Movie Review | Pemuja Syaitan (2026)

Sunday, 8 November 2026

 

Pengarah: Liyana Jasmay 
Penulis Skrip: Nadia Khan, Mamu Vies, Farah Bani  
Pelakon: Zul Ariffin, Alia Azizul, Elizabeth Tan, Nadhir Nasar, Ellya Azizi, Hakim Khan, Aaliyah Natasha, Marsha Biddulph, Aida Amron, Dhabita Auji, Yusuf Amin, Atoi Tohet    
Syarikat Produksi: Mermaid Studios, Suraya Filem, Skop Productions, KL Post   
Pengedar: Primeworks Studios 
Genre: Seram  
Durasi Tayangan:   minit
Tarikh Tayangan: 15 Oktober 2026    
Trailer:


Mengisahkan tentang sekumpulan bekas rakan sekolah yang berkumpul semula di sebuah pulau terpencil untuk mengenang kembali zaman persekolahan mereka sebelum memilih haluan masing-masing. Nazim (Nadhir Nasar) bawa kekasih baru dia, Amira (Aaliyah Natasha) sementara P (Aida Amron) bawa adik sepupunya, Halim (Hakim Khan) ke reunion tersebut. 

Mereka semua berjanji untuk buka semula tin kapsul yang menyimpan rahsia semua orang 4 tahun lagi tapi Anna (Ellyza Azizi) ajak mereka semua buka ketika reunion tersebut. Tak semena-mena Anna dirasuk dan muntah hitam. Selepas insiden aneh tersebut, mereka mula diganggu dengan pelbagai kejadian aneh dan misteri. 


Kesemua yang berlaku pada malam tersebut diceritakan semula oleh Katijah (Alia Azizul) kepada Inspektor Zul (Zul Ariffin) dalam usaha mencari semua yang hilang di pulau itu. Inspektor Zul minta pemandu bot untuk ambil dia semula pada jam 5 petang, satu tempoh masa yang cukup bagi dia untuk mencari semua mangsa juga motif insiden. 

Filem seram Pemuja Syaitan arahan sulung Liyana Jasmay menggunakan latar tempat yang terpencil dan menakutkan untuk genre seram. Bukan saja ada kawasan berpaya malah ada sebuah banglo usang untuk menguatkan lagi suasana seram. 


Dari perbualan sekumpulan remaja ni pun kita dah boleh nampak hubungan masing-masing tak lah akrab mana pun. Nazim dengan Katijah ada kisah cinta lama, Julie (Elizabeth Tan) pula ketara sebagai dominan dan pembuli didukung pula dengan watak P dan Marissa. Watak Anna dan Katijah lebih submisif yang diperlukan dalam mana-mana kumpulan pembuli.

Mudah untuk Inspektor Zul dapat motif tapi dia tetap kena hubungkan insiden yang terjadi. Dia masih perlukan Katijah bercerita tapi sayangnya cerita dia ada banyak lompong. Mungkin kelemahan pada skrip, mungkin juga kelemahan pada sutradara pengarah yang lebih agresif untuk wujudkan naskhah seram berserta slasher. 


Filem Pemuja Syaitan ada banyak watak yang terlibat tapi tak semua watak dikembangkan dengan baik untuk buat kita connect sekaligus rasa kasihan. Tak kisah lah watak utama atau watak sampingan, semuanya terlihat lemah. Kelemahan bakat barisan pelakon baru terserlah dengan ketara malah Nadhir Nasar nampak try hard dalam beberapa babak. Mungkin filem ini sudah dibikin lama tapi baru berjaya keluar. 

Penceritaan Pemuja Syaitan bersilih ganti antara latar masa sekarang dan latar masa sbeelumnya tapi perubahan tu bergerak cantik dan kreatif. Sayangnya pencahayaan yang gelap melampau mengganggu mood cerita. Hantu muncul tapi tak nampak apa. Saspens tu ada tapi tak mencengkam bila berselubung dalam gelap. Banyak sangat penggunaan close-up dalam filem Pemuja Syaitan sampai I rasa tak selesa untuk menonton hingga ke hujung filem. 


Kalau kecewa di separuh masa pertama filem, makin bertambah kecewa bila tengok separuh lagi hingga ke final act. Tak sepatutnya naskhah dari pengarah wanita wujudkan perspektif yang menjatuhkan wanita. 

Tak ada impak dan depth pada babak yang diambil dari celah kangkang pelakon wanita. Tak ada logiknya juga sekumpulan remaja wanita masuk dalam hutan berpakaian seksi tapi yang lelaki elok bertutup-litup. Babak di tandas agak memalukan juga sampai tertanya macam mana babak tu boleh lepas. 


Sebelum Pemuja Syaitan, dah pernah tengok projek arahan Liyana Jasmay jadi I tak letak expectation yang tinggi tapi bila ada nama Nadia Khan dan Mamu Vibes, I yakin penceritaan dia mungkin di tahap sederhana. Sayangnya, sangkaan tu meleset. 

