Minggu ketiga ‘Kilauan Emas 2025’ menyaksikan peserta Zekrai berjaya mendaki ke tempat pertama dengan markah keseluruhan sebanyak (75.88%), diikuti oleh Zanie (75.11%), dan Majid (74.05%) yang berjaya menawan kedudukan tiga teratas. Memukau para juri dan juga penonton, Kinar sekali lagi dipilih sebagai pemenang Anugerah Emas Berkilau Of The Week di segmen terakhir untuk tiga minggu berturut. 

Minggu Inilah KITA, sebagai satu bentuk penghargaan buat karya tempatan, menyaksikan para peserta mendendangkan lagu-lagu ciptaan komposer Malaysia yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi tanah air dalam meraikan semangat patriotik sempena Bulan Kemerdekaan. 

Malam ini juga telah menyaksikan Vijay tersingkir daripada pentas Kilauan Emas, sekaligus mengakhiri perjalanan untuk ke peringkat seterusnya. 

SENARAI LAGU




Zekrai: Alhamdulillah - Too Phat ft Yassin & Dian Sastrowardoyo (75.88%)

Ezan: Samudera - Nora (72.43%)

Zanie: Awan Yang Terpilu - Ning Baizura (75.11%)

Leeza: Mawar Putih Untuk Mama - Sharifah Aini (69.00%)

Nawary: Srikandi Cintaku - Bloodshed (73.79%)

Shah: Hancurnya Istana Cinta - A. Ramlie (69.20%)

Vijay: Joget Kenangan Manis - Sudirman (61.31%)

Nurul: Malam Semakin Dingin - Spin (66.01%)

Majid: Ada - M. Nasir (74.05%)

Mazleen: Sumayyah Versi Anisah Rahman - Hijjaz (72.17%)

Kinar: Keliru - Ramli Sarip (66.49%)

INFO ‘KILAUAN EMAS 2025’

• Seperti musim sebelumnya, persembahan setiap peserta menerusi Kilauan Emas 2025 akan diadili secara 70% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri professional, 20% daripada juri awam yang  merangkumi markah para penonton undangan dan juga 10% daripada undian para penonton di rumah.

• Juara musim kali ini akan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.

• Para penonton dan peminat boleh mengundi peserta kegemaran mereka bagi menentukan pemenang mingguan pada setiap minggu secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak.

• Penerbitan Kilauan Emas 2025 turut disinarkan dengan kolaborasi bersama Astro Gempak sebagai rakan digital, serta SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi. Program ini boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

Saksikan episod baharu Kilauan Emas 2025 pada setiap hari Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105), On Demand, Astro GO dan sooka.

Drama Review | The Summer I Turned Pretty (2022)

Saturday, 30 August 2025


Pengarah: Jenny Han 
Penulis Skrip: Jenny Han, Gabrielle Stanton, Sarah Kucserka 
Pelakon: Lola Tung, Jackie Chung, Rachel Blanchard, Christopher Briney, Gavin Casalegno, Sean Kaufman, Alfredo Narciso, Minnie Mills, Colin Ferguson, Tom Everett Scott, Rain Spencer, Elsie Fisher, Kyra Sedgwick, Isabella Briggs, Kristen Connolly 
Syarikat Produksi: Amazon MGM Studios, wiip, Sunswept Entertainment, Jenny Kissed Me, Big Red Bus, Neon Stories  
Penyiaran: Amazon Prime Video 
Genre: Romantik / Drama 
Jumlah Episod: 10 Episod (39-66 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 17 Jun 2022 
Trailer:


Setiap kali musim panas datang, Belly (Lola Tung) dan abangnya, Steven (Sean Kaufman) bersama ibu mereka, Laurel Park (Jackie Chung) berkunjung ke rumah Susannah. Di sana Belly dan Seteven akan luangkan masa di pantai dan aktiviti-aktiviti lain bersama Conrad (Christopher Briney) dan adiknya, Jeremiah (Gavin Casalegno). 

Sejak umur Belly 10 tahun lagi, Conrad dan Jeremiah menganggap Belly seperti adik perempuan mereka tapi berbeza dengan musim panas kali ini bila Belly bertukar menjadi remaja perempuan yang cantik. Semua pun tahu Belly suka dengan Conrad sejak kecil tapi crush dia sudahpun berpunya. 

Selain bercinta dengan Nicole (Summer Madison), Conrad juga sentiasa mengasingkan diri dan dingin setiap kali mereka semua berkumpul di dalam rumah. Jeremiah dan Steven jarang berada di rumah kerana bekerja di kolam mandi awam dan clubhouse. Laurel dan Susannah sentiasa luangkan masa bersama kerana ada banyak aktiviti yang diaturkan sepanjang musim panas tambahan pula Susannah daftarkan Belly dalam debutante ball. Belly yang sunyi kebetulannya berkenalan dengan Cameron (David Iacono) yang baik hati. 

Sementara nak tunggu sekuel XO, Kitty muncul di Netflix, I terjebak pula dengan drama cinta bersegi-segi arahan Jenny Han. Lagipun edits dari naskhah The Summer I Turned Pretty bersepah muncul dekat feed, so why not kan? I memang dah familiar dengan karya Jenny Han – To the Boys I Loved Before dan XO, Kitty jadi tak ada masalah pun nak layan satu lagi naskhah dengan konsep yang sama. 

Kali ni dalam dunia Belly, tak ada pun elemen Korea yang dimasukkan walaupun Belly adalah anak kacukan Korea dan Amerika. Genetik Korea tu pergi dekat Steven tapi cara hidup keluarga Conklin lebih terarah pada budaya Barat. Soundtrack untuk The Summer I Turned Pretty ada himpunan lagu-lagu pop romantik yang popular macam The Way I Loved You – Taylor Swift, Thank You, Next – Ariana Grande, This Love – Taylor Swift, Cruel Summer – Taylor Swift, Lover – Taylor Swift, 1 Step Forward, 3 Steps Back - Olivia Rodrigo. Ada terselit juga Don’t Cha – Pussycat Dolls dan Ice Cream – Blackpink ft Selena Gomez. Banyak lagi lagu yang dimasukkan tapi ini yang I tahu T.T

I memang tak berapa gemar dengan kisah cinta remaja sebab hati jenis tak ada pendirian. Tambah pula perjalanan watak-watak utama dalam naskhah ni pun jauh lagi. Kalau dekat episod awal I dah suka dengan this couple, belum tentu akan pergi jauh. Tapi kelebihan utama naskhah arahan Jenny Han adalah barisan eye candy yang fatal. Conrad is my type tapi Jeremiah jadi softie cuma untuk Belly. 

