Movie Review | Detective Chinatown 1900 (2025)

Thursday, 11 December 2025


Pengarah: Chen Sicheng, Dai Mo 
Penulis Skrip: Chen Sicheng 
Pelakon: Wang Baoqiang, Liu Haoran, Chow Yun-fat, Bai Ke, Zhang Xincheng, Yue Yunpeng, John Cusack     
Syarikat Produksi:  Wanda Film, Beijing Yitong Legend Film Culture Co., Ltd., China Film Co., Ltd.
Pengedar:  Wanda Pictures, CMC Pictures, Netflix, iQiyi
Genre: Misteri / Komedi / Aksi
Durasi Tayangan: 135 minit
Tarikh Tayangan: 29 Januari 2025   
Trailer:


Pada tahun 1900, Alice Grant (Anastasia Shestakova), anak tunggal perempuan U.S Congressman ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di Chinatown, San Francisco. Perutnya dibelah dan organ dalaman hilang. Polis mengesyaki Bai Zhenbang (Zhang Xincheng), anak kepada Bai Xuanling (Chow Yun-fat), ketua kumpulan Hip Sing Tong. Kerana insiden tersebut, semakin kuat sentimen awam terhadap manifesto Mr. Grant (John Cusack) berkenaan Chinese Exclusion Bill dan hasratnya untuk menutup terus Chinatown di situ. 

Bai Xuanling minta bantuan Sherlock Holmes namun kerana bantuan tersebut dari orang China, Sherlock minta pembantunya, Qin Fu (Liu Haoran) untuk selesaikan misteri kes Jack Ripper di Chinatown. Sherlock tegaskan asas dalam penyiasatan sama seperti pembikinan herba China. Qin Fu terus bersetuju dan semakin teruja apabila dapat bertemu Bai Xuanling tapi berubah fikiran bila dapat tahu alibi Zhenbang tersangat lemah untuk kes tersebut. 


Ketika dia cuba melarikan diri, Qin Fu bertemu dengan Ah Gui (Wang Baoqiang), imigran China yang dibesarkan dalam puak Native American setelah kehilangan orang tuanya semasa kecil. Ketika Alice dibunuh, ayah angkat Ah Gui menjadi saksi utama namun dikelar di leher lalu meningga dunia di tempat kejadian. Ah Gui datang ke Chinatown untuk menjejak pembunuh ayahnya dan menurut firasat Kachina, Ah Gui akan bertemu dengan Qin Fu. 

Seperti yang ditakdirkan, Ah Gui dan Qin Fu bekerjasama menyelesaikan kes pembunuhan Jack Ripper dan membersihkan nama Bai Zhenbang. 


4 tahun selepas duo detektif terkenal menyelesaikan kes misteri pembunuhan di Bangkok (2015), New York (2018), dan Tokyo (2021), kali ni mereka kembali dalam latar masa jauh ke belakang. Tak pasti kenapa Chen Sicheng memilih tahun 1900 sedangkan ada beberapa persoalan yang belum terjawab dalam instalment ketiga. 

Tak tahu pun franchise Detective Chinatown terbitkan naskhah baru sebab tak pernah nampak sebarang promo di kedua-dua streaming platform. Tapi itulah, kalau takdir pertemukan Qin Fu dengan Ah Gui, takdir pun pertemukan juga peminat franchise dengan naskhah Detective Chinatown. 


Bila baca balik review Detective Chinatown 3 (2021), I berharap pengarah merangkap penulis skrip filem ni untuk kuatkan balik genre misteri macam instalment pertama. My manifestation works! Sepanjang filem ni cuma dapat kumpul bukti dan klu bersama Qin Fu dan Ah Gui tapi semua jawapan hanya akan didedahkan bila watak bersedia untuk bercerita. Mungkin hint yang dia bagi tu boleh diteka dengan mudah tapi sebab pace filem bergerak laju dan ada elemen berunsur racism dan politik yang bergerak serentak, otak pun dah pening dan biarkan saja jawapan diberi oleh detektif ni. 

Dinamik Wang Baoqiang dan Liu Haoran semakin kuat dan menambahkan impak pada penceritaan. Jadi tak sabar bila mereka berdua menyiasat sebab kebolehan masing-masing berbeza. Sementara Qin Fu berpegang dengan penyiasatan mengikut logik dan sejenis yang observant, Ah Gui pula lebih kepada meminta bantuan unsur alam. 


Geram juga bila Ah Gui banyak buat kerja sampai nampak Qin Fu ni lemah walhal dia pembantu Sherlock Holmes tapi dekat second half, dia dah setaraf dengan Ah Gui sepertimana yang dihuraikan oleh Bai Xuanling bila anak dia tanya kenapa upah detektif mentah untuk kes dia. 

Franchise Detective Chinatown terkenal dengan latar tempat yang grand dan sama juga dengan naskhah terbaru ni bila set dibina mengikut visi pengarah untuk tahun 1900. Banyak close-up shots digunakan untuk hidupkan babak emosi dan konflik politik yang berlaku antara imigran Cina dan orang putih. Tak sure pakai kamera apa sebab ada beberapa babak macam melengkung. Tak ketara tapi nampak lah perbezaan tu. 


