Movie Review | Metro... In Dino (2025)

Saturday, 20 September 2025


Pengarah: Anurag Basu
Penulis Skrip:  Anurag Basu, Sandeep Shrivastava, Samrat Chakravarthy
Pelakon: Anupam Kher, Neena Gupta, Konkona Sen Sharma, Pankaj Tripathi, Aditya Roy Kapur, Sara Ali Khan, Ali Fazal, Fatima Sana Shaikh
Syarikat Produksi: T-Series Films, Anurag Basu Productions    
Pengedar: AA Films, Netflix 
Genre: Musikal / Romantik / Drama
Durasi Tayangan: 159 minit
Tarikh Tayangan: 04 Julai 2025
Trailer:


Chumki Ghosh (Sara Ali Khan) secara tak sengaja masuk ke apartment Parth Nakul Sahadev (Aditya Roy Kapur) gara-gara mabuk dan salah faham ketika rakan-rakannya menghantar pulang. Jatuh suka dengan kecomelan Chumki, Parth menghantar wanita tersebut pulang ke rumahnya dan cuba menjelaskan situasi tersebut kepada teman lelaki Chumki. 

Beberapa hari kemudian Chumki minta bantuan Parth untuk menyamar sebagai teman lelaki salah seorang rakannya supaya Anand (Kush Jotwani) tak curiga dan batalkan pertunangan mereka. Kakak Chumki, Kajol (Konkona Sen Sharma) tegaskan bahawa Anand perlu percaya dengan Chumki walaupun situasi tersebut terlihat merepek. 


Dalam masa yang sama, Kajol dapat tahu suaminya, Monty Sisodiya (Pankaj Tripathi) mempunyai akaun di aplikasi dating, Linger. Kajol mula menyamar sebagai Maya dan chat dengan Monty untuk melihat perangai baru suaminya. Baru saja sakit kepala dengan perangai si suami, Kajol dapat tahu ibunya, Shibani Ghosh (Neena Gupta) pula larikan diri dari rumah dan berjumpa dengan cinta lamanya, Parimal Sarkar (Anupam Kher). 

Filem Metro… In Dino arahan dan penulisan Anurag Basu merupakan spirit sequel kepada filemnya, Life In a… Metro (2007). Tak pasti apa yang dimaksudkan dengan spirit sequel mungkin konsep dan vibe saja yang sama, selebihnya berbeza. Walaupun Konkona Sen Sharma pernah berlakon dalam Life in a…. Metro tapi watak dan kisahnya berbeza. 


Konsep yang dibawakan dalam naskhah berdurasi 159 minit ialah tentang kisah cinta yang dialami oleh 8 pasangan berbeza. Setiap pasangan mempunyai masalah yang tersendiri macam Chumki yang belum pasti tentang hubungannya bersama Anand dan jumpa keserasian dengan Parth. Boleh sangat Chumki putuskan hubungan dan bercinta dengan Parth tapi Parth pula seorang kasanova tanpa pendapatan yang stabil. Jauh berbeza dengan Anand yang kacak, baik dan ada karier bagus tapi tipikal tentang wanita. 

Kalau dia nak pilih Parth sebagai teman hidup hanya semata kerana keserasian, kakak dia pun tengah bergelut dengan perangai suami dia yang tiba-tiba cari cinta baru. Kalau dia nak bertahan dengan Anand, ibu dia pula mengejar cinta lama sebab fed-up dengan perangai ayah dia. 


Watak Chumki adalah tunjang besar dalam filem Metro… In Dino tapi lakonan Sara Ali Khan tak lah bagus sangat dan kadangkala tenggelam di antara pelakon-pelakon senior. Chemistry Sara dengan Adi tak lah menyerlah dan boleh kata kebanyakan masanya Adi yang selamatkan kisah Chumki dan Parth. Sayang lah sebab fokus adalah pada dua watak ni tapi tenggelam oleh pasangan lain. Nak kata pasangan lain ada kisah yang lebih kuat dan unik pun tak juga, semua kisah dan masalah mereka bukan sesuatu yang baru dalam cinta dan perkahwinan. 


Kelemahan besar juga terletak pada pasangan Shruti Shukla Arya (Fatima Sana Shaikh) yang terpaksa gugurkan kandungan kerana Akash Arya (Ali Fazal) masih belum stabil. Dekat first half, kisah mereka berdua menarik tapi bila masuk second half dia jadi draggy dan merepek. Tak faham kenapa Shruti sanggup tinggalkan karier dan teruskan hidup melarat dengan Akash. 


Shruti kata sebab cinta tapi sedih betul tengok kehidupan dia sementara nak tunggu Imtiaz Ali call Akash dan bagi tawaran sebagai penyanyi latar untuk filem baru. Nasib baik Imtiaz call, kalau dia tak call? Sampai bila Shruti nak hidup melarat macam tu? Watak dia go through a lot of suffering and pain hanya semata untuk pertahankan cinta. Macam ironi lah sebab jalan hidup Shruti sama dengan jalan yang dipilih oleh Shibani.

Patutnya tak payah masukkan kisah pasangan ni pun sebab crowded dan toxic. Ingatkan watak Akash adalah vokalis utama band yang menyanyi sepanjang filem rupanya tak. Sama juga dengan kisah anak Kajol yang keliru dengan sexual preference dia. 


