Sambutan di lokasi pembukaan Karnival Jom Heboh (KJH) edisi 2025, KL Base Kuala Lumpur, cukup menggalakkan dengan kehadiran lebih 280,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, dari 30 Mei hingga 1 Jun (Jumaat hingga Ahad).

Dengan tema Ejen Ali sebagai teraju utama, penganjuran kali ini menyuntik nafas segar kepada suasana karnival. Para pengunjung disambut dengan pelbagai reruai interaktif merangkumi hiburan, pendidikan, keusahawanan dan kerjaya, menjadikan pengalaman yang menyeronokkan untuk semua peringkat umur.

Reruai Studio Tonton Drama Sangat menjadi antara lokasi tumpuan utama menerusi dua aktiviti iaitu Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Cosplay. Lebih 200 kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna, mempamerkan kreativiti dan semangat mereka. Pertandingan Cosplay pula dibahagikan kepada dua kategori, dengan Muhammad Aliff Zafran (11 tahun) diumumkan sebagai pemenang kategori kanak-kanak menerusi kostum Satria, manakala Nurul Atiqah Ramli (37 tahun) menjuarai kategori dewasa dengan penampilan sebagai Alicia. 

Tambahan pula, kemunculan maskot rasmi Ejen Ali dan Ejen Alicia, serta pelakon suara utama dari filem Ejen Ali The Movie 2, Yatie Maslini (Pelakon Suara Alicia), Shafiq Isa (Pelakon Suara Ejen Bakar), Azman Zulkiply (Pelakon Suara Rizwan) dan Qayyim Zamani (Pelakon Suara Neonimus) menceriakan suasana dan mencetus keterujaan dalam kalangan peminat cilik serta keluarga yang hadir.

Studio Tonton Drama Sangat (STDS) juga dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular dari pelbagai slot drama TV3 dan barisan personaliti Media Prima yang berkarisma. Antaranya termasuk Fazleena Md Daud, Atira Karma, Jiha Sham, Cahaya Nilam dan Nadiya Nisaa (Bukan Ipar Sempurna), Ahmad Syafiq dan Fikhree Bakar (Aku Bukan Ustazah 2), Kodi Rasheed, Shah Iskandar, Raja Afiq dan Soffwany (Polis Peronda) serta Mawar Rashid dan Fadlan Hazim (Nikmat Hanya Sesaat). Suasana tambah meriah dengan kehadiran Andy Teh dan Syahmie Thsaqeef, selaku artis jemputan.

Kemunculan istimewa biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza di booth TikTok Shop dan The Pocket Rocketman, Datuk Azizulhasni Awang di booth STDS juga menerima sambutan hangat daripada peminat yang teruja bertemu ikon negara secara dekat.

Kemeriahan memuncak apabila penonton membanjiri kawasan Konsert Jom Heboh selama dua malam berturut-turut dengan pengendalian oleh Ayu (HotFM), Haiza dan Muaz Mohamed (Kool 101). Malam pertama menampilkan persembahan bertenaga daripada Shiha Zikir, Bunga Isme, Puteri Khareeza, Ameerais, Aisha Retno, Khai Bahar dan kumpulan A.X.P (Amir Sofaz). Manakala malam penutup digegarkan oleh kemunculan Sofia Liana, Marygrace, K.O.I, Ayu Damit, Ara Johari serta ratu rock tanah air, Ella.


Selain itu, antara tarikan berbeza yang mencuri perhatian termasuk aktiviti belon udara panas yang menawarkan pemandangan indah Kuala Lumpur dari udara, serta pameran kereta hebat daripada koleksi klasik, modifikasi dan supercar.

Terima Kasih Warga Kuala Lumpur!
KJH akan seterusnya menjelajah ke selatan untuk Karnival Jom Heboh Johor!

Layari laman web rasmi www.jomheboh.com.my dan ikuti @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram untuk maklumat lanjut. Jangan lupa kongsikan detik menyeronokkan anda sepanjang karnival dengan tanda pagar rasmi, #KarnivalJomHeboh #KJH — Jumpa anda di lokasi seterusnya!

MISI: SINGAPURA BERMULA! | INI LOKASI EJENS KENA SERBU SEMPENA TAYANGAN EJEN ALI THE MOVIE 2

Para ejen di Singapura, bersiap sedia! MATA baru sahaja mengumumkan yang misi paling dinanti tahun ini akhirnya tiba di Singapura! Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) bakal memulakan operasi rasminya di pawagam seluruh Singapura bermula 5 Jun 2025, sempena musim cuti sekolah di sana. Ini peluang terbaik untuk para ejen menyerbu pawagam dan melaksanakan misi bersama EATM2, sekali gus mengeratkan lagi ikatan sesama sendiri. 

Kini dengan kutipan melebihi RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan yang bermula di Malaysia dan Brunei, EATM2 sudahpun memecahkan rekod pencapaian filem pertamanya. Sepanjang musim cuti sekolah, ibu bapa dan anak-anak dilihat berpusu-pusu ke pawagam, manakala barangan rasmi Ejen Ali menjadi rebutan peminat. 

Visual hebat, bunyi mantap dan animasi berkualiti tinggi menjanjikan filem ini lebih hebat, dengan aksi luar biasa serta jalan cerita yang kompleks dan penuh emosi. Peminat dan pengkritik yang sudah menonton juga tak henti-henti memberikan pujian tinggi, menyatakan karya animasi ini setanding dengan hasil antarabangsa yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

EATM2 mengisahkan perjalanan Ali, seorang budak lelaki biasa yang secara tidak sengaja direkrut menyertai agensi perisikan rahsia, MATA. Ali terpilih sebagai perintis bagi sebuah misi berisiko tinggi di bawah SATRIA, program elit yang menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI). Namun, misi tersebut menjadi kompleks apabila Neonimus, seorang penggodam misteri, muncul semula untuk membuat kacau dan Rizwan memohon bantuan Ali untuk menjejak dalang sebenar di sebalik siri ancaman yang menggugat keselamatan Cyberaya.

Bersedialah menyelami dunia perisikan penuh aksi dan emosi. Ini bukan sekadar tayangan — ini misi berskala besar! Jangan tunggu lagi! Berikut adalah lokasi pawagam yang boleh anda serbu bermula 5 Jun 2025 nanti:

  1. Golden Village Bedok
  2. Golden Village Tampines
  3. Golden Village Yishun
  4. Golden Village Plaza 
  5. Cathay Causeway Point
  6. Cathay Downtown East
  7. Cathay Century Square
  8. Cathay Clementi 321


Para ejen di Singapura! Aktifkan IRIS, siapkan gear dan pastikan anda antara yang terawal menyertai misi epik bersama EATM2! Operasi secara besar-besaran di pawagam Singapura bermula 5 Jun 2025. Bertindak segera!


