Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Simpan Lampu Garam Dalam Rumah Untuk Rawat Resdung? Baca Ini Sebelum Beli!

Tuesday 7 July 2020

lampu garam

Lampu garam bukanlah sekadar lampu yang biasa digunakan untuk menerangi kamar tidur anda.

Sebaliknya, objek yang berupa seakan sebuah batu dan mengeluarkan cahaya ini dipercayai boleh mendatangkan pelbagai kebaikan kepada penyimpannya.

Ramai yang membeli dan menyimpan ia di dalam bilik, pejabat atau mana-mana ruang tertutup kerana terlalu percaya akan testimoni pengguna sebelum ini.

Mereka mengatakan lampu garam ini boleh merawat pelbagai masalah berkaitan sistem pernafasan seperti resdung, semput atau asma.

Selain itu, tidak kurang juga ada yang percaya lampu ini mampu menjadi ‘pelindung’ daripada sebarang gangguan aneh dan mistik.

Adakah penyataan ini benar atau mitos semata-mata? Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!

Apa itu lampu garam?

Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, wajarlah untuk kita semua belajar serba sedikit mengenai objek yang sedang tular di pasaran ini terlebih dahulu.

Lampu garam adalah sejenis lampu yang diperbuat daripada garam bukit dan berbentuk seperti sebuah batu yang mengeluarkan cahaya berwarna terang.

Asalnya, ia diperbuat daripada campuran garam bukit Himalaya yang terletak di Pakistan.Inilah sebab ia sering kali dikenali dengan nama lampu garam bukit Himalaya di seluruh dunia.

Namun ramai pengusaha kini telah mengambil kesempatan dan membuat versi tiruan yang kita sendiri tidak tahu akan asal usul dan risiko penggunaannya. Kini, ia telah mula popular di Malaysia. Persoalannya, adakah benar ia mempunyai manfaat seperti yang digembar-gemburkan?

lampu garam

Ramai individu yang membeli dan menyimpan ia di dalam rumah untuk merawat masalah berkaitan pernafasan terutamanya resdung, semput atau asma.

Adakah ia benar-benar efektif?

Berikut merupakan 3 manfaat utama lampu garam yang sering dipercayai dan diperkatakan:

#1. Menambah baik kualiti udara

Ini adalah ‘selling point’ penjual lampu garam yang paling utama.

Ia dikatakan mampu menambah baik kualiti udara dan bagus untuk digunakan oleh penderita masalah berkaitan pernafasan seperti resdung, semput atau asma. Bukan itu sahaja, ia juga dipercayai boleh merawat individu yang mempunyai masalah alahan debunga atau penyakit fungsi pernafasan seperti fibrosis sista.

Pun begitu, sehingga kini masih belum wujud sebarang kajian yang mengatakan ia mampu membuang patogen sekali gus menambah baik kualiti udara. Ia cuma berkemungkinan boleh menambah baik sistem pernafasan manusia ekoran fungsi haloterapi yang boleh diperoleh melalui kehadiran garam di udara. Namun ia bukan alternatif untuk rawatan penyakit resdung, semput, asma dan lain-lain.

#2. Meningkatkan emosi dan mood

Selain itu, lampu garam ini juga dikatakan sangat bagus untuk aspek mental anda.

Menurut sebuah kajian yang melihat kepada pendedahan ion negatif terhadap haiwan, ia akan membantu peningkatan serotonik – bahan kimia yang berkaitan dengan regulasi mood.

Pun begitu, kajian terhadap manusia tidak menunjukkan sebarang kesan yang positif kecuali jika mereka sedang berada dalam keadaan kemurungan.

Dalam erti kata yang lebih mudah, ia mungkin boleh membantu anda untuk merelakskan diri dari tekanan namun keberkesanannya sangat rendah.

#3. Membantu anda yang sukar tidur

Dalam pada itu, lampu garam juga dipercayai boleh jadi penawar buat mereka yang sukar tidur.

Ya, mungkin benar bahawa ia mampu memberikan pencahayaan dan suasana yang tenang serta aman namun tiada kajian yang mengesahkannya. Sekiranya kalian mempunyai masalah berkaitan kualiti dan kuantiti waktu tidur, segera berjumpa doktor untuk konsultasi dan rawatan lanjutan.

resdung

Ia boleh dijadikan sekadar perhiasan

Baiklah, sekarang kita sudah tahu bahawa belum wujud sebarang kajian saintifik mengenai manfaat lampu garam bukit Himalaya ini terhadap kesihatan kita.

