Pengalaman Beli-Belah di Wisma D'Herbs, Kota Damansara

Friday, 20 February 2026

Dah lama colleagues plan nak pergi shopping handbag dekat Wisma D'Herbs tapi tak pernah dapat peluang. Bila semua boss pergi Indonesia untuk meeting dekat sana, kitorang jumpa masa yang sesuai. Kitorang keluar waktu lunch dengan tenang sebab boss-boss tak kacau waktu lunch. 

😟: Kita kena gerak on time! I nak beli jeruk mangga, kalau lambat nanti jeruk mangga dia habis
😀: Takkan lah habis.
😟: Itu kan best-seller dekat situ.
😀: Eh tengok tu, Syikin, lori Alif Syukri otw nak pergi wisma dia. Jangan risau dah, confirm ada jeruk mangga u dekat dalam tu.


Kitorang nampak lori ni dari Kwasa Sentral lagi, rupanya ada dua lori baru sampai ke Wisma untuk unload stok baru. Lega lah sikit sebab Syikin tak risau dah. Nak park dekat kawasan Wisma D'Herbs adalah sesuatu yang mustahil sebab kawasan dia sempit. Tak banyak pun ruang untuk park kereta so kitorang park dekat kawasan shoplot bertentangan lepas tu jalan kaki masuk ke Wisma. 


Nasib lah cuaca okay untuk kitorang berjalan, tak panas sangat dan tak hujan. 

Comel!

Ni tempat CEO jual buah rambutan

Ni tempat Cess berniaga Dubai Chocolate dan cinnamon rolls


Nak masuk dalam Wisma D'herbs kena buka kasut, susun dekat bahagian depan pintu masuk. Tak boleh bawa masuk stroller juga dekat dalam ni tapi boleh bawa masuk wheelchair. 


Timing kitorang datang kira ngam lah sebab tak ramai orang, I rasa kalau weekend mesti bersesak tapi yang bestnya dapat lah jumpa ahli keluarga Papa Laris. Pergi waktu weekdays dapat jumpa staff je lah cerita dia. 

I dapat tahu yang Wisma D'Herbs ni baru diubahsuai jadi butik. Masuk dalam memang boleh dapat lah pengalaman shopping dalam butik eksklusif tu sebab interior dia ada taste tersendiri, susun atur yang kemas dan rapi. Konsep pun kekal dengan gaya elegan dan minimalis. 











Walaupun ada banyak produk tapi Dato' tak letak semua dekat shelves. Yang kesiannya, staff dia lah sebab kena alert untuk replace every product yang dah diambil oleh pelanggan. I perasan ada 3 ruang rehat untuk yang dah penat tawaf. Dekat sini boleh kata family friendly lah sebab ada ruang taman permainan kanak-kanak disediakan. 


Butik ni kecil je, satu tingkat sahaja tapi I yang tak membeli sangat pun boleh tawaf 6 atau 7 kali sebab rambang mata. Rasa macam nak ambil handbag jenis ni tapi yang dekat rak sana pun cantik jugak. Sudahnya I hold dulu yang lain sebab I berkenan dengan handbag Belta. Sejak Izara launched handbag rekaan dia. 







Memandangkan masa pergi dekat sini short notice sebab I baru tahu few hourse sebelum pergi so I takde lah nak tanya family nak kirim apa. Wisma D'Herbs ni dekat je dengan rumah, kalau ada yang diorang berkenan nanti kita pergi lagi. Tak pun beli online je, tup tup dah sampai depan pintu rumah. 




Bahagian handbag memang ada banyak seksyen sebab ada banyak design yang cantik. Betul lah apa yang Papa Laris cakap tu, harga murah tapi kualiti premium. Handbag yang murah tu design yang selalu nampak lah tapi kalau yang premium harga dia pun tinggi sikit lah tapi I rasa berbaloi je untuk dibeli. Handbag yang mahal dekat luar tu pun sebab jenama je kan.

Bahagian kanan Wisma D'Herbs ni penuh dengan skincare dan body care. Ada ruang untuk cuba beberapa produk sebelum beli. Sebelum ni dah beli sabun mandi Bidara tu tapi yang dekat sini tak ada pump. I tak sure lah sabun Bidara I beli sebelum ni ejen tambah pump ke apa tapi I tak suka body wash tak ada pump. Elok boleh mandi dengan tenang, habis mandi jadi baran sebab renyah nak buka cap pastu tutup balik. 





Masa belek lipmatte dekat sini dah berkenan dengan kod Cinta tapi batalkan dulu hasrat tu sebab dekat rumah ada baaaaaanyak lagi lipmatte, lipstick dan seangkatan dengannya yang tak habis pakai lagi. Kalau beli ada dua kemungkinan je, terbiar dalam storage ataupun lupa



Lepas dah habis buat keputusan, pergi berjumpa Syu yang tak berganjak dari bahagian makanan. Rancak rupanya dia test semua produk makanan dekat situ dan sebab dia jugak I dah terpengaruh untuk beli Cik Dang Papa Laris dengan Kerepek Ubi Madu Papa Laris. Malas nak berlama dekat situ sebab takut banyak lagi yang masuk dalam bakul. 


