Kuala Lumpur, 10 April 2026 – Selepas ‘first look’ mencuri perhatian dan mencetuskan perbualan hangat di media sosial, filem aksi paling dinanti tahun ini TARUNG : Unforgiven melangkah ke fasa seterusnya dengan pelancaran treler rasmi yang menyaksikan lebih intensiti dan lebih emosi, serta gambaran lebih jelas tentang dunia MARGA yang menjadi latar utama filem ini.


Berdurasi 1 minit 45 saat, treler dibuka dengan perebutan takhta organisasi elit, MARGA yang menyaksikan penampilan deretan nama besar pelakon tanah air. Treler semakin menarik ketika mempamerkan babak aksi pertarungan di antara Hatta, lakonan Mierul Aiman dan Isa, lakonan Aedy Ashraf. 


Diperkukuhkan dengan visual yang memukau dan realistik, koreografi aksi yang mendebarkan dan konflik emosi yang tegang, TARUNG: UNFORGIVEN menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang bukan sekadar aksi, tetapi sarat dengan mesej penebusan dan harga sebuah kesilapan. 


Selain Mierul dan Aedy, filem arahan sutradara hebat Razaisyam Rashid ini membariskan pelakon hebat lain seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel, Theebaan G, Shaharuddin Thamby, Razib Salimin, Jai JMT, serta Ijam Asri. Dengan kehadiran treler ini, TARUNG : Unforgiven bersedia menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.


Pengarah dan Penulis Skrip merangkap Penerbit Eksekutif TARUNG : Unforgiven, Razaisyam Rashid, berkata, “Treler ini hanyalah sedikit gambaran kepada apa yang kami bina dalam Tarung: Unforgiven. Banyak elemen yang tidak dipertontonkan sepenuhnya supaya penonton dapat merasai satu pengalaman sinematik yang lebih mendalam dan menyeluruh, serta benar-benar ‘masuk’ ke dalam dunia Tarung di pawagam nanti. Saya berharap penonton dapat merasai pengalaman tersebut di layar perak dan memberi sokongan kepada filem ini apabila ia ditayangkan kelak.”

Pelakon, Penerbit dan Penerbit Eksekutif TARUNG : Unforgiven, Aedy Ashraf menyatakan “Ini merupakan pertama kali saya terlibat dalam proses penghasilan filem dari mula sehingga ke strategi pemasaran, dan ia satu pengalaman yang sangat bermakna buat saya. Alhamdulillah, teaser Tarung: 

GAYONG 2 JADI PILIHAN NO. 1 PAWAGAM, BUKTI SOKONGAN PADU PENONTON TEMPATAN!

Friday, 10 April 2026

Filem aksi warisan, Gayong 2, terus mencipta momentum apabila berjaya muncul sebagai pilihan nombor satu di pawagam, sekali gus membuktikan bahawa karya tempatan yang sarat dengan elemen budaya, perjuangan dan emosi masih mendapat tempat di hati penonton Malaysia.

Sejak tayangan awal hingga hari pertama tayangan rasmi, Gayong 2 menerima sambutan baik daripada penonton dengan perbualan di media sosial serta kehadiran di pawagam yang semakin meningkat, sekali gus memberi petanda positif terhadap penerimaannya. Berbeza dengan filem pertama, Gayong 2 tampil lebih gelap dan realistik, mengangkat isu rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan yang menjadikannya lebih dekat dengan realiti serta lebih serius dari segi penceritaan.

Menurut Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, beliau meluahkan rasa terharu dengan penerimaan penonton terhadap filem ini, “Alhamdulillah, pihak Soul Pictures sangat terharu dan bersyukur dengan sokongan peminat-peminat filem tempatan kepada filem Gayong 2. Melihat kepada tayangan awal dan hari pertama tayangan rasmi di seluruh Malaysia, sambutan serta sokongan itu sangat memberangsangkan. Jadi, kami berharap sokongan ini berterusan dan mampu memberi kita semangat untuk meneruskan karya-karya yang lebih bersifat warisan, budaya dan perjuangan pada masa akan datang. Terima kasih Malaysia.”

Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian, tetapi menjadi petanda jelas bahawa penonton tempatan semakin menghargai naskhah yang membawa identiti sendiri. Gayong 2 bukan hanya sebuah filem aksi, tetapi sebuah perjalanan yang mengangkat nilai warisan dan semangat perjuangan dalam bentuk yang lebih moden serta dekat dengan generasi hari ini. Dengan momentum yang sedang memuncak, tidak mustahil filem ini akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan paling menonjol tahun ini.

