“SELINGKUH” – KEJUJURAN DALAM LUKA

Thursday, 16 October 2025


“SELINGKUH” – KEJUJURAN DALAM LUKA | JIMI TAMPIL BERANI DENGAN GABUNGAN ROCK DAN ELEKTRONIK 

Kuala Lumpur, 16 Oktober 2025 – Penyanyi berbakat, Jimi, kembali dengan single terbaharunya berjudul Selingkuh, sebuah karya penuh emosi yang mengangkat kisah kekecewaan dan keberanian melepaskan cinta yang penuh kepalsuan. Lagu ini menandakan single kedua Jimi bersama Alternate Records, sekali lagi memperlihatkan kematangan dan evolusi muziknya.

Dicipta oleh Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush, Selingkuh membawa pendengar menyelami perjalanan emosi seseorang yang dikhianati daripada kekecewaan yang mendalam hingga ke keputusan untuk bangkit demi maruah dan ketenangan diri. 

Menurut Jimi, terpilih untuk menyanyikan lagu ini adalah satu penghormatan besar baginya. “Saya telah bagi sepenuh tenaga dan jiwa untuk setiap notanya. Lagu ini bukan sekadar tentang kecurangan, tapi tentang kejujuran terhadap diri sendiri bila seseorang sedar bahawa terus bertahan hanya akan menyakitkan,” katanya.

Rakaman vokal untuk lagu ini disiapkan dalam masa kira-kira 4 hingga 5 jam sahaja, namun Jimi mengakui ada beberapa bahagian yang memerlukan fokus dan tenaga sepenuhnya untuk mencapai vibe yang diinginkan. “Cabaran terbesar lagu ni ialah nak dapatkan vibe rock tanpa hilangkan identiti saya sendiri. Kali ini saya kena lebih agresif dari segi vokal dan tenaga, tapi tetap kena jaga emosi lagu tersebut,” tambahnya.

Dari sudut penciptaan, komposer Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush menjelaskan bahawa Selingkuh lahir daripada keinginan menyampaikan perasaan kecewa dengan jujur, tanpa tapis. “Lagu ini keunikannya pada lirik yang tajam dan realistik frasa seperti ‘duit habis kau sapu’ dan ‘hanya dengan selamba’ memberi rasa seolah-olah luahan sebenar dari hati yang terluka,” jelas mereka.

Menariknya proses penciptaan lagu ini berlaku semasa sambutan Tahun Baharu Cina, menjadikan ia lebih istimewa. Penulis lagu dan produser saling berhubung hanya melalui aplikasi WhatsApp bagi menyiapkan susunan muzik dan rakaman demo sebelum sesi rakaman vokal akhir bersama Jimi dijalankan.

Menggabungkan genre rock dan elektronik, Selingkuh menawarkan pengalaman bunyi yang segar di samping mengekalkan semangat rock klasik tetapi dengan suntikan elemen elektronik moden yang menjadikannya relevan untuk pendengar tahun 2025. “Kelainan yang saya nak tonjolkan ialah keberanian untuk keluar dari zon selesa. Mungkin orang belum tahu sisi lain saya yang lebih garang, bersemangat dan penuh live energy,” jelas Jimi lagi.

Bagi Jimi, Selingkuh bukan sekadar sebuah lagu putus cinta ia adalah simbol kejujuran, keberanian dan pembebasan diri daripada kepura-puraan. “Pendengar patut dengar lagu ni sebab ia bawa rasa yang berbeza dengan lagu sebelum ini. Gabungan tenaga rock dan emosi menjadikannya pengalaman yang jujur dan dekat dengan realiti,” katanya menutup bicara.

Dengan penyampaian vokal bertenaga dan lirik yang jujur, Selingkuh dijangka menjadi antara karya paling berani daripada Jimi setakat ini.

Selingkuh kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Youtube dan Spotify.


Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

Ayam Gepuk Artisan, Subang Bestari


Dekat Seksyen U5 ni dah ada 3 kedai ayam gepuk - Ayam Gepuk Top Global, Ayam Gepuk Pak Gembus, Ayam Gepuk Pak Yeop dan semua kedai pun penuh bila masuk waktu makan. Jadi tak hairan lah kalau Ayam Gepuk Artisan pun akan menerima penangan yang sama sebab penduduk dekat Seksyen U5 ni makin ramai, tambah pula easily accessible oleh orang luar. 

Since Ayam Gepuk Artisan ni baru dibuka, meja makan dia tak banyak sangat. Kitorang pergi tadi pun dah separuh dah penuh padahal baru pukul 12 tengahari. 


Dekat Ayam Gepuk Artisan ada dua jenis ayam gepuk, satu Klasik dan satu lagi Krispy. I tak suka ayam gepuk klasik sebab ayam tu kering so kitorang pilih set Krispy C. Fariha ambil 2pcs ayam, I ambil one piece je sebab takut tak habis. Air satu air mineral, satu lagi air laici. 





Ni gambar dari pelbagai sudut sebab tak nak terlepas semua bahan yang ada dalam satu set. Fariha ambil sambal biasa sebab nak ada kacang, I ambil level extra pedas. Nasi dia banyak tapi surprisingly habis lepastu menyesal sebab terlebih carbs. 

