Showing posts with label Drama. Show all posts
Showing posts with label Drama. Show all posts

Perasaan cemburu, cinta yang tidak kesampaian,  perkahwinan yang penuh pancaroba serta kesanggupan menggunakan ilmu hitam dan santau untuk merealisasikan kehendak  merupakan titik utama yang diketengahkan dalam penceritaan drama terkini Astro Prima berjudul ‘Cinta Hilang Kata’. Drama terbitan Country & Universal Sdn. Bhd. serta  menampilkan Jalena Rejab selaku penerbit ini memaparkan kisah kehidupan seorang penulis  terkenal yang menjadi malang akibat perasaan cemburu dan dengki akan perkahwinan dan kerjayanya.

Penceritaan menerusi 40 episod ini mengisahkan kehidupan Nurul Masmin yang dikenali ramai ketika di univesiti sebagai seorang pengarang yang berbakat besar. Dia sering disokong oleh teman lelakinya, Rain Akhtar. Namun, kehidupannya menjadi tunggang-langgang apabila dia mengahwini Amirul demi mengikuti hasrat ibunya yang dipujuk oleh Jah Gayah, seorang pengasuh yang juga merupakan ibu kepada Amirul yang hanya mahukan kekayaan keluarga Nurul Masmin. 

Perkahwinan Nurul Masmin sering dicabar apabila Sabirah – pesaingnya di universiti dan dunia penulisan yang terus menggoda Amirul demi mahu merosakkan rumah tangganya. Dia juga sering dijampi ibu mertuanya sendiri kerana mahukan hartanya. Kehidupan Nurul Masmin yang dahulunya indah  kini persis mimpi ngeri.

Drama yang juga menyelit isu-isu kekeluargaan yang hancur serta perampasan harta benda yakni menceritakan realiti sesetengah masyarakat ini mengangkat heroin muda Sophia Albarakbah serta pelakon berpengalaman seperti Shahz Jaszle yang kembali ke layar televisyen sebagai hero dan Iqram Dinzly yang diberi tugasan membawakan watak antagonis utama dalam drama Astro Prima.

Drama ‘Cinta Hilang Kata’ merupakan arahan sutradara yang disegani ramai, Kyoll Hamzah dan turut didukung oleh barisan pelakon yang hebat seperti Liza Abdullah, Nelissa Nizam serta  Hariz Hamdan. 

‘Cinta Hilang Kata’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 18 Julai 2022 secara eksklusif di slot Tiara melalui saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro. 

PETIKAN KENYATAAN RASMI 

Norzeha Mohd Salleh - Pengurus Saluran Astro Prima


“Astro Prima memposisikan salurannya sebagai medium penceritaan masyarakat, terutamanya yang mengangkat karya-karya ciptaan wanita, tidak kiralah mereka yang berada di belakang tabir, mengolah atau menulis serta menerajui sebagai watak utama. Inilah antara ciri-ciri yang sering membezakan saluran Astro Prima dengan yang lain.  

Kali ini kami mengangkat novel karya novelis kontemporari popular, Lily Haslina Nasir yang turut merupakan antara penulis versatil di dalam industri hiburan negara. ‘Cinta Hilang Kata’ memberi pelbagai dimensi penceritaan. Jarang sekali protagonisnya seorang wanita yang berkecimpung di dalam dunia penulisan. Watak utama, Nurul Masmin merupakan seorang penulis wanita berjaya yang disegani ramai, pada masa yang sama,dicemburi sesetengah pihak. Gambaran fiksyen watak utama ini mirip-mirip sisi-sisi realiti yang sering terjadi di kalangan wanita berkerjaya pada zaman ini. 


Bukan itu sahaja, penceritaan kali ini juga diterapkan dengan kisah-kisah yang boleh dirasai para penonton dengan memberi penekanan kepada masalah yang berlaku dalam realiti kehidupan seperti konflik kekeluargaan, masalah rumah tangga serta sikap cemburu dan dengki yang dikatakan taboo untuk sesetengah pihak walaupun isu-isu tersebut berlaku dalam masyarakat kita. Dalam drama ini, kami menekankan penggunaan ilmu hitam untuk menghancurkan ahli-ahli keluarga demi melunaskan kecemburuan yang bersemat dalam hati. 

Walaupun agak berat dari segi penceritaannya, setiap yang diceritakan pasti membawa makna atau pengajaran yang berguna supaya penonton-penonton yang menggemari drama berunsurkan tema seperti ini akan mempelajari sesuatu yang baharu dan nilai-nilai yang baik. Nescaya, kebaikan akan sentiasa mengalahkan kejahatan.  

Paparan drama ‘Cinta Hilang Kata’ sekali lagi membawakan penceritaan menarik yang mempunyai gravitas emosi mendalam dan bakal meninggalkan impak di kalangan penonton-penonton kami. Susulan dengan pengakhiran ‘Dendam Seorang Isteri’, Astro Prima tidak akan henti daripada mengangkat naratif bertunjangkan wanita dan naskhah kali ini meneruskan penceritaaan yang berpaksikan kekuatan wanita mengharungi pelbagai dugaan dalam kehidupan mereka.


Sebagai peneraju kandungan tempatan premium di Malaysia, penghasilan kandungan-kandungan di slot drama kami amat menitik beratkan kualiti penceritaan, arahan dan lakonan. Lantas ‘Cinta Hilang Kata’ merupakan produksi yang menonjolkan kesemua kriteria tersebut. 

Selain daripada itu, drama kali ini memaparkan kombinasi pelakon muda serta yang berpengalaman menerusi gandingan  Sophia Albarakbah, Shahz Jaszle dan sudah semestinya, Iqram Dinzly serta Nellisa Nizam. Gandingan unik di bawah arahan pengarah berpengalaman, Kyoll Hamzah dengan tulisan Lily Haslina pasti akan mengujakan para peminat drama tempatan, malah turut akan menarik minat peminat-peminat baharu. Kami yakin ‘Cinta Hilang Kata’ akan menyambung sukses slot Tiara di Astro Prima.


Kami juga ingin memaklumkan bahawa ‘Dendam Seorang Isteri’ berjaya meraih minat dan sokongan dariapda para penonton sehingga menjadi drama No.1 di saluran Astro Prima untuk tahun 2022 setakat ini. Mengangkat tema ‘women empowerment’ dalam konflik rumah tangga, drama ini mendapat jumlah tontonan lebih daripada 5.5 juta, melebihi sasaran yang ditetapkan. ‘Dendam Seorang Isteri’ turut tersenarai sebagai ‘Top 10 programmes’ di aplikasi Astro GO dan On Demand selama 4 bulan berturut-turut dari Mac hingga Jun 2022. 

Oleh itu, kami akan melanjutkan penceritaan drama ini kepada 5 episod lagi untuk mengekalkan keterujaan peminat-peminat. Ini juga merupakan tanda penghargaan pihak kami kepada mereka yang sentiasa menyokong drama sensasi ini dari tayangan episod pertamanya sehingga kini. Terima kasih kami ucapkan. Kami berharap agar para peminat akan sentiasa menyokong slot Tiara yang sarat dengan drama-drama hebat dan bermutu tinggi.” 

Kyoll Hamzah - Pengarah Drama ‘Cinta Hilang Kata’


“Seperti tajuk yang kami berikan, drama ini membawa naratif seseorang yang tidak dapat merasai cinta yang dia inginkan. Malah, ia menunjukkan cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi dalam perkahwinan yang dianggap tiada kasih sayang. Kami juga menyelitkan kisah keluarga untuk membawa aspek-aspek yang mungkin relevan kepada sesetengah masyarakat yang percaya bahawa ibu mertua selalunya mempunyai personaliti yang jahat. 