Oleh itu, ternyatalah kenyataan bahawa ia mampu merawat masalah resdung, semput atau asma adalah mitos atau sekadar plasebo semata-mata.

Namun ia masih mempunyai beberapa manfaat yang lain sekiranya disimpan di dalam rumah atau pejabat termasuklah:

Ia cantik untuk dijadikan perhiasan
Ia membantu anda untuk menjimatkan elektrik
Ia memberi efek untuk meningkatkan suasana
Akhir kata, lampu garam mungkin tidak akan memberi apa-apa impak positif namun ia juga tidak akan memberi kesan negatif terhadap tahap kesihatan anda.

Pesan kami, ia sangat cantik untuk dijadikan sekadar perhiasan!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Durian ialah buah yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Di samping manfaat makan durian yang hangat diperkatakan, ada juga efek makan durian yang ramai tidak sedar!

Buah ini amat digemari kena isinya yang manis dan lemak berkrim. Tapi, apabila makan durian mesti anda terfikirkan tentang semua mitos yang berkisar tentang raja buah ini bukan? Ada macam-macam pantang larang kalau berkenaan makan durian.

Tapi, yang lebih penting lagi ada ke kebaikan makan durian? Sejauh manakah kebenaran semua mitos ini? Boleh percaya ke? Kalau anda nak tahu lebih lanjut, jom, ikuti artikel kami di bawah.

Mitos 1: Jangan makan durian dengan alkohol. Boleh bawa maut!

Mitos ini sudah lama berlegar-legar dalam kalangan pemakan durian yang tegar. Tapi, betul ke makan durian dengan arak boleh menyebabkan kematian?

Durian mempunyai kadar karbohidrat yang tinggi. Makanan yang kaya dengan karbohidrat mengandungi banyak fiber yang tidak dapat diuraikan oleh badan.

Walaupun fiber bagus untuk kesihatan, terlampau banyak serat juga akan membuatkan anda rasa kembung perut. Ini merupakan salah satu keburukan makan durian secara berlebihan!

Samalah seperti minuman beralkohol seperti arak. Minum arak dan makan durian boleh menyebabkan perut anda rasa tak selesa.

Anda mungkin akan alami kembung perut, tapi tak adalah sampai membawa maut!

Mitos 2: Makan durian bersama buah sejuk seperti manggis

Dalam perubatan moden, tidak ada istilah mengenai buah sejuk ataupun panas. Malah, kenyataan ini langsung tidak disokong oleh kajian saintifik.

Manggis dan durian selalunya berbuah dalam musim yang sama. Mungkin mitos ini timbul untuk mengelakkan orang ramai daripada membazir.

Yelah, kalau semua orang nak makan durian, siapa nak makan manggis?

Mitos 3: Durian mempunyai kolesterol yang tinggi


Berita baik untuk penggemar durian. Antara kebaikan makan durian ialah buah ini tidak mempunyai sebarang kolesterol! Tapi, jangan keliru antara kolesterol dan karbohidrat ya!

Durian mengandungi karbohidrat LDL (low density carbohydrate), sejenis karbohidrat yang baik untuk jantung.

Namun, durian masih lagi mempunyai kadar karbohidrat yang tinggi.

Jadi, individu yang mempunyai kencing manis dan sakit jantung jangan makan terlalu banyak durian ya! Efek makan durian kepada anda mungkin buruk.

Mitos 4: Tingkatkan libido seks antara manfaat makan durian

Jangan tertipu ya! Tidak ada sebarang kajian yang boleh membuktikan bahawa durian boleh tingkatkan libido seks seseorang.

Tetapi, ada juga kebaikan makan durian tau!

Ada kajian yang membuktikan bahawa durian boleh mengurangkan stres dan membantu anda untuk tidur. Durian mempunyai sejenis asid amino yang bernama tryptophan – asid amino yang boleh menaikkan kadar serotonin dan melatonin di dalam badan. Dua hormon ini dapat membantu anda untuk kurangkan stres dan juga tidur dengan lebih lena!

Mitos 5: Tak boleh ambil durian dan juga kopi pada masa yang sama!

Mitos bahawa durian tidak dapat dimakan bersama-sama kopi juga adalah tidak benar sama sekali.