Pilihan tepat untuk ayam sebab 1 pun dah cukup but that's only me lah. Kalau rasa satu bahagian thigh tu tak cukup, order lah dua pieces ayam sebab dia akan bagi thigh dan drumstick. Kalau yang dah biasa makan ayam 1/4 bahagian tu, boleh lah ambik 2 pieces. Set krispy is a winner for me sebab rangup, sedap bila makan masa panas. Coating dia cukup rasa bukan tepung semata. Tempe dia pun sedap sebab rangup. 


Sambal extra pedas tu tak lah pedas sangat sebab tangan tak pijar pun masa makan. Mulut pun tak rasa kebas so pedas dia tak seteruk Ayam Gepuk Yeop. Sambal dia letak dekat pinggan pun tak banyak sebab konsep dia lebih kurang Ayam Gepuk Pak Gembus sebab boleh refill nasi dan sambal. 

Restoran dia nothing fancy pun tapi okay lah sebab ada washroom cuma eye sore sikit sebab air bertakung dalam sinki penuh dengan cili dan nasi. Bahagian air dia guna sistem layan diri so boleh ambil ais dan air ikut sukatan suka hati. Overall, definitely would repeat lagi sebab set ayam gepuk dia murah dan sedap for me. 

Buat jahat pasti dibalas, lambat-laun tiba juga qifarahnya. Itulah jiwa dan inti filem Qifarah, yang kini sedang menghantui pawagam di seluruh Malaysia. Lebih daripada sekadar filem seram, ia menyelami sisi gelap manusia, tentang dosa, balasan dan penyesalan. Dengan jalan cerita yang penuh emosi, lakonan berkesan dan visual sinematik yang menawan, Qifarah muncul sebagai naskhah seram tempatan yang benar-benar meninggalkan kesan selepas tontonan. Pendek kata, Qifarah ialah antara filem tempatan paling wajib tonton tahun ini.

Qifarah, hasil sentuhan kreatif Ghaz Abu Bakar, bukan sekadar filem seram biasa, ia satu pengalaman sinematik yang berani dan penuh gaya. Diterajui oleh Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay dan ramai lagi, filem ini bukan sahaja menyentuh emosi penonton, tetapi turut membangkitkan rasa ingin tahu serta perbincangan hangat tentang makna di sebalik setiap babak yang dipaparkan.

Berikut antara sebab yang bakal membuat anda tak sanggup lepaskan peluang untuk menonton Qifarah di pawagam:

  • Jalan Cerita & Plot Twist yang Tidak Disangka

Jalan cerita Qifarah dibina dengan naratif penuh teka-teki, membuatkan penonton sentiasa berfikir dan meragui setiap watak. Dari awal lagi, persoalan muncul, apa signifikan permainan monyet itu? Apa rahsia di bilik bawah tanah? Siapakah hantu kanak-kanak yang menghantui keluarga utama? Semua misteri ini terungkai dengan penuh kejutan melalui plot twist yang mendebarkan dan tidak terjangka.

  • Barisan Pelakon Ternama yang Menghidupkan Watak

Diterajui oleh barisan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah dan Liyana Jasmay, Qifarah menampilkan persembahan lakonan yang benar-benar hidup dan meyakinkan. Setiap watak dihidupkan dengan emosi dan keaslian tersendiri, menjadikan setiap babak sarat dengan impak. Namun, yang paling mencuri perhatian ialah Sharifah Sakinah, dengan lakonannya yang penuh intensiti, berani dan tidak takut menampilkan sisi gelap manusia.

  • Atmosfera Seram dan Visual Klasik 

Dari aspek sinematografi, penggunaan cahaya, bayang-bayang dan pemilihan lokasi membentuk suasana seram klasik yang benar-benar meremangkan bulu roma. Filem ini berjaya mengimbau seram era lama, namun diberikan sentuhan moden yang cukup menyerlah. Salah satu babak yang paling mencuri tumpuan adalah elemen kanibalisme, sesuatu yang jarang sekali dipaparkan dalam filem dalam Malaysia. Babak ini bukan sahaja mengejutkan, malah memberikan identiti unik.

  • Efek Khas dan Tatabunyi yang Mantap

Aspek teknikal dalam Qifarah benar-benar mengukuhkan pengalaman seramnya. Setiap elemen daripada bunyi pintu berkeriuk, desahan yang menggigit jiwa, hingga ke skor muzik yang menegangkan, disusun dengan teliti untuk membina suasana mistik yang autentik. Ditambah dengan efek khas yang realistik namun tidak berlebihan, filem ini berjaya menampilkan unsur ilmu hitam dengan gaya yang cukup meyakinkan dan menyeramkan.

  • Filem Seram Pertama Pengarah Ghaz Abu Bakar 

Ghaz Abu Bakar, yang sebelum ini terkenal dengan filem aksi dan drama, buat pertama kalinya mencuba genre seram dan ternyata hasilnya tidak mengecewakan. Filem terbaharu ini membuktikan keupayaan beliau merentasi genre dan menghasilkan sebuah pengalaman sinematik yang segar dan mencabar. Keberanian Ghaz menyelami dunia seram memberi ruang kepada sisi kreatif dan penonton pasti akan menghargai usaha beliau.