Sebenarnya dah beratur dah pun nak buat pembayaran tapi cashier rancak pula menyembang sebab tu pergi dekat Syu dulu. Bila dah pergi kali kedua, baru cashier nak attend tapi kena beratur lah pulak sebab dah ada group yang nak buat payment jugak. Malangnya I dapat cashier bunga merah tu. Dah lah muka tak manis lepastu main campak je barang yang kita beli. I tahu lah beli barang murah je tapi tak perlu kot sampai nak campak masuk dalam paper bag. 

Dapat free gift pun dia main campak je masuk lepastu terlepas dari tangan. Rasa nak marah tapi mengenangkan tak jumpa dah lepas ni, I sabar je lah. Mungkin baran dengan boss tapi lepas dekat customer. Kalau customer tak datang nak buat payment, ada lah masa untuk diorang borak panjang kan? 

Bila I cakap nak buat payment guna debit card, dia moody sebab dia nak pergi sambung menyembang padahal kerja dia tak settle pun lagi. Dia cakap 'QR ada dekat sini ha' I was like ??? I kata nak buat payment by card bukan QR. Lepastu dia replied ohh ingatkan nak pakai QR. Kalau nak pakai QR pun, kau tak boleh nak selesaikan dulu ke kerja yang sepatutnya dibuat? Nak bersangka baik pun tak boleh sebab memang terang-terang menyembang bukannya sibuk uruskan kerja lain ke apa. Boss dia kehulu-kehilir penat mencari pelanggan, yang dia pulak buat kerja sambil lewa. Gituhhhh I judge orang. 



Anyway, ni hasil tangkapan kitorang dekat Wisma D'Herbs. Semua orang yang pergi memang membeli sakan. It was a good experience cuma spoil mood dekat bahagian cashier je. Mungkin Wisma ni patut ada self service cashier macam dekat Lotus dengan IKEA. Senang tak perlu nak hadap emosi cashier, mood kita pun tak terjejas. 



Sebelum balik ke office, kitorang selfie tanda hadir. Thank you Syu jadi driver kitorang pergi Wisma D'Herbs. 


Ni semua produk Papa Laris yang I beli dekat Wisma D'Herbs, Papa Chocolate Almond dengan sheet mask tu free gift hiksss. Kalau I rajin I buat review. Kalau tak ada tu faham-faham sendiri lah. 

Kuala Lumpur, 20 Februari 2026 – “Cinta pertama mungkin tak pernah benar-benar hilang, ia cuma menunggu saat untuk melukai semula.” Itulah premis yang menjadi tunjang kepada Khianat Yang Terpilih, terbitan Mache Allstar dan arahan Ejump Mohd, sebuah naskhah yang mengangkat gelora cinta terlarang serta persoalan paling getir; apabila kenangan lama kembali menyala dan cinta terlarang diuji, mampukah hati menanggung akibatnya?

Dibintangi Ben Amir, Amyra Rosli, Ikmal Amry, Puteri Aishah, Ainina Ahmad dan Erin CTJ, siri 30 episod ini bakal menemui penonton bermula 26 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia, TV3.

Kisahnya berkembang daripada cinta pertama Ali (Ben Amir) dan Asmida (Puteri Aishah) yang terhenti sejak zaman universiti, sebelum kembali berputik tanpa dirancang apabila masing-masing telah membina kehidupan sendiri. Ali kini bergelar suami kepada Waheeda (Amyra Rosli) serta bapa kepada seorang anak yang mengalami ‘speech delay’, Afeeya. Dalam masa yang sama, Asmida pula menjalani perkahwinan yang tidak sehaluan bersama Fahim (Ikmal Amry).

Takdir mempertemukan mereka semula apabila Ali mengambil alih tanggungjawab menjaga Afeeya dan mendaftarkannya di sekolah tempat Asmida mengajar. Pertemuan yang pada awalnya tampak biasa itu tanpa sedar membuka kembali lembaran lama yang belum tertutup, lalu perlahan-lahan mencetuskan pergolakan perasaan yang sukar dibendung.

Di titik inilah kesetiaan dan tanggungjawab mula diuji. Setiap langkah membawa risiko, dan setiap keputusan hadir dengan harga yang perlu dibayar. Peluang kedua mungkin kelihatan indah, namun tidak semua yang kembali itu menjanjikan kebahagiaan, ada yang hanya merumitkan keadaan.

Menurut Ben Amir, “Ali adalah watak yang kompleks kerana dia harus mengimbangi tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan godaan nostalgia cinta pertama. Membawa watak ini mengajar saya tentang konflik dalaman, penyesalan dan bagaimana satu keputusan mampu memberi kesan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi kepada semua di sekelilingnya.”

Sarat dengan konflik, pengkhianatan dan penyesalan, Khianat Yang Terpilih menyelami dilema hati, runtuhnya kepercayaan serta impak mendalam terhadap perkahwinan dan kehidupan setiap watak. Saksikannya bermula 26 Februari 2026 ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.58 petang di slot Akasia, TV3.

Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

30 HARI RAMADAN YANG MENGUBAH HIDUP SEORANG ANAK BANDAR DALAM “MR.PERFECT RAMADAN”

Thursday, 19 February 2026

Kuala Lumpur, 19 Februari 2026 – Apabila seorang anak bandar yang memberontak dipaksa menjalani Ramadan di kampung, mampukah 30 hari penuh cabaran mengubah pandangannya tentang hidup, keluarga dan cinta? Mr.Perfect Ramadan, sebuah drama bersiri mikro berunsur komedi romantik, bakal menemui penonton bermula 19 Februari, disiarkan setiap hari jam 12.00 tengah hari, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton.