Anurag Basu sekali lagi bekerjasama dengan Pritam untuk album musik Metro… In Dino selepas filem Ludo (2020). Sentuhan Pritam menarik perhatian kerana kesemua lagu yang dimasukkan menggerakkan penceritaan dengan melodi yang mengasyikkan walaupun tak semua lagu meninggalkan impak selepas selesai tayangan. Zamana Lage sung by Arijit Singh is my personal favorite. 



Walaupun sutradara dan penulisan Anurag Basu ada kelemahannya tapi sinematografi untuk Metro.., In Dino cemerlang di tangan pengarah yang pernah popular dengan filem Barfi (2011) dan Jagga Jasoos (2017). One-time watch.

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.5, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.5 = 6.8/10

DEBARAN BERMULA, TRELER RASMI QIFARAH SUDAH TIBA! | Filem Thriller Seram Terbaharu Siap Menggegarkan Pawagam Mulai 9 Oktober!

Kuala Lumpur, 20 September 2025 – Seperti kata pepatah, ‘malang tidak berbau’, begitulah getirnya rasa yang cuba dibawa menerusi filem seram terbaharu Qifarah. Arahan pengarah prolifik Ghaz Abu Bakar, naskhah ini bakal menggegarkan pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Oktober 2025, meninggalkan penonton dengan debaran yang sukar dijangka. Adakah anda sudah bersedia untuk berdepan dengan ketakutan yang mungkin menghantui anda?



Sejak poster dan treler rasmi dilancarkan, media sosial terus riuh memperkatakan tentang keberanian elemen seram yang dipaparkan. Dengan deretan penuh misteri, jumpscare yang menggoncang jiwa, penonton bukan sahaja terkejut, malah ada yang mengaku tidak senang duduk menontonnya. Ditambah pula dengan visual yang mendebarkan, efek bunyi yang menggerunkan serta suasana seram yang menyesakkan dada, Qifarah kini menjadi topik yang membayangi penonton.

Lebih istimewa, filem ini mengangkat barisan pelakon hebat tanah air. Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Rita Nadira, Vanidah Imran, Esma Daniel dan Rafique Iskandar, tampil memberikan lakonan penuh emosi, cukup untuk mengikat penonton dari awal hingga akhir.

Qifarah mengisahkan Yusoff (Remy Ishak) yang terheret dalam kancah ilmu hitam peninggalan keluarganya. Panggilan mengejutkan tentang ayahnya, Ghazali (Esma Daniel) yang tenat memaksa dia pulang dari Cairo, sekali gus membuka semula kisah silam yang cuba dikuburkan. Namun, kepulangan itu mendedahkan rahsia gelap, dendam lama dan bayangan silam yang terus memburu dirinya.

Dengan durasi 1 minit 30 saat, treler rasmi Qifarah menetapkan nada filem ke arah sesuatu yang segar dan berani, menampilkan elemen amalan mistik pemujaan penuh misteri yang memberi kejutan besar (shocking factor). Ia bukan sahaja membangkitkan rasa ingin tahu, malah mengundang perbincangan hangat dalam kalangan penonton. Di media sosial, peminat kini semakin tidak sabar menantikan tayangannya.

Dengan barisan pelakon hebat dan jalan cerita yang sarat dengan debaran, Qifarah dijangka muncul sebagai filem seram paling hangat tahun ini. Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios mempersembahkan treler rasmi Qifarah yang kini boleh ditonton di semua platform media sosial Skop Productions, MyWay Pictures, Primeworks Studios & Astro Shaw! 

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios. Qifarah bermula 9 Oktober 2025!

DARI SKRIN KE SAJIAN, PENGALAMAN EKSKLUSIF ME.N.U BERSAMA BOX KL!

Thursday, 18 September 2025

TONTON ORIGINAL SERIES: ME.N.U | DARI SKRIN KE SAJIAN, PENGALAMAN EKSKLUSIF ME.N.U BERSAMA BOX KL!

Menonton drama kini melangkaui skrin semata-mata. Bermula 18 September hingga 20 Oktober 2025, Tonton mempersembahkan sebuah pengalaman unik kepada para peminat siri original terbaharu mereka, Me.N.U menerusi kolaborasi eksklusif bersama destinasi kafe pilihan ramai, Box KL. Kempen ini bukan sekadar meraikan penceritaan penuh emosi dalam drama tersebut, tetapi turut menghidupkannya dalam bentuk cita rasa kulinari yang boleh dinikmati secara nyata.

Mengangkat tema cinta, konflik dan pilihan hati yang menjadi nadi penceritaan Me.N.U, kolaborasi ini diolah ke dalam menu istimewa yang diinspirasikan terus daripada personaliti serta kisah watak-watak utama drama tersebut. Setiap hidangan bukan sekadar sajian, tetapi simbol emosi dan perjalanan yang digarap dalam cerita ini.

Drama 10 episod arahan Faliq Sharif ini menampilkan Nabila Razali sebagai Lisa, seorang chef yang kerjayanya tergugat selepas membela rakan sekerja yang dibuli. Tekad untuk membuka restorannya sendiri terbantut apabila pinjamannya ditolak Haris (Andi Bernadee), pegawai bank yang kemudian menjadi pencetus hubungan tegang penuh perseteruan. Turut membintangi drama ini ialah Natasya Mahyan, Puteri Awani, Ako Mustapha, Noniswara dan Azizah Mahzan.