Jangan lepaskan peluang untuk alami sendiri pengalaman seram yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga sarat dengan pengajaran dan penyesalan. Dapatkan tiket anda sekarang dan saksikan filem Qifarah di pawagam berdekatan. Bersedialah untuk menghadapi dosa yang belum ditebus dan pembalasan yang tak mungkin dapat dielak.

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2025 – sooka, perkhidmatan penstriman terkemuka dan aplikasi OTT paling pantas berkembang di Malaysia, hari ini mengumumkan beberapa kerjasama strategik bersama peneraju industri termasuk Maxis, Etiqa, U Mobile, Grab, MAE by Maybank 2u, Sports Direct, Zus Coffee, dan VIU. Kerjasama ini menawarkan nilai yang hebat, akses yang lebih luas, dan pilihan yang lebih banyak untuk para pengguna.

Kini tersenarai sebagai aplikasi sukan No.1 dan antara lima aplikasi dengan pendapatan tertinggi di Google Play Store di Malaysia, sooka terus berkembang dan memperkukuh kedudukannya sebagai jenama hiburan pilihan rakyat Malaysia. 

Chu Young Lee, Pengarah sooka, berkata, “Di sooka, misi kami adalah untuk mempermudah akses kepada siaran langsung sukan serta kandungan hiburan Asia dan tempatan untuk semua. Kerjasama baharu ini bersama peneraju pasaran tempatan adalah langkah seterusnya dalam visi ini. Dengan berganding bahu bersama jenama yang turut mengutamakan pelanggan, kami dapat menawarkan nilai yang lebih tinggi, menarik lebih ramai pengguna dan memperkukuh hubungan dengan pengguna. Dengan musim Liga Perdana kini berlangsung, ini adalah peluang terbaik untuk lebih ramai rakyat Malaysia menonton siaran langsung sukan dalam 4K UHD di sooka melalui Android TV, aplikasi sooka dan sooka TV stick.”

Kerjasama strategik ini menandakan langkah penting dalam misi sooka untuk menghubungkan rakyat Malaysia melalui sukan serta kandungan hiburan Asia dan tempatan dengan cara yang lebih mudah diakses oleh semua. Dengan kerjasama merentasi pelbagai sektor—daripada kewangan dan insurans ke teknologi mudah alih dan gaya hidup harian—sooka berhasrat untuk menawarkan nilai yang lebih tinggi kepada pengguna melalui ganjaran eksklusif, tawaran menyeluruh dan titik akses yang lebih pintar.

Senarai Jenama Dan Penawaran, Jenama Penawaran & Tempoh Sah

1. Maxis - Tempoh Sah Sehingga 31 Januari 2026

  • Maxis menawarkan akses percuma kepada sooka Premium selama enam bulan kepada pelanggan pascabayar 139, 169, dan 199.
  • Pelanggan Hotlink Prabayar dengan Pas Internet Bulanan bernilai RM55, atau Hotlink Pascabayar 45/60/70 yang melanggan Data 2X add-on pada harga RM9.90, layak menerima akses 30 hari kepada pelan sooka Sports & Entertainment.
  • Semua pelanggan Maxis Pascabayar dan Hotlink yang lain boleh melanggan pelan sooka Premium pada harga RM25 sebulan (Harga Runcit: RM50.90) atau menambah pakej Super Streamer (sooka Sports & Entertainment) pada harga RM15 sebulan.

2. Etiqa - Tempoh Sah Sehingga 31 Januari 2026

  • Semua pengguna sooka baharu dan sedia ada akan menerima pelan Insurans kemalangan peribadi bernilai RM10,000 daripada Etiqa, sah selama 30 hari dari tarikh mereka menerima e-mel pengaktifan. Pengguna boleh mendaftar untuk tawaran ini melalui aplikasi sooka.
  • Pelanggan Etiqa boleh menikmati akses percuma selama 10 hari kepada pelan Sports & Entertainment sooka. Baucar digital dengan kod pengaktifan unik akan dihantar melalui e-mel kepada setiap pelanggan Etiqa yang layak.

3. U Mobile - Sedang berlangsung

U Mobile menawarkan pakej istimewa U Home 5G x sooka Premium, yang menggabungkan jalur lebar 5G berkelajuan tinggi dengan perkhidmatan penstriman sooka. Tawaran ini boleh didapati secara eksklusif melalui aplikasi MyUMobile.

4. Grab - Tempoh Sah Sehingga 31 Disember 2025

  • Pengguna Grab boleh menebus pelan 14 hari Sports & Entertainment sooka secara percuma melalui GrabRewards menggunakan mata ganjaran Grab mereka.
  • Setiap penebusan yang berjaya akan mendapat kod pengaktifan unik untuk akses percuma tempoh percubaan aplikasi sooka melalui laman web atau aplikasi mudah alih sooka.