Nurul Masmin melambangkan naratif wanita berjaya yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan dan pancaroba kehidupan terutamanya setelah berkahwin. Melayari bahtera perkahwinan sudah semestinya bakal mengharungi ombak bergelora dalam pelbagai bentuk konflik termasuk dengki, tamak serta pengkhianatan. Namun keazaman heroin kita memang tidak dapat disangkalkan. Pastinya bagi mereka yang akan menonton drama ini dapat mengambil inspirasi daripada kekuatan Nurul Masmin.


Penceritaan menerusi drama ini memberi gambaran bahawa kebahagiaan itu berdasarkan dengan pemilihan kita sendiri. Memilih pasangan yang salah akan membawa malang kepada kita. Namun, memilih pasangan yang betul juga boleh membawa malang jika perasaan hasad dengki itu ada terutamanya pada orang ketiga. Justeru, penceritaannya sejajar dengan tagline “Jika Bahagia ialah Pilihan”.

Selain itu, pembikinan drama ini adalah antara cabaran yang saya hadapi kerana skrip yang kami keluarkan merupakan ‘on going script’. Kebiasaannya kami tidak tahu apa akan jadi seterusnya dalam penceritaannya jadi itu merupakan antara cabaran terbesar. Namun, pelakon-pelakon yang ada iaitu gabungan pelakon baharu dan pelakon lama memberikan tanggungjawab dan lakonan yang hebat. Mereka memang malu-malu pada awalnya tetapi lama-kelamaan mereka menjadi lebih serasi dan selesa untuk bekerja bersama. Kalau nak tahu bagaimana chemistry mereka boleh menjadi bagus, penonton haruslah ikuti cerita ini. 


Saya yakin novel ini mempunyai ikutan yang ramai, jadi mereka yang meminati jalan ceritanya pasti akan suka dengan kejutan-kejutan yang kami terapkan kerana kami tidak mengikuti jalan penceritaan novelnya 100 peratus. Drama ini merupakan hiburan ringan untuk seisi keluarga dan sangat banyak pengajaran yang boleh diambil terutamanya dari segi konsep kekeluargaan, persahabatan dan percintaan. Ia juga mengajar erti kedewasaan, kematangan serta menghargai insan-insan yang kita sayangi sebelum mereka tiada. Dari segi lain juga, ia mengajar kita untuk berjauhan dengan benda-benda syirik dan munafik dan hanya percaya kepadaNya.”

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘CINTA HILANG KATA’


1. Drama ini mengisahkan seorang penulis yang hidup dalam industri yang penuh dengan cemburu dan dengki.

2. Merupakan drama adaptasi novel 'Cinta Hilang Kata' karya Lily Haslina Nasir 

3. ‘Cinta Hilang Kata’ merupakan antara novel terlaris karya Lily Haslina Nasir.

4. Penceritaan drama ini merangkumi penggunaan syirik untuk menjatuhkan watak utamanya, Nurul Masmin. 

4. Penggambaran drama ini mengambil masa selama 110 hari di sekitar Lembah Klang. Untuk penggambaran di rumah kampung pula, pihak produksi telah pergi ke Ijok, Kuala Selangor. 

5. Ketika melakukan penggambaran untuk adegan hujan, pihak produksi telah menutup jalan dan menyembur air hujan mengikut masa. 


6. Drama ini turut menampilkan lagu runut bunyi dengan nyanyian bertenaga Liza Hanim dan Shila Amzah melalui lagu bertajuk Bahagiakan Dia.

7. ‘Cinta Hilang Kata’ akan turut memperlihatkan bakat lakonan kumpulan The Gadys dan Amelia Christie. 

8. Drama ini turut menampilkan pelakon-pelakon yang hebat iaitu Azhar Sulaiman, Syazwan Zulkifly, Aida Aris, Azri Iskandar, Talha Harith, Nadia Kesuma serta Fadilah Mansur.

PECAHAN WATAK DRAMA ‘CINTA HILANG KATA’

Sophia Albarakbah Nurul Masmin
Shahz Jaszle Rain Akhtar
Iqram Dinzly Amirul
Nelissa Nizam Sabirah
Liza Abdullah Jah Gayah
Hariz Hamdan Zaili

LOGLINE DRAMA ‘CINTA HILANG KATA’


Drama ini mengisahkan Nurul Masmin yang menjadi seorang pengarang yang dikenali ramai ketika di universiti dengan sokongan teman lelakinya, Rain Akhtar. Walau bagaimanapun, dia terkejut apabila ibunya bertegas agar dia berkahwin dengan Amirul, anak kepada Jah Gayah iaitu seorang pengasuh, dengan pujukannya. Nurul mengikuti hasrat ibunya dan meneruskan perkahwinan itu, tanpa meyedari bahawa  perkahwinan itu sebenarnya adalah sebuah penipuan Jah Gayah untuk mengambil kekayaan keluarganya. 

Jah Gayah sangat bencikan Nurul kerana cintanya pada ayah Nurul tidak berbalas. Perkahwinan kepada Nurul hanyalah pembukaan jalan kepada Jah Gayah untuk hidup dalam kemewahan semata-mata. Sepanjang perkahwinannya, Nurul tidak pernah berasa bahagia kerana semua yang dia lakukan adalah untuk menjaga hati ibunya sahaja.


Setelah kematian ibunya, Nurul tekad untuk bercerai. Tindakannya itu membuatkan Jah Gayah meradang. Nurul pula menderita akibat terkena sihir yang dilakukan oleh ibu Sabirah, rakan sekerjanya yang cemburu dengan kehidupannya. Mujur Nurul mempunyai rakan baik seperti Ezra, Wanie dan Deena yang sentiasa ada disisinya.

Rain pula tidak putus asa mengejar cinta Nurul. Nurul sering mengelak kerana trauma dengan apa yang pernah berlaku dan dia juga tidak mahu di gelar perampas. Bolehkah Nurul Masmin mencari cinta semula? Adakah kehidupannya akan menjadi bahagia?

Kepincangan keluarga yang sarat dengan drama? Kesucian niat mencintai yang pasti menyentuh hati sanubari semua? ‘Jodohku Babysitter’ menjanjikan pelbagai dimensi emosi dan kisah-kisah yang disulami nilai-nilai kekeluargaan yang sesuai untuk tontonan semua. 

Penceritaan menerusi 20 episod ini menceritakan kisah cinta yang tidak diduga antara seorang duda yang mempunyai dua orang anak dengan seorang wanita bergayakan tomboy. Perhubungan Adam dan Adel terjadi apabila kedua-duanya dalam keadaan terdesak. Adam mahu mencari pengasuh manakala Adel dalam keadaan terdesak mencari pekerjaan. 

Akhirnya Adam terpaksa mengambil Adel sebagai pengasuh untuk menjaga anak-anaknya selepas dia menceraikan isterinya kerana menghadapi kesukaran untuk membahagikan masa antara kerja dan anak. Walaupun tidak percaya dengan kebolehannya untuk menjaga kanak-kanak oleh kerana perwatakannya yang tomboy, Adam masih memberi peluang kepada Adel kerana tiada pilihan lain. 

Sulaman kisah cinta mereka terjalin apabila kedua-dua mereka disuruh untuk berkahwin oleh ibu Adam. Namun bahtera perkahwinan mereka tidak selancar yang disangkakan. Bekas isteri Adam, Atikah kembali untuk menggugat perhubungan Adam dan Adel dengan pelbagai bibit-bibit cemas dan saspens. 

‘Jodohku Babysitter’ diterajui juara Gegar Vaganza 8, Aliff Aziz serta pelakon popular, Intan Najuwa. Drama rantaian ini diarahkan oleh sutradara tersohor, Hadith Omar dan didukung oleh bintang-bintang hebat seperti Yuna Rahim, Ellyas Abdullah, Datin Nina Juren serta ramai lagi. 

‘Jodohku Babysitter’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 6 Julai 2022 secara eksklusif di slot MegaDrama melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.

