Showing posts with label Astro. Show all posts
Showing posts with label Astro. Show all posts

Perdamaian Perceraian Menerusi ‘Cina Buta’

Wednesday 2 November 2022


‘Adakah nilai cinta lebih besar daripada nilai wang?’ merupakan persoalan drama terkini Astro Ria yang memaparkan kisah seorang lelaki yang sanggup mencantumkan talian perkahwinannya semula selepas talak tiga dengan mengupah ‘Cina Buta’. Slot Mega Drama kali ini pasti akan menarik perhatian para penonton Astro dengan penceritaan perceraian dan masalah rumah tangga di kalangan masyarakat kini yang dianggap masih taboo di layar perak. 

‘Cina Buta’ mengisahkan pasangan suami isteri, Sharnaz dan Mia Sara yang mempunyai ego tinggi dan sering bergaduh sehingga mereka bercerai buat kali yang ketiga. Sharnaz yang masih sayangkan bekas isterinya itu ingin kembali bersamanya menerusi perkahwinan cina buta yang dibantah oleh Mia Sara sendiri kerana bertentangan dengan agama. Mia Sara kemudian bertemu dengan Aliff dan berkahwin dengannya untuk melupakan tentang Sharnaz tanpa menyedari bahawa kehadiran Aliff adalah sebahagian daripada helah Sharnaz untuk mendapatkannya semula. Namun dalam keinginan Aliff untuk menolong Sharnaz kembali bersama bekas isterinya, dia terjatuh cinta dengan Mia Sara. 

Penceritaan yang sarat dengan liku-liku kehidupan berumah tangga serta pengajaran tentang hukum-hukum perkahwinan ini menampilkan gandingan trio baharu iaitu Ungku Ismail Aziz sebagai Sharnaz, Nad Zainal sebagai Mia Sara dan Aliff Aziz sebagai Aliff. 

Drama ini merupakan hasil karya daripada Shahrulezad Mohameddin selaku penerbit, penulis skrip serta pengarah. Para penonton juga turut dapat menyaksikan telatah-telatah yang mengujakan daripada watak Puteri Aishah, Norreen Iman, Anas Ridzuan, Azhan Rani, Aman Aziz, Didie Alias serta Shamsul Ghau Ghau. 

‘Cina Buta’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis bermula 9 November 2022, jam 10.00 malam secara eksklusif di slot MegaDrama melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.

PETIKAN KENYATAAN RASMI 

Norzeha Mohd Salleh - Ketua Saluran Astro Ria



“Slot MegaDrama kami sentiasa mempunyai  pembaharuan yang dapat memberi para penonton sedikit kelainan. Kali ini kami mempersembahkan naratif yang berat dalam konsep dramedy menerusi ‘Cina Buta’.  

Penggunaan istilah ‘Cina Buta’ mungkin jarang diperdengarkan di kalangan masyarakat, namun ia membawa maksud yang sangat penting dalam kehidupan sesebuah rumah tangga. Ia bermaksud perkahwinan yang dirancang untuk mendapatkan semula bekas isteri setelah terjatuhnya talak tiga. 

‘Cina Buta’ juga turut menyelitkan banyak pengajaran dan fakta buat penonton yang kurang arif tentang istilah ini dimana pihak produksi turut mendapatkan khidmat pegawai-pegawai agama bertauliah dari pejabat agama untuk menasihati garis panduan isi kandungan, penceritaan serta apa yang betul dan salah sepanjang pengambaran dijalankan.


Drama ini boleh berkongsi serba sedikit mengenai hukum-hukum agama dalam perkahwinan serta pentingnya menjaga adab ketika berkahwin agar tidak menyesal kemudian hari. 

Bukan itu sahaja, ‘Cina Buta’ juga menyelitkan betapa beratnya perkataan cerai dalam hubungan suami isteri. Malangnya, jika disalah gunakan, ada yang akan terkesan dengan tindakan penggunaan perkataan cerai secara bersahaja. 

Kami berasa amat berbangga dengan hasil karya daripada Shahrulezad Mohameddin yang memang berbakat dalam memilih apa yang patut ditonjolkan dalam penceritaan drama ini selain menjadikan ia sebuah drama yang mampu menghiburkan para penonton sambil memberi penjelasan dan pengajaran.

Gandingan Ungku Ismail Aziz dan Nad Zainal pasti akan mengujakan semua yang belum pernah melihat chemistry mereka serta kehadiran watak persis cinta tiga segi oleh Aliff Aziz yang bakal menambah tegangan dalam hubungan antara kedua watak utama. Kami yakin lakonan trio berbakat ini pasti akan membuatkan para penonton tidak sabar untuk menunggu detik 10.00 malam pada setiap hari Isnin hingga Khamis.”

Shahrulezad Mohameddin - Pengarah Drama ‘Cina Buta’


“Sejujurnya tajuk ‘Cina Buta’ ini memang didengari seperti drama yang berat namun idea asal saya adalah untuk menghasilkan karya ini dalam situasi yang lebih santai dan selesa supaya para penonton dapat terima dengan baik. Barisan pelakon yang ada memang semuanya pilihan saya sendiri termasuk nama watak mereka dan saya amat berbangga kerana mereka berjaya ‘meringankan’ penceritaan drama ini mengikut apa yang saya inginkan. 

Bukan itu sahaja, mereka juga pandai menghidupkan watak masing-masing yang memang seiras dengan perwatakan mereka sendiri. Mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk membimbing mereka sepanjang penggambaran dan sentiasa bekerjasama. 

Ketika penggambaran drama ini, apa yang menjadi cabaran kepada saya adalah penghasilan skrip. Banyak skrip yang perlu diubah pada saat terakhir di set dan saya perlu tulis skrip sendiri sambil mengarah. Namun sebagai seorang pengarah, saya sudah terbiasa dengan segala perubahan yang bakal terjadi sepanjang penggambaran walaupun ia boleh membuat situasi menjadi huru-hara.

Saya berharap drama ini mampu meninggalkan kesan yang baik kepada orang ramai bukan sahaja daripada kandungannya tetapi juga daripada kelebihan dan bakat pelakon-pelakonnya yang hebat-hebat belaka.”

PECAHAN WATAK DRAMA ‘CINA BUTA’

Mia Sara - Nad Zainal
Sharnaz - Ungku Ismail Aziz
Aliff - Aliff Aziz
Habibah - Puteri Aishah
Norreen - Norreen Iman
Ajis - Anas Ridzuan
Umar - Aman Aziz
Puan Sri - Didie Alias 
Tan Sri - Azhan Rani
Ustaz Ahmad Tungkik - Shamsul Ghau Ghau


LOGLINE DRAMA ‘CINA BUTA’

Suami isteri yang selalu bergaduh tetapi saling menyayangi. Sukar untuk mereka berkahwin semula kerana sudah tiga kali bercerai. Apa yang membolehkan mereka berkahwin semula adalah di 'Cina Buta'.

