Pau Ikan Bilis 7Eleven

Friday 6 August 2021

Selalunya kalau breakfast memang akan pergi ke Family Mart makan sandwich chiken spicy chiki tapi bila dah muak mula la tekak cari benda baru.  Lagipun masa tu dah pukul 10 lebih so nak cari makanan yang tak terlampau kenyang sangat sebab dah dekat dengan waktu lunch. 

Bila turun ke 7E nampak ada pau terus nak beli yang tu tapi ternampak ada flavor baru; flavor ikan bilis. Warna pun comel pulak tu. Bukan sesuatu yang mengejutkan ye kalau Pana makan sebab warna dia cantik. Memang dari kecik macam tu, kalau nak makan something memang akan pilih yang berwarna cantik haha


Pau ikan bilis ni RM 2.50 kalau tak silap tapi kalau pau dekat 7E memang harga RM2 ke atas. Mahal ke ek? Entahlah sebab selalunya makan sebiji pau pun dah kenyang sampai lunch. Pau dia tebal tapi lembut, inti pun banyak. 


Macam pau ikan bilis ni nampak la banyak ikan bilis tu bukan bawang semata. Kalau sambal ikan bilis yang penjual nasi lemak guna tskkkk sikit kemain serupa tak payah letak bilis. Nasi lemak sekarang dah hilang value nasi lemak. Banyak sangat bahan kena buang semata nak dapat harga murah tu. Tibehhh sembang pasal nasi lemak padahal makan pau. 

Walaupun puas hati dengan kuantiti inti pau ni setanding dengan harga dia tapi tak rasa nak repeat dah sebab tak suka dengan rasa sambal dia. Manis sangat sampai melugai bila makan. Cantik tapi tak semestinya sedap haha kbai

Movie Review | A Perfect Fit (2021)

 

Pengarah :  Hadrah Daeng Ratu

Penulis Skrip :  Garin Nugroho, Hadrah Daeng Ratu

Pelakon :  Nadya Arina, Refal Hady, Giorgino Abraham, Anggika Bolsterli, Laura Theux, Christine Hakim, Yayu A.W. Unru

Syarikat Produksi : StarVision Plus

Pengedar :  Netflix

Genre :  Romantik / Komedi

Durasi Tayangan : 112 minit

Tarikh Tayangan : 15 Julai 2021

Trailer :


Mengisahkan blogger terkenal, Saski (Nadya Arina) yang bertunang dengan anak usahawan, Deni (Giorgino Abraham). Kebanyakan masanya dihabiskan dengan menghadiri fashion show, photoshoot dan update tentang fesyen terkini bersama kawan baiknya, Andra (Laura Theux). Dalam satu event Andra ajak Saski berjumpa dengan Ms Hadra (Christine Hakim) untuk menilik nasib tentang kisah cinta dan masa depan dia. 

Saski agak skeptikal dengan tukang ramal tapi melayan saja kehendak Laura. Kata Ms Hadra, dia perlu pusing sebanyak 3 kali dengan mata terpejam kemudian hembus bulu angsa ke udara. Bulu angsa tu akan bawa dia bertemu dengan cinta sebenar. Kerana bulu angsa, dia terjumpa Rio (Refal Hady), pemilik kedai kasut ‘Dengan Kasih Sayang’ di kawasan lorong kecil tersebut. 

Kebetulan Saski perlukan kasut yang sesuai untuk ke majlis hari jadi Deni pada malam nanti. Seusai pembelian Saski bergegas ke majlis tersebut tapi perasan Rio terlupa meletakkan kasut di dalam kotak yang dibeli. Terpaksa Saski berpatah balik walaupun Deni banyak kali call supaya dia lekas sampai. Malang buat Saski bila cat tertumpah atas kepala sebaik sahaja dia melangkah masuk ke kedai Rio. 