Filem ini hadir dengan sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran dan diterajui pengarah Faisal Ishak. Tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Gayong 2 yang bakal menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 9 April 2026. Gunakan tanda pagar #Gayong2 untuk memeriahkan lagi perbualan di media sosial!

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Gayong 2, ikuti kami di Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.

“PENUH AKSI & EMOSI!” BETO BUAT SHERRY TAK SENANG DUDUK KETIKA MENONTON GAYONG 2

Thursday, 9 April 2026

Filem Gayong 2 hadir dengan pendekatan yang lebih berani dan matang, menggabungkan elemen aksi serta emosi dalam satu penceritaan yang cukup kuat. Berdasarkan perkongsian oleh Sherry Alhadad, filem ini bukan sekadar menghiburkan, tetapi memberi pengalaman menonton yang benar-benar mencengkam perasaan.

Menurut Sherry, Gayong 2 adalah sebuah naskhah yang membuatkan penonton “tak senang duduk” dari awal hingga akhir. Setiap babak dibina dengan tekanan yang konsisten, menjadikan perjalanan cerita terasa tegang dan sukar dijangka, sekali gus mengikat perhatian penonton sepanjang tayangan.

Kekuatan filem ini turut terserlah melalui susunan aksi yang lebih intense dan dramatik. Setiap pertarungan bukan sahaja memaparkan kekuatan fizikal, tetapi turut membawa beban emosi yang mendalam, menjadikan setiap adegan terasa lebih bermakna dan berlapis.

Berbeza daripada naskhah sebelumnya, Gayong 2 tampil dengan kelainan yang lebih gelap dan realistik. Filem ini menyentuh isu rasuah, salah guna kuasa dan pengkhianatan dalam sistem, menjadikannya lebih dekat dengan realiti dan memberi dimensi yang lebih serius kepada penceritaan.

Dari sudut lakonan, Beto Kusyairy berjaya menghidupkan watak Meor Abdul Rahman dengan penuh emosi dan ketelitian. Permainan emosinya mampu “tembus” ke jiwa penonton, memperlihatkan sisi seorang pejuang yang bukan sahaja kuat, tetapi juga sarat dengan konflik dalaman.

Berlatar selepas Perang Dunia Kedua, filem ini mengisahkan Meor sebagai pegawai CID dalam Pasukan Polis British yang berdepan dengan rangkaian jenayah dan rasuah yang dilindungi oleh pihak berkuasa. Impak keseluruhan filem ini begitu kuat sehingga Sherry memberikan penilaian luar biasa, iaitu 20/10, sebagai tanda penghargaan terhadap kekuatan penceritaan dan persembahannya.

Filem ini hadir dengan sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran dan diterajui pengarah Faisal Ishak. Tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Gayong 2 yang bakal menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 9 April 2026. Gunakan tanda pagar #Gayong2 untuk memeriahkan lagi perbualan di media sosial!

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Gayong 2, ikuti kami di Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.

Dalam dunia yang dibayangi kuasa dan pengaruh, tersembunyi rahsia gelap yang diwarisi tanpa pilihan. Seorang wanita menjalani kehidupan yang tampak sempurna, namun terikat dengan sebuah perjanjian terlarang yang menuntut kesetiaan sehidup semati. Teaser ini membuka sedikit demi sedikit tabir yang selama ini tersimpan, mengundang persoalan, sejauh mana seseorang sanggup melangkah demi kuasa?

Diarahkan oleh Faizal Nadxaman, filem ini dibarisi pelakon hebat seperti Che Puan Sarimah Ibrahim, Alya Iman, Datuk Rosyam Nor, Trisha Ooi, Sherie Merlis, Abon, Dayang Fajra Nadifa dan ramai lagi.

Pewaris Susuk bakal menjejak pewarisnya di pawagam bermula 30 April ini.

#PewarisSusuk #SehidupSemati

MUAZ ZABIR BONGKAR REALITI REMAJA DALAM PERSEKITARAN TOKSIK

Wednesday, 8 April 2026

‘DORM 403 BONGKAR RAHSIA GELAP SEKOLAH BERASRAMA’ | MUAZ ZABIR BONGKAR REALITI REMAJA DALAM PERSEKITARAN TOKSIK


Kuala Lumpur, 08 April 2026 – Di sebalik rutin harian sebuah sekolah berasrama, tersembunyi rahsia lama yang tidak pernah benar-benar mati, hanya menunggu masa untuk kembali menghantui. Dunia drama tempatan bakal dikejutkan dengan sebuah naskhah saspens penuh misteri dan emosi, “DORM 403”, yang akan mula bersiaran pada 15 April 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3 dan turut boleh distrim di aplikasi iQIYI satu jam selepas siaran TV3.