A bit nostalgia lah bila tengok Chow Yun-fat berlakon sebagai orang kaya di Chinatown sebab dia popular dengan franchise God of Gamblers (1989) dan filem-filem lain. Lepas tengok filem Detective Chinatown 1900 ni rasa macam nak layan balik filem-filem Hong Kong dulu. Lakonan Chow Yun-fat tak pernah mengecewakan walaupun sebagai pelakon sampingan, setiap kali muncul meninggalkan impak pada penceritaan. Walaupun anak dia kacak tapi aura Chow Yun-fat was something else. Personally, watak Bai Xuanling adalah watak yang paling kuat dalam naskhah misteri komedi ni. 

'No more talk of revolution! If it could truly change things, we wouldn't have to cross the ocean to make a living on a foreign land. I've fought my whole life, just to earn some respect hoping that we'll no longer be bullied by the Whites!' - Louis Bai


Sekali lagi Chen Sicheng bekerjasama dengan Jie Du untuk menghasilkan sinematografi menarik untuk instalment keempat Detective Chinatown. Setiap babak terlihat cantik dan kaya dengan emosi yang tersendiri. Bila tengok kegigihan Bai Xuanling bina empayar sendiri di negara Eropah, boleh faham lah kenapa orang Cina suka merantau dan berdagang sampai banyak negara ada Chinatown sendiri. Dulu kena pijak dengan penduduk di Benua Eropah tapi sekarang menjadi negara paling mantap di dunia. 

Sama seperti Detective Chinatown 3, wardrobe team did a great job untuk kostum yang digunakan dalam Detective Chinatown 1900. Macam mana Bai Zhenbang terpesona dengan kecantikan Alica, macam tu lah juga I terpesona dengan outfit dia. Sama juga dengan wardrobe Bai Zhenbang dan Bai Xuanling, pakaian dua watak ni menambahkan lagi karisma dan aura sebagai orang kaya di Chinatown. 


Filem Detective Chinatown 1900 ada kelemahannya sebagai sebuah filem bila naskhah yang menceritakan tentang diskriminasi yang dialami tapi paparkan racism juga terhadap watak-watak Amerika atau puak asli Amerika. Mungkin untuk kuatkan elemen komedi tapi timbulkan provokasi lah di situ. 

Namun banyak juga mesej dan pengajaran yang diselitkan selain dari menjadi naskhah hiburan terutamanya tentang revolusi yang dibawakan oleh watak Zheng Shiliang (Bai Ke) . Tak hairan lah bila Chen Sicheng dan Dai Mo menang anugerah Pengarah Terbaik di Golden Rooster Awards ke-38 tahun ni. For best resolution, watch it on iQiyi.  


p/s: Bai Ke ada iras dengan Stephen Chow cuma dalam filem ni watak dia lebih serius. 

1. Team Production +0.8, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +0.8, 6. Genre +0.8, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.7/10

Kuala Lumpur, 10 Disember 2025 – Setelah hampir sedekad tanpa program realiti Islamik, Astro kembali dengan rancangan baharu yang segar dan relevan, ‘Mualim Muda’. Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah platform untuk mencungkil bakat kepimpinan agama dalam kalangan belia, mendidik masyarakat melalui pendekatan dakwah kontemporari, serta melahirkan ikon muda Islam yang dihormati oleh generasi baharu. ‘Mualim Muda’ bakal bersiaran secara serentak mulai 19 Disember, jam 9 malam, di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Prima (saluran 105), serta turut boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

Dalam landskap dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, kecerdasan buatan (AI), kepesatan media sosial serta cabaran dan isu semasa yang kompleks dalam kalangan belia, keperluan kepada panduan, nilai dan kepimpinan berteraskan ilmu agama menjadi semakin mendesak. ‘Mualim Muda’ direka dengan misi yang lebih besar, menginspirasi generasi muda untuk memperkukuh ilmu agama, membina jati diri, berbakti kepada masyarakat, dan mengaplikasikan nilai Islam dalam segala realiti kehidupan. Setiap minggu, mereka akan berdepan tugasan yang mencerminkan isu semasa seperti kepimpinan belia dan kesejahteraan komuniti, sambil menyampaikan dakwah dengan cara yang kreatif, segar dan relevan kepada generasi masa kini.