Antara tarikan utama kolaborasi ini adalah dua kreasi unik yang direka khas:

Strawberry Matcha Tiramisu – ‘Lisa Miss U’ (RM33)

Hidangan pencuci mulut yang diinspirasikan daripada watak Lisa; manis, lembut dan penuh kerinduan. Perpaduan tiramisu, strawberry segar dan matcha ini membawa rasa yang unik serta mendalam, seolah-olah mencerminkan emosi yang digarap dalam drama.

Tropical Pina Colada – ‘Pina Colada Harris’ (RM15)

Minuman tropika menyegarkan yang melambangkan sisi carefree dan karisma Harris. Rasanya yang ringan namun menceriakan menjadikan ia simbol kepada watak yang penuh pesona dalam Me.N.U.

Lebih istimewa, setiap pembelian ‘Lisa Miss U’ didatangkan bersama langganan percuma TontonUP selama sebulan, membolehkan peminat menikmati drama Me.N.U secara tanpa had dan lebih dekat dengan kisah yang mereka nantikan.

Kolaborasi ini bukan sekadar mempromosikan drama, tetapi memberikan peminat peluang untuk benar-benar merasai emosi serta kisah dalam Me.N.U, gabungan hiburan dan kulinari ini membawa pengalaman Me.N.U lebih dekat sama ada melalui skrin mahupun suapan manis di Box KL, setiap momen menzahirkan cinta dan konflik yang menjadi inti pati drama ini.

Jangan lepaskan saksikan ‘Me.N.U’, eksklusif hanya di Tonton! Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy. 

KOLEKSI PUJAAN HATI HANYA DI TONTON!

KOLEKSI PUJAAN HATI HANYA DI TONTON! | SAKSIKAN DRAMA IKONIK ANNA JOBLING SEBELUM GEGAR SEOUL!

Bangsar, 18 September 2025 - Menjelang malam penuh gemilang Seoul Drama Awards (SDA) 2025, jangan lepaskan peluang menyaksikan ‘Koleksi Pujaan Hati’ eksklusif di Tonton, himpunan drama terbaik lakonan Anna Jobling yang telah mencetus fenomena. Inilah saatnya untuk mengimbau kembali pesona bintang muda kesayangan ramai ini sebelum beliau berangkat mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Melalui koleksi istimewa ini, peminat berpeluang mengimbau semula lakonan terbaik Anna Jobling menerusi drama-drama popular TV3 yang pernah mencuri perhatian ramai. Antara karya kegemaran yang turut menghiasi seleksi ini termasuk ‘Melur Untuk Firdaus’, ‘Terima Kasih Cinta’, ‘Bella – Bila Cinta Bersatu’ dan banyak lagi, menjadikannya pilihan sempurna untuk ditonton semula menjelang malam anugerah berprestij.


Mulai 25 September 2025, peminat boleh melanggan Tonton dengan harga istimewa hanya RM20 untuk tiga bulan. Kod diskaun eksklusif ‘ANNAJOBLING’ boleh digunakan ketika pendaftaran untuk menikmati promosi early bird ini. Tawaran ini bukan sekadar menjimatkan, malah cara paling mudah untuk sentiasa dekat dengan karya kegemaran anda.

Tahun ini, Anna Jobling bakal berentap dengan nama-nama besar dari seluruh Asia. Kehadirannya di SDA 2025 bukan sekadar pencapaian peribadi, malah bukti bahawa bakat Malaysia mampu berdiri setanding dengan bintang antarabangsa. Kempen ini sekaligus menjadi jambatan buat peminat untuk terus menyokong perjalanan Anna Jobling dari kaca skrin tempatan hingga ke pentas dunia.


Jangan lepaskan peluang untuk turut serta dalam kempen ‘Koleksi Pujaan Hati’ di Tonton. Nikmati drama kegemaran, rebut tawaran eksklusif dan berikan sokongan padu buat Anna Jobling menjelang malam kemuncak Seoul Drama Awards 2025. Untuk perkembangan terkini, ikuti saluran rasmi TV3 dan Tonton

POLIS EVO KEKAL KUKUH 10 TAHUN, PENCETUS REVOLUSI INDUSTRI FILEM TEMPATAN | Bintang Polis Evo Disatukan dalam ‘Polis Evo Wonda-Ful 10 Tahun’ Dikuatkuasakan Oleh Kopi WONDA

17 September 2025, Kuala Lumpur – Polis Evo meraikan ulang tahun ke-10, menandakan satu dekad francais aksi kepolisan terbitan Astro Shaw. Mencipta legasi kukuh dalam industri filem Malaysia, kejayaan tiga filem di bawah francais ini membuktikan Polis Evo telah mengangkat ‘standard’ filem tempatan melalui kekuatan penceritaan, kualiti visual, strategi pemasaran yang kreatif serta kutipan box-office yang memberangsangkan.  

