HAEL SIAPKAN LAGU ‘PENJUARA’ DALAM SEMINGGU! SEMANGAT FANBOY BUAT SEMUA JADI!

Tuesday, 3 June 2025


HAEL SIAPKAN LAGU ‘PENJUARA’ DALAM SEMINGGU! SEMANGAT FANBOY BUAT SEMUA JADI! | RUNUT BUNYI RASMI EJEN ALI THE MOVIE 2 YANG PENUH ADRENALIN DAN INSPIRASI UNTUK TERUS MARA

Penyanyi dan pencipta lagu popular, Hael Husaini tampil dengan single terbaharu bertajuk “Penjuara”, runut bunyi rasmi untuk filem animasi tempatan yang sedang hangat ditayangkan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2). Mengaku bahawa mereka juga peminat besar Ejen Ali, Hael bersama kolaborator kreatifnya, Iqie Hugh, dengan penuh semangat berjaya menghasilkan sebuah lagu dalam masa yang singkat, khas buat semua yang sedang berjuang mengejar impian.

Lagu tersebut turut dimuatkan dalam filem EATM2 untuk mengiringi babak penuh debaran di saat ejen-ejen MATA sedang giat menyamar untuk memburu antagonis Neonimus, yang berniat mengadakan kekacauan besar. Sempena tayangan EATM2 yang sedang berlangsung di musim cuti sekolah kini, video lirik “Penjuara” juga telah dimuat naik di saluran YouTube rasmi Ejen Ali pada hari Jumaat lalu. Video tersebut mencatat hampir 55,000 tontonan setakat ini, dan menerima pelbagai respon positif dari penonton yang memuji keserasian alunan muzik yang rancak serta penulisan lirik lagu Hael dan Iqie dalam mood dan vibe dunia perisikan futuristik Ejen Ali.


“Penjuara” mengangkat tema optimisme dan jiwa yang tidak pernah luntur. Menerusi lirik padu dan melodi catchy berentak electro pop, lagu ini membawa mesej bahawa setiap individu mampu menjadi “penjuara” dalam hidup mereka sebagai seorang wira yang tidak gentar menghadapi cabaran dengan ‘lari’ ke hadapan. 

Keunikan lagu ini terletak pada susunan muziknya yang membangkitkan adrenalin, membawa pendengar menyelusuri sebuah perjalanan penuh iltizam dan keberanian. Lirik pembukanya “La la lari ku lari” melambangkan permulaan sebuah perjalanan yang penuh persoalan dan ketidakpastian. Namun chorusnya berubah menjadi laungan, membakar tekad untuk terus melangkah tanpa henti — “Selagi ku masih di sini, akan ku terus berlari.”

Proses rakaman lagu ini hanya mengambil masa sehari, manakala keseluruhan penghasilan siap dalam tempoh seminggu. Hael berkongsi, “Masa yang terhad bukan penghalang sebab kami memang peminat Ejen Ali. Lagu ini direka berdasarkan penceritaan filem dan mempunyai maksud tersendiri.”

Beliau turut menyifatkan peluang mencipta lagu untuk filem ini sebagai satu pencapaian besar buat dirinya dan Iqie Hugh. “Ini antara peluang terbesar buat kami, dan kami sangat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Membuat lagu untuk dunia Ejen Ali bukan sahaja satu cabaran, malah satu aspirasi yang jadi kenyataan.”

Menariknya, peminat juga berpeluang untuk menonton EATM2 dan beramah mesra bersama Hael serta maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia di sebuah sesi tayangan istimewa yang akan berlangsung di GSC MyTown Shopping Centre pada hari Rabu, 4 Jun 2025, jam 8.30 malam. Tiket yang berharga RM35 boleh dibeli sekarang di laman sesawang GSC, dan dipakejkan bersama barangan eksklusif Ejen Ali.

Merupakan hasil kerjasama antara Alternate Records dan Rocketfuel Entertainment, “Penjuara” kini tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Audio lagu ini yang digunakan dalam pelbagai hantaran video di TikTok turut mencatat 500,000 tontonan  dalam masa seminggu selepas dilancarkan.


Sama ada anda peminat Ejen Ali atau seorang pejuang impian dalam dunia nyata, “Penjuara” ialah lagu yang akan menyuntik semangat anda untuk terus mara tanpa henti. Dengarkan sekarang!

Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

EJEN ALI THE MOVIE 2  RAIH RM34.2 JUTA, PECAH REKOD FILEM PERTAMA! | Sah Filem Pilihan Keluarga Cuti Sekolah Ini

Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini secara rasmi mencipta sejarah apabila berjaya mencatat kutipan melebihi RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari, sekali gus memecahkan rekod kutipan filem pertamanya. Pencapaian ini turut menjadikan EATM2 filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa yang paling singkat!

Lebih membanggakan, EATM2 juga berjaya mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa yang ditayangkan pada bulan Mei 2025 seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch, sekaligus membuktikan kehebatan karya tempatan yang menerima saingan sengit di layar perak. 