Seramai 10 peserta telah dipilih menerusi sesi uji bakat. Antara tugasan teras dalam ‘Mualim Muda’ ialah kebolehan menyampaikan tazkirah dengan berkesan berdasarkan pengetahuan agama, kemahiran kepimpinan, dan komunikasi. Penilaian ini bukan sahaja menguji ilmu, tetapi juga kesediaan peserta untuk menjadi contoh teladan dan meninggalkan kesan positif kepada masyarakat.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata, “Astro komited untuk terus memainkan peranan dalam mencungkil dan membimbing bakat baharu, bukan hanya dalam dunia hiburan, tetapi juga dalam melahirkan generasi pelapis yang mampu memimpin ummah pada masa hadapan. Melalui ‘Mualim Muda’, kami berharap platform ini menjadi ruang yang membina, mendidik dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat. Ini bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi satu usaha berterusan untuk membentuk masa depan yang lebih baik. Dengan kembalinya program realiti islamik ini, kami juga berharap ia tidak terhenti di sini. Sebaliknya, kami menaruh harapan agar ia terus mendapat sambutan positif daripada anak-anak muda dan menarik lebih ramai penyertaan pada musim-musim akan datang.”

Sebagai peneraju kandungan tempatan, Astro terus melabur dalam program yang menggabungkan nilai agama dengan realiti semasa, selaras dengan perubahan dunia yang pesat. ‘Mualim Muda’ berfungsi sebagai platform strategik untuk membantu generasi muda mengekalkan asas kepercayaan agama sambil menyesuaikan diri dengan cabaran kehidupan moden. Inisiatif ini menegaskan peranan Astro dalam menghasilkan kandungan yang bukan sahaja menghibur, tetapi membina daya tahan masyarakat dan memperkukuh ekosistem kreatif negara.

‘Mualim Muda’ bakal menampilkan pendakwah bebas Dato’ Ustaz Kazim Elias, Dr. Kamilin Jamilin dan juga selebriti Neelofa sebagai juri program. Sementara itu, Ustaz Shahrizan Daud akan menjadi Mursyid (Pengetua) bagi program ini, membimbing serta memberi motivasi kepada para peserta. Gandingan selebriti ‘Pencetus Ummah’ Haris Ismail (PU Riz), dan juga penyanyi nasyid Fakhrul UNIC pula bakal mengemudi pentas sebagai hos program. 

Para penonton turut boleh strim program ini secara On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan. Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.

PENJURIAN & TRIVIA MUALIM MUDA

Secara ringkas, setiap episod menampilkan para peserta menyampaikan mesej dan mendidik masyarakat melalui pendekatan dakwah kontemporari. Mereka akan bersaing untuk memenangi peluang menjadi duta Astro Oasis, wang tunai RM30,000 dan juga pakej Umrah. 10 peserta akan mempersembahkan dakwah mereka di hadapan 2 juri profesional & 1 juri selebriti. 

Para peserta akan melalui 4 peringkat iaitu rakaman realiti, tazkirah, penjurian dan penyingkiran.

  • Rakaman Realiti merupakan salah satu tugasan untuk para peserta mengupas isu yang berkait rapat dengan realiti masyarakat dan juga para penonton. Ini adalah tugasan buat para peserta untuk memanfaatkan kelebihan idea-idea yang inovatif dan kreatif sebagai metod dakwah mereka.
  • Tazkirah pula adalah tugasan teras, dimana para peserta perlu menguasai kebolehan untuk menyampaikan tazkirah dengan baik.
  • Penjurian Mualim Muda akan dilakukan berdasarkan tahap pengetahuan agama, kemahiran kepimpinan dan juga kemahiran komunikasi para peserta.
  • Proses penyingkiran Mualim Muda akan dilakukan berdasarkan penilaian oleh juri kepada para peserta, tertumpu kepada kesediaan setiap peserta untuk menjadi contoh dan menyampaikan mesej atau dakwah yang meninggalkan kesan kepada masyarakat.

Program ‘Mualim Muda’ turut ditenagakan oleh Apcel Cafe sebagai Penaja Utama. Bangkitkan semangat pagi anda dengan secawan Apcel Café, Kopi Tenaga Premium dengan herba semulajadi untuk tenaga, fokus & stamina luar biasa.

Mengenai Apcel Café

Apcel Café ialah kopi pracampuran premium yang menampilkan aprikot sebagai ramuan utama, diperkaya dengan habbatussauda sebagai ramuan sunnah, serta tongkat ali dan ganoderma sebagai herba semula jadi dan tonik. Setiap cawan memberikan rasa kopi yang enak sambil menyokong tenaga, fokus, dan kesejahteraan harian, sesuai untuk gaya hidup moden yang aktif dan bertenaga. 

Sejak diperkenalkan, Apcel Café telah berjaya terjual lebih satu juta unit di Malaysia, menandakan sambutan hangat daripada pengguna yang mencari minuman kopi berkualiti dengan manfaat semula jadi. Dengan kombinasi rasa yang enak dan formulasi berkhasiat, Apcel Café terus menjadi pilihan utama pengguna dalam memulakan hari dengan yakin dan bertenaga.

INSPIRASI SEENI – MEMPERKASA JENAMA DAN USAHAWAN SME TEMPATAN | Sisipan daripada program bual bicara pagi Borak SeeNI di Astro Prima yang mengupas kisah perjuangan usahawan SME tempatan.