Dihasilkan oleh WAU Animation dan Primeworks Studios; dipasarkan serta diedarkan oleh Primeworks Studios bersama Clover Films, juga disokong oleh MDEC dan Komet Productions, EATM2 kini sedang ditayangkan di lebih 161 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei sejak 22 Mei lalu. 

Pihak produksi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan luar biasa para peminat dan berharap agar semua dapat menikmati filem ini dengan penuh keterujaan dan bebas spoiler!

Satria, Bangkit - Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Gunakan #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!

*************************************

Mengenai Ejen Ali the Movie 2
Di bandar futuristik Cyberaya, “Ejen Ali the Movie 2” mengisahkan seorang budak lelaki yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia  oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai yang dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaru MATA. Semasa Ali bergelut dengan tanggungjawab barunya untuk menguasai Satria, dia harus menerima keputusan MATA untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, IRIS. Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap MATA, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya.

Sejak tayangannya di saluran televisyen Malaysia, TV3, pada tahun 2016, “Ejen Ali” telah disiarkan dan distrim di lebih 65 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Utara, benua India, serta Amerika Utara. Dua musim pertama siri ini diikuti dengan “Ejen Ali The Movie” pada November 2019, yang meraih kutipan box-office yang mengagumkan sebanyak RM30 juta (USD8 juta) di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia, menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di 

Malaysia setakat ini. Bahagian terbaru, “Ejen Ali Season 3”, juga memegang gelaran sebagai harta intelek animasi Malaysia pertama yang diterbitkan bersama Disney+ Hotstar Asia Tenggara, dan pertama kali dilancarkan secara eksklusif di perkhidmatan penstriman tersebut pada Jun 2022.

Mengenai Primeworks Studios
Primeworks Studios adalah syarikat pengeluaran terkemuka di Asia Tenggara yang terlibat dalam perniagaan kandungan kreatif di setiap aspek rantaian media dalam pengeluaran TV dan filem, jualan kandungan, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, kandungan berjenama, serta pelesenan dan peruncitan. Ia adalah syarikat kandungan yang memenangi pelbagai anugerah dan menghasilkan lebih daripada 3,000 jam kandungan menarik setiap tahun untuk pelbagai platform, termasuk televisyen, pawagam, dan digital. Rumah produksi ini adalah tenaga kreatif di sebalik pelbagai genre kandungan termasuk hiburan, animasi, majalah, dokumentari, sukan, dan drama.

Mengenai WAU Animation
WAU Animation adalah sebuah studio animasi CG yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif dengan pengalaman hingga 17 tahun dalam menghasilkan siri animasi CG dan filem cereka yang memenangi pelbagai anugerah. Di tengah-tengah WAU Animation adalah keinginan untuk mencipta animasi yang dapat menyentuh hati penonton. Kami bercita-cita untuk menceritakan kisah-kisah yang menakjubkan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna dan memberi inspirasi, sambil pada masa yang sama disuntik dengan elemen tempatan, kerana kami percaya kuat dalam menampilkan identiti Malaysia yang unik.

TV3 SAMBUT ULANG TAHUN KE-41, PEMINAT DRAMA TERUS JADI NADI KEJAYAAN

Tuesday, 3 June 2025


Genap 41 tahun menemani rakyat Malaysia, TV3 terus unggul di persada penyiaran negara sebagai stesen televisyen nombor satu yang dekat di hati penonton. Dengan sejarah cemerlang sejak penubuhannya pada 1 Jun 1984, TV3 bukan sekadar sebuah saluran hiburan, ia adalah sebahagian daripada denyut nadi budaya pop, pencorak cita rasa rakyat, dan pemacu utama dunia drama tanah air.

Tahun demi tahun, TV3 terus mencipta fenomena daripada Nur Kasih, 7 Hari Mencintaiku, Takdir Yang Tertulis, Melur Untuk Firdaus, sehinggalah ke Aku Bukan Ustazah dan Anak-Anak Mafia, drama TV3 bukan sahaja memahat rating tertinggi di kaca TV, malah menjadi perbualan hangat di sosial media dan kekal dalam memori penonton pelbagai generasi.

Menyambut ulang tahun ke-41 tahun ini, TV3 membawakan pelbagai program menarik, aktiviti interaktif dan kolaborasi gah dan eksklusif buat penonton setia untuk menyemarakkan cinta peminat terhadap drama Melayu. Antara inisiatif utama tahun ini ialah penglibatan eksklusif TV3 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL) melalui kerjasama istimewa bersama MPH Bookstores.

Mengangkat tema 41 Tahun Penuh Drama, sambutan ulang tahun ke-41 ini membawa makna yang mendalam, menzahirkan penghargaan terhadap drama-drama ikonik dan terbaharu yang telah memberi impak besar kepada penonton TV3 sejak dulu. TV3 berterima kasih kepada semua lapisan usia penonton yang telah menjadi tulang belakang setia menonton dan menyokong karya-karya drama yang dihidangkan sepanjang tahun.

Sebagai sebahagian daripada sambutan ini, TV3 dengan bangganya memperkenalkan beberapa inisiatif menarik termasuk:

1. Pakej Drama Sangat - TV3 X MPH Bookstores


Ibarat menggabungkan dunia cetak dan digital, TV3 dan MPH Bookstore memperkenalkan pakej istimewa yang menawarkan koleksi novel adaptasi drama popular TV3 seperti 7 Hari Mencintaiku, Melur Untuk Firdaus (My Rude Wife), Suamiku Lelaki Pendosa (Imamku Lelaki Pendosa) dan banyak lagi pada harga RM59 untuk dua buku yang tertera bersama langganan percuma selama sebulan ke platform TontonUp. 

Pakej eksklusif ini boleh didapati di reruai MPH sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (23 Mei 2025–1 Jun 2025). Pengunjung yang berbelanja minimum RM150 berpeluang menebus baucar langganan TontonUp percuma, terhad kepada 500 penebusan pertama. Tawaran ini memberikan pengalaman hiburan yang lebih lengkap kepada peminat drama TV3.

2. Tayangan Semula Drama-Drama Ikonik TV3

41 Tahun Penuh Drama, TV3 menghadiahkan penonton dengan tayangan semula drama-drama ikonik yang pernah mencetus fenomena dan menjadi bualan ramai. Inisiatif ini membolehkan penonton mengimbau kembali detik-detik emosional, jalan cerita yang memukau serta watak-watak yang membentuk legasi TV3 selama ini. Setiap karya ini bukan sahaja mencatat jutaan tontonan malah meninggalkan impak mendalam dalam landskap drama tempatan.