Setakat ini, lebih 2 juta penonton telah melaporkan diri untuk menyaksikan EATM2. Pencapaian memberangsangkan ini dipacu oleh kehadiran luar biasa penonton di pawagam, menjadikan EATM2 sebagai filem pilihan utama seisi keluarga sepanjang musim cuti sekolah yang bermula 29 Mei lalu. Ramai penonton berkongsi  bahawa mereka telah menonton filem ini lebih daripada sekali, dan teruja mengajak ahli keluarga lain untuk turut serta menjadikannya aktiviti beriadah bersama di musim cuti!

Kejayaan ini turut mencerminkan perkembangan positif dalam penerimaan filem animasi tempatan yang dilihat semakin mendapat tempat di hati khalayak umum. Pengarah filem, Encik Usamah Zaid Yasin berkata, “Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi Ejen Ali, bukan sahaja untuk membawa animasi Malaysia bersaing setaraf dengan naskhah antarabangsa. Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan amat menggalakkan kami untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali. Buat para ejen yang sudah berulang kali menonton, terima kasih kerana terus menyokong EATM2 di pawagam.”

Sementara itu, Puan Nini Yusof, Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios turut berkongsi rasa syukur terhadap rekod baharu yang dicapai.  “Kami sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan kepada Ejen Ali The Movie 2. Kutipan RM34.2 juta ini bukan sekadar satu angka, ia adalah simbol keyakinan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi animasi dan usaha tenaga kerja tempatan. Terima kasih kerana terus mempercayai misi Ejen Ali.” 

Diharapkan sambutan hangat daripada peminat filem tempatan akan berterusan, agar EATM2 terus melakar sejarah di layar perak.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut luangkan masa bersama anak-anak menonton Ejen Ali The Movie 2! 


Filem Ejen Ali The Movie 2 terus mencuri perhatian pelbagai lapisan penonton, termasuk biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menonton bersama anaknya, Afwa dan Aafiyah. Beliau memuji mesej positif yang diketengahkan dalam hantarannya di platform TikTok, “Bawak Afwa & Aafiyah menonton Ejen Ali… #EjenAliTheMovie2. Bagi saya movie Ejen Ali banyak mesej positif yang ditampilkan, mengajar anak kita tentang disiplin, keberanian dan keyakinan diri. Parents bolehlah bawa seisi keluarga menonton bersama di musim cuti sekolah ni!”

EATM2 kini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Bagi yang belum menyaksikannya, inilah masanya untuk menjadi sebahagian daripada fenomena animasi terbesar Malaysia!


Perhatian Ejens, khususnya ibu bapa!

Misi cuti sekolah kini bermula — jangan lepaskan peluang untuk menghabiskan masa berkualiti bersama insan tersayang! Pawagam-pawagam kini sudah mula dipenuhi, lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai aktiviti tambahan seperti pertandingan mewarna, penampilan maskot serta koleksi barangan terhad di lokasi terpilih. Jadi pastikan anda tidak ketinggalan! Bawa anak anda ke pawagam terdekat dan alami sendiri keseronokan serta pengajaran bermakna yang dibawa oleh filem ini.

Satria, Bangkit - Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif, dan kemas kini di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios Film.

Gunakan #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!

****************************

Mengenai Ejen Ali the Movie 2
Di bandar futuristik Cyberaya, “Ejen Ali the Movie 2” mengisahkan seorang budak lelaki yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia  oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai yang dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaru MATA. Semasa Ali bergelut dengan tanggungjawab barunya untuk menguasai Satria, dia harus menerima keputusan MATA untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, IRIS. Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap MATA, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya.

Sejak tayangannya di saluran televisyen Malaysia, TV3, pada tahun 2016, “Ejen Ali” telah disiarkan dan distrim di lebih 65 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Utara, benua India, serta Amerika Utara. Dua musim pertama siri ini diikuti  dengan “Ejen Ali The Movie” pada November 2019, yang meraih kutipan box-office yang mengagumkan sebanyak RM30 juta (USD8 juta) di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia, menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di 

Malaysia setakat ini. Bahagian terbaru, “Ejen Ali Season 3”, juga memegang gelaran sebagai harta intelek animasi Malaysia pertama yang diterbitkan bersama Disney+ Hotstar Asia Tenggara, dan pertama kali dilancarkan secara eksklusif di perkhidmatan penstriman tersebut pada Jun 2022.

Mengenai Primeworks Studios
Primeworks Studios adalah syarikat pengeluaran terkemuka di Asia Tenggara yang terlibat dalam perniagaan kandungan kreatif di setiap aspek rantaian media dalam pengeluaran TV dan filem, jualan kandungan, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, kandungan berjenama, serta pelesenan dan peruncitan. Ia adalah syarikat kandungan yang memenangi pelbagai anugerah dan menghasilkan lebih daripada 3,000 jam kandungan menarik setiap tahun untuk pelbagai platform, termasuk televisyen, pawagam, dan digital. Rumah produksi ini adalah tenaga kreatif di sebalik pelbagai genre kandungan termasuk hiburan, animasi, majalah, dokumentari, sukan, dan drama.

