Kuala Lumpur, 28 Oktober 2025 – Di kota Seoul yang menjadi saksi berjuta kisah cinta, dua hati bertemu dalam takdir yang tidak pernah mereka bayangkan. Bila rahsia mula terbuka, adakah dua jiwa itu masih seindah seperti yang mereka percaya? Drama baharu slot Akasia, Seoul Cinta menjanjikan kisah cinta moden yang penuh emosi dan rahsia, menggambarkan realiti masa kini dalam dunia yang tampak sempurna, namun tersimpan pelbagai rasa dan dilema di sebaliknya.

Drama bergenre romantik ini menampilkan 13 episod penuh emosi, dibintangi oleh Fitri Farok, Siti Khadijah, Cahaya Nilam dan Muaz Zabir. Setiap episod membawa penonton menyelami perjalanan dua hati yang terperangkap antara cinta, rahsia dan pilihan hidup. Saksikan Seoul Cinta bermula 31 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.


Seoul Cinta dibintangi oleh Fitri Farok sebagai Daniel Khalil, seorang usahawan muda yang tampan, berkarisma dan berprinsip tinggi soal cinta. Di sebalik kejayaannya, Daniel berpegang pada impian untuk mencari pasangan sempurna yang sepadan dengan dirinya. Bersamanya, Siti Khadijah Halim sebagai Azra, gadis sederhana yang bekerja di sebuah hotel kucing, namun tanpa disangka, dia sebenarnya ialah Kiki, pempengaruh masakan terkenal yang diam-diam menjadi pujaan rahsia Daniel sendiri.

Dalam diam, Daniel menjadi pengikut setia Kiki di media sosial, terpikat dengan keikhlasan dan pesona wanita itu tanpa menyedari bahawa orang yang sering menginspirasikannya sebenarnya dekat di depan mata, bekerja sebagai penjaga kucing kesayangannya di sebuah hotel kucing. Namun, Azra menyembunyikan identitinya sebagai Kiki kerana kurang yakin dengan dirinya sendiri dan takut dianggap tidak cukup sempurna untuk lelaki seperti Daniel.


Namun, ujian sebenar bermula apabila Daniell menjalinkan hubungan bersama Raisha (Cahaya Nilam), seorang selebriti glamor yang penuh dengan sikap diva, sementara Azra ditekan untuk menerima pinangan Lukman (Muaz Zabir), lelaki yang telah lama menyimpan perasaan terhadapnya. Pergolakan hati, rahsia yang tersimpan dan perjalanan mereka ke Seoul membuka lembaran baharu yang penuh liku dan emosi. Adakah Daniel mampu melihat cinta sejati yang selama ini berada di hadapan matanya, atau dia akan terus terperangkap dalam ilusi kesempurnaan yang diciptanya sendiri?


Menurut Fitri Farok, “Bagi saya, watak Daniel Khalil mewakili ramai individu moden yang kelihatan berjaya di luar, tetapi masih mencari makna dalam dirinya sendiri. Watak ini mengajar bahawa cinta sejati bukan tentang status atau kesempurnaan, tetapi tentang kejujuran, penerimaan dan keberanian untuk mengenal diri apa adanya.” 


Drama ini membawa penonton menyelami kisah cinta yang indah dan menyentuh jiwa, dengan sinematografi memukau berlatarbelakangkan keindahan kota Seoul yang romantik. Setiap episod menjanjikan detik-detik yang manis, menghibur dan sarat dengan nilai tentang cinta, kejujuran serta erti kebahagiaan sebenar.

Jangan ketinggalan untuk saksikan Seoul Cinta mulai 31 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh tonton episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

TIKET TAYANGAN KHAS “RANGGA & CINTA” LAKU KERAS!

Monday, 27 October 2025

TIKET TAYANGAN KHAS “RANGGA & CINTA” LAKU KERAS! | DUA HALL TAMBAHAN DIBUKA DI TGV KLCC AKIBAT PERMINTAAN TINGGI 

Dua dekad berlalu, namun magis kisah Rangga dan Cinta nyata masih berbisa! Belum sempat sehari dibuka, tiket tayangan khas Rangga & Cinta di TGV KLCC sudah pun habis dijual dalam tempoh 12 jam selepas dibuka kepada umum. 

Melihat kepada permintaan yang begitu tinggi, pihak penganjur bersama TGV Cinemas segera menambah dua dewan tayangan lagi bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat untuk menjadi antara yang terawal menonton filem ini. 

Menariknya, peminat juga berkesempatan untuk beramah mesra dan bergambar bersama barisan kreatif di sebalik pembikinan filem ini. Antara yang hadir ialah pengarah hebat Riri Riza serta penerbit berpengaruh Mira Lesmana dan Nicholas Saputra, figura yang mempopularkan watak Rangga menerusi Ada Apa Dengan Cinta? Turut memeriahkan tayangan tersebut ialah dua bintang baharu berbakat besar, Leya Princy dan El Putra Sarira, yang kini menghidupkan semula filem itu dengan nafas segar dan jiwa muda. 

Di media sosial, kehangatan Rangga & Cinta turut jelas terasa apabila peminat membanjiri ruangan komen dengan luahan kecewa dan harapan agar lebih banyak hall dibuka. 

