Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Serupa Tapi Tak Sama? Ini Beza Antara Selesema, Flu, Alahan & COVID-19!

Monday 31 May 2021

Klik gambar untuk baca lebih banyak artikel kesihatan di Hello Doktor

Setiap kali mengalami kondisi hidung berair dan tersumbat, mungkin ramai yang akan menyangka bahawa ia adalah disebabkan alahan rhinitis. Tidak kurang juga yang turut akan menganggap ia sebenarnya didalangi oleh penyakit biasa seperti selesema atau flu akibat jangkitan virus.

Namun dalam era pandemik bertaraf global yang dialami seantero dunia kini, ia juga mungkin jadi petanda anda dijangkiti wabak Covid 19. Persoalannya, apakah perbezaan yang wujud di antara 4 penyakit hampir serupa ini? Jom teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut!

Persoalannya, apakah perbezaan yang wujud di antara 4 penyakit hampir serupa ini? Jom teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut!

Kesemuanya serupa tapi tidak sama?

Kondisi selesema, flu, alahan rhinitis serta COVID-19 kesemuanya adalah hampir serupa tetapi tidak sama kerana wujud perbezaan yang ketara.Ini kerana keempat-empat jenis penyakit ini akan menyerang bahagian pada tubuh badan yang sama iaitu sistem pernafasan manusia.

Mungkin salah satu perkara yang boleh dilakukan untuk membezakan penyakit-penyakit ini adalah dengan melihat pada punca dan simptom.

“Membezakannya adalah sangat penting agar penderita mampu mendapat rawatan yang tepat dan mengambil ubatan yang betul,” jelas Pakar Penyakit Jangkitan Pernafasan Dr. Teresa Hauguel.

Jadi, apakah yang kita semua perlu tahu tentang perbezaan 4 penyakit ini sebelum diagnosis?

Perbezaan punca 4 jenis penyakit ini!

Untuk pengetahuan anda, kondisi selesema, flu, alahan rhinitis serta COVID-19 kesemuanya didalangi oleh penyebab yang berbeza. Memang benar bahawa 3 daripada 4 penyakit ini dicetuskan oleh jangkitan virus namun 1 daripadanya disebabkan oleh perkara lain.

Berikut adalah perbezaan punca penyakit-penyakit ini:

i. Selesema

Selesema berlaku akibat daripada jangkitan virus bernama rhinovirus yang boleh berjangkit dari individu ke individu lain melalui udara serta kontak rapat.

ii. Flu

Flu berlaku akibat daripada jangkitan virus bernama influenza yang juga berjangkit dari individu ke individu lain melalui udara serta kontak rapat.

iii. Alahan rhinitis

Alahan rhinitis terjadi akibat alergen yang terdapat di udara seperti debu, habuk, pasir, asap, debunga, bulu haiwan serta pelbagai lagi perkara lain.

iv. COVID-19

Wabak Covid 19 yang sedang menular di seluruh dunia kini berpunca daripada virus korona baharu yang boleh merebak melalui udara, sentuhan dan titisan kontak rapat sesama manusia.

Meskipun kesemuanya dikatakan akan mendatangkan simptom yang serupa seperti hidung berair dan tersumbat, namun masih wujud perbezaannya!


Perbezaan simptom 4 jenis penyakit ini!

Meskipun tanda-tanda menghidap 4 penyakit ini adalah hampir serupa namun ia tidak sama, perhatikan gambar rajah di bawah ini:

Sebagai tambahan, wabak Covid 19 juga akan mendatangkan beberapa simptom lain yang tidak terdapat pada 3 penyakit itu termasuklah:

  • Hilang deria rasa dan bau
  • Mual-mual
  • Muntah-muntah
  • Cirit-birit

Dapat disimpulkan di sini adalah wabak Covid 19 akan membawa simptom yang paling teruk dan perlu segera mendapatkan rawatan. Pun begitu, tidak wajar juga untuk anda hanya membiarkan sahaja simptom penyakit yang lain kerana ia juga berisiko sebabkan komplikasi.

Apa anda perlu buat jika menghidap penyakit ini?

Sudah tentu perkara pertama yang kalian perlu buat adalah berjumpa dengan doktor untuk melakukan diagnosis bagi menentukan jenis penyakit terbabit. Selepas itu, sila berkonsultasi dengan doktor untuk mendapat rawatan dan mengambil ubatan yang diperlukan bagi merawat penyakit yang tertentu.