Setiap kali tengok perhatian yang Belly dapat dari Cam, Conrad dan Jeremiah, I rasa macam kentang tengok kisah orang lain. Dia tak payah nak struggle sangat pun dalam hidup sebab cantik. Hari ni kecewa dengan perangai Conrad, hari ni juga dia dapat sembuhkan luka dengan keprihatinan Jeremiah atau layanan baik dari Cam. 

Ada juga konflik lain yang dimasukkan oleh penulis macam konflik antara Susannah dan pendirian hidup dia atau kisah cinta Steven dan Shayla (Minnie Mills) bersama Taylor Jewel (Rain Spencer). My goodness, Minnie sesuai sangat lakonkan watak Shayla. Dah la cantik, elegan, keyakinan diri tinggi dan tahu apa dia nak. Sayangnya dia tak ada banyak screentime pun tapi everytime dia muncul, I can’t take my eyes off her. Danggggg!

Kekuatan naskhah Jenny Han juga terletak pada kekayaan visual dengan khidmat kreatif barisan sinematografer J.B. Smith, Sandra Valde-Hansen, Tarin Anderson. Setiap babak rasa terpanggil untuk pergi ke Cousins Beach sebab cantik sangat. Stress boleh lepak dekat pantai ataupun tangkap ikan guna kapal layar. 

Wardrobe team did a great job dengan koleksi pakaian musim panas yang digunakan oleh semua pelakon. Wardrobe Belly mungkin tak menarik perhatian sangat sebab dia baru belajar nak jadi feminine tapi wardrobe Shayla dengan Nicole on point. Wardrobe Jeremiah paling senang lah sebab dia selalu pakai short pants. Can’t blame the production team jugak sebab member kerja dekat kolam. Tapi dengan face card macam tu, pakai apa pun okay. Wardrobe Conrad more to casual, sesuai lah dengan latar musim panas dan heartthrob macam dia. 

Sembang tentang perjalanan cerita The Summer I Turned Pretty, walaupun Conrad is my type of guy tapi menyampah sangat tengok cara dia buat keputusan. Indecisive lepastu bila Belly pilih orang lain, dia mula nak cemburu. Masa dekat jeti dengan pantai tu dia memang sengaja kacau Belly padahal Belly hormat relationship dia dengan Nicole. The drama is there tapi menyampah bila senang sangat tergugat. Nasib baik ada Taylor yang tolong Belly buat keputusan walaupun tak lah Belly dengar sangat pun.

Chemistry Lola dengan Gavin lagi menarik perhatian berbanding Lola dengan Chris. Masa Belly dengan Conrad happy dekat pertandingan bola tampar tu pun obvious sangat vibe diorang abang dengan adik. Tapi nak sembang lebih pun ini baru musim pertama so perjalanan cinta tiga segi ni akan bergerak jauh lagi. Macam The Vampire Diaries pun Elena sentiasa berteka-teki dengan perasaan sendiri sama ada untuk pilih Damon atau Stefan sebagai pasangan hidup. Lagi barai sampai 8 musim sebab bercinta dengan vampires yang hidup beratus tahun. 

I love the friendship between Laurel and Susannah. Walaupun berbeza personaliti tapi kawan susah senang bersama memang susah nak jumpa. Dari zaman kolej sampai anak-anak dah besar, Laurel dengan Susannah setia bersama sampai satu tahap timbul soalan both of them ada perasan towards each other ke bila ex husband Laurel bagitahu yang punca mereka bercerai pun sebab Laurel utamakan Susannah. Nasib baik Jenny Han masukkan babak dekat bar dan love angle antara Laurel dengan Cleveland Castillo (Alfredo Narciso). 

Punyalah jarang friendship angle antara watak wanita sampai boleh timbul persoalan pelik bila tengok Susannah dan Laurel rapat semacam. Selalunya nampak bro code je dalam cerita. A nice take for me sebab Laurel ajar Belly untuk maafkan Taylor daripada hidup dalam penyesalan bergaduh dengan kawan baik untuk sesuatu yang kecil. 

Lepas layan 10 episod drama The Summer I Turned Pretty ni, I dah faham kenapa series ni popular. Nak layan musim 2 pulak sebab nak tahu apa Belly nak tipu Jeremiah lepas cium Conrad dekat pantai. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 9.5/10

Movie Review | Pabrik Gula (2025)


Pengarah: Awi Suryadi 
Penulis Skrip: Lele Laila 
Syarikat Produksi: MD Pictures   
Pengedar: Antenna Entertainment (Malaysia, Brunei, Singapura), EST N8 (Amerika Utara), Netflix
Genre: Seram
Durasi Tayangan: 133 minit
Tarikh Tayangan: 31 Mac 2025 (Indonesia), 7 Ogos 2025 (Netflix)    
Trailer:


Berlatarkan tahun 2003, kisah bermula dengan Endah (Ersya Aurelia), Fadhil (Arbani Yasiz), Dwi (Arif Alfiansyah), Hendra (Bukie B. Mansyur), Wati (Wavi Zihan), Naning (Erika Carlina), dan Franky (Benidictus Siregar) bertolak bersama puluhan orang lain dari kampung mereka ke sebuah kilang gula untuk mencari kerja sambilan pada musim panas. 

Setiap tahun kilang gula akan mengambil ratusan pekerja sementara dari kawasan-kawasan kampung untuk proses penggilingan tebu berjalan dengan lebih lancar dan pantas. Hendra dan Wati sama-sama bekerja di kilang gula tersebut untuk mendapatkan wang lebih supaya dapat menampung semua perbelanjaan untuk majlis kahwin mereka. 

‘Enak ya mas kerja di pabrik ini. Gajinya gede, ada rumah lagi.’
‘Iya, tapi warga di sekitar pabrik kan udah enggak mau lagi kerja di sini. Makanya, pabrik nyari orang yang jauh-jauh.’

Semasa sampai di sana, mereka terus didaftarkan mengikut rumah kediaman masing-masing. Bu Marni (Vonny Anggraini) juga mengingatkan pekerja tidak dibenarkan berada di luar kawasan kediaman selepas jam 9 malam. Siren akan dibunyikan untuk makluman semua pekerja kilang. Ada beberapa bangunan juga yang dilarang untuk dimasuki. 

