Syokpot Grill & Steamboat Buffet Kota Damansara

Thursday, 18 December 2025

Plan asal nak pergi celebrate birthday dekat Grill & Steamboat Subang Bestari tapi ditutup sementara sebab ada pengambilalihan pengurusan baru. Bila Google ternampak pula Syokpot Grill & Steamboat Buffet dekat Kota Damansara. Nice lah sebab dia ada oyster macam dekat steamboat subest tu. 

Restoran Syokpot ni senang dicari sebab dari traffic light pun dah nampak unit dia sebab warna kuning pekat. Nak park kereta pun senang sebab dia dekat corner lot. Kitorang pergi masa public holiday so parking tak payah bayar. Kalau bayar pun, tak mahal pun sebab dekat sini ada time limit, 120 minit. 





Seating boleh pilih nak duduk luar atau dekat dalam tapi kitorang buat pilihan yang kurang tepat sebab meja tu rupanya sebelah laluan orang keluar masuk. Bila orang nak keluar macam mengganggu lah kita makan sebab kadang terlanggar. Tak pasti lah kalau tu sebenarnya bukan laluan tapi ada gap pokok so orang main redah je sebab shortcut. Lagi tak best bila ada yang merokok dekat situ. Bukan seorang tapi berkumpulan. Sambil makan sambil sedut asap rokok. Kau rasa?


Seating dekat sini rapat-rapat, ada juga meja yang rapat dengan kaunter ambil bahan kering. Nak ambil pun susah sebab tangan kita pendek, susah lah sikit nak capai bila laluan terhalang. Kaunter bahan dia banyak, I rasa lebih 100 bahan disediakan which is good tapi fridge dia besar. 

Masa tengah ambil bahan seafood tapi tak ingat apa, ada pakcik ni datang tolak pintu freezer sampai ke hujung padahal I tengah ambil bahan masa tu. Dia nak ambil udang dekat hujung kiri, I dekat hujung kanan so boleh je bertolak ansur tolak sikit je supaya dia dan I sama-sama ada space supaya bahan tu boleh diambil tapi dia lebih memilih untuk pentingkan diri. 





Tiram dekat sini dah diletakkan bawang putih dengan halia so tak tahu tiram dia segar ataupun tak. Bila rasa macam sedih jugak lah sebab rasa bawang putih dengan halia lagi kuat. Dalam banyak-banyak kitorang ambil tu ada lah satu dua yang rasa fresh. 


Syokpot ni kira berbaloi lah harganya sebab bahan yang dia letak lebih kurang macam Nabe Hotpot, ada itik, ada oyster, ada dumpling, ada seafood yang menarik dan pelbagai. Siap ada buah-buahan lagi disediakan.



Bahagian ready-to-eat je lah kurang menarik sikit sebab nasi goreng dia jenis nasi goreng cina yang oily tu. Uniknya dekat sini ada shark fin soup. Ada chili crab juga tapi setiap seorang boleh ambil sekali sahaja supaya semua sama-sama dapat. Crab chili dia ada mantao sekali tapi bukan free flow lah. Dia akan buat announcement bila chili crab dah ready. I tak rasa pun masa tu so tak tahu lah sedap ke tak.




Sebagai penggemar seafood, memang seronok lah makan dekat sini sebab banyak hidupan bercengkerang kitorang boleh makan. Tapi yang tak bestnya sebab sup yang disediakan dekat sini tak sedap. Tak silap ada 6 pilihan sup dekat Syokpot so kitorang pilih sup ayam dengan matang spicy soup. 

Sup ayam dia tawar, tak ada rasa ayam pun, malatang spicy pula menyeksakan sebab banyak serbuk cili. Setiap kali hirup sup tu akan tersedak lah sebab cili tu melekat dekat tekak. Pedas dia bukan dekat lidah tapi tekak which I find uncomfortable lah. Dah letak banyak seafood dalam tu pun kuah dia tak sedap sebab rasa cili over teruk. Mungkin orang lain suka la kot tapi kitorang menyesal lah pilih dua kuah ni. 




Tak tahu lah dia ni nama apa. Takut nak ambil banyak sebab dia besar. Kalau besar selalunya tawar tapi dia manis je lepas dah masak. Sebab cengkerang dia besar dan tebal, ambil masa yang lama juga nak tunggu dia buka cengkerang tu. But totally worth the wait lah. 