KUALA LUMPUR, 2 Disember 2025 – Dalam usaha memperkukuh ekosistem usahawan industri kecil dan sederhana tempatan (SME), ‘Inspirasi SeeNI’ – sebuah sisipan daripada segmen program Borak SeeNI – telah memulakan siarannya pada 2 Disember 2025. Program ini akan bersiaran setiap Selasa selama 10 minggu, pada jam 11.00 pagi dengan siaran ulangan pada jam 8.00 malam hari yang sama. 

Program berdurasi satu jam ini menampilkan pengasas-pengasas terkemuka jenama SME tempatan yang berkongsi kisah perjalanan mereka membina perniagaan dari peringkat awal sehingga menjadi jenama yang dikenali. Penonton akan dibawa menelusuri cabaran sebenar yang dihadapi, strategi yang digunakan, serta kekuatan mental dan semangat yang menjadi tonggak kejayaan mereka.

Ini adalah satu usaha Astro dalam membantu usahawan SME melalui platform media, untuk memberi pendedahan, pemasaran, perkongsian, dan akses kepada bantuan kewangan atau latihan bagi membantu perniagaan kecil dan sederhana (SME) berkembang lebih luas. Selain dari inisiatif ‘Inspirasi SeeNI’, terdapat inisiatif lain antaranya dari Astro AWANI dengan program seperti Jiwa SME, bekerjasama dengan agensi seperti RichWorks, SME Corp. Malaysia, dan STeP Perak.

Sebagai nilai tambah, ‘Inspirasi SeeNI’ dikendalikan oleh mentor keusahawanan dan transformasi terkenal dari Richworks Academy, Datuk Wira Dr Azizan Osman, bersama pengacara berpengalaman seperti Faizal Ismail, Nana Mahazan, dan Keanu Azman. Sepanjang 10 episod bersiaran, program ini akan menampilkan 10 pengasas jenama terkemuka yang berkongsi pengalaman mereka dalam mengharungi dunia keusahawanan yang penuh cabaran.

Menurut Naib Presiden, Pembangunan Pengiklanan SME, Datin Norashikin Habibur Rahman, “Program ‘Inspirasi SeeNI’ ini bukan sekadar satu perkongsian mengenai jatuh bangun sesuatu jenama dan cabaran yang dilalui oleh usahawan SME tempatan untuk kekal relevan dalam industri, tetapi menjadi satu platform untuk menyuntik inspirasi dan menawarkan perspektif berbeza kepada usahawan baharu atau yang sedang berjuang dan berkembang. Apa yang istimewa selain disiarkan di saluran TV, penonton juga boleh menonton secara langsung melalui platform digital dan pendekatan dwi-platform ini membolehkan jangkauan penonton yang lebih meluas dengan pengalaman tontonan yang berbeza tetapi lebih sinergi dan dinamik.”

Bagi memastikan program lebih menarik dan interaktif, setiap episod turut menampilkan penonton di studio yang berpeluang berinteraksi secara langsung dengan usahawan jemputan. Selain itu, penonton di rumah juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik daripada jenama-jenama yang diketengahkan melalui kuiz mingguan.

Program ‘Inspirasi SeeNI’ boleh ditonton secara langsung di saluran TV dan juga melalui platform digital seperti Astro GO, sooka, serta secara On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, memberikan fleksibiliti kepada penonton untuk menikmati kandungan pada bila-bila masa.

‘TONime’ TAWAR PENGALAMAN ANIME LEBIH MENYELURUH!

Wednesday, 10 December 2025

Kuala Lumpur, 10 Disember 2025 - Tonton memulakan bulan Disember dengan pelancaran TONime, sebuah kempen anime menyeluruh yang dirangka untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama kandungan anime di Malaysia. Kempen ini merangkumi promosi digital, aktiviti komuniti serta aktiviti secara langsung bagi memperkenalkan lebih banyak judul anime kepada penonton dan meningkatkan pendedahan menjelang Comic Fiesta 2025.

Sebagai sebahagian daripada kempen, Tonton memperkenalkan TONime WatchQuest, sebuah peraduan tontonan yang berlangsung dari 1 hingga 15 Disember 2025. Pengguna hanya perlu menonton judul anime terpilih untuk mengumpul markah secara automatik, sekaligus berpeluang memenangi hadiah menarik seperti 5x Weekend Pass Comic Fiesta 2025 dan Blind Box Anime bernilai RM300.

WatchQuest menampilkan barisan anime popular yang mendapat sambutan di kalangan peminat, termasuk My Dress-Up Darling, Spy X Family S3, Frieren: Beyond Journey’s End, Black Butler. Pemilihan judul yang pelbagai ini memastikan pengguna menikmati variasi kandungan, dari aksi hingga kisah kehidupan seharian, yang sesuai untuk penonton baharu mahupun peminat tegar.

Bagi memeriahkan penglibatan komuniti, Tonton turut bekerjasama dengan MUSE Asia untuk membuka reruai TONime di Comic Fiesta yang berlangsung pada 20 & 21 Disember 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre. Booth ini menampilkan pelbagai aktiviti interaktif menarik seperti Tonton Trivia, Luck Draw, Guess the Anime Poster, Emoji Anime Guess, serta cabaran Pose Like the Poster, dengan hadiah eksklusif termasuk cenderamata anime, board games, dan baucar.