Pada malam pertama di situ, Endah terjaga kerana terdengar suara orang keluar dari rumah. Mengekori suara tersebut, Endah menuju ke kilang lalu masuk ke kawasan terlarang. Endah terlihat ritual wayang kulit bersama makhluk aneh dan besar. Sejak dari kejadian tersebut, Endah sering diganggu tapi tidak diceritakan kepada sesiapa. 

Kerana pekerja yang lain juga mula diganggu tak kira siang atau malam, Franky syak khabar angin bahawa kilang gula tersebut pernah terbakar suatu masa dulu adalah benar. Gangguan yang dialmi oleh mereka adalah roh semua pekerja yang terbakar di kilang tersebut. 

Filem Pabrik Gula arahan Awi Suryadi menggunakan kisah viral yang diceritakan oleh SimpleMan yang pernah popular dengan filem seram KKN Di Desa Penari (2022) dan Sewu Dino (2023). Vibe filem Pabrik Gula lebih kurang sama dengan filem KKN Di Desa Penari kerana menggunakan khidmat pengarah yang sama. Alurnya jelas dan mudah difahami serta babak seram yang tanpa henti. 

Sama macam apa yang diceritakan oleh Franky, hantu yang dimasukkan adalah mangsa terbakar yang penuh dengan dendam tapi tak semua lah bertindak ekstrem. Cuma menampakkan diri di kawasan sekitar kilang. Mungkin tak terlihat ekstrem sebab pihak kilang dah cuba sehabis baik dengan kawal pergerakan pekerja pada waktu malam. Selain hantu terbakar, ada juga penampakan hantu Belanda which I don’t really understand why. Macam Ivanna (2022) pun ye jugak tapi possible je kan sebagai tease atau homage since dua filem ni di bawah produksi yang sama.

Boleh kata ada 3 kumpulan hantu – mangsa terbakar kilang, hantu Belanda dengan hantu si Maharatu Kerajaan Demit yang mengganggu Endah di pejabat. Tak pasti lah Zhadug masuk dalam kumpulan yang mana. Kalau dia asing, maksudnya ada 4 kumpulan lah. Sebab tu gangguan dekat dalam filem Pabrik Gula ni banyak dan non-stop. 

Latar masa dalam filem Pabrik Gula pun tak lama, dalam seminggu lebih macam tu. No wonder lah kilang gula tu susah nak dapat untung. Bila beroperasi je, ada gangguan. Nak buka dekat tempat lain bukannya senang sebab ladang tebu perlukan kawasan yang besar.  

Nasib baik lah Endah dengan Fadhil ni ada kelebihan untuk nampak alam ghaib. Dapat lah juga bantu Mbah Jinah (Dewi Pakis) dengan Mbah Samin (Budi Ros) selesaikan misteri Maharatu naik angin sebelum ramai yang jadi mangsa. 

‘Orang yang memiliki ilmu batin, kadang mendapat petunjuk lewat mimpi. Mimpimu bisa jadi petunjuk.’ – Mbah Jinah

Selain babak seram, ada juga diselitkan babak-babak komedi yang dihadirkan melalui watak Franky dan Dwi. Pengawal keselamatan yang dilakonkan oleh Sadana Agung dengan Yono Bakrie juga kelakar dengan lakonan mereka yang bersahaja. Berdekah tengok babak Karno dengan Rano sembang pasal hantu tak makan lembu. 

Sinematografi dari Arfian mewujudkan suasana seram dalam filem Pabrik Gula. Babak-babak malam yang bergantung dengan lampu minyak tanah menambahkan lagi rasa ngeri yang dialami oleh Fadhil atau Endah. Background music dari Ricky Lionardi mengukuhkan lagi visi Awi Suryadi untuk naskhah seram ni. 

Kekurangan pada filem Pabrik Gula bila watak-watak yang dimasukkan tak ada backstory atau perkembangan. Macam Naning yang ada perasaan pada Hendra walhal sudah bertunang dengan kawan baik dia, Wati. At least bagitahu lah kenapa Naning terpikat dengan Hendra, bila bermula perasaan tu. Kenapa ada Zhadug walhal dah minta perlindungan dengan Ratu. 

Overall, I had fun watching Pabrik Gula dengan kekayaan budaya yang dimasukkan dalam penceritaan macam kulit wayang atau ritual kuda kepang. Nampak lah yang budaya Malaysia dan Indonesia lebih kurang sama bila kita serumpun. Kudos to our neighbour yang mengangkat kebudayaan tradisi dalam naskhah spektrum di layar besar. 

p/s: Filem ni tak sesuai untuk ditonton dengan anak-anak bawah umur sebab ada adegan panas.

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 8.4/10

KARNIVAL JOM HEBOH KEMBALI GEGARKAN WARGA BORNEO! | JOM SERTAI KEMERIAHAN KARNIVAL JOM HEBOH SEGULAI SEJALAI SARAWAK DI DATARAN PERAYAAN PETRA JAYA, KUCHING!

Kuala Lumpur, 30 Ogos 2025 – Khabar gembira buat warga Bumi Kenyalang! Karnival Jom Heboh (KJH) Segulai Sejalai Sarawak bakal kembali memeriahkan Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching dari 5 hingga 7 September 2025 (Jumaat hingga Ahad), menjanjikan hujung minggu penuh hiburan, tawaran menarik dan pelbagai aktiviti mesra keluarga yang meraikan semangat kebersamaan masyarakat Sarawak.

KJH Segulai Sejalai Sarawak kali ini menampilkan deretan tarikan seperti Konsert Jom Heboh dua malam berturut-turut, pelbagai aktiviti kekeluargaan seperti pertandingan karaoke, permainan pentas dan sesi ramah mesra bersama selebriti drama TV3 serta personaliti Media Prima. Kerjasama strategik bersama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) turut membuka peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pelbagai agensi di bawah naungan mereka, termasuk Jabatan Muzium, Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Seni Sarawak, BeSarawak, Majlis Kraf Sarawak serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak. Kesemua agensi ini bakal menganjurkan pelbagai aktiviti menarik khusus buat pengunjung Karnival Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak 2025.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh cuba NSTP Racing Sim Experience, Pertandingan Ratu Etnik Drama Sangat, Spin Fighters Challenge, Zumba, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Pemeriksaan Kanser Serviks, Bola Sepak Jalanan, Soopa Doopa, Aktiviti Jom Memanah,  Lengkap dengan Love Food Festival, tawaran jualan istimewa dan acara penuh jiwa seperti Sembang Santai. Inilah peluang sekali setahun untuk rasai kemeriahan hiburan, gaya hidup dan kebersamaan masyarakat Sarawak. 