Habis baju dan rambut berlumuran dengan cat hijau. Macam mana nak ke majlis kalau rambut dengan baju dah rosak? Deni yang terdengar perbualan Saski dan Rio dalam telefon mula naik angin kemudiannya tuduh Saski curang. Tak mungkin dia akan putuskan pertunangan bersama Saski sebab dia perlu berkahwin supaya dapat mewarisi perniagaan dan harta ayah dia. Saski pula mula berubah hati dengan perangai sebenar Deni dan jatuh hati dengan kelembutan Rio. 

Jangankan first half movie tapi dari poster pun dah boleh agak perjalanan cerita romantik drama A Perfect Fit arahan Hadrah Daeng Ratu yang ditayangkan di Netflix ni. Sebenarnya movie ni diklafisikasikan sebagai romantik komedi tapi elemen komedi tu tak lah terlampau banyak. Kalau ada pun tak lah kelakar sangat. Mungkin pada watak Andra lah yang muncul dalam beberapa babak. Dialog pula lebih kepada drama disebabkan kisah hidup Saski yang tersepit dalam masalah kewangan untuk biaya kos rawatan ibu dia sampai terpaksa berkahwin dengan Deni yang baran dan chauvinist. 

‘Dia penyimpan rahsia yang berkhidmat sejak zaman kakekku. Kamu tahu tugasnya apa? Tugasnya mengintip bawah katil pengantin di saat malam pertama untuk melihat ada darah atau nggak. Jadi misalkan kamu sudah tidak perawan lagi, aku bisa pulangin kamu.’ - Deni

Kalau ikutkan banyak peluang untuk Saski dan Rio berterus-terang dengan keluarga masing-masing tentang masa depan dan perkahwinan tapi entahlah, sengaja drag supaya kisah cinta mereka berdua nampak kompleks dan rumit. Scene Pak Ketut (Yayu A.W. Unru) sengaja ukir nama Saski & Rio pada tapak kasut macam merepek sebab peniaga mana yang sengaja jejaskan perniagaan sendiri demi kisah cinta yang tak kesampaian? 

Apa yang menarik dalam movie A Perfect Fit yang diterbitkan oleh StarVision Plus ni bila pengarah menggunakan kelebihan studio Netflix untuk memaparkan keindahan budaya masyarakat Jawa di Bali. Baik dari segi pakaian, senibina rumah, seni tarian, tarian mahupun makanan semuanya diambil dan disunting dengan menarik. Music score juga membantu mengindahkan suasana dalam kebanyakan babak. 

Chemistry Nadya Arina dan Refal Hady juga menarik seperti sudah selesa bekerja bersama dan nampak meyakinkan sebagai pasangan romantik. Sayangnya kisah cinta mereka berdua tak cukup kuat untuk bertarung dengan watak antagonis yang menyerlah seperti Deni dan Tiara (Anggika Bolsterli). 

1. Team Production +0.4, 2. Visual +1, 3. Audio +0.6, 4. Storyline +0.4, 5. Casting +1, 6. Genre +0.3, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.4, 10. Personal Thought +0.2 = 5.9/10

Movie Review | The Chase (2017)

Thursday 5 August 2021

Director : Kim Hong-sun

Writer : Yoo Kap-jeol

Cast : Baek Yoon-sik, Sung Dong-il, Son Jong-hak, Kim Hye-in

Production Company : AD406 Pictures

Distributor : Next Entertainment World, Netflix

Genre : Crime / Thriller

Running Time : 110 minutes

Release Date : 29 November 2017

Trailer :


Shim Deok-su (Baek Yoon-sik) adalah pemilik apartment yang dipenuhi dengan penyewa yang pelbagai ragamnya. Tak semua senang dengan kehadiran dia sebab sejenis yang pemarah dan tak sensitif. Bila penyewa lewat bayar mula lah dia bising padahal Mr. Choi (Son Jong-hak) sakit dan tak mampu untuk bekerja. Bila tak bekerja, tak ada duit untuk bayar sewa yang tertunggak. Walaupun pekerja NGO datang untuk hulurkan bantuan pun Deok-su berkeras mengenai sewa rumahnya. 