Antara drama pilihan yang bakal ditayangkan semula adalah:

  • 7 Hari Mencintaiku 2 (28 Mei – 23 Julai, Isnin hingga Khamis, 6.00–7.00 petang)
  • Nur Kasih (10 Jun – 23 Julai, Isnin hingga Khamis, 3.00–4.00 petang) 
  • Nur (22 Jun – 24 Ogos, Sabtu dan Ahad, 6.00–7.00 petang). 

3. Meet & Greet: Anak-Anak Mafia dan Aku Bukan Ustazah 2



Kemeriahan berterusan apabila sambutan ulang tahun ke-41 ini turut diserikan dengan sesi Meet & Greet bersama barisan pelakon drama popular antaranya adalah drama terbaharu di Tonton iaitu Anak-Anak Mafia akan membuat kemunculan pada 31 Mei (Sabtu), manakala pelakon drama Aku Bukan Ustazah 2 akan memeriahkan pentas utama pada 1 Jun (Ahad). Antara selebriti yang bakal hadir termasuk Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqandar, Zhen Ning, Scha Elinnea, MK K-Clique, Erysha Emyra, Haneesya Hanee, Shaza Bae dan Fikhree Bakar.

4. Dari Layar Ke Lensa


Istimewa sempena ulang tahun ke-41, TV3 memperkenalkan projek khas Dari Layar Ke Lensa yang menampilkan empat bintang ternama, Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim yang tampil sebagai pengarah. Usaha ini bukan sahaja menyajikan penceritaan segar kepada penonton, malah mencerminkan komitmen TV3 dalam memupuk bakat baharu serta memperkayakan kandungan tempatan. Projek ini juga memberi peluang kepada mereka untuk mengetengahkan perspektif serta visi kreatif tersendiri dalam empat Cerekarama istimewa: 
  • Siti Saleha - Rentak 2 Hati (5 Julai 2025, Sabtu, 10.00 malam)
  • Fattah Amin - Noktah Dosa (12 Julai 2025, Sabtu, 10.00 malam)
  • Janna Nick - Susu Lima Kupang (19 Julai 2025, Sabtu, 10.00 malam)
  • Zahiril Adzim - Pencuri Rumah Imam (26 Julai 2025, Sabtu, 10.00 malam)

5. Pencarian Pelakon Drama Sangat & Ujibakat Pitch Story Anda ke TV3


Seiring dengan tema 41 Tahun Penuh Drama, TV3 memperkenalkan inisiatif istimewa Drama Sangat melalui Pencarian Pelakon Drama Sangat, sebuah peluang emas untuk bakat baharu yang bercita-cita menyerlah dalam dunia lakonan. Peserta hanya perlu menghadiri sesi uji bakat dengan menggunakan skrip yang telah disediakan. Dua bintang baharu yang terpilih bukan sahaja akan mendapat kontrak di bawah naungan Alternate Records, malah berpeluang membintangi drama terbaharu terbitan TV3. 

Bukan sekadar memperkukuh dominasi dalam dunia drama tempatan, TV3 juga terus menghargai sokongan peminat yang menjadi tulang belakang kejayaan jenama ini. Menerusi inisiatif Ujibakat Pitch Story Anda ke TV3! TV3 membuka ruang kepada pencipta idea baharu untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti mereka, dengan jumlah hadiah terkumpul sebanyak RM9,000. Program ini turut mendapat suntikan kerjasama bersama Universiti Malaya dan Taylor’s University, yang akan menjadi lokasi rasmi sesi uji bakat pada 14 Jun 2025 (Sabtu) di Universiti Malaya dan 21 Jun 2025 (Sabtu) di Taylor’s University.

6. 9 Wajah Baharu Buletin TV3

Seterusnya, TV3 memperkenalkan sembilan wajah baharu penyampai berita yang akan mula bersiaran mulai 1 Jun. Lima daripadanya dipilih daripada hampir 800 peserta ujibakat terbuka hujung tahun lalu dan kini bertugas sebagai wartawan serta tenaga produksi. Antara yang terpilih ialah Douglas Elliot David, Hirsham Azmi, Asyiha Ariffin, Deerina Sheikh Faisal, dan Izabelle Choong.

Empat lagi merupakan wajah sedia ada yang diberi kepercayaan menyampaikan Buletin Utama dan Buletin 1.30, termasuk Vinsla Santiran, Fahmi Tajuddin, Zati Nizam, dan Afrina Romzi. TV3 terus komited mencungkil bakat baharu melalui latihan berterusan dan program Mentor Mentee Bilik Berita, bagi melahirkan pelapis penyiaran yang segar dan berwibawa.

7. TV3 X Ernie Zakri

TV3 juga tampil dengan kolaborasi eksklusif bersama bintang bersuara emas dan ikon fesyen, Ernie Zakri, menerusi pelancaran koleksi istimewa TV3 X Ernie Zakri. Bermula 23 Mei 2025 selama sebulan, kempen ini mempersembahkan bundle edisi terhad berharga RM99 yang hanya tersedia sebanyak 2,000 unit sahaja. Setiap pembelian mengandungi hijab eksklusif daripada koleksi Zeleb+ NMN by Ernie Zakri x Ayuwan dan tote bag rekaan khas Ernie Zakri, menjadikan kolaborasi ini bukan sekadar cenderamata, tetapi satu simbol gaya, seni dan penghargaan buat peminat setia TV3 dan Ernie Zakri.

Sambutan 41 Tahun Penuh Drama ini bukan sekadar menoleh ke belakang untuk mengenang kejayaan, tetapi juga menyusun langkah ke hadapan dengan penuh aspirasi dan semangat baharu. TV3 berjanji untuk terus menjadi suara rakyat, cermin masyarakat, dan platform utama dalam dunia hiburan tanah air.

Di sebalik segala pencapaian gemilang ini, TV3 tetap berdiri teguh dengan satu misi iaitu untuk terus mempersembahkan kandungan terbaik, melahirkan bakat baharu, dan menjadi medium yang menyatukan rakyat Malaysia melalui drama, berita dan hiburan yang menyentuh hati.

TV3 turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penonton yang menjadi nadi kepada setiap langkah kami – penonton setia yang tidak pernah jemu memberi sokongan sepanjang lebih empat dekad perjalanan ini. Sambutan ulang tahun ini adalah bukti cinta dan penghargaan kami kepada anda semua.