5. MAE by Maybank2u  - Tempoh Sah Sehingga 31 Disember 2025

Sebagai sebahagian daripada kempen ‘JOM MAE’, pengguna yang membuka MAE Wallet melalui aplikasi MAE dan melengkapkan proses pendaftaran akan menerima ganjaran tunai serta kod unik untuk mengaktifkan akses percuma kepada pelan sooka Sports & Entertainment selama 14 hari.

6. Sports Direct  - Tempoh Sah Sehingga 26 Februari 2026

  • Ahli Sports Direct akan menerima akses percuma selama tujuh hari kepada pelan Sports & Entertainment sooka dengan sebarang pembelian di kedai atau sacara atas talian melalui laman web Sports Direct.

7. ZUS Coffee  - Tempoh Sah Sehingga 31 Disember 2025

  • Pelanggan ZUS Coffee boleh menebus mata ganjaran ZUS mereka melalui aplikasi ZUS Coffee dan menikmati akses percuma selama tujuh hari kepada pelan Sports & Entertainment sooka.

8. VIU - Sedang berlangsung 

Peminat sooka dan VIU kini boleh menikmati kedua-dua platform pada harga diskaun melalui pakej aplikasi sooka-VIU yang baharu. Bermula dari RM21.90 sebulan, pakej ini boleh dibeli di laman web sooka.

sooka terus berusaha untuk mendekati lebih ramai rakyat Malaysia dan menjadikan kandungan hiburan serta sukan lebih mudah diakses oleh semua. Dengan teknologi yang bertambah baik, harga yang berpatutan, dan sokongan daripada jenama-jenama terkenal, sooka semakin kukuh sebagai platform hiburan tempatan yang dibina khas untuk rakyat Malaysia.

sooka menawarkan kandungan siaran langsung sukan dan hiburan terpilih secara percuma. Selepas mendaftar, pengguna boleh terus menonton melalui laman web sooka.my atau aplikasi sooka—yang boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store, dan platform TV pintar.

Untuk maklumat lanjut mengenai sooka dan sooka TV stick, sila layari https://sooka.my/.

Untuk khidmat pelanggan, WhatsApp sooka di +603 9549 3792, atau layari support.sooka.my atau email kami di support@sooka.my.

Setiap manusia dikurniakan akal dan diberi pilihan. Dalam menempuh cabaran hidup, ada yang memilih untuk berdoa dan bersabar, sementara yang lain tersesat memilih jalan gelap, menyerahkan diri kepada ilmu hitam demi kepentingan sendiri. Hakikatnya, kebahagiaan tidak pernah lahir dari kegelapan, ia tumbuh daripada keikhlasan dan keberkatan kepada ajaran Tuhan.

Itulah yang digambarkan dalam filem Qifarah, apabila watak Mawar memilih jalan hitam demi mengikat takdirnya dengan kekuasaan dan kemewahan. Dengan mengamalkan ilmu syirik dan sihir, dia berusaha mengawal Ghazali serta seluruh keluarganya atas nama mempertahankan warisan keluarga turun-temurun. Namun, setiap langkah gelap yang diambil mula membawa padah, kedamaian bertukar menjadi huru-hara dan rahsia lama mula terbongkar satu demi satu.



Dosa-dosa lalu yang menjerat setiap watak menjadi simbol kepada konsep qifarah, pembalasan Tuhan atas perbuatan manusia. Filem ini bukan sekadar kisah seram, tetapi menggambarkan realiti hidup kita sendiri; bahawa setiap kesalahan pasti ada akibatnya, tidak kira cepat atau lambat.

Di bawah arahan Ghaz Abu Bakar, Qifarah mengisahkan tentang Yusoff (Remy Ishak), lelaki yang pulang ke tanah air selepas bertahun-tahun menetap di Cairo untuk menziarahi ayahnya, Ghazali (Esma Daniel) yang sedang nazak. Kepulangannya membuka semula lembaran hitam masa silam, saat kecurangan ayahnya terhadap ibunya, Nur (Vanidah Imran), membawa masuk Mawar (Sharifah Sakinah) ke dalam keluarga mereka. Kehadiran wanita itu menghancurkan kebahagiaan yang pernah ada dan meninggalkan kesan luka yang tak pernah sembuh.

Filem Qifarah, yang kini menghantui pawagam seluruh Malaysia, mengisahkan sebuah keluarga yang terperangkap dalam dosa silam dan rahsia gelap yang menghancurkan hidup mereka. Berteraskan elemen ilmu hitam sebagai teras ceritanya, filem ini mengingatkan penonton bahawa setiap perbuatan pasti ada akibatnya, sama ada baik atau jahat.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif mengenai Qifarah, jangan lupa ikuti kami di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube Primeworks Studios.

ANTARA CINTA, AGAMA & RESTU | “JIKA ITU SALAHKU” PERTEMUKAN SOPHIA ALBARAKBAH DAN ALVIN CHONG

Kuala Lumpur, 14 Oktober 2025 - Tiada yang mudah bila berbicara tentang cinta, terutama apabila dua jiwa datang dari dunia yang berbeza. “Jika Itu Salahku,” drama terbaharu slot Lestary TV3, membawa penonton menyelami kisah dua insan yang terperangkap antara kelalaian dunia dan pencarian Tuhan. Sarat dengan nilai kemanusiaan serta emosi yang menyentuh hati, drama ini bakal menemui penonton mulai 17 Oktober 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam.