Peduli apa dia dengan kata-kata orang yang mengata di belakang. Yang dia tahu sewa rumah kena bayar on time. Sama juga keadaannya dengan Kim Ji-eun (Kim Hye-in) yang penat bekerja tapi semua wangnya terpaksa dihantar kepada mak di kampung. Bukan dia sengaja bayar lambat tapi keadaan yang memaksa dia memilih antara dua. 

Bila Deok-su pergi ke rumah Mr. Choi tanpa sengaja bila ternampak keadaan tombol pintu yang rosak, mereka berdua bercerita tentang kisah lama. Kes jenayah yang pernah ditugaskan kepada Mr. Choi semasa dia bekerja sebagai polis detektif. Kes pembunuh bersiri yang suka mencari mangsa warga emas dan bunuh dalam keadaan yang kelihatan seperti bunuh diri. Tak ada siapa yang peduli kalau warga emas meninggal. Mereka dah tua dan tak diendahkan oleh anak-anak. Tapi kemudiannya mangsa mula berubah kepada gadis berumur 20-an hingga 30-an. 

Mr. Choi syak pembunuh bersiri tersebut dah datang ke kawasan kejiranan mereka sebab 3 orang warga emas dah mati dibunuh pada hari yang sama. Mr. Choi perasan ada seorang lagi warga emas yang hilang tanpa khabar. Deok-Su cuma anggap tu kisah merepek lepas minum arak. Keesokannya Deok-Su jumpa mayat Mr. Choi terjerut di tombol pintu bilik dia. Semua penduduk di situ tuduh Deok-Su punca Mr. Choi bunuh diri sebab stress dengan sewa rumah. 

Kehadiran Detektif Park (Sung Dong-il) membuka peluang kepada Deok-Su untuk bekerjasama mencari siapa pembunuh bersiri yang diceritakan dan juga penculik Ji-Eun. 

Adaptasi dari webtoon Aridong Last Cowboy (2010) ni diolah dengan baik oleh pengarah Kim Hong-sun dengan kisah yang berlatarkan kehidupan warga emas di kawasan bandar. Dalam masa yang sama pengarah dan penulis menyampaikan mesej tentang persepsi masyarakat yang menganggap warga emas sebagai lemah. 

Watak Deok-Su diolah sedemikian rupa untuk menunjukkan yang warga emas masih mampu sara diri dan bekerja. Kreatif dan mendalam lah mesej ni sebab zaman sekarang dah ramai golongan berusia pecahkan streotaip mengenai mereka. Walaupun menyampah dengan karakter Deok-su pada awalnya tapi ada beberapa scene yang dimasukkan untuk mengubah pendirian dia. 

Ada beberapa plot twist juga dalam movie The Chase yang diterbitkan oleh AD406 ni supaya alur penceritaan nampak menarik sehingga ke hujung. Ada juga scene yang predictable tapi tetap syok nak tengok sebab campuran elemen misteri dan drama yang dimasukkan tu diadun dengan baik. 

Visual, makeup effects dan props amatlah cemerlang dalam naskhah crime thriller dan semestinya tak digalakkan menonton ketika makan sebab ada scene yang memualkan. Suka dengan scene Deok-su dan Detektif Park dekat atas bukit dengan background bandar Ari-dong yang padat dengan penduduk. Bila ada kejahatan yang berlaku dekat kawasan tu memang tak ada siapa pun yang perasan sebab masing-masing sibuk dengan urusan peribadi masing-masing. Sama seperti watak Deok-su. 