Teruskan menyokong TV3 agar kami dapat terus menghasilkan karya-karya berkualiti, penuh makna dan sarat dengan hiburan yang mendidik serta menginspirasikan seluruh lapisan masyarakat. Bersama kita terus menulis kisah kejayaan, dari hati untuk semua.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

**********************************

Mengenai TV3
TV3 merupakan saluran televisyen No.1 di Malaysia yang telah beroperasi sejak tahun 1984. TV3 telah mendominasi pasaran penyiaran menerusi penerbitan drama berkualiti seperti Melur Untuk Firdaus, Suamiku Lelaki Pendosa, Kerana Cinta Itu Ada, dan Jaga Aku Selamanya merupakan sebahagian daripada drama-drama bersiri yang telah mencipta fenomena besar. 

TV3 telah berjaya menambat hati penonton menerusi rancangan hiburan ikoniknya seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Tonton Drama Sangat, Famili Duo, Melodi, I Can See Your Voice dan Master In The House. Buletin Utama, 999, Fail Mahkamah, dan Majalah 3 terus kukuh sebagai rancangan berita dan dokumentari terunggul pilihan utama rakyat Malaysia hingga mencecah jutaan penonton setiap hari. 

Platform media sosial @TV3Malaysia juga menunjukkan peningkatan yang mengagumkan (24 juta pengikut di YouTube, Facebook, Instagram, Twitter dan Tiktok) dan menjadi salah satu digital platform terbesar di negara ini. 

Untuk mendapat informasi terbaharu berkaitan program menarik di TV3, layari akaun rasmi media sosial @TV3Malaysia, atau strim langsung secara eksklusif di Tonton, myFreeview CH103, Astro CH103, serta unifi CH103.Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

HAEL SIAPKAN LAGU ‘PENJUARA’ DALAM SEMINGGU! SEMANGAT FANBOY BUAT SEMUA JADI! | RUNUT BUNYI RASMI EJEN ALI THE MOVIE 2 YANG PENUH ADRENALIN DAN INSPIRASI UNTUK TERUS MARA

Penyanyi dan pencipta lagu popular, Hael Husaini tampil dengan single terbaharu bertajuk “Penjuara”, runut bunyi rasmi untuk filem animasi tempatan yang sedang hangat ditayangkan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2). Mengaku bahawa mereka juga peminat besar Ejen Ali, Hael bersama kolaborator kreatifnya, Iqie Hugh, dengan penuh semangat berjaya menghasilkan sebuah lagu dalam masa yang singkat, khas buat semua yang sedang berjuang mengejar impian.

Lagu tersebut turut dimuatkan dalam filem EATM2 untuk mengiringi babak penuh debaran di saat ejen-ejen MATA sedang giat menyamar untuk memburu antagonis Neonimus, yang berniat mengadakan kekacauan besar. Sempena tayangan EATM2 yang sedang berlangsung di musim cuti sekolah kini, video lirik “Penjuara” juga telah dimuat naik di saluran YouTube rasmi Ejen Ali pada hari Jumaat lalu. Video tersebut mencatat hampir 55,000 tontonan setakat ini, dan menerima pelbagai respon positif dari penonton yang memuji keserasian alunan muzik yang rancak serta penulisan lirik lagu Hael dan Iqie dalam mood dan vibe dunia perisikan futuristik Ejen Ali.


“Penjuara” mengangkat tema optimisme dan jiwa yang tidak pernah luntur. Menerusi lirik padu dan melodi catchy berentak electro pop, lagu ini membawa mesej bahawa setiap individu mampu menjadi “penjuara” dalam hidup mereka sebagai seorang wira yang tidak gentar menghadapi cabaran dengan ‘lari’ ke hadapan. 

Keunikan lagu ini terletak pada susunan muziknya yang membangkitkan adrenalin, membawa pendengar menyelusuri sebuah perjalanan penuh iltizam dan keberanian. Lirik pembukanya “La la lari ku lari” melambangkan permulaan sebuah perjalanan yang penuh persoalan dan ketidakpastian. Namun chorusnya berubah menjadi laungan, membakar tekad untuk terus melangkah tanpa henti — “Selagi ku masih di sini, akan ku terus berlari.”

Proses rakaman lagu ini hanya mengambil masa sehari, manakala keseluruhan penghasilan siap dalam tempoh seminggu. Hael berkongsi, “Masa yang terhad bukan penghalang sebab kami memang peminat Ejen Ali. Lagu ini direka berdasarkan penceritaan filem dan mempunyai maksud tersendiri.”

Beliau turut menyifatkan peluang mencipta lagu untuk filem ini sebagai satu pencapaian besar buat dirinya dan Iqie Hugh. “Ini antara peluang terbesar buat kami, dan kami sangat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Membuat lagu untuk dunia Ejen Ali bukan sahaja satu cabaran, malah satu aspirasi yang jadi kenyataan.”

Menariknya, peminat juga berpeluang untuk menonton EATM2 dan beramah mesra bersama Hael serta maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia di sebuah sesi tayangan istimewa yang akan berlangsung di GSC MyTown Shopping Centre pada hari Rabu, 4 Jun 2025, jam 8.30 malam. Tiket yang berharga RM35 boleh dibeli sekarang di laman sesawang GSC, dan dipakejkan bersama barangan eksklusif Ejen Ali.

Merupakan hasil kerjasama antara Alternate Records dan Rocketfuel Entertainment, “Penjuara” kini tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Audio lagu ini yang digunakan dalam pelbagai hantaran video di TikTok turut mencatat 500,000 tontonan  dalam masa seminggu selepas dilancarkan.


Sama ada anda peminat Ejen Ali atau seorang pejuang impian dalam dunia nyata, “Penjuara” ialah lagu yang akan menyuntik semangat anda untuk terus mara tanpa henti. Dengarkan sekarang!

Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

EJEN ALI THE MOVIE 2  RAIH RM34.2 JUTA, PECAH REKOD FILEM PERTAMA! | Sah Filem Pilihan Keluarga Cuti Sekolah Ini

Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini secara rasmi mencipta sejarah apabila berjaya mencatat kutipan melebihi RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari, sekali gus memecahkan rekod kutipan filem pertamanya. Pencapaian ini turut menjadikan EATM2 filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam masa yang paling singkat!

Lebih membanggakan, EATM2 juga berjaya mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa yang ditayangkan pada bulan Mei 2025 seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch, sekaligus membuktikan kehebatan karya tempatan yang menerima saingan sengit di layar perak. 


Setakat ini, lebih 2 juta penonton telah melaporkan diri untuk menyaksikan EATM2. Pencapaian memberangsangkan ini dipacu oleh kehadiran luar biasa penonton di pawagam, menjadikan EATM2 sebagai filem pilihan utama seisi keluarga sepanjang musim cuti sekolah yang bermula 29 Mei lalu. Ramai penonton berkongsi  bahawa mereka telah menonton filem ini lebih daripada sekali, dan teruja mengajak ahli keluarga lain untuk turut serta menjadikannya aktiviti beriadah bersama di musim cuti!