Tak ingat dah ambil campuran sos apa masa tu tapi sos cili dia dah serupa sambal belacan minus belacan. Pilihan sos dia kurang menarik but that's just us, mungkin ada yang pandai buat campuran sos yang menarik. 



Aiskrim dia ada dua jenis, yang satu macam biasa tapi yang dalam gambar atas tu dia macam aiskrim kisar. Perisa pun banyak pilihan jugak. Masa nak balik baru perasan dia ada waffle tapi perut dah penuh sangat untuk makan waffle T.T


Ada pilihan banyak pun tak menjamin kebahagiaan sebab I jenis slow eater so it's like a sport to me untuk habiskan semua makanan dalam masa 2 jam hshshs. Tak sempat pun nak merasa semua. Lepas bayar tu dah claim untuk birthday, dapat lah peluang untuk putar roda bertuah ni. Tapi adik I sejenis yang tak bertuah sebab dia dapat Happy Birthday Shout je. 


Dekat sini ada juga service nyanyi Happy Birthday macam dekat KFry tu tapi adik taknak sebab segan so tak tahu lah service tu bayar ke apa. 

Not bad lah makan dekat sini walaupun ada pengalaman yang tak best dan mungkin tak akan datang dah lepas ni unless steambot pilihan kitorang tutup. 

SELEPAS JERMAN DAN INDIA, ‘BAD COP’ DIADAPTASI DALAM VERSI MALAYSIA UNTUK SIRI PREMIUM ASTRO ORIGINALS

Wednesday, 17 December 2025

SELEPAS JERMAN DAN INDIA, ‘BAD COP’ DIADAPTASI DALAM VERSI MALAYSIA UNTUK SIRI PREMIUM ASTRO ORIGINALS | Siri Aksi Jenayah Mendebarkan Bawa Nuansa Tempatan, Dikuasakan oleh Kolaborasi Strategik bersama Goodday Charge

Kuala Lumpur, 16 Disember 2025 – Selepas fenomena Generasi : Perfect 10, Astro Originals mempersembahkan sebuah lagi siri premium terbaru, Bad Cop, adaptasi daripada siri jenayah popular Jerman pada tahun 2017. Siri asal ini turut mencapai kejayaan antarabangsa apabila diadaptasi produksi India pada tahun 2024.  

Bad Cop akan menemui penonton bermula 19 Disember 2025 setiap Jumaat, tepat 12.00 tengah malam di OnDemand dan juga di sooka. Penonton juga boleh menyaksikannya di Astro Citra (Saluran 108) pada setiap Jumaat, jam 9 malam, serta di Astro Ria (Saluran 104) pada setiap Sabtu, jam 10.30 malam.

Bagi versi Malaysia, Bad Cop diterajui oleh pelakon Aiman Hakim yang pertama kali membawa dua watak berbeza iaitu protagonis dan antagonis, sekali gus menguji versatiliti dalam lakonannya. Siri ini turut menampilkan bakat-bakat terkenal daripada pelbagai latar,  seperti Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff, Whulandary Herman, Melissa Campbell dan Alvin Wong. 

Menarik lagi, setiap episod menyaksikan kemunculan bintang-bintang popular yang membuat penampilan istimewa. 

Bad Cop membawa pendekatan case-of-the-week, di mana kesemua lapan episod memaparkan kes baharu serta isu sosial tersendiri, antaranya penipuan identiti, marginalisasi komuniti luar bandar, tekanan sosial lelaki moden dan penderaan rumah tangga. Ini membuka ruang kepada pelbagai isu masyarakat yang relevan dan lebih mendalam daripada sekadar konflik keluarga.  

Siri terbitan Astro Shaw ini diterajui showrunner Kavivarmen Vigneswaran, dan diarahkan Jason Chong yang membawa sentuhan visual dan penceritaan premium yang menjadi identiti Astro Originals.  

Bad Cop mengisahkan Emir Khalid, seorang penjenayah bertembung dengan kembarnya yang terpisah, Imar seorang inspektor polis. Pertemuan semula itu bertukar emosi apabila Imar ditembak dan dia menyerahkan identiti polisnya kepada Emir sebagai jalan untuk melarikan diri, tetapi memintanya menunaikan satu janji. 