Makan durian bersama minuman apapun tidak akan menyebabkan seseorang itu sakit jantung.

Sakit jantung merupakan satu penyakit yang berlaku akibat daripada tabiat pemakanan seseorang. Oleh itu, jika individu tersebut selalu mengamalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat, maka lebih mudahlah untuk dia menghidap sakit jantung.

Walaupun ada banyak kebaikan makan durian yang kaya dengan vitamin dan mineral ini, anda tetap harus berjaga-jaga supaya tidak terlebih makan.

Mitos 6: Makan durian banyak-banyak boleh akibatkan demam dan batuk

Ini merupakan satu lagi mitos yang awal-awal lagi perlu disangkal.

Tidak ada sebarang kaitan antara makan buah durian dengan demam atau batuk. Makan durian secara berlebihan mungkin boleh buatkan anda rasa kembung perut, tetapi bukannya demam!

Secara saintifik, mungkin makan durian boleh meningkatkan sedikit suhu badan. Tetapi itu tidak bermakna ia akan menyebabkan batuk ataupun demam!

Mitos 7: Makan durian dengan susu pun tak boleh?

Sama seperti makan durian bersama dengan alkohol, susu juga mempunyai kadar fiber dan karbohidrat yang tinggi.

Minum susu secara berlebihan pun boleh sebabkan kembung perut, apatah lagi minum susu sambil makan durian!

Ada banyak kebaikan makan durian sebenarnya!


Durian merupakan buah yang sangat berkhasiat. Banyak manfaat makan durian, setanding dengan gelarannya sebagai raja buah.

Walau bagaimanapun, itu bukan alasan anda boleh makan durian dengan banyak ya! Ada banyak juga efek makan durian.

Dalam apa jua keadaan, beringatlah supaya mengambil makanan dalam keadaan sederhana. Amalkan panduan pemakanan sukusukuseparuh yang disarankan kerajaan.

Jika anda rasa tidak selesa selepas makan terlalu banyak durian, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor di klinik yang berdekatan ya!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
berjemur di pantai

Berkelah dan berjemur di pantai pastinya aktiviti kesukaan ramai individu. Namun, bagi wanita mengandung, wujud kesan bahaya yang perlu anda ketahui.

Bahaya berjemur di pantai

Hakikatnya, secara teknikal aktiviti berjemur di pantai adalah 1 perkara yang tidak disarankan oleh pakar kepada semua individu, terutamanya wanita mengandung. Ini kerana terdedah kepada sinar UV matahari, meletakkan anda kepada risiko penuaan pramatang dan juga melanoma malignan (kanser kulit).

Beberapa kajian turut mengaitkan sinar UV dengan kekurangan asid folik. Fungsi asid folik adalah untuk menghalang dan mencegah kecacatan tiub saraf seperti spina bifida dan ia sangat penting pada trimester pertama kehamilan. 

Bagi wanita mengandung, kulit anda menjadi sangat sensitif dan lebih mudah mengalami kepanasan serta chloasma – bintik gelap pada wajah semasa berbadan dua. Banyak kebimbangan menyamakan tabiat berjemur di pantai dengan kaedah memerangkan kulit.

Kulit yang terdedah kepada cahaya matahari untuk tempoh yang lama semasa hamil boleh menyebabkan kegatalan, ruam panas atau masalah chloasma menjadi semakin teruk.

Pandangan pakar tentang isu ini

Menurut pakar daripada British Association of Dermatologists (BAD), Dr Sweta Rai menyatakan, tidak kira wanita mengandung mahupun mana-mana individu, aktiviti berjemur di pantai dengan berbaring di bawah sinar matahari tidak digalakkan. 

Malahan pakar penjagaan kulit semasa hamil juga tidak mengesyorkan aktiviti ini untuk dilakukan.

Dr Sweta menjelaskan, dalam tempoh kehamilan, tahi lalat anda boleh berubah disebabkan pengaruh hormon. Semasa berjemur, anda akan mengalami keadaan yang dipanggil pendedahan cahaya matahari kronik rendah atau selaran matahari.

Masalah selaran matahari yang dialami boleh menyebabkan penuaan pada kulit serta meningkatkan risiko untuk mengalami kanser kulit bukan melanoma walaupun dalam jumlah peratusan yang kecil.