Drama bersiri sebanyak 13 episod ini menampilkan barisan pelakon muda berbakat seperti Muaz Zabir, Zairi Aziz, Gbril, Evertts Gomes, Nik Rifaie, Muhsin Nadzli, Noki, Dynas Mokhtar dan Puteri Aleeya yang menghidupkan watak-watak kompleks dalam dunia penuh tekanan, rahsia dan konflik yang semakin meruncing.

Drama ini mengangkat kisah kehidupan para pelajar di Sekolah Menengah Seri Alami, sebuah sekolah berasrama penuh yang digemparkan dengan kehilangan misteri Sheikh yang dilakonkan oleh Zairi Aziz, anak kepada pengetua sekolah, Puan Asma (Dynas Mokhtar). Apa yang pada awalnya dilihat sebagai kisah biasa remaja, termasuk persahabatan, cinta dan konflik harian, akhirnya bertukar menjadi sebuah tragedi yang membuka lembaran rahsia gelap yang sekian lama tersembunyi.

Muaz Zabir menggalas watak utama sebagai Fuza atau “Kuyu”, ketua kumpulan The Palang, seorang pelajar yang digeruni kerana renungan tajam dan aura dinginnya yang mampu menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar lain. Di sebalik sifatnya yang pendiam dan introvert, tersembunyi sisi gelap yang terbentuk daripada trauma silam serta latar belakang keluarga yang penuh konflik.

Watak Kuyu memberikan cabaran emosi yang mendalam sepanjang proses lakonan. Menurut Muaz Zabir, “Kuyu bukan sekadar watak ‘jahat’, tetapi seorang yang terbentuk daripada luka yang dipendam sekian lama. Cara dia melihat dunia sangat dingin, dan dia hanya tahu melindungi diri dengan mencipta rasa takut dalam diri orang lain. Bagi saya, Kuyu adalah refleksi bagaimana trauma boleh membentuk seseorang menjadi siapa dirinya hari ini.”

DORM 403” bukan sekadar kisah misteri kehilangan, tetapi turut menyelongkar realiti kehidupan remaja yang sarat dengan tekanan, keinginan untuk diterima, serta kesan luka emosi yang berpanjangan.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan “DORM 403”, bermula 15 April 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di slot Samarinda, TV3.

Penonton boleh menonton episod baharu secara eksklusif di iQIYI, 1 jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web iQIYI atau aplikasi di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

ADAM LEE CIPTA IDENTITI PALSU DEMI ANAK | Berganding dengan Sweet Qismina dalam Bayangan Lelaki Sempurna

Kuala Lumpur, 8 April 2026 – Bagaimana jika satu identiti tidak cukup untuk menjadi lelaki yang sempurna? Drama terbaharu di slot Akasia, Bayangan Lelaki Sempurna menyelami kehidupan seorang bapa tunggal yang menyelusuri di antara dua dunia, demi memberi yang terbaik buat anaknya.

Diterajui pasangan suami isteri popular, Adam Lee dan Sweet Qismina, naskhah arahan Ejump Mohamad ini menampilkan Ammar (lakonan Adam Lee), seorang penjual ikan dan bapa tunggal yang menjalani dua kehidupan berbeza apabila mencipta persona sebagai pempengaruh media sosial. Drama 28 episod ini turut dibintangi Riena Diana, Maya Fathia, Wanns Ahmad dan Amin Iman di bawah produksi Zamriez Golden Pictures Sdn. Bhd.

Dalam serba kekurangan, Ammar membesarkan Aqish dengan penuh kasih sayang, dengan bantuan jiran mereka, Zulin (lakonan Zazzleen), pengasuh yang menjaga Qish bersama anaknya, Zara Milda (lakonan Sweet Qismina). Hari-harinya diisi dengan usaha mencari rezeki demi memastikan Qish terus terjaga walaupun berdepan pelbagai cabaran, sehinggalah berlaku satu kejadian mencemaskan apabila Qish diserang asma, sekali gus memerlukan kos rawatan yang tinggi.

Desakan hidup yang semakin menghimpit menjadi titik perubahan buat Ammar. Dalam usaha mencari jalan keluar, dia mula membina persona baharu yang dikenali sebagai “Luth Zafran” di media sosial. Kejayaan yang hadir membuka peluang, termasuk menarik perhatian Dahlia Rizwani (lakonan Riena Diana), seorang wanita yang dikelilingi kemewahan.

Namun, di sebalik kehidupan baharu itu, Ammar dibayangi kebimbangan apabila rahsianya semakin sukar disembunyikan. Apabila kebenaran mula menghampiri, mampukah dia terus mempertahankan segala yang telah diusahakan?