SINOPSIS DRAMA ‘CINA BUTA’

Sharnaz dan Mia Sara merupakan pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 30-an yang telah berkahwin selama lima tahun. Mereka sering bergaduh dan pernah bercerai dua kali tetapi kerana cinta, mereka berdua berbaik semula. Suatu hari, Sharnaz menceraikan Mia Sara sekali lagi kerana marah namun pada kali ini mereka tidak dapat berdamai semula kerana ini merupakan perceraian mereka buat kali yang ketiga. 

Selepas bercerai, Sharnaz mula sedar bahawa dia sangat menyayangi Mia Sara dan sangat cemburu apabila Mia Sara mula menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain. Oleh kerana terdesak, Sharnaz bercadang untuk mendapatkan semula Mia Sara menerusi ‘Cina Buta’. Mia Sara menolak sekeras-kerasnya rancangan Sharnaz yang jelas mempermainkan agama. 

Mia Sara kemudiannya bertemu dengan Aliff dan mengambil keputusan untuk mengahwininya untuk melupakan Sharnaz tanpa mengetahui yang sebenarnya dia adalah 'Cina Buta' yang telah diupah oleh Sharnaz untuk berkahwin dan menceraikan Mia Sara supaya dia dapat memilikinya kembali tetapi dalam masa yang sama, Aliff telah jatuh cinta dengan Mia Sara. Adakah dia sanggup mengembalikan Mia Sara kepada Sharnaz?

Ketamakan Menantu, Dendam Mentua Dalang Drama Terkini Astro Prima, ‘Jesnita’

Monday 31 October 2022


Mampukah seorang antagonis wanita berubah menjadi heroin? Penonton-penonton Astro Prima bakal disajikan dengan sebuah drama yang memaparkan kisah seorang wanita muda yang dahagakan kemewahan dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkannya menerusi ‘Jesnita’. Jesnita yang merupakan heroin antagonis drama terkini Astro Prima untuk slot Tiara pasti akan memukau peminat-peminat drama tempatan dengan penceritaan yang penuh helah dan saspens.

Drama yang berunsurkan thriller, mystery dan crime sekali lagi mempertaruhkan wanita sebagai tunggak utama. Jesnita mempergunakan waris perniagaan kaya, Zaid untuk mengejar cita-citanya untuk menjadi kaya dan senang-lenang. Apabila suaminya di ambang muflis, Jesnita yang terdesak mengalihkan perhatiannya kepada Rafael, rakan niaga Zaid.

Perkahwinan Jesnita dengan Rafael yang sepatutnya menjadi kemenangan dicemari dengan kejutan bahawa dia merupakan isteri kedua. Kehidupan baharunya juga tidak aman apabila bekas ibu mentuanya kini berikrar untuk memusnahkan hidupnya sebagai balasan atas kesalahannya terhadap Zaid.

Drama saspens yang sarat dengan kisah kekeluargaan ini dibintangi Intan Najuwa sebagai Jesnita, Yusuf Bahrin sebagai Rafael serta menampilkan dua supermodel Malaysia terkenal yakni Nasha Aziz sebagai Syafinaz dan Malek McCrone sebagai Zaid. ‘Jesnita’ merupakan terbitan Zeel Production dan diarahkan oleh Emy Suffian. Drama ini turut didukung oleh barisan pelakon popular seperti Rozita Che Wan, Fikry Ibrahim, Nina Smith dan ramai lagi.

Love Novel turut akan berkolaborasi dengan Astro untuk mengadaptasi drama ‘Jesnita’ ke novel. Para penonton boleh menantikan pengumumannya menerusi laman Facebook Love Novel.‘Jesnita’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 7 November 2022 secara eksklusif di slot Tiara melalui saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.

PETIKAN KENYATAAN RASMI

Norzeha Mohd Salleh - Ketua Saluran Astro Prima

“Slot Tiara sekali lagi membawakan sebuah drama rantaian yang diterajui watak wanita yang kuat dan bijak. Menerusi ‘Jesnita’, kita diperkenalkan dengan seorang wanita yang tidak membiarkan sesiapa sahaja menentukan nasibnya, malah dia merupakan dalang di sebalik pelbagai helah untuk membolehkan dirinya mendaki status sosial yang tinggi.

‘Jesnita’ bukan sebarang watak mahupun drama yang ada dalam industri ini. Drama kali ini amat mencabar dan berbeza dengan pemotretan wanita dalam drama tempatan yang ada.

Tunggak utama merupakan seorang antagonis yang akan dibenci ramai kerana tipu helahnya, tapi masa yang sama dialah heroin kami yang bakal mengharungi pelbagai onak duri kelak. Watak anti-hero seperti ini selalunya dimainkan oleh lelaki tetapi kali ini seorang wanita yang naratifnya diperkasakan bakal membawa transformasi kepada erti anti-hero untuk drama-drama tempatan.

Pihak Astro rasa amat teruja dengan gandingan mantap yang bakal disajikan kepada peminat-peminat drama di platform kami. Intan Najuwa, Yusuf Bahrin, Fikry Ibrahim dan sudah semestinya Nasha Aziz bakal mengangkat slot Tiara ke tahap yang lagi gemilang.

Gandingan mantap antara muka-muka baharu serta yang berpengalaman merupakan strategi drama yang paling berkesan. Keseimbangan inilah yang bakal menjayakan sesebuah drama yang turut disulami tulisan skrip dan arahan yang hebat.

Kami berharap keterujaan kami dapat dirasai penonton-penonton Astro dengan garapan yang penuh saspens serta naratif yang bakal membuatkan mereka terpaut pada setiap cliffhanger di setiap episod. Kami di Astro akan sentiasa mencabar serta mengubah landskap pembikinan drama, lantas mengangkat mutu drama-drama tempatan ke tahap yang lebih tinggi.”

Emy Suffian Pengarah Drama ‘Jesnita’

“Pada mulanya, saya agak skeptikal dengan gandingan pelakon-pelakon generasi baharu untuk membawakan watak dan kekalkan momentum sepanjang 40 episod kerana ia bukan senang. Tambahan pula, semua artis utama mempunyai jadual padat. Lama kelamaan, saya dan team melihat sendiri chemistry yang baik antara semua pelakon.