Meskipun genre dan tema yang diketengahkan agak berat namun penulis selitkan beberapa momen komedi supaya naskhah The Chaser tak kelihatan terlalu serius dan tegang. Lakonan yang ditonjolkan oleh Baek Yoon-sik dan Sung Dong-il adalah antara kekuatan The Chaser. Chemistry dan dinamik mereka bila bekerjasama menghasilkan sinergi yang kuat walaupun asalnya cuma lah stranger yang terjumpa secara kebetulan. Recommended!

1. Team Production +1, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.8, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +0.7, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.8 = 10/10

Movie Review | Hutang 2D (2021)

Wednesday 4 August 2021

 

Pengarah : Irwan Rauf, Eric Fuzi
Penulis Skrip : Eric Fuzi
Pelakon : Ayie Floor 88, Baby Shima, Ropie, Ogy Ahmad Daud, Black Hanifah, Wafiy Aan, Akram Floor 88, Achoi Floor 88, Eric Floor 88, Amir Floor 88, Falique Floor 88, Coki, Altimet
Syarikat Produksi : Arie Zaharie Production, Knack Knack Studios, Tech Trader
Pengedar : Astro First (Saluran 480), Astro Go, Astro On Demand
Genre :  Aksi / Komedi
Durasi Tayangan :  minit
Tarikh Tayangan : 5 Ogos 2021
Trailer :


Filem terbaru terbitan Arie Zahari Production mengisahkan tentang Ayie (Ayie Floor 88), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan pengecut. Dia mempunyai dua masalah dalam hidupnya iaitu hutang bapanya, Pak Jie (Ropie)sehinggakan banyak barang digadaikan dan cinta terpendamnya pada Shima (Baby Shima), anak tunggal Mak Ima (Ogy Ahmad Daud) yang meniaga nasi lemak di hadapan rumah. 

Kehadiran dua orang gangster iaitu Han (Black Hanifah) dan Kit (Wafiy Aan) yang datang mengutip hutang tertunggak menambahkan satu lagi masalah dalam hidupnya. Segalanya berubah melalui tablet ajaib yang diberikan oleh Gua Mambang (Altimet) di mana segala lukisannya menjadi hidup. 


Dengan adanya tablet ajaib tersebut, dia mencipta rakan-rakan yang mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa -  Akram (Akram Floor 88) kuasa cahaya, Achoi (Achoi Floor 88) kuasa api, Eric (Eric Floor 88) kuasa gagah perkasa, Amir (Amir Floor 88) kuasa meniru suara, Falique (Falique Floor 88) kuasa kelajuan untuk membantu Ayie menyelesaikan masalah hidupnya. 

Filem Hutang 2D dikatakan sambungan kepada music video lagu Hutang yang pernah berentap di AJL ke-35 dengan mengetengahkan konsep hutang yang mengangkat tema kekeluargaan dan persahabatan dalam naskhah sulung Eric Fuzi sebagai pencetus idea dan pengarah pembantu kepada Irwan Rauf. 


Penceritaan yang berlatarkan masyarakat penduduk kawasan rumah flat dipaparkan dengan baik bila ada babak yang menceritakan bagaimana akrabnya hubungan antara jiran di blok tersebut. Ibarat cubit paha kiri, paha kanan juga terasa. Bila Ayie ada masalah, Mak Ima dan Shima yang hulurkan bantuan tanpa pernah berkira. 

Walaupun pengarah menggambarkan Ayie sebagai pengecut bila Han dan Kit datang serang ayah dia tapi personally for me, watak Ayie lebih kepada mengalami trauma. Sudahlah tiada mak, dibesarkan pula dengan ayah yang tak bertanggungjawab. Ada duit lebih sikit pergi berjudi. Tak adil bila Shima marah Ayie kemudian Gua Mambang pula kena hormat dan berbaik dengan Pak Jie. Nasib baik lah Gua Mambang bagi tablet tu dan watak Ayie pun gunakan ke arah yang baik dengan menolong keluarga dan jiran di kawasan tersebut. 