Dibintangi oleh Muaz Zabir, Ariana Yusof dan Sabri Yunus, drama ini mengetengahkan kisah ringan tetapi sarat dengan nilai kekeluargaan, keimanan dan kasih sayang yang terbit secara semula jadi sepanjang bulan Ramadan. Dengan latar suasana kampung dan momen-momen manis yang mencuit hati, Mr. Perfect Ramadan menjanjikan tontonan yang menghiburkan serta menyentuh perasaan.

Drama ini mengisahkan Syafiq (Muaz Zabir), seorang pemuda bandar berusia 25 tahun yang bercita-cita menyambung pelajaran ke Australia demi mengikut jejak langkah rakan-rakannya. Tanpa pengetahuan ibu bapanya, Anisah dan Talib, Syafiq mendapatkan surat tawaran universiti luar negara. Namun, impiannya ditentang keras kerana ibu bapanya bimbang Syafiq mudah terpengaruh dengan budaya Barat.

Sebagai jalan tengah, Anisah menetapkan satu syarat yang disangka mustahil dipenuhi Syafiq iaitu dia perlu tinggal selama 30 hari sepanjang Ramadan di kampung dan menjaga datuknya, Tokwan (Sabri Yunus) yang tinggal bersendirian. Syarat inilah yang menjadi titik tolak perubahan besar dalam hidup Syafiq.

Konflik bermula seawal ketibaannya di kampung apabila Syafiq berdepan pelbagai kesulitan, termasuk insiden tayar pancit yang menemukan dia dengan Laura (Ariana Yusof) gadis kampung yang nakal, periang dan tidak gentar menyindir egonya. Pertemuan pertama yang penuh sindiran itu menjadi permulaan kepada hubungan benci tapi suka, di mana setiap pertemuan mereka pasti berakhir dengan perbalahan kecil yang mencuit hati.

Tidak selesa dengan rutin kampung daripada bersahur makanan sederhana, berbuka di masjid hingga solat tarawih berjemaah, Syafiq merasakan kebebasannya tersekat. Namun kebijaksanaan Tokwan perlahan-lahan melembutkan hati cucunya. Di sebalik sikap tegas Tokwan, terselit kasih sayang dan didikan halus tentang kehidupan dan agama.

Hubungan Syafiq dan Laura semakin akrab apabila Syafiq mula melihat keistimewaan Laura, seorang gadis cekal yang bekerja keras, membantu orang kampung dan taat beribadah. Pelbagai momen manis tercipta, daripada belajar menggergaji buluh, menganyam ketupat sehinggalah hadiah langsir dan cadar raya yang tanpa sengaja menyinggung perasaan cinta yang terpendam.

Namun, ujian demi ujian hadir. Rakan-rakan Syafiq, Mizi (Hazim The Dukes) dan Aris (Ziyad The Dukes) dari Kuala Lumpur muncul untuk memujuknya pulang, termasuk Emy (Raden Zaharatul) yang menyimpan perasaan terhadap Syafiq, sekali gus mencetuskan rasa cemburu dalam diri Laura. Dalam kekeliruan perasaan dan nasihat bercanggah daripada rakan-rakan Laura, Syafiq berdepan dilema antara impian lama dan kebahagiaan baharu.

Sanggupkah Syafiq melepaskan impian ke luar negara demi masa depan yang lebih tenang di tanah air bersama insan yang dicintai? Adakah cinta yang hadir di bulan Ramadan cukup kuat untuk mengubah arah hidup seorang anak bandar?

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama bersiri mikro Mr. Perfect Ramadan bermula 19 Februari, setiap hari jam 12.00 tengah hari, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton. Sebuah kisah ringan penuh makna tentang Ramadan, keluarga dan cinta yang hadir tanpa dipaksa.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram TV3 di @TV3Malaysia, ikuti juga Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat serta platform rasmi tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

‘Assalamualaikum RaRa 2026’ Anjuran Astro Santuni Warga Kuala Terengganu | ‘Bila Bersama Lagi Jadi’ di Terengganu Ramadan ini dengan barisan artis dan komuniti setempat

Kuala Lumpur, 19 Februari 2026 – Astro, selaku syarikat peneraju media di Malaysia, sekali lagi menghidupkan kemeriahan sambutan bulan Ramadan menerusi penganjuran Assalamualaikum RaRa 2026. Edisi tahun ini dibawa ke Pantai Timur dan berlangsung dengan meriah di Masjid Seberang Takir, Kuala Terengganu pada 7 Februari 2026.


Membawakan tema ‘Bila Bersama Lagi Jadi’, Astro menekankan nilai kebersamaan melalui pelbagai aktiviti yang mengeratkan ukhwah dalam kalangan masyarakat Islam. Acara ini berjaya menarik perhatian masyarakat setempat dengan kehadiran seramai 3000 orang, termasuk barisan selebriti, personaliti radio, rakan media serta komuniti sekitar, yang bersama-sama mengimarahkan perkarangan masjid dan mengeratkan hubungan sesama masyarakat.