Menurut Adam Lee, Ammar/Luth Zafran mewakili dua sisi kehidupan yang perlu diseimbangkan. “Ini bukan sekadar cerita tentang dua identiti, tetapi tentang seorang ayah yang cuba menjadi versi terbaik dirinya. Apa yang Ammar lakukan semuanya bersebab kerana baginya, menjadi lelaki sempurna untuk anaknya adalah keutamaan.”

Saksikan Bayangan Lelaki Sempurna mulai 9 April ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia, TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

3 PERKARA PENTING TENTANG GAYONG 2 & KENAPA FILEM INI WAJIB DITONTON!

Tuesday, 7 April 2026

Selepas kejayaan filem Gayong yang mendapat sambutan hangat, Gayong 2 kini kembali dengan skala yang lebih besar, aksi yang lebih padu dan emosi yang lebih mendalam. Bagi anda yang meminati filem aksi tempatan atau kisah yang sarat dengan elemen sejarah dan warisan, ini tiga sebab kenapa filem ini wajib masuk dalam senarai tontonan anda.

1. Kisah Legenda Silat Gayong yang Lebih Mendalam

Gayong 2 meneruskan penceritaan yang diinspirasikan daripada tokoh sebenar, Datuk Meor Abdul Rahman. Kali ini, naratifnya bukan sekadar tertumpu kepada perjuangan fizikal, tetapi turut menyelami konflik dalaman, pengorbanan serta harga yang perlu dibayar demi mempertahankan maruah dan warisan. Ia sebuah kisah yang lebih berjiwa, dekat dengan identiti bangsa.

2. Aksi Lebih Besar, Lebih Intens dan Lebih Realistik

Dari sudut aksi, Gayong 2 tampil dengan taruhan yang lebih tinggi. Koreografi pertarungan yang lebih kemas, babak yang lebih mendebarkan serta visual yang lebih sinematik menjadikan pengalaman menonton terasa lebih immersive. Setiap gerakan bukan sekadar aksi, tetapi membawa emosi dan makna yang tersendiri.

3. Barisan Pelakon Mantap dengan Sentuhan Wajah Baharu


Beto Kusyairi kembali sebagai Cikgu Meor dengan lakonan yang penuh karisma dan kekuatan. Disokong oleh pelakon hebat seperti Nabila Huda dan Syafiq Naswip, filem ini terus kukuh dari segi emosi dan penceritaan. Dalam masa yang sama, kehadiran wajah baharu seperti Sandra Lim, Fauzi Laily dan Bobby Tonelli menyuntik nafas segar, menjadikan jalan cerita lebih dinamik dan sukar dijangka.

Filem ini hadir dengan sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran dan diterajui pengarah Faisal Ishak, membawakan penceritaan penuh emosi, aksi dan warisan budaya. Lebih daripada sekadar filem aksi, Gayong 2 menyorot perjuangan, maruah dan warisan yang terus dipertahankan, dengan setiap watak membawa cerita tersendiri yang menjadikan setiap detik di layar bermakna.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Gayong 2 di pawagam bermula 9 April ini. Sebuah naskhah yang bukan sahaja menghiburkan, malah meninggalkan kesan mendalam, sebuah pengalaman yang wajib dirasai di layar perak, lebih lebih lagi di musim perayaan ini.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti kami di media sosial melalui Facebook, X, Instagram serta saluran YouTube Primeworks Studios.

Drama Review | XO, Kitty Season 3 (2026)

Sunday, 5 April 2026


Pengarah: Sherwin Shilati, Katrina Medina Mora, Michael Medico, Anna Mastro
Penulis Skrip: Valentina Garza, Siobhan Vivian, Nina Kim, Starr Shapiro, George Northy, Deirdre Shaw
Pelakon: Anna Cathcart, Sang Heon Lee, Gia Kim, Choi Min-yeong, Anthony Keyvan, Regan Aliyah, Peter Thurnwald, Ryu Han-bi, Sasha Bhasin, Jocelyn Shelfo, Sule Thelwell, Hojo Shin, Lana Condor, Jung Gun-joo, Peniel Shin
Syarikat Produksi: Paramount Television Studios
Penyiaran: Netflix
Genre: Romantik / Komedi
Jumlah Episod: 8 Episod (26–35 minit setiap episod)
Tarikh Tayangan: 2 April 2026
Trailer:

Semester ketiga di KISS membawakan harapan Katherine Song Covey (Anna Cathcart) untuk luahkan perasaannya terhadap Min-ho (Sang Heon Lee) dan seperti yang diharapkan, cinta Kitty berbalas. Namun Kitty dan Min-ho terpaksa berpisah sepanjang cuti musim panas kerana Lara Jean (Lana Connor) perlukan Kitty di New York gara-gara patah hati dengan Peter Kavinsky (Noah Centineo). 