Gandingan Nasha dan Intan amat menjadi. Malah semua babak dengan adanya Nasha, saya nampak dia begitu sungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik. Begitu juga Fikry Ibrahim yang kali ini memegang watak berat dan perlu bermain dengan emosi. Dia melakukannya dengan berkesan sekali.

Heroin, Intan Najuwa sebagai Jesnita amatlah mengagumkan. Kita juga melihat kematangan lakonan Intan Najuwa yang saya sendiri pun kagum sebab sebagai heroin dalam drama ni, watak dia berat dan tanggungjawab nak hidupkan watak ini juga berat tetapi dia memberikan segalanya. Kalau tidak percaya, tonton dan nilailah sendiri.

Segala apa yang berlaku dalam drama ini semuanya berkisar kepada Jesnita. Dia pembawa cerita, dia punca segala benda, dia ada emosi yang turun naik. Dia ada watak yang berbeza-beza. Kadang dia ketawa, kadang dia menangis. Dia juga menjadi rebutan tiga jejaka. Dia yang jadi mangsa cinta, mangsa perebutan harta dan sengketa. Hebat watak Jesnita yang menjadi nadi cerita drama ini!”

PECAHAN WATAK DRAMA ‘JESNITA’

Intan Najuwa - Jesnita

Nasha Aziz - Syafinaz

Malek McCrone - Zaid

Yusuf Bahrin - Rafael

Nina Smith - Dayana

Fikry Ibrahim - Zainal

Zach Zaffranz - Fauzi

Rozita Che Wan - Rosemila

LOGLINE DRAMA ‘JESNITA’

Kisah Jesnita yang meminta cerai daripada suaminya, Zaid yang kini menghadapi masalah kewangan untuk berkahwin dengan Rafael iaitu rakan niaga Zaid. Namun perkahwinan tersebut indah khabar dari rupa buat Jesnita yang rupanya isteri kedua.

SINOPSIS DRAMA ‘JESNITA’

Drama ini mengisahkan tentang Jenista yang merupakan seorang gadis yang menggilakan harta dan kekayaan. Demi mengecapi status yang sosial yang gah, dia berkahwin dengan pewaris perniagaan, Zaid. Namun, Zaid merupakan seorang yang boros dan mahukan isterinya, Jesnita bahagia dengan berbelanja demi segala kemahuannya. 

Ketika syarikat Zaid ditimpa masalah kewangan, Jesnita beralih pandangan kepada Rafael yang merupakan rakan niaga Zaid. Jesnita dan Rafael berkahwin namun drama menanti Jesnita termasuk isteri pertama Rafael, Dayana. Malah bekas ibu mertuanya, Syafinaz yang membencikannya kini berusaha untuk menjatuhkan Jesnita serta suami baharunya demi dendam tersemat di dalam hati seorang ibu yang dikhianati.

'HALIMUN’ BUKAN SEKADAR FILEM SERAM TETAPI TONJOLKAN KISAH MISTIK & PENGORBANAN

Friday 28 October 2022


'HALIMUN’ BUKAN SEKADAR FILEM SERAM TETAPI TONJOLKAN KISAH MISTIK & PENGORBANAN | “Beto Kusyairy Pertama Kali Jayakan Babak Aksi Lagak Ngeri Sendiri & Nabila Huda Sekali Lagi Tampilkan Kelainan Menerusi Watak”

Filem Halimun terbitan Azura Pictures bakal temui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 5 November hadapan. Filem bergenre seram ini bukan sekadar filem elemen seram semata-mata, tetapi turut mengetengahkan kisah mistik dari sisi berbeza. Filem yang berdurasi 115 minit ini turut dipadatkan dengan elemen emosi kasih sayang dan pengorbanan yang dipaparkan menerusi watak Zahir dan Laila. 

Halimun mengisahkan tentang Zahir yang berkahwin dengan Laila tanpa mengetahui latar belakang Laila. Setelah berkahwin, Zahir mengalami beberapa peristiwa aneh dan membawanya untuk meminta bantuan sahabat lama, Adi iaitu seorang penyelesai masalah para normal. Namun setelah Adi membantu Zahir dan Laila, keadaan menjadi lebih tidak terjangka.

Halimun membariskan gabungan pelakon daripada pelbagai lapisan umur seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Kodi Rasheed, Chubb-E, Harun Hashim dan Puteri Balqis Azizi. Menariknya, pelakon hebat Beto Kusyairy buat pertama kali melakonkan sendiri aksi lagak ngeri dalam filem ini dengan pemantauan dari pengarah aksi lagak ngeri profesional bagi babak terbakar. Manakala, bagi menjayakan karakter Laila, Nabila telah diminta pihak pengarah untuk menjadikan salah satu watak dalam filem antarabangsa, Posession (1981) sebagai rujukan. Bagi watak Adi (lakonan Kodi Rasheed) adalah diinspirasikan dari watak novel seram ‘Siri Bercakap Dengan Jin’ iaitu watak Tamar Jalis.


Filem ini diarahkan oleh Muzzamer Rahman dan beliau juga merupakan penulis skrip, idea asal bagi Halimun. Beliau mengambil masa 6 bulan untuk menyiapkan lakon layar filem ini dengan menjadikan novel seram tempatan dan filem seram antarabangsa sebagai rujukan.

Bagi skor muzik Halimun telah dihasilkan oleh Pemenang Skor Muzik Asal Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31, Reinchez Ng dan bagi penataan bunyi Halimun dihasilkan oleh Mohsin Othman yang merupakan calon Penataan Bunyi Terbaik untuk dua filem di Festival Filem Malaysia ke-31.

Sementara itu, poster rasmi Halimun memaparkan imej aneh apabila diterbalikkan. Konsep ini dikenali sebagai konsep ilusi Thatcher.


Menurut Penerbit Eksekutif Filem Halimun, Shafiq Haszerry Ahmad Jaffri, berkata, “Kami di Azura Pictures amat teruja dengan pembikinan filem ini di mana kami telah berpeluang bekerja dengan pelakon-pelakon hebat Malaysia daripada generasi yang berbeza, dan barisan tenaga produksi dalam kalangan yang terbaik di Malaysia dari bidang masing-masing. Terima kasih kepada pihak Finas kerana memberi kepercayaan dan sokongan kepada kami untuk berkarya melalui Dana Program TV/OTT di bawah program Dana Kandungan Digital (DKD) agihan Finas dengan kerjasama Astro. Harapan kami agar segala kreativiti kami dalam berkarya menerusi naskah ini akan mendapat tempat di hati penonton.” 