Penceritaan pada first half santai dengan pengenalan beberapa watak dan kebolehan Ayie melukis webtoon menggunakan tablet ajaib dia. Bila masuk second half dah mula messy bila watak Han dan Kit menculik ramai anak dara di kawasan flat tersebut. Lebih baik kalau pengarah stick dengan konflik hutang Pak Jie dengan dua gangster ni sahaja. 

Bab lakonan tak ada masalah semuanya nampak natural dengan watak yang diberikan malah chemistry antara Ayie dengan Baby Shima pun nampak kuat dalam beberapa babak bersama. Watak sampingan pula terlampau ramai sampai ada watak yang muncul sekejap sahaja dan tak memberi impak pada penceritaan seperti watak Coki. Pelakon extra pula agak mengganggu bila tak serius dengan watak masing-masing macam pembantu ketua kampung masa penduduk flat berhimpun mengadu masalah anak dara hilang. 


Filem Hutang 2D ni menelan belanja sebanyak RM300,000 dan sebahagian besar dibelanjakan kepada visual effects yang digunakan untuk scene aksi. Walaupun terikat dengan bajet tapi visual nampak menarik dengan menggunakan template 2D. Musik latar merupakan koleksi lagu-lagu hit dari kumpulan Floor 88 sendiri dan 2 buah lagu baru diperkenalkan – Ku Ingin dan Sahabat. 



Mungkin movie Hutang 2D masih kurang menyengat dari segi penceritaan tapi sebagai platform pengenalan dari barisan penyanyi yang mencuba beralih angin ke bidang lakonan, naskhah santai ni sesuai sebagai hadiah kepada peminat. Teringat zaman 90-an dulu bila penyanyi kumpulan lelaki terbitkan movie masing-masing macam Boboi, Sofazr, New Boyz dan banyak lagi. 

1. Team Production +0.5, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.4, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.5, 7. Themes +0.7, 8. Editing +0.5, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.5 = 5.8/10

 

HUTANG 2D adalah filem terbitan bersama Arie Zaharie Production, Knack Knack Studios dan Datuk Jamil Baharom. Satu percaturan yang berani dan luar biasa apabila penerbit filem HUTANG 2D, Arie Zaharie  memilih genre aksi  komedi yang dikatakan kurang menarik minat penonton. Berbekalkan kepada keyakinan yang penonton tempatan mahukan kelainan, Arie tidak menjadikan tanggapan itu sebagai  halangan untuk menerbitkannya. 

Arie Zaharie berkata,  idea asal filem ini datang dari Silentkaiju Studio dan mreka tertarik dengan idea untuk mengangkat lagu Hutang yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 
"Memandangkan bait-bait lirik yang menggunakan gaya bahasa sarkastik dan membawa kisah tersendiri lalu kami cuba mengembangkan elemen serta mesej lagu tersebut ke dalam bentuk penceritaan dan kemudian dijadikah sebuah filem."

“Malah, pihak kami juga berusaha membawa kelainan menerusi HUTANG 2D dengan menyajikan penonton dengan konsep menarik. Tahniah buat barisan pelakon, terutamanya kumpulan Floor 88 yang berjaya membawa sisi lain menerusi filem ini.” katanya.

HUTANG 2D mendapat sentuhan dua pengarah iaitu Irwan Rauf dan Eric Fauzi Floor 88. Filem ini menampilkan lakonan hebat Floor 88, Baby Shima, Ropie, Black Hanifah, Altimet, Coki dan  penampilan khas Fauziah Dato Ahmad Daud AMN (Ogy).


Penampilan mereka bukan sahaja dapat memeriahkan perjalanan filem ini, malah mereka mewarnai HUTANG 2D dengan pelbagai plot dalam filem ini dan watak masing-masing. Penggambaran HUTANG 2D dilakukan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan sekitar kawasan Sungai Buloh, Selangor, pada Julai 2020 iaitu ketika negara sedang berhadapan pandemik Covid-19. Menurut Arie Zaharie, keseluruhan kos penggambaran 10 hari itu menelan belanja sebanyak RM300,000. 