Pengunjung Comic Fiesta juga berpeluang menikmati tawaran menarik melalui Tonton Rewards serta aktiviti kolaborasi bersama rakan seperti MUSE Asia dan Baskin-Robbins, yang menyediakan barangan eksklusif. Booth TONime direka sebagai ruang pertemuan peminat anime, sekali gus mendekatkan pengalaman interaktif yang menyeronokkan kepada pengguna Tonton.

Tunggu apa lagi? Jom sertai keseronokan TONime di Comic Fiesta! Pengunjung berpeluang menikmati tawaran menarik melalui Tonton Rewards serta aktiviti kolaborasi bersama rakan seperti MUSE Asia dan Baskin-Robbins, yang menyediakan barangan eksklusif. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy.

Movie Review | 1 Kakak 7 Ponakan (2025)

Sunday, 7 December 2025


Pengarah: Yandy Laurens 
Penulis Skrip: Yandy Laurens  
Pelakon: Chicco Kurniawan, Amanda Rawles, Fatih Unru, Freya Jayawardana, Ahmad Nadif, Kawai Labiba, Ringgo Agus Rahman, Niken Anjani, Kiki Narendra, Maudy Koesnaedy    
Syarikat Produksi: Mandela Pictures, Cerita Films, Legacy Pictures, VMS Studio, Masih Belajar Pictures, Rhaya Flicks, Infia, Volix Pictures, Stickearn   
Pengedar: Netflix  
Genre: Drama
Durasi Tayangan: 131 minit
Tarikh Tayangan: 7 Disember 2024 (Festival Filem Asia Jogja-NETPAC ke-19/JAFF), 23 Januari 2025 (Indonesia), 10 Julai 2025 (Netflix)   
Trailer:


Filem yang diadaptasikan dari novel berjudul 1 Kakak 7 Ponakan karya penulisan Arswendo Atmowiloto mengisahkan kehidupan Hendarmoko atau Moko (Chicco Kurniawan) yang terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga anak-anak saudaranya. 

Moko merupakan mahasiswa arkitek di sebuah universiti namun sebaik saja selesai membentangkan projeknya di hadapan pensyarah, Moko mendapat berita abang iparnya, Atmo (Kiki Narendra) meninggal dunia akibat sakit jantung. Tak lama kemudian, isterinya, Agnes (Maudy Koesnaedi) merangkap kakak Moko pula meninggal setelah melahirkan si bongsu bernama Ima. 


Secara tiba-tiba dan terpaksa, Moko mengambil tanggungjawab menjaga anak-anak saudaranya lalu membatalkan rancangan untuk sambung belajar bersama teman wanitanya, Maurin Fidella (Amanda Rawles). Moko yang terbeban dan berasa malu dengan keadaan kehidupannya, memutuskan hubungan mereka. 

Moko bersilih ganti menjaga Ima bersama Woko (Fatih Unru), anak sulung Agnes dan Atmo ketika Nina (Freya Jayawardana) dan Ano (Ahmad Nadif) pergi ke sekolah. Woko juga tidak menyambung pelajaran ke universiti kerana beban keluarga dan bekerja sebagai rider Grab yang lebih fleksibel waktu kerjanya. 


Setelah beberapa bulan, Nanang Maulana (Ence Bagus) minta bantuan Moko untuk jagakan anak perempuannya, Gadis (Kawai Labiba) sementara dia mencari kerja di bandar. Kakak lain Moko bernama Osa (Niken Anjani) bersama suaminya, Eka (Ringgo Agus Rahman) pulang ke Indonesia untuk membantu Moko menjaga anak-anak saudara namun sebaliknya mereka pula menambah beban kepada Moko kerana tidak bekerja. 


Kalau tahun lepas dihidangkan dengan naskhah Home Sweet Loan (2024) di mana Kaluna perlu korbankan perasaan dan cita-cita kerana keluarga, tahun 2025 pula disajikan dengan 1 Kakak, 7 Ponakan. Yang berbeza cuma jantina tapi berat tanggungan beban tetap sama. Menangis tengok Moko patah harapan setiap kali ujian datang tapi sebab tengok dari perspektif lelaki, tak ada lah babak dia menangis cuma terdiam dan merenung. 


Babak Moko dan Maurin dalam kereta di car wash tu paling dekat di hati sebab emosi dia sampai. Walaupun Maurin kecewa dan sedih dibuang oleh Moko tapi dia tak mendesak untuk sama-sama hadap ujian sebab dia tahu itu ujian Moko bukannya ujian dia. Kalau dia pujuk Moko untuk teruskan hubungan pun, Moko makin bertambah segan. Lagi satu hal bila kita tengok dari perspektif lelaki yang ada ego. Berat macam mana pun, Moko tak minta bantuan orang apatah lagi Maurin. Bila watak-watak lain yang nasihatkan supaya ubah, baru dia slowly terima kenyataan yang dia tak perlu tanggung semuanya seorang. 


