dalam satu pentas.


Tiket untuk Konsert Sooka dan Konsert Vaganza kini boleh didapati menerusi Ticketmelon di https://www.ticketmelon.com/astro/konsert. Peminat boleh membeli kategori tiket mengikut keselesaan masing-masing untuk menikmati dua malam persembahan yang meraikan muzik, nostalgia dan hiburan sempena ulang tahun ke-30 Astro.

Untuk maklumat lanjut, layari gempak.com. 

PMX TITIP KATA SEMANGAT BUAT AINA ABDUL, KEBANGGAAN MALAYSIA DI EUROVISION ASIA 2026

Tuesday, 10 November 2026

Menjelang kemunculannya mewakili Malaysia di pentas sulung Eurovision Song Contest Asia 2026 pada 14 November ini, penyanyi kebanggaan negara, Aina Abdul, turut menerima sokongan dan kata-kata semangat daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menerusi hantaran di media sosial rasminya.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menyifatkan penyertaan Aina sebagai bukti bahawa bakat dan karya anak Malaysia mampu melangkah jauh serta bersaing di pentas antarabangsa, selain menegaskan bahawa Aina tetap menjadi kebanggaan negara tanpa mengira keputusan pertandingan.

“Menang atau sebaliknya, Aina tetap kebanggaan kita semua. Terbang tinggi, Aina!” titip beliau.

Untuk membaca hantaran penuh Perdana Menteri, sila klik di SINI.

Sabtu ini, Aina Abdul bakal bersaing dengan 10 peserta dari negara lain di Eurovision Song Contest Asia 2026 dengan mempertaruhkan lagu Bluest Sky sebagai persembahan ke-11. Saksikan pertandingan ini secara langsung pada 14 November 2026, jam 9.30 malam menerusi TV3 atau strim di Tonton.

Maka Kami #MalaysiaBersamaAinaAbdul

MIRA FILZAH & RIENA DIANA DIUJI EMOSI MENERUSI ‘RACUN SEGUMPAL HATI’ | TERIKAT DARAH YANG SAMA DAN TERPISAH OLEH LUKA BERBEZA 

Kuala Lumpur, 11 November 2026 – Apabila parut kemiskinan dan rasa terabai sejak kecil bertukar menjadi benci, ikatan persaudaraan yang paling suci sekalipun mampu runtuh. Kasih tulus antara kakak dan adik  kini menanti padah apabila prasangka dan dendam yang sekian lama bersembunyi mula menyerap masuk sebagai toksik dalam keluarga. Pentas filem emosi ini bakal disajikan secara eksklusif menerusi Tonton Original Movie terbaharu, Racun Segumpal Hati  yang akan menemui penonton pada 11 November 2026 secara eksklusif di platform Tonton.

Karya sentuhan pengarah berkaliber Uchee Fukada, terbitan Zeel Production dengan hasil nukilan skrip oleh Marr Mohamad dan Maizura Mohd Ederis ini menampilkan gandingan pelakon hebat tanah air antaranya Mira Filzah, Riena Diana, Kamal Adli, Nafiez Zaidi, Fauzi Nawawi, Fiza Halim, Lydiawati, Wan Maimunah dan Amylia Aidura. Jalan cerita berfokus kepada watak Rania (Mira Filzah) yang membangunkan perniagaan tepung pelita selepas pemergian ibu bapanya, Kamil (Fauzi Nawawi) dan Hasnah (Fiza Halim), sehingga perniagaannya semakin maju dan mendapat sambutan hangat. 

Konflik emosi ini mula memuncak apabila Alisa (Riena Diana), yang kembali ke dalam kehidupan kakaknya, Rania (Mira Filzah), selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh suaminya. Rania bersama suaminya (Kamal Adli) menyambut kepulangan Alisa dengan hati terbuka dan membenarkannya tinggal sebumbung. Namun, kehadiran Alisa di tengah-tengah kehidupan suami isteri yang sedang bahagia itu mula menguji keharmonian yang ada. Disebalik kerinduan yang menyatukan mereka, masih tersimpan luka lama serta perasaan yang tidak pernah terluah. Saat masa lalu kembali menghantui, mampukah kasih antara mereka mengatasi segala yang terbuku di hati, atau perhubungan itu sekali lagi diuji oleh luka yang belum sembuh?