Mengenai WAU Animation
WAU Animation adalah sebuah studio animasi CG yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif dengan pengalaman hingga 17 tahun dalam menghasilkan siri animasi CG dan filem cereka yang memenangi pelbagai anugerah. Di tengah-tengah WAU Animation adalah keinginan untuk mencipta animasi yang dapat menyentuh hati penonton. Kami bercita-cita untuk menceritakan kisah-kisah yang menakjubkan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna dan memberi inspirasi, sambil pada masa yang sama disuntik dengan elemen tempatan, kerana kami percaya kuat dalam menampilkan identiti Malaysia yang unik.

Persaingan minggu keenam Big Stage Alpha menyaksikan Afiq Sky (67.55%) menerima Imuniti X daripada Datuk Syafinaz Selamat, sekali gus menyelamatkannya daripada penyingkiran. Ini menjadikan Allan Andersn (57.70%) dan Awienit (59.05%), yang turut berada dalam kelompok tiga terbawah, sebagai peserta yang tersingkir minggu ini. 

Bertemakan Rendisi EH, para peserta mempersembahkan lagu-lagu pilihan juri Edry Abdul Halim dan Hael Husaini dengan interpretasi tersendiri. Persembahan bertenaga Ariel Fesol dengan lagu Yank nyanyian asal Wali Band dalam susunan rock berjaya meletakkannya di tangga teratas dengan markah 83.30%, diikuti Izat Ibrahim (81.70%) dan Ray-D (80.60%). 

Minggu suku akhir ini turut menampilkan penyanyi MimiFly sebagai juri jemputan. Jangan ketinggalan menyaksikan Big Stage Alpha setiap minggu di Astro Ria (Saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.

SENARAI LAGU

Alpha Ultra: Fantastic Baby - Big Bang

Alpha Prime: Crooked - G-Dragon

Izat Ibrahim: Kasih Berubah - Ferhad (81.70%)

Ray-D: Dari Mata - Jaz (80.60%)

Araff: Sampai Mati - Hazama (78.30%)

Arief Fesol: Yank - Wali Band (83.30%)

Rizal Rasid: Apa Saja - KRU (78.00%)

Afiq Sky: Noktah Cinta - Hafiz Suip (67.55%)

Awienit: Rumah Singgah - Fabio Asher (59.05%)

Daniel Sher: Bukan Lagi Kita - Nadeera (78.55%)

Allan Andersn: Sumpah dan Cinta Matiku - NIDJI (57.70)

INFO PROGRAM BIG STAGE ALPHA

• Buat julung kalinya, Big Stage Alpha tampil dengan format all-male spin-off, menampilkan 18 bintang lelaki yang akan bersaing untuk merebut peluang eksklusif menjadi sebahagian daripada “boy group” (kumpulan lelaki) pertama yang bakal debut di bawah naungan Astro, ditentukan melalui gabungan markah juri dan undian peminat.

• Peserta-peserta ini yang berusia antara 18 hingga 37 tahun, datang daripada pelbagai latar belakang termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia.

• Setiap minggu, mereka akan diuji hingga ke had maksimum melalui persembahan solo dan misi berkumpulan berdasarkan tema yang diberi. Juri akan memberikan markah, namun undian peminat yang akan menentukan siapa yang layak ke peringkat akhir.

• 6 finalis akan membentuk sebuah ‘boy group’ (kumpulan lelaki) yang akan membuat kemunculan dibawah naungan Rocketfuel bersama Astro.

• Big Stage Alpha lebih wangi dengan Perfume Paradise yang hadir selaku Penaja Utama, dan juga ZUS Ngupi selaku Kopi Rasmi sepanjang musim ini dijalankan.

• Musim baharu ini turut berkolaborasi bersama Astro Gempak selaku Rakan Digital dan ERA sebagai Rakan Radio Rasmi.

Blog Performance May 2025

 

Bulan Jun dah menjelma, dah mencecah setengah tahun 2025 dah. Tak sempat nak buat apa sangat pun know know finish dah bulan Mei. 

1. PV


Walaupun all time pageviews dah mencecah 7 juta, satu lagi angka juta berjaya dicapai tapi pageviews bulanan jatuh sikit berbanding bulan April 2025. Ingatkan boleh naik banyak bulan ni tapi tak sempat nak buat apa sangat sebab banyak cuti. Bila banyak cuti, banyak lah aktivitinya. Tak sempat nak update sangat pun. 

2. Post


Masa weekend je sempat update few reviews supaya tak tenggelam dalam press release yang aktif setiap hari. Popular Post untuk bulan Mei tak banyak yang mencecah 1k views, mungkin sebab tak banyak movie baru atau trending. Tak banyak attend event atau screening pun bulan lepas sebab jauh so I tolak dekat orang lain je. Bila tolak dekat orang lain macam mana nak buat review kan? Hopefully bulan Jun boleh tambah views. Macam mana tu tak pasti hshshs

3. Keywords


Like I said in previous month or way before that, orang dekat Malaysia ni memang bergantung teruk dengan Netflix so kalau drama dah terbit lama tapi baru ditayangkan dekat Netflix confirm naik dan trending macam drama Rampas Cintaku 2. Keywords yang paling tinggi untuk bulan Mei diungguli oleh drama ni. 