Studio Tonton Drama Sangat

Studio Tonton Drama Sangat menampilkan personaliti Media Prima seperti Mior Abdul Malik, Naz Habibur Rahman, Farah Nabilah Wazer, Fatin Hamimah, Asri Badrun, Fadzly Fuad, Barr Zaizan dan Syamira Nazir, selain peluang bertemu artis drama kegemaran anda seperti Wanie Ooi, Mark Adam, Ezzanie Jasny, Apich Lo, Jazmy Juma dan Marsha Milan. Bukan itu sahaja, antara pengisian menarik yang lain adalah termasuk Pertandingan Ratu Etnik Drama Sangat (Ahad, 7 September – peserta wanita berusia 18 hingga 35 tahun), Pertandingan Jaguh Kartun, serta kemunculan maskot popular Ejen Ali. Jangan lepaskan peluang, serbu ke reruai Studio Drama Sangat dan rasai sendiri kemeriahan bersama artis kegemaran anda!

New Straits Times Press
Rasai pengalaman pemanduan yang mendebarkan menerusi NSTP Car Sim Experience, di mana pengunjung boleh menguji skil memandu dalam suasana simulasi yang realistik seolah-olah berada di litar perlumbaan sebenar. Dengan peralatan canggih dan cabaran penuh aksi, aktiviti ini pasti meningkatkan adrenalin dan memberikan pengalaman yang sukar dilupakan.

Pentas Utama
Pengunjung boleh hadir seawal 9.00 pagi dengan pelbagai aktiviti sihat, termasuk sesi Zumba yang menyeronokkan bersama KKM dan juga aktiviti Bola Sepak Jalanan. Terus raikan malam penuh keberkatan dengan program Sembang Santai sempena Maulidur Rasul pada Jumaat, 5 September 2025, jam 9.00 malam di pentas utama Jom Heboh. Sembang santai ini akan menampilkan perkongsian ringan tetapi penuh makna mengenai kisah teladan, nilai murni serta pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW. Ia bukan sahaja memberi ruang untuk kita mendekatkan diri dengan sejarah junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah turut menjadi platform untuk berinteraksi dalam suasana santai, mesra dan mudah difahami oleh semua peringkat usia.

Konsert Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak Yang Dibawakan oleh U Mobile
Rasakan pengalaman muzik yang tiada tandingan dengan persembahan artis terkenal tanah air di Konsert Jom Heboh Segulai Sejalai Sarawak yang dibawakan oleh U Mobile sebagai penaja utama konsert kali ini! Hanif Miswan dan Ayu (Hot FM) selaku hos utama, memastikan setiap detik konsert penuh dengan gelak tawa, sorakan dan semangat luar biasa. Pada Sabtu, 6 September 2025, pentas utama akan digegarkan oleh Lan Solo, Marsha Milan, Ara Johari, Haiza dan Datuk Aishah. Manakala pada Ahad, 7 September 2025, barisan bintang hebat seperti Floor 88, Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Amir Jahari bakal memukau pengunjung dengan persembahan penuh bertenaga.

Kedai Jom Heboh
Reruai Kedai Jom Heboh turut menjadi tarikan utama dengan menawarkan pelbagai barangan cenderahati eksklusif daripada rangkaian TV Media Prima seperti TV3, Jom Heboh dan Ejen Ali pada harga yang berpatutan. Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai pilihan menarik termasuk t-shirt, topi, botol air, payung dan banyak lagi barangan eksklusif yang sesuai dijadikan kenangan mahupun hadiah buat yang tersayang.

Studio Jom Heboh
Reruai Studio Jom Heboh menjanjikan pengalaman yang penuh keseronokan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. Antara aktiviti yang menanti para pengunjung termasuk sesi beramah mesra bersama Penyampai Radio Media Prima Audio, aktiviti lukisan Karikatur, Emcee Cilik, Bilik Foto, Servis Henna serta pelbagai lagi aktiviti interaktif yang menyeronokkan. Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan hadiah percuma dengan mengikuti laman media sosial Jom Heboh Official di Facebook, Instagram dan juga TikTok. Ini menjadikan kunjungan ke Studio Jom Heboh lebih bermakna dan istimewa.

Love Food Festival
Nikmati kepelbagaian makanan viral kegemaran ramai di Love Food Festival sambil bersantai di kawasan rehat yang disediakan. Antara hidangan-hidangan popular seperti Lamb Shank Chef Ammar, Bakso Beranak by Vicha, Cikidot dan banyak lagi. Tunggu apa lagi? Inilah masa sempurna untuk anda sekeluarga meluangkan waktu bersama sambil menikmati pelbagai juadah menarik yang pasti memikat selera! 

Tidak ketinggalan, selain reruai di bawah naungan Media Prima, lebih 100 reruai lain juga akan menawarkan promosi hebat dan hadiah menarik! Antara yang terlibat termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), F&N, Kewpie, Treatz Food, Affin Bank, Zus Coffee dan banyak lagi.

Warga Borneo, inilah peluang untuk bersama-sama menyambut karnival paling meriah tahun ini! Jangan lepaskan peluang sertai ribuan pengunjung di KJH Segulai Sejalai Sarawak dari 5 hingga 7 September 2025 (Jumaat hingga Ahad) di Dataran Perayaan Petra Jaya, Kuching.

Bawa keluarga, sahabat dan rakan-rakan untuk menikmati hiburan tanpa henti, juadah lazat, serta peluang beramah mesra dengan selebriti kegemaran anda. Jangan lupa abadikan momen indah ini dan kongsikan keseronokan anda dengan tanda pagar rasmi #TV3SentiasaBersamamu dan #KarnivalJomHeboh!

Untuk info lanjut, layari www.jomheboh.com.my dan ikuti kami di media sosial rasmi di Facebook dan Instagram: @jomhebohofficial.

KEMERIAHAN SAMBUTAN MERDEKA DI ALAMANDA PUTRAJAYA DAN MESRA MALL KEMAMAN

Friday, 29 August 2025

KEMERIAHAN SAMBUTAN MERDEKA DI ALAMANDA PUTRAJAYA DAN MESRA MALL KEMAMAN | Ganjaran Berterusan dan Aktiviti Patriotik Terus Menceriakan Pengunjung!