Bagi kondisi alahan rhinitis, mungkin apa yang kalian perlu lakukan adalah mengambil ubat antihistamin selain mengelak daripada segala alergen. Bagi kondisi selesema dan flu pula, pengambilan ubat antiviral serta ubatan lain mungkin akan diperlukan untuk merawat simptom-simptom tersebut.

Sekiranya anda sah dijangkiti COVID-19, sila patuhi arahan untuk menjalani kuarantin di rumah bagi mengelakkan virus itu tersebar dengan makin teruk.

Susu Baik Untuk Tulang Adalah Mitos? Kena Tahu Risiko Minum Terlebih Susu Ini!

Tuesday 13 April 2021

Susu merupakan sejenis minuman yang baik untuk kesihatan. Walau bagaimanapun, semua itu merupakan sesuatu yang selalu kita dengar menerusi iklan yang ditayangkan di kaca televisyen. Hakikatnya, sejauh manakah kebenaran tentang faedah minum susu? Adakah ia boleh mengelakkan penyakit osteoporosis atau tulang rapuh?

Klik gambar untuk dapatkan lebih banyak artikel kesihatan

Semua orang tahu, susu mengandungi kalsium yang dapat mengekalkan kekuatan tulang. Oleh sebab itu, secara logiknya, minum susu sudah pastilah dapat mengelakkan penyakit osteoporosis. Namun, menurut sebuah kajian pada tahun 2014 oleh Michaëlsson, et al., minum terlalu banyak susu sebenarnya boleh membawa mudarat kepada kesihatan!

Berapa banyak susu yang boleh saya minum?

Menurut kajian tersebut, minum susu lebih daripada 3 gelas sehari bukan sahaja dapat meningkatkan risiko kematian, ia juga membuatkan tulang anda lebih mudah untuk mengalami keretakan. Malah, wanita yang dilaporkan minum lebih daripada 3 gelas susu sehari juga mempunyai risiko kematian sebanyak 2 kali ganda berbanding wanita yang hanya minum segelas susu.

Walau bagaimanapun, kaum Adam tidak terkesan dengan perkara ini seperti kaum Hawa. Namun, lelaki yang gemar minum susu yang banyak juga menunjukkan peningkatan dalam kes kematian. Tapi, bukankah minum susu baik untuk kesihatan tulang?

Perkara ini mungkin tidak benar jika anda mengambil terlalu banyak susu. Malah, faedahnya juga akan hilang dan ia tidak mampu lagi untuk melindungi pengamalnya daripada menghidap tulang rapuh ataupun keretakan tulang.

Susu merupakan sumber utama sejenis gula yang dikenali dengan nama D-galactose. Menurut beberapa eksperimen yang dijalankan terhadap haiwan, pendedahan terhadap terlalu banyak D-galactose adalah berbahaya kepada kesihatan.

Malah, dos D-galactose yang rendah juga menunjukkan kesan yang seakan-akan penuaan di dalam kalangan haiwan, termasuklah jangka hayat yang lebih pendek, inflamasi kronik dan juga degenerasi neuron.

Bersederhana ketika minum susu

Menurut sebuah kajian yang diterbitkan di dalam British Medical Journal, keretakan tulang pinggul paling banyak berlaku di negara yang mempunyai pengambilan kalsium yang tertinggi. Malah, wanita yang minum 3 gelas susu ke atas setiap hari mempunyai penambahan risiko sebanyak 60% untuk menghidap keretakan tulang pada masa hadapan. Oleh sebab itu, mengapa kita diberitahu sejak kecil untuk minum susu sebagai sesuatu yang sihat?

Sebenarnya, jika diambil secara sederhana, susu dapat melindungi kita daripada penyakit kronik. Malah, pengambilan secawan susu sehari sudah cukup untuk memenuhi rekomendasi nutrisi harian. Menurut Cleaveland Clinic, jika anda inginkan tulang yang sihat, elakkan minum susu lebih daripada 1 gelas sehari.

Jika anda seorang penggemar susu, sudah tentulah anda akan rasa risau tentang penemuan ini. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan oleh Michaëlsson, et al. masih mempunyai beberapa kelemahannya yang tersendiri.