1. Team Production +0.3, 2. Visual +0.5, 3. Audio +0.5, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.6, 6. Genre +0.2, 7. Themes +0.3, 8. Editing +0.4, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0.3 = 4/10

AINA ABDUL CURI PERHATIAN PEMINAT SEANTERO DUNIA, DIRAMAL TEMBUS TOP 3 EUROVISION ASIA 2026?

Friday, 6 November 2026

Malaysia antara pilihan Top 3? Itulah antara jangkaan yang mula disuarakan peminat menjelang Eurovision Song Contest Asia 2026, dengan Aina Abdul dilihat berpotensi membawa Malaysia ke kelompok tiga teratas pertandingan berkenaan.

Menerusi ruangan komen di media sosial rasmi Eurovision Asia, beberapa peminat meletakkan Malaysia dalam ramalan Top 3 bersama Filipina dan Vietnam, antaranya menerusi komen "Top 3 Results prediction: Malaysia, Philippines, Vietnam" dan “Malaysia, Philippines and Vietnam already in top 3”. Malah, ada juga yang menyuarakan keterujaan terhadap wakil negara menerusi komen, "Dang, Malaysia is cookin😮‍💨".



Selain ramalan peminat, kolaborasi Aina bersama penyanyi Australia, Delta Goodrem, turut mencuri perhatian menerusi perkongsian video di Instagram rasmi Eurovision Asia. Dalam video tersebut, Delta menyanyikan Bluest Sky sebelum Aina membalas dengan lagu Eclipse, yang pernah dipersembahkan Delta ketika mewakili Australia dalam Eurovision Song Contest 2026.

Kolaborasi itu meraih reaksi positif daripada peminat, termasuk "What a dream collab is this" dan "I am overwhelmed with the power vocals", dengan video berkenaan mencatatkan kira-kira 446,000 tontonan (setakat 5 November 2026), sekali gus menjadi video dengan jumlah tontonan tertinggi berbanding enam video peserta lain yang dikongsikan Eurovision Asia.

Dalam perkembangan sama, penyertaan Aina turut mencetuskan minat baharu dalam kalangan peminat luar negara terhadap karya-karya terdahulunya, dengan beberapa lagu lama penyanyi itu mula diteroka semula.

Aina bakal menutup barisan persembahan sebagai peserta ke-11 dan terakhir menerusi lagu Bluest Sky pada 14 November 2026 di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand, dalam edisi sulung Eurovision Song Contest Asia 2026.

Pemenang ditentukan menerusi undian awam dan markah daripada 11 juri kebangsaan, masing-masing menyumbang 50 peratus daripada keputusan keseluruhan. Undian dibuka semasa siaran langsung, dengan setiap pengguna di seluruh dunia menerima lapan undian percuma yang perlu diagihkan kepada sekurang-kurangnya tiga lagu. Pengguna juga boleh membeli sehingga 10 undian tambahan; bagaimanapun, penonton dari negara peserta tidak dibenarkan mengundi wakil negara masing-masing.

Malaysia, sudah bersediakah anda? Saksikan Eurovision Song Contest Asia 2026 secara langsung di TV3 atau strim menerusi Tonton pada 14 November 2026, jam 9.30 malam. 

Jangan lupa juga ikuti rapat perkembangan dan perjalanan Aina Abdul menjelang pertandingan menerusi liputan eksklusif Melodi dan TV3.

Maka Kami #MalaysiaBersamaAinaAbdul

Kuala Lumpur, 5 November 2026 – Apabila takdir mendesak penyatuan dua jiwa yang berbeza, mampukah sebuah ikatan bertahan menempuh badai penghendap yang obsesif? Tertulis Kita Sampai Syurga, sebuah drama bersiri 28 episod yang sarat dengan konflik jiwa, ketabahan dan ujian kasih sayang, bakal menemui penonton bermula 9 November ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam menerusi slot Akasia di TV3.

Menampilkan gandingan mantap Shukri Yahaya (Luthfi Hakimi), Qistina Khaled (Arya Darlina) dan Ramona Zamzam (Fiona) sebagai teraju utama serta turut dibantu oleh barisan pelakon yang bersama menjayakan drama ini seperti Auni Yusri (Shaza), Muhsin Nadzli (Naufal), Emily Elizabeth (Mel), Hafeez Mikael (Firdaus), Rahim Jailani (Tuan Zahir), Ainina Ahmad B (Puan Dahlia), Adik Adra Azzahra (Aesya), Adik Maya Fathia (Aura) dan Raff Roslee (Rizal). Drama ini mengisahkan perjalanan seorang gadis remaja yang sosial dan sering memberontak terpaksa menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai isteri dan ibu, di samping berdepan pelbagai cabaran yang menguji ketabahan dirinya. 