Diadaptasi daripada novel nukilan Liza Nur, “Jika Itu Salahku” menampilkan gandingan serasi Sophia Albarakbah dan Alvin Chong sebagai Asyiqeen dan Ivan. Menghimpunkan barisan pelakon berpengalaman seperti Dato’ Ziela Jalil, Fadilah Mansor, Shamsul Ghau Ghau dan Steve Yap, drama 13 episod ini diarahkan Riza Baharuddin dan diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd.

Dibesarkan tanpa bimbingan agama, Asyiqeen (Sophia Albarakbah) belajar mengenal hidup dalam serba kekurangan dan derita. Sejak kecil, dia memikul tanggungjawab menjaga adiknya, Balqis, yang menghidap sindrom Down sambil menahan penderaan fizikal dan emosi daripada neneknya, Mak Tok (Fadilah Mansor). Namun, sebuah tragedi mengubah segalanya dan menjadi detik yang menyedarkannya tentang makna sebenar kehidupan.

Pertemuannya dengan Ashraff Ivan Tang (Alvin Chong), lelaki kacukan yang hidup bebas tanpa panduan, membuka lembaran baharu dalam kehidupan Asyiqeen. Dari perbezaan itu lahir rasa yang halus dan lembut, cinta yang bukan sekadar menguji hati, tetapi juga prinsip, pegangan dan keimanan mereka. Namun, mampukah dua jiwa ini benar-benar bersatu atas dasar keikhlasan, atau akhirnya tunduk kepada perbezaan agama yang memisahkan?

Bagi Alvin Chong, watak Ivan menjadi satu perjalanan peribadi buat dirinya. “Watak ini beri saya peluang untuk faham sisi spiritual yang jarang saya bawa dalam lakonan. Ia bukan sekadar menggambarkan kisah cinta, tetapi kisah tentang pencarian diri, tentang bagaimana kasih dan keyakinan boleh wujud walaupun dalam dunia yang berlainan agama. Ia membuat saya sedar sejauh mana seorang lelaki sanggup pergi untuk benar-benar memahami jiwa wanita yang telah mencuri hatinya,” katanya.

“Jika Itu Salahku” ialah kisah tentang mencari makna kasih, membawa pesan bahawa tidak semua cinta perlu dimiliki, dan tidak semua perpisahan bererti kehilangan. Saksikan drama ini bermula Jumaat ini, hanya di slot Lestary TV3. Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

TONTON FILEM QIFARAH & MENANG PAKEJ UMRAH!

Monday, 13 October 2025

Filem seram paling hangat tahun ini, QIFARAH kini di pawagam seluruh negara!

Sempena tayangan ini, anda berpeluang memenangi Pakej Umrah yang ditaja khas oleh RA Group Travel dengan kerjasama Skop Productions dan Primeworks Studios.


Cara penyertaan mudah sahaja:

 1. Jawab dua soalan berikut:

• Sup apa yang dimasak oleh Mawar untuk Yusoff?

• Ke manakah Yusoff dihantar semasa umurnya 7 tahun?

2. Lengkapkan slogan ini:

“Saya ingin menang pakej Umrah ini kerana…”

(tidak lebih dari 50 patah perkataan)

3. Hantar jawapan & slogan anda melalui DM ke @primeworksstudios.film bersama bukti pembelian tiket filem Qifarah.

4. Follow & komen ‘done’ di akaun Instagram @primeworksstudios.film dan @skopofficial__.

Tarikh tutup penyertaan: 20 Oktober 2025, 11:59 malam.

Pemenang akan dipilih berdasarkan jawapan yang betul dan slogan paling menarik.

Jangan lepaskan peluang, mungkin anda bakal menunaikan Umrah bersama insan tersayang!

Drama Review | Do You Wanna Partner (2025)

Sunday, 12 October 2025


Pengarah: Archit Kumar, Collin D'Cunha
Penulis Skrip: Nandini Gupta, Aarsh Vora, Mithun Gongopadhyay, Nidhi Sethia, Hussain Dalal
Pelakon: Tamannaah Bhatia, Diana Penty, Nakuul Mehta, Jaaved Jaaferi, Neeraj Kabi, Shweta Tiwari, Rannvijay Singha, Ayesha Raza Mishra
Syarikat Produksi: Dharmatic Entertainment
Penyiaran: Amazon Prime Video
Genre: Komedi / Drama / Bisnes 
Jumlah Episod: 8 Episod (35–46 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 12 September 2025 
Trailer: 


Shikha Roy Chowdhury (Tamannaah Bhatia) sentiasa dibayangi dengan kisah silam perniagaan bir milik ayahnya dicuri oleh rakan perniagaannya sendiri. Bir yang dicipta oleh ayahnya menjadi milik Vikram Walia (Neeraj Kabi) sekaligus popular dan menempatkan dirinya sebagai business tycoon dalam industri bir. 