Sementara itu, Pengarah, Penulis Skrip, Idea Asal, Muzzamer Rahman, berkata, “Naratif Halimun ini adalah kombinasi kajian, bacaan dan tontonan saya terhadap filem-filem seram yang diadun dengan peristiwa saya inspirasikan daripada pengalaman orang sekeliling saya. Menerusi naskhah ini, saya cuba tampilkan kelainan dengan mempamerkan makhluk ghaib serta menyuntik elemen ketakutan apabila orang yang kita sayang ‘ghaib’, atau hilang. Alhamdulillah filem ini akhirnya akan menemui penonton dan antara cabaran terbesar semasa penggambaran adalah masa. Filem Halimun bergenre seram jadi persediaan sebelum merakam sesebuah babak perlu teliti. Kemudian liputan dan jumlah syot juga perlu cukup untuk memastikan suasana dalam cerita dapat disampaikan melalui visual dengan baik. Saya harap filem ini dapat diterima baik oleh penonton.”

Lagu tema Halimun iaitu “Kabus” merupakan nyanyian Afif Tirmizie, hasil ciptaan dan lirik oleh penyanyi dan composer Amylea Azizan berdasarkan interpretasinya terhadap skrip Halimun.

Saksikan filem seram Halimun yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 5 November 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, TikTok, Facebook, Twitter Astro First, Astro Shaw dan Astro First.

**********************************************


Tajuk: Halimun
Genre: Seram
Pengarah: Muzzamer Rahman
Produksi: Azura Pictures Sdn. Bhd.
Bahasa: Bahasa Malaysia
Durasi Filem: 115 minit
Jumlah Hari Penggambaran : 14 hari
Tarikh Penggambaran: November 2021
Lokasi Penggambaran: Kuala Lumpur, Rawang, Pedas
Tarikh Tayangan di Astro First: 5 November 2022

BARISAN PELAKON
Beto Kusyairy  sbg Zahir
Nabila Huda sbg Laila
Kodi Rasheed sbg Adi
Chubb-E sbg Ashif


TUNGGAK UTAMA
Dipersembahkan oleh: Azura Pictures Sdn.Bhd.
Penerbit Eksekutif : Shafiq Haszerry Ahmad Jaffri
Penerbit: Mimi Azura Ahmad Tajudin
Penerbit Penyelaras: Mimi Azura Ahmad Tajudin
Pengarah: Muzzamer Rahman
Skrip: Muzzamer Rahman
Cerita Asal: Muzzamer Rahman
Lakon Layar: Muzzamer Rahman
Pengurus Produksi:  Nana Azmi
Pengarah Fotografi: Idham Mad Din
Penyunting: Konda Kondi Studios
Pengarah Lagak Ngeri : Hafizd Razib
Kesan visual: Konda Kondi Studios
Muzik Skor: Reinchez Ng
Penata Bunyi: Technica Studios
Pereka Busana: Siti Farah Mohamed Yusoff
Penata Tatarias: Malya ArtWork & Malyaghazali
Jurugambar: Idham Mad Din


OST
Lagu: Kabus
Penyanyi: Afif Tirmizie
Lirik: Amylea Azizan
Komposer: Amylea Azizan


SINOPSIS

Zahir bertemu dengan Laila ketika sebuah insiden yang tidak dijangka. Tidak lama kemudian Zahir berkahwin dengan Laila tanpa mengetahui latar belakang Laila. Setelah berkahwin, Zahir mengalami beberapa peristiwa aneh dan membuatkannya meminta bantuan sahabat lamanya, Adi iaitu seorang penyelesai masalah paranormal. Namun setelah Adi membantu Zahir dan Laila, keadaan menjadi lebih tidak terjangka.

FILEM SERAM FANTASI INDONESIA, ‘JAGAT ARWAH’ BAKAL BUAT PENONTON MEREMANG DI PAWAGAM MULAI 27 OKTOBER INI | Tampilkan Efek CGI Berkelas Tinggi & Lakonan Hebat Oleh Ari Irham, Cinta Laura sampai Sheila Dara

Selepas bekerjasama menerusi filem Mencuri Raden Saleh, terbaharu, Astro Shaw sekali lagi bekerjasama dengan penerbit hebat Indonesia, Visinema Pictures dengan mempersembahkan filem seram fantasi, Jagat Arwah kepada penonton Malaysia bermula 27 Oktober ini di pawagam seluruh Malaysia. Berbeza dengan filem seram yang lain, kelibat makhluk atau hantu dalam Jagat Arwah digambarkan sebagai ‘superhero’. Ini secara tidak langsung menyaksikan penerbit Visinema Pictures tidak tampil dengan filem seram yang ‘stereotype’ di mana kebiasaannya hantu sering memainkan peranan antagonis, dan dalam Jagat Arwah sebaliknya, iaitu menjadi pahlawan. 

Bukan itu sahaja, malah kekuatan naskah ini turut dilihat melalui kualiti teknik Computer Generated Imagery (CGI) yang memukau dan sangat meyakinkan serta rangkaian adegan penuh mendebarkan. Antara babaknya adalah cahaya-cahaya yang menjalari tubuh watak-watak ketika sedang bertarung, daun berterbangan, makhluk ghaib Genderuwo dengan taring menggerunkan. Ini mampu membuat para penonton tidak hanya menikmati tayangan penuh efek yang mengujakan, tetapi turut membawa penonton seolah-olah terlibat di dalam filem ini. 

Filem dengan aliran seram fantasi ini banyak mengangkat budaya jawa yang begitu dekat dengan latar belakang pengarahnya sendiri, iaitu Ruben Adrian, skrip oleh M. Rino Sarjono bersama Ruben Adrian. Jagat Arwah telah ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia pada 29 September lalu dan menerima sambutan baik di sana. 

Jagat Arwah membariskan pelakon terkenal Indonesia seperti Ari Irham, Cinta Laura, Oka Antara, Sheila Dara, Ganindra Bimo, Kiki Narendra, Abdurrahman Arif, Muhammad Khan dan ramai lagi. 

Kisah Jagat Arwah bermula apabila kematian Sukmo iaitu ayah kepada Raga yang didapati mencurigakan. Kemudian Raga mendapat tahu dia merupakan keturunan Jagat Arwah dan mewarisi tradisi keluarganya. Dibantu temannya Jaya, Raga berusaha mengendalikan kekuatan yang ada di dalam dirinya dan bertemu dengan Nonik, Kunti dan Genderuwo. Pertemuan itu kemudian mengubah hidup Raga selamanya.   

Saksikan filem seram fantasi, Jagat Arwah di pawagam seluruh tanah air bermula 27 Oktober 2022. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw. 