Mengulas penglibatannya dalam filem ini, Mira Filzah berkongsi bahawa cabaran terbesar dalam memegang watak Rania adalah untuk menyelami gejolak emosi seorang kakak yang terperangkap dalam mengemudi kasih sayang serta ujian kekeluargaan yang berat. Menurutnya, keunikan naskhah ini terletak pada pengolahan konflik kekeluargaan yang amat dekat dengan realiti masyarakat, di mana luka lama yang tidak diubati mampu memusnahkan kepercayaan dalam sekelip mata.

Strim Tonton Original Movie ini secara eksklusif di Tonton dengan langganan serendah RM9.90 sahaja! Nikmati juga akses tanpa had kepada koleksi Tonton Originals lain, rangkaian drama pilihan TV3, siri anime, drama Korea dan pelbagai kandungan premium. 

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram di @tontonmy.

Sertai kami dalam misi paling mendebarkan tahun ini sempena meraikan 10 tahun fenomena Ejen Ali!

Sempena ulang tahun ke-10, sebuah konsert orkestra berskala besar bakal dianjurkan khas buat semua peminat dan rakan media. Bayangkan kehebatan lagu-lagu ikonik Ejen Ali dibawakan secara LIVE oleh 41 pemuzik orkestra hebat dalam sebuah malam yang luar biasa dan memukau jiwa.

Gubahan muzik gilang-gemilang oleh 41 pemuzik profesional dan pimpinan orkestra yang hebat di bawah sentuhan Azri Yunus selaku ‘Music Director’ serta Chong Koi Min selaku ‘Conductor’.

Barisan Artis Sensasi:

Persembahan gabungan vokal mantap daripada Hael Husaini, Bunga, Santesh, Malik, FUGO, dan Mariam.

Penampilan Istimewa Pertama Kali:

Ida Rahayu, pelakon suara rasmi Ejen Ali, bakal menyanyi secara LIVE di atas pentas!

Butiran Acara:

  • Tarikh: 28 & 29 November
  • Masa: 8:00 Malam
  • Lokasi: Plenary Hall, KLCC

Pembelian Tiket: Dapatkan tiket rasmi di www.wowtix.com.my

Tiket Adalah Terhad!

Jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk bersama-sama merasai sendiri pengalaman muzik yang mengagumkan ini. Tiket dijual dalam jumlah terhad, jadi bertindak segera sebelum kehabisan!

Sekian, terima kasih.

#EAInConcert  #ejenali

KUALA LUMPUR, 10 NOVEMBER 2026 – Nama Hael Husaini sekali lagi mengharumkan industri muzik tempatan apabila penyanyi dan komposer versatil itu berjaya mencuri perhatian menerusi persembahan di Round Festival, Korea Selatan, sekali gus membuktikan bakat anak Malaysia mampu bersaing di pentas antarabangsa.

Membawakan rangkaian lagu yang cukup dekat dengan peminat, Hael menghidupkan pentas menerusi persembahan Hajat, Garah, Alangkah, Diam, Jampi, Hati yang menjadi antara lagu pilihannya sepanjang festival berlangsung.

Namun, antara momen paling mencuri perhatian adalah apabila Hael membawakan lagu Korea berjudul Barrangjeok (Memory of the Wind). Lagu yang mempunyai cabaran tersendiri dari segi teknik dan kawalan vokal itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk disampaikan, namun Hael berjaya memberikan persembahan yang cukup baik dan meyakinkan.

Keberanian Hael menyahut cabaran menyampaikan karya dalam bahasa Korea itu turut memperlihatkan kesungguhan beliau untuk meneroka pengalaman muzik di luar zon selesa selain membuktikan kemampuan vokalnya dalam menyampaikan lagu daripada latar bahasa dan budaya berbeza.

Lebih istimewa, kehadiran Hael turut disambut dengan sokongan rakyat Malaysia yang berada di Korea Selatan, termasuk para pelajar yang sanggup hadir bagi memberikan sokongan secara langsung. Sorakan dan semangat yang ditunjukkan mereka menjadi antara momen paling bermakna buat Hael sepanjang berada di pentas Round Festival.

Mengulas pengalaman tersebut, Hael berkata:

"Saya rasa sangat bersyukur dan bangga kerana diberi peluang untuk membuat persembahan di Round Festival. Dapat membawa lagu-lagu saya ke pentas antarabangsa merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna.

Apa yang paling menyentuh hati saya adalah apabila melihat rakyat Malaysia, terutamanya para pelajar yang berada di Korea, datang memberikan sokongan. Mendengar sorakan mereka memang memberikan semangat yang luar biasa. Rasa macam ada keluarga sendiri di sana.