“Nak nangis, tak sempat beli tiket dah sold out, padahal dah lama tunggu.” – @syfqhizlyn 

“Please add studio hall lagi, tak cukup 1 hall saja.” – @pirrafirra 

“Open lagi please, dah lama tunggu, dah sold out!” – @tuffbluee 

Keterujaan luar biasa ini membuktikan bahawa memori kisah Rangga dan Cinta masih dekat di hati ramai dan terus relevan meskipun sudah bertahun lamanya. Filem Rangga & Cinta bakal ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 6 November 2025, menampilkan gabungan puisi, muzik dan sinematografi memukau. Karya ini turut diserikan dengan lagu-lagu ikonik ciptaan Melly Goeslaw, yang dijangka membuat penonton kembali jatuh cinta dengan imbauan zaman remaja.

Tempat adalah terhad! 

Dapatkan tiket anda sekarang di laman web rasmi TGV Cinemas atau melalui aplikasi mudah alih mereka. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada fenomena kisah cinta agung Rangga & Cinta! 

Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.

Movie Review | Thamma (2025)

Sunday, 26 October 2025


Pengarah: Aditya Sarpotdar
Penulis Skrip: Niren Bhatt, Suresh Mathew, Arun Fulara 
Pelakon: Ayushmann Khurrana, Rashmika Mandanna, Nawazuddin Siddiqui, Paresh Rawal   
Syarikat Produksi: Maddock Films
Pengedar: PVR Inox Pictures (India), Yash Raj Films (international), Amazon Prime Video
Genre: Komedi / Seram
Durasi Tayangan: 149 minit
Tarikh Tayangan: 21 Oktober 2025    
Trailer:


Alok Goyal (Ayushmann Khurrana) merupakan seorang wartawan tapi menjadi meme di internet kerana gagal mendapatkan scoop menarik. Dia bersama rakan sekerja pergi healing di kawasan pergunungan kemudiannya tanpa sengaja masuk ke kawasan larangan hutan apabila dikejar oleh seekor beruang liar. 


Di dalam hutan tersebut dia berjumpa dengan Thadaka (Rashmika Mandanna), gadis cantik tapi tak pandai bersosial. Kerana kehadiran Alok ke hutan tersebut, dia dijadikan makanan korban kepada Yakshashan (Nawazuddin Siddiqui) yang sudah lama dahagakan darah manusia. Yakshasan merupakan Thamma atau ketua kepada spesis Betaal (vampire) tapi dikurung di dalam gua yang disumpah lalu diikat dengan tali api neraka kerana dia cuba untuk bina tentera dengan menukar manusia menjadi betaal pada tahun 1947. 


Sejak itu juga betaal berjanji untuk tidak minum darah manusia sebaliknya memburu haiwan untuk hilangkan dahaga dan lapar. Thadaka selamatkan Alok dan lari ke bandar lalu bersembunyi di rumah Alok sehingga keadaan reda. Alok pula semakin hari semakin jatuh cinta dengan Thadaka. Ayah Alok, Ram Bajaj Goyal (Paresh Rawal) syak Tadaka sengaja perangkap Alok kerana ingin bolot semua harta keluarga mereka. 

Dah lama tertunggu-tunggu filem Thamma sejak Maddock Films release teaser tahun lepas. Instalment ke-5 Maddock Horror Comedy Universe selepas Stree (2018), Bhediya (2022), Munjya (2024) dan Stree 2: Sarkate Ka Aatank (2024) mendapat sentuhan Aditya Sarpotdar dibantu penulisannya oleh Niren Bhatt bersama barisan penulis baru - Suresh Mathew juga Arun Fulara. 


Thamma menggunakan template yang santai dan menghiburkan bila elemen komedi lebih banyak berbanding seram. Gandingan Ayushmann dan Paresh Rawal menghidupkan babak komedi menerusi dialog yang kuat serta comic timing masing-masing. Penat gelak dalam hall setiap kali Paresh muncul. Second half makin seronok bila Jana (Abhishek Banerjee) buat kemunculan dan bertemu dengan Ram Bajaj. 

Watak Yakshasan adalah villain dalam filem Thamma tapi karakter dia pun kelakar juga. Babak Yakshasan dengan Alok di first half menghiburkan tapi second half ada fighting scene antara Betaal dengan Thamma. Selain kisah Alok yang jatuh cinta dengan Betaal, transisi dari manusia kepada Betaal juga menentang Thamma, dia juga diburu oleh Bhediya (Varun Dhawan). Semua ni bukan elemen kejutan sebab Maddock Films dah terang-terangan promote dan buat poster untuk salah satu plot dalam Thamma. 


For me yang memang dah jadi peminat setia kepada Maddock Horror Comedy Universe, pertembungan antara Betaal dan Bhediya adalah sesuatu yang mengujakan. Selain Jana yang connect semua instalment, Bhediya juga muncul sebagai link yang kuat dalam universe ni walaupun dia tak muncul dalam Stree 1. Masa tu Maddocks pun tak terfikir yang Stree akan pergi sejauh ni. 