Selain itu, ibu-ibu yang sedang hamil biasanya akan mengalami kemerosotan sistem imun, keadaan ini sekali gus memungkinkan ibu mendapat masalah berkaitan pendedahan cahaya matahari.

wanita mengandung

Adakah berjemur di pantai berbahaya untuk kandungan?

Pakar menjelaskan, tidak terdapat kajian yang dapat membuktikan mengenai perkara tersebut. Bagi Dr Sweta, saintis tidak mempunyai cara untuk mengetahui sama ada ia boleh memberikan kesan kepada bayi atau tidak. 

Walaupun kebanyakan pakar berpendapat bahawa ia tidak mungkin berlaku, tetapi masih tiada bukti untuk mengesahkannya. Walau bagaimanapun, sebelum hamil, untuk melakukan aktiviti berjemur di pantai, anda akan berbaring menelentang.

Namun, posisi tidur seperti itu bagi wanita mengandung boleh menekan urat besar dalam perut yang dikenali sebagai inferior vena cava. Jika keadaan itu berlaku, ia boleh mengurangkan aliran darah pergi balik ke jantung dan juga bekalan darah ke rahim.

Oleh sebab itu, posisi tidur wanita yang berbadan dua disarankan untuk mengiring ke sisi kiri berbanding menelentang.

Tip melindungi kulit bagi wanita mengandung

Sudah tentu anda tidak dapat menghindari diri daripada cahaya matahari 100% walaupun tidak berjemur di pantai, bukan?

Jadi sekurang-kurangnya, anda boleh mengurangkan kesan sampingan akibat terkena cahaya matahari dengan langkah-langkah berikut:

Memakai pelindung matahari SPF 30 atau lebih tinggi
  • Memakai pelindung matahari setiap 2 jam
  • Duduk di tempat teduh dan elakkan daripada terkena sinaran matahari secara terus
  • Hindari sinaran matahari pada waktu puncak, antara pukul 11 pagi hingga 3 petang

Kekal terhidrat

Berada di bawah sinaran matahari untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan dehidrasi. Pastinya ia 1 keadaan berbahaya buat wanita mengandung. Air sangat penting bagi wanita yang sedang hamil kerana ia akan mengangkut nutrien dan vitamin untuk dibawa ke janin.

Dehidrasi juga boleh menyekat aliran darah ke rahim dan mengakibatkan gangguan kepada perkembangan bayi, sekali gus boleh menyebabkan kontraksi pramatang.

Jika anda tidak pasti sama ada badan mendapat cukup cecair atau tidak, perhatikan warna air kencing.

Air kencing normal sepatutnya berwarna kuning cair. Jika berwarna gelap, anda berisiko untuk mengalami dehidrasi dan perlu segera meminum air.

Sekiranya anda berdepan kesukaran untuk minum air kosong, anda boleh mencampurkan sedikit perahan lemon dan minumnya dengan ketulan ais.

bahaya-wanita-hamil-berjemur-di-pantai

Nikmati cahaya matahari secara sederhana

Sama seperti perkara lain dalam hidup yang perlu dinikmati secara bersederhana, begitu jugalah keadaannya dengan cahaya matahari. 

Tidak salah untuk anda menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan, tetapi jangan secara berlebihan.

Anda masih boleh berkelah bersama keluarga atau bersantai di tepi kolam. Namun pastikan anda menjaga aspek pengambilan cecair dan memakai pelindung matahari.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
ramadhan

Bulan Ramadan dan Syawal merupakan saat yang mencabar buat penghidap kedua-dua jenis diabetes. Walau bagaimanapun, risiko kemasukan ke hospital disebabkan oleh masalah kesihatan lebih jelas pada mereka yang didiagnosis dengan kencing manis jenis 1.

Oleh sebab badan tidak berupaya menghasilkan insulin untuk memenuhi keperluan fisiologi tubuh, perkara tersebut memberikan impak kepada kegiatan harian bagi kedua-dua bulan tersebut. Sebagai contoh, mereka yang menghidap kencing manis jenis 1 tidak digalakkan untuk berpuasa tanpa pengawasan oleh doktor perubatan. Ia berikutan mereka berisiko untuk mengalami komplikasi kesihatan jika pelan pemakanan harian tidak dirancang dengan sebaiknya.