Lakonan Chicco Kurniawan menjadi nadi untuk filem 1 Kakak, 7 Ponakan kerana dia benar-benar menghidupkan watak Moko ke layar perak. Perasaan dia, bahasa badan, perilakunya meninggalkan impak selepas filem tamat. Sebelum ni pernah tengok lakonan Chicco dalam filem 13 Bom di Jakarta (2023), Putri Bintang Lima (2024) atau Kupu-Kupu Kertas (2024) tapi tak lah terkesan sangat. Mungkin karakter Moko juga adalah bingkisan dari kehidupan generasi sandwich yang terbeban dengan tanggungjawab dan trauma keluarga. 


Sinematografi dari Dimas Bagus Triatma mendukung visi pengarah dengan baik melalui pergerakan kamera yang perlahan dan mencengkam. Banyak babak diambil secara close-up untuk memaparkan reaksi setiap watak. Kehangatan juga terbina dalam babak-babak Moko bersama anak-anak jagaannya mencipta kenangan bersama. 


Filem 1 Kakak 7 Ponakan arahan Yandy Laurens yang terkenal dengan filem Keluarga Cemara (2018),  Jatuh Cinta Seperti di Film-Film (2023) dan Sore: Istri dari Masa Depan (2025) menggunakan genre drama sebagai genre utama namun penceritaannya tidak la terlalu berat kerana ada elemen komedi yang dimasukkan juga kejutan di penghujung filem. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +1, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 10/10

Kebena-RUN 2025 HIMPUNAN TERBESAR PEMINAT PAPA ZOLA DI MALAYSIA! | Acara Larian ‘Fenomena Kebenaran’ Sempena Tayangan Papa Zola The Movie

7 Disember 2025, Kuala Lumpur – Fenomena ‘Kebenaran’ melanda Kuala Lumpur! Bersempena tayangan Papa Zola The Movie di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 11 Disember 2025, MONSTA dan Astro Shaw, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta KL Car Free Morning, menganjurkan acara larian Kebena-RUN 2025.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti promosi filem, 7 hari bulan ini turut menyaksikan pelancaran rasmi larian Kebena-RUN di Kuala Lumpur iaitu lokasi “penggambaran” Papa Zola The Movie, yang menjadi inspirasi kepada visual dan dunia filem tersebut.

Acara larian sejauh 5km ini bermula dengan sesi memanaskan badan pada jam 6.45 pagi, diikuti flag-off pada pukul 7.00 pagi. Pelepasan yang disempurnakan oleh maskot Papa Zola, Mama Zila, Pipi Zola serta karakter popular daripada MONSTA Universe seperti BoBoiBoy dan Mechamato, bersama Nizam Abd Razak Pengarah Papa Zola The Movie & Ketua Eksekutif Monsta, Norsalvina Alwee, Ketua Pemasaran & Penjenamaan Astro Shaw dan wakil DBKL, En. Naquib Bin Hamdan, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan.

Lebih menarik, para peserta hadir dengan kostum bertemakan watak kegemaran MONSTA Universe, memeriahkan suasana dan memberi pengalaman lebih dekat dengan dunia Papa Zola.

Kebena-RUN 2025 menyaksikan penyertaan ribuan peserta, terdiri daripada peminat animasi tempatan yang hadir bersama keluarga. Setiap peserta menerima pakej eksklusif termasuk baju jersey, pingat, topeng Papa Zola dan pelbagai barangan eksklusif Kebena-RUN.

Acara ini turut memberikan pengalaman interaktif kepada peserta, termasuk sesi bergambar, aktiviti bersama maskot watak-watak MONSTA, serta beberapa penyertaan istimewa eksklusif untuk Kebena-RUN.

‘PAPA ZOLA THE MOVIE’ TAMPILKAN EVOLUSI HERO ‘KEBENARAN’

Saturday, 6 December 2025

‘PAPA ZOLA THE MOVIE’ TAMPILKAN EVOLUSI HERO ‘KEBENARAN’ | ‘Papa Zola Kini Muncul Sebagai Watak Utama’ 

5 Disember 2025, Kuala Lumpur – Daripada penerbit box-office BoBoiBoy dan Mechamato, MONSTA dan Astro Shaw mempersembahkan Papa Zola The Movie, di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 11 Disember 2025, serta di Singapura pada minggu yang sama.

Papa Zola kini tampil sebagai watak utama dalam filem pertamanya sendiri. Buat julung kalinya, kisah asal-usul Papa Zola yang belum pernah didedahkan akan dipaparkan di layar perak melalui penceritaan baharu yang penuh aksi dan kejutan.

Humor ikonik Papa Zola menjadi tunjang utama naskhah ini, menyajikan hiburan untuk seisi keluarga. Jalan ceritanya turut direka agar dapat dinikmati tanpa memerlukan penonton mengikuti siri BoBoiBoy sebelum ini. Dengan gabungan aksi mendebarkan, drama menyentuh emosi dan elemen komedi tanpa henti, filem ini menjanjikan pengalaman sinematik yang mampu memikat penonton dari pelbagai peringkat usia dan generasi.