Kekuatan Thamma adalah pada sinematografi oleh Saurabh Goswami dengan bantuan VFX pada setiap watak Betaal dan juga makhluk yang lain. Berbaloi lah Maddock Films belanjakan Rs20 crore untuk visual department sebab hasil dia terlihat menarik. Antara babak cantik haruslah hutan banat tempat tinggal Betaal, kemunculan Bhediya, babak Thadaka dan Alok tergantung di signboard dan banyak lagi. Transisi dan beberapa shot menarik menguatkan lagi penceritaan Thamma. 


Music album dari komposer duo Sachin–Jigar tanpa gagal meenghimpunkan lagu-lagu menarik untuk Maddock Horror Comedy Universe. Walaupun item song Dilbar Ki Aankhon Ka tak power macam Aaj Ki Raat dalam Stree 2 (2024) tapi tetap terngiang-ngiang dalam kepala. Happy dapat tengok Nora Fatehi menari dekat skrin besar. 



Lagu Rahein Na Rahein Hum menusuk sebagai lagu balada romantik antara Alok dan Thadaka. Hopefully Maddocks keluarkan versi Ayushmann juga. Lagu Tum Mere Na Huye antara my personal favorite juga. Lagu Poison Baby je kurang sikit antara semua lagu but damn Malaika looks breathtaking in every shot. 

Sebelum ni tak pernah suka Rashmika Mandanna berlakon sebab dia sangat mudah tenggelam bila share skrin yang sama dengan pelakon lain. Dialogue delivery pun lemah tapi dalam Thamma, dia nampak kena dengan watak Thadaka sebab personaliti Thadaka lebih banyak terpinga-pinga sebab lama mengurungkan diri dalam hutan. Walaupun dia tenggelam bila berjumpa dengan pelakon lain tapi okay lah sebab watak dia kuat. Chemistry Rashmika dengan Ayushman tak kuat sangat tapi tertutup kelemahan tu sebab elemen komedi lebih menguasai. 


Filem Thamma lebih kurang sama dengan Bhediya sebab elemen seram tu tak kuat pun tapi dalam Munjya pun makhluk supernatural dia lemah juga. Penceritaan Thamma tak lah unik atau segar pun sebab plot yang sama juga digunakan dalam filem-filem Maddock Horror Comedy Universe yang lain tapi kalau layan Thamma tanpa layan instalment lain pun tak ada masalah sebab family I buta-buta je pergi tengok sebab I ajak layan sekali. 

Bila tengok Thamma teringat Twillight dengan The Vampire Diaries sebab penulis menggunakan general facts tentang vampire cuma dalam Thamma ada diselitkan dengan Indian folklore. Walaupun ada banyak yang berlaku dalam Thamma tapi momentum tak jatuh and I'm soooooo glad Maddock adds more writers into the universe. Manifestation works!!!


Lepas tengok Thamma, jadi tak sabar nak tengok Bhediya 2 dan Shakti Shalini tahun depan. Semalam beria tunggu teaser Shakti Shalini keluar lepas end credit rupanya kena scam. Kalau pergi layan Thamma, tolong lah keluar lepas lagu Tum Mere Na Huye habis. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.6, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 8.4/10

Movie Review | Waktu Maghrib 2 (2025)

Saturday, 25 October 2025

Pengarah: Sidharta Tata
Penulis Skrip: Khalid Kashogi, Bayu Kurnia, Sidharta Tata
Pelakon: Omar Daniel, Anantya Kirana, Sulthan Hamonangan, Ghazi Alhabsyi, Muzakki Ramdhan
Syarikat Produksi: Rapi Films, Sky Media, Rhaya Flicks, Legacy Pictures, Kebon Studio
Pengedar: Netflix
Genre: Seram
Durasi Tayangan: 104 minit
Tarikh Tayangan: 28 Mei 2025 (Indonesia), 19 Jun 2025 (Malaysia)
Trailer:


Sekuel kepada Waktu Maghrib (2023) berlatarkan 20 tahun selepas kejadian ngeri di kampung Jatijajar. Jin Ummu Sibyan (Bonifasius Mariano) kembali mengganggu kanak-kanak di Desa Giritirto malah lebih ganas selepas gagal mendapatkan Adi. 

Kejadian bermula apabila Yugo (Sulthan Hamonangan), Dewo (Ghazi Alhabsyi), Wulan (Anantya Kirana) dan lima lagi rakan yang lain pulang ke rumah pada waktu Maghrib setelah kalah dalam pertandingan bola sepak peringkat sekolah. Mereka semua pulang dalam keadaan yang beremosi kerana Anas (Brydden Fablo Escobar) menuduh Yugo sengaja simpan bola sampai mengakibatkan mereka kalah. Kesemua mereka mendoakan hal-hal buruk akan berlaku kepada Anas. 


Kata-kata yang buruk yang diucapkan pada waktu Maghrib seolah-olah menjadi sumpah dan membuka portal kegelapan lalu mengundang kuasa jahat Ummu Sibyan datang dengan mudah. Lori yang dinaiki mereka melanggar seorang remaja lelaki lalu meninggal dunia. Trauma dengan insiden tersebut, Wulan mengekori roh remaja lelaki tersebut ke dalam hutan lalu dirasuk. 