KRU

Pengarah: Ruben Adrian

Penulis Skrip: M. Rino Sarjono, Ruben Adrian

Penerbit: Tersi Eva Ranti

Penerbit Eksekutif: Angga Dwimas Sasongko , Mike Wiluan, FX Iwan, Kenneth Destian Tali, Kusumo Martanto, Raja Jastina Raja,Arshad, Ricky Wijaya, Yonathan Nugroho

Penerbit Penyelaras: Syaiful Wathan

Pengarah Fotografi: Yadi Sugandi

Produksi & Penghasilan Watak: Adrianto Sinaga

Pengarah Seni: Asep Suryaman

Penyunting: Teguh Raharjo

Pengarah Kesan Visual: Fakhiran Hakim & Oscar Herry

Studio Kesan Visual: Dreamcatcher

Studio Post Produksi: Super 8mm

Post Penerbit: Luqman Thalib

Busana: Abam Jufen

Tatarias Kesan Khas: Ernaka Puspita Dewi

Tatarias: Verawati

Bunyi: Aufa Ariaputra

Muzik Skor: Alunan

Penata Bunyi: Andre Harihandoyo

Pengarah Lakonan: Widya Fadjriah

PELAKON

Ari Irham sbg RAGA

Oka Antara sbg  JAYA

Cinta Laura sbg  NONIK

Sheila Dara sbg KUNTI

Ganindra Bimo sbg  GENDERUWO

Kiki Narendra  sbg SUKMO

Abdurrahman Arif sbg ANGGOTA GETIH

Muhammad Khan sbg KUS

‘Opocot Next Level’ Cabar Ketahanan, Kreativiti & Komedi

Sunday 23 October 2022


‘Opocot Next Level’ Cabar Ketahanan, Kreativiti & Komedi |
Pelatah, pelawak dan selebriti bergabung demi kebaikan 

Astro Warna pasti akan menggamatkan malam Khamis setiap penonton dengan rancangan ‘game show’ popular, Opocot Next Level yang menggabungkan pelatah, pelawak dan selebriti-selebriti terkemuka dalam pelbagai permainan yang menyeronokkan demi kebajikan.

Opocot Next Level memberi cabaran kepada pemain-pemain serta menguji nilai teamwork mereka dengan lontaran aksi yang mencuit hati daripada pihak lawan masing-masing. Rancangan ini bersiaran pada setiap hari Khamis bermula 20 Oktober 2022, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Warna (saluran 107). Untuk pilihan lebih fleksibel, strim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati rancangan ini di Astro.

FORMAT DAN KONSEP RANCANGAN ‘OPOCOT NEXT LEVEL’

Seperti nama rancangannya sendiri, Opocot Next Level berunsurkan telatah pemain yang diganggu dan diuji ketika menyelesaikan cabaran mereka dalam setiap permainan. Rancangan berbentuk game show ini membabitkan dua buah pasukan dengan tiga orang pemain yang terdiri daripada pelatah, pelawak dan selebriti.


Setiap pasukan akan diketuai seorang kapten yang dipanggil pelatah. Setiap pelatah mewakili tuan rumah dengan menjemput dua selebriti untuk menyertai mereka sebagai satu pasukan untuk bermain dalam permainan yang mengetengahkan daya fizikal, mental dan kreativiti pemain.

Rancangan ini dipecahkan kepada lima segmen dengan cabaran dan permainan yang berbeza dalam setiap episod. Selebriti-selebriti yang terlibat akan melakukan beberapa elemen seperti tarian, menjawab soalan pantas dan mensabotaj pasukan lawan mereka untuk melengkapkan dan memenangi setiap cabaran dalam permainan. Antara permainan yang dimainkan termasuk menguji ketahanan sambil melengkapkan cabaran dalam Tong Seksa, meneka barangan misteri dalam Kotak Misteri dan menahan bebanan Bola Gergasi.

Uniknya dalam setiap permainan, gangguan dan halangan akan diberikan kepada setiap ahli pasukan sepanjang permainan berlangsung. Pasukan yang dapat menyelesaikan setiap cabaran dalam masa yang ditetapkan akan memenangi permainan tersebut. Bagi pasukan yang kalah, hanya tuan rumah yang akan dikenakan hukuman oleh pasukan mereka.


Pemenang bagi setiap episod akan ditentukan berdasarkan jumlah pungutan markah oleh setiap pasukan dalam permainan di segmen terakhir. Pasukan yang menang akan mendapat trofi dan hadiah wang tunai untuk diserahkan kepada badan amal. 

Bersiaran selama 8 minggu, Opocot Next Level bakal menghiburkan malam Khamis para penonton dengan gandingan jenaka pelawak terkenal negara, Shuib dan Atu Zero sebagai pengacara utama rancangan. Gabungan dua pelawak ini bakal memberikan aura baharu yang pasti menggamatkan keseluruhan rancangan ini. Malah, tanggungjawab mereka bukan sahaja sebagai pengacara tetapi sebagai penggerak, pengemudi serta ‘master mind’ dalam setiap permainan dalam Opocot Melatah Next Level. 

Setiap hos membawa peranan dan watak masing-masing dalam rancangan terbaharu ini. Atu membawa watak nakal yang mampu menyakitkan hati pemain sehingga berlaku adegan kejar mengejar. Shuib pula berperanan sebagai hos yang ‘cool’ dan mampu mengawal keadaan kelam kabut di setiap permainan fizikal Opocot Next Level.

Ini juga merupakan ‘comeback’ Shuib dalam industri komedi setelah lama tidak muncul dalam program komedi. Mereka akan ditemani dua pengacau yang berkostum yang diterajui oleh Eric Lay dan Filzah Awok.


Manakala ahli pasukan yang terlibat dalam setiap episod termasuk selebriti-selebriti dan pelawak ternama seperti Sarah Suhairi, Kaka Azraff, Sean Lee, Beby Acha, Mark Adam, Mimi Fly, Shiha Zikir, Han Byul, Siti Elizad, Bell Ngasri, Ramona Zamzam dan banyak lagi. 

Dalam pada itu, Opocot Next Level turut menampilkan beberapa episod kapsulnya yang akan ditayangkan seperti Di Sebalik Opocot Next Level yang dihoskan oleh selebriti cilik Wafiey sebanyak sepuluh episod berdurasi lima minit serta di platform Astro GO dan Astro Warna.

KENYATAAN RASMI PENGURUS SALURAN ASTRO WARNA, IDLAN ZAHARI

“Melihat kepada reaksi rakyat Malaysia yang gemarkan rancangan-rancangan kami yang berunsurkan komedi, siri komedi spontan Opocot kini kembali dengan Opocot Next Level dengan lebih lawak, cabaran serta hiburan. 