PETIKAN KENYATAAN RASMI

Idlan Zahari - Pengurus Saluran Astro Ria

“Astro sekali lagi membawakan pembaharuan dari segi penceritaan drama bersiri menerusi ‘Jodohku Babysitter’ yang diterajui Aliff Aziz dan Intan Najuwa, gandingan baharu yang bakal menarik minat dan perhatian ramai. 

Naratif drama kali ini menerapkan nilai-nilai kekeluargaan, bukan semata-mata cinta. Ia berpaksikan perhubungan ibu bapa dengan anak-anak mereka. Bila keretakan rumahtangga terjadi, yang paling terkesan merupakan anak-anak kecil. Penceritaan yang penuh emosi seperti ini menunjukkan dimensi penceritaan berbeza berbanding dengan drama-drama yang ada di luar sana. 


Kelainan lain turut melihatkan gandingan hero-heroin baharu. Gandingan seperti ini menyemarakkan lagi suasana industri drama di negara kita. Melihat wajah-wajah yang tidak pernah digandingkan dan bersatu di skrin mampu membawa peminat-peminat baharu ke platform kami. Yang mengujakan pihak kami lagi, gandingan baharu ini menjadi. Chemistry antara mereka nyata dan bakal dirasai para penonton kelak. Apatah lagi penceritaan drama kali ini memaparkan elemen romcom yang sememangnya bergantung harap terhadap chemistry antara hero dan heroinnya 

Pihak kami turut rasa berbangga dengan kolaborasi bersama pengarah drama tersohor, Hadith yang sudah pun menunjukkan kehebatannya baru-baru ini menerusi ‘Nusyuz Berkiblat Cinta’. Ternyata hasil arahannya itu telah meletakkan program tersebut antara rancangan yang paling ditonton oleh para penonton kami sepanjang bulan Ramadan dan Raya. Malah genre yang berlainan menerusi drama ini menunjukkan kemampuan Hadith mengarah kisah bersulamkan cinta, drama dan nilai kekeluargaan yang mendalam. Kudos kami ucapkan kepada Hadith kerana berjaya mengemudi para pelakon serta krewnya dalam menjayakan pembikinan drama ini.
 
Sekali lagi, drama pertaruhan di Astro Ria bakal menyentuh hati peminat-peminat drama tempatan. Kami yakin ramai akan mengikuti penceritaan drama ‘Jodohku Babysitter’ dengan tekun dan penuh semangat. Drama ini pasti akan memenuhi kehendak para pelanggan kami, yakni nadi kepada bisnes dan kandungan di Astro.”

Hadith Omar - Pengarah Drama ‘Jodohku Babysitter’

Jodohku Babysitter’ merupakan sesuatu yang mengujakan saya sebagai seorang pengarah. Sebelum ini, saya banyak sangat buat drama heavy, berunsurkan gangster, mempunyai banyak elemen fighting serta melibatkan isu- isu berat. Saya sebenarnya suka genre romcom dan saya amat merindui untuk membuat drama yang light-hearted. Dah dikatakan rezeki apabila saya mendapat skrip ‘Jodohku Babysitter’, sebuah drama romcom. Saya rasa seronok kerana mampu discover keseronokan mengarah drama sebegini.


Walaupun saya pernah bekerja dengan cast yang lain, drama ini menemukan saya dengan Aliff Aziz buat pertama kalinya. Alhamdulillah, mujurlah chemistry antara watak Adel dan Adam senang dibentuk dari hari pertama. Bagaikan ada natural chemistry antara mereka dan sikap mereka yang sangat professional amat saya hargai. Aliff pada awalnya risau kerana sudah lama tidak berlakon dan ini merupakan drama besar pertamanya selepas Gegar Vaganza. Tetapi dia menunjukkan mutu lakonan yang baik walaupun kehadirannya menerusi drama ini dikira seperti ‘comeback’ untuknya. 

Saya rasa penonton akan suka juga dengan cuteness watak-watak yang ada dalam drama ini.  Seperti Intan, dia selalu bawa watak wanita-wanita ayu tetapi sekarang dia membawa watak kakak rock kapak. Jadi penonton pasti tak sabar untuk menyaksikannya. Pelakon kanak-kanak pula comel-comel sangat. Selain daripada itu, semua pemain memberikan perspektif perwatakan yang berbeza. Ada sedih, kelakar, gembira dan macam-macam lagi. 

Saya bersyukur tiada cabaran ekstrem dihadapi ketika pembikinan drama ini. Urusan dipermudahkan sepanjang peggambaran. Title sweet, akan menjadikan sepanjang penggambaran itu sweet. Semua berjalan dengan baik, semua komited dan berdisiplin. 

Terdapat banyak nilai moral yang boleh diambil menerusi penceritaan drama ini. Pertama sekali, jangan menilai seseorang daripada rupa sambil tidak mengambil tahu mengapa mereka berkelakuan sedemikian. Ada backstory kenapa Adel menjadi kasar dan protektif. Drama ini juga memaparkan tentang kekeluargaan. Bagaimana kita nak tunjuk kekuatan dan semangat kekeluargaan. Apa sahaja terjadi antara ahli keluarga, yang penting, kita saling memerlukan. Drama ini turut menunjukkan sisi-sisi kisah ibu bapa yang bercerai serta kesan-kesan terhadap anak-anak mereka.

Saya amat menguar-uarkan para penonton menonton drama ini kerana nadi penceritaannya adalah berkenaan dengan keluarga. Banyak drama yang ada menunjukkan keganasan namun ‘Jodohku Babysitter’ menerapkan elemen-elemen kekeluargaan yang boleh merapatkan ukhuwah sesama ahli keluarga. Yang pastinya, para penonton akan menyaksikan sesuatu yang fun menerusi drama bersiri ini!”

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘JODOHKU BABYSITTER’

1. Durasi penggambaran mengambil 50 hari.
2. Penggambaran dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
3. Intan Najuwa jatuh sakit ketika penggambaran berjalan. 
4. Intan Najuwa turut menduduki peperiksaan sewaktu shooting. Dia merupakan seorang siswa undang-undang.


5. Intan Najuwa  sebenarnya tidak reti menunggang motor tetapi wataknya sebagai Adel perlu membawa skuter dalam drama ini. 
6. Bekerja dengan kanak-kanak yang membuatkan diri Hadith menjadi seorang pengarah yang lebih matang. 

PECAHAN WATAK DRAMA ‘JODOHKU BABYSITTER’

Aliff Aziz  sebagai Adam Farhan
Intan Najuwa sebagai  Adelia
Yuna Rahim  sebagai Atikah
Ellyas Abdullah sebagai Amri
Aleza Shadansebagai Puan Sri Kirana
Datin Nina Juren sebagai Puan Halijah
Nor Natasha Nazira sebagai Airisya
Isaac Iman sebagai Adib 
Sharifah Shahorah sebagai Aisyah 
Kim Fuzakawa sebagai Puan Fauziah
Natasha Ellyza sebagai Hanan

LOGLINE DRAMA ‘JODOHKU BABYSITTER’

Seorang tomboy yang bekerja sebagai babysitter kepada duda anak dua dan akhirnya menjadi ibu dan isteri demi kebahagiaan anak-anak jagaannya.

SINOPSIS DRAMA ‘JODOHKU BABYSITTER’

Adel dan Adam ada masalah tersendiri. Adel dengan masalah kerjanya, Adam pula menghadapi masalah menjaga anak-anaknya selepas bercerai dengan Atikah. Selepas beberapa pertemuan yang berakhir dengan pergaduhan, Adam tidak yakin Adel boleh menjaga anak-anaknya. Namun, kehadiran Puan Sri Kirana yang ingin mengambil cucunya, Adib telah membuatkan Adam berang. Adel yang menghalang keadaan, telah membuka mata Adam terhadapnya. Atas nasihat ibunya, Adam akhirnya melamar Adel. Bagaimanapun, perkahwinan mereka terus diganggu oleh bekas ibu mertuanya, Puan Sri Kirana. 