No wonder lah sekarang Astro dan Media Prima berlumba-lumba masukkan drama diorang dekat Netflix. I lah yang seronok sebab boleh layan dekat situ dengan speed 1.5x. Dekat Netflix je yang ada kelebihan ni sebab tu lah stay. iQiyi ada jugak tapi cerita dia tak best sangat. 

4. Bilangan Entri


Bulan Mei ada banyak press release untuk Ejen Ali, hampir setiap hari ada update dari Media Prima so setiap hari juga lah I update blog dengan press release. Tak hairan pun kalau 40 entri ialah press release sementara lagi 20 entri tu dari I sendiri. I tak lah berapa gemar sangat tapi buat sementara waktu ni hadap je lah sebelum jumpa masa yang senggang untuk banyakkan personal content. 

Dengar cerita varian baru Covid dah mula menyerang terutamanya di Thailand so be safe ye everyone. Kalau ke tempat sesak pakailah face mask dan sanitize tangan. 

NIDJI KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK MISI CUTI SEKOLAH BERSAMA EJEN ALI

Saturday, 31 May 2025


NIDJI KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK MISI CUTI SEKOLAH BERSAMA EJEN ALI | Nidjiholics & Ejen Ali Fans, Inilah Masanya!

Kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Nidji, kembali semula ke Malaysia dengan misi hiburan yang penuh semangat bersempena tayangan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2). Selepas kejayaan lagu tema ‘Teman Sejati’ yang kini semakin mendapat tempat di hati peminat, kehadiran Nidji ke Malaysia bakal mempertemukan mereka secara langsung dengan peminat setia – bukan sahaja dari kalangan Nidjiholics, tetapi juga pencinta dunia Ejen Ali.


Menerusi aktiviti Ejen Ali Nonton Bareng with Nidjiholics, peminat berpeluang bertemu dengan ahli kumpulan Nidji sambil menyaksikan tayangan filem EATM2 pada 1 Jun ini. Di GSC IOI City Mall Putrajaya (WEST), sesi Meet & Greet bersama Nidji serta maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia akan berlangsung selepas slot tayangan pada jam 2:25 petang dan 2:45 petang tamat. Manakala di GSC One Utama, Nidji akan hadir untuk berjumpa dengan peminat pada jam 9:00 malam, diikuti dengan menonton tayangan bersama peminat pada jam 9:15 malam. Dengan harga tiket RM35, penonton bukan sahaja dapat menikmati filem animasi ini, malah turut menerima barangan rasmi eksklusif Ejen Ali. Tiket boleh didapati di GSC dan acara ini dijangka menjadi antara tarikan utama sempena musim cuti sekolah, memperkukuh jalinan antara muzik, filem dan peminat.

Selain itu, Nidji akan turut membuat penampilan khas di TGV Central i-City, Shah Alam pada 3 Jun menerusi sesi lawatan ke empat dewan tayangan selepas slot tayangan pada jam 12:30 tengah hari, 12:45 tengah hari, 1:00 petang dan 1:15 petang tamat. Setiap sesi menawarkan suasana yang lebih dekat dan mesra. Penonton juga boleh merasai keterujaan bergambar bersama barisan artis serta maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia, selain peluang memenangi barangan eksklusif filem. 


Sebagai pelengkap kehadiran mereka di Malaysia, Nidji akan tampil dalam program eksklusif Melodi Showcase: Nidji x EATM2 Music Tour yang menghidupkan kembali magis lagu-lagu hits mereka, yang pasti membangkitkan nostalgia dan semangat. Rancangan eksklusif ini akan disiarkan di TV3 pada bulan Jun sebagai salah satu sajian khas sempena sambutan ulang tahun TV3 ke-41, menambahkan lagi kemeriahan barisan program yang diraikan bersama penonton setia.

Kolaborasi antara Nidji dan Ejen Ali menerusi lagu ‘Teman Sejati’ telah mendapat pujian ramai kerana gabungan elemen lirik yang memberi inspirasi, melodi segar serta keserasian dengan tema persahabatan dalam filem. Dengan irama pop yang mesra telinga dan lirik yang menyentuh perasaan, lagu ini menjadi anthem kepada ikatan tulus yang menyatukan para ejen dalam menghadapi cabaran besar, serta membawa maksud mendalam tentang erti sebuah persahabatan. 


Satria, Bangkit - Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi!
Dapatkan tiket anda sekarang dan jadikan cuti sekolah ini penuh dengan kenangan istimewa bersama keluarga. Bertindak segera!

Gunakan #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #EjenAli #Letsplay #AniMY #SapotLokal #SaluteAnimatorTempatan untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!