Perkara ini termasuklah penggunaan ubat insulin yang menjadi tunjang kepada keadaan gula dalam darah terkawal bagi pesakit diabetes jenis 1. Terdapat pantang larang yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan komplikasi yang jauh lebih serius sehingga boleh mengancam nyawa. Artikel ini akan memfokuskan khususnya kepada mereka yang didiagnosis dengan masalah diabetes jenis 1 bagi mempersiapkan diri menghadapi bulan Syawal.

Teruskan membaca.

Risiko DKA meningkat jika tidak berwaspada

jenis diabetes

Lebih daripada 1.7 bilion umat Islam di seluruh dunia berpuasa pada bulan Ramadan dan beraya pada bulan Syawal. Pelbagai jenis juadah disediakan bagi menikmati waktu berbuka puasa, sementara sewaktu Syawal pula akan dihiasi dengan kuih muih beraneka jenis dan rasa. 

Individu yang mengalami diabetes bergelut dengan masalah pemakanan. Ia bukanlah satu perkara yang mudah dikawal terutamanya di Malaysia yang terkenal dengan pelbagai jenis makanan. Apa yang lebih menakutkan bagi populasi tersebut adalah kebanyakan makanan yang disediakan mengandungi jumlah gula dan nutrisi makro karbohidrat yang tinggi.

Tanpa kawalan pengambilan kalori dan penggunaan insulin, mereka berisiko untuk mendapat pelbagai jenis komplikasi termasuklah diabetic ketoacidosis (DKA). Menurut satu kajian di 3 buah hospital yang terletak di United Arab Emirates (UAE), majoriti pesakit diabetes yang dimasukkan ke dalam hospital sepanjang bulan Ramadan dan Syawal adalah pesakit dengan jenis diabetes 1.

Pada bulan Ramadan, sejumlah 20 pesakit dimasukkan ke dalam hospital, semuanya pesakit diabetes jenis 1. Sejumlah 28 pesakit dimasukkan pada bulan Syawal, 4 daripadanya adalah pesakit diabetes jenis 2.

Melalui rekod ini, kita boleh buat andaian bahawa pesakit kencing manis jenis 1 lebih berisiko untuk dimasukkan ke dalam hospital akibat komplikasi diabetes. Apa yang lebih mengejutkan adalah jumlah kemasukan tersebut jauh lebih tinggi daripada purata jumlah bagi 6 bulan sebelum Ramadan.

Oleh sebab risiko sebeginilah keringanan diberikan kepada mereka yang menghidap diabetes untuk tidak berpuasa.

Panduan pemakanan bagi pesakit jenis diabetes 1 semasa bulan Syawal

jenis diabetes

Kebanyakan kes diabetes jenis 1 didiagnosis semasa kanak-kanak.

Perkara ini agak mencabar jika dilihat pada sudut klinikal memandangkan golongan ini masih sedang membesar. Jika dilihat secara teorinya, bulan Syawal sama seperti bulan Islam (kecuali Ramadan) yang lain dari konteks rutin waktu makan. Apa yang membezakan adalah sambutan perayaan bagi meraikan kejayaan umat Islam menempuh 30 hari berpuasa.

Perkara ini, walaupun dilihat sebagai satu perubahan kecil boleh memberikan impak yang besar kepada penghidap kencing manis jenis 1. Rumah terbuka, kuih raya dan minuman manis, semuanya merupakan trademark kepada suasana perayaan.

Ini bermakna, perjuangan memerangi hawa nafsu masih belum selesai!

Pesakit diabetes perlu kembali kepada asas pengambilan kalori makanan dan mereka perlu memahami sedikit sebanyak kenapa pengambilan kalori berlebihan menyebabkan berlakunya komplikasi.

Makanan yang berteraskan sumber yang sihat (walaupun sukar ditemui pada bulan ini) perlu menjadi pegangan. Oleh sebab fokus utama adalah pada nutrisi makro karbohidrat, pesakit perlu sedar berapa jumlah makanan berasaskan sumber tersebut yang boleh diambil. Ia bukanlah perkara asing memandangkan teknik pengiraan karbohidrat digunakan secara meluas dalam rawatan kencing manis jenis 1.

Memandangkan majoriti pesakit diabetes jenis 1 adalah kanak-kanak, jadual bergambar bersama nilai karbohidrat boleh membantu mereka memberikan anggaran yang lebih tepat. Perkara ini penting memandangkan jika nilai yang dianggar lebih rendah/tinggi daripada apa yang diambil, mereka berisiko untuk mendapat masalah hipo/hiperglisemia.