Acara ‘Polis Evo Wonda-Ful 10 Tahun’ yang dikuatkuasakan oleh Kopi WONDA menghimpun kesemua barisan pelakon Polis Evo dari ketiga-tiga sekuel. Antara pelakon yang hadir ialah Zizan Razak, Shaheizy Sam, Nora Danish, Hasnul Rahmat, Ayie Hushairy, Fauzi Nawawi, Pablo Amirul, Farali Khan, Ezatty Abdullah, Riz Amin, Iman Corrine, Zulin Aziz, Dato Afdlin Shauki, Jasper Supayah, Dennis Yin dan Ungku Hariz . Tidak ketinggalan Penerbit Eksekutif Polis Evo, Raja Jastina Raja Arshad, pencetus idea asal dan penulis Joel Soh, Anwari Ahsraf, Kyle Goonting, serta Pengarah Polis Evo, Syafiq Yusof, Ghaz Abu Bakar, Andre Chiew. 

Manakala pawagam TGV Cinemas merupakan rakan sokongan yang menyediakan lokasi bagi acara ‘Polis Evo Wonda-Ful 10 Tahun’.

Legasi & Pencapaian

Sejak filem pertama ditayangkan pada 2015, Polis Evo melakar sejarah sebagai satu-satunya francais filem tempatan yang masih diteruskan dalam tempoh satu dekad, dengan kejayaan tiga buah filem yang kesemuanya mencatat kutipan box office luar biasa. Filem pertama, Polis Evo (2015), mencatat filem nombor satu di Malaysia tahun tersebut dengan kutipan RM17.8 juta. Polis Evo 2 (2018) meneguhkan lagi statusnya sebagai sekuel aksi tempatan terlaris dengan kutipan RM22.45 juta. Manakala Polis Evo 3 (2023) sekali lagi mencatat sebagai filem nombor satu di Malaysia tahun itu dan kini tersenarai dalam Top 5 filem tempatan dengan kutipan tertinggi, RM54 juta. 

Masa Depan Francais Polis Evo

Ulang tahun ke-10 Polis Evo tidak sahaja meraikan pencapaian lalu, tetapi juga menandakan permulaan kepada babak baharu francais ini. Astro Shaw terus komited untuk memperkasakan Polis Evo, dengan menampilkan filem terbaru dan premium siri di bawah universe Polis Evo. 

Pengubah Landskap Industri

Francais ini telah menaikkan martabat filem tempatan melalui kekuatan penceritaan yang segar, kualiti visual bertaraf antarabangsa, strategi pemasaran yang inovatif sehingga memenangi Gold Award di Appies Malaysia Marketing Congress 2016. Melalui strategi pemasaran juga, Polis Evo merangkul Anugerah Emas Malaysia untuk Kempen Pemasaran Filem di PMAA Dragons Malaysia, menjadikan Astro Shaw sebagai syarikat korporat pertama memenangi anugerah tersebut dalam kategori itu. 

Revolusi Bakat Seni

Polis Evo bukan sahaja mencetuskan fenomena budaya pop Malaysia dengan watak ikonik seperti Inspektor Khai dan Inspektor Sani, tetapi menjadi pemangkin penting dalam melahirkan generasi baharu bakat industri. Francais ini telah membuka ruang besar buat penulis dan pencetus idea asal seperti Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf, yang bermula bersama Polis Evo sebelum berkembang menjadi antara pengarah dan penulis berpengaruh. 

Turut membina nama bersama francais ini termasuklah penulis dan penerbit seperti Abhilash Chandra, Syafiq Yusof, Andre Chiew, Ghaz Abu Bakar dan ramai lagi. Polis Evo juga menjadi lonjakan karier untuk ramai pelakon yang terus bersinar selepas penglibatan mereka dalam francais ini, serta membuktikan bahawa setiap naskhahnya bukan sekadar hiburan pecah panggung, tetapi juga sebuah ekosistem yang membina dan mengangkat bakat seni Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “10 tahun kukuh relevan sebagai sebuah francais bukanlah sesuatu yang mudah. Polis Evo telah berkembang dan menjadi pencetus perubahan dengan menetapkan penanda aras baharu untuk sinema Malaysia. Apabila filem pertama Polis Evo ditayangkan, ia mencatat lebih 117 juta tontonan di media sosial, dan Polis Evo 3 pula mencatat 521 juta tontonan di TikTok sahaja. Kutipan pawagam juga meningkat dengan setiap sekuel, daripada RM17.8 juta untuk filem pertama, RM22.45 juta untuk sekuel kedua, sehingga RM54 juta untuk filem ketiga. Di sebalik kejayaan tersebut, kami percaya francais ini turut membawa kenangan, menyuntik inspirasi, dan menjadi sebahagian daripada perjalanan penonton dalam menikmati sinema Malaysia. Pencapaian ini tidak mungkin diraikan tanpa sokongan peminat. Astro Shaw ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan penerbit, rakan kerjasama strategik, produksi, para pengarah, barisan pelakon, kru, media dan pihak pawagam yang telah menjadi sebahagian dari perjalanan 10 tahun ini.  Ulang tahun ini bukan penamat, tetapi permulaan babak baharu dengan ‘Evo : Mat Yam’ untuk premium siri Astro Originals, di mana kisah-kisah ini wujud kerana sokongan anda semua. 