Menjadi tunjang program kali ini ialah barisan duta RaRa Astro terdiri daripada Zizan Razak, Sharifah Shahirah, ALPHA dan Auddra. Selain memeriahkan suasana, mereka juga akan memperkenalkan seleksi kandungan baharu yang bakal menemui penonton di semua platform Astro termasuk televisyen, digital, dan radio sepanjang bulan Ramadan ini. 

Acara dimulakan dengan aktiviti ‘Bekwoh RASA bersama Borak SeeNI’, di mana pengunjung berpeluang melihat duta Sharifah Shahira dan Auddra bersama komuniti setempat turun padang menjalankan aktiviti rewang untuk menyediakan juadah makanan sebelum ia diagihkan oleh duta Zizan dan ALPHA kepada pengunjung. 


Pengunjung kemudian berpeluang mengikuti sesi rakaman MeleTOP x Tazkirah Malam Jumaat, membawakan perkongsian ilmu oleh pendakwah selebriti Amin Idris, Fakrul UNIC, pengacara MeleTOP Namie, bersama dengan Ustaz Syed Mohd Norhisyam dan juga Ustaz Nabil Ahmad sebagai persiapan menjelang ketibaan Ramadan. Orang ramai boleh menonton MeleTOP x Tazkirah Malam Jumaat di saluran Astro Ria (saluran 104) pada 24 Februari dan 26 Februari di Astro Oasis (saluran 106), dan juga bahagian kedua rakaman pada 3 Mac di Astro Ria dan juga 5 Mac di Astro Oasis.


Selain mengimarahkan majlis ilmu, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan UNIC, ALPHA, Mawi serta persembahan istimewa daripada watak kartun popular Omar & Hana serta Didi & Friends, aktiviti pentas bersama penyampai radio ZAYAN serta GEGAR juga menambahkan lagi kemeriahan program ini. 



Di perkarangan Masjid pula, berlangsung aktiviti kemasyarakatan seperti pertandingan Tulisan Khat, pertandingan mewarna dan juga pertandingan memanah yang telah menarik para pengunjung untuk turut sama mengambil bahagian.

Inisiatif Astro Kasih
Seramai 70 orang pelajar telah mengikuti program anjuran ‘Kem Solat’ bersama dengan pelakon utama ‘Misi Solat 5 Waktu’, Mikael Noah, dan juga finalis ‘Mualim Muda’ antaranya Mualim Muda Anas dan Mualim Muda Amar, dalam menyertai aktiviti kerohanian dan juga pembangunan diri yang dianjurkan sepanjang program. Astro Kasih juga telah menyalurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan menerusi program kebajikannya. Sebanyak 100 pek prihatin mengandungi keperluan asas telah diagihkan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan menjelang Ramadan ini. Astro turut menyediakan saluran sumbangan dana bagi mereka yang ingin bersama-sama menjalankan ibadah sedekah melalui Program Kasih Ramadan. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Yayasan Astro Kasih di nombor akaun 21412900254230 (RHB Bank Berhad).

Movie Review | Tu Meri Main Tera Main Tera Tu Meri (2025)

Wednesday, 18 February 2026


Pengarah: Sameer Vidwans
Penulis Skrip: Karan Shrikant Sharma
Pelakon: Kartik Aaryan, Ananya Panday, Neena Gupta, Jackie Shroff
Syarikat Produksi: Dharma Productions, Namah Pictures
Pengedar: Dharma Productions
Genre: Romantik / Komedi
Durasi Tayangan: 145 minit
Tarikh Tayangan: 25 Disember 2025
Trailer:


Rehaan Mehra a.k.a Ray (Kartik Aaryan) dan ibunya, Pinky Mehra (Nina Gupta) merupakan perancang perkahwinan dan memilik syarikat Hitched Forever yang popular bukan saja di India malah di Amerika Syarikat. Walaupun menjadi orang penting dalam perkahwinan pelanggan mereka yang berbangsa India, Ray berazam untuk tidak akan berkahwin dengan gadis India kerana baginya terlalu dramatik. Pinky juga menyampah dengan karakter tersebut. 

Ray pergi bercuti di Croatia untuk Yatch Week di sana selama 10 hari. Takdir pertemukan Ray dengan Rumi Vardhan (Ananya Panday), seorang penulis buku yang tinggal di Agra bersama kakak dan ayahnya, Amar Vardhan Singh (Jackie Shroff). Rumi pergi ke Croatia untuk menenangkan diri sebelum buku terbarunya diterbitkan. Malangnya ketenangan yang dia harapkan berubah menjadi kecoh gara-gara Ray yang menjengkelkan. 

Rasa menyampah kemudiannya berubah menjadi suka tapi Rumi menganggap hubungan mereka sebagai hook-up dan menolak idea Ray untuk ke peringkat yang lebih serius. Tak mungkin Rumi akan tinggalkan ayahnya selepas berkahwin lalu menetap di Amerika Syarikat. Untuk bawa ayahnya menetap bersama juga adalah sesuatu yang mustahil kerana Amar rasa terikat dengan rumah mereka bila abu mendiang isterinya, Shoba disemadikan di situ. 

