SEPARUH NAFAS CINTA DRAMA VERTIKAL YANG MENAMPILKAN ZAZZLEEN SEBAGAI IBU MENTUA DARI NERAKA
Friday, 28 November 2025
Kuala Lumpur, 28 November 2025 - Hari yang sepatutnya paling indah buat Ariana bertukar menjadi tragedi yang tak pernah terlintas dek akal. Tunangnya, Iskandar, hilang tanpa jejak sebelum akad, memaksa Hariz, adik Iskandar, menjadi “pak sanggup” demi menyelamatkan maruah keluarga. Dari dilema itu bermulalah perkahwinan paksa penuh dendam, syarat dan rahsia, membuka tirai drama bersiri vertikal baharu, Separuh Nafas Cinta, yang bakal disiarkan eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton mulai 1 Disember 2025, dengan tayangan dua episod setiap hari pada jam 12.00 tengah hari dan 8.00 malam.
Drama vertikal Media Prima ini menampilkan gandingan pertama kali finalis Pencarian Pelakon Drama Sangat, iaitu Amin Sufian dan Ariana Yusof, selain Amri Dahlan dan Zazzleen. Dengan 60 episod berdurasi 2-3 minit setiap episod, ia menjanjikan debaran berterusan yang membuat penonton tertanya-tanya sama ada cinta dan pengorbanan mampu bertahan ataupun akhirnya rebah di tengah badai.
Separuh Nafas Cinta menyelami perjalanan Ariana (lakonan Ariana Yusof) dalam rumah tangga yang dimeterai tanpa kerelaan. Biarpun bersetuju berkahwin, Ariana menetapkan syarat jelas bahawa Hariz (lakonan Amin Sufian) mesti menceraikannya selepas enam bulan. Namun keadaan menjadi semakin rumit apabila Ariana diburu tekanan demi tekanan, khususnya daripada Juhara (lakonan Zazzleen), ibu mentua yang langsung tidak merestui kehadirannya.
Tinggal di bawah satu bumbung, rumah Juhara menjadi medan penderaan fizikal dan emosi. Ariana terpaksa menempuh kehidupan seperti pembantu rumah, menanggung pelbagai derita, sementara Hariz tersepit dalam kedudukan sukar sebagai seorang anak dan suami. Mampukah mereka menemui kedamaian di tengah pusaran sengsara ini?
Lebih menarik, siri ini turut menandakan kemunculan semula Zazzleen dalam watak antagonis, sebuah transformasi berani yang jauh daripada persona komedi yang sinonim dengannya. Kali ini, beliau menjadi nadi konflik utama, membawa karakter ibu mentua kejam dan penuh manipulasi, yang dijangka membuat penonton “naik darah” setiap kali muncul.
Zazzleen berkongsi tentang peranannya sebagai Juhara, “Selama ini saya dikenali dengan watak ceria dan komedi, jadi bila ditawarkan watak Juhara, saya tahu ini cabaran besar. Saya betul-betul perlu keluar daripada zon selesa. Juhara bukan saja garang, dia penuh tipu daya dan sanggup buat apa saja demi kemahuannya. Saya tak sabar nak tunggu reaksi penonton dengan lakonan saya kali ini.”















