Hubungan Atikah dan Amri pula tidak seperti yang disangka kerana dia seorang kaki perempuan. Atikah bertindak membunuh Amri sehingga dia sendiri trauma. Puan Sri Kirana mengambil keputusan untuk meminta bantuan Adam untuk menyelamatkan anaknya yang trauma. Adam terpaksa berbohong kepada Adel demi membantu bekas isterinya. Dia sanggup menipu untuk melihat Atikah sembuh kerana dialah ibu kepada anak-anaknya. Namun, tipu daya Adam telah dihidu oleh Adel. 

Konflik memuncak apabila Atikah menyangka Adam curang terhadapnya dengan Adel tanpa mengetahui keadaan sebenarnya. Lantas Atikah bertekad untuk membunuh Adel. Apakah akan terjadi kepada pasangan ini? Adakah kebahagiaan menanti Adam dan Adel kelak?  

Drama Semakin Menjadi-Jadi Menerusi ‘The Maid 2’

Thursday 30 June 2022


Drama Semakin Menjadi-Jadi Menerusi ‘The Maid 2’
| Susulan Kejayaan Musim Pertama Menembusi Pasaran Filipina 

Drama bersiri popular terbitan Gempak, ‘The Maid’ berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila ditayangkan pada awal tahun 2021. Bukan sahaja membawakan genre misteri pembunuhan atau ‘whodunnit’ yang jarang dipersembahkan dalam nuansa tempatan, ‘The Maid’ menjadi bualan kerana elemen komedinya yang bersahaja dan diperkuatkan dengan barisan pelakon terkemuka.

‘The Maid’ bukan sekadar mencuri perhatian penonton Malaysia, malah idea yang dicetuskan oleh Sham Hashim, penulis dari Gempak ini turut menarik minat stesen televisyen terkemuka Filipina, GMA. Stesen penyiar itu kini menayangkan ‘The Maid’ musim pertama yang dialih suara dalam Bahasa Tagalog.

Kejayaan ini merupakan satu rekod baru untuk industri penyiaran tempatan apabila ‘The Maid’ menjadi drama bersiri pertama Malaysia yang ditayangkan di kaca televisyen Filipina. Susulan kejayaan demi kejayaan, ‘The Maid 2’ bakal menemui pengikut setianya dengan pengembaraan terbaru yang lebih dramatik. Peminat bakal menyaksikan kesinambungan telatah Suhana, Nadia dan Fika selepas mereka diceraikan oleh Jay, penulis novel Payung Emas yang kini mempunyai isteri baharu bernama Qina.

Jay dituduh merampas kesemua harta milik bekas isteri-isterinya setelah memperdayakan mereka. Ketika Jay dan Qina melancarkan sebuah resort di Pulau Dao, Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel mengekori mereka dengan hasrat untuk membunuh Jay. Namun belum sempat mereka melaksanakan apa yang dirancang, Jay ditemui mati. Kini ketiga-tiga bekas isteri terperangkap di resort tersebut dan menjadi suspek utama pembunuhan.

Sekuel dengan 12 episod ini mengembalikan semula barisan pelakon asal seperti Sherry Alhadad, Datin Seri Paduka Eina Azman, Ezzaty Abdullah, Ieda Moin, Nabil Aqil dan Norman Hakim. Musim terbaharu ini juga memperkenalkan watak-watak baru lakonan Marsha Milan, Yuna Rahim, Sean Lee, Hazeeq Dean dan Aniq Suhair.

Masih mengekalkan penulis skrip seperti Sham Hashim dan Nazri Vovinski, ‘The Maid 2’ merupakan arahan bersama dua sutradara popular, Michael Ang dan Hadith Omar. ‘The Maid 2’ akan ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 6 Julai 2022 melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

Khas untuk pelanggan Astro, mereka berpeluang menyaksikan dua episod pertama secara serentak, juga pada 6 Julai 2022 mulai jam 9.30 malam secara strim menerusi On Demand. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati siri komedi ini di Astro.

Selain itu, ‘Video Pengakuan The Maid 2’ (Digital Extension) boleh ditonton secara percuma di platform Gempak.com setiap Rabu pukul 10.05 mulai 6 Julai. Video Pengakuan ini menampilkan temubual secara intim dengan karakter-karakter seperti pengakuan Suhana, Nadia, Fika, Qina dan ramai lagi mengenai apa yang berlaku setiap minggu.

Syazwan Zakariah - Ketua Content Studio, Astro

“Jenama Gempak Originals Series terus mensasarkan variasi konten menarik dan segar dengan idea-idea yang jarang dipersembahkan di kaca televisyen. Melihat siri original terbitan kami sebelum ini seperti ‘The House’, ‘Ahli Bapak Bapak Club’, ‘Ex Aku Pontianak’, ‘Tikam’ dan ‘Beriani Gam Kak Aspalela’, ia bukan sahaja berjaya mencipta kelompok pengikut tersendiri, malah boleh dinikmati penonton pelbagai peringkat usia.

Misi ini diperkukuhkan lagi apabila ‘The Maid’ musim pertama berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Drama bersiri ini telah dialihsuara ke bahasa Tagalog dan kini ditayangkan di saluran televisyen popular Filipina, GMA mulai 20 Jun lalu. Satu rekod baru untuk produksi terbitan Gempak.

Sokongan padu dari penonton Malaysia dan kejayaan menembusi pasaran luar mendorong kami untuk muncul dengan sekuelnya iaitu ‘The Maid 2’ yang bakal ditayangkan mulai 6 Julai ini. Walaupun mengambil masa setahun untuk menyempurnakannya, kami yakin peminat masih setia menanti apakah cerita terbaru Mr Jay dan isteri-isterinya serta pembantu-pembantu mereka.

Apa yang boleh saya katakan, bersiap sedialah untuk satu pengembaraan misteri terbaharu dengan plot yang lebih dramatik serta mendebarkan dan sinematografi yang lebih memukau berlatarkan sebuah resort. Setiap episod akan membuatkan anda tidak senang duduk, malah ternanti-nanti apakah yang bakal berlaku seterusnya.”

TRIVIA MENARIK DRAMA BERSIRI ‘THE MAID 2’

1. Drama ini mengambil masa hampir setahun untuk menyelesaikan penggambarannya.

2. ‘The Maid 2’ memulakan penggambaran pada bulan Ramadan 2021 tetapi penggambaran terpaksa dihentikan atas sebab-sebab berikut:

• Beberapa pelakon dan krew dijangkiti Covid-19.

• Kesukaran pihak produksi mendapatkan jadual para pelakon atas kekangan SOP PKP dan cabaran logistik.

• Ezzaty Abdullah sempat hamil dan bersalin sepanjang penggambaran dihentikan.

3. Penggambaran dilakukan sepenuhnya di Grand Lexis, Port Dickson.

4. Kesemua pelakon utama seperti Sherry, Eina, Ezzaty dan Ieda merancang untuk memakai busana dalam tona warna yang sama agar mereka kelihatan sebagai satu unit yang bersatu.

5. Berkonsepkan rumah agam, ‘The Agam’ merupakan lokasi untuk pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, acara korporat, majlis hari jadi dan sebagainya. Terletak di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, The Agam mampu memuatkan 800 orang tetamu pada masa yang sama dengan pelbagai kemudahan yang disediakan. Antara kemudahan-kemudahan yang ada termasuk sebuah halaman luar yang luas, tiga suite peribadi untuk tetamu bermalam, kolam renang, dapur yang lengkap dan juga dua buah dewan tertutup. The Agam semestinya pilihan yang terbaik untuk memenuhi apa sahaja keperluan mana-mana majlis serta mampu mencipta kenangan manis untuk hari bersejarah anda.