Filem romantik komedi dari Dharma Productions berjudul Tu Meri Main Tera Main Tera Tu Meri ini adalah projek reunion antara Karan Johar dan Kartik Aaryan setelah bergaduh ketika pandemik Covid-19. Filem Tu Meri Main Tera Main Tera Tu Meri adalah filem yang terlibat dalam perjanjian 3 filem antara Kartik dan Dharma Productions. 

Genre rom-com bukan genre yang asing untuk Dharma Productions dan tak juga asing untuk Kartik Aaryan yang ditabalkan sebagai Heartthrob of Bollywood. Malangnya, naskhah Tu Meri Main Tera Main Tera Tu Meri terasa canggung dan hambar. Mengecewakan lah sebab pengarah Tu Meri Main Tera Main Tera Tu Meri adalah pengarah yang sama dengan Satyaprem Ki Katha (2023), filem yang mengukuhkan nama Kartik sebagai hero romantik Bollywood untuk generasi baru. 

Dharma Productions menggunakan khidmat Anil Mehta untuk menghidupkan dunia romantik antara Rehaan dan Rumi. Landskap semulajadi Croatia juga Agra yang terkenal dengan kota cinta berjaya menambat dan memukau mata. Ditambah pula dengan beberapa majlis perkahwinan yang sarat dengan hiasan yang meriah. 

I personally love ancestral home Rumi in Agra! Cantik sangat rumah dia sebab kaya dengan budaya seni kraf India. Warna cat pun tonjolkan harmoni penggabungan dua warna mewujudkan suasana yang ceria di beberapa ruangan. Bila ada babak dalam rumah pusaka ni rasa tenang dan menghangatkan. Babak Ray dengan Amar main karom tu comel, tambah pula bila watak Ray rindu sentuhan ayah. 

Look at the chairs! Kain gantungan dekat belakang tu 💖💖💖

Gubahan lagu dari komposer duo Vishal-Shekhar menjadi sinergi yang kuat untuk naskhah romantik zaman moden namun mendambakan kisah cinta zaman 90-an seperti yang diimpikan oleh Rumi. Title track Tu Meri Main Tera Main Tera Tu Meri bertenaga dan tonjokan dancing skills dalam tempo laju untuk Kartik Aaryan menyinar. 


Hum Dono adalah signature track Vishal-Shekhar which is my favourite sebab ada vacation vibe macam lagu Ghungroo dalam filem WAR (2019). Lirik dia pun awwdorable untuk orang yang tengah hangat bercinta. Lagu Saat Samundar Paar versi soft pop dan ala akustik dari Karan Nawani pun soothing to ears. Even ramai yang geram dengan version baru tapi I jatuh cinta sebab dia tak bingit macam the original version. Dil Musafir pun not bad. 

So dekat mana kelemahan filem Tu Meri Main Tera Main Tera Tu Meri? Haruslah pada skrip, editing dan lakonan Kartik sendiri. I’m as a fan was sooo disappointed with his childish acting. Sebelum filem ni tayang ada dengar khabar angin Kartik tak setuju Karan Johar tukar heroin kepada Ananya. I tengok promo materials, elok je Kartik dengan Ananya. 

Tapi bila tengok the whole film I perasan eye placement Kartik tak bertemu pun dengan mata Ananya. Boleh terima lah kalau dia pandang cardboard untuk deliver script tapi mata dia pandang tempat lain dalam babak yang tak ada dialog pun! Frust lah wei sebab babak tu penting, untuk paparkan kedalaman cinta Rehaan pada Rumi. Masa lagu Saajan Ji Ghar Aaye tu muka dia tak rela betul menari dengan Ananya padahal Ananya dah bagi fokus 100% dekat babak tu. 

Dinamik Kartik dengan pelakon senior yang lain tak ada masalah pun sebab dia meyakinkan sebagai anak mak yang tak boleh berenggang, moden dan nakal di samping Nina Gupta. Bila Kartik bertemu dengan Jackie Shroff pula nampak sisi dia yang lembut dan manja. Idea untuk Ray mencari apa yang hilang pada Amar tu dah ada tapi tak diperdalamkan lagi sebaliknya fokus pada konflik yang remeh. 

Skrip adalah kelemahan terbesar sebab tak meyakinkan langsung Rehaan jatuh cinta dengan Rumi dalam masa yang singkat. Masa first half tu I expect Ray akan bagitahu Rumi yang dia nampak personaliti dan dunia Rumi sebagai gadis India yang berjiwa sensitif menerusi nukilan dia dalam ‘Love in Agra’ rupanya tak ada langsung sebut pasal novel ni. 

Bila penulis guna watak utama sebagai penulis, I expect filem akan menjadi puitis tapi hambarnya. Rasa jelak dengar Rumi dengan Ray berbalah tentang woke culture, feminism dan sebagainya padahal filem Tu Meri Main Tera Main Tera Tu Meri jual slogan bercinta seperti zaman 90-an tapi sikit pun tak ada perasaan tu. Pengarah masukkan babak ikonik dari filem-filem 90s Dharma pun tak membantu. 

Lemah sangat babak Rumi teruja jumpa Ray di Taj Mahal. Editing main peranan dekat sini, sama juga dengan babak perkenalan untuk watak Rumi. Vibe Dharma tu tak ada pun, berbeza lah dengan filem Dharma yang lain. It's typical but it's signature of Dharma, deal with it. 