Selepas tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura, Papa Zola The Movie akan melangkah ke panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia.

Seterusnya, filem ini akan ditayangkan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026- sekaligus mengukuhkan potensi naskhah ini sebagai Filem Animasi Malaysia yang mampu bersaing di persada global.

Berlatarkan Kuala Lumpur, Papa Zola The Movie membawakan dimensi baharu dalam dunia Papa Zola. Hasil sentuhan kreatif MONSTA menampilkan kematangan animasi tempatan melalui visual yang memukau, aksi bertenaga serta reka bentuk dunia yang lebih epik dan berskala besar.

Menurut Pengarah & Penulis Papa Zola The Movie, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, “Ini merupakan kali pertama MONSTA menampilkan watak dewasa sebagai watak utama. Jalan cerita Papa Zola The Movie bertemakan kehidupan harian dan disulam dengan aksi mendebarkan, drama serta emosi. Filem ini sesuai ditonton oleh semua generasi dan peringkat umur.

“Dari aspek teknikal, kami memperhalusi teknik animasi dengan memperkenalkan teknik crowd, hair, serta simulasi letupan dan simulasi air. Saya percaya penggunaan teknologi animasi ini dapat meningkatkan lagi pengalaman menonton Papa Zola The Movie di layar perak.”

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan:

“Selepas kerjasama erat menerusi BoBoiBoy Movie 2 dan Mechamato Movie, ia membuka ruang untuk kami kembali berganding bahu dengan MONSTA dalam meneroka animasi baharu seperti Papa Zola The Movie. Astro Shaw komited memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan ekosistem animasi negara yang kini menunjukkan evolusi ketara.

Papa Zola The Movie bukan sekadar naskhah animasi untuk segmen tertentu, tetapi mempunyai penceritaan dan kualiti produksi yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur. Bagi memastikan naskhah ini dapat menarik pelbagai khalayak, pelbagai usaha dan aktiviti dirangka — antaranya penganjuran larian ‘Kebena-RUN 2025’. Kami mahu ‘fenomena kebenaran’ dirasai oleh semua kerana setiap daripada kita mempunyai versi Papa Zola tersendiri. Kami berharap filem ini mampu mencipta satu lagi kejayaan baharu untuk filem tempatan tahun ini.”

Sinopsis Rasmi: Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Namun keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing. Papa Zola bersama Mama Zila perlu bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.

Filem ini menampilkan dua lagu tema iaitu ‘Demi Kebenaran’ nyanyian Insomniacks dan ‘Kita Usahakan Lagi’ nyanyian Batas Senja.

Tiket mula dijual sejak 22 November dan menerima sambutan memberangsangkan apabila kebanyakan tayangan awal habis dijual. Susulan itu, Astro Shaw, MONSTA dan pawagam membuka tayangan awal tambahan bermula 9 Disember bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyertai fenomena ‘Kebenaran’. 

Di luar pawagam, dunia Papa Zola diperluaskan melalui pelbagai barangan rasmi seperti Mask P.A.P.A., Figura Papa Zola, Buku Kisah Teladan dan koleksi kad permainan. MONSTA juga bekerjasama dengan pawagam dan jenama terpilih seluruh Malaysia untuk menawarkan barangan eksklusif yang membawa sentuhan unik Papa Zola kepada peminat.


Temui maskot Papa Zola The Movie dalam siri jelajah filem pada 12–14 Disember di pawagam terpilih sekitar Lembah Klang, Selatan dan Pantai Timur; 19–21 Disember di Lembah Klang dan Utara; serta 26–28 Disember di Lembah Klang. Ikuti akaun media sosial Papa Pipi Zola & Astro Shaw untuk perkembangan terkini dengan #PapaZolaTheMovie.

TV Show Review | Dining with the Kapoors (2025)

Friday, 5 December 2025


Pengarah: Tarun Mansukhani, Smriti Mundhra, Armaan Jain
Penulis Skrip: 
Bintang: Kareena Kapoor Khan, Saif Ali Khan, Ranbir Kapoor, Karisma Kapoor, Neetu Kapoor, Randhir Kapoor, Riddhima Kapoor, Agastya Nanda, Aadar Jain, Navya Naveli Nanda, Rima Jain, Zahan Kapoor, Shaira Kapoor, Manoj Jain, Namita Kapur
Syarikat Produksi: Netflix
Pengedar: Netflix
Genre: Dokumentari
Durasi Tayangan: 60 minit
Tarikh Tayangan: 21 November 2025
Trailer:


Setiap tahun Kapoor Khandaan akan berkumpul untuk makan bersama, sama ada brunch atau dinner ketika perayaan-perayaan besar macam Krismas atau Diwali. Selalunya waktu perayaan Krismas lah akan ada jemputan Istimewa macam Ranbir Kapoor selalu bawa Katrina Kaif untuk Christmas lunch, Aadar Jain pernah bawa Tara Sutaria dan dua tahun lepas Ranbir Kapoor dengan Alia Bhatt perkenalkan Raha Kapoor secara rasmi kepada media dan peminat. 