PUTRAJAYA, 29 OGOS 2025 – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68, Pusat Beli-Belah Alamanda di Putrajaya dan Mesra Mall di Kemaman kini rancak dengan kempen Merdeka yang penuh warna-warni. Kedua-dua pusat beli-belah ini menyemarakkan semangat patriotik dengan ganjaran istimewa serta pelbagai aktiviti bagi menyatukan komuniti dalam meraikan detik bersejarah ini.

PUSAT BELI-BELAH ALAMANDA

Pusat Beli-Belah Alamanda meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68 dengan kempen Merdeka sehingga 1 September 2025. Seluruh pusat beli-belah dihiasi dengan Jalur Gemilang, mewujudkan suasana meriah dengan pengalaman membeli-belah yang istimewa serta ganjaran eksklusif untuk para pengunjung.

Ganjaran Merdeka: Pengunjung yang berbelanja RM500 ke atas dalam 2 resit di mana-mana kedai terpilih akan menerima T-shirt edisi terhad Merdeka ke-68.

Ganjaran ’High Spenders’: Pengunjung yang berbelanja RM1,500 ke atas dalam 2 resit di mana-mana kedai terpilih akan menerima T-shirt edisi terhad Merdeka ke-68 serta e-Baucar Alamanda bernilai RM50.

MESRA MALL

Mesra Mall turut menganjurkan kempen Merdeka sehingga 8 September 2025, dengan hiasan bertemakan Hari Merdeka termasuk ruang foto dan paparan Jalur Gemilang yang menyemarakkan suasana patriotik di seluruh pusat beli-belah.

‘Shoppers Rewards Programme’: 500 pengunjung pertama yang berbelanja RM350 ke atas dalam 2 resit di mana-mana kedai terpilih boleh menebus T-shirt edisi terhad Mesra Merdeka 2025.

Hadiah Istimewa Hari Kebangsaan: Pada 31 Ogos 2025, 100 pengunjung pertama di kaunter Concierge pada jam 2.00 petang akan menerima pelekat kereta Jalur Gemilang.

“Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68, kami berbangga dapat berkongsi semangat Merdeka bersama para pengunjung di Pusat Beli-Belah Alamanda dan Mesra Mall. Kempen yang dianjurkan ini bertujuan menghargai pelanggan setia kami serta menyatukan semua dalam meraikan warisan dan perpaduan negara. Kami menjemput orang ramai untuk bersama-sama memperingati detik bermakna ini serta menikmati ganjaran istimewa dan aktiviti menarik yang telah disediakan,” kata Francis Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd.

Untuk info lanjut, layari:

i. Alamanda - www.alamanda.com.my / www.facebook.com/AlamandaShoppingCentre

ii. Mesra Mall - www.mesramall.com / www.facebook.com/MyMesraMall

*************************

Mengenai Pusat Beli Belah Alamanda

Pusat Beli-belah Alamanda, dimiliki oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan diuruskan oleh Suria KLCC Sdn Bhd, mempunyai keluasan lantai kasar 1,056,000 kaki persegi dengan keluasan boleh disewa bersih 921,443 kaki persegi. Dengan kira-kira 12 juta pengunjung setiap tahun, pusat beli-belah ini menawarkan pelbagai kemudahan termasuk dua bangunan parkir khas (3,000 petak parkir), kemudahan mesra OKU, dan surau. Direka sebagai syurga membeli-belah di tengah-tengah Putrajaya, Alamanda menyajikan pengalaman ‘Easy, Vibrant Shopping’.

Selain runcit, Alamanda juga merupakan pusat gaya hidup dan hiburan yang dinamik. Tarikan terbaru, Escape Putrajaya di Esplanade, adalah taman pengembaraan luar seluas 151,548 kaki persegi yang dibangunkan dengan kerjasama Sim Leisure Group Ltd. Direka untuk menggabungkan elemen pengembaraan dan alam semula jadi, taman ini menawarkan pengalaman yang mengujakan dengan tarikan seperti Zip Coaster, Flying Lemur, Banana Flip, Slingshot, Coco Climb, dan banyak lagi. Ia menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Bagi meningkatkan lagi pengalaman hiburan, Alamanda kini menampilkan 10 ruang pawagam TGV Cinemas yang mesra keluarga serta pusat boling U-Bowl X yang diperluas dengan 26 lorong, menawarkan lebih keseronokan kepada pengunjung.

Dengan Centre Court yang luas di bawah siling berkubah kaca yang menakjubkan, Alamanda menjadi lokasi ideal untuk pelbagai acara, menarik minat pengunjung serta bakal penyewa. Reka bentuknya yang mesra keluarga turut dilengkapi travelator untuk memudahkan pergerakan stroller dan kerusi roda, akses runcit yang lancar, serta susun atur dua tingkat yang unik bagi memastikan aliran pengunjung yang lebih selesa.

Mengenai Mesra Mall

Terletak di Kemasik, Terengganu, Mesra Mall menarik pengunjung untuk mendalami kehidupan yang unik di Pantai Timur Malaysia. Merangkumi lebih dari 310,000 kaki persegi, pusat beli-belah ini menawarkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa, dan telah dikenal pasti sebagai salah satu destinasi utama untuk membeli-belah dan rekreasi, dan hiburan di Kertih dan kawasan sekitarnya, termasuk Paka, Dungun, dan Kemaman.

Selain daripada aktiviti membeli-belah, Mesra Mall juga menawarkan kemudahan riadah untuk seisi keluarga seperti pusat boling 24 lorong, pusat futsal, padang badminton, dan sebuah dewan serba guna seluas 16,000 kaki persegi, yang boleh mengisi lebih 800 tetamu bagi memastikan pengalaman 'Membeli-belah yang Mudah dan Mesra' untuk semua.

TEROKAI DUNIA SINEMATIK YANDY LAURENS, DARI KELUARGA CEMARA KE SORE

Thursday, 28 August 2025

Jika anda mencari pengalaman sinematik yang mendalam dan menyentuh hati, karya-karya Yandy Laurens adalah pilihan yang tepat. Sebagai pengarah dan penulis skrip, Yandy telah menghasilkan beberapa filem yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga memberi kesan mendalam kepada penonton. Saksikan beberapa hasil karya beliau sebelum menikmati filem terbaharunya, Sore: Istri Dari Masa Depan, yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 25 September 2025.