Filem Tu Meri Main Tera Main Tera Tu Meri antara salah satu filem romantik komedi Gen Z yang gagal. Hambar seperti percintaan Gen Z. Bak kata Shankar dalam Tere Ishk Mein (2025), generasi baru boleh capai segalanya dalam dunia tapi tak akan pernah mampu merasakan dalamnya perasaan cinta seperti generasi lama. 

p/s: I masih belum patah harapan untuk layan Chand Mera Dil, filem romantik Ananya dengan Lakshya 

1. Team Production +0.4, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.3, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.6, 10. Personal Thought +0.2 = 5.6/10

Movie Review | Sukma (2025)


Pengarah: Baim Wong
Penulis Skrip: Ratih Kumala
Pelakon: Luna Maya, Christine Hakim, Oka Antara, Kimberly Ryder, Asri Welas, Khrisna Keitaro, Anna Jobling, Fedi Nuril
Syarikat Produksi: Tiger Wong Entertainment, Legacy Pictures, El Drago Pictures, Role Entertainment, Navvaros
Pengedar: TGV Cinemas (Malaysia), Netflix
Genre: Seram / Misteri
Durasi Tayangan: minit
Tarikh Tayangan: 11 September 2025 (Indonesia), 30 Oktober 2025 (Malaysia), 29 Januari 2026 (Netflix)
Trailer:

Kisah bermula dengan pergaduhan antara Arini (Luna Maya) dan suaminya, Hendra (Fedi Nuril) yang menuduhnya curang. Arini memujuk Hendra untuk berjumpa dengan psikatri kerana halusinasinya semakin parah hingga ke tahap mencederakan orang sekeliling termasuklah anak mereka, Iyan (Khrisna Keitaro). 

Dua tahun setelah bercerai, Arini bernikah dengan Pram (Oka Antara) dan mulakan hidup baru di sebuah pekan kecil. Mereka menyewa sebuah banglo lama dan mengupah Ibu Sri (Christine Hakim) untuk menjaga Iyan dan menguruskan rumah tersebut. Dalam banglo tersebut mempunyai sebuah cermin antik dan sejak cermin tersebut diletakkan di ruang tamu, Arini sering mengalami perkara aneh. 

Awalnya Arini cuma mengendahkan hal tersebut kerana dia beranggapan hanya tertekan sejak Hendra mula nyatakan hasrat ingin bertemu dengan Iyan. Namun lama-kelamaan, sosok wanita cantik bernama Sari (Anna Jobling) mula muncul dalam mimpi Arini. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan cermin antik tersebut dan mula mencari tahu lantas bertemu dengan Tyas (Kimberly Ryder). 

Dari perbualan mereka berdua, Tyas ada kaitan dengan Sari dan juga banglo lama yang didiami oleh Arini sekeluarga. Adakah Arini dan keluarganya dalam bahaya, jawapan tu ada di Netflix. 

Naskhah Sukma arahan Baim Wong menggunakan idea kehidupan abadi dan pemujaan yang memerlukan pengorbanan. Kota kecil di Kaliurang, Yogyakarta menzahirkan aestetik visual untuk lensa Ipang Rachmat Syaiful lantas menhidupkan vibe sunyi dan seram walaupun gangguan yang dialami oleh Arini agak minimal. 

Penceritaan Sukma yang dikembangkan oleh Ratih Kumala yang pernah popular dengan drama Gadis Kretek mempunyai alur yang mudah difahami dan konflik yang dialami oleh Arini. Menarik bila penulis mengangkat mitos masyarakat Jawa mengenai ritual di hadapan cermin antik ketika bulan mengambang. 

Cuma jadi tanda tanya pada yang obses dengan kehidupan abadi, apa yang mereka dapat capai bila hidup lama? Nak kata kaya pun tak juga, nak kata tenang pun tidak juga. Takkan semata sebab cinta? Pulling factor tu macam tak kuat untuk dua watak ni lakukan perkara jahat terhadap orang lain.

Lakonan Luna Maya tidaklah mencabar sebagai Arini sebab watak dia boleh kata pasif, lebih kepada menjadi kunci kepada watak-watak lain. Pujian harus diberikan kepada Fedi Nuril sebagai Hendra yang mengalami skizo dan berusaha untuk dapatkan kembali kepercayaan bekas isteri dan anak. Dia tak lah pujuk Arini untuk kembali semula tapi lebih kepada pujuk Arini untuk bagi lebih masa untuk dia dan Iyan. Tahniah kepada Fedi Nuril berjaya menang anugerah Pelakon Utama Terbaik di Festival Film Wartawan Indonesia untuk watak Hendra. Deserved!

Chemistry Luna dengan Fedi Nuril antara yang mencuri tumpuan juga sebagai suami isteri. Ini kali pertama Luna dan Fedi digandingkan bersama kan? Sebab Fedi Nuril tak pernah berlakon dalam genre seram. Luna pula jarang berlakon genre romantik. Hopefully in future ada lagi naskhah yang menggandingkan Luna dan Fedi Nuril sebagai pasangan romantis. Bukan Iyan je happy, I pun happy tengok momen diorang. 