Armaan Jain bersama Tarun Mansukhani brainstorm the idea untuk wujudkan satu rancangan reality di mana keluarga Kapoor makan bersama. Netflix secara rasminya bawa program ni dalam format filem untuk rakam kenangan 4 generasi Kapoor makan bersama sempena ulangtahun kelahiran Raj Kapoor, pelakon dan produser terkenal Bollywood. 


Selain hos rancangan, Armaan mainkan peranan utama sebagai chef untuk hari istimewa tersebut. Hidangan untuk hari ulangtahun adalah masakan tradisi keluarga Kapoor yang diturunkan khas kepada Armaan. Kerana minat dia dalam kulinari, Armaan guna resipi Kapoor Khandaan untuk menu-menu di Junglee Restaurant milik dia sendiri. 


Tak semua orang mampu hadir ke Dining With The Kapoors macam Alia Bhatt Kapoor sebab sibuk dengan shooting. Sama juga dengan Agastya Nanda, anak buah Ranbir Kapoor. Tak pasti kenapa Shweta Bachchan tak join sekali, mungkin sebab dia tak ada kenangan sangat dengan Raj Kapoor. Navya Nadeli Nanda dan Agastya Nanda masuk dalam dokumentari ni pun sebagai pelapis generasi muda untuk hidupkan tradisi Kapoor Khandaan. 


Armaan dan Aadar Jain adalah anak kepada Rima Jain, anak bongsu Raj Kapoor. Dalam dokumentari ni Rima adalah makcik yang paling disayangi. Mungkin sebab dia yang sentiasa ada bila family dia sakit. Dalam dokumentari ni pun ada mention yang Rima kahwin lambat sebab nak jaga Raj Kapoor sampai dia mengehmbuskan nafas terakhir. Bila Rishi Kapoor sakit pun dia banyak membantu Neetu Kapoor. 


Bila rancangan dia tentang makanan dan intro pun banyak sembang tradisi makan keluarga Kapoor, kita pun jadi excited nak tengok menu atau hidangan yang bakal disajikan di meja makan besar. Uniknya Armaan menggunakan konsep fine dining untuk hari Istimewa tersebut tapi silap percaturan lah bila dia terlajak ambil masa untuk siapkan hidangan. Patutnya dia letak dulu entrée atau appetizer supaya tetamu tak kelaparan dan bising. Hilang terus konsep utama rancangan bila saudara-mara kacau Armaan dekat dapur. Jadi kecoh dan bising sebab semua dah lapar. 


Masuk ke tengah dokumentari dah mula kacau-bilau sampai Armaan putuskan untuk keluarkan semua menu secara serentak. Tak ada pun gambar makanan sebaliknya Netflix letak senarai makanan yang dihidangkan. Orang kata rancangan Dining with the Kapoors untuk promote Junglee Restaurant tapi tak pun. Menu pun tak nampak, nak promote apa benda. 

Highlight untuk Dining with the Kapoors bila Aadar Jain buat ucapan tentang keluarga Kapoor dan personality setiap ahli keluarga. Betul juga dia cakap bila muka dia lebih kurang dengan Ranbir sampai ramai yang ingat dia adik kandung bukannya adik sepupu. sebelum ni nampak Ranbir lebih rapat dengan Bebo dan Lolo tapi dalam rancangan ni dia lebih selesa dengan beradik Jain dan Nanda. Ranbir ceritakan juga macam mana dia boleh dapat nama Ranbir dan pertalian dengan Raj Kapoor.


Another sweet moment bila tengok Bebo dengan Saif tak lupa each other walaupun terpisah dalam kumpulan yang besar. Both of them dah lama bercinta dan kahwin tapi sweet macam pengantin baru. Before this pernah viral Bebo blushing bila Saif tolong dia bangun lepas bergambar. 

Masa tengok Dining with the Kapoors, bukan sesuatu yang baru bila Armaan ceritakan salasilah keluarga secara general. Footage yang dimasukkan pun footage yang dah biasa tengok, tak eksklusif pun tapi seronok tengok koleksi gambar dalam rumah banglo milik Raj Kapoor. Buaian yang ada banyak kenangan, lama juga lah buaian tu bertahan dari Ranbir kecil sampai dah ada anak. 


Tapi yang seronoknya bila layan dokumentari ni nampak semua ahli keluarga Kapoor memang gembila bila berkumpul, tak ada pun nak sembang pasal kejayaan masing-masing. Semua tinggalkan populariti dekat pintu dan jadi orang biasa. Some moments mungkin nampak ada yang canggung tapi camera works berjaya sembunyikan benda tu. 


Hopefully Kapoor Khandaan tak segan untuk join reality shows macam Riddhima, Ranbir dan Neetu yang dah muncul dalam The Fabulous Lives of Bollywood Wives (2020). 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 8.7/10