Kitty mula rasa goyah apabila Min-ho terlibat dalam dunia glamor kerana menjadi pengurus Eunice (Ryu Han-bi) sedangkan dia cuma orang biasa. Tambah lagi bila mendapat amaran dari ayah Min-ho (Philippe Lee) supaya tidak mengganggu karier anaknya. 

Makin bertambah kerisauan Kitty bila Marius (Sule Thelwell) datang kembali sebagai rakan baik Min-ho, Q (Anthony Keyvan) dan Dae (Choi Min-yeong) kemudian hampir gagalkan rancangan Kitty untuk cipta kenangan bersama teman rapat di KISS. Bukan itu saja, Marius juga ajak Gigi (Christine Heesun Hwang), crush Min-ho yang elegan dan berpengalaman dalam dunia hiburan. 

Musim ketiga Xo, Kitty membawakan barisan pengarah yang berbeza dan juga barisan penulis untuk beberapa episod. Satu perubahan yang besar juga lah berbanding dua musim yang sebelumnya. Mungkin sebab Awesomeness dan ACE Entertainment dah dibeli oleh Paramount Television Studios jadi hala tuju series ni pun dah ditentukan oleh orang lain. 

Tahun lepas tertanya-tanya berapa lama kena tunggu untuk musim ketiga tapi tak lama pun sebab gap cuma setahun sahaja. Berbaloi tak bila siap cepat? Tidak sama sekali. Dari penghujung XO, Kitty Musim 2 (2025) dan beberapa hint yang diberikan oleh Jenny Han dalam XO, Kitty Musim 1 (2023) pun dah boleh nampak yang Min-ho dan Kitty adalah endgame tapi Kitty dan Min-ho dah berubah. 

Tak faham langsung kenapa Kitty nak insecure dengan dunia glamor Min-ho sedangkan Kitty kenal Min-ho luar dalam. Dia memang dah tahu dunia glamor Min-ho dari awal daftarkan diri di KISS. Merepek sangat Kitty tak tahu yacht chic tu apa and even kalau dia tak tahu pun, Kitty tu berkawan dengan Yuri. Boleh sangat minta advice dari bekas girl crush macam Maddison (Jocelyn Shelfo) dan Mihee Yoon (Sunny Oh). 

Fashion style Kitty drop sangat berbanding musim pertama dan kedua. Takkan lah sebab dah selesa dengan Min-ho terus pakai selekeh. Kalaupun berat badan Anna Cathcart naik pada musim ketiga, tak sepatutnya style dia jadi basic wear. Kecewa sangat tengok dress untuk runway dan birthday party dia. Kalau boleh pergi Lotte World, apa lah sangat pergi salon. 

Seoul dah terkenal dengan beauty tourism so kenapa tak masuk dalam series yang memang berlatarkan ibu negara Korea Selatan? Hairstyle Kitty dengan makeup makin cantik dalam musim ketiga sebab Anna Cathcart yang nak watak dia lebih bergaya dekat bahagian tu. 

Sama juga bila Kitty dengan Lara Jean dapat screentime yang terhad untuk plot reunion dengan saudara di Korea. Mr. Moon dengan Joon-ho (Peniel BTOB) pun muncul dalam episod pertama itupun blink and miss. Cameo dalam musim ketiga ni tak impactful macam dua musim sebelumnya. 

Penulis sengaja nak cipta drama bila wujudkan konflik antara Q dan Jin (Joshua Hyunho Lee) padahal tak perlu pun. Lemah sangat bila Q rasa sunyi lepastu contact Marius. Sembang pasal Marius, kenapa ambil pelakon yang tak ada screen presence dan tak ada X factor? Jin dengan Q dah lah handsome tiba-tiba buat Q rindu dekat Marius yang suka buli orang. 

Konflik antara Kitty dengan Min-ho pun sama padahal dekat musim pertama Min-ho sakit hati bila Kitty dengan mudah maafkan Dae walhal menipu besar. Bagi Min-ho menipu tu macam dosa besar tapi musim ketiga ni dia menipu. Merepek betul dia peluk Eunice depan tingkap bilik Kitty. Lepas tu bila Kitty lash out, dia pulak nak emo padahal terang-terang salah dia. Sama juga dengan Q nak baran padahal dari awal lagi memang salah dia. 