Salah satu karya ikonik beliau ialah Keluarga Cemara (2018), adaptasi daripada siri televisyen popular Indonesia. Filem ini mengisahkan sebuah keluarga yang kehilangan segala harta mereka dan terpaksa memulakan hidup baru di sebuah desa. Dengan sentuhan Yandy, filem ini berjaya menggambarkan nilai kekeluargaan dan kasih sayang yang tulus. Keluarga Cemara mendapat sambutan hangat dengan lebih daripada 1.7 juta penonton dan memenangi beberapa anugerah, termasuk Piala Citra dan Piala Maya. Filem ini juga boleh ditonton melalui platform penstriman seperti Netflix.

Seterusnya, Falling in Love Like in Movies (2023) menampilkan kisah seorang penulis skrip filem romantik yang bertemu semula dengan cinta lamanya dan berusaha meyakinkannya untuk jatuh cinta seperti dalam filem. Filem ini memenangi tujuh anugerah Citra, termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, dan Skrip Asal Terbaik, dan turut ditayangkan di Netflix.

Selain itu, 1 Kakak 7 Ponakan (2025) menceritakan tentang seorang lelaki muda yang terpaksa menjaga tujuh anak saudaranya selepas kematian kakak dan iparnya, menghadapi cabaran membesarkan mereka sambil mengekalkan kerjaya dan kehidupan peribadi. Filem ini dipilih sebagai penutup Festival Filem Jogja-NETPAC 2024 dan mendapat liputan media kerana tema “sandwich generation” yang jarang diangkat.

Filem terbaharu beliau, Sore: Istri Dari Masa Depan (2025), adalah adaptasi daripada siri web 2017 dan menggabungkan elemen sains fiksyen romantik. Ia mengisahkan seorang lelaki muda di Croatia yang bertemu dengan seorang wanita yang mengaku sebagai isterinya dari masa depan, membantu beliau mengubah gaya hidup dan pandangan hidupnya. Filem ini telah mendapat perhatian di pawagam Indonesia dan bakal ditayangkan di seluruh Malaysia mulai 25 September 2025.

Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios dengan bangganya membawa naskhah fenomena dari Indonesia ini untuk tontonan peminat di Malaysia. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Sore: Istri Dari Masa Depan di pawagam seluruh Malaysia bermula September ini. 

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif, ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube Primeworks Studios.

16 Trivia Filem Abah Saya Uncle Mike

 

‘Abah Saya, Uncle Mike’, sebuah filem penuh emosi yang pasti mengundang air mata, mengangkat erti kasih sayang keluarga yang melangkaui pertalian darah. Berbeza dengan kisah kekeluargaan tipikal, filem ini menampilkan dinamika keluarga yang terbentuk daripada latar bangsa, agama dan budaya yang berbeza, sekali gus menjadikannya sebuah naskhah yang belum pernah diterokai dalam sinema tempatan. Inilah kisah tentang keluarga yang tidak lahir daripada ikatan darah, tetapi daripada kepercayaan, penerimaan dan kasih sayang tanpa syarat.

1. Diinspirasikan daripada Kisah Benar

Filem Abah Saya, Uncle Mike” mengisahkan tentang seorang bapa berbangsa Cina, Uncle Mike atau nama sebenarnya Michael Tong Wai Siong yang membesarkan tiga anak yatim piatu berbangsa Melayu — sebuah kisah penuh makna tentang perpaduan, kasih sayang, dan erti sebenar sebuah keluarga.

2. Meraikan Semangat Kepelbagaian Budaya Malaysia

Filem ini menghargai kepelbagaian budaya dan perpaduan yang kaya di Malaysia, menjadikannya lebih bermakna bersempena dengan pertembungan perayaan yang jarang berlaku ini. Ia adalah penghargaan tulus kepada tradisi bersama serta kekuatan yang lahir daripada meraikan perbezaan kita.

3. Naskhah Debut Sutradara Ezrie Gazali


Filem ini menandakan karya sulung Ezrie Gazali sebagai pengarah filem cereka. Sebelum ini, beliau telah mencipta nama melalui filem pendek, iklan komersial, serta drama TV popular Kiblat ke Syurga.

4. Kerjasama Bermakna

Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Etika Sdn Bhd, menampilkan sebuah kisah yang penuh emosi dan berakar daripada realiti masyarakat Malaysia.

"Sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia, kisah ini menonjolkan keindahan kepelbagaian rakyat kita serta kekuatan yang lahir apabila kita bersatu. Nilai-nilai ini sentiasa dikongsi dan dipupuk oleh Etika bersama jenama kami.” - Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd.


5. Filem Genre Drama Pertama Andy Teh

Dikenali dengan watak penuh aksi, ini merupakan kali pertama Andy Teh membawakan watak yang sarat emosi dan dramatik di layar perak. Watak Uncle Mike menjadi satu transformasi besar dalam perjalanan seninya. 

"Cabaran terbesar Andy adalah mengasingkan cara Andy layan mereka bertiga sebagai anak dan bukannya sebagai adik.'' - Andy (Confession Bilik Gelap, Musim 5, Episod 35)

6. Para Pelakon Menjalani Sesi Latihan Selama Sebulan

Andy Teh bersama Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur meluangkan masa sebulan penuh untuk sesi latihan sebelum penggambaran bermula. Ikatan yang terjalin itu membuahkan chemistry persaudaraan yang nyata dan dapat dirasai di layar perak.


7. Babak yang Menyentuh Hati Seluruh Kru

Ketika babak penuh emosi di mana Rafei terpaksa berpisah dengan Rasyid dan Rahman, seluruh kru tidak dapat menahan air mata di belakang kamera — satu detik luar biasa yang membuktikan betapa kuatnya lakonan yang dipersembahkan sedangkan babak tersebut adalah babak pertama dirakamkan untuk filem Abah Saya Uncle Mike. 

8. Penggambaran di Rumah Anak Yatim Sebenar


Babak rumah anak yatim dirakam di rumah anak yatim sebenar tempat Rahman dan Rasyid pernah dibesarkan sebelum berjumpa dengan keluarga angkat dan Uncle Mike. Pasukan produksi hanya menyedari hal ini apabila Rahman melawat set penggambaran filem Abah Saya Uncle Mike.

9. Andy Teh Hidup Seperti Uncle Mike

Bagi menjiwai sifat tenang dan berwibawa Uncle Mike, Andy mengurangkan aktiviti sosialnya dan meluangkan lebih masa bersama ibu bapanya selama sebulan sebelum penggambaran bermula. Beliau juga menambah berat badan bagi kelihatan lebih berusia dan matang. 