Kejayaan ini turut mencerminkan perkembangan positif dalam penerimaan filem animasi tempatan yang dilihat semakin mendapat tempat di hati khalayak umum. Pengarah filem, Encik Usamah Zaid Yasin berkata, “Kami hasilkan sekuel ini dengan sepenuh hati demi memenuhi jangkaan peminat setia yang lama menanti misi Ejen Ali, bukan sahaja untuk membawa animasi Malaysia bersaing setaraf dengan naskhah antarabangsa. Reaksi penonton, air mata, tawa dan tepukan di pawagam, itu semua hadiah paling berharga buat kami dan amat menggalakkan kami untuk terus mengembangkan dunia penceritaan Ejen Ali. Buat para ejen yang sudah berulang kali menonton, terima kasih kerana terus menyokong EATM2 di pawagam.”

Sementara itu, Puan Nini Yusof, Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios turut berkongsi rasa syukur terhadap rekod baharu yang dicapai.  “Kami sangat bersyukur dan terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan kepada Ejen Ali The Movie 2. Kutipan RM34.2 juta ini bukan sekadar satu angka, ia adalah simbol keyakinan rakyat Malaysia terhadap kualiti produksi animasi dan usaha tenaga kerja tempatan. Terima kasih kerana terus mempercayai misi Ejen Ali.” 

Diharapkan sambutan hangat daripada peminat filem tempatan akan berterusan, agar EATM2 terus melakar sejarah di layar perak.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut luangkan masa bersama anak-anak menonton Ejen Ali The Movie 2! 


Filem Ejen Ali The Movie 2 terus mencuri perhatian pelbagai lapisan penonton, termasuk biduanita negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menonton bersama anaknya, Afwa dan Aafiyah. Beliau memuji mesej positif yang diketengahkan dalam hantarannya di platform TikTok, “Bawak Afwa & Aafiyah menonton Ejen Ali… #EjenAliTheMovie2. Bagi saya movie Ejen Ali banyak mesej positif yang ditampilkan, mengajar anak kita tentang disiplin, keberanian dan keyakinan diri. Parents bolehlah bawa seisi keluarga menonton bersama di musim cuti sekolah ni!”

EATM2 kini masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Bagi yang belum menyaksikannya, inilah masanya untuk menjadi sebahagian daripada fenomena animasi terbesar Malaysia!


Perhatian Ejens, khususnya ibu bapa!

Misi cuti sekolah kini bermula — jangan lepaskan peluang untuk menghabiskan masa berkualiti bersama insan tersayang! Pawagam-pawagam kini sudah mula dipenuhi, lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai aktiviti tambahan seperti pertandingan mewarna, penampilan maskot serta koleksi barangan terhad di lokasi terpilih. Jadi pastikan anda tidak ketinggalan! Bawa anak anda ke pawagam terdekat dan alami sendiri keseronokan serta pengajaran bermakna yang dibawa oleh filem ini.

Satria, Bangkit - Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi! Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif, dan kemas kini di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios Film.

Gunakan #ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY #sapotlokal #SaluteAnimatorTempatan untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!

****************************

Mengenai Ejen Ali the Movie 2
Di bandar futuristik Cyberaya, “Ejen Ali the Movie 2” mengisahkan seorang budak lelaki yang secara tidak sengaja direkrut sebagai ejen rahsia  oleh agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency (MATA). Ejen Ali bersemangat untuk membuktikan dirinya dalam Projek Satria, sut berperisai yang dibantu Kecerdasan Buatan (AI) terbaru MATA. Semasa Ali bergelut dengan tanggungjawab barunya untuk menguasai Satria, dia harus menerima keputusan MATA untuk memberikan rakan (dan saingannya) Alicia sebagai pemegang seterusnya peranti superkomputer, IRIS. Sementara itu, penggodam Neonimus muncul semula untuk mencetuskan kekacauan terhadap MATA, menandakan konspirasi yang lebih besar di Cyberaya.

Sejak tayangannya di saluran televisyen Malaysia, TV3, pada tahun 2016, “Ejen Ali” telah disiarkan dan distrim di lebih 65 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah dan Afrika Utara, benua India, serta Amerika Utara. Dua musim pertama siri ini diikuti  dengan “Ejen Ali The Movie” pada November 2019, yang meraih kutipan box-office yang mengagumkan sebanyak RM30 juta (USD8 juta) di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia, menjadikannya salah satu filem animasi dengan kutipan tertinggi di 

Malaysia setakat ini. Bahagian terbaru, “Ejen Ali Season 3”, juga memegang gelaran sebagai harta intelek animasi Malaysia pertama yang diterbitkan bersama Disney+ Hotstar Asia Tenggara, dan pertama kali dilancarkan secara eksklusif di perkhidmatan penstriman tersebut pada Jun 2022.

Mengenai Primeworks Studios
Primeworks Studios adalah syarikat pengeluaran terkemuka di Asia Tenggara yang terlibat dalam perniagaan kandungan kreatif di setiap aspek rantaian media dalam pengeluaran TV dan filem, jualan kandungan, pengedaran dan pemasaran filem, animasi, kandungan berjenama, serta pelesenan dan peruncitan. Ia adalah syarikat kandungan yang memenangi pelbagai anugerah dan menghasilkan lebih daripada 3,000 jam kandungan menarik setiap tahun untuk pelbagai platform, termasuk televisyen, pawagam, dan digital. Rumah produksi ini adalah tenaga kreatif di sebalik pelbagai genre kandungan termasuk hiburan, animasi, majalah, dokumentari, sukan, dan drama.

Mengenai WAU Animation
WAU Animation adalah sebuah studio animasi CG yang ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh sekumpulan bakat kreatif dengan pengalaman hingga 17 tahun dalam menghasilkan siri animasi CG dan filem cereka yang memenangi pelbagai anugerah. Di tengah-tengah WAU Animation adalah keinginan untuk mencipta animasi yang dapat menyentuh hati penonton. Kami bercita-cita untuk menceritakan kisah-kisah yang menakjubkan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga bermakna dan memberi inspirasi, sambil pada masa yang sama disuntik dengan elemen tempatan, kerana kami percaya kuat dalam menampilkan identiti Malaysia yang unik.

Persaingan minggu keenam Big Stage Alpha menyaksikan Afiq Sky (67.55%) menerima Imuniti X daripada Datuk Syafinaz Selamat, sekali gus menyelamatkannya daripada penyingkiran. Ini menjadikan Allan Andersn (57.70%) dan Awienit (59.05%), yang turut berada dalam kelompok tiga terbawah, sebagai peserta yang tersingkir minggu ini. 