Dilema pesakit diabetes jenis 1 terhadap kawalan gula dalam darah

syawal

Jika makan terlalu banyak boleh dapat hiperglisemia, kalau terlalu sedikit, boleh hipoglisemia. Demikianlah corak kerisauan yang berlaku dalam kalangan pesakit yang menghidap kencing manis jenis 1. Oleh sebab badan mereka tidak mampu menghasilkan insulin, mereka perlu menyuntik insulin bagi memanfaatkan sumber tenaga yang dicerna. Mereka perlu menggunakan sehabis baik waktu makan bagi memenuhi kehendak badan sebelum insulin disuntik masuk.

Jadual makan tetap dan pengambilan jumlah karbohidrat yang sama setiap hari boleh membantu menghindarkan komplikasi diabetes. Jika perlu, mengikut saranan pakar, snek berkhasiat boleh diberikan antara dua hidangan makan besar.

Tiada peraturan am yang boleh digunakan secara rambang apabila ia berkaitan dengan pemakanan bagi pesakit kencing manis jenis 1. Ia bergantung kepada pelbagai faktor seperti aktiviti fizikal bagi menentukan keperluan harian bagi nutrisi makro karbohidrat.

Konklusi

Penting bagi pesakit kencing manis jenis 1 untuk rujuk kepada doktor masing-masing sepanjang bulan Ramadan dan Syawal ini.

Jika dilihat pada konteks pemakanan, penulis setuju, pesakit diabetes tidak boleh menikmati makanan pada bulan Syawal seperti individu lain.

Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna anda tidak boleh menikmati kemeriahan suasana Aidilfitri.

Baca artikel kesihatan menarik yang lain di Hello Doktor!

Bagaimana Pesakit COVID-19 Boleh Pulih Tanpa Vaksin? Ini Jawapannya!

Thursday 30 April 2020

Bagaimana Pesakit COVID-19 Boleh Pulih Tanpa Vaksin? Ini Jawapannya!Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

Perlumbaan mencipta vaksin di seluruh dunia sedang rancak berlaku.

Semenjak  jangkitan virus korona baharu (COVID-19) merebak ke seluruh dunia, saintis dan ahli akademik berusaha keras untuk mencari ubat dan mencipta vaksin.Kedua-duanya merupakan senjata utama dalam memerangi kemaraan wabak.

Namun, apa yang anda perlu tahu adalah, majoriti pesakit di seluruh dunia mengalami simptom ringan. Mereka akan sembuh daripada COVID-19 dengan sendirinya selepas beberapa hari menunjukkan simptom.Keupayaan sistem pertahanan badan untuk melawan virus tidak harus dipandang ringan.

Malah terdapat kajian yang dibuat bagi memahami tindak balas imun terhadap COVID-19. Perkara ini  penting, bagi mencipta ubat dan vaksin yang berkesan. Kes positif di seluruh dunia sudah merangkak naik, lambat laun akan mencecah 3 juta. Di Malaysia, statistik kes positif adalah seperti berikut:

Image

Walaupun sebahagian kecil pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan untuk hidup, tapi majoriti hanya perlu bergantung kepada sistem imun mereka sendiri.Tindak balas sistem pertahanan badan terhadap jangkitan wabak boleh dianggap menakjubkan.Oleh sebab itulah mereka yang mempunyai masalah dengan sistem imun dianggap berisiko tinggi. Mereka telah kehilangan satu perisai dalam melawan virus korona baharu.

Kajian oleh Dr Oanh Nguyen yang melibatkan seorang wanita yang dijangkiti COVID-19 memberikan gambaran mengenai sistem imun secara umum.Wanita yang berusia 40 tahun itu tidak mempunyai latar belakang penyakit kronik. Dia telah hadir ke hospital Melbourne dengan simptom ringan COVID-19.

Dr Nguyen telah mengambil sampel darah pada 4 masa yang berlainan bagi melihat proses yang diadaptasi oleh sistem imun untuk melawan virus. 3 hari selepas wanita itu dimasukkan ke dalam hospital, pemeriksaan darah menunjukkan peningkatan pada populasi sel imun. Tindak balas ini hampir serupa dengan pesakit yang sembuh daripada jangkitan selesema influenza.