Dekat episod-episod hujung Lara Jean ingatkan Kitty untuk kejar impian daripada buang masa fikir tentang Min-ho tapi LJ macam tak kenal Kitty? Dekat musim pertama dan kedua pun Kitty sibuk cari susur galur keluarga ibu dia daripada fokus sangat dengan perasaan terhadap Dae, Min-ho atau Yuri. 

Kenapa penulis buat Kitty beria nak masuk NYU macam LJ? Kitty patutnya stay dekat Korea bukan kerana Min-ho tapi dia memang dah lama terpaut dengan Korea sejak kecil lagi sebab tu beranikan diri berhijrah ke tempat asing. Lagipun dekat musim kedua, dah tunjuk yang Kitty teruja sangat bila tahu Halmoni (Ae Yon Han) ada matchmaking business and surprisingly matchmaking agency is a big thing in Korea. Dalam rancangan Sixth Sense ada agensi dapat income masyuk so why not? 

Margot Song Covey belajar dekat Scotland dan LDR dengan teman lelaki dia, LJ dekat New York LDR dengan Peter so kenapa Kitty nak LDR juga? Kalau pun Kitty stay dekat Korea, Min-ho akan jarang ada dekat Seoul sebab dia dah sibuk sebagai pengurus SOS911. Kalau tak keluar pun akan mereput dekat dalam studio. 

Daripada sengaja nak cipta konflik, baik penulis kembangkan watak Kitty tolong Yuri dan macam mana dia nak improve Korean Literature supaya boleh grad on time. Screentime Kitty dengan Prof Daniel Lee (Michael K. Lee) pun tak banyak padahal dekat situ banyak wujud elemen komedi dan drama untuk dia kenal tentang mendiang ibu dia. 

Anehnya, hanya watak Kitty yang tak diketahui minat dia dalam bidang apa selain matchmaking. Kalau Min-ho ke arah musik dan dunia hiburan, Q dengan Jin pula ke arah sukan, Yuri sepenuhnya ke arah fesyen ditambah dengan perjalanan dia sebagai protégé Yisoo (Soy). Dae yang bijak dan aim SNU tu pun berminat ke dunia musik juga tarian, sama macam Eunice. 

Musim 3 memang jadi platform untuk MoonCovey shipper tapi ada banyak yang kurang terutamanya skrip. Walaupun dua episod akhir diarahkan oleh Anna Mastro tapi sentuhan Jenny Han tu dah hilang. 

Memandangkan musim ketiga jadi series no. 1 di Netflix, mungkin akan muncul musim keempat but somehow, I rasa macam tak perlu. Risau kalau series ni makin melalut dan hilang identiti asal. Cukuplah satu musim untuk bagi closure kepada Min-ho dan Kitty sebagai end game. 

1. Team Production +0.6, 2. Visual 0.7, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.7, 7. Themes +0.4, 8. Editing +0.8, 9. Social Message +0.5, 10. Personal Thought +0.5 = 6/10

Kuala Lumpur, 5 April 2026 – Tirai penentuan akhirnya dibuka apabila 20 lagu yang bakal berentap di Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40 SA) diumumkan secara rasmi, sekali gus merungkai teka-teki dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Bersempena dengan sambutan Anugerah Juara Lagu (AJL) yang ke-40, TV3 menyuntik kelainan dengan menyenaraikan 20 karya tumpuan untuk bersaing di peringkat Separuh Akhir yang akan berlangsung pada 17 dan 18 April ini.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi program Muzik Muzik pada jam 12.00 tengah hari tadi, dengan TV3 menjangkakan persembahan yang menarik, sengit dan mantap daripada para artis yang akan bertanding, kerana mereka tersenarai sebagai antara yang terbaik untuk merebut peluang ke Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40).

Daripada 30 lagu terbaik sepanjang carta Muzik Muzik 40 (MM40), 20 karya dengan jumlah markah tertinggi dipilih ke peringkat Separuh Akhir selepas melalui penilaian teliti dan profesional oleh barisan juri yang dilantik, berdasarkan kriteria penilaian yang telah ditetapkan.