“Ketika penggambaran dijalankan, negara berdepan dengan situasi pandemik Covid-19, Penggambaran yang dilakukan di kawasan perumahan flat sememangnya mencabar terutama  dalam tempoh pandemik. 

 

“Pasukan produksi terpaksa menjalankan proses kawalan SOP yang ketat di set penggambaran. Rumah perlu sentiasa disanitasi, memeriksa dan mencatat catat suhu kru dan pelakon. Kru wajib memakai pelitup muka, membasuh tangan dan sentiasa menjaga penjarakan ketika penggambaran dijalankan. Mereka juga terpaksa menjaga keselamatan kerana suasana di kawasan perumahan flat yang ramai orang.” ujarnya.

Kata Arie Zaharie, hubungan kru dan pelakon sangat rapat kerana mereka sentiasa berbincang sepanjang proses penggambaran.


"Tiada masalah bekerja dengan semua pelakon kerana mereka sangat bagus, profesional dan memberikan komitment yang cukup bagus. Masing-masing membuat persediaan watak sejak awal dan lakonan mereka sangat bersahaja,” katanya.

Jelas, Arie Zaharie lagi, beliau berharap HUTANG 2D dapat memberi keterujaan kepada penonton dan mencipta kejayaan seperti filem-filem terdahulu yang pernah mengangkat lagu-lagu terkenal sebagai latar kepada jalan cerita. Beliau juga amat berterimakasih kepada pihak pengurusan flat dan penduduk setempat yang memberikan sepenuh kerjasama sepanjang lapan hari kru dan pelakon ’berkampung’ di sana. 

“Cabaran besar adalah babak untuk menggelapkan lampu seluruh blok rumah flat ketika babak “blackout” yang mendapat kerjasama baik daripada setiap penduduk di situ bila membenarkan lampu di rumah mereka ditutup serentak selain kerjasama dari ketua pengurusan flat yang berurusan dengan pihak TNB untuk membantu menjayakan babak tersebut.” ujarnya. 


Sementara itu, Irwan Rauf berkata, HUTANG 2D sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan segenap lapisan masyarakat. 

”Saya sangat berharap, filem ini dapat menghiburkan penonton tambahan dalam keadaan negara yang sedang bertungkus lumus ’melawan Covid-19 .dan sekali gus ia dapat meredakan tekanan orang ramai yang terpaksa ’berkurung’ di rumah. Semoga filem ini dapat meredakan kerisauan dan mengeratkan silaturahim keluarga dengan menonton bersama-sama," katanya.

Eric Fauzi juga menyimpan harapan sama agar filem ini dapat diterima ramai dan penonton terhibur. 

“Di saat negara dan rakyat sedang berduka dan tertekan akibat Covid-19, filem ini sedikit sebanyak boleh membantu menghilangkan tekanan perasaan. HUTANG 2D adalah filem komedi ringan yang sesuai ditonton oleh seisi keluarga dan lapisan masyarakat,” katanya.


HUTANG 2D mengisahkan Ayie, seorang pelukis ‘webtoon’ yang kuat berangan dan pengecut mempunyai dua masalah dalam hidupnya iaitu hutang bapanya dan cinta terpendamnya pada Shima. Kehadiran dua gangster ‘Han’ dan ‘Kit’ menambahkan satu lagi masalah dalam hidupnya. Segalanya berubah melalui ‘tablet ajaib’ di mana segala lukisannya menjadi hidup. Dengan adanya tablet itu, dia mencipta rakan-rakan yang mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa untuk membantunya menyelesaikan masalah hidupnya.


HUTANG 2D akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 5 Ogos 2021 dan untuk melanggan sila ke saluran 480 atau boleh juga distrim di Astro Go atau On Demand.