Yugo dan Dewo bertemu dengan Wulan dalam keadaan yang lemah lalu dibawa pulang ke rumah sementara rakan-rakan yang lain hilang di dalam hutan tersebut. Harapan Adi (Omar Daniel) untuk bertemu dengan Ummu Sibyan tercapai apabila kes yang sama berulang lagi. Adi cuba membantu Yugo, Dewo dan Wulan namun usahanya sentiasa dihalang kerana kes kerasukan yang berlaku lebih ngeri dan membahayakan. 


Lepas layan naskhah Rumah Untuk Alie (2025), layan pula Waktu Maghrib 2 (2025) dan sekali lagi kagum dengan lakonan Anantya Kirana. Sampai sekarang terngiang-ngiang suara dia nyanyi lagu untuk seru semua kanak-kanak yang dirasuk. Sama macam Yugo, mudah sangat terasa seram sejuk setiap kali Wulan perhati dari jauh atau buat pandangan ngeri. Ditambah dengan musik latar yang mengerikan dari Fajar Ahadi. 


Perjalanan filem Waktu Maghrib 2 arahan dan penulisan Sidharta Tata tak lari jauh dari naskhah awalnya walaupun dibantu oleh dua orang lagi penulis baru - Khalid Kashogi dan Bayu Kurnia. Penceritaan seakan sama seperti yang terjadi di kampung Jatijajar, Jawa Tengah. Mungkin kerana kejadian ngeri tersebut sudahpun berlaku 20 tahun lalu jadi ramai yang menganggap kejadian tersebut sebagai mitos atau kisah dongeng.


Kehadiran Adi tak lah merubah apa pun kerana kerasukan yang dialami lebih parah sampai tahap membunuh. Gerun tengok Kawan-kawan Yugo terjah masuk ke dalam rumah untuk ‘ajak’ yang lain mengikut Ummu Sibyan. Sama macam naskhah Waktu Maghrib 1 bila azan Maghrib pun tak menghalang Jin Ummu Sibyan untuk mengganggu sesiapa saja di kampung tersebut. Watak Adi yang cuba lawan dengan Ayat Kursi dan bacaan lazim pun tak terkesan. Bila tengok watak Adi struggle untuk lawan jin, jadi teringat kata-kata Ayu (Fita Anggriani) bila dia persoalkan apa strategi Adi bila berjumpa jin tu balik. Kenapa nak susahkan diri sedangkan dia dah bebas dari cengkaman Ummu Sibyan. 


Watak sampingan yang lain tak ada pun bezanya dengan naskhah sebelumnya bila ramai lebih banyak berdiam diri. Paling teruk bila Bu Surti (Maychelina Anis) tak perasan perubahan Wulan dan Yugo selepas kejadian tu. Kalau dia cakna dengan keadaan anak-anak dia, mungkin Adi ada lebih banyak peluang untuk redakan keadaan. Penulis sengaja tambah tiga lagi watak sampingan utama yang dungu untuk kuatkan elemen komedi namun terlihat dangkal. Mungkin ada yang suka but not me.


Bila tengok ending mungkin Jin Ummu Sibyan akan menghantui kampung lain selagi ada yang tak menghormati waktu maghrib. Sifat manusia juga mudah lupa dan lalai jadi tak mustahil akan jadi modal untuk Rapi Films terbitkan premis baru. Hopefully produser cari penulis baru supaya franchise Waktu Maghrib lebih kuat dan meninggalkan impak. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +1, 6. Genre +0.7, 7. Themes +0.4, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.5 = 7/10

Pengarah: Hanung Bramantyo
Penulis Skrip: Hanung Bramantyo, Z.Z. Mulja Galih 
Pelakon: Raihaanun, Lola Amaria, Alika Jantinia, Devano Danendra, Reza Rahadian     
Syarikat Produksi: MVP Pictures, Dapur Films    
Pengedar: Netflix 
Genre: Drama 
Durasi Tayangan:  130 minit
Tarikh Tayangan: 02 Februari 2025 (Rotterdam), 05 Jun 2025 (Indonesia)
Trailer:


Berlatarkan tahun 1960-an, Gowok: Kamasutra Jawa mengisahkan tentang kerjaya gowok yang asalnya dari negara China kemudian diperkenalkan di Indonesia. Gowok adalah wanita yang mengajar para lelaki untuk berhubungan kelamin sebelum menikah agar mereka tahu cara melayani isteri pada malam pertama dan sepanjang perkahwinan mereka. 

Menerusi kitab Su Nu Jing yang diwarisi turun-temurun, Nyai Santi (Lola Amaria) akan pergi bertapa di air terjun pada waktu malam lalu menyeru semangat Hyang Kamajaya dan Kamaratih, pasangan dewa asmara yang dipercayai oleh masyarakat Jawa sebelum mengajar pelanggannya. 


Malangnya ketika Nyai bertapa di air terjun, Ratri Sujita (Alika Jantinia) bersama Kamanjaya (Devano Danendra) dirasuk tenaga negatif yang dibawa oleh semangat tersebut lalu mereka tidur bersama. Lalu Nyai segera mempercepatkan proses gowok kepada Kamajaya sebelum keadaan menjadi lebih teruk. 