Bertemakan Rendisi EH, para peserta mempersembahkan lagu-lagu pilihan juri Edry Abdul Halim dan Hael Husaini dengan interpretasi tersendiri. Persembahan bertenaga Ariel Fesol dengan lagu Yank nyanyian asal Wali Band dalam susunan rock berjaya meletakkannya di tangga teratas dengan markah 83.30%, diikuti Izat Ibrahim (81.70%) dan Ray-D (80.60%). 

Minggu suku akhir ini turut menampilkan penyanyi MimiFly sebagai juri jemputan. Jangan ketinggalan menyaksikan Big Stage Alpha setiap minggu di Astro Ria (Saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.

SENARAI LAGU

Alpha Ultra: Fantastic Baby - Big Bang

Alpha Prime: Crooked - G-Dragon

Izat Ibrahim: Kasih Berubah - Ferhad (81.70%)

Ray-D: Dari Mata - Jaz (80.60%)

Araff: Sampai Mati - Hazama (78.30%)

Arief Fesol: Yank - Wali Band (83.30%)

Rizal Rasid: Apa Saja - KRU (78.00%)

Afiq Sky: Noktah Cinta - Hafiz Suip (67.55%)

Awienit: Rumah Singgah - Fabio Asher (59.05%)

Daniel Sher: Bukan Lagi Kita - Nadeera (78.55%)

Allan Andersn: Sumpah dan Cinta Matiku - NIDJI (57.70)

INFO PROGRAM BIG STAGE ALPHA

• Buat julung kalinya, Big Stage Alpha tampil dengan format all-male spin-off, menampilkan 18 bintang lelaki yang akan bersaing untuk merebut peluang eksklusif menjadi sebahagian daripada “boy group” (kumpulan lelaki) pertama yang bakal debut di bawah naungan Astro, ditentukan melalui gabungan markah juri dan undian peminat.

• Peserta-peserta ini yang berusia antara 18 hingga 37 tahun, datang daripada pelbagai latar belakang termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia.

• Setiap minggu, mereka akan diuji hingga ke had maksimum melalui persembahan solo dan misi berkumpulan berdasarkan tema yang diberi. Juri akan memberikan markah, namun undian peminat yang akan menentukan siapa yang layak ke peringkat akhir.

• 6 finalis akan membentuk sebuah ‘boy group’ (kumpulan lelaki) yang akan membuat kemunculan dibawah naungan Rocketfuel bersama Astro.

• Big Stage Alpha lebih wangi dengan Perfume Paradise yang hadir selaku Penaja Utama, dan juga ZUS Ngupi selaku Kopi Rasmi sepanjang musim ini dijalankan.

• Musim baharu ini turut berkolaborasi bersama Astro Gempak selaku Rakan Digital dan ERA sebagai Rakan Radio Rasmi.

Blog Performance May 2025

 

Bulan Jun dah menjelma, dah mencecah setengah tahun 2025 dah. Tak sempat nak buat apa sangat pun know know finish dah bulan Mei. 

1. PV


Walaupun all time pageviews dah mencecah 7 juta, satu lagi angka juta berjaya dicapai tapi pageviews bulanan jatuh sikit berbanding bulan April 2025. Ingatkan boleh naik banyak bulan ni tapi tak sempat nak buat apa sangat sebab banyak cuti. Bila banyak cuti, banyak lah aktivitinya. Tak sempat nak update sangat pun. 

2. Post


Masa weekend je sempat update few reviews supaya tak tenggelam dalam press release yang aktif setiap hari. Popular Post untuk bulan Mei tak banyak yang mencecah 1k views, mungkin sebab tak banyak movie baru atau trending. Tak banyak attend event atau screening pun bulan lepas sebab jauh so I tolak dekat orang lain je. Bila tolak dekat orang lain macam mana nak buat review kan? Hopefully bulan Jun boleh tambah views. Macam mana tu tak pasti hshshs

3. Keywords


Like I said in previous month or way before that, orang dekat Malaysia ni memang bergantung teruk dengan Netflix so kalau drama dah terbit lama tapi baru ditayangkan dekat Netflix confirm naik dan trending macam drama Rampas Cintaku 2. Keywords yang paling tinggi untuk bulan Mei diungguli oleh drama ni. 

No wonder lah sekarang Astro dan Media Prima berlumba-lumba masukkan drama diorang dekat Netflix. I lah yang seronok sebab boleh layan dekat situ dengan speed 1.5x. Dekat Netflix je yang ada kelebihan ni sebab tu lah stay. iQiyi ada jugak tapi cerita dia tak best sangat. 

4. Bilangan Entri


Bulan Mei ada banyak press release untuk Ejen Ali, hampir setiap hari ada update dari Media Prima so setiap hari juga lah I update blog dengan press release. Tak hairan pun kalau 40 entri ialah press release sementara lagi 20 entri tu dari I sendiri. I tak lah berapa gemar sangat tapi buat sementara waktu ni hadap je lah sebelum jumpa masa yang senggang untuk banyakkan personal content. 

Dengar cerita varian baru Covid dah mula menyerang terutamanya di Thailand so be safe ye everyone. Kalau ke tempat sesak pakailah face mask dan sanitize tangan. 

NIDJI KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK MISI CUTI SEKOLAH BERSAMA EJEN ALI

Saturday, 31 May 2025


NIDJI KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK MISI CUTI SEKOLAH BERSAMA EJEN ALI | Nidjiholics & Ejen Ali Fans, Inilah Masanya!

Kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Nidji, kembali semula ke Malaysia dengan misi hiburan yang penuh semangat bersempena tayangan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2). Selepas kejayaan lagu tema ‘Teman Sejati’ yang kini semakin mendapat tempat di hati peminat, kehadiran Nidji ke Malaysia bakal mempertemukan mereka secara langsung dengan peminat setia – bukan sahaja dari kalangan Nidjiholics, tetapi juga pencinta dunia Ejen Ali.


Menerusi aktiviti Ejen Ali Nonton Bareng with Nidjiholics, peminat berpeluang bertemu dengan ahli kumpulan Nidji sambil menyaksikan tayangan filem EATM2 pada 1 Jun ini. Di GSC IOI City Mall Putrajaya (WEST), sesi Meet & Greet bersama Nidji serta maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia akan berlangsung selepas slot tayangan pada jam 2:25 petang dan 2:45 petang tamat. Manakala di GSC One Utama, Nidji akan hadir untuk berjumpa dengan peminat pada jam 9:00 malam, diikuti dengan menonton tayangan bersama peminat pada jam 9:15 malam. Dengan harga tiket RM35, penonton bukan sahaja dapat menikmati filem animasi ini, malah turut menerima barangan rasmi eksklusif Ejen Ali. Tiket boleh didapati di GSC dan acara ini dijangka menjadi antara tarikan utama sempena musim cuti sekolah, memperkukuh jalinan antara muzik, filem dan peminat.