PECAHAN WATAK DRAMA BERSIRI ‘THE MAID 2’

Sherry Alhadad - Suhana

Datin Seri Paduka Eina Azman - Nadia

Ezzaty Abdullah - Fika

Marsha Milan - Qina

Norman Hakim - Jay

Yuna Rahim - Kiambang

Eida Moin - Kak Mel

Nabil Aqil - Remy

Sean Lee - Dean

Hazeeq Dean - Inspektor Kasri

Aniq Suhair - Sa’abon

LOGLINE DRAMA BERSIRI ‘THE MAID 2’

Selepas diceraikan oleh Jay, Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel mengekori bekas suami mereka ke sebuah resort dengan perancangan untuk membunuh Jay. Namun, Jay telah dibunuh oleh pembunuh misteri sebelum mereka sempat berbuat apa-apa.

SINOPSIS DRAMA BERSIRI ‘THE MAID 2’

Drama bersiri ini mengisahkan tentang Suhana, Nadia dan Fika yang baru sahaja diceraikan oleh Jay selepas Jay mengahwini Qina, isterinya yang paling baharu dan muda. Situasi mereka bertambah buruk apabila harta mereka telah berpindah milik kepada Jay setelah Jay berjaya memperdayakan mereka untuk menandatangani satu surat. Justeru, Suhana, Nadia dan Fika mula berbaik dengan satu sama lain dan merancang untuk membalas dendam kepada Jay.

Jay dan Qina pergi bercuti di sebuah resort yang terletak di Pulau Dao. Resort itu baru sahaja diambil alih oleh Qina. Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel mengekori Jay ke resort itu dengan senyap untuk membunuhnya. Ketika mereka berada di resort, mereka terserempak dengan Remy yang kini bekerja sebagai Ketua Pengawal Keselamatan. Remy berasa hairan kerana mereka semua check in ke dalam hotel itu menggunakan identiti palsu. Namun, sebelum mereka sempat melaksanakan perancangan untuk membunuh Jay, Jay telah ditemui mati di kolam renang resort itu.

Situasi bertambah buruk apabila resort itu diarahkan untuk tutup dan dikawal dengan ketat supaya tiada sesiapa pun dapat melarikan diri ketika siasatan dijalankan. Keadaan menjadi lebih bahaya apabila mereka semua turut diancam oleh pembunuh misteri. Siapakah pembunuh misteri pada kali ini?

RATU TEN PIN KEMBALI DENGAN KISAH RATU BOLING NEGARA, SHALIN ZULKIFLI

Monday 27 June 2022

Astro Ria membawa drama bersiri ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ yang merupakan sambungan kepada siri ‘Ratu Ten Pin’ hasil terbitan JS Pictures Sdn Bhd. Penceritaan menerusi 20 episod ini diinspirasikan daripada kisah hidup ratu boling negara, Shalin Zulkifli termasuk bibit-bibit permulaan dirinya berkecimpung dan menyertai pasukan boling negara.

Menerusi musim kedua, Mem Maria menjemput Shalin menyertai pasukan boling negara kerana kagum melihat kebolehannya. Setelah melihat kebolehan ahli baharu pasukan negara itu, Norma dan Sandra mula mencemburui kebolehan Shalin dan berpura-pura berbaik dengannya. Mereka berhasrat untuk menjatuhkan Shalin kerana merasakan diri mereka terancam dengan kehadirannya. Penonton juga akan dapat menyaksikan bagaimana hubungan Shalin dan Azidi bermula hingga akhirnya membawa ke jinjang pelamin.

Drama yang berunsurkan genre sukan ini mengangkat barisan pelakon popular seperti Jasmine Suraya, Yusuf Bahrin, Elisya Sandha, Nazim Othman dan Sheila Rusly. Drama ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ merupakan arahan sutradara Hj Azman Hj Yahya (Jinggo) dan turut didukung oleh barisan pelakon terkenal tanah air seperti Nasz Sally, Wani Kayrie, Linda Onn, Riezman Khuzaimi, Dato’ Fizz Fairuz dan juga bekas pemain profesional tenpin boling Malaysia, Syaidatul Afifah.

‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 11 Julai 2022 secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.

Muhammad Idlan Afiq bin. Mohamad Zahari - Pengurus Saluran Astro Ria

“Mengangkat kisah Shalin Zulkifli sebagai naratif utama, pihak Astro berbangga kerana diberikan peluang untuk menjadi platform untuk memaparkan kisah ratu boling negara. Drama bersiri ini menjanjikan pelbagai kelainan- sepertimana kita tahu, ia berunsurkan sukan boling dan bagaimana kompetitifnya arena sukan tersebut. Drama ini mengangkat watak-watak wanita muda yang progresif dan berdaya saing, lantas menjadi role model kepada anak-anak muda, terutamanya mereka yang menceburi bidang sukan.

Jasmine Suraya mengubah dirinya bukan sahaja dari segi perwatakan tetapi juga secara fizikal demi menjiwai watak Shalin. Perubahan ini amat mengagumkan. Pastinya para penonton akan terkejut melihat transformasinya itu.

Pihak Astro turut berterima kasih dengan JS Pictures Sdn Bhd kerana meneruskan penceritaan Ratu Ten Pin, drama rantaian yang lain daripada lain. Kesungguhan Azman & Sheila serta krewnya untuk meneruskan genre drama sukan seperti ini amat kami kagumi.

Kami berharap agar penonton terhibur dengan sambungan Ratu Ten Pin yang berpaksikan kisah Shalin, iaitu ikon sukan negara. Sudah pastinya ramai ingin menonton kisah permulaan Shalin dalam melakar namanya di persada dunia sukan boling.”

Hj Azman Hj Yahya (Jinggo) - Pengarah Drama ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’

“Jarang sekali kita lihat seni kreatif mengeluarkan drama yang berunsur sukan, lebih-lebih lagi apabila ia membawa naratif yang menunjukkan bibit-bibit realiti kesusahan di sebalik pencapaian mereka. Dari mulanya penceritaan drama ini, kami ingin mengubah landskap dan trend drama tempatan yang biasa dan terapkan unsur-unsur yang mampu membanggakan para penonton.

Signifikan drama ini adalah Shalin itu sendiri. Dia adalah ikon atau orang yang lebih dikenali dengan dunia sukan boling. Sejak kecil, saya ikuti cerita dia. Dari usia muda, dia telah mewakili negara dengan pelbagai kemenangan. Pada musim pertama, kita lebih kepada intro, namun untuk musim kedua pula memang kami buat cerita mengenai Shalin untuk mengelak jalan cerita yang sama. 

Penceritaan kali ini lebih banyak kepada pengorbanan dan kepayahan Shalin dalam mencipta nama sebagai Ratu Ten Pin negara. Cerita kepayahan dan kesusahan ditambah dengan subplot yang lain untuk dijadikan bahan-bahan atau fakta yang menyokong ceritanya. Kalau kita buat cerita Shalin sahaja, 2 episod sudah habis. Kita tokok tambah untuk menjadikan ceritanya lebih menarik.

Selain itu, dalam musim kali ini ada watak-watak yang kami gugurkan dan ada juga watak- watak baharu yang kami tambah. Watak yang kami bawa dalam musim kedua ini ialah pemain boling negara kita sendiri. Kesemua 9 bekas pemain boling negara kita dibawa dan diajar cara untuk berlakon dan watak-watak ini dibawa lebih kepada untuk meredakan ceritanya. Untuk mengetahui mereka, nantikan tayangan drama ini.

Untuk watak utama dalam musim ini pula, kami bawakan Jasmine Suraya kerana dia merupakan seorang pemain boling juga, cumanya level dia tidak sama seperti Shalin. Jadi, kami dapatkan Shalin untuk melatih Jasmine. Jasmine Suraya sangat komited dan bekerja keras untuk wataknya sebagai Shalin. Malah, dia sanggup memotong rambutnya dan menaikkan badannya untuk menjadi seperti Shalin yang sebenar. Berapa ramai pelakon yang sanggup melakukan seperti itu? Jadi saya memang sangat gembira dengan lakonannya.