Untuk lagu Memory of the Wind, saya akui ia bukan lagu yang mudah untuk dinyanyikan. Ia memerlukan persediaan dan fokus yang cukup tinggi, tetapi saya sangat gembira kerana dapat mencabar diri dan memberikan persembahan yang terbaik. Pengalaman ini pastinya akan saya ingat sampai bila-bila."

Tidak terhenti di situ, Hael turut menerima jemputan ke Wish Bus 107.5, sebuah platform persembahan muzik yang cukup dikenali di Korea Selatan. Peluang tersebut menjadi satu lagi pengalaman menarik buat Hael untuk memperkenalkan bakat serta muziknya kepada khalayak antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, single terbaharu Hael, Selesa, turut mencatat perkembangan positif apabila berjaya meraih lebih 500,000 strim di YouTube Music. Lebih membanggakan, muzik video rasmi lagu berkenaan di YouTube juga kini semakin menghampiri angka 500,000 tontonan.

Sambutan positif terhadap Selesa membuktikan karya Hael masih mendapat tempat dalam kalangan pendengar muzik tempatan, sekali gus meneruskan momentum perjalanan seninya dengan penghasilan karya yang dekat dengan peminat.

Bagi Rocketfuel Entertainment, pencapaian ini merupakan satu perkembangan yang membanggakan dan mencerminkan potensi besar artis Malaysia untuk terus mengembangkan pengaruh muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.

Kejayaan Hael di Korea Selatan bukan sekadar tentang sebuah persembahan, tetapi juga tentang keberanian membawa identiti muzik Malaysia ke pentas yang lebih luas.

Kehangatan drama bersiri Sepenuh Hati Rindu nampaknya semakin menjadi-jadi di platform penstriman Tonton dan slot Samarinda TV3. Selepas sekian lama tidak beraksi di kaca TV, kemunculan semula Farah Nabilah menerusi watak Sumayyah benar-benar mencuri tumpuan penonton. 

Rata-rata peminat memuji keberanian dan profesionalisme beliau yang tampil natural tanpa sebarang solekan tebal demi menjiwai watak seorang wanita yang mengidap kemurungan dan emosi tidak stabil selepas kehilangan suaminya Imran (Shahz Jaszle), dalam tragedi bot karam.

Penghayatan mendalam Farah Nabilah bukan sahaja membuktikan kualiti lakonannya yang masih mantap, malah berjaya mewujudkan spark serta simpati penonton terhadap nasib malang yang menimpa Sumayyah.

Namun di sebalik penderitaan Sumayyah, emosi penonton semakin digetarkan dengan kehadiran watak Hakim yang dijayakan oleh Syafie Naswip. Sebagai adik kepada Sumayyah, watak Hakim berjaya membuatkan ramai penonton 'naik hantu' di media sosial gara-gara sikap dan tindakannya yang sering menyakitkan hati serta menambah beban emosi kakaknya. Kehebatan Syafie Naswip memainkan emosi penonton membuktikan betapa berkesannya penyampaian beliau, sehingga setiap babak yang melibatkannya sentiasa hangat diperkatakan dan dinantikan dengan rasa geram oleh para peminat.

Dengan konflik yang semakin memuncak serta keakraban baharu antara Sumayyah dan pakar terapinya, Luth Mikael (Razzuan Rosli), pelbagai persoalan kini bergantung di fikiran penonton. Adakah ikatan baharu ini mampu menyembuhkan luka lama Sumayyah atau adakah ujian yang lebih berat sedang menanti? 

Bagi anda yang tidak sabar untuk mengetahui nasib Sumayyah dan gelagat Hakim seterusnya, pastikan anda menonton episod baharu Sepenuh Hati Rindu 24 jam lebih awal di Tonton sebelum tayangannya di TV3 pada Isnin ini, jam 10 malam!