Hari ini, kami meraikan Polis Evo dengan menghimpunkan kembali semua tenaga kreatif, pengarah dan pelakon dalam majlis reunion istimewa ‘Polis Evo Wonda-Ful 10 Tahun’. Majlis ini tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan daripada Kopi WONDA, yang menjadikan sambutan ulang tahun Polis Evo lebih bermakna. Melalui kerjasama yang dikuatkuasakan oleh Kopi WONDA, beberapa aktiviti eksklusif buat peminat diadakan untuk merasai pengalamanan lebih dekat dengan legasi Polis Evo. Kami berharap Polis Evo Wonda-Ful 10 Tahun dapat memberi pengalaman yang berbeza dan tidak dapat dilupakan peminat”. 

WONDA Bawa Peminat Kepada Legasi Polis Evo

Dikuasakan oleh Kopi WONDA, jenama kopi kegemaran Malaysia, Kopi WONDA membuka pintu kepada legasi Polis Evo. Kopi WONDA memberi akses kepada pengalaman eksklusif, detik-detik yang tidak dapat dilupakan, dan peluang untuk berdiri bersama sebagai sebahagian daripada legasi Malaysia. Peminat berpeluang menikmati pengalaman eksklusif yang membawa mereka lebih dekat dengan francais ikonik ini, termasuk:

  • Muncul dalam filem Polis Evo yang seterusnya
  • Bertemu dengan pelakon dan pencipta francais Polis Evo
  • Memiliki barangan edisi terhad, seperti Polis Evo Wonda-Ful 10 Years Eksklusif Bomber Jacket 

Menikmati keistimewaan eksklusif lain

Untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman ini, peminat perlu membeli Kopi WONDA edisi eksklusif Polis Evo, iaitu:

  • Pakej 1: Constable Pack –1 X Golden Ticket Jaminan Pemilihan dalam Francais Polis Evo
  • Pakej 2: Sergeant Pack – 1 X Fast Lane akses untuk audisi + 1 X T-Shirt eksklusif Polis Evo Wonda-Ful 10 Years

Dapatkan Polis Evo Wonda Pack di Kedai Rasmi Etika di Shopee untuk peluang memenangi ganjaran eksklusif!

Barangan Eksklusif Edisi Terhad

Dapatkan t-shirt eksklusif Polis Evo dengan empat rekaan unik yang menampilkan tema francais ikonik ini. Bermula dari RM69.90 hingga RM79.90, barangan ini boleh didapati di Gempak Official Store Shopee.

Bagi memberi keterujaan peminat, sila layari platfrom media sosial Astro Shaw untuk dapatkan info-info terkini mengenai Polis Evo. Gunakan #PolisEvo #PolisEvoWonda-Ful10.

Late Lunch di Nippon Jo Oasis Square Ara Damansara

Wednesday, 17 September 2025

Dah banyak kali makan dekat Nippon Jo sejak awal dibuka lagi di Oasis Square Ara Damansara tapi tak pernah update lagi padahal dah bermacam-macam menu dah cuba dekat sini. Kalau tak tahu nak makan apa atau teringin nak makan makanan sedap, laju je ajak colleagues makan dekat sini masa lunch atau dinner. 

Masa pergi ni pergi makan seorang diri je sebab late lunch. Tak sangka dah ada pilihan sushi dan sashimi dekat Nippon Jo. 



Pilihannya tak banyak tapi okay lah daripada tak ada. Harga dia keras sikit lah berbanding sushi dekat luar sebab harga sewa dekat dalam ni pun boleh tahan mengetuk juga. 


Niat nak rasa je jadi kita pilih Gunkan Tuna dengan Salmon Avocado sebab takut kalau ambil banyak nanti tak fresh pula. Makan hujung bulan pun satu hal juga, kena lah beringat sebelum baki dalam akaun nazak sementara tunggu gaji masuk. 

Rasa dia biasa je lah sebab dah memang tahu yang mahal tu bukan sebab kualiti tapi harga sewa kedai. Gunkan Tuna tu tawar, Salmon Avocado pula tak harmoni dalam mulut. Menyesal dip Gunkan Tuna dalam sos dia sebab masin teruk. Nasib baik celup sikit je. 


Untuk lunch I pilih Beef Teppanyaki Tenderloin Rice sebab menu ni antara signature Nippon Jo. Rasanya sebelum ni pun dah pernah pilih set ni. Kalau makan dekat sini, menu yang ada beef boleh dijadikan keutamaan sebab daging dia lembut dan melt dalam mulut. Untuk set ni tak silap around RM23 macam tu. 


Dalam set ni ada 3 jenis side dishes - potongan timun dan lobak merah, potongan tauhu dalam sos cili cair dengan lobak putih. Ada sup miso dan sambal merah. Dulu lagi meriah side dishes dia tapi sekarang sedih nau. 

Tapi okay lah sebab menu utama dalam mangkuk besar tu meriah. Ada nasi putih, telur mata separuh masak, kacang panjang, kobis bunga, lobak merah, potongan daging dalam bentuk kiub, taburan daun bawang dan bawang putih goreng. 