Opocot Next Level bukan sahaja fokus kepada permainan-permainan yang ada, namun kami juga ingin menjadikan ia sebagai sebuah bahan jenaka dengan karakter-karakter seperti pengganggu, pelatah dan pensabotaj yang mampu mencuit hati para penonton. Pasti mereka akan ketawa hingga menitis air mata apabila melihat selebriti-selebriti kegemaran mereka melatah atau menunjukkan reaksi yang lucu dalam setiap cabaran yang ada. 


Bukan itu sahaja, barisan pemain yang ada juga menambahkan kemeriahan rancangan ini. Gabungan pelakon, penyanyi, pengacara serta pelawak popular dan hebat dalam satu pasukan pasti akan menunjukkan sisi-sisi yang baharu, lebih-lebih lagi dalam rancangan yang tidak memerlukan kemahiran profesionalisma mereka. Malah, kami amat teruja dengan keterlibatan mereka demi memberi semula kepada badan-badan kebajikan. Sambil kita berhibur, kita juga memberi semula kepada mereka yang memerlukan. 

Melihat kepada kandungan-kandungan komedi Astro Warna sebelum ini, rata-rata para penonton serta peminat amat menyukai bakat-bakat yang telah kami keluarkan menerusi rancangan seperti ‘Sepahtu Reunion Live’ dan ‘Muzikal Lawak Superstar’. Dalam Opocot Next Level, kami amat berbangga dengan gandingan pengacara hebat iaitu Atu Zero dan Shuib yang mempunyai fanbase yang sangat besar. Para penonton pasti akan menyukai telatah mereka dalam mengemudi rancangan ini. 


Kami berharap rancangan ini mampu mewarnai malam Khamis para penonton Astro dengan gelak tawa daripada ragam dan telatah setiap pemain dalam setiap episod. Yang paling penting, kami berharap Opocot Next Level akan terpahat di dalam hati setiap penonton.”

IKUTI INFO TERKINI ‘OPOCOT NEXT LEVEL’ DI PLATFORM INI

Instagram : @astromalaysia
Facebook : @Astro
Hashtag : #OpocotNextLevel

Gempak Most Wanted (GMW) Angkat Pilihan Netizen

Thursday 13 October 2022


Gempak Most Wanted (GMW) Angkat Pilihan Netizen |
Hanya yang terhangat dan trending menjadi paparan dalam GMW Mingguan & Acara Anugerah  

Gempak, jenama hiburan digital No.1 di Malaysia, kini menemui para Netizen dengan video-video viral dan trending pilihan menerusi kategori-kategori kegemaran mereka dalam Gempak Most Wanted (GMW) Mingguan dan Acara Anugerah. 


Penghasilan GMW adalah sebagai sebuah jenama yang memaparkan kandungan-kandungan hiburan terhangat dan terkini di platform media sosial. GMW turut memberi penghargaan kepada kehebatan pengguna-pengguna jaringan media sosial dalam menghasilkan kandungan yang diminati Netizen. 

Melihat landskap dunia viral, bukannya mudah untuk mana-mana kandungan menerima perhatian konsisten oleh ramai pengguna media sosial. Oleh itu, GMW ingin menerajui industri hiburan digital dalam mengiktiraf kandungan-kandungan sedemikian. 

Pemilihan video-video viral ini akan disenarai dan diundi oleh para Netizen untuk menentukan pemenang yang layak mendapat pengiktirafan mereka menerusi rancangan mingguan. 

Manakala kemuncak GMW akan disiarkan menerusi GMW Award 2022 yang akan menentukan pemenang utama untuk setiap kategori yang dipertandingkan berdasarkan pemilihan Netizen secara keseluruhan pada awal tahun depan. 


Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah, berkata “Gempak Most Wanted (GMW) merupakan sesuatu yang unik dan berbeza dengan yang lain. Konsep ‘chart show’ di arus media perdana jarang sekali menjadi paparan berbanding dahulu. Kami ingin memperkenalkan semula konsep tersebut dengan menerapkan elemen terkini dengan pengambilan video-video atau topik-topik yang menjadi perbualan Netizen. Dengan gabungan kedua-dua elemen ini, terlahirlah rancangan baharu kami yang bakal memaparkan top video dan topik yang viral di dunia maya.”

“Buat julung kalinya juga, kami akan menganjurkan acara kemuncak Gempak Most Wanted Award 2022. Kami ingin memberi peluang untuk memberi kuasa kepada para Netizen sendiri untuk memilih video-video dan topik yang mereka suka”, tambah Syazwan Zakariah.   


Gempak Most Wanted dipecahkan kepada sembilan kategori. Kategori tersebut ialah:
  1. Lagu Trending Tergempak: Lagu-lagu hit yang trending
  2. Video Muzik Tergempak: Video muzik rasmi yang mempunyai 1 juta tontonan atau lebih
  3. Drama Trending Tergempak: Drama bersiri daripada digital, televisyen dan OTT yang menjadi viral dan mempunyai capaian sosial yang tinggi
  4. Digital Influencer Tergempak: Personaliti media sosial 
  5. Motivator Digital Tergempak: Personaliti media yang menggunakan media sosial sebagai platform utama mereka untuk berkongsi kandungan positif atau rohani
  6. Selebriti Digital Tergempak: Selebriti popular yang aktif menghasilkan kandungan di saluran YouTubenya tersendiri 
  7. Digital Content Creator Tergempak: YouTuber atau personaliti media sosial yang mencipta kandungan tular
  8. Personaliti Gamer Tergempak: Gamer yang bermain permainan elektronik seperti Dota, PUBG, Mobile Legends dan banyak lagi.
  9. Video Trending Tergempak: Video yang viral di YouTube atau media sosial yang mempunyai 1 juta tontonan atau lebih​

Dengan konsep yang vibrant dan trendy, rancangan ini menampilkan Amelia Henderson serta Sean Lee sebagai hos. Pencalonan Top 5 dan pencalonan baharu mingguan akan diundi oleh Netizen di laman sesawang rasmi Gempak Most Wanted pada setiap minggu bermula hari Rabu, jam 9.30 malam sehingga hari Isnin minggu berikutnya, pada 11.59 malam. Keputusan undian akhir akan diumumkan dalam episod baharu.

Gempak Most Wanted  ditayangkan pada setiap hari Rabu bermula 28 September 2022, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).