Kelemahan filem Sukma terletak pada pace penceritaan yang sangat perlahan sedangkan boleh ditambah lagi babak gangguan yang dialami oleh Arini atau babak Sari yang memerlukan bantuan Arini. Nasib baik watak Luluk (Asri Welas) muncul sebagai comedy relief.  

Filem seram Sukma adalah filem kedua yang menampilkan Anna Jobling sebagai pelakon di Indonesia selepas filem Lembayung (2024). Salah satu sebab juga kenapa teruja nak layan Sukma tapi kecewa sangat bila watak Sari tak dapat banyak screentime, itupun tanpa dialog. Mungkin pengarah tak bagi dialog sebab tak nak menyusahkan Anna Jobling untuk bertutur dalam dialek Indo memandangkan jadual dia padat but come on, that’s the thrill, that’s the challenge bila berlakon dalam filem negara luar. 

I perasan juga trend filem sekarang, tak kisah lah dari industri mana pun baik Malaysia, Indonesia, Korea ataupun India, masing-masing merasa perlunya plot twist walhal elemen itu adalah cuma salah satu mekanisme dalam filem. Kalau ada okay, tak ada pun okay. Belum tentu ada plot twist, filem jadi menarik. Sama juga dengan filem Sukma, hanya kerana plot twist di hujung cerita, habis rosak premis yang dibina dari awal. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.8, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.8, 6. Genre +0.4, 7. Themes +1, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.5, 10. Personal Thought +0.4 = 6.6/10

Kuala Lumpur, 16 Februari 2026 – Di sebalik senyuman sempurna dan perkongsian yang tampak bahagia di media sosial, tersembunyi dusta yang mampu meruntuhkan segalanya. Kerana Cinta Itu Dusta membawa penonton menyelami kisah penuh emosi, konflik dan pengkhianatan yang menguji kepercayaan, persahabatan dan maruah diri. Saksikan bagaimana rahsia dan pilihan sukar membentuk takdir watak-wataknya, bermula 25 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3.

Dibintangi barisan pelakon popular Jazmy Juma, Emma Maembong, Azira Shafinaz dan Nazrief Nazri, drama 30 episod ini mengangkat kisah cinta moden yang terperangkap antara kejayaan, ego dan kepercayaan yang dikhianati. Dengan latar dunia pempengaruh, Kerana Cinta Itu Dusta menyelongkar realiti pahit apabila populariti menjadi racun dalam sebuah perkahwinan.

Drama ini mengisahkan Orked (Emma Maembong) dan Sufian (Jazmy Juma), pasangan suami isteri yang bermula dari bawah membina perniagaan dari rumah sebelum mencipta nama sebagai pempengaruh berjaya. Kejayaan mereka banyak digerakkan oleh kebijaksanaan Orked dalam dunia bisnes, manakala Sufian setia menyokong di belakang tabir. Namun, apabila Orked semakin menyerlah dan berpengaruh, Sufian mula tenggelam dalam bayang-bayang isterinya sendiri.

Rasa tersisih dan ego yang tercalar mula mengheret Sufian ke arah keputusan-keputusan yang semakin meretakkan kepercayaan dalam rumah tangganya. Kehadiran Seri (Azira Shafinaz), sahabat rapat Orked, secara perlahan-lahan mengubah dinamik yang selama ini dianggap selamat dan utuh. Lebih menyayat hati, Seri bukan sekadar kawan biasa, malah insan yang pernah diselamatkan Orked daripada perkahwinan toksik dan diberi ruang untuk membina semula hidupnya.

Batas yang semakin kabur dan rahsia yang tersimpan mula menguji nilai setia serta kepercayaan, hingga hubungan yang dibina atas dasar saling melindungi perlahan-lahan goyah. Apabila kebenaran kian menghampiri, bukan sahaja perkahwinan terancam, malah persahabatan turut retak, memaksa Orked memilih antara mempertahankan maruah diri atau terus berdiam demi ketenangan yang rapuh. Mampukah hubungan ini diselamatkan, atau segalanya bakal musnah tanpa jalan kembali?

Jazmy Juma turut berkongsi pandangannya mengenai watak Sufian yang disifatkannya bukan sekadar lelaki ego, tetapi seseorang yang berdepan rasa dipinggirkan. Menurutnya “Cabaran terbesar membawa watak Sufian ini adalah memahami mengapa masalah yang sepatutnya diselesaikan secara matang akhirnya dibawa ke media sosial untuk mencari validasi. Dalam realiti hari ini, apabila emosi mengatasi rasional, satu perkongsian sahaja mampu memburukkan keadaan.” 

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Kerana Cinta Itu Dusta, bermula 25 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10.00 malam di slot Samarinda TV3. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Movie Review | Cheekatilo (2026)

Sunday, 15 February 2026


Pengarah: Sharan Koppisetty
Penulis Skrip: Chandra Pemmaraju
Pelakon: Sobhita Dhulipala, Vishwadev Rachakonda
Syarikat Produksi: Suresh Productions
Pengedar: Amazon MGM Studios (via Prime Video)
Genre: Jenayah / Thriller
Durasi Tayangan: 126 minit
Tarikh Tayangan: 23 Januari 2026
Trailer:


Sandhya Nelluri (Sobhita Dhulipala) merupakan pembaca berita yang terkenal dengan siri ‘Idhee Ghoram’ yang memaparkan kes-kes jenayah. Intern bernama Bobby (Aditi Myakal) cadangkan agar Sandhya mengupas kes-kes jenayah secara telus dan jujur melalui podcast kerana syarikat mereka hanya mengejar rating tanpa pedulikan isu sebenar yang berlaku. 