Tertulis Kita Sampai Syurga mengisahkan Arya Darlina (Qistina Khaled), terpaksa menerima perkahwinan aturan keluarga bersama Luthfi Hakimi (Shukri Yahaya), seorang bapa tunggal yang tegas. Hubungan mereka yang pada awalnya dingin mula bertukar menjadi sayang apabila Luthfi menyelamatkan Arya daripada gangguan seorang rakannya sendiri yang obses terhadap dirinya. Namun, kebahagiaan yang mula dibina tidak bertahan lama apabila hubungan mereka digugat oleh kecemburuan Shaza (Auni Yusri), sepupu Arya, serta dendam  Fiona (Ramona Zamzam), bekas isteri Luthfi. 

Konflik yang semakin meruncing akhirnya membawa kepada sebuah tragedi yang berpunca daripada Fiona mengancam kehidupan keluarga baharu itu. Dihimpit kesedihan dan rasa bersalah, Arya dan Luthfi terpaksa berdepan ujian yang menguji kekuatan ikatan mereka. Mampukah cinta yang menyatukan mereka menjadi kekuatan untuk bangkit semula dan mencari kedamaian selepas segala yang berlaku?

Mengulas mengenai penglibatannya dalam drama ini, Qistina Khaled berkongsi bahawa watak dibawanya iaitu Arya Darlina membawa cabaran emosi yang sangat mendalam buat dirinya. "Watak Arya adalah satu perjalanan jiwa yang sangat mencabar. Daripada seorang gadis sosial yang berjiwa pemberontak, dia terpaksa belajar memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, sebelum terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan serta trauma yang menguji kekuatan minda dan fizikalnya. Saya berharap penonton dapat merasai penderitaan, keberanian, dan perjuangan Arya dalam mempertahankan keluarga baharunya," katanya.

Bukan sekadar drama melayu biasa yang selalunya berpaksikan konflik rumah tangga klise, Tertulis Kita Sampai Syurga tampil luar biasa dengan mengangkat ketabahan sebuah keluarga, kedalaman emosi, dan pengorbanan cinta yang sebenar. Keunikannya diserlahkan lagi menerusi garapan plot yang seimbang yang menyulam momen menyentuh jiwa bersama sentuhan humor yang menceriakan sepanjang tayangannya. Drama hebat ini merupakan terbitan MIG Pictures Sdn. Bhd. di bawah arahan pengarah Along Kamaludin, dengan sentuhan penulis skrip daripada Panel Skrip MIG yang diadaptasi daripada karya novelis Aalin Amily. 

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Tertulis Kita Sampai Syurga, bermula 9 November 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh menyaksikan episod baharu 24 jam lebih awal melalui striman dalam talian di www.tonton.com.my  atau dengan memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.



Kuala Lumpur, 5 November 2026 - Setelah hampir sebulan membuai emosi penonton slot Akasia TV3, drama fenomena Andai Masih Ada Maaf, kini melangkah ke minggu episod akhir. Drama 28 episod terbitan FJ Pictures Sdn Bhd dan arahan Feroz Kader ini telah berjaya menambat hati jutaan penonton serta mendominasi pelbagai carta trend di media sosial sepanjang tempoh tayangannya.

Mengangkat plot konflik berteraskan fitnah, penyesalan dan ujian kepercayaan rumah tangga, lakonan mantap gandingan teraju utama Fattah Amin, Hannah Delisha, Nazrief Nazri dan Malek Mccrone terus dipuji kerana berjaya menghidupkan watak dengan berkesan.


Drama karya K. Adli ini bermula dengan paparan indah kehidupan Hana (Hannah Delisha) dan suaminya, Dr. Reza (Fattah Amin), seorang doktor psikologi. Kehidupan sempurna mereka bersama anak perempuan tercinta mula digoncang dengan kemunculan semula Azmeer (Nazrief Nazri), kenalan lama yang menyembunyikan dendam silam.

Manipulasi licik dan fitnah yang dirancang Azmeer akhirnya memakan diri Reza apabila beliau terperangkap dan meyakini isterinya mempunyai hubungan sulit. Keputusan terburu-buru Reza menjauhkan diri dan melepaskan kepercayaan terhadap Hana bukan sahaja meruntuhkan rumah tangga mereka, malah menyebabkan Hana menjadi mangsa kecaman netizen dan sanak saudara selepas berita dakwaan kecurangan itu tular.


Kini, apabila kebenaran dan plot jahat Azmeer mula terbongkar satu demi satu, penonton dibawa menelusuri fasa keinsafan Reza yang sarat dengan penyesalan, sebuah refleksi nyata yang amat berat akibat daripada kesilapannya sendiri.