Saya berharap para penonton akan suka dengan Ratu Ten Pin 2 ini dan boleh menerima jalan ceritanya dengan baik. Semoga penceritaan tentang Ratu Boling Ten Pin negara kita ini boleh dijadikan sebuah karya yang boleh saya sumbangkan kepada penonton-penonton di Astro”.

TRIVIA MENARIK DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’

1. Drama bersiri ini merupakan sambungan daripada musim pertamanya, ‘Ratu Ten Pin’.

2. Diinspirasikan daripada kehidupan Shalin Zulkifli, pemain boling 10 pin profesional Malaysia dan bekas pemain nombor 1 Asia.

3. 9 orang bekas pemain boling negara juga berlakon dalam drama ini.

4. Penggambaran dilakukan ketika keadaan Covid-19 masih getir, semua kru dan pelakon bergilir-gilir dijangkiti wabak tersebut.

5. Jasmine Suraya yang memegang watak Shalin menggunting rambutnya untuk menggambarkan watak Shalin Zulkifli yang sebenar.

PECAHAN WATAK DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’

Jasmine Suraya sebagai Shalin

Yusuf Bahrin sebagai Azidi

Elisya Sandha sebagai Norma

Nazim Othman sebagai Arief

Wani Kayrie sebagai Suzana

Nasz Sally sebagai Nurin

Sheila Rusly sebagai Maria

Syaidatul Afifah sebagai Sandra

LOGLINE DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’

Diinspirasikan daripada kisah kehidupan ratu boling negara, Shalin Zulkifli, ‘Ratu Ten Pin 2: Shalin’ mengisahkan perjuangan, cabaran dan keperitan yang perlu dilalui oleh Shalin, ahli baharu pasukan boling negara dalam perjalanannya untuk menjadi juara dunia.

SINOPSIS DRAMA ’RATU TEN PIN 2: SHALIN’

Norma, Reez, Sandra dan Suzana kini telah menjadi pemain senior dalam pasukan boling negara. Namun, Reez dan Suzana ingin menarik diri daripada pasukan tersebut. Walaupun minatnya dalam sukan boling masih tinggi, Reez tetap memilih untuk mengutamakan masanya bersama dengan keluarga setelah persengketaan dengan bapanya menjadi baik untuk menguruskan legasi bisnes keluarganya.

Selepas Reez menarik diri, pasukan boling negara menjadi kekurangan seorang pemain. Maria, jurulatih pasukan tersebut mengambil Shalin sebagai pemain baharu untuk mencukupkan bilangan pemainnya. Shalin merupakan seorang pemain boling yang handal tetapi tidak dikenali oleh orang ramai. 

Norma dan Sandra juga pernah mengetahui tentang kehebatan Shalin dalam sukan boling tetapi tidak pernah berjumpa dengannya. Norma yang merasakan dirinya sebagai pemain nombor satu negara dan menganggap dirinya sebagai Ratu Ten Pin berasa terancam dengan kehadiran Shalin. Dia akan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan Shalin dan mengekalkan dirinya sebagai pemain nombor satu dalam pasukannya.

ASTRO ORIGINALS TAMPIL KESINAMBUNGAN FILEM BOX OFFICE 2008, (HISTERIA) YANG LEBIH BERANI, ‘GORE’ & MENGUJAKAN | ‘Histeria The Series’ Angkat Isu Sosial Di Sekolah

Terbaharu, Astro Originals bakal menampilkan sebuah drama siri premium yang mengisahkan misteri pelajar sekolah yang diganggu dengan misteri kematian pelajar 10 tahun lalu, iaitu, ‘Histeria The Series’. Drama siri premium ini merupakan kesinambungan daripada filem seram pecah panggung tahun 2008, ‘Histeria’ lakonan Liyana Jasymay, Scha Al-Yahya, Yana Samsudin, Ady Putra dan diarahkan oleh pemenang Best Asean Feature Award di Bangkok International Film, James Lee. Menarik, Histeria The Series mengembalikan pengarah asal filemnya untuk mengarahkan siri premium ini.

Pengarah James Lee amat terkenal dengan sentuhan karya-karya bergenre seram seperti filem ‘Tolong Awek Aku Pontianak’, ‘Sini Ada Hantu’, ‘Claypot Curry Killers’, ‘Two Sisters’. Bagi kesemua 8 episod Histeria The Series memperlihatkan James Lee mempertaruhkan kreativitinya dengan gaya pengarahan beridentiti serta suntingan segar yang mampu menghasilkan kesan dramatik yang lebih berkualiti dan realistik dalam mengetengahkan elemen seram yang lebih ‘gore’ dan berani.

Kelainan drama premium kali ini adalah ia mengangkat isu yang semamangnya berlaku dalam kalangan masyarakat kita dari dahulu sehingga sekarang ini iaitu masalah sosial seperti buli dan gangguan seksual di sekolah. Histeria The Series bakal temui penonton bermula 6 Jun ini setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 atau strim di platform Astro GO atau On Demand.

Terbitan Astro Shaw dan produksi oleh Infinitus Gold ini juga menyaksikan jenama Astro Originals meletakkan kepercayaan kepada pelakon-pelakon muda berbakat besar sebagai teraju utama seperti Mia Sara Datuk Afdlin Shauki, Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid Al-Yahya, Amelia Christie dan Serra Kamal. Tambah menarik, ia juga mengembalikan pelakon dan watak asal daripada filemnya iaitu Liyana Jasmay sebagai Murni dan turut membariskan pelakon hebat tanah air, Namron, Tony Eusoff, Ziana Zain, Ziha Salleh, Fimie Don, Mathni Razak dan Dr. Rosdeen Suboh.

Terdahulu Astro Originals telah menampilkan deretan drama siri premium daripada pelbagai genre, nilai hiburan berbeza serta olahan jalan cerita segar seperti diinspirasikan dari pendedahan isu-isu yang sememangnya berlaku dalam kalangan penonton seperti ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ (francais filem komedi nombor 1 negara), ‘Projek: Anchor SPM’ (memperkenalkan genre coming of age), ‘I-Tanggang’ (mengetengahkan isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy), ‘Dukun Diva’ (angkat kisah female con artist dan anti-heroes), serta ‘Kuasa’ (kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan).

Mewakili Astro, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menyatakan Astro terus fokus dalam memperkukuhkan jenama Astro Originals dengan mempersembahkan konten terbaik berkualiti filem yang boleh dinikmati oleh masyarakat Malaysia meliputi semua latar dan sekaligus mengangkat mutu drama siri tempatan setanding drama siri luar negara. “Kelainan dan daya tarikan drama siri premium di bawah jenama Astro Originals adalah kualiti produksi serta jalan ceritanya yang boleh dinikmati oleh masyarakat Malaysia. 

Kali ini menerusi Histeria The Series menyaksikan Astro Originals tampil pertama kali dengan mengangkat genre misteri seram dengan isu-isu yang hangat diperkatakan dalam masyarakat sekarang ini iaitu masalah sosial seperti buli serta di padatkan dengan adegan-adegan yang lebih berani. Filem Histeria merupakan salah satu IP (Intellectual Property) di bawah Astro Shaw, dan kami merasakan jalan ceritanya masih relevan sehingga kini. Jadi kami kembalikan filem tersebut menerusi drama siri premium. Meskipun ia adalah kesinambungan daripada filem terdahulu, namun jalan cerita bagi siri ini mempersembahkan naratif baru dengan konflik yang dekat dengan masyarakat dan mudah untuk difahami.