Disebabkan kajian ini memerlukan pesertanya untuk melakukan anggaran jumlah susu yang diminum dalam masa setahun, dapatannya mungkin tidaklah setepat yang disangka. Malah, bukti yang sedia ada juga belum cukup untuk melakukan sebarang kesimpulan.

Kepentingan vitamin D dalam diet seharian

Untuk mendapatkan tulang yang sihat, anda perlulah mengambil diet yang kaya dengan vitamin D dan kalsium bilamana kalsium sudah lama dikaitkan dengan kesihatan tulang. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu mengenai kebaikan vitamin D yang dapat menggalakkan penyerapan kalsium.

Vitamin D – yang turut dikenali sebagai sunshine vitamin dihasilkan selepas badan terdedah kepada pancaran matahari. Vitamin ini penting untuk pembinaan tulang yang kuat dan sihat serta meningkatkan penyerapan kalsium dan fosforus di dalam badan.

Tanpa vitamin D yang mencukupi, tulang boleh menjadi rapuh dan halus. Malah, pembentukan tulang baharu juga akan terhenti. Vitamin D juga dapat melindungi warga emas daripada penyakit osteoporosis atau tulang rapuh. Selain minum susu, ada banyak lagi makanan yang kaya dengan kalsium. Sebagai contoh, keju, yogurt, soya, brokoli, buah oren, sardin dan salmon. Semua makanan ini boleh menjadi pengganti susu jika anda risau mengenai pengambilan susu yang berlebihan.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, tidak ada masalah jika anda ingin meneruskan pengambilan susu. Walau bagaimanapun, mungkin faedah minum susu tidaklah sebesar yang anda harapkan. Selain susu, ada banyak lagi cara yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan osteoporosis dan menguatkan tulang.

Sebagai contoh, bersenam, mengambil vitamin D yang mencukupi dan makan secara sihat dapat membantu pembentukan tulang yang kuat.

Ingin mengambil suplemen vitamin D? Tidak ada masalah. Walau bagaimanapun, pastikan anda melakukan konsultasi bersama doktor atau ahli farmasi yang bertugas jika anda ingin mencuba suplemen baharu.

Ini Komplikasi Berkaitan Pelvis Yang Berisiko Terjadi, Wanita Perlu Ambil Tahu!

Monday 29 March 2021

Masalah berkaitan otot pelvik banyak berlaku dalam kalangan wanita. Mengapa? Ini kerana bahagian otot ini terletak berhampiran dengan organ-organ pembiakan yang penting. Ingin ketahui komplikasi berkaitan tulang pelvik wanita dengan lebih mendalam? Mari ikuti kupasan ini!

Klik gambar untuk baca lebih banyak artikel kesihatan

Rahim retroverted & anteverted

Posisi rahim berbeza mengikut wanita. Secara amnya, organ rahim akan condong ke arah pundi kencing yang berada di hadapan.

Rahim terbalik (retroverted)

Rahim yang terbalik berada pada kedudukan di belakang serviks dan bukannya di hadapan. Bagi pemilik rahim retroverted, mereka akan mengalami simptom seperti:
  • Sakit semasa haid
  • Sukar menggunakan tampon
  • Kerap kencing
  • Mudah mendapat jangkitan saluran kencing
  • Kencing tidak lawas
  • Abdomen bawah tertonjol
  • Sakit faraj atau belakang semasa melakukan hubungan seks

Rahim condong ke depan (anteverted)

Jika anda didiagnosis dengan rahim anteverted, maka ini bermaksud, rahim anda berada pada kedudukan condong ke hadapan pada serviks dan ke arah perut. Ini adalah posisi normal rahim yang tidak mendatangkan sebarang komplikasi.

Namun, sekiranya kecondongan anda sangat teruk, kemungkinan akan merasa tekanan atau kesakitan di bahagian hadapan pelvis.

Sakit bahagian pelvis

Masalah berkaitan otot pelvik lain adalah kesakitan di bahagian pelvis yang mempengaruhi kawasan bahagian bawah perut, yang terletak di antara pusat dan pangkal paha. Bagi sesetengah wanita, sakit pelvis mungkin adalah petanda kekejangan haid, ovulasi atau masalah gastrousus seperti intoleransi makanan. Namun, ia juga berisiko berkembang menjadi masalah yang lebih serius. Ada ketikanya, sakit pelvis boleh menjadi petanda jangkitan atau masalah berkaitan sistem pembiakan lain di sekitar kawasan tersebut.