Menurut Penerbit Eksekutif Bad Cop merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Selepas kejayaan siri premium Liar pada tahun 2023, yang diadaptasi daripada siri thriller pemenang anugerah antarabangsa, kami teruja mempersembahkan Bad Cop, adaptasi daripada siri popular Jerman 2017. Siri ini mengukuhkan lagi komitmen Astro Originals dalam menawarkan kandungan premium dengan naratif berimpak tinggi. Untuk versi Malaysia, siri ini diterajui oleh showrunner dari Astro Shaw, Kavivarmen Vigneswaran dan kami kembalikan pengarah berpengalaman Jason Chong, yang  juga sebelum ini mengarahkan siri Liar. Kami yakin naratif Bad Cop akan mendapat tempat di hati penonton Malaysia kerana cerita kepolisan sememangnya dekat dengan penonton tempatan, dan suntikan elemen lokal menjadikan adaptasi ini lebih relevan, autentik dan mudah dihayati. Kami berharap Bad Cop mampu menetapkan standard baharu bagi premium siri tempatan, sekali gus meneruskan legasi kejayaannya di Jerman dan India.” 

Sebagai sebahagian daripada kolaborasi strategik ini, Goodday Charge telah menyokong lima judul Astro Originals premium sepanjang tahun 2025, yang masing-masing menampilkan manifestasi berbeza kekuatan dalaman:

1. One Cent Thief - Dunia jenayah digital 

2. First Wives - Persahabatan teguh

3. Honey Trap - Ketegangan perisikan dalam Honey Trap

4. Generasi: Perfect 10 - Semangat dan disiplin 

5. Bad Cop - Integriti Diri

Kisah-kisah ini membentuk satu perjalanan yang saling berkait, sekali gus mengukuhkan mesej Goodday Charge bahawa walaupun setiap individu mempunyai potensi untuk menjadi hebat, sentiasa ada ruang untuk melangkah lebih jauh dan menjadi TERHEBAT.

Saksikan dua episod pertama pada 19 Disember 2025 di platform OnDemand dan sooka. Bad Cop boleh ditonton setiap hari Jumaat bermula 12.00 tengah malam di OnDemand atau di Astro Citra (Saluran 108) jam 9 malam, manakala Astro Ria (Saluran 104) setiap Sabtu, jam 10.30 malam. 

Dapatkan info terkini dan tonton klip-klip menarik Bad Cop menerusi platform media sosial rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw seperti di Instagram, TikTok, Facebook, dan juga X. 

Langgan Pek Astro One dengan hanya RM49.99/sebulan. Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga. Tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan menaik taraf ke Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Entertainment dengan hanya RM139.99/sebulan. Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ‘Hi’ ke 03 9543 3838. 

SANTAU PEREMPUAN TERLARANG JADI DRAMA PALING BERANI TAHUN INI!

Tuesday, 16 December 2025

EMMA MAEMBONG TERLIBAT DALAM PERJANJIAN MAUT? | SANTAU PEREMPUAN TERLARANG JADI DRAMA PALING BERANI TAHUN INI!

Kuala Lumpur, 16 Disember 2025 – Setiap impian ada harga, dan ada masanya harga itu terlalu berat untuk diceritakan. Berbekalkan nadi kisah tersebut, Tonton menutup tahun ini dengan sebuah naskhah seram thriller berjudul Santau Perempuan Terlarang, yang menyelam jauh ke sudut paling tersembunyi dunia hiburan dalam merungkai obsesi terhadap populariti demi mengejar puncak kejayaan.

Siri ini bakal menemui penonton mulai 18 Disember 2025 dan akan bersiaran setiap Isnin dan Khamis dengan satu episod berdurasi satu jam, eksklusif di Tonton. Sepanjang perjalanan ceritanya, penonton akan disajikan gambaran sejauh mana seseorang sanggup menggadaikan prinsip dan maruah diri sendiri demi sesuatu yang sukar digapai, disokong oleh barisan pelakon hebat seperti Emma Maembong, Nabil Aqil, Fadlan Hazim, Farid Kamil, Amin Iman dan Hanna Aqeela.