Berikut merupakan senarai 20 lagu yang bakal bersaing di AJL40 SA:

1. Hijab Rindu
Penyanyi: Black Hanifah
Komposer: Rudy Nastia, Nyawa Black, Kelana & Adi Pawana
Penulis Lirik: Adi Pawana & Rudy Nastia

2. Seribu Tahun Lagi
Penyanyi: Imran Ajmain
Komposer: Amylea Azizan
Penulis Lirik: Amylea Azizan

3. Pernah Punya Aku

Penyanyi: Shila Amzah
Komposer: Shila Amzah
Penulis Lirik: Shila Amzah

4. Tangisan Seorang Pendosa
Penyanyi: Marsha Milan
Komposer: Marsha Milan
Penulis Lirik: Hazama

5. Tiwikarma
Penyanyi: K.O.I
Komposer: Zai Hamzah & Hemo Globin
Penulis Lirik: Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam

6. Puaskah

Penyanyi: Ameerais & Mariam Saim
Komposer: Iqie Hugh & Shazriq Azeman
Penulis Lirik: Iqie Hugh & Shazriq Azeman

7. Semacam Pandora
Penyanyi: Hazama
Komposer: Hazama, Zimi, Genervie Kam & Ritz Metalasia
Penulis Lirik: Zel Hadauan

8. Rasa & Takdir
Penyanyi: Amira Othman & Irfan Haris
Komposer: Syafiq Rashid
Penulis Lirik: Syafiq Rashid

9. Hilangmu Tak Terganti

Penyanyi: Tajul & Afieq Shazwan
Komposer: Haqiem Rusli
Penulis Lirik: Haqiem Rusli

10. Kamu

Penyanyi: Aina Abdul
Komposer: Aina Abdul
Penulis Lirik: Aina Abdul

11. Ke Mana Ni
Penyanyi: Luca Sickta, KMY KMO & Salammusik
Komposer: KMY KMO, Luca Sickta
Penulis Lirik: KMY KMO, Luca Sickta, Salam

12. Tak Adil
Penyanyi: Aisha Retno
Komposer: Aisha Retno & Radi
Penulis Lirik: Aisha Retno

13. Menyala
Penyanyi: Stacy
Komposer: Bunga Cantik
Penulis Lirik: Bunga Cantik & Hang Nadim

14. Lumangad Oku Dika
Penyanyi: Ryenald Guntabid
Komposer: Penulis Lirik: Ryenald Guntabid
Penulis Lirik: Ryenald Guntabid

15. Lumrah Cinta
Penyanyi: Puteri Khareeza
Komposer: Syamel & Aepul Roza
Penulis Lirik: Syamel & Aepul Roza

16. Nurcinta
Penyanyi: Amir Masdi
Komposer: Amir Masdi & Edry Abd. Halim
Penulis Lirik: Amir Masdi & Edry Abd. Halim

17. Nostalgila
Penyanyi: Haqiem Rusli
Komposer: Haqiem Rusli
Haqiem Rusli & Fahmi Zafran

18. Lemah
Penyanyi: Dayang Nurfaizah
Komposer: Hael Husaini
Penulis Lirik: Hael Husaini

19. Kerana Ego
Penyanyi: Khai Bahar
Komposer: Arnab Santai
Penulis Lirik: Khai Bahar

20. F
Penyanyi: Floor 88
Komposer: Zai Hamzah
Penulis Lirik: Achoi Floor 88 & Hemo

Dalam masa yang sama, episod Muzik Muzik hari ini turut melengkapkan senarai penuh 30 lagu carta MM40 dengan pengumuman baki 15 lagu terbaik yang tidak berjaya mara, antaranya “Gasoline” nyanyian Akim & The Majistret, “Peluk” nyanyian Hael Husaini & Nadeera, “P Ramlee Saloma” oleh kumpulan ALPHA, “Renjana” nyanyian Shiha Zikir, “Hamba Cinta” oleh Syamel dan “Kopi” oleh Nazu & Fahimi.

Rasai detik saringan penuh bahang ini! AJL40 SA bakal bersiaran secara langsung dari Studio 1 Glenmarie pada 17 dan 18 April 2026 (Jumaat & Sabtu), jam 9.00 malam di TV3 serta strim secara eksklusif di Tonton.

Movie Review | Mardaani 3 (2026)

Saturday, 4 April 2026


Pengarah: Abhiraj Minawala
Penulis Skrip: Aayush Gupta, Deepak Kingrani, Baljeet Singh Marwah
Pelakon: Rani Mukerji, Janki Bodiwala, Mallika Prasad, Janki Bodiwala, Prajesh Kashyap, Jisshu Sengupta
Syarikat Produksi: Yash Raj Films
Pengedar: Yash Raj Films, Netflix
Genre: 30 Januari 2026 (India), 27 Mac 2026 (Netflix)
Durasi Tayangan: 129 minit
Tarikh Tayangan:
Trailer:

Selepas menyelesaikan kes pemerdagangan wanita dan organ di Madras, Shivani Shivaji Roy (Rani Mukerji) dipindahkan ke Bulandshahr. Dia ditugaskan untuk mengetuai kes penculikan Ruhani (Avanee Joshi), anak kepada pegawai diplomatik India, Sahu (Indraneel Bhattacharya). Ruhani diculik bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan iaitu anak kepada pembantu rumah mereka, Jhimli (Diorr Varghese). 