Setelah selesai proses gowok, Kamajaya perlu pulang ke bandar namun dia sempat menitipkan pesan supaya Ratri berjumpa dengan Ningsih (Annisa Hertami), aktivis wanita. Kamajaya yakin Ratri akan mampu mengubah nasib hidup lalu menjadi perempuan yang berdikari dan keluar dari kerjaya Gowok. 


Filem arahan dan penulisan Hanung Bramantyo ditayangkan di Filem Festival Internasional Rotterdam ke-54 dan terpilih ke New York Asian Film Festival ke-24. Walaupun menggunakan profesion Gowok sebagai latar utama namun plot sebenar adalah kisah cinta Kamanjaya dan Ratri yang terhalang oleh status hidup mereka berdua. 

Kamanjaya adalah anak kepada Menteri di bandar sementara Ratri adalah anak hasil luar nikah antara pelanggan Gowok dan pelacur. Ratri sentiasa menegah supaya Kamanjaya tahu batas agar tidak bergaul secara mesra atau rapat dengan dia namun Kamajaya tetap dengan usaha supaya cinta mereka kekal dan berakhir sebagai suami isteri. 


Sesuatu yang mustahil di mata Nyai Santi dan dia tidak mahu anak angkatnya dikecewakan oleh lelaki seperti Kamajaya. Selain kisah cinta Kamajaya dan Ratri, Hanung juga ketengahkan pergolakan yang berlaku di Indonesia pada era tersebut di mana mereka memburu pihak komunis dan sesiapa yang bersubahat dengan parti tersebut. Latar masa yang sama dengan naskhah Gadis Kretek (2023).

‘Lupakan Jaya, karna di tidak akan pernah menepati janji. Priyai hanya akan menikahi priyai. Begitu juga bangsawan. Di luar itu, bukan urusan mereka.’ – Nyai Santi


Sinematografi dari Satria Kurnianto menghidupkan dunia Gowok yang sentiasa dikunjungi oleh golongan priyai dan bangsawan. Dalam filem ni boleh nampak ada beza antara Gowok dan pelacur tapi sebenarnya lebih kurang sama saja kehidupan mereka. Terima bayaran untuk aktiviti yang dilakukan, bezanya pada status pelanggan. Mungkin juga Gowok lebih terjaga sebab pelanggan cuma datang sekali sahaja sebelum berkahwin jadi tak ada isu suami makan luar macam kes ibu Ratri. 


Memandangkan pelanggan Gowok lebih tinggi statusnya, maka bayaran yang diterima juga lumayan. Jadi tak hairan lah kalau Nyai Santi dan Ratri atau pembantu yang lain terjaga pakaian dan kebersihannya. Interior rumah pusaka Nyai Santi pun dipengaruhi budaya Cina dan Jawa. 

Seronok tengok pakaian yang digunakan oleh Ratri dan Nyai Santi sebab kebaya dia seakan kebaya Nyonya di Malaysia. Nampak ketara perbezaan pakaian Gowok dengan orang awam bila muncul babak Ratri keluar berjumpa dengan Ningsih. Orang luar lebih selesa dengan pakaian yang dipengaruhi masyarakat Belanda. 



Dalam filem Gowok: Kamasutra Jawa juga sarat dengan budaya seni Indonesia pada era 60-an macam babak Kamanjaya berbual dengan ibunya ketika persembahan di ruang tamu rumah. Babak Raja menulis surat pun antara shot yang cantik kerana berlatarkan seni pertukangan kayu yang cantik menerusi perabot yang digunakan dalam babak tersebut.

Asalnya nak tengok filem Gowok: Kamasutra Jawa sebab ada Reza Rahadian rupanya dia muncul pada second half tapi bukanlah setiap babak. Tapi okay je layan filem ni sebab lakonan para pelakon semuanya bagus, chemistry antara Devano dan Alika pun menjadi walaupun kedua-duanya masih muda. 


Filem Gowok: Kamasutra Jawa memang ada adegan panas, sesuai dengan tajuk filem dan konsep yang dibawakan tapi pengarah tak tunjuk secara terang-terangan pun. But still, filem ni tak sesuai ditonton oleh golongan bawah umur. 


Nasib baik lah pada tahun 1965, Kerajaan Indonesia dah hapuskan Gowok sebab tak selesa bila tengok babak Putera Bagas Dewangga (Ali Fikry) tidur dengan wanita dewasa sebelum dinikahkan dengan isteri pilihan keluarga. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +1, 5. Casting +0.8, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 9/10

Puisi, lagu dan cinta bersatu dalam satu pentas layar baharu menerusi Rangga & Cinta, filem muzikal arahan Riri Riza yang menjanjikan pengalaman penuh warna dan nostalgia; yang pasti membuat penonton ingin turut sama menyanyi.

Diterbitkan oleh Miles Films, filem ini mengangkat semula kisah ikonik Ada Apa Dengan Cinta? dengan nafas baharu; kali ini melalui irama, melodi dan dialog emosi yang menyingkap setiap denyut rasa antara dua jiwa muda.