"Lepas Andy berborak dengan Uncle Mike, Andy duduk dekat one corner dan perhatikan cara Uncle Mike bercakap dengan director masa tu. Andy nak tengok cara dia bercakap, cara dia senyum, cara dia malu bila orang tanya pasal hidup dia. Tangan dia ada gaya tersendiri, bila dia nervous macam mana so benda tu semua Andy fotostat masuk dalam lakonan.'' - Andy (Confession Bilik Gelap, Musim 5, Episod 35)

10. Memperkenalkan Nor Merah dalam Peranan Penemuan


Walaupun filem Abah Saya, Uncle Mike bukanlah filem debut lakonan Nor Merah kerana beliau pernah muncul dalam beberapa filem sebelum ini, namun peranan sebagai Rasyid merupakan antara lakonan paling mencabar emosi buat dirinya. 

Ditemui ketika sesi uji bakat di SK Seni KL, kehadiran dan penghayatan Nor Merah menjadikan beliau pilihan sempurna untuk membawakan watak Rasyid, anak tengah yang sering terpinggir.

11. Lakonan Metod: Anak Tengah yang Terpinggir

Bagi membantu Nor Merah membawakan  emosi yang kompleks dalam personaliti seorang anak tengah yang sering terpinggir, kru produksi dengan berhati-hati memberinya perhatian yang minimum di set di bawah bimbingan jurulatih lakonan, Han Zalini. Tindakan tersebut untuk membolehkannya menyalurkan perasaan terabai sebenar ke dalam lakonan sebagai Rasyid.

12. Tong Yuen Menimbulkan Rasa Ingin Tahu Budaya


Dalam satu babak, Mandy Chong (yang memegang watak Popo) menyediakan Tong Yuen bersama Rafie. Babak ini mencetuskan perbualan dalam kalangan pelakon dan kru mengenai hidangan tersebut — dan keesokan harinya, Mandy membawa Tong Yuen buatan sendiri untuk dinikmati seluruh pasukan!

13. Menyusun Kisah Uncle Mike

Cerita-cerita yang dikongsikan oleh Uncle Mike sebenar kadang-kadang tidak lengkap, jadi kami perlu menyusun kepingan-kepingan tersebut dan kebanyakan masa, keputusan yang kami buat dalam produksi selaras dengan apa yang benar-benar berlaku. 

Contohnya, beliau tidak memberitahu bahawa bengkel Encik Tong bersambung dengan rumah; apabila beliau datang ke set, beliau berkata bahawa ini hampir sama seperti bengkel ayahnya yang telah meninggal dunia.

14. Babak Paling Mudah Ternyata Paling Sukar


‘Babak Mesin Layan Diri’ — sebuah perbualan sunyi dan penuh perasaan antara Mike dan Rafie  ternyata paling sukar untuk dirakam. Ia mengambil masa hampir 3 jam disebabkan gangguan berulang dan kedalaman emosi yang diperlukan.

15. Tiga Hari Temu Bual untuk Keaslian Cerita

Pasukan produksi meluangkan tiga hari menemu bual Uncle Mike dan adik-beradik - Rafie, Rasyid dan Rahman untuk mendapatkan kisah-kisah mereka anak-beranak.

16. Rotan Sebenar, Komitmen Sebenar

Bagi babak hukuman ‘rotan’, kedua-dua rotan sebenar dan rotan prop digunakan. Dalam beberapa penggambaran, Idan (yang memegang watak Rafie) benar-benar terkena rotan sebenar dan meninggalkan kesan ringan pada badan. Namun beliau terus berlakon secara profesional tanpa mencacatkan persembahan watak.

Saksikan filem Abah Saya, Uncle Mike di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025. Ikuti perkembangan filem ini melalui akaun Instagram, TikTok, Facebook, dan X Astro Shaw. Untuk maklumat integrasi bersama 7 Up dan Mirinda, sila layari platform Facebook dan Instagram mereka.

Tak tahu pun lagu 7 Huruf  dendangan Teeya Nasution dilancarkan oleh Rocketfuel Entertainment sebab tak ada suggestion songs dari Youtube. First time dengar masa Gala premiere filem Abah Saya Uncle Mike. Bila lagu 7 huruf keluar makin bertambah emosi layan filem kisah benar Uncle Mike ni. Glad to know lagu 7 Huruf dah start masuk Tiktok semalam. Lagu 7 Huruf ada dalam versi Mandarin juga berjudul 朋友(Péng Yǒu).


LIRIK LAGU 7 HURUF
Penyanyi: Teeya Nasution 
Komposer: Archie Nasution
Lirik: Archie Nasution
Label: Rocketfuel Entertainment

Berganding tangan 
Mana pun kita berjalan
Jangan pernah menyerah 
untuk sampai ke tujuan

Pegang tanganku 
Menyusuri jalan berliku
Tak takut dengan apa pun
Cukup hanya ada kamu

[Pre-chorus]
Berjalan tanpa peduli pun 
Berduri...
Hujan.... lebatnya 
Kita terjang harungi semua
Kerna ku tak sendiri

[Chorus]
Aku, kamu dan kita berair mata
Bersama sebuah cerita cinta 
Menerangi jiwa dengan cahaya
7 huruf iya satu kata
Terima kasih wahai kau bintang
Yang tak kenal apa ertinya lelah
Hadir di saat ku pun merebah
Ketika dunia menghilang

[Pre-chorus]
Berjalan tanpa peduli pun 
Berduri...
Hujan.... lebatnya 
Kita terjang harungi semua
Kerna ku tak sendiri

[Chorus]
Aku, kamu dan kita berair mata
Bersama sebuah cerita cinta 
Menerangi jiwa dengan cahaya
7 huruf iya satu kata
Terima kasih wahai kau bintang
Yang tak kenal apa ertinya lelah
Hadir di saat ku pun merebah
Ketika dunia menghilang

7 huruf ...iya satu kata
7 huruf ...iya satu kata

Movie Review | Abah Saya, Uncle Mike (2025)

Wednesday, 27 August 2025


Rafei (Idan Aedan), anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari Rumah Raudhah apabila sering didera oleh Ustaz Shaari (Sobri Anuar). Setiap hari Rafie akan bekerja di pasar dan pulang ketika Subuh kemudian ke sekolah. Ada masanya aktiviti dia diketahui oleh warden dan dia akan dihukum dengan sebatan rotan berkali-kali hingga berbirat badannya.
 