#SepenuhHatiRindu #SamarindaTV3 #Tonton

Movie Review | Sita Ramam (2022)

Monday, 9 November 2026


Pengarah: Hanu Raghavapudi
Penulis Skrip: Hanu Raghavapudi, Rutham Samar, Jay Krishna, Raj Kumar Kandamudi  
Pelakon: Dulquer Salmaan, Mrunal Thakur, Rashmika Mandanna   
Syarikat Produksi:  Vyjayanthi Movies, Swapna Cinema  
Pengedar:  
Genre: Romantik / Drama
Durasi Tayangan: 163 minit
Tarikh Tayangan: 05 Ogos 2022    
Trailer:


Pada tahun 1985, Afreen (Rashmika Mandanna), seorang pelajar Pakistan yang memberontak di London diminta untuk membayar ganti rugi sebanyak Rs10,000.000 setelah merosakkan kereta milik dermawan India, Dr. Anand Mehta (Tinnu Anand). Afreen buat keputusan untuk pulang ke Pakistan dan minta datuknya, Brigedier Abu Tariq (Sachin Khedekar) bayarkan jumlah wang tersebut. 


Namun sebaik saja sampai ke rumah, peguam yang dilantik sebagai pentadbir (Neeraj Kabi) maklumkan Abu Tariq sudah meninggal dunia. Untuk dapatkan semua harta yang dimiliki, Afreen perlu selesaikan satu tugas iaitu menghantar surat kepada Sita Mahalakshmi (Mrunal Thakur). Sepanjang hidup Abu Tariq, dia cuba untuk hantar tapi dua kali dipulangkan semula.  


Surat milik Leftenan Ram (Dulquer Salmaan) sejak tahun 1962 jadi beban kepada Afreen sebab dia pun tak tahu nak mula dari mana. Siapa Sita? Dia pun tak kenal. Makin bertambah sakit hati pulang ke rumah tapi Afreen usahakan juga amanat Abu Tariq supaya dia dapat wang untuk bayar ganti rugi.


Afreen bersama Balaji (Tharun Bhascker) pergi ke Hyderabad menuju alamat yang tertera di surat Ram tapi tempat tersebut sudah bertukar menjadi kolej perempuan dan tiada pelajar bernama Sita di situ. Afreen mencuba nasib untuk mulakan pencarian dengan maklumat peribadi Ram lalu mereka bertemu dengan Leftenan Vikas Varma (Shatru), kawan baik Ram. Dari situ Afreen dan Balaji mula kenal siapa dua watak yang berutus surat dan bakal menyingkap rahsia besar melibatkan kisah silam Afreen. 


Filem romantik drama arahan dan penulisan Hanu Raghavapudi terinspirasi dengan sepucuk surat yang dijumpai dalam sebuah buku yang dibeli. Surat yang dikirim oleh si ibu untuk anaknya yang tinggal di asrama. Dia dapat ilham untuk cipta sebuah cerita bagaimana surat yang tak dibaca bakal mengubah realiti orang sekeliling. 


Walaupun menggunakan kisah romantik antara Sita dan Ram, namun latar tempat yang digunakan mempunyai situasi yang genting dan tegang bila melibatkan rusuhan antara kaum Hindu dan Muslim juga di sempadan penting antara India dan Pakistan. Insiden yang sama pernah diceritakan dalam filem The Kashmir Files (2022) dan Baramulla (2025).

Setiap insiden yang berlaku bukan saja menguatkan semangat patriotism malah buatkan Sita dan Ram lebih menghargai setiap detik mereka luangkan bersama. Tak melebih-lebih kalau Sita berlari kejar Ram sebelum dia pergi operasi. Entah berapa kali nangis tengok Sita Ramam ni. 


Sebelum ni pernah nampak klip Dulquer puji Mrunal sama cantiknya dengan Kashmir dan pujian dia tu tak melebih-lebih sebab Mrunal cantik sangat sebagai Sita dalam filem Sita Ramam. Semua wardrobe dan gaya rambut dia guna dari sentuhan Sheetal Sharma sesuai sangat dengan keayuan dan elegan yang dipamerkan. 

Walaupun filem Sita Ramam bermula dengan watak-watak sampingan yang agak lemah lakonannya terutama Rashmika Mandanna yang baran tak semena tapi bila masuk kisah Ram dengan Sita, semua tu terubat sebab chemistry Dulquer dengan Mrunal menguatkan suasana romantik sampai terlupa dengan misi jihad Ansari (Ashwath Bhatt). 


Music album Sita Ramam yang digubah oleh Vishal Chandrasekhar menguatkan lagi babak romantik bersama lirik puitis yang tepat menggambarkan situasi mereka berdua. Comel sangat lagu Dil Se Dil yang didendangkan oleh suara lunak Shashwat Singh. Lagu O Sita pun comel sebagai lagu latar Sita dan Ram yang semakin asyik bercinta. 