Kisahnya berpusat pada Iqbal (Nabil Aqil), seorang pelakon yang sudah bertahun bertarung nasib dalam industri namun tetap dipandang sepi. Casting silih berganti, tetapi kedudukannya tidak berubah, dan yang paling memilukan, watak utama yang diimpikannya sekali lagi jatuh ke tangan Ako Danial (Fadlan Hazim), pelakon sensasi yang sering menjadi rebutan.

Dalam masa yang sama, hubungan dengan tunangnya, Maria (Hanna Aqeela), semakin goyah akibat tekanan hidup dan kerjayanya yang tidak menentu. Ketika situasi itu mula menelan dirinya, rakannya Maman (Amin Iman) mencadangkan agar Iqbal bertemu seorang wanita bernama Sapora (Emma Maembong), yang dikatakan mampu “membersihkan aura” melalui rawatan tradisionalnya. Sapora dikenali sebagai figura cantik dan lembut tutur kata, sering dipuji kerana kesediaannya membantu sesiapa sahaja yang datang mencarinya.

Sampai ke satu tahap, pertemuan dengan Sapora menjadi titik perubahan hidup Iqbal, seolah-olah seluruh impiannya terbentang di depan mata. Persoalannya, apakah yang sebenarnya dilakukan Sapora hingga hidup Iqbal berubah sedemikian rupa? Adakah Iqbal sedar akan jerat yang perlahan-lahan membelitnya?

Mengulas tentang penglibatannya, Emma Maembong berkongsi, “Saya sudah lama tidak kembali ke genre mistik, jadi watak Sapora membuka ruang untuk saya meneroka sisi yang lebih kompleks dan bersifat psikologi. Dia bukan sahaja wanita misteri, tetapi juga simbol obsesi dan kuasa. Membawa karakter seperti ini memang mencabar kerana ia menuntut saya mengawal emosi secara halus, dengan unsur sensual dan trauma yang perlu dihayati sepenuhnya.”

Nantikan Santau Perempuan Terlarang, sebuah kisah yang bernafas melalui rahsia dan bayang-bayang, mula ditayangkan minggu ini, eksklusif hanya di Tonton.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

Papa Zola The Movie Raih Kutipan Melebihi RM10 Juta

Monday, 15 December 2025

Papa Zola The Movie Raih Kutipan Melebihi RM10 Juta | ‘Penceritaan dan visual memukau tarik perhatian pelbagai generasi penonton’ 

15 Disember 2025, Kuala Lumpur – Filem animasi Papa Zola The Movie terbitan MONSTA Studio dan Astro Shaw yang baru sahaja ditayangkan di pawagam sejak 11 Disember lalu, mencatat kejayaan memberangsangkan apabila berjaya meraih kutipan lebih RM 10 Juta. 

Papa Zola The Movie mencetuskan ‘fenomena kebenaran’ apabila penonton membanjiri media sosial dengan pelbagai reaksi terhadap penceritaan jujur yang dekat dengan realiti kehidupan golongan dewasa, manakala penonton muda terpukau dengan aksi dan visual yang hebat. 

Perkongsian tersebut membuka ruang perbincangan yang lebih luas tentang tekanan hidup zaman sekarang, pengorbanan serta makna kejayaan sebenar. Ini adalah satu pendekatan yang jarang diterokai dalam genre animasi tempatan. Penceritaan yang mendalam, tetapi jujur membuktikan animasi tempatan mampu melangkaui wadah hiburan semata-mata dan berfungsi sebagai medium penceritaan yang matang, berani dan relevan. 

Menurut Pengarah & Penulis Papa Zola The Movie, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, “Terima kasih kepada penonton, media dan pemamer yang menyokong Papa Zola The Movie. Kami tidak menyangka sebuah filem animasi Papa Zola The Movie mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada penonton. Hasil perkongsian dan reaksi penonton membuktikan bahawa ini adalah cerita kita, kisah yang lahir daripada realiti kehidupan. Kami berharap filem ini membuka ruang baharu untuk animasi tempatan tampil dengan penceritaan yang matang dan bermakna.”

Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Melihat reaksi penonton yang tersentuh dan berkongsi pengalaman mereka selepas menonton Papa Zola The Movie merupakan satu penghargaan besar buat kami. Terima kasih kepada semua penonton dan ‘pejuang Kebenaran’ yang memberi sokongan pada filem ini. Menjelang cuti sekolah, kami berharap lebih ramai penonton, khususnya seisi keluarga, dapat meluangkan masa ke pawagam untuk menonton filem ini bersama-sama insan tersayang.”