Menariknya, lagu-lagu dalam filem ini digubah oleh duo legenda Melly Goeslaw dan Anto Hoed, yang juga mencipta runut bunyi abadi seperti Ada Apa Dengan Cinta dan Bimbang. Lagu-lagu ini menjadi nadi utama penceritaan, mengembalikan nostalgia buat mereka yang membesar bersama AADC?, sambil memperkenalkan semula debaran cinta pertama yang jujur dan janggal kepada generasi baharu.

Bukan itu sahaja, filem ini turut menampilkan El Putra Sarira sebagai Rangga dan Leya Princy sebagai Cinta yang memikul tanggungjawab besar menggantikan ikon terdahulu Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo selepas melalui proses uji bakat yang ketat. Kini penonton berpeluang menyaksikan watak Rangga yang tetap misteri dan puitis serta Cinta yang bijak dan disayangi ramai dengan interpretasi yang benar-benar mencerminkan jiwa sebenar Gen Z.

Pengarah Riri Riza menyifatkan Rangga & Cinta sebagai refleksi keberanian filem Indonesia dalam mencuba pendekatan penceritaan yang lebih kreatif.

“Selain bekerjasama dengan ramai pengarah muda dalam projek ini, saya juga amat bersyukur kerana dapat kembali meneroka genre muzikal, khususnya dengan runut bunyi asal yang begitu disayangi ramai, hasil ciptaan Melly Goeslaw dan Anto Hoed. Saya berharap penonton akan merasakan kegembiraan dan kehangatan emosi yang sama seperti yang saya alami sepanjang proses menghasilkan filem ini.”

Filem ini turut menerima sambutan hangat dan positif semasa tayangan perdananya di Busan International Film Festival (BIFF) 2025 pada September lalu, dan dijangka mencetus fenomena baharu apabila ditayangkan di Malaysia mulai 6 November ini.

Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios teruja menanti penonton merasai sendiri magis “surat cinta” yang kini beralun dalam irama muzikal, hanya di pawagam November ini. Untuk perkembangan dan kandungan eksklusif filem ini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.

ASTRO CIPTA DIMENSI BAHARU DALAM ‘GEGAR VAGANZA 12’

Friday, 24 October 2025

ASTRO CIPTA DIMENSI BAHARU DALAM ‘GEGAR VAGANZA 12’ | “GV-VERSE” rai bintang-bintang legenda era ’80-an dan 2000-an dengan aura baharu

Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 – Saban kali menjadi penantian para peminat serta penonton Astro, program nyanyian Gegar Vaganza (GV12) kini kembali menghangatkan malam minggu dengan penganjuran tahun kedua belasnya. Musim kali ini memperkenalkan konsep eksklusif “GV-Verse”, sebuah dimensi yang diinspirasikan daripada aura dan keunikan bintang-bintang GV12 yang mempunyai kelebihan mereka tersendiri sehingga ke hari ini. GV12 bakal bersiaran mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104).

Daripada ikon era 80-an hingga ke suara emas 2000-an, GV12 meraikan kebangkitan semula sebuah era gemilang melalui muzik yang abadi dan tidak lapuk dek zaman, menyatukan suara-suara legenda merentasi sempadan dan generasi. Musim ini, Astro mempersembahkan 13 barisan peserta solo dan kumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang bakal menampilkan kehebatan seni serta menghidupkan kembali pentas dengan persembahan yang penuh pesona dan luar biasa.

Mewakili Malaysia, barisan peserta Gegar Vaganza GV12 menampilkan nama-nama hebat seperti penyanyi solo Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam dan Nubhan, bersama duo pop Freshies (Ejie dan Shima) yang bakal menghidupkan semula pesona irama tempatan. Dari Indonesia, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri. Sementara itu, Singapura tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma. Menambah elemen misteri dan kejutan, SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini, menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.

Keunggulan GV12 terus menyerlah dengan barisan hos dan juri yang menjadi nadi utama rancangan ini. Mengemudi pentas sekali lagi ialah duo pengacara serasi dan berkarisma, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, yang terkenal dengan kepetahan serta keserasian mereka dalam menghidupkan suasana GV setiap minggu.

Barisan juri pula menampilkan semula tiga tokoh disegani industri muzik, Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat, yang akan terus memberikan penilaian dengan penuh kepakaran, ketelusan dan keikhlasan terhadap setiap persembahan peserta.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad, “Sejak mula diperkenalkan, Gegar Vaganza kekal sebagai pertandingan nyanyian realiti no. 1 di Malaysia, sebuah platform untuk penyanyi lagenda dan yang dah lama menghilang, menyalakan semula perjalanan muzik mereka. Daya tarikannya yang berterusan terletak pada gabungan sempurna antara nostalgia, pembaharuan dan emosi tulen, yang menyatukan kembali artis dan penonton melalui lagu-lagu abadi dan kenangan yang tidak lapuk dek zaman.”