Sejak melangkah ke episod-episod akhir, media sosial seperti X, TikTok dan Instagram @dramasangat dihujani dengan perbincangan panas serta reaksi emosi daripada penonton setia. Pelbagai komen mengkritik ego dan sikap terburu-buru Dr. Reza yang meyakini fitnah tanpa usul periksa. “Senang-senang nak minta maaf lepas dah hancurkan hati Hana. Reza tak layak dapat peluang kedua!”, tulis seorang pengguna di X.


Netizen rata-ratanya memberikan sokongan moral buat watak Hana yang tabah menghadapi kecaman. Kebanyakan penonton berharap Hana tidak terlalu mudah memaafkan Reza di episod akhir nanti demi memberi pengajaran. Dalam pada itu, watak antagonis Azmeer turut mendapat perhatian apabila netizen mengakui sakit hati dengan keberkesanan lakonannya merencana muslihat fitnah.

Ruangan komen di media sosial kini dipenuhi spekulasi sama ada pengakhiran drama ini akan menyatukan semula mahligai mereka atau berakhir dengan perpisahan yang tragis. 


Adakah cinta yang telah relai mampu dibina semula apabila sekeping hati sudah terlalu banyak terluka? Adakah penyesalan Reza mampu membuka kembali pintu maaf Hana?

Jangan terlepas untuk menyaksikan episod akhir Andai Masih Ada Maaf, Jumaat ini 6 November 2026, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3, juga strim semua episod percuma dan eksklusif di aplikasi iQIYI.

#AndaiMasihAdaMaaf #AkasiaTV3

FILEM ‘BAGA’ TAMPIL REALISTIK DAN MENGGONCANG PAWAGAM LOKAL - “MASTERPIECE & MENCENGKAM JIWA”

Wednesday, 4 November 2026

Kuala Lumpur, 4 November 2026 - Menjelang tayangan rasminya, filem BAGA arahan pengarah debut Ariff Zulkarnain, mula mencetuskan fenomena tersendiri di platform media sosial. Menerusi tayangan awal dan pratonton khas, beberapa pengamal media, selebriti serta pengkritik filem tempatan tidak melepaskan peluang memberikan pandangan awal terhadap karya yang disifatkan sebagai antara naskhah paling penting tahun ini.

Sentuhan debut Ariff Zulkarnain menerima pujian melambung daripada pelakon popular Lisa Surihani yang menyifatkan filem ini sebagai sebuah karya yang sarat dengan pengisahan visual bermakna serta mampu menyentuh sanubari penonton. Lisa mengakui bahawa persembahan para pelakon yang begitu realistik telah menarik beliau masuk ke dalam dunia watak Jani.

Pengarah Razaisyam Rashid turut mengangkat BAGA sebagai antara karya tempatan terbaik, yang pernah disaksikannya dalam tempoh lima tahun kebelakangan  ini, kerana impak emosi dan realiti kehidupan yang ditonjolkan secara mendalam. 


Salah satu daya tarikan utama yang dicatatkan oleh para penonton ialah kualiti lakonan barisan pelakon utamanya, terutamanya Amir Ahnaf yang memegang watak Jani serta Idham Maulana sebagai Cech. Pelakon Ikmal Amry memberi nilai penuh 10/10 dan menyifatkan ini sebagai persembahan terbaik Amir Ahnaf setakat ini. Pada masa yang sama, Razaisyam Rashid menyifatkan watak Cech lakonan Idham Maulana sebagai antara antagonis filem tempatan paling berkesan dan berkuasa pernah diciptakan.

Rakan seni dan pengkritik lain turut menyerlahkan keunikan filem ini yang berani keluar daripada norma filem komersial biasa. Aedy Ashraf dengan tegas menyatakan bahawa keaslian atau authenticity filem ini berada di tahap tertinggi dan memberi skor 10/10. 

Haidar Hasanudin merumuskan filem ini berada di tahap next level, manakala Amar Amir menganggap BAGA sebagai a breath of fresh air buat sinema Malaysia kerana tampil sederhana, mentah serta mempunyai jiwa yang cukup tragis. 

Redza Minhat turut menggambarkan pengalamannya menonton secara ringkas dengan menyifatkan filem ini amat lazat untuk ditonton, sambil sokongan padu dan ucapan tahniah dizahirkan oleh Mierul Aiman.

Selain plot dan lakonan, elemen susunan muzik dan kualiti audio dalam pawagam turut mencuri tumpuan penonton. Kehadiran lagu ikonik ‘Suci Dalam Debu’ yang dimainkan dengan kualiti bunyi sinema yang mantap telah menyentuh perasaan ramai serta membangkitkan rasa nostalgia dan emosi mendalam.

Berdasarkan respon awal daripada barisan selebriti dan pengkritik, BAGA bukan sekadar sebuah filem hiburan biasa, malah sebuah naskhah penting yang memberi cerminan realiti masyarakat. 