Selain itu, Nidji akan turut membuat penampilan khas di TGV Central i-City, Shah Alam pada 3 Jun menerusi sesi lawatan ke empat dewan tayangan selepas slot tayangan pada jam 12:30 tengah hari, 12:45 tengah hari, 1:00 petang dan 1:15 petang tamat. Setiap sesi menawarkan suasana yang lebih dekat dan mesra. Penonton juga boleh merasai keterujaan bergambar bersama barisan artis serta maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia, selain peluang memenangi barangan eksklusif filem. 


Sebagai pelengkap kehadiran mereka di Malaysia, Nidji akan tampil dalam program eksklusif Melodi Showcase: Nidji x EATM2 Music Tour yang menghidupkan kembali magis lagu-lagu hits mereka, yang pasti membangkitkan nostalgia dan semangat. Rancangan eksklusif ini akan disiarkan di TV3 pada bulan Jun sebagai salah satu sajian khas sempena sambutan ulang tahun TV3 ke-41, menambahkan lagi kemeriahan barisan program yang diraikan bersama penonton setia.

Kolaborasi antara Nidji dan Ejen Ali menerusi lagu ‘Teman Sejati’ telah mendapat pujian ramai kerana gabungan elemen lirik yang memberi inspirasi, melodi segar serta keserasian dengan tema persahabatan dalam filem. Dengan irama pop yang mesra telinga dan lirik yang menyentuh perasaan, lagu ini menjadi anthem kepada ikatan tulus yang menyatukan para ejen dalam menghadapi cabaran besar, serta membawa maksud mendalam tentang erti sebuah persahabatan. 


Satria, Bangkit - Filem Aksi Animasi Mempesona, Meledakkan Emosi!
Dapatkan tiket anda sekarang dan jadikan cuti sekolah ini penuh dengan kenangan istimewa bersama keluarga. Bertindak segera!

Gunakan #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #EjenAli #Letsplay #AniMY #SapotLokal #SaluteAnimatorTempatan untuk kongsikan pengalaman anda dan hangatkan lagi perbualan di media sosial!

Movie Review | Chhaava (2025)


Director: Laxman Utekar
Writers: Laxman Utekar, Rishi Virmani, Kaustubh Savarkar, Unman Bankar, Omkar Mahajan
Cast: Vicky Kaushal, Akshaye Khanna, Rashmika Mandanna
Production Company: Maddock Films 
Distributors: Pen Marudhar (India), Yash Raj Films (international), Netflix
Genre: History / Action
Running Time: 161 minutes
Release Date: 14 February 2025
Trailer:


Diadaptasikan dari novel Marathi berjudul Chhaava karya nukilan Shivaji Sawant mengisahkan tentang Chhatrapati Sambhaji Maharaj (Vicky Kaushal) sebagai raja kepada Kerajaan Maratha pada kurun ke 16. Pemerintahannya berperang dengan Empayar Mughal yang diketuai oleh Aurangzeb (Akshaye Khanna). 

Setelah menang dalam perang di Burhanpur, salah satu kawasan sub-urban dalam Empayar Mughal, Sambhaji Maharaj pulang ke istana disambut oleh isterinya, Yesubai Bhonsale (Rashmika Mandanna). Tak lama kemudian Sambhaji terpaksa bersedia sekali lagi untuk berperang dengan tentera Mughal yang ingin membalas dendam lalu berjaya menangkap Sambhaji dan bawa ke pangkalan utama mereka. 


Naskhah Chhaava arahan Laxman Utekar yang terkenal dengan filem Zara Hatke Zara Bachke (2023), Mimi (2021) dan Luka Chuppi (2019) membawakan kisah Kerajaan Maratha setelah sekian lama tidak diterbitkan oleh Bollywood selepas filem Bajirao Mastani (2015), Panipat (2019) atau Tanhaji (2020). 

Dalam filem Chhaava tak banyak dapat diperjelaskan dengan mendalam kerana pada ketika itu sendiri terdapat banyak konflik dalaman yang berlaku pada kedua-dua belah pihak. Sementara Maharaja Sambhaji bergelut dengan pengkhianatan saudara sendiri, Aurangzeb pula malu dengan kelemahan anak tunggalnya, Putera Muhammad Akbar (Neil Bhoopalam).


Jalan cerita yang mudah difahami dengan pace yang sederhana digunakan untuk cover few events yang terjadi sebelum, semasa dan selepas Pertempuran Burhanpur pada ketika itu. Banyak watak sampingan dimasukkan tapi penulis tak kenalkan dengan baik so I just layan tanpa memorize atau connect dengan semua watak sampingan kecuali Maharaja Sambhaji dan Aurangzeb. Padahal watak Santaji (Ankit Anil Sharma), Dhanaji (Shubhankar Ekbote) atau Hambirrao (Ashutosh Rana) antara watak penting yang akan membantu elemen dramatik yang dialami oleh Sambhaji selepas perang. 

Sinematografi Saurabh Goswami yang pernah bekerja bersama Maddock Films dalam filem Munjya (2024) mendukung visi Laxman Utekar untuk menghidupkan Kerajaan Maratha yang berani dan perkasa. Penggunaan CGI mengukuhkan lagi landskap Kerajaan Maratha dan Empayar Mughal yang mewah dengan budaya masing-masing. Costume department did justice to each character dalam Chhaava dan mengikut sama seperti apa yang dipakai oleh masyarakat pada era tersebut.  


Lakonan Vicky Kaushal bersinar dengan cemerlang sebagai raja gagah perkasa yang rela berkorban untuk menjaga rakyatnya. Watak Sambhaji yang dibawakan oleh Vicky Kaushal terlihat seperti wira yang digeruni oleh rakyat juga musuh di luar kerana fizikal badannya yang tegap dan sasa. Walaupun Aurangzeb antara raja yang digeruni pada era tersebut tapi saingannya juga tak kurang hebat. Dialogue delivery Vicky buatkan rasa terpengaruh setiap kali dia bercakap atau laung mantra Hindu. 

Dalam filem Chhaava mungkin pengarah sengaja tone down watak Aurangzeb kerana ingin mengangkat raja yang mempertahankan agama Hindu di tanah India. Selepas Aurangzeb mangkat baru lah Kerajaan Marathi naik sebagai Kerajaan yang kuat sepertimana diceritakan dalam filem-filem sejarah yang lain. 