GEMPAK MOST WANTED AWARD 2022 

Untuk anugerah pula, ianya terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan warganegara asing yang menetap di Malaysia. Personaliti dan kandungan yang ingin dicalonkan mestilah  dihasilkan di antara tarikh 12 Oktober 2021 sehingga 12 November 2022. Netizen boleh mencalonkan personaliti dan kandungan kegemaran mereka bagi setiap kategori yang dipertandingkan bermula 12 Oktober 2022 sehingga 12 November 2022. Untuk menghantarkan pencalonan serta info lebih lanjut mengenai terma dan syarat boleh layari gempak.com/gempakmostwanted.

Video-video Top 5 yang mendapat undian tertinggi dalam setiap kategori akan dipilih untuk memenangi anugerah daripada Gempak dalam GMW Award 2022. Setiap pemenang dipilih berdasarkan undian para Netizen serta kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak Gempak untuk memberi pengiktirafan kepada mereka. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.gempak.com/gempakmostwanted.

‘NEXT TO NEELOFA’ SELAMI SUKA DUKA FIGURA-FIGURA WANITA DISEGANI RAMAI

Tuesday 11 October 2022

Tiada rancangan bual bicara yang mampu mendalami isi hati figura-figura terbesar tanah air kecuali ‘Next to Neelofa’. Rancangan talk show bernaratifkan perbincangan mahupun perbualan yang merangkumi aspek-aspek kehidupan kini kembali dengan musim kedua yang berpaksikan ‘deep conversation’ bersama tetamu-tetamu undangan personaliti terkenal.

Isu-isu yang bakal dikupas menerusi musim kedua ‘Next To Neelofa’ menunjukkan sisi-sisi para figura yang jarang dipaparkan kepada khalayak ramai kerana ada di antara mereka dikenali menjalani kehidupan privasi yang ketat terutamanya dengan ahli keluarga mereka.

Jelitawan ini akan menyelami kisah-kisah yang belum terungkai secara umum termasuk tragedi serta konflik yang sedang atau telah dihadapi barisan tetamu undangannya untuk dijadikan perkongsian demi para penonton Astro.

Neelofa turut akan berbual bicara mengenai dunia baharunya, dunia keibuan atau motherhood dengan tetamu jemputan sambil berkongsi ilmu dalam mendidik anak-anak serta nasihat dalam menguatkan bahtera perkahwinan.

Antara tetamu undangan musim kedua adalah penyanyi dan pelakon tersohor negara, Ziana Zain. Episod yang memaparkannya akan merungkai suka duka perkahwinan penyanyi tersebut bersama bekas suaminya. Bermula dengan permulaan percintaan mereka sehingga ke saat-saat mendugakan bersama keluarga termasuk masalah kehamilannya serta diagnosis anaknya dengan attention deficit hyperactivity disorder (ADHD).

Malah dia turut berkongsikan kisah perkahwinannya di mana diri penyanyi tersebut menyimpan masalah rumahtangga daripada kedua ibu bapanya sehingga dia berkongsi keputusan untuk bercerai daripada suaminya dengan mereka.

Manakala pelakon dan pengacara popular, Datin Lisa Surihani turut berkongsi kisah bibit percintaannya dengan Datuk Yusry Abdul Halim serta pembabitan awalnya dalam industri lakonan menerusi salah satu episod ‘Next To Neelofa’. Selain daripada itu, Datin Lisa turut berkongsi kisah perjuangan bapa yang dikasihi berhadapan dengan kanser. Pelakon tersebut meluahkan keperitan bagaimana dia sekeluarga mengharungi saat-saat sedih ketika bapanya nazak dalam pertarungannya dengan penyakit tersebut. Sisi-sisi emosi ini bakal membuatkan para penonton terbuka mata dan hati dengan menatap momen yang dipenuhi dengan tangisan Datin Lisa.  

Mira Filzah pula akan berkongsi pengalaman melahirkan anak pertamanya dan kehidupan baharu sebagai seorang ibu. Malah pelakon cantik ini turut berkongsi kisah percintaannya dengan suami, Wan Emir Astar yang dikenalinya menerusi laman media sosial Instagram.

Ibu Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohammed turut diundang untuk berkongsi kisahnya sebagai seorang ibu tunggal pada awal kehidupannya dan bagaimana dia mendidik serta membesarkan anak-anaknya tanpa kehadiran seorang bapa. Dia turut berkongsi kisah zaman kanak-kanak Neelofa dan bagaimana dirinya mendapat nama manjanya Lofa, yang berasal dari perkataan Love. Antara tetamu-tetamu undangan yang turut membuat penampilan menerusi musim kedua ‘Next To Neelofa’ adalah Diana Amir, Puteri Sarah, Tya Arrifin dan Ustazah Oki.

Saksikan musim kedua ‘Next To Neelofa’ bermula pada 22 Oktober 2022 pada setiap hari Sabtu pada jam 10 malam di saluran Astro RIA. Untuk pilihan lebih fleksibel, strim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO. Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati rancangan ini di Astro.

KENYATAAN RASMI KETUA SALURAN ASTRO RIA, NORZEHA MOHD SALLEH

‘Next To Neelofa’ merupakan antara rancangan bual bicara Astro yang sering kali menjadi tumpuan para penonton terutamanya golongan wanita. Topik-topik kupasan selalu menyentuh hati sanubari wanita dengan topik-topik yang relevan ketika musim pertama di mana Neelofa berkongsi kisah hidupnya secara mendalam dari segi pencintaan serta kehidupan sebagai seorang wanita single yang mengorak langkah gagah dalam bidang perniagaan.

Tetapi musim kedua pula, para penonton Astro akan menjadi saksi kepada kematangan Neelofa dalam melayari kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu. Ternyata ramai akan melihat impak secara peribadi dan juga keseluruhan personalitinya setelah melangkah ke alam yang baharu. Itulah anjakkan utama musim baharu ini yang bakal ditonjolkan kelak.

Tetamu-tetamu undangan kali ini sememangnya bakal memberi inspirasi dan aspirasi kepada mereka yang menonton. Dari luaran, ramai mempunyai perspektif am mengenai kehidupan barisan personaliti musim kedua ini walaupun realitinya adalah jauh berbeza.

Namun ‘Next To Neelofa’ memberikan figura-figura yang diundang platform yang selesa dan selamat untuk mereka berkongsikan perjalanan kehidupan mereka sebenar di sebalik mitos atau persepsi umum yang sering mengaburi realiti mereka.

Neelofa ternyata mampu mengemudi topik-topik yang sukar seperti penceraian, konflik rumahtangga dan kehilangan orang tersayang. Menerusi kelapan-lapan epsiod musim kedua, ramai akan sedar betapa terbukanya rakan-rakan personaliti terhadapnya dengan menunjukkan sisi-sisi mereka yang jarang ditampilkan di khalayak ramai.