Walaupun harga dia mahal sikit dari restoran biasa tapi berbaloi lah sebab sedap. Bahan dia guna semuanya segar dan wangi. Since menu ni ada telur separuh masak, kena lah order iced green tea untuk hilangkan rasa melekit dekat tekak. Dua kali refill dah boleh tersandar lepastu naik ke office sambung buat kerja. 

Movie Review | Saiyaara (2025)

Tuesday, 16 September 2025


Pengarah: Mohit Suri 
Penulis Skrip:  Sankalp Sadanah, Rohan Shankar
Pelakon: Ahaan Panday, Aneet Padda 
Syarikat Produksi: Yash Raj Films   
Pengedar: Yash Raj Films, Netflix
Genre: Romantik / Drama / Muzikal
Durasi Tayangan: 156 minit
Tarikh Tayangan:  18 Julai 2025  
Trailer:


6 bulan Vaani Batra (Aneet Padda) mengurung diri selepas Mahesh Iyer (Shaan Groverr) batalkan perkahwinan mereka dan terbang ke San Francisco untuk mulakan kehidupan baru bersama kekasih baru, anak kepada taikun bisnes dalam industri muzik. Setelah dipujuk oleh keluarga baru lah Vaani berani keluar dari rumah dan mencari kerja baru sebagai penulis di sebuah majalah. 

Di sana dia berjumpa dengan vokalis sebuah band indie bernama Krish Kapoor (Ahaan Panday) yang berang dengan ulasan dari editor. Terkejut dengan kelakuan Krish, Vaani cuma mampu melihat kekecohan yang berlaku. Kali kedua mereka bertemu di sebuah festival musik di mana Vaani perlu dapatkan temubual eksklusif bersama rapper terkenal, Prince (Shaad Randhawa). 


Krish yang kasihan dengan Vaani cuba berunding dengan pengurus Prince supaya Krish, Vaani dan Prince dapat win-win situation. Prince perlukan sebuah lagu hit yang sarat dengan lirik bermakna untuk projek terbarunya. Krish pula perlukan kolaborasi bersama bintang terkenal supaya band dia, Josh dikenali ramai. Vaani pula perlukan temubual bersama Prince supaya dia dapat status permanent di syarikat majalah tersebut.

Walaupun Krish nampak kasar, baran dan sukar dikawal tapi dengan mudahnya Vaani dan Krish bekerjasama untuk hasilkan lagu tersebut. Vaani mendapat ilham dan motivasi dari Krish sementara Krish mendapat ilham dari penulisan yang dihasilkan Vaani. Prince bagi mereka berdua masa selama seminggu dan mereka berdua akan dibayar dengan jumlah wang yang lumayan. Berjaya tak mereka berdua hasilkan lagu yang diingini Prince, kena layan sendiri lah dekat Netflix. 


Filem cinta arahan terbaru Mohit Suri menampilkan dua pelakon Bollywood yang baru dan muda untuk membawakan kisah cinta yang sarat dengan emosi. Walaupun Ahaan Panday dikenali ramai bila dia sering muncul di akaun media sosial adik sepupu dia, Ananya Panday tapi tak ramai yang tahu bakat lakonan Ahaan. 

Uniknya, filem Saiyaara tidak dipromosikan oleh YRF sebelum ditayangkan kepada umum. Tak ada temu bual eksklusif bersama Ahaan atau Aneet, tak ada shoutout atau sebarang highlight diberikan. Semua orang tak jangka yang filem Saiyaara akan meletup dekat box office. 


Sama macam filem-filem cinta Mohit Suri yang lain, Saiyaara mempunyai music album yang ampuh dan meninggalkan impak mendalam hasil gubahan Mithoon, Tanishk Bagchi, Sachet-Parampara dan lain-lain. Sejak title track Saiyaara keluar dan berada di tempat pertama carta, makin ramai tak sabar nak layan Saiyaara. Tak ada lagu yang tak best, semua ada bait lirik dan melodi yang mengasyikkan untuk naskhah romantis. 



Bila layan full movie, dah boleh faham kenapa ramai yang layan Saiyaara banyak kali dekat pawagam. Jalan cerita Saiyaara ringkas tapi emosi yang dimasukkan tu mendalam. Kenapa Vaani anggap Krish sebagai bintang yang sentiasa mengembara dan jadi bintang paling terang dalam hidup dia adalah disebabkan passion dan bakat Krish. 

Masa Krish gubah lagu guna lirik dia, Vaani dah jumpa semangat dia yang hilang because clearly Mahesh tak anggap bakat penulisan dia istimewa. Kalau I jadi Vaani pun kagum tengok Krish boleh gubah curhat biasa jadi sebuah lagu yang luar biasa dalam masa yang sangat singkat. Semua orang yang dengar boleh enjoy lagu gubahan Krish dan Krish tak pernah lupa kenalkan Vaani sebagai penulis lirik depan semua orang. That is like the most selfless thing to do berbeza sangat dengan Mahesh yang egois dan bongkak. 


Most of the time watak Vaani akan pandang Krish tapi saat-saat tu lah dia mengenali Krish dan jatuh cinta. Watak Vaani banyak convey emotion dari pandangan mata sebab dia tak banyak bercakap, tambah pula dia baru nak keluar dari depression cocoon dia. For me, Aneet performed it very well and convincingly since I can  relate and connect with Vaani. 