Prosedur pembedahan (RASPA)

Prosedur dilation and curettage atau raspa adalah sejenis pembedahan di mana serviks dibuka dan sejenis alatan iaitu curette, dimasukkan ke dalam rahim. Kemudian, curette digunakan untuk mengikis atau mengeluarkan tisu dari lapisan rahim (curettage).

Mengapa ia dilakukan?

#1 Untuk mendiagnosis keadaan pesakit

Doktor mungkin mengesyorkan sejenis D&C yang disebut sebagai pensampelan endometrium untuk mendiagnosis keadaan berikut:

  • Mengalami pendarahan rahim yang tidak normal
  • Mengalami pendarahan selepas menopaus
  • Doktor menemui sel-sel endometrium yang tidak normal semasa ujian rutin kanser serviks

#2 Untuk merawat keadaan berikut

Semasa melakukan D&C, doktor akan membuang kandungan dalam rahim dan bukan sekadar sampel tisu kecil. Doktor juga boleh melakukan perkara ini untuk:
  • Membersihkan sisa tisu di rahim selepas keguguran untuk mengelakkan jangkitan atau pendarahan berat
  • Keluarkan kehamilan anggur (molar pregnancy)
  • Rawat pendarahan berlebihan selepas bersalin dengan membersihkan plasenta yang masih ada di dalam rahim
  • Keluarkan polip serviks atau rahim, yang biasanya tidak bersifat kanser (jinak)
Penyakit radang pelvis

Antara komplikasi tulang pelvik wanita yang lain merangkumi penyakit radang pelvis (PID), jangkitan pada organ pembiakan wanita. Ia selalunya berlaku apabila bakteria menular secara seksual merebak dari faraj ke rahim, tiub fallopio atau ovari.

Antara gejala-gejala kebiasaan yang dirasai oleh pesakit:

  • Sakit (bermula daripada tahap yang ringan hingga parah) di bahagian bawah perut dan otot pelvik
  • Keputihan yang tidak normal atau banyak berserta bau yang tidak menyenangkan
  • Pendarahan rahim yang tidak normal, terutamanya semasa atau selepas hubungan seksual, atau antara kitaran haid
  • Sakit semasa persetubuhan
  • Demam menggigil
  • Kesulitan atau kerap kencing
Endometriosis


Endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang melapisi bahagian dalam rahim iaitu endometrium tumbuh di luar rahim. Ia paling kerap melibatkan ovari, tiub fallopio dan tisu yang melapisi pelvis. Dalam kes yang jarang berlaku, tisu endometrium boleh merebak di luar organ pelvis. Selain menyebabkan kesakitan, masalah kesuburan juga mungkin timbul.

Antara simptom-simptom yang dialami adalah : 
  • Haid yang menyakitkan (senggugut)
  • Sakit saat bersenggama
  • Sakit dengan pergerakan usus atau membuang air kecil
  • Pendarahan berlebihan
  • Kemandulan
  • Tanda dan gejala lain seperti keletihan, cirit-birit, sembelit, kembung atau loya
  • Sekiranya, ada di antara pembaca yang mengalami kesakitan di bahagian abdomen atau belakang, cuba semak gejala-gejala yang telah penulis kupaskan.
Dikhuatiri simptom yang sedang dialami adalah petanda kepada penyakit-penyakit di atas, yang memerlukan perhatian serius. 

Ini 8 Petanda Anda Alami Gastrik Kronik (Gastritis), Ada Harapan Ke Untuk Sembuh?

Tuesday 9 March 2021

Klik gambar untuk baca lebih banyak artikel kesihatan
 

Ada sesetengah daripada kita yang mungkin mengalami masalah gastritis ataupun gastrik. Namun, bagi keadaan gastritis kronik, ada peluang ke untuk sembuh? Ada sebarang tip tak untuk elakkan masalah gastritis ini? Ini jawapan untuk anda.