Bagi anda yang dahagakan karya filem tempatan yang berkualiti tinggi, padat emosi dan autentik, pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan BAGA: Esok Untuk Siapa, di pawagam mulai 5 November 2026.

‘SAYANG SAYANG’ HIMPUNKAN KEPELBAGAIAN MALAYSIA DALAM SEBUAH KISAH TENTANG IDENTITI, KELUARGA DAN KASIH SAYANG | ‘Diiktiraf menerusi lima pencalonan Anugerah Golden Horse ke-63, filem ini menampilkan potret Malaysia melalui gabungan budaya, bahasa dan komuniti yang jarang diketengahkan di layar perak’ 

3 November 2026, Kuala Lumpur – Selepas mencuri perhatian di pentas antarabangsa dan menerima pengiktirafan menerusi lima pencalonan di Anugerah Golden Horse Ke-63, filem kerjasama Malaysia-Taiwan, SAYANG SAYANG, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.

Sejak treler rasminya diperkenalkan kepada umum, SAYANG SAYANG menarik perhatian ramai menerusi kekuatan emosi yang dipaparkan, dengan penonton menyatakan bahawa sedutan filem tersebut sudah cukup untuk membuatkan mereka tersentuh. Sambutan positif itu diteruskan semasa tayangan perdana filem ini di Taipei, yang menyaksikan penonton memuji keindahan penceritaan serta mesej universal tentang hubungan sesama manusia.

Diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd, SAYANG SAYANG merupakan sebuah drama fiksyen yang mengangkat tema identiti, kasih sayang, keluarga dan penerimaan komuniti melalui perspektif yang jarang diketengahkan di layar perak. Filem ini diterajui pengarah dan penulis skrip Taiwan, Tang Hsiang-Chu, dengan Yeh Jufeng dan Jin Ong sebagai Penerbit Eksekutif, manakala Nicole Teoh bertindak selaku penerbit.

SAYANG SAYANG turut membuka ruang penerokaan yang mendalam buat pengarah dan seluruh pasukan produksi, terutamanya dalam membentuk dunia yang berteraskan kepelbagaian budaya, bahasa dan kepercayaan. Dengan watak-watak daripada latar Melayu, Cina dan India, setiap elemen dibangunkan dengan penuh halus memastikan representasi yang dipaparkan kekal asli dan menghormati realiti komuniti yang diangkat. 

Filem ini merupakan sebuah pengalaman sinematik yang meraikan keindahan landskap dan kepelbagaian budaya Malaysia. Berlatar belakangkan persisiran Pantai Timur yang luas, filem ini memanfaatkan elemen laut dan alam sebagai bahasa visual yang melengkapi perjalanan emosi setiap watak. Di bawah arahan Tang Hsiang-Chu serta kerjasama kru kreatif dari Malaysia, Taiwan dan India, setiap aspek visual, daripada sinematografi dan tona warna hinggalah ke rekaan bunyi dibangunkan dengan penuh ketelitian untuk menghasilkan sebuah karya yang puitis. 

SAYANG SAYANG menghimpunkan pelakon daripada latar belakang yang bervariasi seperti Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Jo Kukathas, Khir Rahman, Farah Ahmad, Lee Lee-Zen, Ong Ai Leng, Vemanna Appannah, Mia Tan Shu Man dan Tan Li Yang. Gabungan bakat dari pelbagai negara memperkukuhkan lagi kepelbagaian budaya yang menjadi tunjang kepada penceritaan filem ini.

Manakala, filem ini diiringi lagu tema filem bertajuk ‘Sayang’ nyanyian penyanyi terkenal, Dato' Sri Sheila Majid.

Selain menggunakan dialog Bahasa Melayu, Cina dan Tamil, SAYANG SAYANG turut mempamerkan bahasa isyarat demi membawa penonton menyelami dunia komuniti golongan kelainan upaya. Pendekatan ini menjadikan filem ini antara naskhah tempatan yang memberikan ruang kepada representasi komuniti tersebut di layar perak.

SAYANG SAYANG mengisahkan Nancy, seorang wanita berbangsa India yang pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur bersama Ajay, seorang anak kurang pendengaran, dan membuka sebuah sekolah bahasa isyarat. Mina, seorang gadis Melayu pekak pula amat meminati Muay Thai dan berusaha mencari jati dirinya di sebalik tuntutan tradisi. Sementara itu, San San, seorang gadis Cina dengan kekurangan yang sama, begitu mendambakan laut dan terikat dengan kepercayaan keluarganya. 

Tiga anak daripada latar keluarga dan budaya yang berbeza berdepan dengan cabaran kehidupan masing-masing dalam perjalanan mengenali diri dan kepercayaan. 

SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.

Gunakan #SayangSayang #沙央 di platform media sosial. Bagi mengetahui info terbaharu SAYANG SAYANG, boleh ikuti di semua akaun digital Astro Shaw untuk maklumat lanjut.

KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Ada cinta yang datang dan pergi, ada juga yang kekal dalam ingatan. Begitulah kisah Cinta dan Rangga yang selepas 24 tahun masih menjadi antara pasangan ikonik dalam filem romantik Indonesia, dengan perjalanan cinta mereka yang terus menghidupkan kembali debaran cinta pertama.

Siapa yang boleh melupakan puisi Rangga, persahabatan Cinta bersama gengnya serta kisah dua insan yang menemukan cinta dalam keadaan tidak terduga? Dibintangi Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra, Ada Apa Dengan Cinta? (2002) memperkenalkan penonton kepada sebuah kisah yang bukan sekadar tentang cinta pertama, malah turut mengangkat persahabatan, pengorbanan dan perasaan yang sukar diluahkan.

Perjalanan cinta mereka tidak terhenti di situ apabila kisah Cinta dan Rangga disambung menerusi Ada Apa Dengan Cinta? 2 (2016), yang menemukan semula kedua-duanya selepas bertahun-tahun membawa haluan masing-masing.

Buat peminat yang ingin menyaksikan semula kisah ini, kedua-dua filem boleh mula distrim secara eksklusif untuk pelanggan Tonton pada 4 November 2026. Langgan Tonton sekarang menerusi aplikasi Tonton atau layari http://www.tonton.com.my untuk menikmati kedua-duanya!

Inilah peluang buat peminat lama untuk kembali bernostalgia, selain memberi ruang kepada generasi baharu mengenali kisah cinta Cinta dan Rangga yang terus terpahat dalam ingatan.

Jadi, selepas 24 tahun… masih ada apa dengan Cinta?

Untuk maklumat terkini mengenai program kegemaran anda serta kandungan eksklusif, ikuti Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram menerusi @tontonmy.

Astro Bawakan Dua Konsert Mega Disember Ini, Tiket Kini Dijual | Konsert Sooka (5 Disember) dan Konsert Vaganza (6 Disember) bakal berlangsung di Idea Live Arena

Kuala Lumpur, 3 November 2026 - Astro bakal membawakan dua konsert mega Disember ini menerusi Konsert Sooka pada 5 Disember dan Konsert Vaganza pada 6 Disember 2026. Kedua-dua konsert akan berlangsung pada jam 8 malam di Idea Live Arena, 3 Damansara, dengan tiket kini dibuka untuk jualan.

Konsert Sooka bakal menampilkan Kudrat Boys, The Lantis, Insomniacks, Bunkface dan Kugiran Masdo dalam sebuah malam penuh kemeriahan dengan persembahan bertenaga dan lagu-lagu popular yang pastinya mengajak peminat untuk turut menyanyi bersama. Para peminat boleh mendapatkan tiket menerusi enam kategori iaitu DISTORT (RM128), ATTACK (RM188), MOSH (RM208), GIG (RM258), SOLO (RM288) dan RIFF (RM388), merangkumi pilihan tempat duduk dan ruang berdiri mengikut kategori masing-masing.

Sementara itu, Konsert Vaganza bakal menghimpunkan barisan artis popular termasuk Datuk Ziana Zain, Dato' Ramli Ms, Tenxi, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Mimi Fly, Odda, Ratu, Ammara dan ALPHA, selain penampilan khas beberapa peserta Gegar Vaganza Fantasia.

Peminat boleh memilih daripada sembilan kategori tiket iaitu GEMPAK (RM188), MANAGER (RM288), SUPERSTAR (RM388), MELETOP (RM488), IMPIAN (RM488), STAGE (RM588), KILA UAN (RM588), HIGH COUNCIL (RM688) dan GEGAR (RM788), yang turut menawarkan pilihan pengalaman berbeza termasuk kategori GEGAR dengan Meet & Greet Soundcheck Experience. Tiket untuk kedua-dua konsert kini boleh didapati menerusi Ticketmelon di https://www.ticketmelon.com/astro/konsert.

Untuk maklumat lanjut, layari gempak.com.

TIGA HARI PENUH KEMERIAHAN, JOHOR BAHRU BERIKAN SAMBUTAN HEBAT BUAT KJH 2026!

Tuesday, 3 November 2026

TIGA HARI PENUH KEMERIAHAN, JOHOR BAHRU BERIKAN SAMBUTAN HEBAT BUAT KJH 2026! | Kemeriahan KJH 2026 Bakal Menjelajah Ke Kuala Lumpur, Stadium Merdeka Menjadi Destinasi Penutup Pada 27 Hingga 29 November Ini


Kuala Lumpur, 3 November 2026 - Memang power orang Johor Bahru! Karnival Jom Heboh (KJH) 2026 sekali lagi membuktikan tarikannya apabila menerima sambutan hebat daripada warga Johor yang hadir beramai-ramai selama tiga hari berturut-turut, bermula 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall. Selepas mencipta kenangan bersama pengunjung di selatan tanah air, kemeriahan KJH 2026 bakal diteruskan ke Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 November ini, yang akan menjadi destinasi terakhir jelajah tahun ini.

Menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik, tawaran istimewa dan hiburan untuk seisi keluarga, KJH Johor Bahru menjadi pilihan pengunjung untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan sepanjang hujung minggu. Daripada aktiviti komuniti dan reruai jualan hinggalah kepada persembahan pentas serta peluang bertemu personaliti televisyen dan selebriti kegemaran, pelbagai pengisian tersedia untuk dinikmati oleh pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.

Antara kunjungan istimewa yang mencuri perhatian ialah kehadiran Ketua Polis Negara, Yang Dihormati Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Khalid bin Haji Ismail bersama isteri, Yang Berbahagia Puan Sri Datuk (Dr.) Hajah Munirah. Turut hadir ialah Ketua Polis Johor, Yang Berhormat CP Dato’ Ab Rahaman, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Yang Berbahagia Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid serta Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Yang Berbahagia Datuk Efendi Omar.

Sepanjang karnival berlangsung, reruai Studio Tonton Drama Sangat (STDS) turut menjadi tumpuan menerusi pelbagai aktiviti interaktif, termasuk pertandingan mewarna, Karaoke Challenge dan sesi Meet & Greet bersama selebriti TV3 serta personaliti TV9. Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti lain seperti pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma, Zumba serta Jom Lokal Jam yang menambahkan variasi pengisian sepanjang acara.

Melengkapkan aktiviti di reruai STDS, Pertandingan Pakaian Tradisional turut mendapat perhatian apabila Nurul Aufa Iffah dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang RM500. Tempat kedua menjadi milik Cinta Suci Indah Urmila yang menerima RM300, manakala Nurul Rizqah Hanney meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM200.

Pada pagi Ahad, pengisian berteraskan gaya hidup sihat pula diteruskan menerusi Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP, yang menawarkan kategori larian 5KM dan 8KM. Lebih menarik, peserta berpeluang berlari bersama artis drama, personaliti Media Prima serta selebriti popular tanah air, menjadikan aktiviti ini antara pengalaman menarik yang melengkapi hujung minggu mereka di KJH.

Sebagai kemuncak acara, perkarangan Padang B, Angsana Johor Bahru Mall dibanjiri ribuan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan Konsert Jom Heboh selama dua malam berturut-turut. Malam Sabtu dimeriahkan dengan persembahan Khai Bahar, Haiza, Nabila Razali, Ara Johari, Bunga Isme dan Haqiem Rusli, sebelum pentas diteruskan dengan Mamat Exist, Alyph, Wany Hasrita, Drama Band dan Mariam Saim pada malam Ahad. Sambutan hangat yang diberikan melengkapkan tiga hari penuh hiburan dan pengalaman bersama di KJH Johor Bahru 2026.

Terima kasih warga Selatan atas sokongan dan sambutan hebat yang diberikan! Selepas kemeriahan di selatan tanah air, KJH 2026 kini menuju ke destinasi terakhir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November ini. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada penutup jelajah KJH tahun ini yang pastinya dinantikan dengan pelbagai lagi pengisian menarik bersama keluarga dan rakan-rakan.

Justeru, warga Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya, ayuh bersama-sama memeriahkan KJH 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November ini! Berlatarkan mercu tanda ikonik Merdeka 118, destinasi bersejarah ini bakal menjadi lokasi penutup tirai jelajah KJH tahun ini dengan pelbagai aktiviti menarik dan hiburan untuk seisi keluarga. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kemeriahan ini dan sama-sama mencipta kenangan manis di lokasi yang cukup istimewa. Jumpa anda di sana!

Untuk maklumat lanjut mengenai Karnival Jom Heboh, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti Facebook dan Instagram rasmi di @jomhebohofficial. Kongsikan keterujaan anda menggunakan tanda pagar #KJH, #KarnivalJomHeboh dan #KJHJohor.

WANI KAYRIE BAWA IRAMA & WARNA BUDAYA MALAYSIA KE PENTAS ANTARABANGSA! | Rocketfuel Entertainment Bangga Artis Naungan Terpilih Wakili Negara Di ABU Song Festival Ke-15 Di Colombo, Sri Lanka Pada 2 November Ini

KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2026 – Daripada mencuri perhatian di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) kepada membawa identiti muzik Malaysia ke persada antarabangsa, penyanyi berbakat besar, Wani Kayrie, bakal melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya apabila terpilih mewakili negara pada ABU Song Festival ke-15 di Colombo, Sri Lanka, pada 2 November ini.

Lebih membanggakan, Wani merupakan satu-satunya artis yang dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membawa nama Malaysia ke festival berkenaan, sekali gus membuka peluang untuk memperkenalkan keunikan seni dan budaya tempatan kepada khalayak antarabangsa.