Movie Review | Chhaava (2025)


Director: Laxman Utekar
Writers: Laxman Utekar, Rishi Virmani, Kaustubh Savarkar, Unman Bankar, Omkar Mahajan
Cast: Vicky Kaushal, Akshaye Khanna, Rashmika Mandanna
Production Company: Maddock Films 
Distributors: Pen Marudhar (India), Yash Raj Films (international), Netflix
Genre: History / Action
Running Time: 161 minutes
Release Date: 14 February 2025
Trailer:


Diadaptasikan dari novel Marathi berjudul Chhaava karya nukilan Shivaji Sawant mengisahkan tentang Chhatrapati Sambhaji Maharaj (Vicky Kaushal) sebagai raja kepada Kerajaan Maratha pada kurun ke 16. Pemerintahannya berperang dengan Empayar Mughal yang diketuai oleh Aurangzeb (Akshaye Khanna). 

Setelah menang dalam perang di Burhanpur, salah satu kawasan sub-urban dalam Empayar Mughal, Sambhaji Maharaj pulang ke istana disambut oleh isterinya, Yesubai Bhonsale (Rashmika Mandanna). Tak lama kemudian Sambhaji terpaksa bersedia sekali lagi untuk berperang dengan tentera Mughal yang ingin membalas dendam lalu berjaya menangkap Sambhaji dan bawa ke pangkalan utama mereka. 


Naskhah Chhaava arahan Laxman Utekar yang terkenal dengan filem Zara Hatke Zara Bachke (2023), Mimi (2021) dan Luka Chuppi (2019) membawakan kisah Kerajaan Maratha setelah sekian lama tidak diterbitkan oleh Bollywood selepas filem Bajirao Mastani (2015), Panipat (2019) atau Tanhaji (2020). 

Dalam filem Chhaava tak banyak dapat diperjelaskan dengan mendalam kerana pada ketika itu sendiri terdapat banyak konflik dalaman yang berlaku pada kedua-dua belah pihak. Sementara Maharaja Sambhaji bergelut dengan pengkhianatan saudara sendiri, Aurangzeb pula malu dengan kelemahan anak tunggalnya, Putera Muhammad Akbar (Neil Bhoopalam).


Jalan cerita yang mudah difahami dengan pace yang sederhana digunakan untuk cover few events yang terjadi sebelum, semasa dan selepas Pertempuran Burhanpur pada ketika itu. Banyak watak sampingan dimasukkan tapi penulis tak kenalkan dengan baik so I just layan tanpa memorize atau connect dengan semua watak sampingan kecuali Maharaja Sambhaji dan Aurangzeb. Padahal watak Santaji (Ankit Anil Sharma), Dhanaji (Shubhankar Ekbote) atau Hambirrao (Ashutosh Rana) antara watak penting yang akan membantu elemen dramatik yang dialami oleh Sambhaji selepas perang. 

Sinematografi Saurabh Goswami yang pernah bekerja bersama Maddock Films dalam filem Munjya (2024) mendukung visi Laxman Utekar untuk menghidupkan Kerajaan Maratha yang berani dan perkasa. Penggunaan CGI mengukuhkan lagi landskap Kerajaan Maratha dan Empayar Mughal yang mewah dengan budaya masing-masing. Costume department did justice to each character dalam Chhaava dan mengikut sama seperti apa yang dipakai oleh masyarakat pada era tersebut.  


Lakonan Vicky Kaushal bersinar dengan cemerlang sebagai raja gagah perkasa yang rela berkorban untuk menjaga rakyatnya. Watak Sambhaji yang dibawakan oleh Vicky Kaushal terlihat seperti wira yang digeruni oleh rakyat juga musuh di luar kerana fizikal badannya yang tegap dan sasa. Walaupun Aurangzeb antara raja yang digeruni pada era tersebut tapi saingannya juga tak kurang hebat. Dialogue delivery Vicky buatkan rasa terpengaruh setiap kali dia bercakap atau laung mantra Hindu. 

Dalam filem Chhaava mungkin pengarah sengaja tone down watak Aurangzeb kerana ingin mengangkat raja yang mempertahankan agama Hindu di tanah India. Selepas Aurangzeb mangkat baru lah Kerajaan Marathi naik sebagai Kerajaan yang kuat sepertimana diceritakan dalam filem-filem sejarah yang lain. 


Kelemahan filem Chhaava terletak pada music score dari music maestro A.R. Rahman. Walaupun ada beberapa lagu yang meninggalkan impak seperti Jaane Tu untuk menguatkan kisah cinta Sambhaji dan Yesubai namun lagu Aaya Re Toofan yang dinyanyikan sendiri oleh A.R. Rahman kurang memberi kesan kerana suara dia yang soft. Patutnya guna penyanyi bersuara besar dan dalam macam BPraak atau Sachet.



Kurang berkenan sebenarnya dengan Rashmika Mandanna sebab screen presence dia tak lah kuat mana. Walaupun banyak kali dapat solo screentime tapi chemistry dia dengan Vicky kurang menjadi. Babak dia tangkap tali barut dalam istana nampak terpaksa sangat untuk dapatkan emosi marah tu. Patunya biar Diana Penty yang lakonkan watak Yesubai dan bagi Aditi Rao Hydari untuk watak Zinat-un-Nissa Begum, anak perempuan Aurangzeb. 