“Sementara itu, melalui karya ini juga memperlihatkan Astro Shaw bekerjasama buat pertama kali dengan Infinitus Gold untuk menghasilkan drama siri premium. Kerjasama baik melalui projek terdahulu seperti filem Hantu Kak Limah dan Sangkar telah membuka ruang untuk kedua-dua pihak meluaskan kreativiti di platform televisyen pula. Kami berhasrat agar Histeria The Series bukan sahaja memberikan nilai hiburan kepada penonton, malah ia dapat membuka mata lebih ramai pihak mengenai isu-isu dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan guru yang mampu menjadi pengajaran.”

Menurut Penerbit Eksekutif Infinitus Gold Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, “Kami amat berbesar hati berpeluang untuk sekali lagi bekerjasama dengan penerbit Astro Shaw dan kali ini menghasilkan drama siri premium. Saya secara peribadi pernah terlibat dalam penghasilan filem Histeria tahun 2008, jadi karya tersebut amat di hati saya. Bagi Histeria The Series, kami tampilkan suntingan yang lebih teliti dan ‘grand’. Kami harap kehadiran karya ini dapat menyumbang nilai hiburan yang baik serta memartabatkan lagi kualiti drama siri Malaysia.”

Histeria The Series mengisahkan tentang pelajar remaja di sebuah sekolah berasrama mulai dihantui oleh perkara misteri dan membawa mereka untuk menjejak kes pembunuhan yang berlaku 10 tahun lalu di sekolah mereka. Satu per satu insiden dan perkara ngeri berlaku. Episod pertama Histeria The Series akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00mlm, 6 Jun ini. Manakala untuk minggu-minggu seterusnya, saksikan siri drama premium ini setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra atau pilihan alternatif strim di Astro GO atau On Demand. 

Saksikan Histeria The Series yang akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 6 Jun ini. Untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.

‘Scammer 2’ Memapar Sisi-Sisi Tersembunyi Sharifah Sofia

Friday 29 April 2022


Pembalasan dendam, pengkhianatan, perhubungan kekeluargaan serta persahabatan merupakan titik utama yang diketengahkan dalam penceritaan drama sekuel kedua keluaran Astro Ria iaitu ‘Scammer 2’. Drama terbitan Radius One Sdn Bhd ini mengangkat barisan pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Farah Nabilah, Zahiril Adzim dan Diva Azwan Ali serta diarah oleh Norhanisham Labu Ahmad.

Drama ini turut memaparkan pelakon Sharifah Sofia yang kini membuat comeback di kaca televisyen. Pasti ramai merindui Sofia yang pernah berlakon drama ‘Astana Idaman’ pada musim pertama. 

Menerusi Scammer 2, watak Sofia dimasukkan ke penjara setelah aktiviti scam yang dijalaninya terkantoi.  Sofia merupakan antara scammer terbesar di Malaysia. Wanita ini ingin keluar dari penjara dengan meminta bantuan Muna, rakan scammernya. Muna mengupah Taqriz sebagai peguam untuk melepaskan Sofia dari penjara tanpa sedar yang Taqriz sedang memanipulasi Muna dan Sofia untuk membalas dendam atas kematian ayahnya yang menjadi mangsa scam Muna dahulu. Apakah yang akan terjadi kepada Sofia setelah dikeluarkan oleh Taqriz daripada penjara? Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah watak Taqriz dan Sofia akan membuat plot drama ini lebih menarik.  

Keunikan watak Sofia ini menarik perhatian pelakon wanita berkacukan Inggeris-Melayu ini setelah lama tidak muncul di kaca televisyen. Menurut Sharifah Sofia, dahulunya dia pernah mendapat watak jahat yang seakan-akan nakal, kali ini dia dapat menunjukkan sisi yang berbeza kerana watak jahatnya adalah lebih ganas dan serupa seorang gangster.

“Bukan tak biasa pegang watak jahat tapi kali ini kita bertudung dan meringkuk di dalam penjara. Dulunya watak jahat Sofia seakan-akan nakal, tetapi sekarang watak jahat ini seakan-akan gangster dan ganas”, tambahnya. 

“Watak Sofia dalam drama ini merupakan salah seorang antagonis. Waktu saya menerima tawaran ini, saya pun tidak begitu jelas dengan karakternya tetapi bila sudah sampai di lokasi penggambaran, saya berasa seronok kerana dapat bekerja dengan Encik Labu, pengarahnya dan juga Beto yang memainkan watak utama dalam drama ini”, hujahnya mengenai wataknya sebagai Sofia, seorang bekas scammer yang telah dimasukkan ke dalam penjara. 

“Kadang-kadang watak ini membuat Sofia berasa nak cuba buat combat training pulak”, tambahnya sambil ketawa. 

Pembabitan Sharifah Sofia dalam drama ini bagaikan tidak diduga kerana tawaran diberikan pada saat-saat akhir yang mengujakannya. Tambah Sharifah Sofia, “Drama ‘Scammer 2’ kali ini memang datang pada saat akhir sangat. Hari ini saya dapat panggilan, esok mereka sudah panggil untuk mulakan penggambaran.”

“Alhamdulillah, ketika itu saya memang tidak sibuk sangat jadi saya pun terima sahaja tawarannya. Lagipun, saya memang sudah mengetahui tentang drama ini daripada musim pertamanya. Cuma kali ini saya tidak tahu yang barisan pelakon-pelakonnya pun ditukar. Walau bagaimanapun, saya masih seronok bekerja dengan geng-geng ‘Scammer 2’ kali ini.”

Penceritaan menerusi 24 episod ini memaparkan sisi-sisi tersembunyi Sharifah Sofia yang diteguni ramai oleh kerana bakatnya yang belum pernah dilihat oleh netizen. Pembabitan Sofia dalam Scammer 2 juga meraih respons serta keterujaan penonton atas kemunculannya semula di kaca televisyen selepas melihat lakonan-lakonannya yang hebat dalam drama sebelumnya, lebih-lebih lagi dengan perwatakannya yang gelap dan sinis dalam drama ini. 

Ketika ditanya mengapa lama tidak berlakon, Sharifah Sofia berkata, “Sebenarnya, bermula daripada Covid-19 lagi saya sudah mula mengambil tawaran berlakon balik. Mungkin tidak ramai yang perasan kerana kebanyakan cerita yang saya lakonkan masih lagi belum disiarkan di kaca televisyen.” 

Menerusi drama ini, Sharifah Sofia juga dapat belajar pelbagai teknik lakonan daripada Norhanisham “Labu” dan juga barisan pelakon-pelakon yang lain. Katanya, dia berharap kemunculannya semula di kaca televisyen menerusi drama ini dapat diterima oleh orang ramai kerana sekuel ‘Scammer 2’ ini mempunyai penceritaan yang berbeza dengan ‘Scammer 1’. 

“Penonton perlu tengok dan fahami isi-isi tersirat dalam drama ini termasuk karakter-karakter dan dialognya. Penonton juga boleh ikuti kami di media sosial. Bukan kerana drama ini memerlukan fikiran yang banyak, tetapi kerana jalan penceritaannya memang diperlukan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai.”

“Zaman sekarang ini, manusia mudah discam, daripada orang buta jual tisu di tepi jalan sampailah orang-orang yang kononnya beriman. Scammer-scammer ini berada di mana-mana sahaja”, kata ibu kepada dua orang anak ini. 

Selain itu, watak utama ‘Scammer 2’ yang dimainkan oleh pelakon Beto Kusyairy adalah sangat penting kerana dia juga merupakan salah seorang watak yang akan terus membawa plot cerita ini ke tahap yang lebih epik. Ditanya tentang cabaran yang dia hadapi sepanjang penggambaran drama ini, Beto berkata kali ini dia memainkan tiga watak sekaligus. Watak asalnya sebagai Taqriz dan watak dalam misi iaitu Takim dan Taufiq. 