Pengenalan ringkas berkenaan gastritis kronik

Dalam perut kita, terdapat satu lapisan mukus pelindung yang disebut sebagai mukosa. Fungsinya adalah untuk melindungi perut daripada kesan asid perut yang kuat. Asid perut ni berperanan dalam mencerna dan menghadam makanan.

Bila terdapat sesuatu perkara yang melemahkan atau merosakkan lapisan mukosa ini, maka ia akan mengalami keradangan lalu menyebabkan gastritis. Bila dah mengalami gastritis, mungkin akan mengalami beberapa simptom seperti sakit perut, perut kembung, loya serta ketidakhadaman makanan.


Apabila gastritis ini berlaku secara perlahan-lahan dalam tempoh masa tertentu, ia akan menjadi gastritis kronik.

Apakah tanda yang menunjukkan bahawa anda mengalami gastritis yang teruk?

Bagi mereka yang mengalami masalah gastritis yang kronik, ia biasanya tidak menunjukkan simptom secara khusus. Namun, ada beberapa tanda atau simptom yang mungkin menunjukkan anda mengalami masalah gastritis yang teruk iaitu:

  • Loya tekak
  • Muntah-muntah
  • Ketidakhadaman
  • Mengalami sakit perut
  • Mengalami kembung perut
  • Sering sendawa
  • Hilang selera makan
  • Penurunan berat badan

Apakah punca yang menyebabkan keadaan gastritis kronik?

Bagi masalah gastritis yang kronik, terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan ia berlaku. Antara punca tersebut ialah:

  • Kehadiran bakteria H. pylori dalam perut
  • Pengambilan minuman beralkohol dengan kerap atau secara berlebihan
  • Kesan ubat-ubatan tertentu yang diambil dalam tempoh jangka masa panjang
  • Mengalami penyakit tertentu seperti kegagalan buah pinggang
  • Sistem imun tubuh yang sudah lemah
  • Kerap mengalami tekanan atau stress yang menjejaskan sistem imun tubuh?

Bolehkah masalah gastritis yang kronik ini sembuh?

Bagi masalah gastritis yang berpunca daripada bakteria H. pylori, ia boleh disembuhkan melalui penggunaan antibiotik. Manakala bagi masalah gastritis yang disebabkan oleh pengambilan minuman beralkohol, caranya adalah berhenti mengambil alkohol.

Namun, bagi mereka yang sudah lama mengalami gastritis kronik ini, berkemungkinan terdapat kerosakan kekal pada dinding perut bahagian dalam. 

Adakah masalah gastritis yang teruk ini dianggap berbahaya?

Gastritis yang kronik bukanlah satu keadaan yang berbahaya. Namun, jika ia berlaku dalam tempoh masa yang lama, ia boleh menyebabkan beberapa masalah atau komplikasi lain. Antaranya adalah seperti kemunculan ulser dalam perut, mengalami anemia, pertumbuhan polip atau tumor yang bukan kanser serta risiko mendapat kanser perut.

Cara untuk elakkan diri daripada mendapat masalah gastritis yang kronik

Terdapat beberapa kaedah atau cara yang boleh diamalkan untuk mengurangkan risiko mendapat masalah ini.

Antara kaedah yang boleh dilakukan ialah:

  1. Cuci tangan anda dengan bersih terutamanya sebelum menyentuh makanan. Bakteria H. pylori amat mudah menjangkiti dan memasuki perut anda jika kebersihan diri diabaikan.
  2. Hentikan pengambilan minuman beralkohol dengan serta-merta. Pengambilan minuman beralkohol dengan kerap boleh merosakkan lapisan mukosa pelindung dalam perut anda.
  3. Kurangkan pengambilan makanan berlemak, berminyak, berasid dan juga pedas.
  4. Uruskan stres dan tekanan yang dialami dengan baik.
  5. Elakkan makanan yang tinggi dengan kandungan garam.
  6. Elakkan makanan yang diproses seperti nuget, daging burger, dan juga sosej.
  7. Banyakkan pengambilan makanan berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
  8. Amalkan memakan makanan yang tinggi dengan probiotik seperti kimchi dan yogurt.
  9. Kurangkan pengambilan minuman berkafein seperti kopi, teh dan minuman berkarbonat.
  10. Elakkan berbaring dalam tempoh dua hingga tiga jam selepas waktu makan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Wanita, Sila Ambil Tahu 14 Tanda Kanser Rahim! Jika Tidak, Ini 9 Komplikasinya

Tuesday 23 February 2021

Jika anda didiagnosis dengan kanser rahim tahap 1, pasti anda tertanya-tanya, apakah tanda awal kanser rahim yang boleh anda alami, kan?