Sinematografi dari P.S. Vinod mungkin lemah pada penggunaan CGI untuk menggambarkan kawasan perang namun cemerlang untuk menggambarkan latar masyarakat juga budaya India pada tahun 60-an. Cantik sangat babak Sita menari Kathak dekat Kashmir atau babak Sita berjalan depan perarakan askar India. 

Kalau ada babak Ram terpesona dengan kecantikan Kashmir, memang itu natural impression dari Dulquer sebab itu pertama kali jejak ke Kashmir. Tapi siapa je tak jatuh cinta dengan keindahan Kashmir. 


I tengok filem Sita Ramam dalam versi Hindi jadi ada emosi yang kurang sampai atau melebih-lebih tapi tak terganggu sangat lah sebab I yang pilih untuk layan dalam dubbed version. Mungkin versi Telugu lebih menarik tapi I okay je dengan Hindi.

Kalau ikutkan penceritaan Sita Ramam ada part yang nampak meragukan macam tanggapan Ram terhadap Sita. Tak pasti kenapa dia tak boleh teka yang Sita hidup dalam keluarga berada sebab pertama kali jumpa pun Sita ambil koc mahal, pakaian dia jelas menunjukkan dia orang ada-ada ditambah dengan penggunaan aksesori mutiara. 


Mungkin dia tahu tapi dia sengaja play dumb sebab dah jatuh cinta even dia pun perasan Sita dah suka dengan dia sebaik saja sampai ke rumah Durjaya (Vennela Kishore). 

Lepas bertahun baru ada peluang nak tengok filem Sita Ramam dan terbuai dengan kisah cinta sampai mati ni. Kalau penulis tak beria nak kuatkan elemen dramatik, mungkin ramai yang tengok balik filem Sita Ramam. 


p/s: It feels good to watch Bhumika Chawla in Sita Ramam. 

1. Team Production +1, 2. Visual +0.8, 3. Audio +0.7, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +0.8, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.8/10

KUALA LUMPUR, 9 November 2026 – Suasana pagi ini cukup bermakna buat penyanyi berkaliber negara, Aina Abdul, apabila peminat setianya, Ainations, berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengiringi keberangkatannya ke Bangkok, Thailand, menjelang penyertaannya dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 hujung minggu ini.

Kehadiran Ainations seawal pagi jelas memperlihatkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penyanyi kesayangan mereka. Sorakan dan kata-kata semangat yang diberikan turut menggambarkan hubungan akrab antara Aina dan peminat setianya, menjelang satu lagi fasa penting dalam kerjaya seni penyanyi tersebut.

Aina diiringi rombongan kira-kira 25 orang termasuk kru TV3 yang akan mengikuti perkembangan dan persiapannya sepanjang berada di Bangkok. Beliau dijadualkan menjalani sesi latihan secara berturut-turut dari 10 hingga 13 November, dengan aktiviti di sebalik tabir turut dirakam untuk dikongsikan menerusi Melodi dan TV3.

Sebagai wakil rasmi Malaysia, Aina mempertaruhkan Bluest Sky, karya yang disifatkannya sebagai lagu terbesar pernah ditulisnya. Dicipta sendiri oleh Aina dengan susunan muzik oleh Mac Chew, lagu berbahasa Inggeris ini menggabungkan elemen power ballad dan muzik Nusantara menerusi penggunaan gambus serta seruling. Menariknya, Hiro, kucing kesayangan Aina, turut menjadi inspirasi dalam penciptaan lagu tersebut.

Kini, tumpuan beralih ke Bangkok apabila Aina bakal berentap dengan 10 lagu lain bagi merebut gelaran juara Eurovision Song Contest Asia 2026. Menerusi Bluest Sky, beliau bersedia memberikan persembahan terbaik dalam usaha mengharumkan nama Malaysia dan memperkenalkan keunikan muzik tempatan kepada khalayak ramai.

Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perjalanan Aina Abdul dalam Eurovision Song Contest Asia 2026 menerusi liputan khas TV3 dan Melodi. Saksikan juga Melodi Exclusive yang akan bersiaran sempena Eurovision Asia 2026 pada 14 November 2026, dari jam 9.15 hingga 9.30 malam, sebelum siaran langsung pertandingan bermula pada jam 9.30 malam menerusi TV3 atau strim di Tonton.

Malaysia, sudahkah anda bersedia?

Maka Kami #MalaysiaBersamaAinaAbdul

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai program TV3, ikuti laman media sosial rasmi TV3 di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok menerusi @TV3Malaysia.