Shikha ajak rakan baiknya sejak kecil, Anahita Makujina (Diana Penty) untuk menjadi rakan kongsi dalam syarikat kecilnya. Anahita merupakan penganalisa kewangan di syarikat besar tapi kerjanya sentiasa dipandang enteng oleh majikan kerana jantinanya. Bila dapat tawaran dari Shikha sebagai Chief Finance Officer dalam syarikat baru, dia yakin impian untuk berkembang semakin cerah. 


Mereka mencari resipi rahsia dalam bir yang dicipta oleh Sunjoy Roy Chowdhury (Indraneil Sengupta) melalui bantuan brewmaster bernama Bobby Bagga (Nakuul Mehta). 

Bila dah jumpa resipi untuk craft-beer mereka, Shikha juga Anahita berhadapan dengan masalah besar kerana tiada yang sudi bekerjasama dengan mereka hanya kerana mereka wanita. Semua pembekal bahan dan pemilik mesin atau kilang hanya akan bekerja dengan lelaki kerana mereka percaya wanita tak mampu mengendalikan perniagaan dengan bagus dan terarah pada emosi semata. 


Shikha dapat idea untuk tawarkan pelakon teater bernama Dylan untuk hidupkan watak big boss mereka, David Jones (Jaaved Jaaferi) yang pulang ke India untuk mengusahakan bir. Selesai satu masalah, datang pula masalah yang baru bila mereka mencari funder untuk syarikat hingga terpaksa minta bantuan Laila (Shweta Tiwari) yang mempunyai rekod jenayah dan berbahaya. 

Naskhah Do You Wanna Partner arahan Archit Kumar dan Collin D'Cunha terbitan Dharmatic Entertainment mempunyai perjalanan berliku dalam industri bir. Setiap langkah yang diambil, perlukan Shikha dan Anahita fikir tentang risiko yang datang bersama. Dan setiap langkah mereka juga sentiasa diintai oleh Walia yang mempunyai sejarah lama dengan keluarga Roy Chowdhury. 


Dinamik Tamnnah dan Diana Penty yang pertama kali digandingkan bersama mencipta dunia usahawan yang energetik. Setiap kali masalah datang, Anahita akan motivate Shikha supaya tak putus asa. Semangat dan cita-cita Shikha yang tinggi jadi kekuatan Anahita untuk bergerak walaupun kadang-kadang idea Shikha nampak macam tak boleh pakai. 

Selain mesej tentang dunia usahawan dan cabaran yang dihadapi wanita, tema persahabatan dan kepercayaan antara mesej yang terlihat kuat dari awal drama hingga ke penghujungnya. Dekat Episod 7 macam questionable sikit sebab Shikha jadi bosszilla bila dia nak expand tapi Anahita dengan Bobby minta dia slow down. 


Kalau ikutkan dua-dua pun ada betulnya sebab expansion adalah jalan yang tepat bila business tengah rancak tapi Anahita pun betul juga bila progress syarikat terlampau laju takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong pun berciciran. Shikha dengan Anahita ada mindset yang berbeza sebab Shikha dari latar belakang marketing sementara Anahita adalah finance. Pandangan Bobby pun betul juga sebab dia yang jaga production jadi dia tahu kemampuan Jugaroos dekat mana. 


Watak David Jones nampak merepek tapi untuk elemen komedi, David Jones somehow berjaya menjadi watak yang menghiburkan. Watak antagonis nampak lemah dalam siri Do You Wanna Partner sebab tergugat dengan usahawan kecil macam Jugaroos. Mungkin sebab dia tahu potential bir ciptaan Shikha akan pergi jauh macam mendiang ayah dia. 

Sometimes watak Walia nampak macam antagonis kartun tapi sebab siri ni tak nak fokus sangat dengan konflik dari pesaing sebaliknya cabaran dan diskriminasi terhadap wanita, boleh ignore je lah kelemahan dekat situ. I tak faham juga kenapa Shikha tak offer Bobby sebagai partner sedangkan Bobby mainkan peranan penting untuk Jugaroos. 


Do You Wanna Partner mempunyai vibe yang sama dengan siri Call Me Bae (2024) lakonan Ananya Panday. Selain visual yang memukau, Shikha dan Anahita tampil menawan dengan wardrobe yang fashionable. Props yang digunakan dan interior untuk setiap latar tempat terlihat cantik. Seronok tengok pejabat Jugaroo yang moden dan santai tapi ada sentuhan tersendiri. Music album Do You Wanna Partner bergerak seiring dengan emosi penceritaan. 


Tak pasti lah Dharmatic Entertainment nak terbitkan musim dua ke tidak sebab Jugaroo disaman oleh Walia untuk isu paten tapi kalau ikutkan memang Shikha dan Anahita salah sebab resipi tu adalah resipi yang dibeli oleh Walia. Kalau ada musim dua confirm akan tengok sebab seronok tengok chemistry Tamannah dengan Diana. 