Kelemahan filem Chhaava terletak pada music score dari music maestro A.R. Rahman. Walaupun ada beberapa lagu yang meninggalkan impak seperti Jaane Tu untuk menguatkan kisah cinta Sambhaji dan Yesubai namun lagu Aaya Re Toofan yang dinyanyikan sendiri oleh A.R. Rahman kurang memberi kesan kerana suara dia yang soft. Patutnya guna penyanyi bersuara besar dan dalam macam BPraak atau Sachet.



Kurang berkenan sebenarnya dengan Rashmika Mandanna sebab screen presence dia tak lah kuat mana. Walaupun banyak kali dapat solo screentime tapi chemistry dia dengan Vicky kurang menjadi. Babak dia tangkap tali barut dalam istana nampak terpaksa sangat untuk dapatkan emosi marah tu. Patunya biar Diana Penty yang lakonkan watak Yesubai dan bagi Aditi Rao Hydari untuk watak Zinat-un-Nissa Begum, anak perempuan Aurangzeb. 

Apapun Chhaava boleh dilayan untuk yang minat dengan sejarah pertarungan antara Hindu dan Islam pada kurun ke-16 di Netflix. Walaupun ada genre action tapi pertarungan dia more to masala so a bit mehh for me. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +0.6, 3. Audio +0.5, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.6, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.5 = 5/10

Movie Review | Almarhum (2025)

Friday, 30 May 2025


Pengarah: Adhe Dharmastriya   
Penulis Skrip: Evelyn Afnilia
Pelakon: Ratu Sofya, Dimas Aditya, Rukman Rosadi, Nova Eliza, Alzi Markers
Syarikat Produksi:  Unlimited Production, A&Z Films
Pengedar: GSC Movies (Malaysia) 
Genre: Seram
Durasi Tayangan: 103 minit
Tarikh Tayangan: 9 Januari 2025
Trailer:


Menjadi kepercayaan kepada masyarakat Jawa di mana orang yang meninggal pada hari Selasa Kliwon akan dianggap sesuatu yang sial. Roh almarhum akan kembali menghantui ahli keluarganya supaya dapat dibawa bersama ke alam barzakh. 

Begitulah yang terjadi kepada keluarga Pak Mulwanto (Rukman Rosadi) setelah ketua keluarga meninggal akibat terkena renjatan elektrik dalam kamar mandi. Pak Mulwanto merupakan pemilik tanah ladang di kampung tersebut. Walaupun hidup selesa dan anak-anak berjaya dalam kehidupan namun Pak Mulwanto seorang yang rendah diri dan sentiasa menjaga kebajikan para pekerja. 


Terkesan dengan kehilangan suaminya, Bu Rahmi (Nova Eliza) menjadi kemurungan dan bertindak aneh. Anak bongsunya, Yanda (Alzi Markers) percaya dengan saranan Pak Budi (Gito Gilas) supaya melakukan ritual ketika menghantar jenazah Pak Mulwanto ke kubur. Walaupun perbuatan tersebut tidak disetujui oleh abangnya, Wisesa (Dimas Aditya), namun tidak juga dia menghalang adat setempat. 

Sama seperti Pak Mulwanto, Bu Rahmi juga merasa sejuk hingga menggigil kedinginan walaupun pada hari siang. Malam pula dia akan diganggu oleh roh Pak Mulwanto yang ingin mengajak dia ke alam sana. Melihat kelakuan ibunya, Yanda semakin yakin dengan cadangan Pak Budi lalu memujuk kakaknya, Nuri (Safira Ratu Sofya) ke rumah Mbah Sukma (Ruth Marini)


Naskhah seram Almarhum arahan Adhe Dharmastriya menggunakan kepercayaan masyarakat Jawa sebagai asas penceritaan. Selalunya bila layan filem seram Indonesia, akan diceritakan tentang malam Jumaat Kliwon tapi kali ini diceritakan tentang Selasa Kliwon. Kenapa dianggap begitu tidak pula dijelaskan oleh Evelyn Afnilia sebagai penulis. 

Vibe filem Almarhum terbitan Unlimited Production dan A&Z Films lebih kurang sama dengan franchise Final Destination. Pengarah tease sedikit demi sedikit sebelum beberapa watak dibunuh oleh roh Pak Mulwanto. Bila tengok first half filem Almarhum ni boleh nampak betapa sialnya meninggal pada Selasa Kliwon sampaikan roh orang yang baik boleh bertukar jadi jahat. 


Tapi bila masuk second half dah boleh nampak ada sesuatu yang tak kena dengan cara kematian setiap watak. Simptom yang sama dialami oleh beberapa watak tersebut tambah pula watak Ajeng (Meisya Amira) yang mencurigakan. Bila tengok Wisesa pandang ubat dengan pelik, makin bertambah curiga dengan watak Ajeng. 

Sinematografi oleh Guntur Arief Saputra menggunakan suasana kampung yang seram dan sunyi. Rumah kediaman Pak Mulwanto sebenarnya luas dan cantik tapi disebabkan jadi lokasi filem seram, sekaligus bertukar ngeri. Filem Almarhum tampak seperti dibikin dalam bajet yang rendah sebab tak banyak props digunakan untuk menghidupkan latar kekeluargaan Pak Mulwanto. But still the aesthetic speaks volume in most of the scenes. 


Kalau lemah semangat better jangan layan filem Almarhum sebab jumpscares dia banyak, cara kematian pun ngeri dan gore seakan-akan Final Destination. Ada babak yang takut sampai terpaksa pejam mata sebab tak nak tengok kemunculan pocong. Nanti tak boleh tidur sebab terbayang-bayang muka pocong. 

Jalan cerita Almarhum mudah difahami sebab bersifat straightforward dan predictable cuma watak antagonis memang menyakitkan hati. Nak terlihat mangsa padahal sendiri malas nak berusaha dalam hidup dan mengaharapkan simpati orang. Bila tak dapat apa yang dia nak, aniaya orang pula. 


Daripada masukkan flashback, ada eloknya kembangkan lagi watak Wisesa berbalah dengan Yanda tentang logik dan kepercayaan karut sebab durasi filem ni tak lah panjang mana sampai kita boleh terlupa apa yang terjadi pada first half. 

Tengok ending macam akan ada sekuel sebab ada beberapa pertanyaan yang tak dijawab dan pertanyaan tersebut juga membuka ruang untuk plot yang baru. Tapi tengok pada penerimaan audience, rasanya kita boleh karang sendiri jawapan untuk pertanyaan-pertanyaan tersebut.

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +0.8, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.5, 6. Genre +0.6, 7. Themes +0.8, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.8, 10. Personal Thought +0.5 = 6.7/10