Berdasarkan kepada data yang ada, Dr Nguyen meramalkan pesakit akan sihat dalam masa 3 hari. Itulah perkara yang berlaku. Pesakit sihat dalam masa 3 hari! Kajian ini telah membuktikan bahawa, walaupun virus COVID-19 merupakan virus baharu, badan masih berupaya untuk melawannya.

Perkara ini boleh dijadikan sebagai faktor pendorong kepada saintis dan ahli akademik lain. Mereka perlu menyiasat, faktor apa yang tiada pada mereka yang mati disebabkan oleh COVID-19.

Isu di sebalik keupayaan sistem imun untuk sembuh daripada COVID-19 dan ribut sitokin

sembuh daripada covid

Ia merupakan satu bentuk paradoks.



Selama ini kita hanya memberikan perhatian kepada virus tanpa memikirkan seseorang itu mungkin teruk disebabkan oleh sistem imunnya sendiri. Untuk sembuh daripada COVID-19, kita bergantung sepenuhnya kepada sistem pertahanan badan dan sel imun. Sel  imun ini dikenali sebagai sitokin. Ia ibarat polis yang ditugaskan untuk menangkap penjenayah (COVID-19).

Sitokin adalah molekul pengisyaratan yang dirembeskan oleh badan untuk mengaktifkan proses keradangan dan membasmi jangkitan kuman. Namun, dalam sesetengah kes, badan boleh menghantar lebih banyak sel imun untuk  membasmi wabak virus tersebut. Tindak balas besar-besaran ini bukan sahaja akan membunuh virus  tersebut, malah sel sihat. Fenomena ini dikenali sebagai ribut sitokin.

Ia memerlukan rawatan namun, perkara tersebut melibatkan penggunaan agen untuk menurunkan fungsi sistem pertahanan badan.

Persoalannya, bagaimana anda hendak sembuh daripada COVID-19 jika rawatan yang diberikan bertujuan untuk menurunkan fungsi sistem imun? Virus memang sudah tentu  boleh menyebabkan kerosakan pada sel organ khususnya peparu. Ini merupakan dilema yang dihadapi dalam merawat masalah ribut sitokin pada pesakit COVID-19.

Tindakan ‘buang dadu’ untuk sembuh daripada COVID-19

sembuh daripada covid

Setakat ini, saintis sedang mencari jalan yang berkesan bagi membasmi masalah berkaitan dengan ribut sitokin. Pelbagai jenis ujian klinikal akan dijalankan, salah satu daripadanya melibatkan 1 ubat prostat yang dikenali sebagai tamsulosin. Melalui pemerhatian klinikal, seorang jurutera biomedikal, Joshua Vogelstein masih tidak jelas mengapa perkara itu berlaku.

Jika dilihat pada sudut teori, ubat tamsulosin boleh menghalang rembesan hormon dopamin dan adrenalin yang dicetus oleh sitokin. Ia boleh membantu mereka yang alami simptom teruk untuk sembuh.

Namun,  salah satu ujian klinikal yang mendapat perhatian adalah proses untuk menghalang fungsi sitokin itu sendiri. Sasaran utama adalah sitokin yang dikenali sebagai interleukin-6. Ia sering dikaitkan dengan risiko kegagalan sistem pernafasan.

Jika kita boleh mencipta ubat yang mampu menghalang fungsi interleukin-6 tanpa mengganggu molekul sitokin lain, ia mampu mengelakkan ribut sitokin daripada berlaku. Kajian klinikal kini sedang dijalankan. Walau bagaimanapun, penulis tidak rasa ia akan membuahkan hasil dalam masa terdekat.

Ia memerlukan masa dan rawatan bagi kes teruk untuk sembuh daripada COVID-19 kini berasaskan kepada maklumat sedia ada yang sangat terhad.

Konklusi

virus korona

Walaupun sistem imun badan boleh bantu kita untuk sembuh daripada COVID jika dijangkiti, tapi vaksin dan ubat yang terbukti berkesan penting untuk membasmi wabak. Jika anda mempunyai sistem imun badan yang kuat, anda berisiko rendah untuk mendapat COVID-19 teruk.

Teruskan patuh kepada perintah kawalan pergerakan dan langkah pencegahan lain. Lambat laun pertarungan menentang virus korona baharu ini akan dimenangi oleh kita.