Papa Zola The Movie sedang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini bakal melangkah panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia dan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.

Kuala Lumpur, 15 Disember 2025 – Apabila cinta diragut dan keluarga berpaling, seorang wanita kehilangan segalanya dalam sekelip mata; mampukah dirinya bangkit semula? Perempuan Tidak Ternikah, sebuah drama sarat emosi yang menyentuh sisi gelap cinta, pengorbanan dan kehancuran, bakal menemui penonton mulai 17 Disember 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.

Menampilkan lakonan mantap Elizad Sharifuddin sebagai Keisya, drama ini turut digandingkan bersama Yusuf Bahrin, Shahz Jaszle, Ali Reza, Raden Zaharatul, Kaza, Sharifah Shahora dan Gabriel Chung. Setiap episod membawa penonton menyelami penderitaan seorang wanita yang diuji tanpa belas, dipaksa bangkit daripada runtuhan hidup yang hampir memusnahkan jiwanya.

Perempuan Tidak Ternikah mengisahkan Keisya (Elizad Sharifuddin), seorang gadis yang dibesarkan oleh neneknya, selepas ibu bapanya berpisah. Tunangnya, Adli (Ali Reza), menjadi satu-satunya tempat Keisya bergantung harap apabila ayah kandungnya, Malik (Kaza), cuba mengambil kesempatan ke atasnya. Kehidupan Keisya terus diuji apabila rahsia silam terbongkar bahawa dia sebenarnya anak luar nikah, dan Malik menuntut wang sebagai syarat untuk menandatangani surat pengakuan pernikahan.

Demi cinta, Keisya dan Adli nekad bernikah di Siam. Namun kebahagiaan itu hanya seketika. Neneknya meninggal dunia akibat serangan jantung, manakala Adli pula maut dalam kemalangan jalan raya. Kehilangan dua insan tersayang membuatkan Keisya jatuh ke lembah kemurungan, lebih perit apabila keluarga Adli menolak dirinya bersama zuriat yang dikandungnya.

Dalam keadaan hampir berputus asa, Keisya diselamatkan oleh Rayyan (Yusuf Bahrin), seorang lelaki yang membantunya bangkit dan memulakan hidup baharu di rumah kebajikan. Walaupun benih cinta mula berputik, trauma masa lalu membuatkan Keisya menepis perasaan itu dan memilih untuk melarikan diri. 

Mampukah seorang bakal ibu bangkit apabila segalanya dirampas daripadanya? Bolehkah hati yang terluka kembali percaya pada kebahagiaan?

Perempuan Tidak Ternikah bukan sekadar drama tentang cinta yang tidak kesampaian, tetapi kisah tentang maruah seorang wanita dan trauma yang diwarisi. Ia mengangkat realiti kehidupan yang sering berlaku dalam masyarakat apabila wanita menjadi mangsa keadaan, penganiayaan dan keputusan orang lain.

Dengan penceritaan yang penuh emosi, konflik keluarga yang mendalam serta lakonan hebat daripada barisan pelakon berpengalaman, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Perempuan Tidak Ternikah, bermula 17 Disember 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Putrajaya, 15 Disember 2025 – Inisiatif hiburan langsung Astro melalui kempen Home of Live terus menerima sambutan luar biasa apabila acara Hello Putrajaya berjaya menarik kehadiran besar di IOI City Mall Putrajaya pada Sabtu lalu. Program ini menzahirkan komitmen Astro untuk menghidupkan hiburan di luar skrin serta menghubungkan peminat dengan bakat tempatan melalui pengalaman interaktif dan persembahan bertenaga.

Menariknya, Hello Putrajaya turut mencatat pencapaian digital dan fizikal yang memberangsangkan dengan meraih 2.043 juta tontonan di TikTok, melepasi sasaran 2 juta tontonan, serta kehadiran lebih 4,000 pengunjung, iaitu dua kali ganda daripada sasaran asal.

Hello Putrajaya berfungsi sebagai platform unik yang menghubungkan penonton dengan selebriti kegemaran mereka daripada rancangan popular Astro seperti Gegar Vaganza 12, Astro Star Quest, Aattaam dan banyak lagi, melalui persembahan langsung, sesi temu mesra dan aktiviti komuniti. Acara ini secara jelas memperkukuh kedudukan Astro sebagai peneraju hiburan negara dan memenuhi janji untuk menghadirkan hiburan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat.