1. Team Production +0.7, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +0.6, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 8.2/10

Movie Review | Dhadak 2 (2025)


Pengarah: Shazia Iqbal  
Penulis Skrip: Rahul Badwelkar, Shazia Iqbal  
Pelakon: Siddhant Chaturvedi, Triptii Dimri, Zakir Hussain, Saurabh Sachdeva, Deeksha Joshi, Vipin Sharma, Saad Bilgrami 
Syarikat Produksi:  Zee Studios, Dharma Productions, Cloud 9 Pictures  
Pengedar:  Zee Studios, Netflix
Genre: Romantik / Drama
Durasi Tayangan: 146 minit
Tarikh Tayangan: 01 Ogos 2025   
Trailer:


Setelah kejayaan filem Dhadak (2021), Dharma Productions tampil dengan installment kedua dengan judul yang sama namun berbeza penceritaan dan watak utama. Filem yang menggunakan tema perbezaan kasta seperti filem yang sebelumnya, kali ini mengisahkan tentang Neelesh “Neelu” Ahirwar (Siddhant Chaturvedi), pelajar jurusan undang-undang jatuh cinta dengan rakan sekelasnya, Vidhi Bharadwaj (Triptii Dimri), wanita dari kasta tertinggi. 

Selepas dibelasah oleh keluarga Vidhi, Neelu cuba untuk jarakkan diri dan putuskan hubungan mereka kerana dia membawa harapan keluarga dan orang kampung untuk ubah nasib hidup mereka di bandar besar tersebut. Namun Vidhi masih juga berdegil kerana rasa sayang yang mendalam terhadap jejaka tersebut. Dia pasti keluarganya akan terima hubungan cinta mereka. 


Filem arahan dan penulisan Shazia Iqbal bukan saja paparkan kisah cinta antara dua kasta yang berbeza malah menekankan peranan masyarakat untuk menangani masalah honor killings walaupun hidup pada zaman moden dan bandar maju. Dhadak 2 adalah remake kepada filem Tamil berjudul Pariyerum Perumal (2018) arahan Mari Selvaraj.

Setiap kali tengok babak Vidhi bertegas dengan cinta dia, setiap kali tu lah juga seriau sebab teringat pengakhiran dalam Dhadak 1 atau filem-filem cinta berbeza kasta yang lain. Pengarah juga sentiasa ingatkan penonton dengan watak Shankar (Saurabh Sachdeva) yang mengambil tugas membunuh individu berkasta rendah yang bercinta dengan kasta mereka. Cukup dengan cara dia membunuh, dah boleh nampak dia tak ada perasaan dan benci dengan kasta rendah. Minum air dari gelas yang dipegang oleh kasta rendah pun dah buatkan tekak dia jijik. Pandangan dia terhadap Neelesh pun sarat dengan pandangan jijik dan benci. 


Sama macam watak sepupu Vidhi, Ronnie Bharadwaj (Saad Bilgrami) atau Prakash (Abhay Joshi) yang berlagak dilahirkan dalam kasta tinggi. Semua watak sampingan yang dimasukkan dalam dunia percintaan Neelesh dan Vidhi dah buatkan kita rasa tak senang duduk dan seriau sepanjang menonton Dhadak 2. Kalau kita angau dengan lagu romantik Bas Ek Dhadak, pengarah akan masukkan watak Shankar berjalan melepasi Neelesh atau Ronnie yang selalu memerhati tindak-tanduk sepupunya. 



Walaupun watak Arvind Bharadwaj (Harish Khanna) berlembut dengan Neelesh tapi hakikatnya dia pun ada perasaan yang sama dengan ahli keluarga yang lain. Bezanya, dia sayang dekat anak lebih sikit dan takut Vidhi lari jauh dari dia bila tahu hal sebenar. Ironinya, semua watak sampingan dalam keluarga Bharadwaj adalah keluarga peguam yang masak benar dengan undang-undang dan akta yang berkaitan dengan honor killings. 

Lakonan Siddhant Chaturvedi cemerlang sebagai Neelesh di samping Tripti Dimitri walaupun baru pertama kali bergandingan bersama. Even dalam solo screen, masing-masing tak ada masalah untuk deliver emosi yang berat tentang konflik percintaan mereka berdua. Rasa puas tengok babak Neelesh mengamuk depan rumah Vidhi walaupun rasa takut Ronnie akan buat something. 


Memang patut sangat Neelesh bagitahu semua orang macam mana perangai sebenar keluarga Bharadwaj sebab pandai sangat berlakon baik padahal mampu jadi pembunuh hanya sebab rasa diri ada privilege sebagai kasta tinggi. Puas juga bila Vidhi nampak perangai sebenar keluarga dia sebab watak Vidhi mewakili watak orang kota yang anggap penganiayaan kasta rendah hanya berlaku di kampung dan cuma berlaku di zaman lalu. Banyak kali Neelesh cerita dan point out penganiayaan dan penerimaan orang sekeliling tapi selagi tak nampak depan mata, selagi itu lah susah nak hadam. 


Filem Dhadak 2 sepatutnya dapat kutipan yang tinggi tapi sayang bila Dharma Productions tak promote filem ni sampai ramai yang tak sedar dah habis tayangan. Filem dah bagus dengan skrip yang sarat dengan mesej sosial bersama lakonan yang cemerlang tapi syarikat produksi pula sambil lewa buat kerja. Mungkin sebab filem outsiders jadi tak perlu nak bagi perhatian sangat. Patutnya Dharma release Dhadak 2 dekat streaming platform je. 