Namun Rafie tak berputus asa bekerja untuk mencari duit buat adik-adiknya – Rasyid (Nur Merah) dan Rahman (Umar Shakur). Apatah lagi bila Ummi Nisa (Nadiya Nisaa) sudah berjumpa dengan calon keluarga angkat buat Rahman. Rafei pegang pada janji dia kepada kedua orang tuanya untuk tidak berpisah dan sentiasa jaga adik-adiknya. 


Malangnya Rafei dikurung dan dipisahkan dari Rasyid dan Rahman. Ummi Nisaa minta bantuan Mike untuk selamatkan Rafei dari Ustaz Shaari. Usaha murni Mike untuk selamatkan Rafei dipertikai oleh kekasihnya, Nancy (Pauline Tan) dan juga keluarganya sendiri. Mr. Tong (Chew Kin Wah) tak faham dengan tindakan Mike untuk menjaga Rafei, Rasyid dan Rahman kerana baginya anak lelakinya sentiasa culas dengan tanggungjawab sebagai anak. 

‘Kalau Uncle Mike senang terima kitorang, mesti senang juga nak buang kan?’ - Rafei


Filem sulung arahan dan penulisan Ezrie Gazali mengangkat kisah benar Uncle Mike mengambil tiga orang anak angkat Melayu dan beragama Islam, hidup bersama hingga mereka besar. Uncle Mike atau nama sebenarnya Michael Tong Wai Siong merupakan tokoh Maulidur Rasul tahun 2024 kerana jasanya tanpa sempadan agama dan bangsa. Kenapa Uncle Mike ambil keputusan untuk jaga Rafie, Rasyid dan Rahman? Entah. Yang pastinya rasa tanggungjawab tu kuat sangat bila tengok mereka bertiga. Dengan mudah dia setuju untuk besarkan dengan kasih sayang dan prihatin. 

Awalnya risau dengan lakonan Andy Teh bila dia berlakon back-to-back watak gangster dalam web series First Wives (2025) dan Blood Brothers (2025). Watak Uncle Mike adalah watak drama pertama yang dilakonkan oleh Andy tapi dia berjaya deliver watak dengan penghayatan yang tinggi dan emosi mendalam. Dari pandangan mata, bahasa badan dan cara dia bercakap jauh berbeza dengan watak Pablo atau Toa Seng. Tak hairan lah kalau Uncle Mike real life rasa macam diri dia yang ada dalam big screen. 


Selain Andy, Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur berjaya meninggalkan impak dan kesan mendalam sebagai Rafie, Rasyid dan Rahman dalam filem berdurasi 113 minit. Kebanyakan babak menggunakan close-up shot untuk reaksi watak utama, sesuai lah dengan genre drama yang dimasukkan. 

Chemistry dan dinamik tiga pelakon menghidupkan watak adik-beradik yang sentiasa hidup dalam ketakutan dan insecure dengan status mereka sebagai anak yatim. Menangis bila tengok Rahman menjerit minta tolong setiap kali Rafie kena pukul. Comel juga bila tengok Rahman bercerita tentang abang-abang dia. 

Setiap watak mempunyai cabaran masing-masing dalam filem Abah Saya Uncle Mike di mana Umar bergelut dengan anxiety attack yang dihidapi oleh Rahman, Iedan pula dirotan betul-betul untuk dapatkan rasa sakit didera. Merah pula diasingkan di set untuk wujudkan rasa sedih diabaikan oleh Rafei dan Rahman. 


Sinematografi dari Idham Mad Din menghidupkan suasana dan mood sunyi dan sedih seperti yang dituntut oleh beberapa situasi. Masa Rafei tidur atas katil baru, pertama kali di rumah Uncle Mike, rasa sunyi dan sedih menyelubungi ruang sebab dia tidur tanpa Rasyid dan Rahman. 

Babak Hari Raya pun antara babak yang emosi sebab Rafei pakai baju Melayu warna hijau, warna yang sama Rahman minta dia pakai dekat awal filem. Music score dari Andrew Bong menjadi sinergi pada visual language dalam filem Abah Saya Uncle Mike. 7 Huruf dari Teeya Nasution membuai dengan lirik yang menghargai jasa dan pengorbanan Uncle Mike juga Rafie. 


Walaupun filem Abah Saya Uncle Mike merupakan perjalanan yang menyentuh hati tentang pengorbanan dan kasih sayang Uncle Mike kepada Rafie, Rasyid dan Rahman tapi ada beberapa part yang I kurang gemar. Macam plot Rasyid jadi pencuri sedangkan plot ini cuma ditambah sebagai tekanan dan ketegangan pada naskhah. Dah lah fiksyen, kemudian consequences dari tindakan Rasyid tak setimpal dengan apa dia buat pun. Kalau penulis fokus pada penderaan Rumah Raudhah pun dah boleh hadirkan rasa sakit hati, geram dan emosi. 


Pacing filem abah Saya Uncle Mike perlahan tapi tak rasa draggy pun dan kebanyakan babak terutamanya perbualan Uncle Mike dengan Rafei terasa hangat dan menyentuh hati cuma I harap pengarah masukkan banyak lagi perbualan sesama watak utama. Dialog antara kekurangan Abah Saya Uncle Mike, sama ada monolog ataupun perbualan. A missed opportunity juga bila pengarah tak masukkan Uncle Mike, Rafei, Rasyid dan Rahman dalam filem Abah Saya Uncle Mike. Ingatkan dekat credit scene ada klip atau gambar-gambar mereka sekeluarga rupanya tak ada. 

Apapun tahniah kepada team production Abah Saya Uncle Mike yang berjaya hasilkan sebuah filem yang pamerkan perjalanan Uncle Mike bersama tiga orang anaknya. Bukan saja sebagai ihsan sesama manusia malah membangkitkan keharmonian walaupun berlainan agama. Tak ada masalah langsung untuk Uncle Mike tetap berpegang kepada kepercayaan dia dan dalam masa yang sama bawa orang yang arif untuk ajar anak-anak dia bab ilmu agama. 

Terima kasih pada Astro Shaw yang mengangkat kisah benar ke layar perak untuk tatapan dan penghayatan bersama. Filem Abah Saya Uncle Mike layak menjadi tontonan keluarga untuk Merdeka, Maulidur Rasul dan Hari Malaysia nanti. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 8.8/10