Apapun Chhaava boleh dilayan untuk yang minat dengan sejarah pertarungan antara Hindu dan Islam pada kurun ke-16 di Netflix. Walaupun ada genre action tapi pertarungan dia more to masala so a bit mehh for me. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.6, 3. Audio +0.5, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.5 = 5/10

Movie Review | Almarhum (2025)

Friday, 30 May 2025


Pengarah: Adhe Dharmastriya   
Penulis Skrip: Evelyn Afnilia
Pelakon: Ratu Sofya, Dimas Aditya, Rukman Rosadi, Nova Eliza, Alzi Markers
Syarikat Produksi:  Unlimited Production, A&Z Films
Pengedar: GSC Movies (Malaysia) 
Genre: Seram
Durasi Tayangan: 103 minit
Tarikh Tayangan: 9 Januari 2025
Trailer:


Menjadi kepercayaan kepada masyarakat Jawa di mana orang yang meninggal pada hari Selasa Kliwon akan dianggap sesuatu yang sial. Roh almarhum akan kembali menghantui ahli keluarganya supaya dapat dibawa bersama ke alam barzakh. 

Begitulah yang terjadi kepada keluarga Pak Mulwanto (Rukman Rosadi) setelah ketua keluarga meninggal akibat terkena renjatan elektrik dalam kamar mandi. Pak Mulwanto merupakan pemilik tanah ladang di kampung tersebut. Walaupun hidup selesa dan anak-anak berjaya dalam kehidupan namun Pak Mulwanto seorang yang rendah diri dan sentiasa menjaga kebajikan para pekerja. 


Terkesan dengan kehilangan suaminya, Bu Rahmi (Nova Eliza) menjadi kemurungan dan bertindak aneh. Anak bongsunya, Yanda (Alzi Markers) percaya dengan saranan Pak Budi (Gito Gilas) supaya melakukan ritual ketika menghantar jenazah Pak Mulwanto ke kubur. Walaupun perbuatan tersebut tidak disetujui oleh abangnya, Wisesa (Dimas Aditya), namun tidak juga dia menghalang adat setempat. 

Sama seperti Pak Mulwanto, Bu Rahmi juga merasa sejuk hingga menggigil kedinginan walaupun pada hari siang. Malam pula dia akan diganggu oleh roh Pak Mulwanto yang ingin mengajak dia ke alam sana. Melihat kelakuan ibunya, Yanda semakin yakin dengan cadangan Pak Budi lalu memujuk kakaknya, Nuri (Safira Ratu Sofya) ke rumah Mbah Sukma (Ruth Marini)


Naskhah seram Almarhum arahan Adhe Dharmastriya menggunakan kepercayaan masyarakat Jawa sebagai asas penceritaan. Selalunya bila layan filem seram Indonesia, akan diceritakan tentang malam Jumaat Kliwon tapi kali ini diceritakan tentang Selasa Kliwon. Kenapa dianggap begitu tidak pula dijelaskan oleh Evelyn Afnilia sebagai penulis. 

Vibe filem Almarhum terbitan Unlimited Production dan A&Z Films lebih kurang sama dengan franchise Final Destination. Pengarah tease sedikit demi sedikit sebelum beberapa watak dibunuh oleh roh Pak Mulwanto. Bila tengok first half filem Almarhum ni boleh nampak betapa sialnya meninggal pada Selasa Kliwon sampaikan roh orang yang baik boleh bertukar jadi jahat. 


Tapi bila masuk second half dah boleh nampak ada sesuatu yang tak kena dengan cara kematian setiap watak. Simptom yang sama dialami oleh beberapa watak tersebut tambah pula watak Ajeng (Meisya Amira) yang mencurigakan. Bila tengok Wisesa pandang ubat dengan pelik, makin bertambah curiga dengan watak Ajeng. 

Sinematografi oleh Guntur Arief Saputra menggunakan suasana kampung yang seram dan sunyi. Rumah kediaman Pak Mulwanto sebenarnya luas dan cantik tapi disebabkan jadi lokasi filem seram, sekaligus bertukar ngeri. Filem Almarhum tampak seperti dibikin dalam bajet yang rendah sebab tak banyak props digunakan untuk menghidupkan latar kekeluargaan Pak Mulwanto. But still the aesthetic speaks volume in most of the scenes. 


Kalau lemah semangat better jangan layan filem Almarhum sebab jumpscares dia banyak, cara kematian pun ngeri dan gore seakan-akan Final Destination. Ada babak yang takut sampai terpaksa pejam mata sebab tak nak tengok kemunculan pocong. Nanti tak boleh tidur sebab terbayang-bayang muka pocong. 

Jalan cerita Almarhum mudah difahami sebab bersifat straightforward dan predictable cuma watak antagonis memang menyakitkan hati. Nak terlihat mangsa padahal sendiri malas nak berusaha dalam hidup dan mengaharapkan simpati orang. Bila tak dapat apa yang dia nak, aniaya orang pula. 


Daripada masukkan flashback, ada eloknya kembangkan lagi watak Wisesa berbalah dengan Yanda tentang logik dan kepercayaan karut sebab durasi filem ni tak lah panjang mana sampai kita boleh terlupa apa yang terjadi pada first half. 