Kami merasakan amat teruja kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk meneruskan rancangan bual bicara ini dengan melihat impak positif yang telah dibawakan menerusi musim pertama. Pihak Astro sentiasa ingin membawa kandungan-kandungan yang bukan sahaja menghiburkan pada mata kasar tetapi membawa kesan yang mendalam pada minda dan hati para penonton.

Setiap kali kami menghasilkan rancangan-rancangan seperti ‘Next To Neelofa’, sudah pastinya kami bertanyakan kepada diri kami sendiri: ‘Apakah kesan perkongsian episod-episod yang ada, atau bagaimana topik kupasan mampu mengubah pemikiran serta hati mereka yang menonton ke arah kebaikan?’

Oleh itu, di sebalik pembikinan setiap episod rancangan bual bicara ini, kami saratkan dengan pelbagai iktibar dan ilmu untuk dikongsikan bersama. Kami berharap mesej-mesej yang ada dapat disampaikan dengan setulusnya kepada semua penonton Astro.”

Selepas hampir sedekad bergiat aktif dalam mempersembahkan sketsa dan jenaka dalam rancangan Sepahtu Reunion Live di saluran Astro Warna, kini kumpulan SEPAHTU yang dianggotai Jep, Rahim, Pak Ya bersama Ebby Yus bakal menjelajah tiga buah negeri untuk Sepahtu Reunion Live TOUR yang akan berlangsung bermula 14 Oktober 2022 ini.

Masih mengekalkan konsep asal yang berbentuk sitkom komedi, penjelajahan atau tour ini diadakan buat pertama kali untuk mengenali dan mendekati para peminat setia rancangan tersebut. Intipati setiap sketsa yang sarat dengan pengajaran tentang isu-isu semasa secara lakonan spontan mereka berjaya menarik perhatian ramai penonton di pelbagai negeri sehingga mencipta fanbase yang besar. Kini sketsa-sketsa ini akan dibawa ke negeri-negeri tersebut untuk dipersembahkan secara LIVE di hadapan ribuan peminat sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka.

Penjelajahan ini merangkumi enam persembahan yang akan diadakan di tiga buah negeri. Lokasi pertama akan dilakukan di Pasir Gudang, Johor pada 14 dan 21 Oktober. Sepahtu Reunion Live TOUR ini akan disambung di Gong Badak, Terengganu pada 28 Oktober dan 4 November. Penjelajahan ini akan berakhir di Sultan Abdul Halim, Kedah pada 11 dan 18 November.

Antara tarikan utama rancangan ini adalah penampilan rakan-rakan selebriti dalam setiap sketsa yang juga akan mengikuti bersama dalam jelajah ini seperti Erra Fazira, Uqasha Senrose, Fouziah Gous, Afifah Nasir dan ramai lagi tetamu-tetamu undangan misteri yang akan membuat kemunculan.

Aktiviti kemuncak yang bakal berlangsung di setiap lokasi adalah ‘Live Audience Award’ yang akan melibatkan para penonton dalam kategori-kategori yang berbeza termasuk pemilihan Best Dress of the Week dan The Most Happening Audience of the Week.

Selain itu, ahli kumpulan SEPAHTU juga akan mencari bakat-bakat baharu di lokasi-lokasi terbabit dengan pemilihan The Best ‘Bakat Tempatan’ di kalangan penonton yang mempunyai personaliti menghiburkan dan kelakar.

Sepahtu Reunion Live TOUR ini akan berlangsung pada setiap hari Jumaat pada pukul 9.00 malam di setiap negeri yang terlibat. Para peminat di setiap negeri yang ingin menonton SEPAHTU secara LIVE boleh mendapatkan tiket di www.ticket2u.com.my dengan harga RM50 (Zone 1), RM40 (Zone 2), RM30 (Zone 3) dan RM20 (UPPER Tier).



Eksklusif untuk para pelanggan Astro, mereka boleh memenangi lima tiket dengan menjawab tiga soalan yang mudah di laman sesawang Astro Rewards iaitu https://rewards.astro.com.my/bm/details/sepahtu.

Sepahtu Reunion Live TOUR akan menjelajah di tiga lokasi iaitu Johor, Terengganu dan Kedah bermula 14 Oktober hingga 18 November 2022. Rancangan sitkom komedi ini akan dipersembahkan secara siaran langsung oleh ahli-ahli Sepahtu yang dilaksanakan sebanyak dua hari di setiap lokasi. Persembahan mereka juga akan dipaparkan secara langsung di Astro Warna (saluran 107) pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam. 

KENYATAAN RASMI KETUA SALURAN ASTRO WARNA, NORZEHA MOHD SALLEH


“SEPAHTU bukanlah nama asing di dalam industri hiburan seni tanah air. Setelah bertapak lebih daripada 10 tahun di arena lawak, mereka kini menjadi inspirasi kepada generasi muda yang sedang berjinak  dalam industri komedi persembahan. Kehadiran mereka dalam pelbagai rancangan khususnya di Astro Warna sangat digemari ramai. Malah penampilan tetap mereka dalam rancangan Sepahtu Reunion Live sering terpahat di hati para penonton 

Akhirnya SEPAHTU akan turun padang dan berjumpa peminat di tiga buah lokasi. Peluang seperti ini jarang sekali berlaku terutamanya ketika negara menghadapi kekangan yang disebabkan oleh Covid-19. Dengan peralihan negara kita ke norma normal, Astro dengan menggembiranya akan membawa kumpulan SEPAHTU menerusi Sepahtu Reunion Live TOUR ke tiga buah negeri iaitu Johor, Terengganu dan Kedah. SEPAHTU akan membuat dua persembahan di setiap negeri. 


Seperti mana yang kita tahu, rancangan SEPAHTU sentiasa menampilkan artis-artis tersohor negara sebagai artis jemputan. Kali ini tidak kurang hebatnya. Penampilan Erra Fazira, Uqasha Senrose dan juga undangan-undangan misteri sudah pastinya akan mengujakan para penonton di negeri-negeri tersebut. Bukan sahaja mereka akan dihiburkan dengan lawak spontan yang hebat tetapi juga dengan kilauan bintang yang bergemerlapan. Malah sketsa-sketsa yang dipersembahkan merupakan persembahan yang paling hebat yang akan dilakukan oleh SEPAHTU. 

Kami berharap setiap negeri akan memberi aura tersendiri yang akan memangkinkan lagi persembahan kumpulan SEPAHTU. Akhir kata, pihak Astro tidak sabar untuk bersama-sama rakyat Malaysia dan pelanggan-pelanggan Astro di Johor, Terengganu dan Kedah.