Klik gambar untuk baca lebih banyak artikel kesihatan di Hello Doktor

Kanser rahim adalah sejenis kanser melibatkan sel endometrium yang membarisi permukaan rahim wanita. Setiap bulan (atau kitaran haid), lapisan sel endometrium tersebut akan terhakis menyebabkan pendarahan haid sekiranya proses kehamilan tidak berlaku.

Secara umumnya, masalah kesihatan ini lebih lazim didiagnosis dalam kalangan wanita yang telah mencapai usia menopaus. Mereka yang menghidapnya boleh menunjukkan simptom yang berkait dengan pendarahan faraj dan simptom umum kanser yang lain.

Teruskan membaca untuk mengetahui simptom awal bagi kanser rahim tahap 1.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.


Pendarahan, simptom yang lazim berlaku bagi penghidap kanser rahim


Pendarahan mungkin normal bagi wanita yang masih belum menopaus, namun ia boleh menjadi tanda bahaya bagi wanita yang telah menopaus. Adakah ini bermakna mereka yang masih mengalami haid tidak akan mendapat kanser rahim?

Tidak sama sekali! 

Mereka yang belum menopaus masih boleh didiagnosis dengan masalah ini. Cuma ia lebih lazim didiagnosis dalam kalangan mereka yang telah mencapai usia menopaus terutamanya mereka yang membuat rawatan hormon. 

Menurut Persatuan Kanser Amerika, kira-kira 90% wanita yang didiagnosis dengan kanser rahim mengalami pendarahan faraj tidak normal. Paten pendarahan tersebut boleh dilihat dalam konteks sama ada wanita tersebut masih mengalami pendarahan haid atau telah mencapai usia menopaus.

Bagi mereka yang belum menopaus, pendarahan faraj tidak normal adalah:

  1. Pendarahan banyak dan lama ketika haid (lebih lama daripada 7 hari).
  2. Pendarahan yang berlaku di antara 2 waktu haid dalam kitaran normal haid.
  3. Haid yang berlaku pada setiap 21 hari atau lebih awal.
  4. Pendarahan faraj sebelum atau selepas melakukan hubungan seks.

Bagi mereka yang telah mencapai usia menopaus pula, pendarahan tidak normal dianggap sebagai pendarahan yang berlaku selepas setahun anda tidak mengalami pendarahan haid. Keadaan ini perlu diperiksa oleh doktor.

Namun, anda perlu tahu bahawa kanser rahim tahap 1 bukanlah satu-satunya punca pendarahan tidak normal selepas menopaus. Terdapat punca lain seperti fibroid, masalah tiroid dan terapi gantian hormon.

Tanda awal kanser rahim lain yang perlu diberi perhatian


Seperti masalah kanser lain, kanser rahim juga boleh menyebabkan simptom kanser umum yang mempengaruhi proses fisiologi di seluruh badan. Pada peringkat awal, penghidap mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala ini.

Namun, apabila kanser rahim sudah semakin lanjut/ besar, ia boleh menyebabkan gejala seperti:

  • Sakit pada kawasan pinggang.
  • Pengeluaran cecair faraj dalam kuantiti yang banyak.
  • Sakit abdomen.
  • Rasa keras atau ketulan pada mana-mana permukaan kawasan pinggang.
  • Hilang berat badan tanpa mengamalkan sebarang diet.
  • Kelesuan.
  • Kembung perut.
  • Perubahan pada corak buang air kecil atau besar.
  • Rasa cepat kenyang.
  • Sakit ketika melakukan hubungan seks.
Jika komplikasi telah berlaku, pesakit boleh menunjukkan gejala berkait dengan komplikasi yang dialami.Oleh sebab pendarahan merupakan manifestasi utama bagi kanser rahim, simptom anemia boleh berlaku kepada penghidap kanser tersebut.