Menurut Ezura Shazween Kamal Bahrin, Penolong Kanan Naib Presiden, Pemasaran Kandungan, Astro, “Hello Putrajaya adalah sebahagian daripada perjalanan kami menuju Konsert Countdown KITA 2026. Tahun ini, kami mahu membawa lebih banyak pengalaman langsung yang autentik dan bermakna kepada rakyat. Home of Live ialah janji Astro untuk menghubungkan peminat dengan bakat tempatan, sekaligus membina hubungan emosional yang lebih kukuh antara komuniti dan jenama Astro.”

Sepanjang acara, pengunjung menikmati pelbagai aktiviti interaktif seperti persembahan muzik secara langsung, sesi temu ramah artis, perkongsian kandungan belakang tabir, serta peluang berinteraksi bersama bakat muda yang sedang meningkat naik. Kejayaan Hello Putrajaya membuktikan bagaimana platform Astro membentuk komuniti fandom yang aktif, inklusif dan penuh semangat, sekaligus menyatukan rakyat Malaysia melalui kuasa hiburan.

Sebagai kesinambungan kepada pengalaman Home of Live, orang ramai boleh menonton pelbagai program, persembahan dan kandungan eksklusif Astro secara langsung atau pada bila-bila masa secara On Demand di Astro, aplikasi Astro GO, melalui platform sooka. Astro terus komited menyediakan akses hiburan terbaik untuk semua, di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

#HelloPutrajaya #HomeOfLIVE #Astro

Movie Review | Good Boy (2025)

Sunday, 14 December 2025


Pengarah: Ben Leonberg 
Penulis Skrip: Alex Cannon, Ben Leonberg 
Pelakon: Indy, Shane Jensen, Arielle Friedman, Larry Fessenden
Syarikat Produksi: What's Wrong With Your Dog?
Pengedar: Independent Film Company, Shudder
Genre: Seram / Misteri 
Durasi Tayangan: 73 minit
Tarikh Tayangan: 8 Mac 2025 (SXSW), 3 Oktober 2025 (United States)
Trailer:


Kisah bermula dengan Todd (Shane Jensen) mengambil keputusan untuk pindah masuk ke rumah pusaka milik mendiang datuknya (Larry Fessenden) yang terletak di kawasan pedalaman New York. Todd membawa anjing peliharaannya dari baka Nova Scotia Duck Tolling Retriever bernama Indy (Indy). 

Vera (Arielle Friedman) membantah keras keputusan adiknya untuk tinggal di rumah tersebut kerana dia menganggap tempat tu berpuaka lantas menyebabkan datuk mereka meninggal. Anjing peliharaan datuknya, Bandit (Max) juga belum ditemui. Tambahan pula keadaan Todd yang tak sihat kerana menghidap penyakit kronik di paru-paru. Todd abaikan saja kata-kata Vera asalkan dia maklumkan keadaan dia sepanjang berada di sana. 


Sejak masuk ke rumah tersebut, Indy sentiasa diganggu oleh bayang hitam terutamanya di bahagian bilik bawah tanah. Indy takut untuk turun ke bawah walaupun Todd selalu turun naik tanpa masalah untuk periksa kotak fius di situ. Siang atau malam tak ada beza untuk Indy kerana benda tersebut selalu menggangu. Dia juga semakin sukar untuk membezakan antara Todd dan makhluk tersebut. 

Naskhah Good Boy arahan dan penulisan Ben Leonberg menggunakan kelebihan dan kekuatan deria anjing dalam filem debutnya. Menggunakan tema perpisahan yang diolah dalam genre seram menjadikan filem Good Boy lebih beremosi kerana Indy dan Todd mempunyai masa yang singkat sebelum ajal datang. 


Dari awal filem pun pengarah dah bagitahu yang Todd tak akan hidup lama bila dia tidak sedarkan diri di ruang tamu dengan darah menitik keluar dari mulut. Muka pucat dengan keresahan Vera menguatkan lagi teori Todd akan pergi dalam masa terdekat. Sama ada dibunuh oleh penyakit atau sesuatu yang misteri seperti yang didakwa oleh Vera. 