Kedua-dua kanak-kanak perempuan tersebut diserahkan kepada Amma (Mallika Prasad) setelah mereka disuntik dengan bahan kimia yang akan menentukan sama ada positif untuk didagangkan. Sekiranya keputusan menunjukkan tanda negatif, mereka akan dibunuh dan dibakar serta-merta supaya tiada yang akan tahu.

Kebiasaannya mereka akan menculik kanak-kanak dari kasta bawahan supaya kes penculikan tidak akan disiasat tapi mereka tersilap langkah apabila menculik anak pegawai kedutaan. Shivani gagal untuk memberkas penculik kanak-kanak perempuan tersebut namun berjumpa dengan Ramanujan (Prajesh Kashyap), doktor muda dan juga aktivis yang aktif melaporkan kegiatan samseng di bandar tersebut.

Shivani bekerjasama dengan Ramanujan untuk menjejak Amma.

Setelah 7 tahun menyepi, Yash Raj Films menghidupkan kembali watak Shivani Shivaji Roy bersama pengarah dan penulis yang baru. Filem yang dinanti-nantikan oleh para peminat Rani Mukerji jadi YRF ambil keputusan untuk tayang Mardaani 3 pada Januari 2026 bersempena 30 tahun Rani berkecimpung dalam dunia perfileman.

Mardaani (2014) dan Mardaani 2 (2019) dikarang oleh Gopi Puthran namun Mardaani 3 ditulis oleh Aayush Gupta dan diarahkan oleh Abhiraj Minawala. Separuh masa pertama Mardaani 3 menjelaskan bagaimana Amma dan penculik upahannya bekerja. Dari situ boleh nampak macam mana Amma gunakan kanak-kanak dan bayi untuk menggerakkan sindiket peminta sedekah.

Masuk separuh masa kedua bila didedahkan siapa sebenarnya Prince yang sering membantu Amma, skrip dah mula longgar. Sebelum masuk babak kejutan yang dipaparkan oleh pengarah pun dah boleh nampak filem Mardaani 3 akan ikut jejak langkah tipikal untuk genre thriller.

Lakonan Rani Mukerji nampak tersia untuk skrip yang lemah sedangkan dia dah bina expectation yang tinggi lepas dua filem sebelumnya cemerlang dari segi kes jenayah, antagonis dan skrip. Walaupun kes jenayah tentang pemerdagangan wanita dan organ adalah kes yang sentiasa berlegar di India tapi kalau skrip bagus, boleh sangat pergi jauh.

Mardaani 3 tak mampu wujudkan watak antagonis yang mengerikan. Watak Amma nampak biasa kalau nak dibandingkan dengan Tahir Raj Bhasin dan Vishal Jethwa. Mungkin nak hidupkan sentimen ‘wanita hancurkan wanita’ tapi tak menjadi bila muncul watak Prince yang wujudkan virus dalam makmal dia. Boleh kata too ambitious lah juga.

Makin merepek bila Shivani dan team dia pergi ke Sri Lanka dan boleh buat sesuka hati atas nama untuk tegakkan keadilan. Draggy sangat bila Shivani berceramah tentang penindasan wanita, vibe dia jauh berbeza dengan babak Shivani belasah Sunny dalam Mardaani 2. Penulis masukkan juga watak Fatima Anwar (Janki Bodiwala) untuk konflik misoginis atau stereotaip jantina tapi tak dikembangkan sangat pun. Saja masukkan buat meriah.

Tak pasti sama ada YRF akan teruskan dengan instalment seterusnya sebab dekat hujung cerita, Shivani minta satu pasukan khas untuk dia bekerja lepas berkali-kali buktikan kebolehan dia sebagai pegawai polis. Spoiler tapi benda memang boleh dijangka dari awal filem lagi so not sorry for this one. Kalau YRF nak kembangkan lagi franchise ni, elok panggil lah balik Gopi atau cari penulis yang betul-betul ada bakat dan buat homework.

Lepas kegagalan WAR 2 (2025) sampai terpaksa re-shoot ALPHA dan kegagalan Mardaani 3, ada baiknya YRF invest dekat pengarah dan penulis skrip. Bab pelakon ni, YRF tak ada masalah pun sebab dari dulu memang pandai cari.

1. Team Production +0.5, 2. Visual +0.7, 3. Audio +0.4, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.4, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.2 = 5/10