Sandya tolak mentah-mentah idea Bobby dan fokus dengan tugasnya. Tambahan pula, dia bakal bertunang dengan kekasihnya, Amar (Vishwadev Rachakonda). Sebelum bertolak ke rumah Amar, Sandhya gagal menghubungi Bobby namun keluarganya pujuk akan singgah ke rumah Bobby setelah pertunangan Sandhya dan Amar selesai. 

Dalam perjalanan ke rumah Bobby, orang gajinya memaklumkan Bobby dan kekasihnya dibunuh dengan kejam. Inspektor Rajeev (Chaitanya Krishna) ditugaskan untuk menyiasat kes pembunuhan tersebut. Tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis, Sandhya menceritakan semua teori dan petunjuk yang ditemui di kawasan pembunuhan Bobby. 

Podcast Sandhya tular kerana dia berjaya menjejak suspek utama iaitu pengawal keselamatan tempat tinggal Bobby. Malangnya, Sandhya mendapat panggilan dari pembunuh sebenar yang sakit hati dengan kesilapan fakta yang dibentangkan oleh Sandhya. Pembunuh sebenar beri bayangan akan merogol dan membunuh seorang lagi mangsa sekiranya Sandhya lambat bertindak. 

Sandhya bekerjasama dengan Inspektor Rajeev untuk mencari pembunuh sebenar yang rupanya telah melakukan banyak jenayah sejak 20 tahun lepas. 

Filem Telugu arahan Sharan Koppisetty menggunakan tema gangguan seksual yang berlaku terhadap wanita sejak kecil. Dari awal filem telah ditunjukkan babak-babak gangguan seksual yang dialami oleh pelakon sampingan kemudiannya beralih kepada watak utama yang terkesan dari gangguan seksual yang dialami. 

Tak cukup dengan gangguan dan trauma yang dihadapi oleh para wanita, laporan polis yang dilakukan tidak bermakna kes mereka akan bergerak. Cebisan-cebisan fakta yang dipaparkan oleh pengarah menjadi penggerak kepada filem Cheekatilo lalu menjadi jawapan kenapa pembunuh bersiri yang merogol dan membunuh wanita ini boleh bergerak bebas selama 20 tahun. 

Inspektor Rajeev sangka pembunuh adalah seorang yang bijak tapi malangnya dia terjaga oleh kelemahan pihak polis yang bergerak perlahan. Tengok gaya Inspektor Rajeev menyiasat pun menyedihkan sebab material dia 20% dari material yang Sandhya berjaya kumpulkan. Padahal pihak polis ada akses penuh untuk siasat rakaman CCTV, kawasan jenayah atau maklumat forensik. 

Macam mana Sandhya boleh ada material yang banyak tak pula diceritakan dan ini adalah kelemahan utama untuk naskhah Cheekatilo. Pengarah cuma tunjuk Sandhya dapat bayangkan kejadian Bobby dan kekasihnya dibunuh tapi macam mana dia dapat tahu langsung tak diceritakan. Selalunya kalau naskhah penyiasatan kes jenayah, kita dapat petunjuk dari luka mangsa atau keadaan tempat kejadian. 

Bukan saja kes Bobby tapi semua kes yang terlibat dalam pembunuhan bersiri ni. Bosan jadinya bila perbincangan disorok oleh pengarah dan akan didedahkan di hujung filem. Sandhya dah tanya kenapa ada bunga jasmin dengan loceng kaki setiap kali mangsa dibunuh tapi pertanyaan tu dibiarkan sepi sebab dua objek ni adalah benda yang biasa dalam masyarakat India. Tak sepatutnya Inspektor Rajeev atau Sandhya abaikan dua objek ni. Memang lah bunga jasmin dengan loceng kaki adalah objek biasa tapi kalau pembunuh abadikan bersama mayat, automatik jadi luar biasa lah. 

Kelemahan kedua terbesar terletak pada lakonan Sobitha yang pasif. Mungkin penulis wujudkan watak dengan personaliti begitu jadi Sobitha pun tak boleh nak kembangkan sangat. Dah lah bosan tengok gaya penyiasatan, makin bertambah bosan bila tengok Sandhya yang diam dan tak beremosi. Chemistry dengan Vishwadev pun tak menggerakkan sangat elemen romantik yang diwujudkan dalam filem Cheekatilo. Tapi pengarah tak lah fokus sangat dengan romantic angle antara Sandhya dengan Amar sebab cara Amar tegur Sandhya pun kasar. Dia panggil oi je dekat tunang dia. 

Bila watak Ananditha (Isha Chawla) muncul untuk take over case baru nampak seronok sikit sebab dia agresif buat kerja. Tapi sekejap je lah seronoknya sebab fokus berpatah balik kepada Sandhya sebagai watak utama. 

Filem Cheekatilo ada idea yang kuat, kes pembunuhan yang mencabar tapi tersia kerana kelemahan penulisan dan olahan pengarah. 

1. Team Production +0.4, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.3, 5. Casting +0.4, 6. Genre +0.2, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0 = 4.8/10