Selain bintang, Saiyaara juga bermaksud kekasih atau cinta jadi sifat tu ada lah pada Krish yang sanggup berjuang dan korbankan banyak hal demi untuk selamatkan Vaani. Chemistry Aneet dengan Ahaan menghidupkan kisah cinta ala 90-an walaupun penulisan Sankalp Sadanah banyak lompongnya. 


Walaupun I tak suka dengan perangai Krish yang sukar dijangka emosinya atau perangainya sampai membahayakan karier Josh dan KV (Alam Khan) tapi Krish dan Vaani berhubung melalui melodi dan lagu. Hati mana tak cair kalau ada yang pertahankan cinta di saat susah dan senang. Saiyaara menggunakan format cinta lama di Bollywood campur dengan bad boy filmy type jadi senang lah mencairkan hati para penonton wanita. Di saat wanita dah mula tak percayakan cinta dan perlukan protector, watak Krish tampil berikan fantasi cinta tu. 

Sinematografi Vikas Sivaraman kukuhkan lagi naskhah romantik drama Saiyaara dengan latar tempat yang indah dan memukau. Kalau tak silap rumah Krish dengan Vaani tinggal di Alibaug tu rumah yang sama dalam filem Malang - Unleash The Madness (2020) tempat Advait dengan Sara curi-curi masuk dekat Goa. Bila tengok Saiyaara ni teringat-ingat filem Malang dengan Aashiqui 2 (2013) sebab ada vibe dan signature yang sama. Bila Vaani giggles teringat Arohi and did Mohit suri purposely highlights that giggles? Yes or yes?


Selain kisah cinta Krish dan Vaani, YRF selitkan sindiran pada scenario industri musik yang semakin lama semakin hilang jiwa. Macam babak Prince tanya dekat mana nak masukkan rap dalam lagu Humsafar padahal lagu tu dah sempurna tanpa perlunya rap dan remix. Bab Prince mengaku lagu Humsafar adalah ilham dia sendiri tu bukan perkara yang baru pun dalam mana-mana industri muzik. Sindiran juga diberikan pada editor atau produser yang mengejar rating dan beri kepentingan pada populariti selebriti melebihi bakat dan karya melalui babak Krish mengamuk di Buzzlist.


Filem Saiyaara mungkin tak lah dikarang dengan baik kerana logik yang tidak menentu, sama seperti angin Krish, tapi ada repeat value yang mungkin disarankan oleh Netflix sesuai dengan template streaming platform. Kalau suka dengan kisah cinta zaman 90-an, Saiyaara is a must watch film. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.6 = 8.5/10

Minggu kelima ‘Kilauan Emas 2025’ menyaksikan peserta Zekrai kembali menduduki tangga pertama dengan markah keseluruhan sebanyak (82.73%), diikuti oleh pencabar rapat Mazleen (81.88%), dan juga yang telah bangkit memberikan persembahan penuh bertenaga minggu ini Kinar (77.90%) yang berjaya menawan kedudukan tiga teratas. 

Memukau para juri dan juga penonton dengan membangkitkan suasana galau beserta lagu Kasih Berubah oleh The Flybaits, Kinar telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Emas Berkilau Of The Week di segmen terakhir sepanjang lima minggu berturut. 

Minggu Karok Dalam Kereta, menggamit nostalgia membawakan lagu-lagu kegemaran yang sering dinyanyikan dalam kereta, telah menyaksikan peserta Shah telah tersingkir selepas mendapat markah keseluruhan terendah, dan 8 peserta lain mara ke peringkat seterusnya. 

SENARAI LAGU



Shah: Salam Kasihku - M. Daud Kilau (62.01%)

Nawary: Sehati Sejiwa - Haslinda (69.47%)

Kinar: Kasih Berubah Versi Ferhad - The Flybaits (77.90%)

Zanie: Kemaafan Dendam Yang Terindah - Aishah (71.00%)

Leeza: Mengapa Di Rindu - Saloma (70.84%)

Ezan: Halaman Cinta - Misha Omar (65.47%)

Zekrai: Kasihnya Laila - Jinbara (82.73%)

Majid: Kebahagian Dalam Perpisahan - Shahir (74.50%)

Mazleen: Hey Ladies - Rossa (81.88%)

INFO ‘KILAUAN EMAS 2025’

• Seperti musim sebelumnya, persembahan setiap peserta menerusi Kilauan Emas 2025 akan diadili secara 70% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri professional, 20% daripada juri awam yang  merangkumi markah para penonton undangan dan juga 10% daripada undian para penonton di rumah.

Barisan Juri Minggu 5 - Ning Baizura, Roy Azman & Erra Fazira

• Juara musim kali ini akan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.

• Para penonton dan peminat boleh mengundi peserta kegemaran mereka bagi menentukan pemenang mingguan pada setiap minggu secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak.

• Penerbitan Kilauan Emas 2025 turut disinarkan dengan kolaborasi bersama Astro Gempak sebagai rakan digital, serta SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi. Program ini boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

Saksikan episod baharu Kilauan Emas 2025 pada setiap hari Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105), On Demand, Astro GO dan sooka.