Tengok ending macam akan ada sekuel sebab ada beberapa pertanyaan yang tak dijawab dan pertanyaan tersebut juga membuka ruang untuk plot yang baru. Tapi tengok pada penerimaan audience, rasanya kita boleh karang sendiri jawapan untuk pertanyaan-pertanyaan tersebut.

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +0.8, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.6, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.8, 10. Personal Thought +0.5 = 6.7/10

Pengarah: Zamri Zakaria
Penulis Skrip: Amin Shakib, Eja Lorena, Siti Solehah Abdul Ghani, Zarihah Hassan, Shida Zali
Pelakon: Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Syarul Ezani, Siti Elizad, Raden Zaharatul, Dayang Areeda, Apich Lo, Farahdhiya, Datuk Jalaluddin Hassan, Jasper Supayah, Nasir Jani, Farhan Asri, Zarynn Min
Syarikat Produksi: Orangetree Production Sdn Bhd 
Penyiaran: TV3 (Lestary), Tonton, Netflix
Genre: Drama 
Jumlah Episod: 15 Episod (42 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 24 Ogos 2024 – 27 September 2024
Trailer: 


Datin Azizah (Fauziah Dato’ Ahmad Daud), pemilik Bayu Textile merupakan seorang yang dominan. Hampir kesemua urusan rumahtangga, keluarga dan syarikat diuruskan oleh dirinya sendiri hingga menjadi idola ramai usahawan muda di luar sana termasuklah Emilia (Siti Elizad), pemilik Juwita Valet. 

Syarikat yang baru sering menjadi sebutan dalam industri tekstil lalu berjaya berdiri sama tinggi dengan Bayu Textile. Tanpa pengetahuan Datin Azizah, anak sulungnya, Amir (Syarul Ezani) bercinta dengan Emilia lalu berkahwin senyap-senyap kemudian pulang meminta restu kedua belah keluarga. 


Berang dengan perlakuan Amir yang membelakanginya juga berkahwin bersama pesaing Bayu Textile membuatkan Datin Azizah mencetuskan perang atanra mentua dan menantu. Pelbagai cara dilakukan supaya Emilia kalah dalam permainan tersebut. 

Naskhah Mentua arahan Zamri Zakaria mempunyai plot yang menarik di mana menggunakan tema yang sering ditakuti oleh setiap menantu perempuan. Barisan penulis pastinya curahkan semua tumpuan dan kreativiti kepada watak Datin Azizah untuk tampil sebagai watak yang narsistik sementara watak yang lain terlihat dangkal dan lemah. 


Tak ambil masa yang lama untuk suka dengan watak Datin Azizah walaupun production team cuba gambarkan Datin Azizah sebagai watak antagonis dalam naskhah bersiri sepanjang 15 episod. Lihat saja watak Amir dan Emilia yang mencuri perhatian netizen dengan lamaran di luar syarikat Juwita Valet sehingga viral kemudiannya tanpa perkenalkan Emilia kepada keluarga dengan baik, Amir bawa Emilia berkahwin tanpa pengetahuan. 

Watak Sofea (Hanna Aqeela) yang dibawa masuk untuk runtuhkan perkahwinan Emilia pun tak lah susah sangat kerja dia bila Amir sendiri tak bertegas dengan pekerja. Tugas Sofea cuma perlu ajak Amir temankan dia makan sampai terlupa isteri dah sediakan makanan di rumah. Amir sendiri gagal buat kerja dengan baik sampai hilang tender kepada Juwita Valet. Kalau jadi Datin Azizah, memang mengamuk lah tengok syarikat semakin rugi. 


Bukan salah Datin Azizah atau Sofea pun bila Amir tak jalankan kerja dengan baik sampai syarikat Bayu Textile menanggung rugi ditempelak oleh pelanggan akibat kualiti kain yang teruk. Bukan salah Datin Azizah kalau Amir sendiri tak apply leave padahal dah berjanji dengan isteri untuk pergi bercuti. Penulis cuba gambarkan Datin Azizah sebagai narsistik sedangkan apa yang dilakukan hanyalah kehidupan orang yang realistik. 

Ada masanya kata-kata Datin Azizah kedengaran bongkak tapi kalau anak-anak dia semuanya lemah, macam mana dia tak masuk campur? Make sense lah dia anggap Emilia sebagai pesaing sebab hasil kerja Juwita Valet bukan hebat mana pun. Ada babak Emilia kagum dengan rekaan eksklusif yang dikeluarkan oleh designer syarikat. I tengok pun tak berkenan, macam mana dia sebagai pengarah syarikat boleh puji rekaan baju kurung sebagai kemas dan cantik? Apa maksud dia dengan kemas? Warna kelam, rekaan lapuk tapi dia suka. 


Belum masuk lagi soalan dia tentang baju songket untuk majlis sanding. Memang patut kena kutuk dengan Datin Azizah sebab pertikaikan signifikan kain songket dengan perkahwinan di zaman moden. Betul lah kata Datin Azizah, kain songket relevan dari generasi lama sehingga generasi mendatang. Tak akan pernah lapuk warisan Melayu. 