Anemia adalah keadaan di mana jumlah sel darah merah di dalam aliran darah manusia lebih rendah daripada normal. Keadaan ini boleh menyebabkan simptom seperti:

  • Kelesuan.
  • Lemah badan.
  • Sejuk tangan dan/atau kaki.
  • Degupan jantung tidak sekata.
  • Sakit kepala.
  • Sesak nafas.
  • Kulit pucat atau kekuning-kuningan.
  • Sakit dada.
  • Pening kepala.
Keadaan ini boleh berlaku akibat badan kekurangan zat besi berikutan badan kehilangan darah pada kadar yang sangat laju. Oleh sebab zat besi merupakan komponen penting dalam penghasilan sel darah merah, tanpanya, pembuatan sel darah merah baharu menjadi perlahan.

Situasi ini boleh menyebabkan keperluan badan tidak dapat dipenuhi oleh jumlah sel darah merah yang sangat terhad.

Konklusi

Jika anda mengalami sebarang simptom yang berkait dengan kanser rahim, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk membuat pengesahan diagnosis dan rawatan. Komplikasi anemia yang dialami oleh penghidap boleh dirawat dengan pengambilan suplemen zat besi dan amalan pemakanan seimbang.

Jangan Pelik! Ada Wanita Yang Selalu Cirit-Birit Waktu Haid, Ini Namanya ‘Period Poop!’

Tuesday 29 December 2020

Haid… Boleh menyebabkan senggugut, perubahan mood dan jerawat. Tetapi bukan itu sahaja, ia juga berisiko mendatangkan ‘malapetaka’ pada sistem pencernaan anda!

Pernahkah anda mendengar istilah period poop? Jika tidak, dalam bahasa mudah ia membawa maksud cirit-birit ketika haid, pergerakan usus yang berubah apabila haid bermula. Period poop agak berbeza jika dibandingkan dengan ‘bahan buangan’ anda sebelum haid, dan ia selalunya bersifat lebih cair, lebih kerap, atau menjadi cirit-birit.

Menurut Dr. Yolanda Kirkham, Pakar Sakit Puan di Women’s College Hospital dan Pusat Kesihatan St. Joseph di Toronto, hormon sebahagian besarnya adalah punca yang boleh dipersalahkan!

Tahukah anda, setiap kali kitaran haid berlaku, tubuh kita akan mengalami banyak perubahan hormon? Ya, benar. Perubahan ini mempengaruhi seluruh tubuh, lantas menyebabkan gejala sindrom prahaid (PMS) yang merangkumi perubahan mood, kekejangan, dan perubahan sistem pencernaan.

Persoalannya di sini, bagaimana haid boleh mempengaruhi pergerakan usus? Ingin ketahui dengan lebih lanjut? Jom baca!

Haid & pergerakan usus

Sebelum penulis mengupas isu ini dengan lebih lanjut, mari kita fahami dahulu makna pergerakan usus. Untuk pengetahuan anda, pergerakan usus (bowel movement) adalah cara tubuh kita membuang sisa yang tidak ada sebarang kegunaan di dalam badan.

Kandungan najis adalah kira-kira 3 per 4 air. Selebihnya adalah campuran bahan yang merangkumi:

  • Bakteria
  • Lemak
  • Serat (makanan yang tidak dicerna)
  • Sisa makanan
  • Lendiran
  • Garam

Faktor-faktor berikut membincangkan perubahan di dalam badan yang berlaku sebelum dan semasa haid yang mempengaruhi pergerakan usus anda, antaranya:

#1 Peningkatan pengecutan otot

Tepat sebelum haid bermula, tubuh akan mengeluarkan hormon yang dikenali sebagai prostaglandins. Apa fungsinya? Hormon-hormon ini merangsang pengecutan otot di rahim lantas membantu badan menyingkirkan lapisan rahim.

Pada masa yang sama, hormon haid turut merangsang otot di usus yang berdekatan dengan rahim untuk mengecut, menyebabkan pergerakan usus yang lebih kerap. Bukan itu saja, ia juga mengurangkan keberkesanan tubuh dalam menyerap air, menyebabkan najis lebih cair dan meningkatkan risiko cirit-birit.

Namun, apabila ia berlaku, mungkin sukar untuk anda membezakan sama ada mengalami kekejangan rahim, perut atau usus kerana semuanya menyakitkan dan tidak menyelesakan. Tambah lagi, hormon prostaglandins juga terlibat dalam banyak gejala PMS yang lain, termasuklah sakit kepala.