Bagi Rocketfuel Entertainment, pemilihan ini merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap perkembangan kerjaya Wani, selain mencerminkan potensi bakat tempatan untuk diketengahkan menerusi pentas muzik serantau.

Dari AJL40 Ke Pentas Antarabangsa

Pemilihan Wani hadir selepas kejayaannya membawa lagu “Cak Cak Cekuk” ke pentas akhir AJL40, sekali gus merealisasikan impiannya untuk beraksi di pentas berprestij tersebut. 

Kini, karya yang menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden itu bakal diperkenalkan kepada penonton antarabangsa menerusi versi persembahan AJL40.

Pemilihan artis untuk mewakili negara di festival seumpama ini mengambil kira pencapaian serta kejayaan yang diraih dalam tempoh tertentu. Justeru, peluang yang diberikan kepada Wani menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya, di samping membuka ruang untuk memperluas pengenalan muzik Malaysia di luar negara.

ABU Song Festival menghimpunkan artis dari rantau Asia Pasifik bagi meraikan kepelbagaian budaya dan muzik menerusi persembahan yang mencerminkan identiti setiap negara. Dalam konteks ini, penyertaan Wani membawa makna tersendiri apabila beliau bukan sahaja tampil sebagai penyanyi, malah turut menggalas tanggungjawab memperkenalkan keunikan budaya Malaysia.

“Satu Penghargaan Istimewa” – Wani Kayrie

Mengulas pemilihannya, Wani menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi apabila beliau diberikan kepercayaan untuk membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya berasa sangat bangga kerana dipilih mewakili Malaysia tahun ini. Saya tahu pemilihan seperti ini mengambil kira pencapaian tertentu seseorang artis, jadi saya menganggapnya sebagai satu peluang dan penghargaan yang sangat istimewa daripada RTM.

“Saya berharap peluang ini dapat membantu saya mengetengahkan bakat yang ada, di samping membawa keunikan budaya kita ke peringkat antarabangsa. Saya mahu penonton di sana melihat keistimewaan muzik dan budaya Malaysia menerusi persembahan yang akan saya bawakan,” katanya.

Bagi menyerlahkan identiti tempatan, konsep persembahan Wani mengekalkan karakter “Cak Cak Cekuk” seperti yang dipersembahkan di AJL40, dengan penekanan terhadap warna dan rekaan kostum yang mencerminkan budaya Malaysia.

Kekalkan Identiti, Segarkan Penampilan

Wani berangkat ke Colombo pada 30 Oktober dan berada di Sri Lanka sehingga 3 November. Persiapannya kali ini lebih tertumpu pada penyesuaian beberapa elemen persembahan, termasuk koreografi penari serta pemilihan pakaian, tanpa mengubah konsep asal lagu berkenaan.

“Persiapan kali ini boleh dikatakan sederhana kerana kami masih mengekalkan konsep ‘Cak Cak Cekuk’ seperti di AJL40. Cuma, terdapat perubahan dari segi gerak tari persembahan, kostum penari dan pakaian saya.

“Bagi saya, penting untuk mengekalkan identiti lagu ini sambil memberikan sentuhan yang bersesuaian dengan pentas antarabangsa. Saya berharap gabungan muzik, penampilan dan warna yang diketengahkan dapat menyerlahkan budaya Malaysia dengan cara yang menarik,” jelasnya.

Rocketfuel Entertainment Bangga Bakat Tempatan Ke Persada Dunia

Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Mathan Rajasingam, turut melahirkan rasa bangga atas pemilihan Wani, sambil menyifatkannya sebagai peluang penting untuk memperluas pengiktirafan terhadap bakat dan karya anak seni tempatan.

“Kami amat berbangga apabila Wani diberikan kepercayaan untuk mewakili Malaysia di ABU Song Festival ke-15. Peluang ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian bermakna buat dirinya, malah membuka ruang untuk memperkenalkan keunikan muzik dan budaya Malaysia kepada khalayak antarabangsa.

“Kami berharap Wani dapat memanfaatkan pengalaman ini sebaik-baiknya dan tampil dengan persembahan yang membanggakan. Sebagai sebuah label hiburan yang komited dalam membangunkan bakat tempatan, Rocketfuel Entertainment akan terus menyokong usaha artis di bawah naungannya untuk berkembang dan meneroka peluang yang lebih luas,” katanya.

Dengan “Cak Cak Cekuk” sebagai taruhan, Wani kini bersedia membawa irama dan warna budaya Malaysia ke Colombo, sekali gus menjadikan penyertaan sulungnya di ABU Song Festival sebagai satu lagi langkah penting dalam perjalanan seninya.

Dalam perkembangan lain, "Cak Cak Cekuk Versi AJL" kini boleh distrim di semua platform digital bermula 16 Oktober lalu.