Burrito Set 🌯 Stuff'd, Citta Mall

Saturday, 13 September 2025

Dah bosan makan dekat Dapur DD, kitorang keluar pergi makan tengahari dekat Citta Mall. Aiesyah ajak makan dekat Stuff'd and everyone agreed sebab tak pernah try lagi. Pukul 1 je dah ada dekat depan lif sebab tak nak stuck lama dekat entrance Citta Mall. Dah settle park dekat area basement, terus menuju ke Stuff'd untuk makan. 

Stuff'd ni kira baru lagi lah dekat Citta Mall sebab sebelum ni restoran jual waffle tapi tak boleh nak sustain kemudiannya bertukar kepada wrap kot. Tak ingat dah sebab selalu bertukar ganti restorannya. Senang je nak order dekat sini sebab tak banyak pilihan disediakan, kejap je dah boleh proceed buat payment 😅 

I ambil burrito set pastu add on mac and cheese. Menyesal jugak lah add on sebab burrito 🌯 ni pun dah padat sebab banyak bahan. Masa order dah siap tu, besar tapak tangan kejadiannya. Uniknya, dekat semua wrapper atau container ada kata-kata motivasi yang entah siapa perlukan.








Dekat dalam tu ada mashed potatoes, Adobe Black beans, lettuce, tomato salsa, buttered corn, cilantro rice, mayo cucumber, sour cream. Banyakkkkk. Sumpah menyesal pilih burrito, no wonder lah harga dia RM18 lebih. Kalau tahu ambil taco je 🌮 sebab tak lah lapar sangat masa tu. 


Taco macam yun punya ni, kan senang nak makan. Dia sediakan bekas lagi sebab taco dia tak boleh wrap. Nak prepare pun tak ambil masa lama apatah lagi nak telan masuk perut. 

Aluminium foil burrito yang I ambik tu, masa makan boleh pulak terkoyak. Terpaksa suruh dia wrap guna foil baru.

😅: Boleh tak wrap baru burrito ni? Dah terkoyak dah
😐: oh ye ke nah foil 
😅: lahhh I kena wrap sendiri okay
😐: jap

Memang tak lah nak makan dekat Stuff'd dah kalau service dia cenggini 😅

Disebabkan banyak sangat isi burrito tu, sambung makan masa dinner je. Tapi tak tahu lah kenapa perut bloated lepastu memerut. Banyak sangat kot campuran bahan sampai perut terkejut. Another reason to not repeating this in future. 

JJCM KEMBALI DENGAN MUSIM BAHARU, MISI MENCARI KARI KINI BERMULA! | Sertai Peraduan ‘Misi Menangi Kari’ & Rebut Hadiah Menarik Setiap Minggu!

Kuala Lumpur, 13 September 2025 – Program makanan ikonik kegemaran rakyat Malaysia, Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) kembali dengan nafas baharu bertemakan “Misi Mencari Kari”! Bermula 14 September 2025, setiap Ahad jam 11.30 pagi di TV3, hos Nadia Hasnan akan terus membawa penonton menjelajah destinasi kulinari unik dan penuh rasa di  Malaysia, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai rancangan makanan nombor satu tanah air. 

Bukan sekadar meneroka restoran atau mencuba hidangan popular, JJCM musim ini tampil dengan nafas baharu yang akan menelusuri resipi turun temurun, kisah di sebalik dapur, serta kepelbagaian rasa kari dari pelbagai negeri yang mencerminkan keunikan budaya Malaysia. Dari kari berempah pekat yang menggamit selera, kari Melayu tradisional penuh autentik, sehinggalah kari moden yang diinspirasikan cita rasa generasi baharu, semuanya bakal diketengahkan dalam musim baharu kali ini.

Lebih menarik, musim bertema ‘Misi Mencari Kari’ ini turut memberikan peluang eksklusif kepada penonton untuk menang hadiah mingguan menerusi peraduan ‘Misi Menangi Kari’ anjuran TV3 dengan kerjasama penaja BABA’S – Kari Penuh Rasa, Hadiah Penuh Gaya!

Cara sertai Peraduan ‘Misi Menangi Kari’:

  • Tonton JJCM setiap Ahad, jam 11.30 pagi di TV3.
  • Kira & kenal pasti jumlah produk BABA’S muncul di skrin.
  • Namakan produk tersebut serta lengkapkan slogan secara kreatif yang tidak melebihi 20 patah perkataan.
  • Hantar jawapan anda di ruangan komen pada hantaran peraduan mingguan di Facebook TV3 Malaysia.

Penyertaan dibuka setiap minggu bermula Ahad, jam 11.30 pagi sehingga Selasa, jam 12.00 tengah hari. Nantikan pengumuman seorang pemenang bertuah dengan jawapan paling tepat dan slogan paling kreatif yang akan diumumkan setiap Rabu, jam 8.00 malam, eksklusif di semua platform media sosial TV3 Malaysia.

Peraduan Misi Menangi Kari ini bukan sahaja menambah elemen interaktif untuk penonton JJCM, tetapi juga meraikan kreativiti peminat setia rancangan ini. Kami berharap gabungan kandungan makanan dengan cabaran mingguan ini akan memberi pengalaman tontonan yang lebih seronok dan berbaloi!

Jangan lepaskan peluang menyaksikan musim baharu Jalan-Jalan Cari Makan dan sertai Misi Menangi Kari. Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.