Bila baca review lain, ramai yang kata bayangan hitam yang menganggu Indy adalah malaikat maut yang memerhatikan Todd sebab bayangan hitam tu pun tak menyerang Indy. Tapi rumah tu sendiri mengerikan sebab ada beberapa babak Indy diserang. Bila pengarah tunjuk cakaran Bandit di pintu bilik bawah tanah, cakaran tu mengerikan juga sebab it appears like he’s screaming for help. 


For me, I still believe yang rumah tu berhantu. Kalau pun, malaikat maut yang datang untuk ambil Todd, kenapa roh dia kena tarik ke bilik bawah tanah dan bukan menuju ke cahaya? Todd bukannya owner yang jahat pun cuma dia pentingkan diri lah sebab dah tahu sakit dan tak mampu jaga Indy dan diri sendiri tapi berkeras juga nak bersendirian dekat hutan instead spend time dengan keluarga sebelum pergi. Babak Todd hentak kepala dekat pintu bilik bawah tanah atau pintu besi terbuka antara babak yang tak boleh dijelaskan dengan logik akal. 


Filem Good Boy bermain dengan teka-teki psikologi dan supernatural sepanjang 73 minit menggunakan screenplay dari perspektif Indy. Jarang dapat tengok muka pelakon sampingan yang lain sebab kamera bergerak di paras mata Indy. Macam mana Indy tak aware dengan apa yang bakal jadi, macam tu lah juga yang menonton. Tak hairan lah kalau cepat sangat terkejut bila ada yang datang sergah dia. 


Sinematografi dari Wade Grebnoel dan Ben Leonberg banyak mainkan peranan dengan pergerakan kamera yang fokus pada reaksi Indy dan bahasa badan terutamanya bahagian ekor. Dekat separuh masa pertama Indy banyak diam dan cuba untuk faham melalui deria mata dan bau tapi second half dah nampak Indy mula menyalak dan agresif sebab dia semakin takut. 

Kesian sangat bila Indy kena tinggal dekat rumah seram tu tapi tak boleh nak keluar. Masa ni memang maki berbakul dekat Todd sebab tinggalkan anjing dia sampai seharian. Bertambah berbakul makian bila dia tinggalkan Indy dekat luar rumah dalam hujan. Memang lah ada rumah anjing tapi dekat bawah tu basah sebab tak ada base. Angin pula kuat, sah-sah la anjing dia kesejukan. 


Walaupun filem Good Boy tak ada banyak penjelasan tentang Todd, datuk dia, Bandit dan rumah puaka tersebut, tapi persoalan utama mengenai pengkahiran Indy jadi punca utama untuk semua stay menonton hingga ke hujung. Kreatif lah Ben Leonberg guna idea tu sebagai penggerak filem. Poster pun kreatif dengan mewujudkan persoalan yang sama. 


Good Boy dapat tayangan perdana di beberapa filem festival sejak Mac 2025 seperti South by Southwest Film & TV Festival, Overlook Film Festival, Calgary Underground Film Festival, Fantasia International Film Festival, Melbourne International Film Festival sebelum ditayangkan di pawagam jadi Indy dah mula jadi bualan ramai sebelum I layan filem ni dan I happy dengan ending. Recommend to watch guys. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 9.2/10

Movie Review | Anora (2024)

Saturday, 13 December 2025


Pengarah: Sean Baker  
Penulis Skrip: Sean Baker
Pelakon:  Mikey Madison, Mark Eydelshteyn, Yura Borisov, Karren Karagulian, Vache Tovmasyan, Darya Ekamasova, Aleksei Serebryakov   
Syarikat Produksi: FilmNation Entertainment, Cre Film   
Pengedar: Neon (United States, Canada), Focus Features (International) 
Genre: Romantik / Komedi / Drama
Durasi Tayangan: 139 minit
Tarikh Tayangan: 21 Mei 2024 (Cannes), 18 Oktober 2024 (United States)    
Trailer:


Filem Anora antara filem yang banyak menang anugerah di Cannes, Oscar serta mendapat pengiktirafan sebagai filem terbaik 2024 oleh National Board of Review dan American Film Institute. Disebabkan pencapaian-pencapaian tersebut buatkan I tergerak hati nak tengok naskhah romantik komedi berlatarbelakangkan dunia stripper. 