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +1, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +1, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +1 = 10/10

Movie Review | Gundik (2025)


Pengarah: Anggy Umbara
Penulis Skrip: Anggy Umbara
Pelakon: Luna Maya, Maxime Bouttier, Agus Kuncoro, Ratu Sofya, Tyo Pakusadewo, Sara Wijayanto
Syarikat Produksi: Umbara Brothers Film, Makara
Pengedar: Netflix
Genre: Seram
Durasi Tayangan: 112 minit
Tarikh Tayangan: 22 Mei 2025 (Indonesia), 24 Julai 2025 (Malaysia)
Trailer:


Filem bermula dengan babak tentera berpangkat tinggi inginkan jawatan Jeneral tapi untuk lunaskan hasratnya, dia perlu mempunyai gundik dari alam lain. Pengerasnya adalah kepingan emas dan darah kanak-kanak lelaki supaya Nyai (Luna Maya) kekal muda dan berkuasa.  

Bergerak ke babak lainnya, Otto (Agus Kuncoro), bekas tentera khas dibebaskan dari penjara setelah berkelakuan baik dan disambut kepulangannya oleh anak perempuan tunggal bernama Merry (Ratu Sofya). Semasa Otto dipenjarakan, Merry telah pun bernikah dengan Ibrahim atau Baim (Maxime Bouttier) yang diwalikan oleh Reza (Arief Didu), adik ipar Otto. Merry juga sedang sarat mengandung anak pertama. 

Sehari selepas Otto keluar dari penjara, dia dapat panggilan untuk laksanakan tugas curi barang kemas dan peti emas di rumah Nyai. Otto yang tidak tahu tentang identiti Nyai cuma mampu bersetuju kerana dia juga tak mempunyai pilihan lain. Tambahan pula dia memerlukan duit untuk bayar kos hospital Merry.

Otto berjumpa dengan Saud (Dian Sidik), Reza dan Azhar kerana ahlinya sudah diatur oleh orang atasan. Azhar merupakan orang penting kerana dia memiliki ilmu ghaib dan saka yang boleh melindungi mereka semua dari ditangkap oleh pihak polis. Malangnya ketika sampai ke rumah Azhar, Baim maklumkan yang ayahnya sudah meninggal dunia. Saka Azhar diwarisi oleh Baim lalu mereka terpaksa bawa Baim sebagai pelindung. 

Rancangannya mudah, Baim berjaga di luar sementara mereka bertiga masuk untuk ambil harta dan kepingan emas. Tapi lain yang terjadi kerana kehadiran mereka disambut oleh Samir (Rukman Rosadi), pembantu Nyai sementara Nyai sedang di dalam proses menyalin kulit. 

Naskhah seram arahan dan penulisan Anggy Umbara menggunakan elemen mistik yang menjadi kepercayaan masyarakat Jawa ketika pasca dijajah Belanda. Dalam filem Gundik boleh nampak beberapa tokoh penting negara berjumpa dengan Nyai untuk hajat mereka walaupun perlu korbankan nyawa orang. Dekat awal lagi pengarah jelaskan semua watak terlibat dalam Gundik tak ada watak yang baik kecuali Merry dan Baim yang tiba-tiba terjebak. 

Pertama kali layan filem yang menggandingkan Luna dengan Maxim bersama walaupun berbeza pihak. Seorang protagonis manakala seorang lagi antagonis. Lakonan Luna Maya sebagai Nyai meninggalkan impak walaupun bergantung banyak dengan CGI untuk bahagian badan ular. Prostetik yang digunakan untuk bahagian muka dan atas badan ambil masa selama 2 jam untuk dihasilkan tapi berbaloi lah sebab Luna nampak persis seperti manusia ular yang digambarkan masa berehat dalam bekas tembaga. 

Sama juga dengan Maxim yang perlu melakonkan watak Baim dengan emosi yang pelbagai dalam masa yang singkat dan ruang yang terhad. Kelakar tengok penerimaan Otto terhadap Baim, takut bila terpaksa terima saka tapi Baim tetap tenang berjaga di luar walaupun diganggu dengan beberapa makhluk. Jumpscare memang banyak bila masuk babak Baim sebab dia boleh lihat alam angker. 

Kelemahan ketara pada filem Gundik adalah skrip yang kurang dikembangkan tentang antagonis utama. Dekat awal filem penulis bina ekspetasi yang tinggi untuk watak Nyai tapi tersia bila munculnya beberapa watak baru. Masuk second half pula penulis menimbulkan persoalan tentang Maryam, Ibrahim dan Imam Mahdi. Watak Zio (Jaurey Kenzie) juga seolah-olah melambangkan Dajal bila dia cucuk mata sebelah sebelum transform. Tak pastilah kalau ada something yang I terlepas pandang sebelum penulis beralih kepada simbolik-simbolik ni. 

Filem Gundik sesuai lah untuk one-time watch dan tontonan secara santai sebab ada komedinya juga tapi elemen gore dia pun kuat so tak sesuai untuk tontonan keluarga.

1. Team Production +0.6, 2. Visual +0.6, 3. Audio +0.7, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +1, 6. Genre +0.3, 7. Themes +0.5, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.5, 10. Personal Thought +0.4 = 5.7/10