Mungkin penulis patut buang babak Sherina (Raden Zaharatul) yang meroyan tak tentu hala dan tambahkan babak Emilia fight dengan Datin Azizah. Sebab watak Azim (Apich Lo), Lidya (Farahdhiya), Husin (Datuk Jalaluddin Hassan) atau Siti (Jasper Supayah) tersangatlah lemah sebagai watak sampingan. Protagonis yang ramai cuma untuk kuatkan teori yang watak Datin Azizah bukan narsistik seperti yang digambarkan. 


Beria tunggu Emilia nak lawan Datin Azizah tapi sebaliknya yang jadi bila Emilia menangis saja sampai ke hujung cerita. Tak nampak langsung 90% persamaan dengan Datin Azizah yang dikatakan. Setiap langkah yang diambil semuanya lemah dan dangkal. 

Suka tengok perbualan Datin Azizah dengan Pak Zain (Nasir Jani) sebab perbualan mereka berisi. Antara semua watak sampingan yang wujud di dalam rumah Datin Azizah, hanya Pak Zain yang hormat dan faham apa kehendak majikan dia. Masa dia menyembang tentang pelapis baru dapat insight baru yang garam bila dimakan banyak akan memudaratkan tuan badan. Nasihat yang berguna supaya Datin Azizah step down dan berehat sebab dia sendiri pun dah berusia. 


Tapi itulah, Amir dan Azim tu kalau boleh diharap, I tak rasa Datin Azizah nak sibuk dengan urusan pejabat. Kalau jadi Datin Azizah memang makan hati dengan perangai anak-anak sebab tak jaga hati dia langsung bila tahu Husin curang. Azim nampak depan mata ayah dia keluar dating dengan Lidya pun dia cakap tak ada perlunya untuk menyibuk urusan orang. 

Kesian dengan Datin Azizah sebab dapat anak macam tu. Sakit pun dia tak pergi jenguk padahal tak ada pun flashback untuk bagitahu apa dendam Azim dengan ibu dia. Kalau ada pun sebab ego dia jatuh lepas gagal buktikan kerjaya sebagai designer boleh pergi jauh. Tak faham kenapa freelance job dia tak pergi jauh sampai tak mampu bayar basic utilities. Lepastu nak emo bila isteri dia, Mimi (Dayang Areeda) suka ambil duit dari Datin Azizah. Dia patut bersyukur Mimi tu bersabar walaupun terpaksa tebalkan muka minta duit supaya boleh survive setiap bulan. 


Kalau ikutkan hati nak buat review setiap episod sebab setiap episod ada kedangkalan dan benda merapu yang anak dan menantu Datin Azizah buat tapi malas sebab tak ada masa satu hal, tak larat nak hadap drama ni lagi pun ye jugak. Apapun, I berjaya habiskan drama Mentua sebab watak Datin Azizah. 

1. Team Production +0.4, 2. Visual +0.8, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.4, 5. Casting +0.3, 6. Genre +0.3, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0.3  = 4.6/10

MISI: CUTI SEKOLAH HARI PERTAMA BERJAYA! | EJEN ALI THE MOVIE 2 PILIHAN UTAMA KELUARGA MUSIM CUTI INI!

Lebih 200,000 ejen telah ‘lapor diri’ ke pawagam pada hari pertama cuti sekolah semalam (29 Mei), satu permulaan yang cukup hebat untuk misi cuti sekolah kali ini! Dalam tempoh 8 hari tayangan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) telah mencecah kutipan sebanyak RM21.9 juta, sekali gus mencatat sambutan luar biasa daripada penonton di seluruh negara. Hari kelapan tayangan filem ini pula membawa jumlah keseluruhan penonton EATM2 di pawagam mencecah angka 1.4 juta orang. 

Suasana pawagam begitu meriah dengan semangat para peminat daripada pelbagai peringkat usia, terutamanya di kalangan penonton berkeluarga yang siap menempah tiket awal serta turut menyertai pelbagai aktiviti sampingan buat anak-anak yang disediakan di lokasi pawagam seperti sesi mewarna, sesi beramah mesra bersama maskot Ejen Ali dan juga penjualan barangan koleksi edisi terhad. 

Berdasarkan tinjauan di lokasi tayangan dan data pra-tempahan, Ejen Ali The Movie 2 hampir pasti kekal sebagai pilihan utama keluarga sepanjang musim cuti sekolah ini. Penuh dengan aksi mendebarkan, mesej bermakna serta kisah persahabatan dan pengorbanan yang menyentuh hati, filem ini bukan sekadar hiburan biasa. Ia merupakan pilihan tepat untuk ibu bapa yang ingin meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak melalui kandungan yang menyeronokkan dan penuh nilai.

Pawagam kini menjadi markas para ejens! Terima kasih atas sokongan luar biasa anda — teruskan misi bersama keluarga hujung minggu ini  — Cuti sekolah penuh aksi, penuh misi! 

Ejen Ali The Movie 2 — filem animasi untuk semua, dari kecil sampai besar! Gunakan #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!