“Tahun ini, kami mengangkat legasi tersebut ke tahap yang lebih tinggi menerusi GV-Verse, sebuah dimensi baharu yang meraikan kepelbagaian serta kehebatan bakat serantau. Daripada legenda evergreen seperti Dato’ Elaine Kang dan Rahmat Ekamatra, hingga ke suara unik seperti Mark Adam, Shae dan Ruri Repvblik, setiap artis membawa kisah, warna suara dan semangat tersendiri ke pentas GV. Musim ini juga memperkenalkan kumpulan dinamik seperti Freshies dan Mendua, yang menampilkan keindahan harmoni dan kerjasama seperti yang dijanjikan oleh GV-Verse.”

“Dengan barisan peserta yang hebat dan pelbagai ini, kami mahu GV12 menjadi lebih daripada sekadar pertandingan. Ia tentang menghargai perjalanan yang telah mereka tempuhi dan membayangkan sejauh mana mereka boleh pergi selepas ini. Kami menjemput semua Vaganzers untuk menyertai universe ini bersama kami untuk mengimbau kenangan, menemui alunan baharu dan menyaksikan dunia muzik yang diolah semula dalam skala yang lebih besar daripada sebelumnya,” tambah Raqim.

GV12 turut boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka.  Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan. Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.

TRIVIA & PENGANJURAN GEGAR VAGANZA 12

  • Format penjurian ‘GV12’ masih dikekalkan berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada segmen akhir akan disingkirkan.
  • Program ‘GV12’ lebih pantas dengan CelcomDigi yang hadir selaku Penaja Utama, dengan kerjasama HONOR selaku Telefon Pintar Rasmi. Manakala, Adabi dan Uphamol masih menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama.
  • Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, naib juara pula akan meraih RM50,000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.
  • ‘GV12’ turut berkolaborasi bersama Astro Gempak selaku Rakan Digital, serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi disokong oleh ERA & GEGAR. 
INFO SIARAN GEGAR VAGANZA 12  
  • PROGRAM GEGAR VAGANZA 12  
Berlangsung selama 12 minggu, ‘GV12’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan sooka.  
  • KAPSUL GEGAR VAGANZA 12 
Menampilkan persiapan, momen di balik tabir, sesi temu bual serta permainan bersama para peserta setiap minggu sebelum program utama bermula. Kapsul berdurasi 5 minit ini dihoskan oleh personality radio SINAR, Falyq Hikyle. 
  • VAZZ VAGANZA GEGAR VAGANZA 12
Dihoskan oleh Dina Nadzir selama 30 minit sejurus selepas program utama untuk menampilkan wawancara dan soal jawab bersama peserta dan juri ‘GV12’.
  • SOFA KENTANG GEGAR VAGANZA 12
Untuk pengisian di platform digital, program ‘Sofa Kentang GV12’ akan disiarkan secara serentak di platform media sosial Astro Gempak ketika berlangsungnya program mingguan. Program ini akan dihoskan oleh Thinker Studios. 

PENAJA UTAMA

Mengenai CelcomDigi Berhad
CelcomDigi merupakan pengendali rangkaian mudah alih yang terbesar di Malaysia dengan lebih 20.4 juta pengguna dalam rangkaiannya. Syarikat kami menyasarkan untuk memenuhi keperluan digital pelanggannya yang semakin meningkat dengan memanfaatkan gabungan rangkaian terluasnya, titik sentuh pengedaran, rangkaian produk dan perkhidmatan digital yang inovatif serta pengalaman pelanggan yang diupayakan oleh lebih 3,800 pakar industri terkemuka. Syarikat kami juga telah menggariskan aspirasi yang jelas untuk memajukan negara, memberi inspirasi kepada masyarakat Malaysia, dan menjadi peneraju dalam amalan perniagaan yang terangkum dan bertanggungjawab. Untuk maklumat lanjut tentang CelcomDigi, sila layari www.celcomdigi.com.

#GegarVaganza #GV12 #BintangKembaliMenyengat 

‘FIRST LADY’ DI SEBALIK KUASA, TERSEMBUNYI RAHSIA YANG MAMPU MENGHANCURKAN SEGALANYA!

Thursday, 23 October 2025

Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025 - Drama Korea terbaharu, First Lady kini boleh distrim di Tonton! Sarat dengan konflik, emosi dan kejutan politik, drama ini membawa penonton menyelami dunia kuasa dan pengaruh yang dipenuhi rahsia serta pengkhianatan. Ia bukan sekadar kisah tentang status, tetapi juga tentang harga sebuah cinta, pengorbanan, dan perjuangan seorang wanita yang terperangkap dalam permainan politik penuh tipu daya.

Dengan jalan cerita yang menarik dan sinematografi yang memukau, First Lady membawa penonton menyaksikan dunia kuasa di kediaman presiden, tempat yang tampak mewah di luar, tapi penuh rahsia, dendam dan cinta yang makin retak.

Drama ini bermula dengan kisah Hyun Min-Cheol (Ji Hyun Woo), seorang lelaki yang membesar di rumah anak yatim yang sering menempuh liku-liku kehidupan yang mencabar. Dengan kerja keras dan semangat yang tidak pernah luntur, dia akhirnya berjaya mengubah nasibnya hingga dinobatkan sebagai Presiden terpilih Korea Selatan. Di sisinya berdiri Cha Soo-Yeon (Eugene), isteri yang setia dan tabah, yang telah lama menanti saat dirinya diiktiraf sebagai First Lady, simbol kejayaan dan cinta yang mereka bina bersama.