#2 Progesteron meningkat

Antara hormon lain yang bakal meningkat tepat sebelum haid bermula adalah, hormon progesteron. Bagi sesetengah wanita, progesteron berisiko mempengaruhi saluran pencernaan sehingga menyebabkan sembelit atau cirit-birit.

Pada wanita yang mempunyai masalah usus kronik atau penyakit radang usus (IBD), seperti ulcerative colitis atau penyakit Crohn, maka menstruasi boleh memburukkan lagi gejala yang dialami. Contohnya, pada individu yang mengalami sembelit berkaitan dengan IBD, perubahan yang berkaitan dengan hormon progesteron akan memburukkan lagi masalah sembelit.

Bukan itu sahaja, hal ini juga mempengaruhi mereka dengan kondisi seperti endometriosis, fibroid rahim, malah sista ovari.Tambahan itu, pesakit IBD juga lebih cenderung mengalami simptom PMS yang lain, seperti sakit kepala atau senggugut.

#3 Tahap stres atau kegelisahan meningkat

Ketika PMS atau haid, kebanyakan wanita mengalami perubahan mood atau peningkatan tahap kegelisahan.Ternyata, bukan hanya faktor hormon malah stres juga boleh mempengaruhi pergerakan usus anda, menyebabkan sembelit mahupun cirit-birit.

Menurut penyelidikan di dalam jurnal BMC Women’s Health, golongan wanita melaporkan kepekaan yang lebih tinggi terhadap kesakitan dan ketidakselesaan dalam fasa prahaid dan semasa haid. Justeru, ia berisiko memburukkan lagi simptom stres dan kegelisahan yang dialami.

#4 Perubahan diet

Selalu rasa lapar dan craving makanan-makanan manis apabila nak datang bulan? Ternyata ada penjelasan di sebaliknya! Ia berpunca oleh hormon progesteron yang meningkatkan rasa lapar dan membuatkan kita teringin makanan tinggi kandungan lemak atau gula, seperti aiskrim, kek mahupun coklat.

Namun, disebabkan tubuh sukar untuk mencernanya, pengambilan makanan ini mampu mempengaruhi saluran pencernaan anda. Perubahan berkaitan PMS dalam tabiat pemakanan menyumbang kepada penyebab segelintir wanita melihat perbezaan dalam konsistensi, kekerapan, atau bau najis mereka sebelum atau semasa haid.

Tip menguruskan period poop

Bagi sesetengah kaum Hawa, haid adalah tempoh masa yang paling ingin dielakkan dek kesakitan yang terpaksa dihadapi! Tetapi usah risau, jika tidak dapat menghilangkannya secara total, anda masih boleh mengurangkan simptom-simptom dialami dengan perubahan diet dan gaya hidup.

Tip berikut dapat membantu anda menangani masalah cirit-birit ketika haid:

  • Makan banyak serat semula jadi, termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, dan biji-bijian: Makanan berserat tinggi membantu menjaga sistem pencernaan yang sihat

  • Lakukan aktiviti fizikal: Jangan terlalu pasif dan hanya berbaring sepanjang hari. Pastikan badan sentiasa bergerak dan kekal aktif kerana ia boleh melegakan masalah kekembungan, ketidakselesaan dan membantu usus bergerak dengan baik

  • Cuba pelembut najis: Ubat pelembut najis membantu najis melewati usus dengan lebih mudah

  • Ambil ibuprofen: Ibuprofen (ubat tahan sakit) bukan sahaja dapat bantu mengurangkan kekejangan dan ketidakselesaan rahim, malah mengawal prostaglandins. Kadangkala, kesan ubat ini juga dapat mengatasi gejala pencernaan yang berkaitan dengan haid

Sekiranya masalah ini berlarutan sehingga mengganggu kehidupan harian, usah buang masa dan segera berkonsultasi bersama doktor agar pilhan rawatan terbaik dapat diberikan.

Konklusinya…

Benar, masalah sembelit dan cirit-birit terutamanya ketika period adalah amat menjengkelkan dan menyiksakan, namun biasanya ia akan berakhir apabila habis haid. Sekiranya rawatan di rumah masih tidak membantu, doktor anda mungkin akan mengesyorkan pilihan ubatan lain ataupun rawatan hormon.