“Tuntutan dari situ, emosi dan fizikal watak itu agak berat namun itu satu keseronokan buat saya. Itulah antara tuntutan yang paling tinggi iaitu emosi dan fizikal. Ada banyak babak-babak pergaduhan. Emosi juga berat dan macam-macam lagi”, kata Beto Kusyairy. 

Bila ditanya lagi tentang wataknya sebagai Taqriz, Beto berkata, “Memainkan watak Taqriz memang menarik kerana dia ialah seorang yang penuh dengan konflik, dilemma, tekad dan nekad. Kesemua itu dirungkai dengan baik dari sudut skrip dan lakonan serta ada juga babak-babak yang diubah mengikut kesesuaian.”

Bukan itu sahaja, Beto Kusyairy juga digandingkan dengan pelakon-pelakon yang berbakat seperti Zahiril Adzim dan Azwan Ali. Persahabatan yang sudah pun terjalin antara Beto Kusyairy dan Zahiril Adzim membuatkan mereka lebih mudah untuk bekerjasama. Ulas Beto, “Ini bukan kali pertama kami bekerjasama. Masing-maisng dah tahu permainan masing-masing.”

Ditanya pula tentang tentang watak yang dimainkan oleh Azwan Ali, Beto berkata yang dia kenal pesona Bernama Azwan Ali sejak masih digelar pelajar lagi. Baginya, dia tidak pernah terfikir akan berkongsi satu frame dengan dia. Beto juga terpegun dengan pelakon itu kerana dia memang seorang yang berbakat dan profesional dalam pekerjaannya. 

“Saya kenal pesona bernama Azwan Ali sewaktu saya masih bersekolah dan dia masih hos di program muzik.Tak terfikir nak berkongsi frame, sparring bersama”, katanya. 


Norhanisham Labu Ahmad, selaku pengarah drama ‘Scammer 2’ berkata isu-isu sosial semasa seperti sindiket harta dan wang bukanlah sesuatu yang asing lagi bagi kita, lebih-lebih lagi pada masa kini. Namun, hal ini masih lagi berlaku di kalangan orang ramai tanpa rasa belas kasihan.
 “Daripada musim pertamanya lagi kami ingin mengetengahkan pengajaran bahawa jangan mudah terpedaya dengan penipuan dalam realiti hidup kerana ia mampu meletakkan kita dan orang yang kita sayangi dalam keadaan yang bahaya, sama seperti apa yang kami ingin terapkan dalam Scammer 2.”

Ditanya tentang cabaran yang dihadapi ketika proses penggambaran drama ini, Norhanisham berkata mereka sukar mendapatkan babak-babak yang menarik bagi menguatkan plot-plot ceritanya oleh kerana kesuntukan masa. Dari segi penceritaan pula, banyak bahagian yang perlu difikirkan untuk mengeluarkan drama yang lebih berkualiti. Namun, dia bersyukur kerana barisan pelakon sekuel kedua ini memang hebat-hebat belaka dan dia sangat berpuas hati selepas dapat bekerja dengan mereka. 

Tentang harapan Norhanisham terhadap drama ‘Scammer 2’ ini, dia berkata drama ini mempunyai pelbagai elemen yang berbeza termasuk kisah percintaan, perhubungan kekeluargaan serta agama untuk membuat para penonton berasa lebih dekat dengan penceritaannya. 

“Kami berharap drama rantaian ‘Scammer 2’ kali ini mendapat sambutan yang lebih daripada penonton. Kami juga berharap agar penonton-penonton drama ini puas dengan jalan ceritanya sepertimana musim sebelumnya dikeluarkan. Yang paling penting, kami berharap menerusi drama ini, rakyat kita akan lebih berhati-hati dalam memilih keputusan dalam hidup supaya tidak termakan dengan sindiket dan penipuan”, hujahnya. 

Drama ‘Scammer 2’ ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11.00 malam mulai 18 April 2022 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘SCAMMER 2’

1. Scammer 1 telah menjadi perbualan orang ramai ketika ditayangkan oleh kerana konsep, jalan cerita dan kualiti produksinya. Untuk Scammer 2, ia adalah versi yang dinaik taraf daripada musim sebelumnya. 

2. Musim kali ini membawa isu ‘scamming’ yang lebih mengena dan berkaitan dengan penonton kerana setiap plot yang diberikan memberi perasaan yang mudah difahami oleh orang ramai. 

3. Tema yang dibawa dalam drama ini seperti kisah percintaan, pembalasan dendam, hubungan kekeluargaan, persahabatan dan pengkhianatan juga telah diberikan lebih emosi dan pembaharuan daripada musim sebelumnya. Namun, sisi unik penceritaan Scammer 1 masih dikekalkan dalam Scammer 2. 

4. Gandingan pelakon-pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy dan Zahiril Adzim, dikenali dengan watak mereka dalam KL Gangster Underworld, Farah Nabilah, salah seorang pelakon wanita yang diminati ramai serta suntikan elemen ‘x-factor’ oleh pelakon Azwan Ali yang memainkan salah satu watak penjahat dalam drama ini menguatkan lagi barisan pelakon-pelakonnya dengan pelbagai karakter. 

5. Isu “Penunggang Agama” memanipulasikan “anak tahfiz” telah menjadi viral beberapa tahun lepas dan masih berterusan menjadi perbualan orang ramai. Isu ini juga merupakan elemen yang penting dalam penceritaan drama ini. 

6. Lokasi penggambaran Scammer 2 telah dilakukan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka. 

PECAHAN WATAK DRAMA ‘SCAMMER 2’

Beto Kusyairy     sebagai Taqriz
Farah Nabilah     sebagai Liya 
Zahiril Adzim                     sebagai Rudi
Diva Azwan Ali             sebagai Hanif
Iman Corinne Adrienne      sebagai Muna
Enny Ridwan             sebagai Hajar 
Razzuan Rosli     sebagai Paup 
Sharifah Sofia     sebagai Sofia 
Shatirah Amanda             sebagai Yanti 
Sadiq M. Jamil     sebagai Lobak 
Gobbinath Batumalai     sebagai Praba/Prabu 
Ainina Ahmad     sebagai Imah 
Norlia Ghani             sebagai Nenek 
Adam Darwisyh             sebagai Adam 


LOGLINE DRAMA ‘SCAMMER 2’

Mengisahkan seorang bekas banduan dalam usaha untuk membalas dendam kematian bapanya tanpa mengetahui yang usahanya akan menyebabkan hidup orang-orang yang dia sayangi berada di dalam bahaya. 


SINOPSIS DRAMA ‘SCAMMER 2’


Taqriz mahu menuntut bela atas kematian ayahnya, Cikgu Shah, yang menjadi mangsa fitnah dalam urusan penjualan tanah di kampung mereka. Arwah Cikgu Shah dituduh menipu orang kampung dan mengaut semua duit jualan tanah. Rudi, kawan sekampung Taqriz tawarkan diri untuk membantunya tetapi Taqriz tidak percayakan sesiapa. Sasaran Taqriz ialah Muna, pemilik syarikat hartanah dan Hanif, seorang peguam yang dipercayai telah menipu pemilik tanah dan jadikan arwah ayah Taqriz sebagai kambing hitam.

Untuk menyelinap masuk dalam syarikat Muna, Taqriz mempergunakan Liya, seorang bekas ‘scammer’ yang diburu polis untuk menyamar sebagai pekerja baharu syarikat Muna untuk mengumpul bukti kes penipuan tanah itu. Manakala Taqriz pula menyamar sebagai pembantu peguam dan bekerja dengan Hanif untuk mencari bukti penglibatan Hanif dalam kes yang menyebabkan kematian ayahnya. Satu demi satu pembongkaran didedahkan sehingga Taqriz sedar ada ramai lagi yang terlibat dalam penipuan tanah itu, termasuklah orang yang dekat dengan dirinya.