Anora "Ani" Mikheeva (Mikey Madison) berumur 23 tahun dan bekerja sebagai stripper di Brighton Beach, Brooklyn, New York. Ani yang fasih bahasa Rusia diperkenalkan kepada pelanggan VIP bernama Ivan "Vanya" Zakharov (Mark Eydelshteyn), anak taikun bisnes di Rusia. 


Vanya berada di Amerika untuk belajar namun kebanyakan masanya diluangkan dengan bermain video games ataupun berparti. Seronok meluangkan masa bersama Ani, Vanya melamar sebagai isteri dan berkahwin di Las Vegas. Setelah seminggu berseronok di sana, Vanya beritahu Ani dia terpaksa pulang ke Rusia untuk bekerja di syarikat milik ayahnya. 

Bahagia dengan layanan Vanya dan percaya masa depannya cerah sebagai menantu kaya, Ani ambil keputusan untuk berhenti kerja di strip club dan berpindah ke rumah agam milik keluarga Vanya. Keesokan harinya Ani berjumpa dengan Igor (Yura Borisov) yang diarahkan oleh Galina (Darya Ekamasova), ibu Vanya untuk batalkan perkahwinan Ani dan anaknya. 


Ani masih lagi terpinga-pinga dengan situasi tersebut namun Vanya melarikan diri ke Brooklyn kerana tidak mahu bertemu dengan orang tuanya. 

Filem Anora arahan dan penulisan Sean Baker diambil dari pengalaman rakannya yang berasal dari Rusia atau dari pengalaman kerja ketika mengedit video perkahwinan orang Rusia dan Amerika. I tak faham dari mana inspirasi perkahwinan orang Rusia boleh berkait dengan stripper sampai terhasilnya Anora. 


Nak kata Anora ada pengajaran atau mesej sosial yang mendalam pun tak juga sebab idea Sean cuma nak ceritakan kisah yang universal dan dalam masa yang sama buang stigma tentang stripper. Sepanjang masa tengok perjalanan kisah Ani ni rasa kesian lah sebab pilih jalan hidup sebagai stripper sedangkan dia ada keluarga bukannya terjebak dengan pemerdagangan manusia pun. 


Keluarga dia tahu dia nak jadi stripper lepas habis sekolah dan benarkan sebab dapat duit banyak. Masa Ani berjumpa dengan Vanya, rate dia tak sama dengan rate dekat club sebab ada travelling cost bagai. Rate untuk public holiday pun berbeza dengan harga biasa. Tapi kerja Ani mudah je lah sebab Vanya buat kerja 5 minit sahaja, selebihnya diorang main game. 


Dekat awal filem Anora ni penulis kenalkan watak Ani dan pekerjaan dia sebab tu ada sembang pasal rate apa semua. Bila muncul watak Igor, Toros dan Garnik, perjalanan filem ni dah mula draggy dan bingit sebab watak Ani melawan dan menjerit. Dia masih rasa Vanya betul nak dia jadi isteri padahal suami dia dah lari tinggalkan dia. Tapi kalau tengok cara Ani berfikir, tak rasa dia nak Vanya sebab perlukan suami, dia cuma malu sebab dah berhenti kerja dan flex dekat strippers lain yang dia akan jadi orang kaya baru. 


Babak akhir antara Ani dengan Igor tu makin bertambah kesian dengan Ani sebab dia tak faham cara manusia biasa proses rasa prihatin. Masa Igor temankan Ani sepanjang pencarian Vanya tu boleh nampak lah dia terkesan dengan Ani yang muda tapi dah bekerja sebagai stripper. Igor prihatin tapi Ani ingat Igor miang nak rogol dia dan semua benda boleh selesai guna badan. 

Filem Anora diklafisikasikan sebagai romantik komedi tapi tak nampak romantiknya dekat mana, komedi apatah lagi. Yang ada cuma rasa kesian dekat Ani sebab tak berpendidikan. Lagi menyedihkan bila filem Anora jadi filem terbaik dan menang banyak anugerah. Filem ni sama dengan filem The Substance (2024), menang sebab ada explicit content. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +0.7, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.3, 5. Casting +0.4, 6. Genre +0.2, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.2, 10. Personal Thought +0 = 4.7/10