Namun segalanya berubah apabila hanya tinggal 67 hari sebelum majlis perlantikan, Min-Cheol membuat keputusan mengejutkan iaitu dia mahu menamatkan perkahwinannya. Keputusan itu bukan sahaja menggugat rumah tangga mereka, malah membongkar semula rahsia gelap dan konspirasi politik yang sekian lama diselindungi di balik kehidupan tampak sempurna itu.

Dari luar, mereka kelihatan seperti pasangan sempurna yang bersedia memimpin negara. Namun di sebalik senyuman, tersembunyi permainan kuasa yang penuh tipu daya, di mana setiap langkah mampu menjatuhkan satu sama lain. Kini, Soo-Yeon berdepan dilema besar, antara tunduk pada takdir atau bangkit melawan demi maruah dan kebenaran.

First Lady menyatukan elemen political melodrama dan thriller dengan kisah penuh emosi, misteri dan kejutan yang sukar dijangka hingga ke penghujung. Kini boleh ditonton di Tonton, strim sekarang dan hayati kisah di sebalik kuasa, cinta dan pengkhianatan.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

TONTON ORIGINAL SERIES: TOKSIK CINTA ERMA FATIMA KUPAS SISI GELAP CINTA DAN OBSESI DALAM TOKSIK CINTA!

Wednesday, 22 October 2025

Kuala Lumpur, 22 Oktober 2025 – Di sebalik kilauan cinta, tersimpan racun yang tak terlihat. Begitulah kisah yang dibawa menerusi Tonton Original Series: Toksik Cinta, naskhah baharu yang penuh dengan konflik di platform Tonton, membongkar sisi gelap cinta di sebalik glamor dunia hiburan. Arahan Pali Yahya dengan skrip oleh Erma Fatima, drama ini menggabungkan elemen melodrama, thriller rumah tangga dan jenayah, menjanjikan perjalanan sarat emosi dan permainan psikologi yang mendalam.

Selepas kejayaan drama Keluarga Itu, Erma Fatima menampilkan sisi evolusinya sebagai penerbit dan penulis yang kini lebih berani menyelami gelapnya psikologi manusia. Dengan gaya penceritaan penuh emosi dan realiti kehidupan yang menjadi identiti karyanya, Toksik Cinta mengupas batas antara cinta dan obsesi, serta bagaimana keinginan untuk memiliki boleh berubah menjadi racun yang memusnahkan. 

Menampilkan barisan pelakon berkarisma seperti Riena Diana, Aqasha, Keith Foo, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam, Toksik Cinta hadir dengan naskhah penuh emosi dan konflik yang mendalam. Drama bersiri 30 episod ini bakal menemui penonton mulai 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton.

Kisah bermula dengan Alfi (Aqasha), seorang pengarah filem ternama yang berkenalan dengan Karmila (Riena Diana), pempengaruh dan pelakon meningkat naik di set penggambaran. Cinta mereka berputik hingga ke jinjang pelamin, namun segalanya musnah apabila Karmila memfailkan penceraian selepas mendakwa dirinya didera. Dengan bantuan peguamnya, Amsyar (Keith Foo), Karmila membawa kes itu ke mahkamah. Toksik Cinta bukan sekadar kisah rumah tangga yang retak, tetapi membawa penonton menyelami batas antara cinta dan obsesi, mangsa dan pemangsa, serta kebenaran dan persepsi.

Mengulas mengenai wataknya, Riena Diana berkata, “Masa saya bawakan watak Karmila, saya betul-betul cuba faham dari mana datangnya luka dia. Karmila ni bukan sekadar wanita yang keliru, tapi seseorang yang pernah dikhianati dan teraniaya oleh lelaki. Dia datang daripada keluarga yang berantakan dan semua pengalaman tu buat dia keras luarannya tapi rapuh di dalam. Toksik Cinta bagi saya adalah kisah tentang hidup Karmila yang berliku dan penuh ujian, bagaimana cinta dan luka silam mengubah cara dia melihat dunia.” 

Secara keseluruhannya, Toksik Cinta bukan sekadar kisah cinta atau konflik rumah tangga, tetapi cerminan kepada realiti sosial yang jarang didedahkan, tentang bagaimana kasih boleh bertukar menjadi bayang yang menghantui apabila diselubungi ego, dendam dan keinginan untuk memiliki. Ia mengajak penonton menilai semula siapa sebenarnya mangsa dan siapa pemangsa dalam hubungan yang penuh luka dan manipulasi.

Langgan TontonUp selama 3 bulan dan nikmati ganjaran istimewa menerusi Tonton Rewards! Sebagai tanda penghargaan buat pelanggan setia, anda berpeluang menebus baucar diskaun Pizza Hut bernilai RM20 serta baucar Baskin-Robbins bernilai RM10. Rasai kelazatan hidangan dan manisan sambil terus menikmati drama, filem dan rancangan kegemaran anda di Tonton, lebih banyak anda langgan, lebih banyak ganjaran menanti!

Saksikan kisah penuh debaran, Tonton Original Series: Toksik Cinta bermula pada 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.